Author: Wartawan WartaRakyat

  • Polis nafi klip video tular kedai mercun meletup di Alor Setar

    Polis nafi klip video tular kedai mercun meletup di Alor Setar

    Oleh RIZQI ZABIDI

    TINDAKAN pihak tertentu menularkan berita palsu kononnya berlaku letupan kedai jual mercun menerusi klip video dimuat naik di aplikasi Tik Tok semalam mendorong pihak polis membuka kertas siasatan berhubung perkara itu.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Kominisioner Ahmad Shukri Mat Akhir, satu laporan polis dibuat berhubung penyebaran klip video berkenaan kira-kira pukul 11.30 malam tadi.

    Katanya, laporan itu dibuat bagi menafikan bahawa kejadian itu berlaku di Alor Setar.

    “Kejadian itu sebaliknya berlaku di kawasan lain iaitu di kawasan pentadbiran Balai Polis Bahau, Negeri Sembilan,” katanya.

    Difahamkan kejadian letupan itu berlaku beberapa tahun lalu di Bahau, Negeri Sembilan.

    Ahmad Shukri menambah, siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia.

    “Jika sabit kesalahan, mereka yang terlibat boleh dihukum penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

    “Mereka juga boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

    Tambahnya, orang awam dinasihati agar tidak sewenang-wenangnya menularkan berita palsu yang akan menyebabkan ketakutan dan rasa gentar terhadap masyarakat.

  • Anwar akan berdepan Tun M di mahkamah

    Anwar akan berdepan Tun M di mahkamah

    TUN Dr. Mahathir Mohamad akan meneruskan tindakan undang-undang terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung dakwaan menuduh bekas perdana menteri itu mengumpul kekayaan peribadi semasa berkuasa.

    “Tun (Mahathir) telah mengarahkan kami untuk meneruskan tindakan di mahkamah. Ini membuktikan bahawa Anwar tidak memohon maaf atau menarik balik kenyataannya.

    “Bagi Tun, ia adalah pembohongan oleh perdana menteri,” kata peguam Mahathir, Muhammad Rafique Rashid Ali, dalam mesej teks kepada Malaysiakini.

    Surat bertarikh hari ini dan dihantar peguam Anwar, Aliff Benhamin Suhaimi, menyatakan Anwar menafikan semua dakwaan Mahathir.

    “Untuk makluman, kami telah diarahkan oleh anak guam kami untuk menafikan semua dakwaan dan kandungan dalam surat anda.

    “Dalam hal ini, anak guam kami bersedia untuk menjawab sebarang dakwaan jika ada di mahkamah dan bukan melalui surat-menyurat jika anak guam anda mahu meneruskan tindakan undang-undang,” kata surat itu.

    Mahathir menghantar surat tuntutan kepada Anwar pada 27 Mac, menuntut pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu menarik balik dakwaan yang dibuat semasa ucapan dasar pada Kongres Nasional Khas PKR 2023, pada 18 Mac.

    Sekiranya Anwar gagal menjawab surat itu, Mahathir akan meneruskan tindakan undang-undang.

    Tarikh akhir Anwar untuk menjawab surat undang-undang Mahathir ialah 3 April, tetapi ditangguhkan ke hari ini selepas peguam Anwar meminta dilanjutkan.

    Anwar tidak menyebut nama Mahathir tetapi merujuk tempoh pemerintahannya dengan berkata: “Ada orang sekarang, setelah 22 tahun, campur 22 bulan jadi berkuasa, sekarang mengeluh.”

    “Melayu hilang segala-galanya? Hilang harta, hilang saham. Bagaimana saja hilang kalau kamu bolot untuk keluarga dan anak-anak kamu?

    “Sekarang bila hilang kuasa, bicara soal rakyat. Jangan perbodohkan rakyat. Rakyat harus bangkit mempertahankan hak mereka.

    “Kumpulkan.. tonton… Tan Sri-Tan Sri, tauke-tauke besar, berapa kerap orang sekarang merencana untuk mengugat dan menggunakan sentimen kaum, mengajak orang-orang Melayu membenci kepada kaum-kaum lain dan menyatakan kuasa hilang,” dakwa Anwar.

    Mahathir mendakwa ini adalah rujukan yang jelas kepadanya kerana laporan media mengenai ucapan itu menyebut namanya.

    Pada 7 April, Anwar berkata beliau tidak ragu-ragu untuk memberikan bukti kepada Mahathir untuk menyokong dakwaannya.

