Author: Wartawan WartaRakyat

  • Banduan liwat rakan dijel 5 tahun, satu sebatan

    Banduan liwat rakan dijel 5 tahun, satu sebatan

    SEORANG banduan dihukum penjara lima tahun dan satu sebatan di Mahkamah Sesyen Kota Bharu atas kesalahan meliwat rakan lelaki di Pusat Pemulihan Akhlak di Machang pada tahun lalu.

    Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohammad Rohaizad Rosli, 27, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan terbabit.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan aturan tabii dengan mangsa yang berusia 33 tahun di sebuah bilik di blok pusat pemulihan terbabit pada pukul 1 pagi pada 26 Jun 2022.

    Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry dan tertuduh tidak diwakili peguam.

    Pada prosiding itu, Wan Nurul Hanini memohon hukuman setimpal ke atas tertuduh kerana kesalahan dilakukan ketika dia menjalani hukuman kes dadah di Pusat Pemulihan Akhlak Machang.

    “Hukuman seharusnya memberi pengajaran kepada tertuduh supaya tidak melakukan kesalahan sama pada masa akan datang,” katanya lapor Sinar Harian.

    Mohammad Rohaizad dalam rayuannya memohon mahkamah menetapkan hukuman penjara bermula daripada tarikh dia ditangkap.

  • Hanya beza ideologi, tidak pernah bermusuh, kata Ahmad Fadhli

    Hanya beza ideologi, tidak pernah bermusuh, kata Ahmad Fadhli

    KETUA Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari mendakwa, Pas tidak pernah bermusuh sebaliknya hanya berlaku perbezaan ideologi sahaja.

    Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, alangkah baiknya jika mengendurkan perbezaan pendapat itu dikira sebagai berdamai.

    “Berdamai bukan dipilih oleh pihak tertentu sahaja. Contohnya, jika ‘berdamai’ itu ialah dengan Pas, sudah tentu perlu didamaikan juga dengan PN secara keseluruhannya.

    “Apakah terma dan syaratnya? Boleh dibincangkan, yang penting untuk kebaikan rakyat,” soalnya menerusi hantaran dalam Facebook miliknya, hari ini.

    Sebelum ini, media tempatan melaporkan, veteran DAP, Lim Kit Siang membuat tawaran kepada Pas untuk bekerjasama dengan kerajaan campuran untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

    Tawaran Kit Siang timbul setelah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat aktif mengusahakan jalan perdamaian dengan Pas menerusi perjumpaan dengan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

    Pada masa sama, Ahmad Fadhli berkata, perdamaian tidak semestinya memerlukan semua pihak untuk menjadi kerajaan.

    Jelas beliau lagi, perkara yang paling penting adalah menunaikan hak kepada yang berhak.

    “Sebaliknya, bukan menafikan hak kemudian mengajak untuk berdamai,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

  • Dakwa Coldplay simbol LGBT, PAS terus lobi batal konsert

    Dakwa Coldplay simbol LGBT, PAS terus lobi batal konsert

    PAS terus mendesak kerajaan untuk membatalkan konsert jelajah dunia Coldplay yang dijadualkan di Kuala Lumpur pada 22 November ini.

    Ketua Penerangan Pas, Johor, Abu Irfan Muhammad Al Urduni berkata, bahawa kumpulan dari United Kingdom itu akan menyuburkan persefahaman LGBT di negara ini.

    “Kita dikejutkan dengan jadual kehadiran Coldplay untuk mengadakan persembahan di negara kita atas alasan kebebasan dan daya penarik ekonomi, Kerajaan Malaysia Madani menjemput ia ke negara kita.

    “Namun, dalam masa yang sama dilupakan latar belakang sebenar Coldplay adalah merupakan simbol LGBT dunia.

    “Kehadirannya bukan hanya memperkenalkan Malaysia kepada pihak luar, namun kesan negatif daripada simbol LGBT akan mengakibatkan mereka yang berperwatakan sedemikian akan merasa lebih bebas dan terhormat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Sebelum ini, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nasrudin Hassan juga mendesak kerajaan supaya membatalkan konsert kumpulan rock itu.

