Author: Wartawan WartaRakyat

  • Kes Zahid tangguh, rakyat makin marah yang untung PN, kata Shahidan

    Kes Zahid tangguh, rakyat makin marah yang untung PN, kata Shahidan

    AHLI Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim ‘menyokong penuh’ kes mahkamah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi ditangguhkan lebih lama kerana mampu menguntungkan Perikatan Nasional (PN).

    “Apabila ditangguhkan, rakyat akan bertambah marah seterusnya memberi kelebihan dan menguntungkan PN,” katanya menurut Utusan Malaysia.

    Beliau berkata, ini akan memberi imej ‘tidak manis’ bagi seorang pemimpin negara untuk naik turun mahkamah bagi menghadapi pertuduhan jika kes membabitkan timbalan perdana menteri itu masih diteruskan.

    “Saya dulu jadi orang pertama yang minta agar kes Zahid ini ditangguhkan sehingga beliau tamat menjadi timbalan perdana menteri, orang UMNO tak minta pun.

    “Sebab tak manis bagi seorang pemimpin negara untuk didakwa di mahkamah,” katanya.

    Pada 10 April, media melaporkan perbicaraan rasuah Zahid yang kini di peringkat pembelaan di Mahkamah Tinggi, ditangguhkan ke Ogos untuk membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan lanjut.

    Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob, memberitahu Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bahawa pihak pendakwaan hanya boleh mempertimbangkan representasi Zahid selepas hasil siasatan SPRM.

    Zahid didakwa atas 47 pertuduhan pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah (CBT) membabitkan jutaan ringgit daripada Yayasan Akalbudi dan menerima rasuah untuk pelbagai projek sepanjang menjadi menteri dalam negeri, antara 2013 dan 2018.

    Dua belas daripada pertuduhan adalah untuk CBT, lapan untuk rasuah, dan baki 27 untuk pengubahan wang haram.

  • Lantikan politik dalam agensi k’jaan membimbangkan

    Lantikan politik dalam agensi k’jaan membimbangkan

    DALAM tempoh sebulan dua ini, kita dapat menyaksikan lantikan demi lantikan politik sebagai pengerusi di agensi, badan berkanun dan syarikat milik kerajaan di beberapa kementerian.

    Walaupun Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook memberi jaminan bahawa tiada lantikan politik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC), namun kerajaan dilihat masih melantik ahli-ahli politik dalam agensi, badan berkanun dan syarikat milik kerajaan.

    Antara kementerian yang terlibat ialah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Kementerian Komunikasi dan Digital, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan, dan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

    Kebanyakan nama-nama lantikan yang terlibat ialah dalam kalangan ahli Parlimen, mantan ahli Parlimen dan ahli politik, lapor MalaysiaKini.

    Ini tidak termasuk lagi mereka yang dilantik adalah pemimpin syarikat yang terlibat dalam perniagaan yang dikawal selia oleh badan yang ia sendiri pengerusikan.

    Ini boleh menimbulkan konflik kepentingan (conflict of interest), justeru boleh membawa kepada penurunan keyakinan pelabur.

    Antara lantikan politik adalah melibatkan Majlis Amanah Rakyat (MARA), MyCreative Ventures Sdn Bhd, Suruhanjaya (SSM), FELCRA Berhad, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), TEKUN Nasional dan SME Corporation Malaysia.

    Selain itu, Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Lembaga Kemajuan WIlayah Kedah (KEDA) dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC).

    Lantikan politik dipersoalkan

    Pelantikan-pelantikan ini boleh menimbulkan persoalan mengenai kelayakan ahli-ahli politik ini dalam aspek kompetensi dan integriti untuk memimpin agensi kerajaan, badan berkanun dan syarikat milik kerajaan supaya lebih berdaya maju.

    Ini kerana kita masih belum dapat lihat lagi kewujudan mekanisme pemilihan yang jelas dan telus melalui badan, panel atau lembaga tertentu dalam proses pelantikan tersebut.

    Justeru, lapan karakter bangsa wajar dijadikan kriteria dan ciri dalam memilih kepimpinan iaitu berkemampuan, berdaya maju, amanah dan berintegriti, kasih sayang, jujur, berkeadilan, utamakan rakyat dan berprinsip.

    Ini termasuklah kelayakan akademik atau pengalaman yang bersesuaian bagi memimpin agensi kerajaan, badan berkanun, syarikat milik kerajaan mahupun GLC.