    “Saya tak nak gaduh, dia minta bukti saya bagi bukti no problem,” kata Anwar semasa sesi dialog bersama pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM).

    Pada majlis yang sama, Anwar juga telah membidas Mahathir, dengan menyatakan bahawa walaupun tadbir urus Mahathir mempunyai kekuatan, beliau juga telah menyebabkan banyak kerosakan.

  • Pas ucap takziah adik Nik Aziz meninggal dunia

    Pas ucap takziah adik Nik Aziz meninggal dunia

    PAS mengucapkan takziah kepada Nik Razi Nik Mat, adik bongsu bekas Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz yang meninggal dunia pagi ini.

    Parti tersebut mengucapkan takziah kepada keluarga besar Nik Aziz tersebut yang disifatkan satu kehilangan besar.

    Ketua Penerangan Pas, Khairil Nizam Khirudin berkata, allahyarham berjasa besar di medan dakwah.

    “Sesungguhnya kita semua milik Allah dan kepada-Nya kita semua kembali.

    “Semoga roh Almarhum Tuan Guru Nik Razi dirahmati Allah dan ditempatkan bersama orang yang soleh. Amin,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

    Kerajaan negeri Kelantan juga menzahirkan ucapan takziah kepada anggota keluarga Nik Razi melalui media sosial menteri besarnya.

    “Almarhum yang juga adinda kepada almarhum Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memberi sumbangan yang begitu besar khususnya dalam bidang dakwah dan pendidikan kepada masyarakat.

    “Semoga Allah SWT membalas segala jasa yang dicurahkan, mengampunkan dan merahmatinya di sisi para solihin,” katanya, lapor MalaysiaKini.

    Anak Nik Aziz, Nik Abduh berkata, solat jenazah akan diadakan selepas solat Asar petang ini di masjid Tok Guru di Pulau Melaka.

    Nik Razi yang juga tokoh ulama Kelantan dilapor meninggal dunia selepas diuji sakit dan terlantar hampir empat bulan.

  • Kes 1MDB Najib: Dana fidusiari disalah guna – Saksi

    Kes 1MDB Najib: Dana fidusiari disalah guna – Saksi

    MAHKAMAH Tinggi di Kuala Lumpur hari ini diberitahu oleh bekas Ketua Perkhidmatan Pengurusan Dana Bank BSI (Singapura) bahawa dana fidusiari disalah guna oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan syarikat berkaitan.

    Saksi pendakwaan ke-44, Kevin Michael Swampillai berkata demikian semasa soal balas oleh peguam utama Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB, membabitkan bekas Perdana Menteri itu.

    Kevin, 59, berkata ya, apabila Muhammad Shafee mencadangkan bahawa pada asasnya, dana fidusiari boleh digunakan atau disalahgunakan dengan betul.

    “Dana fidusiari merupakan ciri biasa dalam perbankan, tetapi ia juga bergantung pada cara dana itu distrukturkan.

    “Timbul satu ‘perasaan’ di kalangan beberapa rakan sekerja saya, bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan wang itu, mungkin juga ia telah dimasukkan ke dalam ‘poket’ orang lain dan itulah yang berlaku,” kata saksi itu.

    Dalam pada itu, Kevin berkata, Bank BSI tidak memfailkan laporan transaksi mencurigakan kepada polis republik itu meskipun urus niaga dana fidusiari berskala besar disalah guna oleh syarikat pelaburan strategik negara ini.

    Menurutnya, urus niaga 1MDB serta syarikat-syarikat yang berkaitan dengannya menimbulkan tanda-tanda amaran atau ‘red flag’ kerana ia melibatkan individu yang terdedah secara politik di Malaysia.

    “Kebiasaannya kerajaan terlibat memilih bank komersial atau bank pelaburan bagi urus niaga fidusiari, bukan bank yang lebih kecil secara relatif.

    “Bank BSI tidak memfailkan laporan tersebut kerana isu berkaitan tanda amaran tidak dibangkitkan oleh lembaga pengarah 1MDB,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Sementara itu, Muhammad Shafee menyoal saksi terbabit berhubung bayaran yang dibuat oleh 1MDB kepada pihak bank Singapura tersebut.

    Bekas pegawai bank itu berkata, bank berkenaan memperoleh sekitar AS$250 juta dan ia tidak termasuk bayaran yang dibuat oleh ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dan keluarganya.

