Author: Wartawan WartaRakyat

  • Penerbangan sehala KL-Tawau 20 Apr RM5,437, lebih mahal tiket ke Sydney – laporan

    Penerbangan sehala KL-Tawau 20 Apr RM5,437, lebih mahal tiket ke Sydney – laporan

    TIKET penerbangan kelas ekonomi bagi penerbangan sehala dari Kuala Lumpur ke Tawau, Sabah pada 20 April ini menjangkau RM5,437, kata laporan.

    Memetik laporan Berita Harian, harga tiket itu dikenakan sebuah syarikat penerbangan tempatan pada 20 April ini, menjelang Aidilfitri.

    Semakan dibuat portal itu di laman tempahan dalam talian, mendapati harga berkenaan ditetapkan untuk penerbangan pada pukul 8 pagi.

    Lebih melampau, penerbangan itu bukanlah untuk perjalanan tanpa henti, antara kedua-dua destinasi, sebaliknya pesawat akan transit di Kota Kinabalu selama empat jam.

    Biarpun memaparkan beberapa pilihan pada laman sesawang terbabit, kadar tiket paling rendah dikenakan pada tarikh berkenaan adalah berharga RM2,222 iaitu untuk penerbangan tanpa henti pada pukul 9.05 malam.

    Semakan lanjut bagi penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kuching, Sarawak pula, kadar maksimum yang dikenakan untuk tarikh sama adalah pada harga RM3,114 bagi kelas ekonomi, perjalanan sehala pukul 8.55 pagi.

    Tambang paling rendah bagi laluan serupa ditetapkan pada harga RM629 untuk seorang penumpang.

    Kadar tiket yang ditetapkan untuk penerbangan ke Sabah dan Sarawak itu dilihat lebih mahal berbanding tambang tiket sehala dari Kuala Lumpur menuju ke Sydney, Australia.

    Sementara itu, bagi penerbangan ke Sydney untuk tarikh 20 April ini, tambang yang dikenakan ialah pada RM1,835, untuk perjalanan sehala.

    Terdahulu, bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, menerusi ciapan di Twitter mempertikai harga tiket penerbangan menjelang perayaan Aidilfitri terutama dari ibu negara ke Sabah yang disifatkan terlalu mahal dan mengecewakan orang ramai.

    Beliau mendakwa, hasil semakan tiket sehala dari Kuala Lumpur ke Tawau untuk kelas ekonomi untuk penerbangan pada 20 April ini, menjangkau sehingga RM3,138.

    Beliau dilaporkan berkata, syarikat penerbangan tiada alasan untuk tidak menambah kekerapan penerbangan selagi ada kemampuan kerana tiada lagi sekatan had penumpang sebanyak 50 peratus ketika COVID-19 dikenakan.

    Katanya, kekerapan penerbangan juga tidak lagi dikawal oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah atau Sarawak selain wujud syarikat penerbangan tambang murah baharu, MYAirline.

  • Penerbangan sehala KL ke Tawau bukan RM3,138, kata Loke

    Penerbangan sehala KL ke Tawau bukan RM3,138, kata Loke

    MENTERI Pengangkutan Loke Siew Fook menafikan dakwaan Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong bahawa harga tiket penerbangan sehala bagi laluan Kuala Lumpur ke Tawau menjelang Aidilfitri mencecah sehingga RM3,138 untuk kelas ekonomi.

    Menurut Loke, beliau menghubungi Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines Bhd (MAB), Izham Ismail untuk mengesahkan dakwaan itu, dan pihaknya dimaklumkan semua tiket kelas ekonomi untuk penerbangan laluan itu habis dijual pada hari raya.

    Katanya, hanya tiket kelas perniagaan tersedia bagi penerbangan pada 20 April sempena Aidilfitri.

    “Beliau (Izham) juga mengesahkan harga tiket tersebut bukan untuk kelas ekonomi tetapi ialah kelas perniagaan dan harga tiket tersebut ialah RM2,863.40 dan bukannya RM3,138,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

    Sebelum itu, Ka Siong yang juga bekas menteri pengangkutan kecewa kerana harga tiket penerbangan dari ibu negara ke Sabah melambung tinggi pada musim perayaan walaupun sektor penerbangan semakin pulih selepas pandemik Covid-19.

    Beliau berkata, hasil semakannya mendapati tambang sehala bagi laluan dari Kuala Lumpur ke Tawau menjelang Aidilfitri mencecah sehingga RM3,138 untuk kelas ekonomi.

