Author: Wartawan WartaRakyat

  • Rumah kongsi terbakar, pekerja ladang ditemui rentung

    Rumah kongsi terbakar, pekerja ladang ditemui rentung

    SEORANG pekerja ladang kelapa sawit ditemui rentung dalam kebakaran sebuah rumah kongsi di kawasan estet di Kalabakan, dekat Tawau semalam.

    Dalam kejadian kira-kira 9 pagi itu, Sofian Aggel Ibrahim, 52, dipercayai tidak sempat keluar dari rumah ketika kebakaran.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya hanya menerima panggilan kecemasan pada 1.50 tengah hari melalui Balai Polis Bombalai.

    Katanya, pengadu lewat melaporkan kejadian itu akibat lokasi kejadian tiada liputan rangkaian telekomunikasi.

    “Empat anggota bomba dikejar ke lokasi yang terletak sejauh 65km untuk mengambil maklumat dan pengesahan kebakaran.

    “Pengadu memaklumkan menemui mangsa dalam keadaan rentung dan mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya menurut Sinar Harian.

    Beliau berkata, blok rumah kongsi tidak kekal yang mempunyai tujuh pintu itu musnah sepenuhnya dalam kebakaran berkenaan.

    “Pemeriksaan turut dijalankan bagi memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian sebelum operasi ditamatkan pada 6.31 petang.”

  • Adnan Saidin, Raja Sepak Takraw Asia meninggal dunia

    Adnan Saidin, Raja Sepak Takraw Asia meninggal dunia

    Oleh BADLISHAH MAT

    DUNIA sepak takraw tanah air kehilangan seorang legenda apabila Raja Sepak Takraw Asia, Adnan Saidin meninggal dunia pada usia 66 tahun di Alor Setar, pagi ini.

    Allahyarham yang terkenal dengan libasan ‘maut’ sudah beberapa hari menjalani rawatan di sebuah hospital swasta akibat sakit jantung dan jangkitan kuman pada paru-parunya selain menghidap penyakit saraf serta kencing manis.

    Berita pemergian Adnan dimaklumkan oleh Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir.

    Bekas ketua pasukan negara dari 1980 hingga 1986 dan Kedah dari 1976 hingga 1992 itu telah bersara daripada tugas di sebuah syarikat utiliti negara dan mempunyai enam anak.

    Penglibatan hampir 20 tahun dalam sukan itu banyak meninggalkan kenangan manis kepadanya dan negara terutamanya ketika berdepan musuh tradisi, Thailand pada aksi final Sukan SEA di Jakarta 1979.

    Dalam pertembungan itu, libasan ‘pari’ Adnan tepat ke dada apit kanan Thailand yang menyaksikan pemain itu tumbang akibat sesak nafas dan terpaksa diusung keluar gelanggang.

    Kehebatannya dalam sukan itu membolehkannya dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Asia pada 1984 dan digelar Raja Sepak Takraw Asia dua tahun kemudian.

  • 670 petugas haji digerakkan ke Arab Saudi santuni jemaah haji Malaysia

    670 petugas haji digerakkan ke Arab Saudi santuni jemaah haji Malaysia

    SERAMAI 670 petugas haji akan digerakkan ke Arab Saudi untuk menjelaskan operasi haji tahun ini, kata Pengarah Eksekutif Haji TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

    Katanya, daripada jumlah tersebut, 340 orang adalah petugas kebajikan, perubatan (296 orang) dan selebihnya daripada agensi luar seperti Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan wail media.

    ‘’Kumpulan pertama yang terdiri daripada 16 petugas perubatan dan petugas teknologi maklumat (IT) telah berlepas kelmain dan akan disusuli dengan tiga Kumpulan besar pada hari ini, 18 Mei dan 20 Mei,’’ katanya dalam kenyataan.

    Hari ini seramai 160 petugas berlepas ke tanah suci sebagai persediaan awal bagi menyantuni jemaah haji Malaysia.

    Keberangkatan semua petugas dilakukan secara berperingkat melalui beberapa siri penerbangan sepanjang fasa pertama operasi haji tahun ini.

  • PH,BN guna logo sendiri di Kedah

    PH,BN guna logo sendiri di Kedah

    WALAUPUN kini sudah berada dalam kerajaan yang sama namun Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan akan menggunakan logo masing-masing dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

    Ketika memaklumkan prekära itu, Pengerusi Perhubungan UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ia adalah pendirian semasa kedua-duanya dan pimpinan tinggi di peringkat pusat belum memberi sebarang makluman.

    “Soal logo (pusat) tak beri makluman, setakat ini PH guna lambang PH dan BN guna lambang BN,” katanya selepas Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) rapor FMT.

