Author: Wartawan WartaRakyat

  • Bekas COO tidak mengaku lulus syarikat milik adik bekal CCTV, interkom

    Bekas COO tidak mengaku lulus syarikat milik adik bekal CCTV, interkom

    SEORANG pengurus teknologi maklumat dihadapkan di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, Butterwoth, Pulau Pinang hari ini atas dua pertuduhan menyalahgunakan jawatan bagi mendapatkan suapan membabitkan kontrak bernilai RM415,397 tujuh tahun lalu.

    Bagaimanapun, tertuduh, Aziedy Abdul Talib, 42, mengaku tidak bersalah sebaik sahaja kedua-dua pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

    Mengikut pertuduhan pertama, Aziedy yang ketika itu Ketua Pegawai Operasi (COO) memangku tugas Ketua Pegawai Eksekutif di Mutiara.Com Sdn. Bhd. telah menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan apabila meluluskan syarikat ATR Resources Enterprise milik adiknya sebagai pembekal peralatan kamera litar tertutup (CCTV) bagi projek Pangsapuri Seri Bayu bernilai RM223,586.

    Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan bagi adik kandungnya apabila meluluskan syarikat sama bagi pemasangan interkom projek pangsapuri sama bernilai RM191,811.

    Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat Mutiara.Com Sdn. Bhd., Tingkat 14 Menara UMNO, Jalan Macalister pada 4 Februari dan 14 Jun 2016.

    Bagi kedua-dua pertuduhan, Aziedy didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah 24(1) akta sama.

    Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Noor Azura Zulkifli memohon tertuduh diikat jamin RM20,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.

    Bagaimanapun, peguam bela Arafas Abd Razak memohon jaminan minimum dikenakan atas faktor terpaksa menanggung ibu bapanya yang sakit tua selain perlu menyara isteri, dua anak dan seorang adik.

    Selain itu, tertuduh juga baru sahaja bekerja sebagai pengurus IT dengan pendapatan bulanan berjumlah RM7,500.

    Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 untuk kedua-dua pertuduhan selain perlu menyerahkan pasport dan melaporkan diri ke pejabat SPRM setiap bulan.

    Mahkamah turut mengarahkan tertuduh supaya tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai dan menetapkan 30 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula.

  • PH punca isu air Kedah lambat selesai

    PH punca isu air Kedah lambat selesai

    Oleh BADLISHAH MAT

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menjelaskan langkah yang diambil Pakatan Harapan (PH) ketika mentadbir negeri itu pada 2018 terhadap isu bekalan air menyebabkan projek naik taraf tertangguh selama 20 bulan.

    Beliau berkata, usaha menaik taraf infrastruktur air dirancang sejak 2010 termasuk dengan penubuhan Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) dan audit kedudukan semasa serta unjuran keperluan masa depan bekalan itu.

    Katanya, sejak 2013 lagi kerajaan sudah mengenal pasti dan memuktamadkan langkah yang wajib iaitu mengatasi air tidak berhasil (NRW), penggantian paip utama dan keperluan loji rawatan air (LRA) baharu.

    “Selepas melalui proses rundingan harga dan aspek teknikal, Kerajaan Pusat setuju memberi geran dan pinjaman untuk lima LRA baharu berjumlah RM931 juta. Iklan tender pembinaan pun dikeluarkan.

    “Kebetulan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) berlaku dan PH dapat kuasa. Atas dasar sangsi dan kurang percaya kepada keputusan kerajaan sebelum PRU14, iklan tender ditarik balik,” katanya dalam hantaran di Facebook miliknya, hari ini.

    Sebuah akhbar tempatan melaporkan, hampir satu juta daripada kira-kira 2.2 juta penduduk Kedah, dijangka mengalami krisis bekalan air bersih yang disalurkan SADA menjelang sambutan Aidilfitri hujung minggu ini.