    Beliau pula melabelkan persembahan itu, sebagai tidak membawa sebarang kebaikan untuk negara, agama dan rakyat negara ini.

    Nasrudin juga mempersoalkan jika tindakan kerajaan itu bertujuan mahu menyuburkan budaya hedonisme dan songsang di Malaysia.

    Sementara itu, Abu Irfan berkata, langkah pendidikan yang bersepadu seharusnya diambil untuk berhadapan dengan golongan yang belum memahami agama Islam secara mendalam.

    Bukannya dengan cara memberikan kebebasan atas alasan hak asasi atau lainnya, ujar beliau.

    “Ini bagi mengelakkan kesan negatif daripada sesuatu tindakan tersebut yang akan tersebar kepada masyarakat umum khasnya muda mudi Islam.

    “Ini kerana penganjuran konsert secara terbuka dan besar-besaran hanya akan membuka ruang kepada penyertaan masyarakat Islam sedangkan ianya jelas bercanggah dengan kehendak syariat,” katanya, lapor Malaysiakini.

  • Tiada lagi subsidi elektrik untuk rumah orang kaya

    Tiada lagi subsidi elektrik untuk rumah orang kaya

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, isi rumah yang menggunakan elektrik pada jumlah yang amat tinggi tidak lagi akan menikmati subsidi daripada kerajaan.

    Ahli Parlimen Tambun itu berkata, rumah perseorangan yang penggunaan elektriknya sangat tinggi umpama rumah itu guna tiga kipas dan empat penyaman udara, maka mereka harus membayar kos sebenar dan tidak menikmati subsidi.

    “Maknanya, B40 dan M40 tiada kenaikan (tarif elektrik), tetapi rumah-rumah yang menggunakan elektrik yang tinggi akan dikenakan bayaran ikut harga pasaran.

    “Ini kena faham, tiada kenaikan bagi 90 peratus rakyat, tetapi bagi rumah-rumah yang menggunakan elektrik berlebihan termasuk penggunaan penyaman udara yang banyak (akan ada kenaikan tarif),” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) di Putrajaya hari ini.

    Perdana Menteri bagaimanapun tidak menyatakan bila penyelarasan kadar tarif elektrik akan dilaksanakan atau jumlah penggunaan yang akan dikategorikan sebagai ‘penggunaan amat tinggi’.

    Mengulas lanjut, Anwar berkata, kerajaan telah memulakan langkah pensasaran subsidi pada awal tahun ini dengan menolak cadangan kerajaan lalu untuk menaikkan harga elektrik.

    “Jadi kita kekalkan harga elektrik bagi B40 dan M40, dan hanya dikenakan kenaikan kepada kilang-kilang besar melainkan yang ada kaitan dengan pertanian atau perniagaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya.

    Pada Februari lalu, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad melaporkan bahawa kerajaan memperuntukkan RM10.76 bilion bagi menampung subsidi bil elektrik untuk pengguna domestik dan pengguna bukan domestik kategori voltan rendah (LV) bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2023.

    Ini meliputi pengguna daripada Perniagaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), restoran, kedai runcit, bengkel kecil serta pengguna dalam kategori pertanian seperti petani, penternak dan pekebun.

    Dengan pemberian subsidi berkenaan, seramai 9.5 juta pengguna elektrik yang mewakili 99 peratus daripada keseluruhan pengguna di Semenanjung Malaysia tidak akan terkesan dengan kenaikan kos bahan api penjanaan elektrik.

    Menurutnya, tarif elektrik disemak setiap enam bulan melalui mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) dengan mengambil kira kos bahan api dan kos penjanaan lain bagi tempoh enam bulan ke belakang.

    Kos ICPT bagi tempoh Julai hingga Disember 2022 adalah sebanyak RM16.16 bilion bersamaan kadar surcaj 27 sen/kWj yang sepatutnya dilepaskan kepada semua pengguna bagi tempoh Januari hingga Jun 2023.

