Author: Wartawan WartaRakyat

  • PN anggap rumah terbuka di enam negeri ‘mencabar maruah

    PN anggap rumah terbuka di enam negeri ‘mencabar maruah

    PERIKATAN Nasional (PN) menganggap langkah Putrajaya mengadakan siri Rumah Terbuka Malaysia Madani di enam negeri tidak lama lagi sebagai sesuatu yang ‘melampau’ serta mencabar maruah kerajaan terbabit.

    Timbalan Setiausaha Agung PN, Datuk 5 Takiyuddin Hassan berkata, malah penganjuran itu tidak menyumbang kepada pembinaan hubungan yang baik di antara kerajaan Pusat dan negeri selain ‘tidak bermanfaat’.

    “Tindakan melangkahi sempadan hormat dan adab antara kerajaan Pusat dan kerajaan negeri dalam konteks ini jelas mencabar imej serta maruah negeri-negeri dan tentulah tidak akan menyumbang kepada hubungan baik dan saling mempercayai antara kedua-dua belah pihak.

    “Keadaan ini juga tentulah tidak bermanfaat kepada rakyat dan negara serta usaha dan cita-cita untuk mewujudkan sebuah persekutuan yang kuat dan saling mengukuhkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Kerajaan Pusat bercadang mengadakan program massa membabitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan orang awam di Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan tidak lama lagi.

    Susulan itu dikecam pembangkang kerana dianggap menjadi cara kerajaan Pusat berkempen kerana keenam-enam negeri terbabit bakal mengadakan pilihan raya tidak lama lagi.

    Bagaimanapun Putrajaya mempertahankan langkah tersebut dan menafikan ia akan membazir.

    Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung Pas berkata, enam majlis sambutan Aidilfitri itu ‘jauh tersasar’ dan ‘tercemar’ daripada matlamat sebenar perayaan berkenaan kerana menyasarkan lokasi yang akan mengadakan pilihan raya negeri (PRN).

    Katanya, sambutan bersiri itu melanggar konvensyen dan adab hubungan di antara kerajaan Pusat dan negeri-negeri daripada segi wibawa dan bidang kuasa masing-masing.

    Menurut Takiyuddin, adalah lebih manis jika Putrajaya mengekalkan amalan pembahagian tradisi tersebut dengan kerajaan Pusat menganjurkan rumah terbuka utama di peringkat kebangsaan saja.

    Langkah berkenaan, tambah bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, menunjukkan tanda hormat terhadap wibawa dan bidang kuasa negeri.

    “Retorik basi dan sumbang kononnya Pas dan sekarang ini PN adalah parti yang menunggang agama untuk tujuan politik nampaknya kini berbalik kepada kerajaan Pusat sendiri yang ‘menculik’ majlis penting tahunan Islam itu bagi mencapai matlamat kuasanya,” kata Takiyuddin.

    Ahli parlimen Kota Bharu itu juga menyatakan rasa bimbang PN terhadap kemungkinan kerajaan Pusat yang didakwa akan menyalahgunakan jentera serta agensi kerajaan.

    Kata Takiyuddin ‘motif politik’ kerajaan ‘tidak boleh disorokkan lagi’ melalui penganjuran rumah terbuka tersebut.

    “Justeru kerajaan Pusat perlu memberi jaminan ia tidak berlaku, selain memastikan semua janji dan slogan tentang salah guna kuasa, penyalahgunaan jentera dan kelemahan pengurusan yang diuar-uarkan mereka sebelum ini tidak hanya tinggal slogan dan janji di bibir semata-mata,” katanya lapor Malaysiakini.

  • Rompak pelantar minyak: 4 lelaki tempatan termasuk adik-beradik ditahan

    Rompak pelantar minyak: 4 lelaki tempatan termasuk adik-beradik ditahan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan empat lelaki warga tempatan yang merompak pelantar minyak pada kedudukan 0.7 batu nautika timur laut Jeti Tanjung Langsat di Kota Tinggi semalam.

    Empat suspek berkenaan termasuk dua adik beradik diberkas selepas melakukan rompakan berkumpulan antara pukul 12.30 tengah malam kelmarin hingga pukul 4.35 pagi semalam.

    Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada pukul 10.30 malam kelmarin mengenai rompakan di atas pelantar minyak Aurora Producer 1.