    Paling teruk terjejas adalah Daerah Kuala Muda, terutama kawasan sekitar Tanjung Dawai, Bedong, Merbok dan Sungai Petani, selain daerah Kota Setar di kawasan sekitar Kuala Kedah, yang selama ini sering mengalami gangguan bekalan.

    Gangguan bekalan juga diramal berlaku di beberapa kawasan di hujung sistem bekalan di daerah lain seperti Pendang, Kulim, Yan, Baling dan Sik menyebabkan penduduk terpaksa mula mengumpul bekalan air mulai awal minggu ini.

    Menjelas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, selepas PH memerintah negeri Kedah, sebuah konsultan baharu dilantik untuk mengkaji langkah mengatasi masalah air dan kos yang sewajarnya.

    “Selepas lebih kurang 20 bulan menjalankan kajian, konsultan yang PH lantik mengemukakan dapatan mereka. Sama seperti keputusan sebelum PH (mentadbir). (Keperluan) lima LRA baharu dengan kos yang sama iaitu RM931 juta.

    “Iklan tender pun dikeluarkan semula, sama dengan (tender) lama. Akibatnya projek tertangguh 20 bulan dan kos tambahan kena bayar yuran konsultan sehingga ratusan ribu ringgit.

    “Inilah jasa PH selain tinggalkan SADA beroperasi dalam kerugian RM36 juta pada 2019 dan hutang sebanyak RM174 juta. La ni mai dok buat cakap pandai lagi,” katanya.

  • Polis Kedah sedia hadapi jangkaan 2 juta kereta masuk utara tanah air

    Polis Kedah sedia hadapi jangkaan 2 juta kereta masuk utara tanah air

    Oleh RIZQI ZABIDI

    POLIS Kedah sudah pun membuat persiapan rapi bagi memastikan kelancaran trafik ketika hampir dua juta kenderaan dijangka akan memasuki kawasan utara tanah air di sepanjang tempoh musim perayaan ini.

    Menurut Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad, angka itu merupakan peningkatan antara 20 hingga 30 peratus kenderaan berbanding hari-hari biasa.

    Katanya, seramai 309 pegawai dan anggota bakal ditugaskan di seluruh negeri ini bagi memantau pergerakkan trafik serta melaksanakan tugas diperlukan di sepanjang tempoh itu.

    “Seramai 38 pegawai serta 182 anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) akan bertugas bagi memastikan kelancaran pergerakan trafik di seluruh Kedah di sepanjang musim perayaan ini. Mereka akan turut dibantu 89 anggota dari lain-lain elemen dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) merangkumi semua daerah dalam kontinjen Kedah.

    “Setakat ini pihak polis telah mengenal pasti 13 ‘black spot’ yang perlu diberi lebih perhatian di sepanjang pelaksanaan Op Selamat bermula esok hingga 27 April depan.

    “Antara lokasi itu adalah Jalan Alor Setar ke Butterworth, Jalan Kuala Ketil ke Bandar Baharu, Jalan Sungai Petani ke Baling dan Jalan Gurun ke Kepala Batas,” katanya.

    Beliau ditemui pemberita dalam sidang akhbar selepas menyampaikan sumbangan kuih raya sempena Aidilfitri kepada pegawai dan anggota di Markas Taktikal (Martak) Bukit Kayu Hitam di sini, hari ini.

    Beliau memaklumkan, pihak polis akan turut melakukan pemantauan dengan menggunakan dron bagi memastikan pengguna jalan raya sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan.

    “Dalam masa sama, kami turut menubuhkan pasukan ‘Cantas’ dari Jabatan Siasatan Jenayah (CID) bagi melaksanakan rondaan lebih kerap bersama unit narkotik dan sebagainya. Elemen kawalan sempadan turut diperketatkan bagi mengelakkan pencerobohan anasir tidak baik di sepanjang musim perayaan ini,” katanya.

    Sementara itu katanya, jumlah kesalahan melibatkan mercun di Kedah setakat ini hanyalah 15 kes dengan nilai rampasan kira-kira RM53,000.