    Beliau berkata, 1MDB dan syarikat berkaitan menyumbang kira-kira 10 peratus kepada pendapatan bank.

    Dalam prosiding lalu, Kevin memberitahu mahkamah bahawa beliau menganggap Najib mengetahui urus niaga dana fidusiari oleh 1MDB dan tiga syarikat berkaitan membabitkan pindahan wang dalam jumlah yang besar kepada pelbagai penerima.

    Melalui urus niaga dana fidusiari itu katanya, sejumlah besar wang yang dipindahkan tidak diletakkan dalam deposit, sebaliknya disalurkan kepada pelbagai penerima yang tidak diketahui identitinya.

    Najib, 70, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

    Bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini di antara 24 Februari 2011 dengan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram di antara 22 Mac 2013 dengan 30 Ogos 2013, di lokasi sama.

    Beliau didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

    Bekas Menteri Kewangan itu berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

    Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama, antara 22 Mac 2013 dengan 30 Ogos 2013.

    Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

  • Syarikat peruncitan mengaku tidak bersalah jual telur lebih harga maksimum

    Syarikat peruncitan mengaku tidak bersalah jual telur lebih harga maksimum

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEBUAH syarikat peruncitan didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas atas pertuduhan, menjual telur melebihi harga maksimum yang telah ditetapkan di Bandar Dato Onn, pada 2 Januari lalu.

    Pengarah syarikat berkenaan iaitu seorang wanita berusia 26 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

    Mengikut kertas pertuduhan, rangkaian kedai runcit milik syarikat terbabit menjual barangan harga terkawal iaitu telur ayam gred B dengan harga 70 sen sebiji.

    Nilai itu melebihi harga maksimum runcit yang ditentukan dalam Jadual Ketiga (Perenggan 4) Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum) iaitu 43 sen sebiji.

    Kesalahan dilakukan di premis Kumpulan Usaha Keluarga Jaya Sdn. Bhd. di 44, Jalan Perjiranan 2, Bandar Dato Onn, Johor Bahru pukul 11.30 pagi, 2 Januari lalu mengikut Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 18 (a) akta sama.

    Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM500,000 dan bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya boleh didenda tidak melebihi RM1 juta.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN), Muhamad Sabiq Muhamad Subri dan Raja Nor Iklas Raja Ariff, manakala syarikat berkenaan diwakili peguam Farah Wahidah Mohd. Sharip.

    Mahkamah menetapkan 18 Mei ini sebagai tarikh serahan dokumen.

  • Rosmah ikrar lawan saman syarikat pemborong barang kemas

    Rosmah ikrar lawan saman syarikat pemborong barang kemas

    DATIN Seri Rosmah Mansor berikrar untuk membela diri terhadap saman yang difailkan oleh syarikat pemborong barang kemas Lubnan Global Royalty Trading SAL berhubung 43 barang kemas yang hilang.

    Isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu nekad berbuat demikian melalui firma guaman Reza Rahim & Rajivan.

    Menurut firma guaman berkenaan: “Anak guam kami akan menentang dan mempertahankan saman yang difailkan terhadapnya dengan bersungguh-sungguh.”

    Firma itu menambah Rosmah masih belum diserahkan writ dan pernyataan tuntutan berhubung perkara ini.

    Pada ketika ini, firma itu berkata anak guamnya juga menyatakan bahawa saman yang sama sebelum ini difailkan oleh syarikat yang sama dan ditarik balik dalam perbicaraan di hadapan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

    Sambil memberi amaran kepada semua pihak agar tidak membuat kenyataan spekulatif mengenai perkara itu, firma itu menyatakan bahawa ia boleh dianggap sebagai sub-judis prosiding undang-undang atau memfitnah Rosmah.

    Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan bahawa syarikat yang berpangkalan di Beirut itu telah memfailkan semula saman itu dengan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melalui firma guaman Tetuan David Gurupatham dan Koay.

    Dalam saman asalnya, Global Royalty mendakwa pada 10 Februari 2018, menghantar 44 barang kemas, termasuk rantai berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara, masing-masing bernilai antara AS$124,000 (RM519,183) dan AS$925,000 (RM3. 8 juta) kepada defendan, diserahkan sendiri melalui dua ejennya.

    Syarikat itu berkata, Rosmah telah mengakui penerimaan barang tersebut.