    “Namun begitu, kerajaan telah bersetuju untuk hanya melepaskan surcaj 20 sen/kWj sahaja kepada pengguna industri dan komersial (High Voltage – HV dan Medium Voltage – MV) bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun ini.

    “Baki surcaj sebanyak 7 sen/kWj bersamaan RM1.93 bilion ditampung oleh Kerajaan,” katanya di Dewan Rakyat baru-baru ini.

    Menurut Nik Nazmi, pemberian subsidi bagi tarif elektrik buat pengguna domestik kategori T20 perlu dilihat semula pada masa depan kerana golongan ini berkemampuan untuk membayar tarif yang lebih kompetitif.

    Menurutnya, negara perlu beralih kepada subsidi secara bersasar dalam tarif elektrik dengan memastikan hanya golongan sasar memperoleh manfaatnya.

    “Kita ada kerangka ICPT untuk tetapkan tarif harga elektrik. Kita masih melindungi dan kekalkan kadar sama bagi pengguna domestik walaupun T20.

    “Itu satu perkara yang bagi saya perlu fikir semula pada masa depan kerana kalau cakap soal tarif untuk T20, mereka dapat gaji besar dan perlu bayar tarif lebih kompetitif.

    “Untuk M40 dan B40, saya setuju kita perlu melindungi mereka,” katanya, lapor Berita Harian.

  • Suami isteri didakwa ‘scam’ baju raya

    Suami isteri didakwa ‘scam’ baju raya

    SEPASANG suami isteri didakwa di Mahkamah Majistret Seri Manjung, Lumut hari ini atas pertuduhan gagal membekalkan sehelai baju raya bernilai RM158 kepada seorang wanita Februari lalu.

    Tertuduh, Mohd. Sopri Togil, 47, dan Massuwati Amran, 45, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret T. Kavita.

    Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh secara bersama menyetujui terima bayaran RM158 tanpa mempunyai alasan munasabah untuk mempercayai bahawa dapat membekalkan sehelai baju kurung kepada Nur Sabrina Aiman Mohd. Rosszi pada 31 Mac lalu.

    Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan Lumut, Sitiawan sekitar pukul 4.44 petang pada 13 Februari lalu, lapor Sinar Harian.

    Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan pelanggaran mengikut Seksyen 16(c) Akta Pelindungan Pengguna 1999 dan kesalahan di bawah Seksyen 25(1)(b) Akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

    Pada prosiding sama, Mohd. Sopri sebagai pemilik tunggal perniagaan yang menjalankan perniagaan baju kurung secara dalam talian didakwa telah gagal mendedahkan maklumat berkaitan nombor pendaftaran perniagaan.

    Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesalahan yang dilakukan di pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Manjung sekitar jam 1.10 petang pada 12 Mei lalu.

    Pertuduhan dilakukan mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pelindungan Pengguna (Urusniaga Perdagangan Elektronik) 2012 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 145(1) Akta Pelindungan Pengguna 1999.

    Sabit kesalahan boleh didenda RM50,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

    Kavita kemudiannya membenarkan Mohd. Sopri dijamin RM6,000 bagi kedua-dua pertuduhan manakala Massuwati dibenarkan dijamin RM5,500 dengan seorang penjamin.

    Beliau turut memerintahkan pasport kedua-dua tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan masing-masing diarahkan melaporkan diri di balai polis terdekat sekali sebulan.

    Mahkamah menetapkan 15 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk penyerahan dokumen.

    Mahkamah turut dimaklumkan bahawa aset kedua-duanya dibekukan dan kini turut disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya KPDN, Syazwani Zawawi manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam S. Dharmanathan.

    Media sebelum ini melaporkan KPDN menahan pasangan suami isteri bagi membantu siasatan berkaitan gagal membekalkan baju raya secara dalam talian membabitkan transaksi bernilai ratusan ribu ringgit.

    Penahanan dua individu terbabit adalah berkaitan sejumlah 100 aduan mangsa seluruh negara yang tidak menerima baju kurung ditempah sempena hari raya Aidilfitri.