    “Kes itu disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dengan kebanyakannya melibatkan kesalahan tiada permit atau lesen menjalankan perniagaan.

    “Di Kedah, kami telah menerima 152 permohonan untuk mendapatkan lesen dan telah meluluskan 136 daripadanya. Pelbagai penilaian dibuat sebelum kelulusan diberi seperti dari aspek keselamatan simpanan dan rekod jenayah pemohon,” katanya.

  • Isu ‘Melayu angkuh’: Dr Mahathir selar Anwar

    Isu ‘Melayu angkuh’: Dr Mahathir selar Anwar

    TUN Dr Mahathir Mohamad mempersoal kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam lawatan ke Kemboja baru-baru ini yang memberi ingatan kepada orang Melayu supaya tidak terlalu selesa dan angkuh sehingga meminggirkan kaum lain.

    Kata bekas Perdana Menteri itu, Anwar tidak sepatutnya berucap sedemikian kerana secara tidak langsung menghina orang Melayu.

    Beliau menegaskan, orang Melayu sejak sebelum dan selepas merdeka telah meraikan ramai kaum-kaum lain.

    “Saya juga dapat tahu dia membuat kenyataan itu setelah lawatan ke Kemboja dan berkata bahawa walaupun umat Islam Kemboja cuma 10 peratus, mereka diraikan, masjid tidak diroboh, hak mereka dipertahan malah diangkat sebagai menteri mewakili kepentingan mereka.

    “Kenyataan Anwar ini agak pelik serta ganjil kerana ia menghina orang Melayu sebagai angkuh dan tidak bersikap seperti majoriti orang beragama Buddha di Kemboja yang meraikan minoriti Islam,” katanya menerusi catatan di Facebook hari ini.

    Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, kerakyatan telah diberi kepada satu juta pendatang tanpa memenuhi syarat dan dibenar meneruskan adat-resam, budaya, sekolah, bahasa, agama dan cara hidup negara asal mereka.

    “Apabila negara capai kemerdekaan, mereka diberi hak mengundi dan wakil-wakil kaum itu juga dilantik menjadi Menteri dan ke lain-lain jawatan tertinggi di dalam Kerajaan.

    “Bukan seorang tetapi jika dikira dari sejak merdeka sehingga ke hari ini, sudah ratusan jika tidak ribuan jika dicampur semua jawatan-jawatan menteri, timbalan menteri, setiausaha Parlimen serta lain-lain jawatan penting,” katanya.

    Beliau berkata, ekonomi negara termasuk yang menjadi billionair lebih 90 peratus adalah bukan Melayu.

    “Tokong-tokong besar yang dibina di merata tempat di Semenanjung Tanah Melayu tidak pernah merasa terancam.

    “Begitu juga patung-patung keagamaan yang besar terdiri di serata pelosok Tanah Melayu malahan di antara yang terbesar di dunia terdapat di Kelantan, di mana penduduk Melayunya melebihi 95 peratus,” katanya.

    Katanya lagi, kerajaan pimpinan Perdana Menteri tidak benar isu berkait Melayu disiar, ia dianggap perkauman.

    Jelasnya, sebelum ini apabila beliau menyatakan Melayu malas, ramai yang marah sedangkan tujuan untuk ingatkan bahawa kaum lain sudah menguasai hampir kesemua sektor ekonomi negara.

    “Jika kita tidak rajin dan bangkit, kita akan hilang segala-galanya. Tetapi hari ini, Anwar kata Melayu angkuh dan tidak mahu raikan kaum lain.

    “Namun orang Melayu sudah memberi ruang seluas-luasnya untuk kaum-kaum lain sehingga bahagian untuk orang Melayu sudah hampir lupus.

    “Untuk orang Melayu pertahan serba sedikit yang tinggal itu Anwar anggap angkuh. Cuma apabila sudah tiada ada apa milik Melayu baru tidak angkuh?,” soalnya, lapor Sinar Harian.

