Author: Wartawan WartaRakyat

  • Pelantikan boleh dipertikai jejas keyakinan pelabur, kerajaan diberitahu

    Pelantikan boleh dipertikai jejas keyakinan pelabur, kerajaan diberitahu

    KERAJAAN perlu konsisten dalam membuat pelantikan ke badan kawal selia utama atau berdepan risiko menghalang pelabur memberikan dana kepada industri baharu.

    Ahli ekonomi, Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak berkata, pelantikan eksekutif kanan Gamuda Bhd. sebagai pengerusi Suruhanjaya Tenaga (ST) baru-baru ini merupakan contoh konflik kepentingan yang boleh menjejaskan keyakinan pelabur terhadap sektor tenaga boleh diperbaharui.

    “Kerajaan perlu berusaha menggunakan prinsip asas yang diwar-warkan (mengenai tadbir urus baik) berbanding cakap tak serupa bikin. Jika tidak, pelabur tidak akan percaya apa yang dikatakan,” katanya kepada FMT.

    Pelantikan Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan Gamuda, Rashdan Yusof mengetuai ST pada Februari lalu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan kumpulan antirasuah dan ketelusan serta pemain industri dan perniagaan terhadap konflik kepentingan dan tidak akan meningkatkan keyakinan pelabur.

    Gamuda ialah pemain utama dalam sektor tenaga boleh diperbaharui, dan Disember lalu, ia mengumumkan RM2 bilion dibelanjakan untuk mengembangkan perniagaan tenaga boleh diperbaharuinya.

    Setakat ini, ia memperoleh 30 peratus kepentingan dalam ERS Energy Sdn. Bhd , syarikat terlibat dalam tenaga solar.

    Jumaat lalu, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad mempertahankan pelantikan Rashdan dengan berkata ia untuk merombak pendekatan pengawal selia terhadap peralihan tenaga.

    Katanya, terdapat perundangan persekutuan yang ‘menyediakan peruntukan jelas’ bagi contoh konflik kepentingan dan cara menanganinya, memetik Akta Suruhanjaya Tenaga 2001 sebagai contoh, yang mensyaratkan anggota suruhanjaya mengisytiharkan kepentingan mereka.

    Seorang lagi ahli ekonomi, Edmund Terence Gomez berkata, justifikasi Nik Nazmi untuk pelantikan Rashdan ‘amat tidak memuaskan’ dan bertanya sama ada menteri itu sedar Gamuda sudah mengisytihar fokusnya terhadap tenaga boleh diperbaharui.

    Beliau berkata, pegangan 30 peratus Gamuda dalam ERS Energy Sdn. Bhd. mencerminkan minatnya dalam tenaga boleh diperbaharui.

    Katanya, jika Nik Nazmi menyedari perkara itu, tetapi meneruskan pelantikan Rashdan, ia menunjukkan ‘penilaian buruk’ oleh menteri.

    Hakikatnya, beliau berkata, Nik Nazmi memetik undang-undang persekutuan sebagai contoh konflik kepentingan juga menunjukkan beliau sedar situasi sedemikian mungkin timbul.

    “Menteri telah mewajarkan pelantikan ini atas alasan mahu melakukan rombakan di ST. Walaupun ini harus dipuji, namun cara dia melakukannya menimbulkan kebimbangan.

    “Beliau patut tahu peranan utama suruhanjaya itu adalah memastikan tatacara pasaran adil, tetapi bagaimana syarikat dalam sektor tenaga boleh diperbaharui boleh memberi jaminan tentang perkara ini apabila pengerusinya adalah eksekutif kanan sebuah syarikat berminat menceburi industri ini?”

    Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4) berkata, Putrajaya mesti menjelaskan proses pemilihan Rashdan secara telus, manakala Transparency International Malaysia menggesa Rashdan menolak jawatan itu.

  • Tingkat undi Melayu cabaran getir Anwar hadapi PRN – KJ

    Tingkat undi Melayu cabaran getir Anwar hadapi PRN – KJ

    PENGERUSI Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berdepan cabaran getir terutama dalam meningkatkan sokongan pengundi Melayu terhadap gabungan itu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

    Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang menyuarakan pandangan itu berkata, setakat ini mustahil untuk PH menang di tiga negeri dikuasai Pas iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu yang akan terbabit dalam PRN nanti.