    “Sebuah bot ronda Maritim Malaysia telah diarahkan ke lokasi kejadian dan tiba di lokasi pada pukul 12.30 tengah malam dan menemui sebuah bot gentian kaca bersama empat orang berada bawah pelantar terbabit dalam keadaan mencurigakan.

    “Menyedari kehadiran bot ronda Maritim Malaysia, suspek dilihat bertindak cuba menenggelamkan bot gentian kaca.

    “Ekoran tindakan suspek tersebut, bot gentian kaca digunakan suspek telah tenggelam di lokasi dan kesemua empat suspek telah berpaut pada tiang pelantar terbabit sebelum keletihan dan bertindak terjun ke laut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, semua suspek warga tempatan yang berumur diantara 27 tahun hingga 47 tahun telah berjaya diselamatkan oleh bot ronda Maritim Malaysia seterusnya ditahan dan dibawa ke Zon Maritim Tanjung Sedili untuk siasatan lanjut.

    “Kemudian hasil siasatan awal di pelantar Aurora Producer 1 pihak maritim menemui dua kru warga tempatan berumur 24 tahun dan 32 tahun yang disyaki menjadi mangsa rompakan.

    “Mangsa mengatakan ketika kejadian pelantar dinaiki tiga lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang telah menyerang dan mengikat kaki, tangan dan mulut mangsa sebelum dikurung dalam sebuah kabin di atas pelantar tersebut.

    “Mangsa telah terkurung selama dua jam sebelum berjaya melepaskan ikatan dan bersembunyi bagi menunggu ketibaan pihak berkuasa. Suspek dipercayai cuba mencuri kabel dan perkakasan kerja dan dua buah telefon bimbit milik mangsa telah dilaporkan hilang,” katanya.

    Menurut beliau, jumlah dan barang perkakasan pelantar yang disyaki dicuri masih dalam siasatan.

    Semua suspek katanya, telah direman selama lima hari bagi siasatan di bawah Seksyen 391 Kanun Keseksaan atas kesalahan rompakan berkumpulan.

  • Tiga lagi suspek ditahan kes larikan lelaki depan hotel di Alor Setar

    Tiga lagi suspek ditahan kes larikan lelaki depan hotel di Alor Setar

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Polis menahan tiga lagi individu termasuk seorang wanita berhubung kes melarikan seorang lelaki di depan sebuah hotel, dekat Shahab Perdana, Alor Setar yang tular di media sosial sejak kelmarin.

    Penahanan tiga individu tersebut menjadikan tangkapan keseluruhan seramai empat orang setakat ini setelah seorang suspek berusia 43 tahun terlebih dulu ditahan, awal pagi semalam.

    Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, ketiga-tiga individu berkenaan ditahan di tiga lokasi berasingan antara pukul 7 petang hingga 9 malam tadi.

    “Tiga tangkapan terbaru ini melibatkan seorang wanita berusia 39 tahun serta dua lelaki berumur 42 dan 40 tahun. Kesemua mereka ditahan di Changlun, Jitra dan sekitar Alor Setar.

    “Wanita tersebut didapati positif dadah jenis methamphetamine. Kesemua mereka direman selama enam hari hingga 1 Mei depan,” katanya ketika dihubungi Warta Rakyat , hari ini.

    Sejak kelmarin tular di media sosial klip video berdurasi 41 saat memaparkan mangsa dipaksa menaiki sebuah kereta putih oleh beberapa individu termasuk seorang wanita sambil menjerit kesakitan.

    Mangsa dipercayai merupakan seorang lelaki berusia 27 tahun dengan kejadian itu kemudiannya dilaporkan kepada pihak polis oleh bapanya berusia 46 tahun, setelah dia ditunjukkan klip video kejadian itu oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian.

    Mengulas lanjut Ahmad Shukri berkata, mangsa kini sudah ditemui.

    “Setakat ini siasatan masih berjalan secara menyeluruh termasuk berkaitan motif kejadian,” katanya.

  • Pemilik The Edge, Tong Kooi Ong kini pemegang saham besar Star Media Group

    Pemilik The Edge, Tong Kooi Ong kini pemegang saham besar Star Media Group

    THE Edge Communications Sdn. Bhd. dan pemiliknya Tan Sri Tong Kooi Ong telah muncul sebagai pemegang saham besar Star Media Group Bhd (SMG).