    Syarikat itu juga mendakwa Rosmah, menerusi surat bertarikh 22 Mei 2018, turut mengesahkan dan mengakui penerimaan barang kemas berkenaan tetapi menyatakan kesemua barangan itu tidak lagi berada dalam simpanannya kerana dirampas dan diletakkan di bawah jagaan pihak berkuasa.

    Sebelum ini, Global Royalty menyatakan bahawa wakilnya, yang memeriksa barang rampasan dari 25 Oktober hingga 3 November 2021, hanya menemui satu gelang berlian daripada 44 barang milik firma itu.

    Dalam pernyataan tuntutan terbarunya, Global Royalty menuduh Rosmah berbohong bahawa 43 barang berharga itu adalah di bawah jagaan pihak polis.

    Ini adalah antara barang yang dirampas pada Mei 2018 daripada kediaman yang dikaitkan dengan Najib semasa siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

  • Misi ‘luar tabii’ mahukan Sanusi ‘mati’ dengan apa cara pun

    Misi ‘luar tabii’ mahukan Sanusi ‘mati’ dengan apa cara pun

    Oleh HAMIMI TAIB AZAMUDDEN

    SEBULAN dua ini, semua muncung senjata dihalakan kepada satu susuk tubuh di utara Semenanjung.

    Bukan satu atau dua senjata, tapi semua senjata yang ada di atas muka bumi. Saya ulanggg. Ya! Semuanya!!!

    Daripada jarum peniti yang halus, sampailah kepada peluru berpandu yang hebat dan dahsyat. Daripada askar prebet, sampailah kepada

    Jeneral yang tertinggi. Semuanya ditugaskan untuk menyerang seorang manusia. Pagi petang siang malam, ‘with what ever cost’.

    Seolah-olah ada arahan daripada Sang Jeneral, pastikan manusia bernama Sanusi itu ‘mati’ dengan apa jua senjata dan cara. Beritahu sahaja berapa banyak yang diperlukan, semua kos itu akan ditanggung. Yang penting, Sanusi itu mesti ‘dimatikan’ dari politik.

    Maka digunakan semua saluran secara rasmi atau tidak rasmi, dalam mesyuarat dan luar mesyuarat, bertulis dan tidak bertulis, termasuk uba menggunakan ‘pagar kuning’ untuk ‘membunuh’ Dato’ Seri (DS) Sanusi.

    Persoalannya, kenapa DS Sanusi? Kenapa tidak yang lain?

    Ada 3 andaian jawapan.

    Pertama:

    Kerana DS Sanusi dianggap titik penghalang yang menyekat kemaraan mereka untuk mencapai cita-cita politik luar tabii yang makin menggila.

    Kepimpinannya sebagai Panglima Perang yang mengemudi pasukan telah berjaya mencetuskan gelombang sokongan yang amat-amat hebat dan dahsyat. Gelombang itu pula diterjemahkan dengan jumlah puluhan ribu majoriti undi di negeri yang dikepalainya.

    Sokongan masyarakat khususnya anak muda yang bertali arus tak pernah sedikitpun berkurangan. Bahkan ada lawan yang kini menjadi kawan dan mempertahankan beliau dan perjuangan beliau di dalam lapangan maya.

    Pergilah ke mana sahaja, kehadirannya pasti akan mendapat minat dan perhatian anak muda. Daripada yang pakai seluar pendek, sampailah yang berserban. Daripada yang ‘free hair’, sampailah kepada yang bertudung litup berpurdah.

    Daripada acara sukan atas padang bola, padang ragbi, gelanggang badminton, sampailah kepada acara-acara rasmi bersama para pegawai dan kakitangan kerajaan, semuanya memberikan sokongan dan minat yang amat-amat hebat dan dahsyat!

    Sebelum ini, pihak lawan tak pernah sangka manusia bernama Sanusi ini akan jadi fenomena. Maklumlah, kononnya budak kampung, pak lebai, tak reti apa.

    Tapi bila dilantik menjadi MB, rupa-rupanya andaian lawan itu semua meleset. Keupayaan DS Sanusi mengemudi sebuah Kerajaan Negeri dan memimpin pasukan tentera, diakui semua pihak.

    Sehinggakan banyak komen-komen di dalam media maya minta supaya MB di negeri mereka juga kena jadi macam DS Sanusi. Bahkan, kalau boleh, mereka mahu DS Sanusi itu dilantik jadi PM! Sampai tara tu!