  • DAP sedang ‘bunuh’ UMNO secara lembut

    DAP sedang ‘bunuh’ UMNO secara lembut

    KERJASAMA UMNO dengan DAP menyebabkan UMNO semakin hilang keabsahan politiknya di mata orang Melayu, termasuk penyokong-penyokong akar umbi parti itu sendiri. 

    Bekas Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri Ke-8, Datuk Dr. Marzuki Mohamad mendakwa, tanpa sokongan asas orang Melayu, UMNO hilang keabsahan politiknya dan hilang nilainya dalam politik Malaysia.

    “Tanpa disedari, DAP sedang membunuh UMNO secara lembut. (DAP is killing UMNO softly),” katanya dalam kenyataan terbaharu disiarkan di Facebooknya pada Isnin.

    Berikut kenyataan penuh Dr. Marzuki.

    KEABSAHAN UMNO

    Ada dua faktor utama yang menentukan sokongan pengundi Melayu kepada parti-parti politik. Pertamanya keabsahan kaum (race legitimacy) dan keduanya keabsahan prestasi (performance legitimacy).

    Keabsahan kaum ini ada pada parti-parti politik Melayu/Islam seperti UMNO, PAS dan BERSATU. Parti pelbagai kaum seperti PKR kurang memiliki keabsahan kaum bagi orang Melayu. Kerana itu sokongan kaum Melayu kepada PKR rendah.

    Manakala keabsahan prestasi pula bergantung kepada prestasi parti memacu kemajuan negara, meningkatkan taraf sosio-ekonomi rakyat, prihatin membela nasib mereka, menangani masalah kos sara hidup dan menyampaikan perkhidmatan yang cekap dan berkesan. Keabsahan prestasi teruji apabila parti berkenaan menjadi parti kerajaan.

    UMNO memiliki kedua-kedua keabsahan ini di zaman kegemilangannya. Serba sedikit kekurangannya dalam soal rasuah dan kekangan terhadap hak kebebasan rakyat diimbangi dengan keupayaan parti itu untuk menonjolkan keabsahan kaum dan prestasi. Kerana itu UMNO mendapat dokongan kuat orang Melayu.

    Malah sebahagian kaum bukan Melayu juga bertolak ansur dengan citra politik Melayu UMNO kerana keupayaan parti itu menyampaikan manfaat kemajuan dan pembangunan kepada rakyat, termasuk kaum bukan Melayu. Ini disebut sebagai politik kepembangunan (developmentalism politics) yang mengagungkan nilai pembangunan melebihi perkara-perkara lain.

    Dengan dokongan kuat orang Melayu dan sokongan sebahagian orang bukan Melayu, UMNO/BN berjaya mendapat kemenangan majoriti dua pertiga dalam setiap pilihanraya dan membentuk sebuah kerajaan yang stabil.

    Namun, dalam pilihanraya umum ke 12 dan seterusnya, pencapaian UMNO mula merosot. UMNO/BN hilang majoriti 2/3 dalam PRU 12, hilang undi popular dalam PRU 13, tewas dalam PRU 14 dan menang hanya 26 kerusi dalam PRU 15, iaitu prestasi terburuk UMNO dalam sejarah.

    Kenapa?

    Kerana UMNO telah mula hilang keabsahan kaum dan keabsahan prestasinya.

    Proses kehakisan keabsahan kaum UMNO bermula sejak sekian lama. Ia bukan baharu berlaku semalam.

    Setelah DEB berakhir pada tahun 1990 dan dasar liberalisasi dilaksanakan dalam sektor ekonomi, sosial, budaya, pendidikan dan lain-lain, orang Melayu sedikit demi sedikit mula kehilangan nikmat ‘kedudukan istimewa’ yang mereka kecapi dahulu.

    Saya ambil contoh dalam bidang pendidikan. Anak-anak orang Melayu tidak lagi secara automatik mendapat biasiswa atau pinjaman boleh ubah daripada kerajaan apabila memasuki universiti. Nak masuk universiti kena bayar yuran sendiri atau berhutang dengan PTPTN.