    Menurut pemakluman syarikat media tersebut di Bursa Malaysia, Tong mempunyai kepentingan langsung sebanyak 0.254%, atau 1.84 juta saham.

    Beliau mempunyai 37.5 juta saham lagi, atau 5.17% kepentingan tidak langsung melalui The Edge Communications.

    Menurut The Edge, Tong dalam memo dalaman berkata pengambilalihan itu adalah semata-mata pelaburan.

    “Ini adalah pelaburan dalam syarikat yang harga saham dan permodalannya selama beberapa tahun jauh di bawah tunai yang dimilikinya, dan nilai aset hartanahnya.

    “Ia tidak mempunyai hutang dan jelas di bawah nilai,” katanya dipetik sebagai berkata.

    Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022, SMG mencatatkan untung bersih RM6.92 juta, atau 0.95 sen pendapatan sesaham atas hasil RM217 juta.

    Kumpulan itu telah mencadangkan dividen satu peringkat pertama dan terakhir sebanyak 1.0 sen sesaham biasa bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember, tertakluk kepada kelulusan pemegang saham pada mesyuarat agung tahunan ke-51 akan datang.

    Tarikh pembayaran adalah pada 6 Jun, manakala tarikh ex-tarikh jatuh pada 23 Mei, diikuti dengan tarikh kelayakannya pada 24 Mei, lapor DagangNews.com.

  • KKM arah tarik balik mi segera ada Ethylene Oxide

    KKM arah tarik balik mi segera ada Ethylene Oxide

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) mengarahkan pihak syarikat untuk penarikan balik secara sukarela bagi produk mi segera tempatan dan mi segera dari Indonesia di negara ini, yang dikaitkan dengan kandungan bahan mendorong kanser di Taiwan.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, bagi sampel mi segera produk tempatan mendapati ia mematuhi perundangan.

    Bagaimanapun katanya, bagi memastikan kawalan keselamatan makanan berterusan, KKM telah mengeluarkan arahan kepada pihak syarikat untuk penarikan balik secara sukarela produk tersebut yang mempunyai tarikh luput 25 Ogos 2023 dari pasaran tempatan sekiranya ada.

    “Seterusnya, berdasarkan semakan data dari Food Safety Information System of Malaysia, KKM juga mengesahkan bahawa terdapat kemasukan produk mi segera keluaran negara Indonesia ke negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Sebelum ini, media melaporkan, Jabatan Kesihatan Taipei mengesahkan dua jenama mi segera dari Asia Tenggara mengandungi bahan yang boleh mendorong kepada kanser.

    Muhammad Radzi berkata, bagi produk mi segera jenama dari Indonesia, KKM telah mengeluarkan arahan untuk tindakan Tahan, Uji dan Lepas di semua pintu masuk negara.

    Bukan itu sahaja, beliau turut meminta pihak syarikat menarik balik secara sukarela produk terlibat dari pasaran.

    Pada masa sama, Muhammad Radzi menjelaskan isu penarikan semula produk keluaran negara Indonesia yang mengandungi Ethylene Oxide pada tahun 2022.

    Katanya, KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan telah menjalankan pemantauan keselamatan makanan berterusan ke atas produk makanan berkaitan yang dijual di pasaran tempatan mahupun import.

    “Hasil pemantauan dari 2022 sehingga kini ke atas 36 sampel produk mi segera pelbagai jenama di pasaran tempatan mendapati 11 daripadanya mengandungi ethylene oxide dan tindakan penguatkuasaan telah diambil,” ujarnya lapor Sinar Harian.

    Tambah beliau, tindakan itu termasuklah kompaun, perintah mahkamah dan juga penarikan balik produk dari pasaran.

  • Tanah runtuh Bukit Tunku: Masih berlaku runtuhan kecil-Polis

    Tanah runtuh Bukit Tunku: Masih berlaku runtuhan kecil-Polis

    MASIH berlaku runtuhan kecil dan pergerakan tanah di lokasi tanah runtuh di Bukit Tunku, Kuala Lumpur malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai yang mengesahkan perkembangan tersebut berkata, kali terakhir runtuhan berlaku pada pukul 10 malam dan mengenai kawasan pagar Institut Intergriti Malaysia (IIM).