    Oleh itu, calon kepimpinan yang terbaik mestilah dipilih untuk kebaikan negara, khususnya jawatan-jawatan yang mempunyai kepentingan awam dan melibatkan dana awam.

    Rakyat sedang memerhatikan tindak-tanduk kerajaan dan mengharapkan reformasi yang jelas dan telus dalam menambah baik proses pelantikan ini.

    Pelantikan yang hanya kerana berdasarkan jawatan seseorang dalam politik bukan kerana kelayakannya, dibimbangi boleh menjadi alat untuk melebarkan pengaruh dan mengukuhkan kedudukan masing-masing, juga mendedahkan kepada risiko salah guna kuasa.

    Bahkan, kemungkinan besar akan berlaku campur tangan politik yang menyebabkan berlaku penyelewengan, rasuah dan salah laku dalam tadbir urus, sekali gus mengakibatkan kerugian kepada agensi kerajaan, badan berkanun, syarikat milik kerajaan dan GLC.

    Serah kepada ahlinya

    Islam mewajibkan umatnya supaya menyerahkan amanah dalam melaksanakan sesuatu urusan itu kepada mereka yang ahli (pakar).

    “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil.” (An-Nisa’: 58)

    Oleh itu, kita perlu berwaspada dan mengambil pengajaran daripada sebuah hadis daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

    “Apabila amanah disia-siakan, maka tunggulah saat kehancuran.” Ia bertanya, “Bagaimana amanah disia-siakan, ya Rasulullah?” Baginda menjawab: “Apabila sesuatu urusan diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah saat kehancuran.” (HR Bukhari, No. 6496)

    Hadis ini menunjukkan bahawa kehancuran dan kerosakan akan terjadi sekiranya amanah disia-siakan akibat daripada sesuatu urusan itu diserahkan kepada orang yang bukan ahli dan kepakarannya dalam sesuatu bidang.

    Peribahasa Melayu ada menyebut, ‘Kuat gajah terdorong, kuat harimau terlompat-lompat,’ yang membawa maksud orang besar-besar melakukan kesalahan kerana kekuasaan yang ada padanya.

    Pengajarannya, lantiklah calon pemimpin agensi kerajaan, badan berkanun, syarikat milik kerajaan dan GLC yang benar-benar layak, memenuhi kriteria yang ditetapkan dan mempunyai pengalaman dalam bidang berkaitan.

    Mekanisme dan kriteria

    Oleh itu, ingin ditegaskan bahawa menjadi satu keperluan kepada pihak kerajaan untuk mewujudkan mekanisme yang jelas dan telus melalui badan, panel atau lembaga tertentu untuk memproses pelantikan kepimpinan terbaik dalam agensi kerajaan, badan berkanun, syarikat milik kerajaan dan GLC.

    Kriteria yang jelas dan spesifik perlu dibangunkan berdasarkan skop, peranan dan tanggungjawab sesuatu tugas kepimpinan, dengan menekankan kriteria calon yang kompeten dan berintegriti, serta mempunyai kelayakan akademik atau pengalaman yang bersesuaian.

    Apabila proses pemilihan atau pelantikan pemimpin itu jelas, diinstitusikan dan telus, maka calon yang terbaik dapat dipilih berdasarkan mekanisme dan kriteria-kriteria yang telah ditetapkan.

    Dengan yang demikian, calon yang dilantik dapat memacu agensi kerajaan, badan berkanun, syarikat milik kerajaan dan GLC agar lebih berdaya maju, memberikan khidmat yang terbaik dan membuahkan hasil yang signifikan dan bermanfaat untuk rakyat dan negara.

    Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

  • Hasrat bergaya jam Rolex punah, suri rumah rugi lebih RM500,000

    Hasrat bergaya jam Rolex punah, suri rumah rugi lebih RM500,000

    HASRAT seorang suri rumah bergaya dengan jam tangan Rolex musnah, selain kerugian RM526,400 kerana diperdaya suspek menjual jam tangan mewah menerusi aplikasi WeChat.

    Ketua Polis Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, mangsa berusia 60-an itu mengenali suspek menerusi WeChat sejak awal Februari lalu.

    Katanya, mangsa kemudian berurusan dengan suspek kerana tertarik kepada Rolex yang ditawarkan pada harga murah.

    “Sepanjang tempoh berurusan, suspek menawarkan empat utas jam tangan dengan semuanya berjumlah RM526,400.