    Pada 10 Mei lalu, Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan mendedahkan ada rakan sekutunya berhasrat menggunakan lambang BN di negeri tertentu untuk mendapatkan sedikit kelebihan ketika PRN.

    Berhubung pemimpin akan diketengahkan sebagai “poster boy” oleh gabungan BN dan PH Kedah, Mahdzir berkata perkara itu belum diputuskan pimpinan pusat.

    “Poster boy akan ada, cuma ia akan diputuskan pusat,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau mengulangi gesaannya supaya kerajaan Kedah memikirkan penyelesaian jangka panjang masalah air negeri itu yang kerap berlaku, terbaru di Kuala Kedah yang membabitkan lebih 250,000 akaun atau hampir sejuta pengguna.

    “Kalau satu rumah ada tiga, empat orang sudah sejuta orang langsung tiada bekalan air…ia sangat sedih dan menyusahkan.

    “Sepatutnya dalam musim seumpama ini ada langkah (atasi masalah), bukan penyelesaian jangka pendek,” kata bekas Ahli Parlimen Padang Terap itu.

  • Kerajaan Perpaduan mampu lepasi PRU16, kata Zahid

    Kerajaan Perpaduan mampu lepasi PRU16, kata Zahid

    TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yakin Kerajaan Perpaduan akan kekal utuh sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

    Presiden UMNO itu berkata, perkara tersebut mampu dicapai sekiranya gabungan politik sedia ada mampu mengangkat idealisme dan sokongan penuh terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    “Kedudukan kerajaan ketika ini sedang menyaksikan sejarah lakaran terbaharu dalam arena politik yang dibentuk dalam semangat kepelbagaian.

    “UMNO dan Barisan Nasional (BN) meminta jangan lagi pernah menoleh ke belakang, rakyat seluruh negara mahu PM bersama 19 parti yang ada terus memacu Malaysia sebagai negara terkehadapan.

    “Perkara ini dibuktikan, saya saksikan dalam majlis Aidilfitri yang kita hadiri, saya terkejut sebagai rakan lama (politik), kita terpinggir selama 25 tahun dan sekarang kita bersama semula… saya yakin idealisme diterjemah dalam dasar yang baik, Kerajaan Madani pasti lepasi PRU16,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi pimpinan utama Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

    Zahid juga berhasrat agar Anwar mampu mengembalikan semula Malaysia antara yang di hadapan dalam kalangan negara ASEAN.

    Sementara itu, beliau turut mengulas mengenai soal kejayaan terbentuknya Kerajaan Perpaduan yang tidak akan terbentuk tanpa kerjasama UMNO.

    Ahmad Zahid berkata, meskipun hanya menyumbang 30 kerusi Parlimen namun ia telah menjadi pelengkap kepada Kerajaan Perpaduan.

    “UMNO dan BN, biarpun 30 kerusi Parlimen, kami adalah pelengkap. Jika Pakatan Harapan (PH) ada 82 (kerusi) tanpa yang 30 tidak ada Kerajaan Perpaduan.

    “Yang kami fikir bukan kepentingan tetapi kita fikir tentang mudarat, mana mudarat lebih besar, tapi kami ambil keputusan mudarat kecil adalah dengan Anwar dan mudarat itu menjadi keberuntungan kepada rakyat,” katanya, lapor Astro Awani.

    Dalam pada itu, Ahmad Zahid juga menyifatkan perhimpunan yang berlangsung di Dewan Merdeka ini sebagai satu sejarah kerana kesemua 19 parti politik berada di bawah satu bumbung yang sama.

    “Buat apa kita berlawan, kita kukuhkan Kerajaan Perpaduan. 25 tahun lampau di Dewan Merdeka ini menyaksikan insan bersama dengan kita, telah diaibkan, dihina, dan dizalimi. 25 tahun kemudian insan itu adalah Perdana Menteri Malaysia.

    “Dulu ramai sangat fobia dengan Dewan Merdeka… tapi itu dulu, sekarang realitinya kita bentuk politik baharu, politik Kerajaan Madani.

    “Dulu ada yang memandang warna merah dan biru sangat fobia. Saya ucapkan tahniah kepada sekretariat… tiada perbezaan warna, hanya warna putih,” ujar Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

  • DAP nafi dominasi kerajaan, majoriti masih bumiputera, kata Loke

    DAP nafi dominasi kerajaan, majoriti masih bumiputera, kata Loke

    DAP menafikan dakwaan kononnya bakal mendominasi pemerintahan Kerajaan Perpaduan menerusi jalinan kerjasama yang telah dibentuk.

    Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, bukti itu boleh dilihat berdasarkan kedudukan dan angka yang jelas melibatkan Ahli Parlimen di dalam Kerajaan Perpaduan.