    Melalui komen disiarkan Fulcrum, laman sesawang berkaitan kumpulan pemikir berpangkalan di Singapura, Khairy berkata itu mengambil kira keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, yang mana PH hanya meraih 15 peratus undi Melayu di negeri yang majoritinya Melayu.

    Bagaimanapun, beliau berkata mengambil kira keputusan PRU15 juga, Selangor dan Negeri Sembilan dilihat seperti sukar dirampas Perikatan Nasional (PN) daripada cengkaman PH.

    Pada masa sama, katanya, Anwar yang juga Perdana Menteri perlu mempertahankan kubu kuat gabungan itu terutama di Selangor.

    Sebelum ini, PN mengenal pasti dua negeri iaitu Selangor dan Negeri Sembilan sebagai medan pertarungan utamanya dalam PRN nanti.

    Sementara itu, Khairy berkata, PN dilihat seolah-olah ‘meminjam’ taktik Anwar ketika Presiden PKR itu berada dalam pembangkang dengan memberikan tumpuan kepada kempen populis.

    “Tanpa perlu menanggung beban realiti sebenar berada dalam kerajaan, mereka menjadi juara populis mendesak rakyat Malaysia dibenarkan mengeluar akaun simpanan persaraan melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP),” katanya melalui tulisan analisis untuk Institut Kajian Asia Tenggara (ISEAS-Yusof Ishak).

    Khairy yang kini Felo Pelawat Kanan ISEAS-Yusof Ishak berkata, Anwar juga perlu ‘merempuh’ ranjau dalam mendepani PRN dengan ‘bebanan’ yang merujuk kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

    Bekas Menteri Kesihatan itu yang lantang mengkritik Ahmad Zahid selepas dipecat parti awal tahun ini, turut menyindir bekas ketuanya yang melaksanakan pembersihan UMNO daripada pihak yang mengkritiknya, selain memberi ganjaran kepada penyokongnya menerusi lantikan dalam perbadanan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

    “Modal politik Anwar sedang ditekan mengambil kira reputasi kontroversi dan tanggapan bahawa beliau memberi ganjaran kepada penyokong dan kroninya tanpa sekatan.

    “Menjadi kebimbangan terbesar Anwar sama ada UMNO menjadi liabiliti menjelang PRN dalam beberapa bulan terdekat ini,” katanya.

    Selain itu, Khairy turut menyentuh kemelut pertukaran Ketua Menteri Melaka yang dilihatnya mengetepikan seorang ahli politik sebenar dan menggantikannya dengan seorang penyokong setia.

    Zahid juga, katanya, berjaya untuk terus menangguhkan perbicaraan rasuahnya yang sepatutnya disambung semula minggu ini, dengan cuba meyakinkan pendakwa raya untuk menggugurkan pertuduhan terhadapnya.

    “Modal politik Anwar semakin terjejas, memandangkan reputasi kontroversi Ahmad Zahid dan tanggapan terhadapnya yang dilihat memberi ganjaran kepada penyokong dan kroninya tanpa disekat.

    “Lebih membimbangkan Anwar ialah jika UMNO menjadi liabiliti pilihan raya semasa pilihan raya negeri.

    “Selain itu, Anwar juga harus berdepan kemelut bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang dipenjarakan selepas gagal dalam rayuan untuk semakan keputusan kes, sekali gus perlu menjalani hukumannya di penjara atau memohon pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong.

    “Dengan kata lain, jika PH kehilangan Selangor atau Negeri Sembilan, ia akan menjadi satu kemunduran besar bagi Anwar berikutan PN mengenal pasti kedua-dua negeri itu sebagai medan pertempuran utama,” katanya.

    Namun Khairy berkata sekiranya PH mampu menang di kedua-dua negeri ini dan mengekalkan momentum selama beberapa tahun, mereka akan berada dalam kedudukan yang baik untuk meraih kemenangan secara terang-terangan menjelang PRU akan datang.