    Ertinya, kalau mereka mahu kekal berkuasa, terus menjadi PM, menang dalam PRN akan datang, titik penghalang ini mesti dimatikan. Jika tidak, kesemua impian politik luar tabii mereka itu akan musnah berkecai menjadi debu yang berterbangan.

    Kedua:

    Kerana DS Sanusi mempunyai ‘political will’ yang tinggi untuk membangunkan empayar ekonomi baru dan menjadikan Kedah sebagai negeri

    tempat pemusatan kuasa ekonomi tanah Semenanjung.

    Kesemua projek-projek mega yang dirancang sebelum ini, diteruskan oleh DS Sanusi. Bahkan, diusahakannya bersungguh-sungguh sampai dapat.

    Buat sampai jadi. Lawan sampai menang. Itu prinsip hidup DS Sanusi.

    Dengan kedudukan Kedah yang amat strategik di utara Semenanjung, berada di sempadan Malaysia-Thailand, mempunyai gunung dan laut, ada hutan tadahan hujan yang besar, ada 3 empangan utama, memiliki tanah yang kaya dengan hasil mahsul bumi (termasuk REE), semua ini menjadikan Kedah sebagai satu negeri yang amat berpotensi dari sudut sosio ekonomi dan geopolitik.

    Selain daripada projek Kedah Rubber City (KRC), projek Kedah Science And Technology Park (KSTP) di Bukit Kayu Hitam, Projek KXP atau nama barunya Kedah Aerotropolis, merupakan projek mega yang dikenali sebagai ‘Economic Game Changer’ bagi Negeri Kedah.

    Difahamkan, Kedah Aerotropolis mengandungi 4 komponen utama; Lapangan Terbang, Sidam Logistic dan Manufacturing Hub (SLAM), Nother Corridor Highway (NCH) – lebuh raya baru dari Bandar Bharu ke lapangan terbang ke Sungai Petani, dan landasan keretapi baru yang menghubungkan Tasek Gelugor ke lapangan terbang, dan lapangan terbang ke Sungai Petani.

    Sebelum ini, hasil mahsul dari Negeri Kedah diambil dan dihantar ke tempat lain. Kemudian, ianya dijual kembali kepada Kedah dengan harga yang tinggi. Sedangkan punca asalnya dari tanah Negeri Kedah, tetapi nikmatnya disedut oleh pihak lain kerana kekurangan kemudahan dan peralatan.

    Kita letih tanam benih, tapi orang lain menuai dan menikmati hasil. Keadaan ini menjadikan Kedah sebagai negeri yang berada pada kedudukan kedua paling rendah dalam ukuran KDNK (Keluaran Dalam Negeri Kasar).

    Dengan terlaksananya semua projek yang disebut sebelum ini, maka banyak hasil mahsul Negeri Kedah dapat diproses dan dijual kepada pihaklain. Pendapatan negeri akan meningkat. Rakyat Kedah akan banyak dapat bekerja dalam negeri sendiri.

    Kepakaran-keparan luar akan mengalir masuk ke dalam Kedah. Limpahan ekonomi dan pelaburan juga akan turut memberi manfaat kepada Kedah. Pelaburan yang tertinggi di Malaysia pada tahun 2021 dan 2022 adalah bukti minat dan keyakinan pelabur terhadap potensi Negeri Kedah.

    Kedah akan melonjak naik ke atas melebihi negeri-negeri di Lembah Klang. Rakyat Kedah yang majoritinya terdiri daripada orang Melayu

    Muslim sudah tentu akan menjadi orang yang paling bertuah ketika itu, dengan nikmat hasil mahsul tanah Negeri Kedah yang Allah anugerahkan.

    Inilah gagasan ‘The Greater Of Kedah’ yang disebut DS Sanusi sebelum ini. Tidak mustahil Kedah akan kembali gemilang seperti mana empayar Kerajaan Kedah Tua yang pernah wujud sebelum ini sebelum ianya dilenyapkan oleh penjajah yang jahat luar tabii.

    Musuh amat-amat tidak senang hati dengan semua perancangan ini. Mereka mula rasa terancam. Mereka tidak senang melihat orang-orang Kedah merancang untuk menguasai ekonomi.

    Menguasai ekonomi, ertinya membuka ruang untuk menguasai politik. Mempunyai kuasa ekonomi sahaja tidak cukup tanpa ada kuasa politik.

