Author: Wartawan WartaRakyat

  • Siasatan terhadap Jho Low masih berjalan, kata KPN

    Siasatan terhadap Jho Low masih berjalan, kata KPN

    KETUA Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, siasatan polis terhadap ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low berkaitan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd masih berjalan.

    “Pada masa ini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih berusaha membawa pulang Jho Low.

    “Kertas siasatan terhadap Jho Low dibuat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA).

    “Bagi Polis Diraja Malaysia (PDRM) kertas siasatan terhadap Jho Low iaitu di bawah Seksyen 4(1) Akta Pengubahan Wang Haram, masih berjalan.

    “Pertuduhan ke atasnya (Jho Low) sudah dibuat di mahkamah pada Ogos 2018,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman hari ini.

    Pada masa ini katanya, beliau masih belum berkesempatan untuk bertemu dengan Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berhubung usaha membawa pulang Jho Low untuk dibicarakan.

    “Apa yang saya tahu usaha membawa balik Jho Low sedang giat dilakukan oleh SPRM, namun saya masih belum mempunyai butiran lanjut kerana belum berkesempatan bertemu Tan Sri Azam Baki,” katanya, lapor Astro Awani.

    Beliau berkata tiada sebab untuk siasatan kes berkenaan ditutup sehingga Jho Low dihadapkan ke mahkamah.

  • Bekas pemain ragbi Sabah didakwa bunuh adik

    Bekas pemain ragbi Sabah didakwa bunuh adik

    SEORANG bekas pemain ragbi Sabah yang masih aktif bermain untuk sebuah kelab tempatan didakwa di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu atas tuduhan membunuh adik perempuannya minggu lalu.

    Arden Mattson Maturin, 26, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

    Berita Harian melaporkan tiada pengakuan direkodkan dan Majistret Jessica Ombou Kakayun menetapkan 14 Jun ini untuk sebutan semula kes.

    Pendakwaan dikendalikan Albert Basiri, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Berdasarkan kertas pertuduhan, Arden didakwa membunuh Audrey, 24, antara 3.30 hingga 4.30 petang di rumah Nombor 10, Taman Prestij, Jalan Signall Hill, di Kota Kinabalu pada 4 Mei lalu.

    Media melaporkan mangsa ditemui ayahnya kira-kira 4.50 petang hari sama dalam keadaan tertiarap, berlumuran darah dan tidak sedarkan diri dengan kesan kecederaan di muka.

    Mangsa disahkan meninggal dunia pada 10.30 malam Sabtu lalu, selepas dua hari dirawat di Hospital Queen Elizabeth.

  • Tiga dipenjara simbah cat merah, beri notis ugutan

    Tiga dipenjara simbah cat merah, beri notis ugutan

    MAHKAMAH Sesyen Seremban hari ini menjatuhkan hukuman penjara selama 26 hari terhadap tiga lelaki atas pertuduhan menyimbah cat berwarna merah dan memberi notis berunsur ugutan di rumah dua wanita bulan lalu.

    Hukuman tersebut dijatuhkan selepas semua mereka mengaku bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin.

    Beliau turut berpesan kepada kesemua tertuduh, Ameerul Ridhuan Shamsudin, 29, yang bekerja sendiri, Mohd. Lutfi Laily, 31, bekerja sebagai penghantar makanan dan Mohd Rusdy Safuan Laily, 29, tidak bekerja supaya tidak lagi melakukan kesalahan itu.

    “Jangan nak ugut-ugut lagi. Dah insaf ke belum,” soalnya, lapor Sinar Harian.

    Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh sebagai wakil pemberi pinjaman tanpa lesen didapati telah mengganggu peminjam wang iaitu seorang wanita berusia 41 tahun dengan menyimbah cat berwarna merah di pekarangan rumah dan pagar rumah mangsa serta memberikan notis berunsur ugutan ‘ini peringatan pertama hutang wang, bayar wang. Jika awak orang masih tak nak selesaikan hutang, new year saya buat teruk’.

    Kesalahan itu dilakukan pada 22 April 2023, pukul 5.42 pagi di sebuah rumah di Taman Pinggiran Golf di Seremban.

    Berikutan itu tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 29B(1) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan hukuman Seksyen 29B(1) Akta Pemberi Pinjam Wang.

    Sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM50,000 dan tidak melebihi RM250,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

    Sekiranya ia kesalahan kedua atau berturutan, akan dikenakan sebatan.