    “Pengiraan kasar ini menunjukkan berdasarkan keputusan PRU, PN akan merebut dua kerusi DUN di Negeri Sembilan, dengan selebihnya kepada PH (18) dan Barisan Nasional (BN) (16).

    “Di Selangor, PN dijangka menunjukkan prestasi lebih baik dengan 12 kerusi, tetapi ini masih kurang daripada 41 kerusi PH.

    “Landskap politik Malaysia telah berubah dengan ketara sejak PRU15 pada November lalu, namun peluang PN boleh dipertingkatkan jika mereka memperoleh calon ‘poster boy’ yang terkenal dan popular yang ditawarkan sebagai bakal pemimpin negeri sekiranya mereka menang.

    “Tambahan pula, arus politik yang sedang dirasai di Malaysia pada masa ini mungkin mendapat kekuatan dan mengancam kestabilan Anwar jika beliau dan sekutunya tidak berjaya mengharunginya,” katanya, lapor Berita Harian.

  • Kematian tentera di Hutan Belum tiada unsur jenayah, kata polis

    Kematian tentera di Hutan Belum tiada unsur jenayah, kata polis

    KEMATIAN anggotar tentera berpangkat koperal di Hutan Simpan Belum, dekat Gerik, tidak membabitkan sebarang unsur jenayah atau binatang buas, kata Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri.

    Katanya, mayat Mohammad Nasri Mohd. Nasib berusia 33 tahun dari Batalion ke-25 Rejimen Askar Melayu Diraja berpangkalan di Kem Sri Bentong, Pahang ditemui dalam keadaan sempurna pada 10.15 pagi semalam.

    “Saya dimaklumkan mayat (ditemui) dalam kawasan hutan berhampiran dengan sungai.

    “Keadaan mayat masih sempurna dan kita percaya tiada unsur jenayah ataupun binatang buas. Jadi kita tunggu hasil bedah siasat,” katanya menurut Berita Harian.

    Beliau berkata, mayat mangsa dipindahkan dari Hospital Gerik ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh untuk dibedah siasat.

    Buat masa ini, katanya, kes diklasifikasikan mati mengejut.

    Media sebelum ini melaporkan kehilangan mangsa ketika menjalankan operasi bersama lima anggota lain kira-kira 5 petang Jumaat lalu.

    Kehilangan mangsa dilaporkan kepada polis hanya pada 12.50 tengah malam Ahad lalu, dengan usaha mencari dan menyelamat dijalankan bersama pasukan tentera pada hari sama mangsa dilaporkan hilang.

  • 2 maut lori rempuh treler

    2 maut lori rempuh treler

    DUA lelaki maut selepas lori dinaiki mereka merempuh belakang sebuah treler di KM402.7 Lebuhraya Utara-Selatan menghala ke Kuala Lumpur, pagi tadi.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Morni Mamat, berkata 10 anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Sentosa bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 4.13 pagi.

    “Menurut laporan awal, kemalangan membabitkan sebuah treler Scania yang dilanggar dari belakang oleh sebuah lori Isuzu yang membawa muatan ais batu.

    “Dua lelaki berusia 30-an yang menaiki lori itu masing-masing tersepit di bahagian pemandu dan kelindan. Mereka dipercayai meninggal dunia,” katanya menurut Harian Metro.

    Bagaimanapun, katanya, identiti dua mangsa itu belum dikenal pasti.

  • Ibu dalam pantang maut tertusuk pisau di leher

    Ibu dalam pantang maut tertusuk pisau di leher

    SEORANG wanita yang baru sebulan bersalin ditemui maut dengan kesan tikaman pada leher di Kampung Beris Panchor, Tawang, dekat Bachok semalam.

    Dalam kejadian pukul 6 petang itu, mangsa yang berusia 35 tahun itu dipercayai baru 36 hari melahirkan anak keempatnya.

    Ibu mangsa, Zuraizah Mat, 58, berkata anak perempuannya yang tinggal di Kedah sebelum ini, ditemui berlumuran darah dalam bilik tidur.