    Malah, pasca DEB, kemasukan ke universiti-universiti awam juga beransur-ansur menggunakan dasar meritokrasi. Pelajar-pelajar Melayu mesti bersaing untuk memasuki fakulti perubatan, undang-undang, kejuruteraan, ekonomi dan lain-lain. Ada anak Melayu yang dapat ‘straight A’ pun tidak berjaya masuk fakulti perubatan di universiti awam kerana persaingan yang sengit.

    Jika tidak kerana UiTM, UIA dan USIM menawarkan pengajian dalam bidang-bidang profesional, saya percaya jumlah pelajar Melayu dalam bidang-bidang ini akan jauh lebih rendah berbanding pelajar bukan Melayu.

    Peniaga dan usahawan Melayu juga tidak lagi menikmati pelbagai keistimewaan zaman DEB. Mereka perlu bersaing dengan pesaing dari dalam dan luar negara akibat kesan globalisasi dan perubahan dasar negara ke arah liberalisasi ekonomi.

    Dari segi pekerjaan, orang Melayu mesti bersaing dalam sektor swasta untuk mendapatkan pekerjaan. Tiada jaminan untuk mereka bekerja dalam sektor awam. Dasar rasionalisasi sektor awam pula membuatkan peluang pekerjaan dalam sektor awam semakin terhad dengan pendapatan yang lebih rendah berbanding sektor swasta.

    Orang Melayu tiada pilihan selain bersaing dalam sektor swasta untuk menikmati taraf hidup yang lebih baik. Tiada kuota untuk mereka dalam sektor ini. Malah ada kajian ilmiah yang dibuat sebelum ini yang mendapati pencari pekerjaan dalam kalangan orang Melayu berhadapan dengan amalan diskriminasi dalam sektor swasta.

    Ketika inilah UMNO mulai tidak dilihat sebagai pelindung orang Melayu (the Malay protector). Walaupun UMNO menjadi kerajaan, semakin ramai orang Melayu yang tidak lagi bergantung kepada UMNO untuk hidup. Mereka mesti berdikari dan bersaing untuk berjaya.

    Lebih memburukkan keadaan, skandal 1MDB memperlihatkan bagaimana kekayaan negara diseleweng oleh segelintir elit UMNO. Ini antara faktor yang menyebabkan keabsahan prestasi dan keabsahan kaum UMNO semakin terhakis.

    Akhirnya, UMNO/BN tewas dalam PRU-14 setelah lebih enam dekad memerintah negara.

    Dalam PRU-14, masih terdapat sekitar 50% orang Melayu yang menyokong Umno. Dalam PRU 15, sokongan orang Melayu kepada Umno turun ke sekitar 30% sahaja. Selepas UMNO bekerjasama dengan DAP pasca PRU 15, sokongan orang Melayu kepada UMNO dianggarkan berkurang separuh lagi.

    Dalam satu kajian terbaharu yang saya lihat, orang Melayu yang masih menyokong UMNO memberikan sebab “nostalgia”. Mereka menyokong UMNO kerana masih mengenangkan jasa UMNO pada masa lampau. Itu sahaja. Yang tidak menyokong pula marah kepada UMNO kerana membelakangi resolusi parti untuk tidak bekerjasama dengan Anwar dan DAP. “NO ANWAR, NO DAP” masih terngiang-ngiang dalam benak kepala mereka.

    Kerjasama UMNO dengan DAP di dalam PH menghakis saki-baki keabsahan kaum yang masih ada pada UMNO. Sementara keabsahan prestasinya pula telah lama tiada.

    Keabsahan UMNO dan sokongan orang Melayu kepada parti itu akan teruji dalam PRN di 6 negeri nanti. Berdasarkan beberapa penelitian awal, dijangkakan UMNO akan kehilangan lebih separuh sokongan penyokong-penyokongnya dalam PRN akan datang. Apa lagi jika UMNO bertanding dalam satu pasukan dengan DAP dalam PRN nanti. Separuh daripada sokongan yang berbaki itu pun berkemungkinan akan hilang.