  • Populariti Sanusi akan tarik pengundi bukan Muslim di Kedah

    Populariti Sanusi akan tarik pengundi bukan Muslim di Kedah

    POPULARITI Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dijangka membawa lebih ramai pengundi bukan muslim menyokong Perikatan Nasional (PN) di Kedah pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

    Menurut Timbalan Ketua PN Kedah M Marimuthu, ia berdasarkan tinjauan yang dilakukan oleh parti itu baru-baru ini.

    “Sanusi (atas) adalah menteri besar yang disenangi dan mudah didekati, walaupun terdapat kebimbangan mengenai larangan 4D (perjudian),” katanya, seperti dipetik Free Malaysia Today.

    Marimuthu merujuk kepada keputusan kontroversi oleh menteri besar Pas itu mengenakan larangan terhadap operasi semua kedai perjudian di Kedah mulai 2022.

    Marimuthu yang juga pemimpin Gerakan berkata PN Kedah menjangkakan untuk meningkatkan undi daripada pengundi bukan Melayu sehingga 15 peratus pada pilihan raya negeri.

    Katanya, ia hampir dua kali ganda daripada jumlah yang diterima PN daripada pengundi bukan Melayu pada pilihan raya umum ke-15 November lalu, iaitu sekitar lapan peratus.

    Marimuthu berkata, PN juga menjangkakan populariti Sanusi akan membantu mereka memenangi sekurang-kurangnya 33 daripada 36 kerusi DUN di Kedah.

  • Pendakwaan terhadap ketua pemuda Amanah ditarik balik

    Pendakwaan terhadap ketua pemuda Amanah ditarik balik

    MAHKAMAH Majistret Kuala Lumpur melepaskan Ketua Pemuda Amanah Hasbie Muda daripada pertuduhan pelanggaran Akta Perhimpunan Aman 2012.

    Memetik laporan Malaysiakini, Peguamnya Faiz Fadzil berkata, susulan representasi yang dihantar pada 17 Mac lalu pihak pendakwa raya telah menarik balik pertuduhan terhadap Hasbie atas dakwaan kesalahan pelanggaran seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736).

    “Keputusan ini adalah satu permulaan positif kerajaan madani yang menghormati hak dan kebebasan sivil untuk berhimpun dan menyatakan pandangan sepertimana dinyatakan dalam Perkara 10(1) Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Terdahulu Hasbie yang juga ahli Dewan Negara bersama dua individu lain dihadapkan ke Mahkamah Kuala Lumpur berhubung perhimpunan ‘Turun Malaysia’ yang membantah kenaikan harga barang di Masjid Kampung Baru pada 1 Julai tahun lalu.

    Turut didakwa adalah Ketua Pemuda PKR Batu Muhammad Sabda Suluh Lestari Yahya dan Presiden Kesatuan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Aliff Naif.

    Kira-kira 100 orang hadir dalam protes itu yang berlangsung kira-kira sejam selepas solat Jumaat.

    Himpunan Bantah Kenaikan Harga Barang yang rata-ratanya dikendalikan oleh pemimpin Amanah mengemukakan tiga tuntutan kepada kerajaan dalam isu menangani kenaikan harga barang.

    Tuntutan tersebut adalah mengembalikan semula subsidi makanan, menghapuskan permit import (AP) bekalan makanan import dan memanggil sidang khas parlimen untuk membincangkan masalah bekalan makanan.

    Sementara itu Faiz berkata perhimpunan aman yang diadakan pada 1 Julai oleh Amanah itu adalah bagi memperjuangkan isu kos sara hidup.

    Dengan keputusan ini katanya, perjuangan kerajaan madani pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk menyelesaikan isu kos sara hidup rakyat ini dilihat benar-benar telus.

    “Ini kerana perhimpunan aman itu dianggap tidak lagi menyalahi undang-undang oleh Jabatan Peguam Negara,” katanya.