    “Ini amat mengejutkan dan mengecewakan orang ramai. Macam mana keluarga B40 dan M40 khususnya warga Tawau di perantauan nak balik beraya tahun ini?,” kata Wee di Facebook.

    Sementara itu Loke berkata dakwaan itu perlu diperbetulkan dan beliau akan menjelaskan mengenai isu tambahan kapasiti penerbangan pada musim Aidilfitri di kementeriannya di Putrajaya, 12 tengah hari esok.

    “Ini fakta yang perlu diperbetulkan. Sebagai mantan menteri pengangkutan, saya yakin Wee faham perbezaan antara tiket kelas perniagaan dan kelas ekonomi.

    “Namun begitu, saya mengucapkan terima kasih kepada beliau di atas keprihatinan terhadap isu tiket penerbangan yang tinggi dan pandangan mengenai tambahan kapasiti,” tambahnya.

  • Anggota polis URB putus kaki rempuh Jeep dipandu lelaki disyaki mabuk

    Anggota polis URB putus kaki rempuh Jeep dipandu lelaki disyaki mabuk

    SEORANG anggota polis Unit Rondaan Bermotosikal (URB) putus kaki kanan apabila motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan di Jalan Lintas, berhadapan City Mall, di Kota Kinabalu, Sabah, semalam.

    Mangsa berpangkat Koperal berusia 35 tahun itu bertugas di bahagian URB Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, dalam perjalanan ke tempat kerja, kira-kira pukul 9.30 malam.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah, berdasarkan saksi kejadian, pemandu kenderaan jenis Jeep dikatakan dilihat membuat pusingan U di tempat yang salah.

    Beliau berkata, saksi kejadian telah membunyikan hon untuk memberi amaran kepada pemandu namun kenderaan itu telah masuk ke laluan sebelah.

    “Mangsa yang menunggang motosikal datang dari arah Kolombong ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) sedang bergerak lurus tidak sempat mengelak menyebabkan berlaku perlanggaran dengan kenderaan Jeep berkenaan.

    “Akibat daripada pelanggaran itu, mangsa putus kaki kanan sehingga bahagian betis akibat terkena pada besi hadapan kenderaan berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Mohd Zaidi berkata, mangsa diberi rawatan awal oleh pihak ambulans di lokasi sebelum dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk rawatan lanjut.

    “Pemandu kereta Jeep tidak cedera dan disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol.

    “Bagaimanapun siasatan masih diteruskan dan sampel darah pemandu Jeep diambil di HQE II dan akan dihantar ke Jabatan Kimia Kota Kinabalu untuk dianalisa kandungan alkohol dan dadah dalam darahnya,” katanya.

    Sementara itu, Mohd Zaidi berkata, kenderaan Jeep itu turut ditahan untuk pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya menurut laporan Berita Harian.

  • FSA2 KWSP hanya bantu T20 dan M40 yang tiada masalah kewangan, kata PGIRM

    FSA2 KWSP hanya bantu T20 dan M40 yang tiada masalah kewangan, kata PGIRM

    INISIATIF kerajaan menawarkan pinjaman di bawah Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) didakwa tidak membantu golongan terkesan keluar daripada beban kewangan ketika ini.

    Menurut Presiden Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM) Azmi Mohd Tahir, kebanyakan individu yang memerlukan pengeluaran KWSP sudah disenarai hitam oleh institusi kewangan di negara ini.

    Malah katanya, ada antara mereka disenaraikan dalam Pusat Sistem Maklumat Rujukan Kredit (CCRIS) dan CTOS.

    “FSA2 itu hanya menyasarkan golongan T20 dan M40 yang tidak terkesan kerana jika mereka terkesan, sudah tentu tidak layak memohon disebabkan nama sudah disenarai hitam.

    “Peminjam yang memohon FSA2 pastinya mempunyai simpanan Akaun 2 mencukupi dan pinjaman dibuat bertujuan menambah modal perniagaan atau sebagainya.

    “Jadi mereka tidak berdepan masalah dan mempunyai kemampuan untuk membayar balik pinjaman,” katanya menurut laporan Harian Metro.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan bahawa peminjam FSA2 yang gagal membayar balik pinjaman mengikut tempoh ditetapkan berdepan risiko disenarai hitam.

    Ahmad dilaporkan berkata, nama peminjam juga berisiko disenaraikan dalam CCRIS dan CTOS dengan pengeluaran caruman KWSP untuk membayar baki pinjaman hanya boleh dibuat apabila usia pencarum mencapai 50 tahun.