    “Mangsa yang tertarik dengan tawaran itu membuat pembayaran melalui sembilan transaksi pemindahan wang ke satu akaun bank tempatan antara 15 hingga 27 Feb lalu,” katanya menurut Harian Metro.

    Namun, sehingga laporan polis dibuat baru-baru ini, beliau berkata, mangsa belum menerima jam tangan dibelinya.

    “Suspek pula gagal dihubungi dan selepas menyedari ditipu, mangsa membuat laporan polis,” katanya sambil menambah kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

    Zulkipli menasihatkan orang ramai menyemak sebelum membuat pembelian dalam talian, khasnya apabila harga ditawarkan jauh lebih murah daripada harga asal.

    “Orang ramai boleh merujuk Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997 atau melayari Facebook @CyberCrimeAlertRMP @JSJKPDRM bagi mendapatkan khidmat nasihat serta maklumat lanjut berhubung perkara mencurigakan.

    “Orang ramai juga boleh merujuk http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ untuk pengesahan akaun bank dan nombor telefon diragui.”

  • 40 termasuk wanita ceroboh Hutan Simpan Bukit Enggang didakwa

    40 termasuk wanita ceroboh Hutan Simpan Bukit Enggang didakwa

    Oleh BADLISHAH MAT

    SERAMAI lima warga tempatan termasuk seorang wanita antara 40 individu yang didakwa di Mahkamah Sesyen Baling, hari ini selepas menceroboh Hutan Simpan Bukit Enggang di Sik, pada hujung Januari lalu.

    Dua lelaki tempatan, Ho Chung Meng, 54, dan Poh Chu Yuan, 21, masing-masing mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Najwa Che Mat.

    Tiga lagi warga tempatan termasuk seorang wanita, Wong Siew Lin, 58; Tai Chan Weng, 56, dan Wong Hing Nam, 59, pula tidak direkodkan sebarang pertuduhan kerana tidak memahami bahasa Melayu.

    Pengakuan juga tidak direkodkan terhadap dua lelaki dari China, dua lelaki Nepal serta 31 lelaki warga Myanmar yang berusia antara 18 hingga 50 tahun kerana turut tidak memahami bahasa Melayu.

    Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didapati memasuki kawasan hutan tertutup iaitu Kompartmen 12, Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik tanpa memiliki permit memasuki hutan simpanan kekal iaitu Borang 6, antara pukul 9 malam, 31 Januari hingga 3 pagi, 1 Februari lalu.

    Kesemua tertuduh melakukan kesalahan di bawah subseksyen 47 (1) Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313] yang diterima pakai oleh Negeri Kedah di bawah Enakmen (Pemakaian) Perhutanan Negara 1985 dan boleh dihukum bawah subseksyen 47 (4) Enakmen yang sama.

    Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Wan Hazlin Suraya Wan Sharif; Noor Husnita Mohd. Radzi dan Naliatul Huzaimi Ab. Rasip, manakala tujuh daripada 40 tertuduh diwakili peguam Lee Keng Fatt.

    Najwa memerintahkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin masing-masing terhadap lima tertuduh warga tempatan dan masing-masing RM7,000 kepada dua lelaki China dengan dua penjamin warga Malaysia serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

    Seramai 31 lelaki Myanmar dan dua warga Nepal pula tidak ditawarkan sebarang jaminan kerana sedang menjalani hukuman di bawah Akta Imigresen akibat tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

    Mahkamah turut menetapkan 11 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula dan lantikan jurubahasa.

    Media sebelum ini melaporkan elemen nadir bumi atau rare earth element (REE) di Hutan Simpan Bukit Enggang dipercayai dicuri lagi oleh pihak tidak bertanggungjawab susulan serbuan dilakukan pihak berkuasa pada hujung Januari lalu.

    Lebih 50 individu termasuk warga asing ditahan dalam operasi diketuai Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) bersama beberapa agensi termasuk Jabatan Imigresen yang turut menemukan buku dipercayai digunakan untuk tujuan merekod pengeluaran nadir bumi di tapak haram berkenaan.

  • Saya jauh daripada tak mampu bayar hutang, kata Lee Kim Yew

    Saya jauh daripada tak mampu bayar hutang, kata Lee Kim Yew

    AHLI perniagaan, Lee Kim Yew mengulangi beliau tidak bankrap dan ‘jauh daripada tidak mampu membayar hutang’.