    “Jadi kita melihat masih berlku runtuhan dan hakisan tanah sekadar menutup kanvas tidka dapat kurangkan risiko bahaya itu jadi kita sedang berbincang memasang cerucuk besi bagi mengelakkan bangunan berdekatan daripada terus terjejas ekoran hakisan tanah.

    “Runtuhan malam tadi bermula pukul 10 malam itu, runtuhan sedikit demi sedikit, masih berlaku pergerakan tanah,” jelasnya ketika ditemui media hari ini.

    Beliau berkata, perbincangan akan dijalankan bersama pihak teknikal terdiri daripada Cawangan Kejuruteraan Cerun Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Minera dan Geosains Malaysia (JMG) serta beberapa agensi lain bagi proses pemasangan cerucuk besi di kawasan runtuhan.

    “Kita akan bincang sebentar lagi dan apakah hasil mesyuarat dan bila akan dilaksanakan (pemasangan cerucuk besi).

    “Kita percaya salah satu faktor (runtuhan) disebabkan aliran air ditemui semalam, kedua berlaku takungan air atau mendapan,” katanya lagi, lapor Astro Awani.

    Terdahulu difahamkan, agensi penyelamat dalam insiden tanah runtuh di Bukit Tunku dijadual bermesyuarat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul pada pukul 3 petang ini.

    Pasca mesyuarat tersebut, satu sidang media turut dijadual diadakan pada pukul 5.30 petang.

    Semalam, dilaporkan seramai 76 petugas Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) dan Institut Integriti Malaysia (IIM) berdepan detik cemas selepas berlaku runtuhan tanah di kawasan itu kira-kira pukul 1.30 tengah hari.

    Kejadian itu melibatkan kawasan di depan pintu akademi milik SPRM dan meruntuhkan sebuah pondok kawalan dengan keluasan tanah runtuh dianggarkan 30.48 x 36.57 meter persegi.

  • Pemuda Pas Kelantan bidas Agus, gagal buat perbandingan tepat

    Pemuda Pas Kelantan bidas Agus, gagal buat perbandingan tepat

    PEMUDA Pas Kelantan menyifatkan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Mohammad Agus Yusoff tidak cermat ketika tampil mengkritik permasalahan kemudahan asas di negeri itu.

    Naib ketuanya, Mohd. Firdaus Nawi berkata, Pulau Pinang telah diheret oleh Agus walaupun negeri yang ditadbir Pakatan Harapan (PH) itu tidak bersalah dalam isu yang diperkatakan.

    Beliau juga menasihati bekas ahli akademik itu agar berhati-hati semasa memberikan pandangan.

    “Kata orang lama, cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar. Maksud mudahnya ialah, hati-hati dalam berkata-kata.

    “Pulau Pinang tidak bersalah tetapi Agus telah mengheret negeri itu dalam kancah perbandingan yang memualkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohd. Firdaus berkata, jika Agus menyindir Kelantan dipenuhi dengan sampah dan kekotoran ia boleh saja dikatakan begitu dan tidak perlu dibandingkan dengan Pulau Pinang.

    Katanya, ini kerana negeri di kawasan utara itu juga berdepan masalah sama.

    “Sebagai informasi Agus, saya sertakan capaian akhbar yang boleh dibaca Agus,” katanya.

    Semalam Agus yang juga bekas pensyarah sains politik mendakwa kualiti air yang teruk, jalan sempit dan berlubang serta sampah berlonggok di merata tempat adalah antara masalah yang berlanjutan di Kelantan pada setiap sambutan hari raya.

    “Balik Kelantan sambut raya. Tiga perkara yang merimaskan.

    “Airnya perlahan dan kualitinya teruk, jalannya sempit dan berlubang, sampah berlonggok di merata tempat dan kotor,” katanya.

    Agus juga memberitahu selepas kembali ke Kelantan dia akan bertolak pula ke Pulau Pinang untuk menikmati ‘kelainan’ suasana.

    “Sekejap lagi bertolak ke Pulau Pinang. Nikmati kelainan,” katanya lagi.