    Memiliki kedua-duanya iaitu kuasa ekonomi dan kuasa politik akan menjadikan sesebuah pemerintahan itu kuat, gagah dan tidak mudah digugat.

    Kedah telah memiliki kuasa politik. Keputusan PRU15 telah melonjakkan kuasa politik Kedah yang didominasi oleh pengundi Melayu. Dengan mengekalkan momentum yang ada, Kedah hanya memerlukan kuasa ekonomi.

    Projek-projek mega yang disebutkan tadi adalah ‘catalyst’ atau pemangkin kepada kuasa ekonomi Kedah.

    Kuasa ekonomi politik yang Kedah miliki ini sebenarnya akan menjadi pelengkap kepada kuasa ekonomi politik Malaysia. Kedah bukanlah pesaing yang mesti dihapuskan. Sebaliknya Kedah adalah pelengkap yang mesti diberi ruang seluas-luasnya untuk mempersiap diri menjadi anak sulung bagi berdepan dengan cabaran besar yang mendatang.

    Selama ini pun Kedah telah menjadi abang yang memberi makan kepada adik-adiknya. Kedah menjadi negeri pembekal beras yang paling besar dalam negara. Kedah juga menjadi negeri pembekal air mentah kepada Perlis dan Pulau Pinang. Walaupun adiknya berlagak sombong luar tabii, namun abang tetap bagi adik minum. Tak sanggup tengok darah daging sendiri merana walaupun diberi susu dibalas tuba.

    Maka, hanya kerana nafsu serakah luar tabii dalam ekonomi dan politik, projek Kedah Aerotropolis itu cuba untuk digagalkan. Mereka melihat Kedah sebagai ancaman, bukan sebagai pelengkap.

    Melihat dengan mata lalat, bukan dengan mata lebah. Lalat cari sampah yang busuk dan jijik. Lebah cari bunga untuk hasilkan madu memberi manfaat kepada manusia.

    Ketiga:

    Kerana nak menjayakan strategi ‘divide and rule’ dalam kalangan negeri-negeri PN.

    Layanan yang diberikan kepada pimpinan negeri Perlis, Kelantan dan Terengganu, dilihat jauh berbeza dengan Negeri Kedah.

    Kesemua MB di tiga negeri itu telah diberi peluang bertemu PM, tetapi tidak bagi MB Kedah.

    Walaupun sudah 2 kali surat diutuskan kepada PM, namun difahamkan masih tiada maklum balas diberikan untuk MB Kedah bertemu dengan PM, atas kedudukan sebagai Ketua Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.

    Tidak cukup dengan itu, ada usaha untuk menyingkirkan MB Kedah daripada Majlis Kewangan Negara, satu platform yang berautoriti untuk membincangkan hal ehwal kewangan negara dan negeri. Tuntutan-tuntutan pajakan Kedah-P.Pinang dan hal-hal berkaitan, dibuat di dalam Majlis Kewangan Negara.

    Bahkan, apa jua acara dan majlis rasmi Persekutuan di Kedah, langsung tidak melibatkan MB Kedah. Walhal, ADUN Pembangkang di Kedah kerap dijemput hadir melibatkan diri di dalam acara-acara rasmi Kerajaan Negeri, termasuk majlis rasmi di Seri Mentaloon, kediaman rasmi YAB MB Kedah.

    Apa tujuan tindakan boikot ini? Supaya MB Kedah yang bernama DS Sanusi itu dilihat menjadi liabiliti. Itulah ungkapan-ungkapan yang

    diucapkan oleh pemimpin-pemimpin parti lawan dalam banyak majlis parti mereka di Kedah.

    “Sanusi ni kerja duk berkelahi dengan orang. Hangpa kena tukaq Sanusi ni. Kita tak mau orang yang kerja duk berkelahi ni jadi ketua. Jadi JKK pun tak layak, apatah lagi nak jadi MB”. Itu antara isi ucapan yang sempat didengari, keluar dari mulut pemimpin parti lawan, dalam video yang dipaparkan di media sosial.

    Ketika di Parlimen tempoh hari, ada seorang pemimpin parti lawan berkata, “It is not about the goverment, it is about the person”. ‘The person’ yang dimaksudkan itu ialah DS Sanusi.

    Ni nak habaq bagi, “the problem is, the person is the goverment! The person is somebody who related to the goverment dan lead the goverment right now!”