    Katanya, seorang bekas pegawainya bekerja di syarikat berpangkalan di AS yang kini ditutup, Club Excellence Inc, sebelum ini memperoleh penghakiman RM3 juta memihak kepadanya di AS dan menggunakannya di Malaysia untuk mengisytiharkan beliau muflis.

    Beliau mendakwa individu bernama Patrick Healy yang merupakan warga AS itu kemudian ‘merasakan ia satu kesilapan’ dan bersetuju berunding dengannya untuk mencapai penyelesaian dan mengetepikan perintah mahkamah itu.

    Pengasas Country Heights Holdings Bhd (CHHB) itu berkata, rundingan masih diteruskan.

    Tetapi, sekeping gambar pangkalan data muflis dalam talian Jabatan Insolvensi menunjukkan Lee bankrap tular semalam, yang didakwanya sebagai serangan peribadi terhadapnya.

    “Saya mengumpul banyak aset ketara dan tidak ketara. Aset saya melebihi liabiliti,” katanya dalam sidang media di Mines Beach Resort di Seri Kembangan, Serdang hari ini.

    Lee berkata, beliau sudah menulis surat kepada Putrajaya untuk membenarkan peguamnya meneruskan rundingan dengan Healy bagi mengetepikan perintah mahkamah AS itu.

    “Jika gagal, saya akan memfailkan pernyataan aset dan liabiliti saya kepada ketua pengarah Jabatan Insolvensi dengan memasukkan RM3 juta, jika jabatan itu perlu berurusan dengan Healy,” katanya.

    Beliau berundur daripada semua jawatan pengarah syarikat sejak 26 Januari lalu dan menafikan laporan dirinya dilarang keluar negara.

    “Saya tiada rancangan melancong buat masa ini, tetapi saya tidak menerima sebarang notis larangan perjalanan,” ujarnya.

    Hasil semakan FMT di laman sesawang e-insolvensi semalam mendapati Lee diisytihar muflis pada 26 Jan lalu.

    Lee mendakwa Healy memulakan rundingan ‘selepas 26 Jan’, tanpa menyatakan tarikh sebenar.

    CHHB terkenal dengan pembinaan mercu tanda tempatan seperti MSC Cyberjaya, Palace of Golden Horses serta Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Mines.

  • Polis tahan lelaki tendang pintu surau

    Polis tahan lelaki tendang pintu surau

    POLIS menahan seorang lelaki yang membuat kecoh sehingga mengganggu solat Tarawih di sebuah surau di Kajang, Ahad lalu.

    Perbuatan lelaki bukan Islam itu kerana berang dengan bunyi pembesar suara yang kuat sehingga mengganggunya dan jiran di kawasan terbabit.

    Ketua Polis Kajang, Mohd Zaid Hassan, berkata pihaknya menerima laporan daripada penduduk berhubung satu kes khianat harta benda di surau bawah flat di kawasan Sungai Chua.

    “Suspek disyaki bertindak menendang pintu surau sehingga mengakibatkan kerosakan, kira-kira pukul 9.25 malam.

    “Siasatan mendapati suspek yang tinggal tidak jauh dari surau itu menyatakan rasa tidak puas hati dengan pembesar suara yang kuat sehingga mengganggunya sekeluarga termasuk jiran.

    “Susulan maklumat itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang menahan suspek berusia 46 tahun itu bagi membantu siasatan. Dia dibebaskan dengan jaminan polis pada 10 April,” katanya dalam kenyataan.

    Terdahulu, tular video dalam media sosial yang menunjukkan seorang lelaki mengamuk di surau itu ketika penghuni flat menunaikan solat Tarawih.

    Dalam pada itu, Zaid berkata kedua-dua pihak memberikan kerjasama berkaitan kejadian dan saksi lain turut dipanggil memberi keterangan termasuk tindakan menyebarkan video di media sosial.

    “Kes disiasat bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana membinasakan rumah ibadat dengan niat mengaibkan mana-mana agama. Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali.

    “Siasatan turut dijalankan bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998, kerana menyalahgunakan rangkaian dengan penyebaran video tersebut, dengan niat tidak baik yang mana jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman setahun penjara dan denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya, lapor FMT.

  • Penjawat awam jual air ketum ditahan di kuarters Putrajaya

    Penjawat awam jual air ketum ditahan di kuarters Putrajaya

    SEORANG penjawat awam ditahan kerana disyaki menjual dan mengedar air ketum di Putrajaya semalam.