    Mengulas lanjut Azmi berkata, inisiatif ditawarkan kerajaan itu hanya membantu peminjam yang nama ‘bersih’ dan tiada isu gagal membayar hutang pinjaman perbankan sebelum ini.

    “Sebab itu PGIRM mendesak kerajaan membenarkan pengeluaran KWSP kecemasan kepada pencarum yang terkesan dengan beban hutang untuk diselesaikan demi kelangsungan hidup mereka,” katanya.

    Sebelum ini KWSP mengumumkan kemudahan FSA2 bagi ahli yang mempunyai baki minimum RM3,000 dalam Akaun 2 masing-masing.

    FSA2 dijalankan dalam dua fasa dan ahli yang memenuhi kriteria kelayakan boleh memohon melalui bank yang mengambil bahagian, iaitu MBSB Bank dan Bank Simpanan Nasional (BSN).

  • Kebakaran pangsapuri di Dubai: 16 penghuni maut, 9 cedera

    Kebakaran pangsapuri di Dubai: 16 penghuni maut, 9 cedera

    SEKURANG-kurangnya 16 penghuni maut manakala sembilan yang lain cedera dalam kebakaran sebuah bangunan kediaman di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), semalam.

    Lapor AFP, kebakaran berlaku pada tengah hari Sabtu di tingkat empat pangsapuri di taman perumahan Al-Ras di bandar pelabuhan berkenaan.

    Pasukan pertahanan awam dalam satu kenyataan yang dipetik oleh media UAE berkata, siasatan awal menunjukkan kebakaran berpunca daripada “kekurangan pematuhan terhadap keperluan keselamatan dan keselamatan bangunan”.

    Identiti dan warganegara mangsa terbabit masih belum didedahkan.

    Dubai mempunyai penduduk sekitar 3.3 juta, di mana hampir 90 peratus adalah warga asing.

    Bandar ini pernah mengalami kebakaran dahsyat yang menyebabkan kerosakan besar namun jumlah mangsa yang terkorban tidak ramai.

    Pada 2017, pihak berkuasa mengumumkan penggunaan peraturan bangunan yang lebih ketat untuk meminimumkan risiko kebakaran, yang dikaitkan terutamanya dengan bahan mudah terbakar yang digunakan dalam pelapisan luar bangunan.

  • Bekas ahli parlimen India, abang ditembak mati ketika siaran langsung TV

    Bekas ahli parlimen India, abang ditembak mati ketika siaran langsung TV

    BEKAS ahli Parlimen India yang disabitkan dengan kesalahan menculik ditembak mati bersama abangnya ketika siaran langsung di televisyen.

    Dalam kejadian di Prayagraj, yang juga dikenali sebagai Allahabad di Uttar Pradesh malam tadi, Atiq Ahmed, yang diiring polis, sedang bercakap dengan beberapa wartawan sebelum tembakan dilepaskan penyerang ke arah kepalanya dari jarak dekat.

    Lapor BBC, susulan serangan itu, tiga suspek lelaki yang menyamar sebagai wartawan kemudian menyerah diri dan ditahan.

    Anak lelaki Atiq, Asad sebelum ini maut ditembak polis awal minggu ini dalam insiden tembak-menembak.

    Bekas ahli Parlimen itu sebelum ini mendakwa terdapat ancaman terhadap nyawanya sendiri daripada pihak polis.

    Rakaman video tular kejadian itu menunjukkan Atiq dan abangnya Ashraf dalam keadaan tangan mereka bergari menjawab soalan media semasa dalam perjalanan untuk pemeriksaan kesihatan di hospital berhampiran beberapa saat sebelum mereka berdua ditembak.

    Dalam rakaman itu, Atiq ditanya sama ada dia menghadiri pengebumian anaknya, dan kata-kata terakhirnya: “Mereka tidak bawa kami, jadi kami tidak pergi.”

    Menurut polis, ketiga-tiga suspek datang ke lokasi kejadian menaiki motosikal.

    Seorang wartawan dan anggota polis turut cedera dalam kejadian itu.

    Susulan kejadian itu, Ketua Menteri Yogi Adityanath mengarahkan siasatan terhadap pembunuhan itu dan melarang perhimpunan beramai-ramai di daerah Uttar Pradesh.

    Atiq, yang merupakan bekas ahli parlimen, dan abangnya berada dalam tahanan polis dan dibawa ke Prayagraj di Uttar Pradesh, di mana Atiq menghadapi tuduhan pembunuhan dan serangan.

    Dia dipenjarakan pada 2019 selepas disabitkan kesalahan menculik.