    Cubaan jadikan Sanusi liabiliti

    Naratif menjadikan DS Sanusi sebagai liabiliti ini cuba ditanam dalam pemikiran rakyat dan pemikiran ahli-ahli parti khususnya Pas.

    Kalau boleh, mereka mahu semua pihak menasihati DS Sanusi supaya berhenti ‘berlawan’. Jika tidak, mereka akan buatkan supaya semua pihak meminggirkan DS Sanusi termasuk dari dalam parti DS Sanusi sendiri.

    Ya. Itu yang sedang mereka lakukan sekarang. Caranya amat halus. Tak ramai yang sedar. Ataupun, ada yang sedar, tapi ambil langkah

    selamat. Politik ‘play safe’. Biaq hang sorang ja belemoih, aku nak wangi ja. Soalannya, tang mana yang tak kena? Apa yang dibuat oleh DS Sanusi yang tak selari dengan kehendak politik? Apa yang tak kena dengan dasar Kerajaan Negeri?

    Adakah mempertahankan Kedah Aerotropolis, memperbetulkan bilangan Tanah Rizab Melayu, mempertahankan proses tadbir urus di dalam Majlis Kewangan Negara, memberikan hak kepada rakyat Kedah yang memohon tanah, memperjuangkan prinsip federalisme, mempertahankan kedaulatan Negeri Kedah dari mulut lawan-lawan politik yang suka menyondol sesuka hati, adakah semua itu dianggap jahat? Adakah berkempen ketika pilihan raya, menceritakan keadaan parti lawan, mempromosi parti sendiri, dianggap jahat?

    Semua itu dilakukan oleh DS Sanusi kerana beliau berada di tempat yang memerlukan beliau bertindak seperti itu! Bertindak sebagai seorang Ketua Kerajaan, bertindak sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya parti, bukan atas kapasiti peribadi! Tidak sama sekali.

    Jadi ketua memang kena tegas, kena berani, kena pertahan prinsip.

    Bahkan terbukti, pendirian dan prinsip seperti inilah yang menjadi kekuatan utama dalam memenangi PRU15 baru-baru ini.

    Dalam situasi seperti ini, semua pihak samada dari luar ataupun dalam, perlu bersatu hati dan membulatkan tindakan bagi menghadapi lawan.

    Lagunya mesti sedendang rentaknya mesti seirama.

    Terima kasih kepada semua pihak terutamanya para ‘influencer’ media sosial yang siang malam pagi petang tak kenal penat lelah mempertahankan DS Sanusi, Kedah dan PN.

    Walaupun hangpa kena panggil soal siasat berjam-jam, hand phone kena rampas, tapi hangpa tetap kental mempertahankan prinsip dan kebenaran.

    Kita akan lawan sampai depa tertiarap, sampai kita menang!

    Kalau nak wangi, wangi sama-sama.
    Kalau nak belemoih, belemoih sama-sama!

    Afnan Hamimi Taib Azamudden adalah Ahli Parlimen Alor Setar

  • Lelaki cabul bekas jiran dipenjara lima hari, denda RM2,000

    Lelaki cabul bekas jiran dipenjara lima hari, denda RM2,000

    SEORANG lelaki dijatuhi hukuman penjara lima hari dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Kulai hari ini selepas mengaku bersalah mencabul kehormatan bekas jirannya pada Khamis lalu.

    Tertuduh, Kharoul Kasim, 38, didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang wanita berusia 22 tahun dengan maksud untuk mencabul kehormatannya.

    Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah tumpangan di Jalan Belimbing, Senai pukul 1.45 pagi, pada 13 April lalu, lapor Sinar Harian.

    Dia didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman selama tempoh sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan.

    Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Edelynn Wong manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Majistret Azureen Sahira Sauffee Afandi menjatuhkan hukuman penjara lima hari dari tarikh tangkapan dan denda RM2,000 atau dua bulan penjara sekiranya gagal membayar denda kepada tertuduh.

    Mengikut fakta kes, lelaki berkenaan mengambil mangsa dan anak lelaki mangsa berusia setahun tujuh bulan ke rumah tumpangan untuk berbincang berkaitan urusan mencari rumah sewa.

    Ketika dalam bilik berkenaan, tertuduh menolak mangsa ke katil, memeluk dan menutup mulut mangsa.

    Ketika kejadian mangsa sempat menghantar lokasi kepada teman lelakinya.