    Ketua Polis Putrajaya, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, lelaki berusia 36 tahun itu ditahan 12 tengah malam oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah.

    “Suspek ditahan ketika berada di lobi sebuah kuarters penjawat awam di Presint 9 bersama dua botol cecair disyaki air ketum.

    “Susulan itu, lima lagi botol plastik disyaki berisi air ketum dirampas, menjadikan semuanya 10.5 liter.

    “Kami juga mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau membabitkan narkotik dan harta benda,” katanya menurut Utusan Malaysia.

    Asmadi berkata, siasatan awal mendapati suspek mendapat bekalan seminggu sekali daripada pembekal di Kampung Labu Lanjut, Sepang dan menjual pada harga RM18 sebotol.

    Katanya, suspek disyaki menjalankan aktiviti perniagaan air ketum di Putrajaya, dengan pelanggan tetapnya dalam kalangan kenalan.

    Beliau berkata, suspek dibawa ke IPD Putrajaya untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

  • Rekod belum siap, rayuan pembebasan kes pinda laporan audit 1MDB ditangguh

    Rekod belum siap, rayuan pembebasan kes pinda laporan audit 1MDB ditangguh

    RAYUAN pihak pendakwaan terhadap pembebasan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dan bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy, dalam kes laporan audit ditangguhkan kerana rekod rayuan belum siap.

    Peguam Jasmine Cheong, yang mewakili Arul Kanda berkata, pihak pendakwaan belum memfailkan petisyen rayuan kerana Mahkamah Tinggi belum menyusun dokumen yang diperlukan, termasuk nota bukti diambil dalam perbicaraan.

    “Oleh itu, Mahkamah Rayuan menetapkan pengurusan kes kedua pada 26 Mei,” katanya kepada FMT.

    Rayuan itu dikemukakan untuk pengurusan kes pertamanya di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Khairi Haron hari ini.

    Peguam Alaistair Norman mewakili Najib, manakala Timbalan Pendakwa Raya Parveen Hameedah Natchiar mewakili pendakwaan.

    Pihak pendakwaan memfailkan notis rayuannya pada 9 Mac, enam hari selepas hakim perbicaraan Zaini Mazlan membebaskan Najib dan Arul Kanda tanpa dipanggil membela diri.

    Pada 3 Mac, Najib dibebaskan daripada pertuduhan menyalahgunakan kuasa untuk menyebabkan pindaan dibuat kepada laporan audit 1MDB.

    Arul Kanda dibebaskan daripada pertuduhan bersubahat dengan Najib dalam melakukan kesalahan yang didakwa itu.

    Zaini berpendapat pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Najib bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

    Beliau berkata, walaupun empat perkara dikeluarkan daripada laporan audit 1MDB, tiada satu pun daripada perkara itu menimbulkan kemungkinan sebarang prosiding sivil atau jenayah dibawa ke atas Najib.

    Zaini menegaskan bahawa saksi utama pendakwaan, bekas ketua audit negara, Tan Sri Ambrin Buang, bersetuju bahawa beliau tidak ‘dipaksa’ oleh Najib untuk membuat perubahan kepada versi awal laporan yang disediakannya.

    Najib didakwa menyalahgunakan kuasa untuk mendapat kekebalan daripada tindakan undang-undang dan menyebabkan pindaan pada laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentang dalam mesyuarat Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

    Arul Kanda dituduh bersubahat dengannya dalam melakukan kesalahan itu di Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya antara 22 dan 26 Februari 2016.

  • Peniaga kedai makan turut tertekan, rakyat semakin ‘berkira’ ketika berbelanja

    Peniaga kedai makan turut tertekan, rakyat semakin ‘berkira’ ketika berbelanja

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    PENINGKATAN kos sara hidup tinggi dihadapi rakyat ketika ini menyebabkan kedatangan bulan Ramadan pada tahun ini tidak semeriah dahulu.

    Memandangkan kebanyakan barangan keperluan harian mengalami kenaikan harga, maka rata-rata penduduk di Terengganu terpaksa berhati-hati dan ‘berkira’ ketika berbelanja.

    Malah, sejak bermula 1 Ramadan lagi, orang ramai dilihat tidak begitu ghairah untuk berbelanja sama ada di Bazar Ramadan atau pun jualan pakaian hari raya sempena Aidilfitri.