    Apabila Anthony Loke membuat kenyataan yang dia berharap UMNO akan menang besar dalam PRN akan datang, bagi saya itu isyarat kepada penyokong-penyokong DAP supaya menyokong UMNO. Ini kerana dia tahu UMNO tidak lagi mendapat sokongan orang Melayu seperti dulu. Dia bimbang jika UMNO kalah, PH juga akan kalah.

    Akhirnya UMNO akan bergantung kepada sokongan DAP untuk menang pilihanraya. Akan sampai satu masa, UMNO akan minta bertanding di kawasan-kawasan yang ramai penyokong DAP. Sama lah seperti di zaman kegemilangan UMNO dahulu, MCA dan MIC bergantung kepada sokongan UMNO untuk menang pilihanraya.

    Tanpa disedari, DAP sedang membunuh UMNO secara lembut. DAP is killing UMNO softly. Kerjasama UMNO dengan DAP menyebabkan UMNO semakin hilang keabsahan politiknya di mata orang Melayu, termasuk penyokong-penyokong akar umbi UMNO sendiri. Tanpa sokongan asas orang Melayu, UMNO hilang keabsahan politiknya dan hilang nilainya dalam politik Malaysia.

    Tidak dinafikan UMNO sebuah parti yang banyak berjasa kepada orang Melayu. Tetapi perubahan sosial, politik dan ekonomi yang berlaku sejak beberapa dekad yang lalu serta jajaran baharu yang dibuat oleh parti itu dalam mengejar kuasa politik menyebabkan keabsahannya semakin terhakis.

  • OPR dijangka naik lagi separuh kedua 2023 – CGS-CIMB Research

    OPR dijangka naik lagi separuh kedua 2023 – CGS-CIMB Research

    CGS-CIMB Research mengekalkan unjuran bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) akan menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas lagi kepada 3.25% pada separuh kedua 2023.

    Firma itu berkata, data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang kukuh pada separuh pertama memberikan keyakinan kepada BNM untuk menaikkan kadar OPR sebanyak 25 mata asas kepada 3% pada minggu lalu.

    “Semasa taklimat penganalisis dengan BNM menyatakan bahawa ekonomi negara berada dalam keadaan baik manakala inflasi masih di tahap terkawal.

    “Mengenai pertumbuhan KDNK, walaupun separuh pertama tahun ini kelihatan stabil tetapi kami masih mengekalkan anggaran setahun penuh ini pada paras 4.4%, walaupun kami melihat sedikit peningkatan jika momentum penggunaan swasta kekal berdaya tahan,” katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

    Firma itu berkata, pertumbuhan KDNK Malaysia meningkat kepada 5.6% separuh pertama tahun ini (7.1% pada separuh keempat 2022), sejajar dengan ramalan kami sebanyak 5.7% tetapi melebihi konsensus median Bloomberg sebanyak 5.1%.

    Katanya, pada asas pelarasan musim, ekonomi melonjak semula sebanyak 0.9% dari suku tahun ke suku tahun berbanding penurunan 1.7% pada suku keempat 2022.

    Mengikut pecahan katanya, semua komponen perbelanjaan lain mencatatkan penguncupan kecuali untuk penggunaan swasta.

    “Sementara itu, daripada segi penawaran, sektor perkhidmatan menjadi pemacu utama apabila perbelanjaan isi rumah berkembang daripada barangan kepada perkhidmatan berikutan perbelanjaan berbelanja besar pada aktiviti runcit dan riadah.

    “Bagaimanapun, aktiviti pelaburan merosot, walaupun dikawal oleh sektor pembinaan. Penggunaan awam terus menurun berikutan perbelanjaan bekalan dan perkhidmatan kerajaan yang lebih rendah,” katanya.

    Firma itu berkata, ketibaan pelancong China mungkin meningkatkan akaun perkhidmatan walaupun mereka percaya ia tidak mungkin mengimbangi kelemahan permintaan barangan global.