    “Kami turut menemui sebilah pisau pemotong sayur berada di bahagian tengah leher mangsa,” katanya menurut Sinar Harian.

    Beliau berkata, mangsa yang berada di ruang tamu sebelum itu, menyerahkan bayinya untuk bercakap dengan suami yang berada di Kedah menerusi telefon dan sempat berpesan menjaga bayinya sebelum memasuki bilik.

    Zuraizah kemudian meminta anak bongsunya mengintai mangsa yang berada dalam bilik menggunakan tangga kerana bimbangkan keselamatannya.

    “Kami juga cuba pecahkan pintu bilik beberapa kali. Apabila berjaya masuk, kami terkejut dia terbaring berlumuran darah dengan pisau tertusuk pada lehernya.”

    Katanya, ketika itu, mangsa masih bernyawa dan beliau meminta ahli keluarga membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Beris Panchor.

    Beliau berkata, mangsa yang sering mengadu sakit di bahagian perut, pergi ke hospital untuk mendapatkan rawatan pagi semalam.

    “Sejak pulang dari sana, dia kelihatan seperti tertekan,” katanya.

    Ketua Polis Bachok, Mohamad Ismail Jamaluddin yang mengesahkan menerima laporan kejadian itu berkata, jenazah mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk tindakan lanjut dan kes diklasifikasi mati mengejut.

  • Kanak-kanak perempuan melecur main bunga api

    Kanak-kanak perempuan melecur main bunga api

    Oleh BADLISHAH MAT

    SEORANG kanak-kanak perempuan melecur sebahagian badan dipercayai akibat disambar api ketika bermain bunga api dan mercun di Kampung Senara, Kubur Panjang di Pendang, malam kelmarin.

    Kejadian kira-kira pukul 10.30 malam itu mengakibatkan mangsa, Nur Zatil Hidayah Mohd. Tarmizi, 4, melecur kira-kira 46 peratus pada anggota badan.

    Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintenden Arriz Sham Hamezah berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika mangsa bersama dua abangnya berusia tujuh dan 10 tahun bermain bunga api dan mercun di hadapan rumah.

    Katanya, ibu bapa mangsa pula berada di dalam rumah dan dikatakan sedang menonton televisyen.

    “Tiba-tiba pasangan suami isteri itu dikejutkan dengan jeritan mangsa dan berlari keluar sebelum mendapati dua anak lelaki mereka sedang cuba memadam api yang membakar tubuh mangsa,” katanya hari ini.

    Kata beliau, bapa mangsa yang bekerja kampung itu kemudian mengambil sebaldi air lalu menjirus pada badan anaknya itu sebelum bergegas membawa mangsa ke Hospital Pendang.

    “Kita masih menjalankan siasatan berikutan bapa mangsa mendakwa anak perempuannya itu disyaki terbakar selepas disambar api daripada pelita minyak tanah ketika ingin menyalakan bunga api.

    “Kejadian sebenar hanya akan diketahui selepas kita merakam keterangan dua abang mangsa kerana buat masa ini mereka masih dalam keadaan trauma dengan insiden yang berlaku,” ujarnya.

    Tambahnya, pihak hospital setakat ini masih belum memaklumkan laporan keputusan punca kecederaan sebenar mangsa sama ada disebabkan oleh minyak pelita atau mercun.

    “Kita membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 iaitu ibu bapa atau penjaga mendedahkan kanak-kanak kepada bahaya,” katanya.

    Arriz Sham berkata, mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk rawatan lanjut.

  • Wanita lemas bot karam, 3 lagi termasuk 2 kanak-kanak masih hilang

    Wanita lemas bot karam, 3 lagi termasuk 2 kanak-kanak masih hilang

    SEORANG wanita ditemui lemas dalam kejadian bot karam di Sungai Penawan, Kampung Sin-Singon, Sepulut, Sabah, semalam yang turut mengakibatkan tiga individu termasuk dua kanak-kanak dikhuatiri lemas

    Mangsa berusia 26 tahun ditemui oleh penduduk kampung, kira-kira 3 petang.

    Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian pada pukul 1.14 tengah hari semalam.

    Katanya, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sook dan Keningau termasuk anjing pengesan (K9) serta dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Nabawan kemudiannya digerakkan ke lokasi kejadian.

    “Menurut maklumat awal daripada pemanggil, terdapat lima mangsa terbabit iaitu seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun dan lelaki berusia 36 tahun berjaya menyelamatkan diri.

    “Mangsa yang belum ditemui iaitu dua kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia tujuh dan sembilan tahun,” katanya menurut laporan Berita Harian.

    Jurucakap itu berkata, pasukan bomba bertindak membuat operasi mencari dan menyelamat (SAR) dengan kaedah pencarian di permukaan di sekitar kawasan bot karam.

    “Pada pukul 3.15 petang semalam, penduduk kampung menemui mangsa wanita disahkan meninggal dunia dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

    “Pencarian dua lagi mangsa yang memasuki hari kedua pada jam 8.42 pagi tadi, dijalankan di sepanjang sungai dengan anggaran pencarian sejauh tiga kilometer,” katanya.

    Sementara itu, kata jurucakap itu, ketika operasi pencarian dua lagi mangsa dijalankan, terdapat seorang lelaki berusia 38 tahun iaitu kumpulan orang kampung yang turut serta dalam operasi SAR terjatuh ke dalam sungai dan hilang.

    “Kejadian berlaku kira-kira jam 4 petang ketika operasi SAR dijalankan membabitkan semua agensi dan orang kampung.

    “Operasi SAR tiga mangsa diteruskan dan maklumat akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya sambil menambah operasi turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Keningau.

  • Waris mangsa Double Six persoal laporan dirahsiakan terlalu lama

    Waris mangsa Double Six persoal laporan dirahsiakan terlalu lama

    WARIS mangsa pesawat Double Six pada 1976 di Sabah menimbulkan lebih banyak persoalan berkaitan laporan hasil siasatan nahas terbabit yang dikeluarkan selepas tempoh agak lama.

    Memetik laporan Berita Harian, Iskandar Sulong, anak bongsu kepada Menteri Kewangan Sabah ketika itu, Datuk Salleh Sulong berkata, seperti majoriti waris keluarga mangsa lain, beliau juga tidak berpuas hati dengan hasil laporan terbabit.

    “Saya cuma rasa tidak puas hati kenapa mereka (pihak bertanggungjawab) tidak beritahu sebab sebenarnya sejak awal lagi. Waktu kejadian saya berumur lima tahun, sekarang saya berumur 52 tahun.

    “Sejak saya kecil, fikiran saya terganggu (disebabkan tragedi Double Six). Tambahan pula, saya cenderung untuk menunggu hasil laporan dilepaskan dari Kerajaan Australia,” katanya, hari ini.

    Menurut Iskandar, ahli keluarganya yang lain juga mempunyai pandangan sama terhadap laporan hasil siasatan pesawat itu.

    Beliau turut memberitahu berkemungkinan besar pihaknya akan membuat tuntutan agar kerajaan tampil dengan laporan terperinci mengenai tragedi berkenaan.

    Dalam pada itu, Timbalan Presiden UPKO, Donald Peter Mojuntin mempersoalkan mengapa laporan berkenaan diletakkan mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA) selama 47 tahun sedangkan ia “tidak berbahaya” dan menawarkan “penjelasan mudah” punca kepada nahas.

    Donald adalah anak kepada menteri perumahan dan kerajaan tempatan negeri ketika itu, Peter Mojuntin, antara 11 terkorban dalam tragedi itu.

    “Kami keliru mengapa laporan itu dirahsiakan bagi tempoh sangat lama. Ada pegawai kerajaan dan menteri berkata laporan itu dirahsiakan kerana melibatkan kepentingan awam. Ada juga yang berkata ia melibatkan keselamatan negara.

    “Tetapi, mereka boleh sahaja memaklumkan semua ini 46 tahun lalu. (Laporan) ini anti-klimaks,” katanya kepada FMT.