    Perkembangan ini menyebabkan suasana di kebanyakan Bazar Ramadan, Bazar Aidilfitri dan juga pasar raya di negeri ini kelihatan agak suram.

    Kalau pun ada pelanggan, mereka hanya menghabiskan masa dengan meninjau pelbagai menu kuih dan juga barangan yang dijual sementara menunggu masuk waktu berbuka puasa.

    Dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar ini, orang ramai bukan sahaja terpaksa ‘mencatukan’ pembelian makanan dan barangan, sebaliknya mereka kini lebih tertumpu memasak dan berbuka puasa di rumah berbanding di luar.

    Kalau dahulu boleh dikatakan kedai-kedai atau warung makan dinegeri ini terutama di lokasi pelancongan dan tumpuan ramai sentiasa dilimpahi pelanggan setiap kali tiba bulan Ramadan.

    Namun, penulis mendapati suasana tersebut sudah berubah apabila kebanyakan premis kedai makan kelihatan suram tanpa pelanggan tidak seperti dahulu.

    Apa yang menyedihkan ketika penulis ingin berbuka puasa bersama keluarga di Dataran Shahbandar Kuala Terengganu pada minggu lalu mendapati keadaan lot kedai makan di Taman Selera Tanjung yang selama ini merupakan sebuah lokasi popular dan dikunjungi ramai langsung tiada pelanggan.

    Pada mulanya penulis bersama keluarga ingin berbuka puasa dengan membentangkan tikar ditepi muara sungai Terengganu berlatarbelakangkan Jambatan Angkat.

    Bagaimanapun, sewaktu berjalan di pesisir sungai, penulis mendapati kebanyakan kedai makan di Taman selera tersebut masih kosong tanpa pelanggan dan banyak juga yang ditutup.

    Sementara lot-lot perniagaan lain seperti kedai pelbagai dan telefon bimbit juga ditutup sedangkan ia terletak di lokasi pelancongan bersebelahan jalan memasuki ke Jambatan Angkat. Lalu penulis tertanya sendiri kenapa perkara ini boleh berlaku?

    Adakah peniaga di sini mengenakan harga yang tinggi menyebabkan pelanggan berasa serik untuk menikmati hidangan di lokasi ini?

    Ketika membuat pembayaran, penulis mendapati harga yang dikenakan tidaklah mahal dan ia berpatutan di mana nasi goreng hanya RM6 dan kerang bakar RM13.

    Apabila penulis bertanya kepada pemilik kedai makan berkenaan adakah keadaan seperti ini sudah lama dialami.

    Peniaga yang dipanggil Kak Ta itu memberitahu, sejak bermula 1 Ramadan lagi, kedai-kedai di situ sudah ketiadaan pelanggan.

    Kebanyakan kedai di situ hanya dikunjungi dua atau tiga pelanggan sahaja datang berbuka puasa, ada juga yang langsung tiada pelanggan.

    Sebab itulah kata Kak Ta, banyak pemilik kedai makan di situ terpaksa ditutup kerana berada dalam keadaan tertekan.

    Begitulah fenomena baharu yang dialami oleh pemilik kedai makan sama ada restoran atau warung makan di Terengganu sepanjang bulan Ramadan pada tahun ini.

    Penulis mendapati bukan di Taman Selera Tanjung sahaja ketiadaan pelangggan, sebaliknya beberapa lokasi tumpuan lain termasuk di Batu Burok, Padang Negara, Hentian Bas Kuala Terengganu dan Taman Selera Kelulut di Marang juga berhadapan dengan kekurangan pelanggan.

    Ini menyebabkan kebanyakan peniaga, khususnya membabitkan kedai makan kini semakin tertekan manakala orang ramai pula terus berasa bimbang dengan kadar inflasi dan keadaan ekonomi negara sekarang ini.

    Selepas baharu sahaja berbelanja untuk persekolahan anak-anak pada awal Mac lalu, kini mereka terpaksa mencatur pula perbelanjaan untuk sambutan Ramadan dan Syawal.

    Maka itu, ramai menjangkakan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini bakal berlangsung dalam keadaan paling suram dan tidak semeriah sepertimana tahun-tahun sebelum ini
    termasuk ketika rakyat negara ini berada dalam perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan Covid-19 melanda negara.

    Justeru, pemimpin negara sama ada Persekutuan mahupun negeri perlu berganding bahu mencari jalan membantu rakyat, bukan terus ‘berperang’ dengan isu-isu politik memualkan.