    Mengikut pertuduhan kedua, mereka turut melakukan kesalahan sama di rumah seorang wanita berusia 52 tahun dengan memberikan notis berunsur ugutan ‘jangan cat kami tukar jadi petrol’.

    Kesalahan itu dilakukan pada 22 April 2023 pukul 5.30 pagi di Taman Paroi Jaya di Seremban.

    Kesemua tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu diberi hukuman ringan kerana masing-masing perlu menjaga ibu yang sedang sakit selain mengaku sudah insaf.

    Timbalan Pendakwa Raya, M. Kalaivaanan mohon hukuman berat terhadap kesemua tertuduh yang dapat memberi pengajaran dengan mengambil kira kepentingan awam lebih daripada kepentingan peribadi.

    Katanya, ia juga sebagai mesej jelas kepada orang lain agar tidak melakukan kesalahan sama.

    Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman 12 hari penjara bagi pertuduhan pertama dan 14 hari penjara bagi pertuduhan kedua serta tertuduh diminta tidak berhubung lagi dengan pengadu.

  • Pemuda UMNO kritik Mat Sabu berhubung lantikan politik dalam agensi pertanian

    Pemuda UMNO kritik Mat Sabu berhubung lantikan politik dalam agensi pertanian

    PEMUDA UMNO mengkritik keputusan Kementerian Pertanian Makanan dan Keterjaminan Makanan (KPKM) yang dipimpin oleh Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu selepas melantik lima pemimpin Pakatan Harapan (PH) bagi menerajui agensi utama di bawah kementerian itu.

    Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh menggesa Mohamad atau lebih dikenali Mat Sabu supaya menarik semula lantikan tersebut kerana tindakan itu adalah bertentangan dengan prinsip kerajaan campuran pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Dua hari lalu, KPKM mengumumkan lantikan tiga pemimpin Amanah iaitu Faiz Fadzil sebagai pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Mahfuz Omar sebagai pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), manakala Aminuddin Zulkipli dilantik sebagai pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama).

    Sementara itu, Azman Ismail dari Parti Keadilan Raktyat (PKR) serta Sheikh Umar Bagharid Ali daripada DAP masing-masing diberi tanggungjawab menerajui Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) dan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM).

    Menurut Akmal, lantikan itu perlu diteliti semula kerana ia bercanggah dengan pendirian reformasi yang diperjuangkan Anwar yang menentang amalan lantikan politik dalam badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

    “Walaupun itu hak prerogatif menteri seperti kita sedia maklum tetapi kena diambil kira prinsip yang kerajaan pegang dan janjikan,” katanya dalam temu bual bersama Sinar Harian.

    “Saya minta perdana menteri lihat semula prinsip yang ditetapkan itu dan teruskan berpegang kepada prinsip berkenaan serta tunaikan apa yang dijanjikan.

    “Kalau ia tidak dikotakan, saya risau rakyat akan mula benci, muak dan mereka tak mahu lagi ambil tahu pasal politik negara.”

    Pada masa sama, beliau menjelaskan, teguran itu dibuat oleh pihaknya selepas mendapati perbuatan tersebut adalah salah dan perlu diperbetulkan.

    Tambahnya, semua pihak tidak kira parti politik perlu tunaikan apa yang telah dijanjikan agar rakyat tidak muak dengan ahli politik.

    “Kalau rakyat berasa demikian terhadap kerajaan, maka ini isu serius dan membahayakan,” katanya, lapor MalaysiaNow.

  • Dua lelaki didakwa kes letupan guna alat kawalan jauh

    Dua lelaki didakwa kes letupan guna alat kawalan jauh

    DUA lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menyebabkan letupan di depan sebuah kedai minggu lalu.

    Alex Lau, 32, dan Lai Meng Sien, 34, membuat pengakuan itu apabila pertuduhan dibaca kepada mereka di depan Majistret Nur Farahain Roslan, lapor FMT.

    Kedua-duanya didakwa dengan niat bersama melakukan perbuatan itu di bawah Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

    Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya.

    Lau dan Lai didakwa menyebabkan letupan di depan sebuah kedai di kondominium Tiara Mutiara 1 di Jalan Puchong dan Jalan Klang Lama pada 6 pagi 2 Mei lalu.

    Dua tertuduh itu didakwa mengubah suai paip PVC menjadi bahan letupan buatan sendiri (IED) yang diledakkan melalui kawalan jauh untuk menyebabkan letupan.