    Untuk mengukuhkan dakwaan bahawa Pulau Pinang turut berdepan dengan isu kekotoran, Mohd. Firdaus memaparkan beberapa laporan akhbar berkait isu pencemaran sungai dan pembuangan sampah haram di negeri terbabit.

    “Sekali lagi Pulau Pinang tidak salah tetapi yang tidak betulnya adalah Agus, pengarah J-KOM yang jawatannya bukan sahaja dipertikai lawan tapi dalaman komponen kerajaan juga,” katanya, lapor Malaysiakini.

  • Muhyiddin mahu Lim buktikan MOF tak batal pengecualian cukai Yayasan Albukhary

    Muhyiddin mahu Lim buktikan MOF tak batal pengecualian cukai Yayasan Albukhary

    BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu Lim Guan Eng mengemukakan bukti di mahkamah bahawa Kementerian Kewangan tidak membatalkan status pengecualian cukai ke atas Yayasan Albukhary.

    Dalam pernyataan pembelaannya terhadap saman Lim, Muhyiddin menyuarakan keraguannya berhubung kesahan kenyataan kementerian itu pada bulan lalu bahawa bukan kementerian mahupun pegawainya yang membatalkan status tersebut.

    “Kecuali bahawa Kementerian Kewangan pada 23 Mac 2023 telah membuat kenyataan media yang menyatakan bahawa bukan sahaja mantan menteri kewangan bahkan pegawainya tidak membatalkan pengecualian cukai yang diberikan kepada Yayasan Al-Bukhary, defendan tidak membuat apa-apa pengakuan kepada perenggan 28 pernyataan tuntutan.

    “Malah, defendan menafikan kebolehpercayaan kenyataan yang dibuat oleh kementerian kewangan pada 23 Mac 2023 dan meletakkan plaintif atas beban pembuktian yang kukuh,” kata pernyataan pembelaan yang difailkan peguam Muhyiddin semalam.

    Pernyataan pembelaan Muhyiddin itu berhubung saman fitnah yang difailkan Lim terhadapnya.

    Terdahulu, bekas Perdana Menteri itu mendakwa Lim bertanggungjawab ke atas pembatalan status pengecualian cuki Yayasan Albukhary milik hartawan Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary.

    Bulan lalu, Kementerian Kewangan dalam kenyataannya menafikan salah seorang pegawainya telah meluluskan pembatalan status tersebut.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga ketika sidang Parlimen berkata tiada rekod bahawa Lim yang melakukannya.

    Berhubung perkara itu, Muhyiddin mendakwa kenyataan Anwar ‘langsung tidak relevan’ dan hanya untuk mengalihkan perhatian agar Lim tidak dipertanggungjawabkan atas tindakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berhubung perkara itu.

    “Kebergantungan plaintif atas kenyataan yang dibuat oleh Anwar dalam Parlimen adalah suatu pengalihan dan fait accompli untuk mengalihkan perhatian daripada keengganan plaintif untuk didapati bertanggungjawab bagi tindakan LHDN semasa dia memegang jawatan sebagai menteri kewangan,” katanya.

    Muhyiddin berkata, beliau membuat kesimpulan tersebut berdasarkan surat yang diterima daripada Syed Mokhtar yang merayu terhadap keputusan pembatalan itu.

    Katanya, Syed Mokhtar tidak akan membuat permohonan itu sekiranya LHDN mengiktiraf status pengecualian cukai yayasannya, yang diberikan oleh kerajaan pimpinan BN sebelum PRU14.

    LHDN adalah di bawah bidang kuasa menteri kewangan. Pada masa yang material, plaintif adalah menteri kewangan ketika itu dan secara semula jadi, LHDN berada di bawah bidang kuasanya.

    “Sehubungan itu, plaintif sepatutnya memberi penjelasan mengenai perubahan keadaan berkaitan dengan perubahan kedudukan yang diambil oleh LHDN sebelum dan selepas PH berkuasa pada 2018.

    “Defendan seterusnya menyatakan bahawa dia sedar bahawa kementerian kewangan telah membenarkan rayuan oleh Yayasan AlBukhary sekitar 2021.