  • Pemandu buat pusingan U sebabkan nahas dua remaja maut, didenda RM7,000

    Pemandu buat pusingan U sebabkan nahas dua remaja maut, didenda RM7,000

    MAHKAMAH Majistret Slim River, hari ini menjatuhkan hukuman denda RM7,000 terhadap pemandu lori tangki yang membuat pusingan U sehingga menyebabkan dua remaja perempuan maut dalam nahas di Kilometer 121, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur, Mac lalu.

    Majistret Khairun Neesha Raj Mohamed menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh P. Yuaraj, 30, mengaku bersalah.

    Astro Awani melaporkan, mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara 12 bulan, sekiranya gagal membayar denda.

    Mengikut kertas pertuduhan, lelaki yang berasal dari Rantau, Negeri Sembilan itu didakwa memandu lori tangki jenis Volvo, tanpa pertimbangan yang munasabah terhadap orang lain yang menggunakan jalan itu dengan cara telah membuat pusingan U di jalan yang tidak dibenarkan membuat pusingan U.

    Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Kilometer 121 Jalan Ipoh – Kuala Lumpur, arah utara, di dalam daerah Muallim, pukul 10.58 malam, 29 Mac lepas.

    Dia didakwa dibawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama, yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM10,000 dan boleh juga dipenjara selama tempoh tidak lebih 12 bulan, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Diyana Zubir manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Amani Williams-Hunt.

    Tertuduh membayar denda tersebut.

    Pada 30 Mac lalu, media melaporkan dua remaja perempuan maut selepas motosikal yang ditunggangi mereka terlibat dalam nahas dengan sebuah lori tangki di Kilometer 121 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur arah utara dekat Slim River, sehari sebelumnya.

    Dalam kejadian berhampiran dengan Kampung Kelawar itu mangsa maut dikenali sebagai Mimi Nurwaheeda Nor Kamar Hisham, 19, bersama pembonceng Nur Nabila Rosdi, 19.

  • Anak bulan tidak mungkin nampak Khamis ini – IAC

    Anak bulan tidak mungkin nampak Khamis ini – IAC

    PUSAT Astronomi Antarabangsa (IAC) menjangkakan tiada kemungkinan anak bulan Syawal kelihatan pada Khamis ini dan dengan itu Aidilfitri diramal jatuh Sabtu bersamaan 22 April ini.

    Badan astronomi yang berpangkalan di Abu Dhabi itu dalam satu kenyataan di akaun Twitternya memberitahu, ramalan dibuat berdasarkan maklumat astronomi.

    Bagaimanapun, tarikh sebenar Aidilfitri hanya akan disahkan oleh pihak berkuasa selepas melihat anak bulan.

    Menurut IAC, penampakan anak bulan pada petang Khamis adalah sangat sukar kerana ia memerlukan teleskop yang tepat, pemerhati profesional, dan keadaan cuaca yang luar biasa.

    “Melihat anak bulan pada Khamis tidak boleh dilakukan dengan mata kasar dari mana-mana sahaja di Arab dan negara Islam.

    “Ia tidak mungkin dilakukan dengan teleskop di kebanyakan negara Arab, kecuali bahagian Afrika Barat bermula dari Libya, dan oleh itu Sabtu kemungkinan besar akan menjadi hari pertama Aidilfitri,” katanya dalam satu kenyataan.

    Penglihatan kekal sangat sukar dan memerlukan teleskop yang tepat, pemerhati profesional dan keadaan cuaca yang luar biasa.

    Pusat itu berkata, sambil menyatakan bahawa gabungan faktor itu jarang berlaku, dan oleh yang demikian anak bulan tidak dijangka dilihat walaupun menggunakan teleskop dari mana-mana sahaja di dunia Arab.

    IAC menyatakan bahawa kemungkinan melihat anak bulan dengan teleskop dari beberapa bahagian dunia Islam pada Khamis, dan disebabkan berlakunya konjugasi sebelum matahari terbenam, dan terbenamnya bulan selepas matahari terbenam di semua wilayah negara Islam.

    Berikutan itu, negara Islam dijangka dan berkemungkinan akan mengumumkan permulaan bulan Syawal pada Jumaat.

    Bagi negara yang memerlukan penglihatan yang betul dengan mata kasar sahaja atau penglihatan tempatan yang betul dengan teleskop, mereka dijangka terus berpuasa hingga genap 30 hari.

    Maka, Aidilfitri akan jatuh pada Sabtu untuk negara terbabit, lapor Agensi.