    Peguam Izhar Ahmad Azmi yang mewakili kedua-duanya, merayu ikat jamin rendah.

    Mahkamah membenarkan ikat jamin RM3,000 bersama seorang penjamin untuk setiap tertuduh serta mereka perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

    Mahkamah menetapkan 22 Jun ini untuk serahan dokumen oleh pendakwaan kepada pembelaan.

  • Gunalah logo dacing dalam PRN di Pantai Timur-Wan Fayhsal

    Gunalah logo dacing dalam PRN di Pantai Timur-Wan Fayhsal

    KETUA Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengalu-alukan parti-parti dalam kerajaan perpaduan menggunakan logo Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang di Pantai Timur.

    “Langkah kerajaan BN-PH menggunakan logo dacing akan memberi kelebihan kepada Perikatan Nasional (PN) untuk menyapu bersih kerusi-kerusi di sana.

    “Kami alu-alukan strategi tersebut. Tolonglah gunakan logo dacing untuk ‘jual’ PH dan BN.

    “Ini dah terbukti, guna dacing (pada PRU15) di Pantai Timur, di kubu Melayu, kita sapu bersih. Insya-Allah,” katanya kepada pemberita di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini.

    Ahli Parlimen Machang itu mengulas tindakan BN yang sedang mempertimbangkan hasrat parti sekutunya dalam kerajaan perpaduan untuk menggunakan logo dacing pada PRN akan datang.

    Pada Rabu, Pengarah Pilihan Raya BN, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, parti-parti sekutu dalam kerajaan perpaduan mahu menggunakan logo gabungan itu di beberapa negeri untuk mendapat kelebihan.

    Mohamad bagaimanapun enggan mendedahkan parti berkenaan atau negeri yang terlibat.

    Sementara itu, ketika diminta mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi bahawa PN akan berpecah, termasuk terdapat parti yang akan ditendang, Wan Fayhsal berkata, ada pihak yang cemburu dengan perpaduan ummah PN.

    “Kita tengoklah semua jamuan majlis raya yang dibuat PN berbanding mereka yang buat. Jauh beza yang hadir itu, lebih berkali ganda berbanding apa yang Zahid buat di Bagan Datuk,” katanya, lapor FMT.

    Semalam, Zahid menjangkakan gabungan parti kononnya memperjuangan Melayu Islam akan pecah kerana sudah ada tanda-tanda keretakan sedang berlaku.

    Tanpa menyebut nama parti dan gabungan itu, beliau dipercayai merujuk kepada Pas di mana sebelum ini Umno bersama parti itu dalam gabungan Muafakat Nasional (MN).

    Zahid membuat jangkaan itu berdasarkan pengalaman UMNO bersama Pas dalam MN, apabila ditendang dan rakannya itu memilih bersama PN.

  • Pendengaran kes Sultanah-Sarawak Report pada 22 September

    Pendengaran kes Sultanah-Sarawak Report pada 22 September

    MAHKAMAH Rayuan menetapkan 22 September untuk mendengar rayuan Terengganu Sultanah Nur Zahirah dalam saman fitnahnya terhadap pengasas laman pendedah maklumat Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown.

    Peguam diraja Terengganu, Datuk Mohd. Haaziq Pillay ketika dihubungi mengesahkan perkara berkenaan, lapor Malaysiakini.

    Pada 31 Oktober tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak tindakan sivil sultanah terhadap kenyataan dalam buku Rewcastle-Brown bertajuk The Sarawak Report – The Inside Story of 1MDB.

    Mahkamah sivil memutuskan bahawa dari perspektif pembaca yang munasabah, kenyataan yang dipersoalkan tidak memberi menimbulkan beberapa tuduhan yang disoal oleh sultanah.

    Semasa pendengaran tindakan sivil, sultanah menafikan dia terlibat dalam entiti awal 1MDB, Terengganu Investment Authority (TIA).

    Rewcastle-Brown pula mengakui bahawa dia melakukan kesilapan yang tidak disengajakan.

    Bahagian itu juga dibuang daripada edisi cetakan baru buku itu.

  • Nama dikaitkan dengan kes rasuah, pegawai Hamzah lapor polis

    Nama dikaitkan dengan kes rasuah, pegawai Hamzah lapor polis

    SEORANG pegawai ketua pembangkang membuat laporan polis terhadap penyebaran maklumat yang mengaitkan Datuk Seri Hamzah Zainudin dengan kes rasuah.