  • Jho Low beri AS$20juta untuk bergambar dengan Obama, bukan sumbangan kempen

    Jho Low beri AS$20juta untuk bergambar dengan Obama, bukan sumbangan kempen

    PENYANYI rap The Fugees, Prakazrel “Pras” Michel dalam keterangan pembelaannya berkata, dia menerima USD20 juta daripada Low Taek Jho atau Jho Low untuk membantu mengatur sesi bergambar untuk ahli perniagaan Malaysia itu dengan bekas presiden, Barack Obama.

    Michel berdepan dakwaan konspirasi jenayah, melobi pengaruh asing dan mengenakan bayaran kempen kerana dipercayai berkomplot dengan Low untuk cuba mempengaruhi pentadbiran Obama dan bekas presiden, Donald Trump.

    Lapor agensi berita Reuters yang dipetik FMT, di depan juri di Washington, pemenang Grammy itu berkata, Low yang kini menjadi buruan atas tuduhan menyeleweng USD4.5 bilion daripada 1MDB, tidak mengarahkannya menggunakan wang bergambar itu untuk membuat sumbangan kempen.

    Michel berkata, dia menggunakan sebahagian wang itu untuk membawa tiga rakannya menghadiri majlis kutipan derma untuk Obama dengan bayaran USD40,000 setiap seorang dan dia tidak tahu tindakan itu tidak wajar.

    “Apabila anda menerima wang daripada Jho Low, anda menggunakannya untuk membuat sumbangan politik,” tanya Pendakwa Raya Persekutuan, John Keller.

    “Tidak. Sebaik saja dia beri saya wang itu, terpulang kepada budi bicara saya bagaimana membelanjakannya kerana itu wang saya,” kata Michel.

    Dia menyifatkan dana daripada Low itu sebagai “wang percuma”.

    Warga asing dilarang menderma kepada kempen pilihan raya AS dan ia juga melanggar undang-undang untuk membayar orang lain menyumbang kepada kempen itu.

    Michel dituduh bersubahat dengan Low dalam tiga skim, dengan pendakwa raya mendakwa dia dibayar berjuta-juta dolar.

    Dalam pertuduhan pertama, pendakwa mendakwa Michel melanggar undang-undang pilihan raya persekutuan dengan menyalurkan kira-kira USD2 juta daripada Low ke tabung kempen Obama 2012 dan menyembunyikan sumber dana itu atas nama orang lain.

    Dia juga dituduh cuba meyakinkan Jabatan Kehakiman era Trump untuk menggugurkan siasatan sivil dan jenayah terhadap Low berhubung skandal 1MDB, selain cuba melobi AS bagi pihak China untuk menghantar ahli perniagaan China, Guo Wengui pulang ke negaranya.

  • Batal saman tak pamer cukai jalan, anggota peronda disiasat

    Batal saman tak pamer cukai jalan, anggota peronda disiasat

    POLIS akan menjalankan siasatan dalaman ke atas seorang anggota perondanya yang mengeluarkan saman kepada pemandu gagal mempamerkan cukai jalan dalam kejadian di Jalan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, di Petaling Jaya, Ahad lalu.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya mengesan satu hantaran di Facebook berhubung gambar memaparkan saman polis yang dikeluarkan terhadapnya.

    “Semakan dilakukan mendapati saman itu dikeluarkan anggota polis peronda pada 16 April lalu atas kesalahan gagal mempamer cukai jalan di lokasi berkenaan,” katanya menurut Harian Metro.

    Beliau berkata, arahan sudah diberikan kepada petugas lapangan supaya tidak mengeluarkan saman berhubung kesalahan tidak mempamer cukai jalan, susulan arahan Kementerian Pengangkutan pada 10 Feb lalu.

    “Siasatan dalaman akan dibuat ke atas anggota terbabit atas kecuaian dan kami sudah membatalkan saman itu.”