    “Biar fakta berbicara kerana kerajaan hari ini didokong oleh 148 Ahli Parlimen yang terdiri daripada 77 bumiputera beragama Islam, (16) bumiputera bukan Islam, Cina (43), India (12) dan lain-lain.

    “Maksudnya di sini majoriti dalam Kerajaan Perpaduan masih didokong oleh Melayu beragama Islam dan bumiputera,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi ucapan pimpinan utama Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

    Mengulas lanjut, Loke menyatakan, pembentukan Kerajaan Perpaduan juga tidak dipengaruhi oleh sebarang unsur negatif malah DAP juga tidak meletakkan syarat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk gabungan politik.

    Katanya, kedudukan Kerajaan Perpaduan ketika ini juga menjadi bukti setiap parti politik mendokong penuh prinsip Rukun Negara iaitu Kesetiaan Kepada Raja Dan Negara.

    “Perkara ini adalah selepas titah Yang di-Pertuan Agong yang mencadangkan kesemua parti politik agar bekerjasama untuk membentuk kerajaan dan mentadbir negara selepas keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 menyaksikan kedudukan Parlimen yang tergantung.

    “Matlamat utama ketika ini adalah memastikan jalinan kerjasama yang jitu melibatkan pelbagai kaum kerana persaingan bukanlah tertumpu di dalam negara namun melibatkan dunia luar,” katanya lapor Astro Awani.

  • Tak tahan desakan bayar hutang, jurujual buat laporan palsu dirompak

    Tak tahan desakan bayar hutang, jurujual buat laporan palsu dirompak

    SEORANG jurujual didenda RM400 susulan membuat laporan palsu dirompak kerana tidak tahan menerima desakan supaya melunaskan hutang.

    Tertuduh, Nur Zaman Nasir, 31, memberikan alasan itu selepas disoal peguam Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) sebelum Majistret Nur Asidah A Rahman menjatuhi hukuman denda itu, di Mahkamah Majistret Batu Pahat.

    “Saya terpaksa membuat laporan palsu dirompak kerana desakan daripada peminjam supaya melunaskan hutang mereka,” katanya menurut Harian Metro.

    Mahkamah juga mengarahkan tertuduh dipenjara sebulan sekiranya gagal membayar denda.

    Mengikut fakta kes, tertuduh membuat laporan di Balai Polis Sri Gading mendakwa beg sandang miliknya disamun pada 4.10 petang, 5 April lalu.

    Dalam laporan itu, tertuduh mendakwa kejadian berlaku ketika dia dalam perjalanan dari Jalan Rahmat menuju ke Jalan Tanjung Laboh, Batu Pahat.

    Bagaimanapun, polis menjalankan siasatan bersabit laporan dibuat tertuduh mendapati ia palsu dan sengaja diada-adakan cerita bagi mengelak dia membayar hutang.

    Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Khalijah Khalid memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap kesalahan dilakukannya.

    Tan bagaimanapun meminta mahkamah meringankan hukuman kerana tertuduh perlu membesarkan dua anak berusia dua hingga empat tahun serta menjaga ibunya berusia 58 tahun yang sakit.

  • Umum projek mega:Anwar cakap tak serupa bikin – Razali

    Umum projek mega:Anwar cakap tak serupa bikin – Razali

    DATUK Seri Anwar Ibrahim diingatkan agar tidak menjalankan tadbir urus secara pilih kasih berikutan tindakannya mengumumkan peruntukan tambahan dan projek mega di beberapa negeri yang dilawati sejak menerajui kerajaan Pusat.

    Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris berkata, tindakan tersebut bertentangan meskipun sebelum ini sudah berikrar untuk tidak meneruskan amalan tersebut.

    Jelasnya, tindakan terbaharu Perdana Menteri di Negeri Sembilan yang mengumumkan keputusan kerajaan meluluskan peruntukan tambahan berjumlah lebih RM1 bilion di negeri itu hanya membuktikan beliau bersikap ‘hipokrit’ dan tidak menepati janji-janjinya sebelum menjawat jawatan tersebut.

    Ini termasuk juga katanya, pengumuman Anwar kepada Pulau Pinang berhubung pelaksanaan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) di negeri berkenaan dan peruntukan khusus sebanyak RM1.6 bilion kepada negeri Kedah seperti yang diumumkan pada 3 Mei lalu.

    “Di Kelantan beliau kata akan cari dana untuk selesaikan masalah air dan di Selangor beliau ada umum peruntukan RM35 juta bagi memperluas pelaksanaan program Kita-Untuk-Kita (K2K) di 10 Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kuala Lumpur dan Selangor.

    “Pada saya, beliau cakap tak serupa tak bikin, saya harap rakyat kena sedar pembohongan demi pembohongan,” katanya memetik laporan Sinar Harian hari ini.