    Ahmad Ikhwan Fadhli menyifatkan maklumat itu sebagai palsu dan menggesa polis menyiasat ‘konspirasi’ atau ‘campur tangan agensi kerajaan untuk mengaitkan Hamzah.

    Laporan dibuat di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur, menurut Malaysiakini.

    Turut hadir Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

    Hamzah semalam berkata, tindakan memetik namanya dalam pertuduhan terhadap seorang ‘datuk seri’ semalam bertujuan untuk mencemarkan reputasinya.

    “Pertuduhan rasuah terhadap individu bernama Sim Choo Thiam menyebutkan bahawa ia membabitkan projek-projek di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) semasa saya menjadi menteri. Malah, pertuduhan tersebut juga menyebutkan nama saya.

    “Itulah yang janggal dan menghairankan saya kenapa nama saya disebut sedangkan saya tiada pembabitan langsung.

    “Bila diperhalusi keempat-empat pertuduhan tersebut ia menyebut bahawa suapan adalah untuk ‘mendapatkan apa-apa projek milik agensi-agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri’,” katanya.

  • Anthony Loke tidak tahu cadangan lantik Jeck Seng pengerusi KTMB baharu

    Anthony Loke tidak tahu cadangan lantik Jeck Seng pengerusi KTMB baharu

    MENTERI Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menafikan khabar angin mengenai cadangan melantik Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Wee Jeck Seng sebagai pengerusi baharu Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB).

    Jelas beliau, perkara berkenaan tidak dimaklumkan kepadanya setakat ini.

    “Dari mana kamu dapat berita itu? Saya tidak menerima sebarang maklumat mengenai perkara ini,” katanya kepada pemberita di luar Persidangan Undang-undang dan Perniagaan Maritim 2023 di Kuala Lumpur hari ini.

    Beliau berkata pelantikan pengerusi KTMB terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan

    “Setakat ini, saya tidak dimaklumkan (Kementerian Kewangan) mengenai cadangan sedemikian,” katanya.

    Pada 6 Mei, China Press melaporkan bahawa MCA telah memutuskan untuk mencadangkan Wee sebagai pengerusi baharu KTMB.

    Sekiranya pelantikan itu disahkan, Wee akan menjadi Ahli Parlimen pertama dari MCA yang diberi jawatan dalam kerajaan perpaduan.

    Beliau sebelum ini merupakan timbalan menteri industri perladangan dan komoditi di bawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Ketika ini pengerusi KTMB ialah Ketua UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir.

    Dalam perkembangan lain, Loke berkata, beliau akan bertemu Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki pada Selasa berhubung laporan salah laku yang dikatakan tidak diendahkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

    Mengenai projek transit aliran ringan (LRT) Pulau Pinang, beliau berkata, Kementerian Kewangan telah memanggil mesyuarat dengan MRT Corp pada minggu depan.

    “Kementerian dan agensi berkaitan kemudiannya akan bertemu dengan Kementerian Kewangan untuk melihat model pembiayaan dan membuat keputusan,” katanya lapor FMT.

  • ‘Menumpang di dapur orang, ada hati menuding jari’: Ahmad Fadhli bidas Ahmad Zahid

    ‘Menumpang di dapur orang, ada hati menuding jari’: Ahmad Fadhli bidas Ahmad Zahid

    KETUA Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari menempelak kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berhubung gabungan parti pembangkang itu yang dijangka akan berpecah tidak lama lagi.

    Ahmad Fadhli dalam nada berkias turut mempersoalkan tindakan Ahli Parlimen Bagan Datuk yang menuding jari pada pihak lain dan menyifatkan kedudukan BN umpama ‘menumpang di dapur orang’.

    “Kaki tempang tidak bersarang, sang merpati tidak berlari, tuan menumpang di dapur orang, ada hati menuding jari,” soalnya dalam siaran menerusi Facebook miliknya hari ini, lapor Sinar Harian.

    Semalam, media melaporkan Ahmad Zahid menjangkakan gabungan parti-parti yang didakwanya konon-konon memperjuangkan kaum Melayu akan berpecah tidak lama lagi.

    Beliau dalam ucapan amanat ulang tahun UMNO pada Khamis itu, berkias dengan menyorot semula insiden perpecahan dalaman yang dialami salah satu parti komponen gabungan pembangkang tersebut.