MAHKAMAH Majistret Slim River, hari ini menjatuhkan hukuman denda RM7,000 terhadap pemandu lori tangki yang membuat pusingan U sehingga menyebabkan dua remaja perempuan maut dalam nahas di Kilometer 121, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur, Mac lalu.

Majistret Khairun Neesha Raj Mohamed menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh P. Yuaraj, 30, mengaku bersalah.

Astro Awani melaporkan, mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara 12 bulan, sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki yang berasal dari Rantau, Negeri Sembilan itu didakwa memandu lori tangki jenis Volvo, tanpa pertimbangan yang munasabah terhadap orang lain yang menggunakan jalan itu dengan cara telah membuat pusingan U di jalan yang tidak dibenarkan membuat pusingan U.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Kilometer 121 Jalan Ipoh – Kuala Lumpur, arah utara, di dalam daerah Muallim, pukul 10.58 malam, 29 Mac lepas.

Dia didakwa dibawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama, yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM10,000 dan boleh juga dipenjara selama tempoh tidak lebih 12 bulan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Diyana Zubir manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Amani Williams-Hunt.

Tertuduh membayar denda tersebut.

Pada 30 Mac lalu, media melaporkan dua remaja perempuan maut selepas motosikal yang ditunggangi mereka terlibat dalam nahas dengan sebuah lori tangki di Kilometer 121 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur arah utara dekat Slim River, sehari sebelumnya.

Dalam kejadian berhampiran dengan Kampung Kelawar itu mangsa maut dikenali sebagai Mimi Nurwaheeda Nor Kamar Hisham, 19, bersama pembonceng Nur Nabila Rosdi, 19.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here