    Beliau mengulas mengenai tindakan Anwar yang bertindak melanggar ikrarnya sebelum ini dengan mengumumkan dana tambahan dan projek mega ketika melawat beberapa negeri sebelum ini.

    Pada Januari lalu, Anwar berikrar tidak akan meneruskan amalan kerajaan terdahulu yang disifatkannya selalu mengumumkan projek-projek pembangunan ketika melakukan lawatan di negeri-negeri terutama ketika menjelang pilihan raya.

    Razali berkata, tindakan itu juga memperlihatkan beliau cuba meraih sokongan rakyat di negeri yang terlibat dengan pilihan raya kecil (PRK) tidak lama lagi.

    “Sebelum pilihan raya semua orang disalahkan, tapi bila beliau berada dalam kuasa, beliau pula yang lakukan perkara itu.

    “Kalau kita tengok ciri-ciri orang munafik ini, apabila dia bercakap dia berbohong, apabila dia janji dia mungkir, bila diberi amanah tidak amanah. Tapi bila beliau berada dalam kuasa, beliau pula yang lakukan perkara itu.

    “Mungkin cara dia bercakap macam boleh membantu kepada pelaburan baharu, tapi buatlah perkara ikut peraturan, untuk lulus berbilion-bilion tak berbincang ke,” soalnya.

    Tambahnya, Anwar juga dilihat sering melanggar prosedur operasi standard (SOP) permohonan projek dengan membuat pengumuman secara tiba-tiba.

  • Hanyut dibawa arus, 2 remaja 15 tahun ditemukan lemas

    Hanyut dibawa arus, 2 remaja 15 tahun ditemukan lemas

    DUA remaja lelaki dilaporkan hilang Jumaat lalu selepas dihanyutkan arus sungai semasa mandi di Sungai Rajang berdekatan pekan Durin, kira-kira 26km dari Sibu, ditemukan lemas hari ini.

    Ketua Bomba Sibu, Andy Alie, berkata mangsa pertama, Justin Siaw ditemukan pada 7.35 pagi, manakala mangsa kedua Kong Wei Seng pada 8.15 pagi.

    Beliau berkata, kedua-dua mangsa yang berusia 15 tahun ditemukan pada jarak antara lima dan 10km dari lokasi kejadian.

    “Pengecaman kedua-dua mangsa dilakukan ibu bapa masing-masing di lokasi,” katanya menurut Bernama.

    Dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, dua remaja itu dikatakan sedang mandi di sungai berkenaan bersama seorang lagi rakan, apabila kedua-duanya dilihat dibawa arus dan terus tenggelam, kira-kira 10m dari jeti berhampiran.

    Rakan mangsa yang menyaksikan kejadian itu bergegas memaklumkan kepada saudara-mara untuk meminta bantuan.

  • Kerajaan tidak kekal jika tak selesai masalah rakyat-Johari

    Kerajaan tidak kekal jika tak selesai masalah rakyat-Johari

    BEKAS Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Ghani berkata, mana-mana pihak menjadi kerajaan tidak akan kekal jika tidak dapat menyelesaikan masalah rakyat.

    Ahli Parlimen Titiwangsa itu berkata, justeru kerajaan perlu menumpukan kepada ekonomi rakyat dan negara bagi memastikan kestabilan politik.

    “Bila cerita tentang ekonomi rakyat, mereka mahukan makanan. Tidak kira mereka datang daripada T20, M40, atau B40.

    “Jangan sampai tidak ada ayam dan telur,” katanya ketika berucap dalam Konvensyen Kerajaan Perpaduan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

    Dalam pada itu, Johari berkata, kerajaan juga perlu memberikan kualiti pendidikan, peluang pekerjaan, dan perumahan kepada B40.

    “Di samping dapat rumah, perlu ada perkara asas iaitu jalan raya yang efisien sampai ke rumah mereka dan mempunyai utiliti seperti elektrik, air serta internet,” katanya.

    Mengulas ekonomi negara, Johari berkata, kerajaan perlu berkebolehan membawa pelaburan dalam negara termasuk dari luar negara.

    Katanya, kerajaan juga apabila mendapat pendapatan hasil kutipan cukai perlu membelanjakannya untuk membina infrastruktur seperti sekolah, universiti, dan hospital.

    “Rakyat tak suka sakit…kerajaan perlu bina hospital-hospital dengan duit yang dapat ini untuk jaga kesihatan rakyat secara keseluruhannya.

    “Ekonomi rakyat dan negara saling kait antara satu sama lain dan untuk jayakannya, kerajaan perlu pastikan sebuah kerajaan itu dapat beri kestabilan politik, ada integriti di kaca mata rakyat, dan mempunyai pengalaman tadbir kerajaan,” ujarnya lapor FMT.