    Lebih 180 orang yang menghadapi pelbagai pertuduhan telah dibunuh oleh polis di Uttar Pradesh dalam tempoh enam tahun lalu.

    Aktivis hak asasi manusia menuduh polis melakukan pembunuhan secara semberono, tuduhan yang dinafikan kerajaan negeri itu.

  • Pekerja sambilan agensi kerajaan mengaku tak salah hantar komunikasi lucah

    Pekerja sambilan agensi kerajaan mengaku tak salah hantar komunikasi lucah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG pekerja sambilan sebuah agensi kerajaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini atas pertuduhan menghantar komunikasi lucah dengan niat menyakitkan hati orang lain, dua tahun lalu.

    Tertuduh, Muhammad Zakir Ramli, 29 membuat pengakuan tersebut sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di depan Hakim, Jean Sharmila Jesudason.

    Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi berupa gambar lucah kepada seorang individu dengan niat untuk menyakitkan hati.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan dengan menggunakan aplikasi Whatsapp antara 7.30 pagi, 20 Mei 2021 hingga 3.02 pagi, 28 Mei 2021.

    Mesej itu kemudiannya telah dilihat individu berkenaan kira-kira pukul 12.11 tengah hari, 28 Mei 2021 di sebuah syarikat di Jalan Bukit Wang, Kampung Padang Panjang, Jitra.

    Difahamkan mangsa merupakan seorang wanita berusia 29 tahun yang turut mempunyai hubungan persaudaraan dengan tertuduh.

    Pertuduhan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Nazrul Nizam Mohd. Zameri mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) Akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksium RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.

    Terdahulu pihak pendakwaan mencadangkan agar mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin.

    Tertuduh bagaimanapun merayu agar jumlah itu dikurangkan kerana pendapatan bulanannya selaku pekerja sambilan hanyalah sebanyak RM1,400 selain perlu menyara isteri dan seorang anak.

    Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM800 dengan seorang penjamin selain menetapkan 22 Mei depan sebagai tarikh serahan dokumen dan lantikan peguam.

  • Bapa tak sangka keluarkan anak sendiri, anak jiran dari dasar sungai

    Bapa tak sangka keluarkan anak sendiri, anak jiran dari dasar sungai

    BAPA kepada seorang daripada dua kanak-kanak yang lemas di Sungai Pulau Jering di Segamat Johor kelmarin tidak menyangka mengeluarkan mayat anak sendiri dan anak jirannya dari dasar sungai berkenaan.

    Menurut Hermee Latim, 47, dia secara kebetulan melalui jalan di sungai berkenaan kira-kira pukul 5.30 petang.

    “Saya melalui kawasan itu dan anak kedua saya, Ahmad Aidil Kuyom, 10, yang turut berada di tebing sungai berkenaan memaklumkan kejadian itu.

    “Dia mengatakan abangnya bersama seorang rakan hilang dalam sungai tersebut. Saya tidak mengesyaki sesuatu yang buruk pada awalnya.

    “Namun saya mulai mengesyaki sesuatu yang buruk menimpa anak dan anak jiran saya apabila mereka tidak kelihatan di permukaan sungai.

    “Saya terus terjun ke dalam sungai untuk mendapatkan mereka berdua,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

    Dalam kejadian pukul 5.15 petang kelmarin, Ahmad Muhammad Hermee, 12, anak sulung daripada empat beradik dan Muhammad Khalifi Kamaruzaman, 13, anak sulung daripada dua beradik, lemas semasa mandi di Sungai Pulau Jering, Kampung Bukit Tunggal di Segamat.

    Mengulas lanjut, Hermee berkata, sebaik berjaya dikeluarkan dari dasar sungai mendapati kedua-duanya tidak sedarkan diri dan keadaan itu membuatkannya terduduk dan hampir pitam.

    “Tak sangka sama sekali saya sendiri ditakdirkan mengeluarkan anak saya dan anak jiran dari dasar sungai tersebut,” katanya.

    Menurutnya, kedua-duanya kemudian dibawa ke klinik swasta berhampiran sebelum disahkan meninggal dunia.

    Hermee yang masih trauma dengan kejadian tersebut, reda dengan ujian berat itu namun merasakan hikmah tersirat di sebalik anak dan anak jirannya kembali kepada pencipta-Nya pada Jumaat malah dalam Ramadan.

    Katanya, jenazah kedua-duanya dikebumikan dalam satu liang lahad selepas solat zuhur, semalam.