    Tambahnya, beliau menggesa kerajaan Datuk Seri Anwar Ibrahim menubuhkan jawatankuasa khas menyiasat mengapa laporan itu perlu dirahsiakan.

    Menurut laporan tragedi yang dinyahklasifikasi, tiada unsur sabotaj, kebakaran atau letupan yang menjadi punca kemalangan tragik pesawat terhempas pada 1976 yang meragut nyawa Ketua Menteri Sabah ketika itu Fuad Stephens dan 10 yang lain.

    Menurut laporan itu, pesawat itu diselenggara mengikut jadual dan terbang dengan had berat yang dibenarkan.

    Bagaimanapun, kedudukan pusat graviti pesawat di luar had buritan kapal, kata laporan itu.

    Kata laporan itu, jelas prosedur operasi yang dijalankan oleh juruterbang syarikat itu tidak mengikut standard profesional.

    Kata laporan itu, syarikat itu perlu ada sistem pemantauan untuk memastikan semua prosedur dipatuhi, tambahnya satu contoh adalah pemantauan masa rehat kru penerbangan.

    Juruterbang pesawat itu dilaporkan sudah melebihi masa bertugas selama 67 minit ketika kemalangan berlaku. Jumlah masa bertugas ditetapkan kepada 10 jam. Manual operasi syarikat menunjukkan masa kru penerbangan mula bertugas adalah dua jam sebelum berlepas dan sejam selepas penerbangan.

    Susulan kejadian itu, pengeluar GAF Nomad Australia dan Jabatan Pengangkutan Australia melancarkan siasatan untuk membuktikan bahawa nahas bukan disebabkan oleh masalah mekanikal.

  • Lelaki di Temerloh ditahan buat hantaran hina institusi beraja

    Lelaki di Temerloh ditahan buat hantaran hina institusi beraja

    POLIS menahan seorang lelaki selepas disyaki membuat hantaran berbaur penghinaan terhadap institusi beraja di negara ini menerusi satu operasi di Temerloh, Pahang, hari ini.

    Menurut Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, suspek berusia 42 tahun itu ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh.

    Beliau berkata, lelaki itu dipercayai membuat hantaran itu menerusi akaun Facebook ‘Raja Hairun’.

    “Permohonan reman terhadap suspek mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah akan dibuat di lokap berpusat Kuala Lumpur, esok.

    “Siasatan kes itu dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Mengulas lanjut, Noorsiah menasihatkan orang ramai agar menghormati institusi beraja negara.

    Katanya, ini kerana ia sudah dijamin oleh Perlembagaan demi menjaga kestabilan negara, bangsa dan negara.

    “Mana-mana individu atau pihak yang didapati dengan sengaja mengeluarkan sebarang kenyataan menghina dan memperlekehkan institusi beraja akan dikenakan tindakan tegas,” tambahnya.

  • Kedah beri pegawai masjid, MKK bantuan khas Aidilfitri

    Kedah beri pegawai masjid, MKK bantuan khas Aidilfitri

    Oleh BADLISHAH MAT

    KERAJAAN negeri Kedah mengumumkan bantuan khas Aidilfitri sebanyak RM200 kepada semua pegawai masjid serta pengerusi dan setiausaha Majlis Ketua Kampung (MKK) di negeri itu.

    Menteri Besarnya, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, peruntukan berjumlah hampir RM800,000 itu merangkumi bantuan kepada 3,924 penerima terdiri daripada 2,386 imam, bilal dan siak.

    “Pemberian turut melibatkan 772 pengerusi MKK dan 766 setiausaha MKK di seluruh Kedah yang mana bayaran akan dibuat melalui aplikasi i-Sara secara pemindahan tunai dalam talian (EFT) bermula 18 April ini. 

    “Sumbangan ini diharap dapat membantu mereka membuat persiapan menjelang Aidilfitri,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di Alor Setar, hari ini.

    Minggu lalu, Kedah mengumumkan sebanyak 5,100 penjawat awam negeri itu akan menerima bantuan khas sebanyak RM1,000 sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang turut akan dibayar pada tarikh sama.