  • Cuti tambahan Aidilfitri, Mydin rugi sekurang-kurangnya setengah juta

    Cuti tambahan Aidilfitri, Mydin rugi sekurang-kurangnya setengah juta

    TAIKUN rangkaian peruncitan, Datuk Ameer Ali Mydin mengkritik pengumuman mengejut kerajaan mengenai cuti tambahan untuk Hari Raya Aidilfitri.

    Beliau mendedahkan syarikatnya mengalami kerugian sekurang-kurangnya setengah juta akibat pengumuman oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.

    “Peniaga perlu menanggung kerugian.

    “Setengah juta itu kita boleh bagi beribu Menu Rahmah,” katanya dalam wawancara bersama Astro Awani.

    Beliau merujuk kepada program yang diperkenalkan awal tahun ini yang mana perusahaan menjual makanan dengan harga RM5 kepada mereka yang ingin berjimat-cermat.

    Mydin antara syarikat yang terkedepan dalam menyahut seruan kerajaan kepada perusahaan swasta untuk mengadakan Menu Rahmah namun memberi amaran ia tidak akan bertahan lama jika harga bahan mentah kekal tinggi.

    Anwar semalam mengumumkan satu hari kelepasan am tambahan bagi memudahkan perjalanan pulang ke kampung sempena Aidilfitri.

    Cuti tambahan diberikan sama ada Jumaat atau Isnin, bergantung kepada penetapan tarikh hari raya.

    Selain itu, kerajaan akan memberi pengecualian bayaran tol di 33 lebuh raya selama empat hari pada 19 hingga 21 April dan 24 April ini.

    Ameer yang merupakan pengarah urusan syarikat Mydin Mohamed Holdings Bhd berkata kerajaan tidak boleh menjadi populis semata-mata.

    Katanya, lebih baik memberikan subsidi bersasar dalam bentuk tunai kepada mereka yang memerlukan, berbanding mengumumkan pengecualian tol kepada semua pengguna tanpa mengira kelas pendapatan.

    “Bukan semua perlukan subsidi tol. Model kita ini tak betul,” katanya.

  • Tiada arahan ‘gam’ artis condong pembangkang – Fahmi

    Tiada arahan ‘gam’ artis condong pembangkang – Fahmi

    SUSULAN dakwaan seorang penyanyi era 90-an dikeluarkan daripada program raya televisyen kerajaan, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menafikan dakwaan kononnya terdapat arahan untuk menyekat artis cenderung menyokong pembangkang.

    “Tidak digam. Tiada arahan sedemikian,” katanya di Twitter.

    Mengulas isu sama, Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia Suhaimi Sulaiman turut menafikan dakwaan berkenaan.

    “Kita di RTM tidak ‘gam’ mana-mana penyanyi pun. Industri akan rugi kalau kita gam-menggam ini.

    “Yang elok kita semua cakap elok-elok dan tidak perlu gaduh-gaduh,” katanya, lapor Free Malaysia Today.

    Semalam media melaporkan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan meminta Fahmi memberi penjelasan berhubung dakwaan pegawai RTM diarah menyekat persembahan artis tertentu daripada siaran televisyen atau radio RTM.

    Katanya, beliau menerima maklumat RTM diarah memeriksa latar belakang seseorang artis sebelum dijemput membuat persembahan.

    Terdahulu, tular ciapan Twitter seorang pemilik akaun @MacGorjes mendakwa seorang penyanyi 90-an “digam” atas kecenderungan politiknya yang sering menghentam kerajaan perpaduan.

    Namun, ciapan tersebut dipadam oleh pemilik berkenaan sejurus mendapat perhatian warganet.

    Menerusi ciapan itu, Dayangku Intan atau nama sebenarnya Tengku Intan Tengku Abdul Hamid mendakwa dirinya “digam” melalui satu ciapan.

    “Siapakah saya ini, itu pun mereka koyak,” katanya.