    Sementara itu, suasana sedih menyelubungi kawasan Tanah Wakaf Perkuburan Islam di Kampung Bukit Tunggal semasa upacara pengkebumian dua kanak-kanak berkenaan.

    Terdahulu, jenazah tiba dari Jabatan Forensik Hospital Daerah Segamat (HDS) selepas menjalani proses bedah siasat pada pukul 12.45 tengah hari sebelum solat jenazah di rumah keluarga mangsa.

    Kira-kira 250 penduduk kampung termasuk saudara mara dan kenalan hadir pada pengebumian berkenaan untuk memberi penghormatan terakhir kepada mangsa.

  • Najib tidak akan kembalikan zaman kegemilangan UMNO, kata Kit Siang

    Najib tidak akan kembalikan zaman kegemilangan UMNO, kata Kit Siang

    PEMIMPIN veteran DAP Lim Kit Siang tidak percaya bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak akan dapat mengembalikan zaman kegemilangan UMNO selepas kekalahan parti itu dalam dua pilihan raya lalu.

    Kit Siang sebaliknya percaya satu-satunya cara untuk memulihkan UMNO ke zaman kegemilangannya ialah parti itu kembali kepada prinsip dan dasar asal pembinaan negara.

    “Ada pihak yang percaya bahawa cara untuk UMNO mendapatkan semula sokongan pilihan raya dahulu adalah dengan mendapatkan pengampunan untuk Najib,” katanya menurut laporan Malaysiakini.

    Menurut Kit Siang, dia tidak bersetuju dengan pendapat sedemikian kerana jika ia berlaku, UMNO tidak akan mempelajari daripada kesilapannya pada PRU14 dan PRU15.

    “Saya percaya satu-satunya cara untuk memulihkan UMNO sebagai parti politik terkemuka ialah memainkan peranan utama dalam menetapkan semula dan mengembalikan Malaysia kepada prinsip dan dasar pembinaan negara asal untuk negara majmuk, yang mendapat sokongan empat presiden UMNO terawal iaitu Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Razak Hussein dan Hussein Onn.

    “Ini termasuk mengetuai usaha memerangi rasuah di Malaysia dan memulihkan kebebasan kehakiman,” kata Kit Siang pada satu kenyataan hari ini.

    Beliau menegaskan ketika UMNO mula kehilangan sokongan rakyat pada PRU14 dan kemudiannya ditolak pengundi Melayu pada PRU15, menyebabkan parti itu ketinggalan di belakang PAS dan Bersatu.

    Kenyataan Lim itu dibuat selepas Ahli Majlis Tertinggi UMNO Puad Zarkashi berkata pemimpin PH termasuk Lim dan Hassan Karim takut kemungkinan Najib keluar dari penjara.

    Jelas Puad, ini kerana UMNO akan bertambah kuat melalui gabungan teraju kepimpinan Najib-Ahmad Zahid Hamidi.

    Kedua-dua Lim dan Hassan sebelum ini menyuarakan bantahan mereka terhadap pengampunan diraja kepada Najib, yang kini menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana rasuah dalam kes SRC International.

    Semalam, Lim memberi amaran bahawa pentadbiran Anwar Ibrahim boleh runtuh sekiranya Najib diberikan pengampunan diraja, manakala Hassan sebelum ini berkata kerajaan akan berdepan dengan masalah besar jika Najib diberi pengampunan diraja.

  • Isu pekerja asing: SPRM ambil keterangan Sivakumar

    Isu pekerja asing: SPRM ambil keterangan Sivakumar

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilapor mengambil keterangan Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar, berhubung siasatan kes rasuah mengenai pengambilan pekerja asing, hari ini.

    Memetik laporan Berita Harian yang memetik sumber, Ahli Parlimen Batu Gajah itu hadir memberi keterangan pada pukul 10 pagi tadi.

    Bagaimanapun, sumber sama enggan memaklumkan lokasi di mana Sivakumar hadir untuk diambil keterangan.

    “Beliau hadir untuk memberi keterangan,” katanya menurut laporan itu.

    Sementara itu, usaha mendapatkan pengesahan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, belum berhasil.

    Kelmarin, SPRM menahan Setiausaha Sulit kepada Sivakumar bagi membantu siasatan kes pengambilan pekerja asing.

    Penahanan itu dibuat selepas seorang pegawai tugas-tugas khas kepada menteri berkenaan direman Khamis lalu.

    Media sebelum ini melaporkan, Sivakumar dan kementeriannya akan memberi kerjasama penuh kepada SPRM berhubung penahanan seorang pegawai di pejabat menteri itu bersabit isu membawa masuk pekerja asing.