    “Oleh itu, dia dibenarkan membuat inferens dan membuat kesimpulan bahawa pengecualian cukai tersebut telah dibatalkan, jikalau tidak, ia adalah tidak diperlukan untuk kelulusan diberikan oleh kementerian kewangan pada 2021,” katanya lagi, lapor Malaysiakini.

  • TLDM, polis musnahkan bom Perang Dunia Kedua

    TLDM, polis musnahkan bom Perang Dunia Kedua

    PASUKAN Pemusnah Bom Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud bersama melaksanakan operasi memusnahkan bom Unexploded Ordnance (UXO) yang dipercayai digunakan ketika Perang Dunia Kedua di Pulau Mantanani, Kota Belud, Isnin lalu.

    TLDM melalui kenyataan memaklumkan, kerja memusnahkan bom lama itu dilakukan oleh pasukan berkenaan yang dianggotai Pasukan Selam bersama Juruteknik Peluru Depot Peluru dan Letupan Timur.

    “Operasi berkenaan diketuai oleh Komander Mohammad Nasrul Mat Daut dari TLDM. Pasukan ini diatur gerak bagi membantu polis dalam misi memusnahkan bom itu di perairan berkenaan.

    “TLDM sebelum ini menerima permohonan bantuan daripada IPD Kota Belud untuk memeriksa satu objek yang dipercayai bom lama di pesisiran pantai Pulau Mantanani yang berada 43 batu nautika timur laut Pangkalan TLDM Kota Kinabalu (PTKK),” menurut kenyataan berkenaan.

    Kenyataan itu memberitahu, hasil siasatan dan temubual saksi mendapati objek itu disahkan UXO yang tidak aktif jenis Semi Armour Piercing Bomb, 500lbs, AN-M58 buatan Amerika Syarikat digunakan ketika zaman Perang Dunia Kedua oleh pasukan Pemusnah Bom TLDM

    Menurutnya, bom berkenaan kemudian dibawa ke daratan dan dimusnahkan oleh pasukan pada sebelah petang dengan selamat.

    “Sebaik selesai, Pasukan Pemusnah Bom TLDM pulang ke PTKK,” katanya memetik laporan Harian Metro.

  • Persoal rumah terbuka di enam negeri sahaja, Wan Saiful sindir Anwar

    Persoal rumah terbuka di enam negeri sahaja, Wan Saiful sindir Anwar

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    AHLI Majlis Pimpinan Tertinggi (MPN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan mempersoalkan keputusan Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu mengadakan rumah terbuka Aidilfitri di enam negeri tertentu sahaja.

    Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu secara sinis berkata, sepatutnya rumah terbuka dibuat di semua negeri dan penganjurannya bukan kerana mempunyai agenda tersirat.

    “Dato’ Sri Anwar sebab apa buat enam sahaja? Buatlah rumah terbuka di seluruh Parlimen seluruh negara. Kalau buat di semua DUN (Dewan Undangan Negeri) lagi baik,” katanya dalam entri terbaharu menerusi Facebook miliknya, hari ini.

    Bagaimanapun katanya, seluruh dunia akan ‘percaya’ bahawa rumah terbuka tersebut bukan diadakan kerana pilihan raya negeri (PRN) akan berlangsung di enam negeri terbabit.

    “Memandangkan Anwar Ibrahim tidak pernah menipu, sudah pasti seluruh dunia percaya bahawa dia buat enam rumah terbuka bukan disebabkan PRN.

    “Kami semua percaya bulat-bulat alasan yang Dato’ Seri cipta,” katanya lagi.

    Pelbagai pihak mengecam penganjuran rumah terbuka tersebut yang dilihat amat jelas bermotifkan politik menjelang PRN.

    Ketua Dewan Ulama Pas Pusat (DUPP), Datuk Ahmad Yahaya berkata, majlis tersebut menyebabkan berlaku lebih banyak pembaziran semata-mata untuk memenuhi kerakusan politik Anwar dan kerajaan campuran itu.

    “Ia tidak bersifat mengurangkan pembaziran bahkan lebih banyak pembaziran terpaksa dilaburkan semata-mata memenuhi kerakusan politik Anwar Ibrahim dan kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

    “Apakah semua pihak akan menerima bulat-bulat bahawa penganjuran jamuan Hari Raya Aidilfitri di negeri PRN semata-mata tiada udang di sebalik batu,” soal Ahmad semalam.