    “Tanpa sebarang perubahan pada penilaian pertumbuhan KDNK, kami mengekalkan lebihan akaun semasa 2023 sebanyak 2.1% daripada KDNK (2.6% daripada KDNK pada 2022),” katanya, lapor DagangNews.

  • PEMBELA kesal kerajaan tarik balik rayuan kes kalimah Allah

    PEMBELA kesal kerajaan tarik balik rayuan kes kalimah Allah

    PERTUBUHAN-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) membantah sekeras-kerasnya tindakan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik balik rayuan terhadap kes kalimah Allah di mahkamah.

    Setiausaha PEMBELA, Mohd Aswanizam Alias menegaskan, tindakan unilateral kerajaan Madani itu dibuat tanpa merujuk dan berunding dengan pemegang-pemegang taruh utama seperti Majlis Raja-Raja, Majlis Agama Islam Negeri dan pihak berkepentingan Islam di dalam negara.

    Justeru, beliau menyifatkan tindakan itu sebagai melampau dan tidak menghormati institusi-institusi yang lebing tinggi daripada cabang eksekutif, termasuk boleh mencetuskan keadaan tidak baik di dalam negara.

    “PEMBELA mengambil pendirian, tindakan PM dan kerajaan Madani ini satu tindakan melampau terbesar dan biadab dalam era pemerintahan yang tidak mempedulikan hak dan kesucian agama Islam, sebagaimana yang termaktub di dalam Perlembagaan serta tidak menjaga kepentingan majoriti umat Islam di negara ini.

    “PEMBELA juga ingin merakamkan kekesalan dengan peranan yang gagal dimainkan oleh Ahli-Ahli Parlimen Islam yang mendukung kewujudan kerajaan Madani ini untuk membantah serta menghalang tindakan unilateral ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Dalam kenyataan bersama yang dimuat naik di Facebooknya, PEMBELA turut melampirkan notis pemberhentian rayuan yang menamakan Menteri bagi Kementerian Dalam Negeri Malaysia dan Kerajaan Malaysia terhadap responden, Jill Ireland Binti Lawrence Bill.

    Notis bertarikh 18 April itu menyatakan bahawa perayu yang dinamakan tidak berniat untuk meneruskan Notis Rayuan yang difailkan pada 12 Mac 2021 dan memberhentikan keseluruhan rayuan tanpa perintah terhadap kos.

    Notis itu ditandatangani Peguam Kanan Persekutuan bagi pihak perayu dan Tetuan Azri Lee Swee Seng & Co. sebagai peguam cara responden.

    Atas dasar itu, PEMBELA menggesa semua Ahli Parlimen Islam di dalam kerajaan dan pembangkang untuk memberikan tekanan sewajarnya supaya tindakan unilateral yang tidak menghormati agama Islam, Perlembagaan dan institusi dipertanggungjawabkan untuk memeliharanya, ditarik balik.

    “Kegagalan untuk Ahli-Ahli Parlimen Islam untuk menggesa PM mengarahkan penarikan balik pembatalan rayuan itu, harus dianggap sebagai kegagalan utama mereka mempertahankan agama negara.

    “Ia harus disusuli dengan tindakan-tindakan wajar sebagaimana yang harus dilakukan pihak yang gagal menjalankan tugas sepertimana yang diamanahkan,” katanya.

    PEMBELA menegaskan, pihaknya akan menggerakkan bantahan di peringkat NGO dan rakyat, justeru Perdana Menteri wajib mengarahkan Peguam Negara untuk menarik balik pembatalan rayuan kes berkenaan.

  • Kalimah Allah: Kerajaan tak teruskan rayuan terhadap keputusan mahkamah

    Kalimah Allah: Kerajaan tak teruskan rayuan terhadap keputusan mahkamah

    KERAJAAN tidak berniat meneruskanr rayuan terhadap keputusan mahkamah mengenai hak seorang penganut Kristian dari Sarawak menggunakan kalimah Allah bagi tujuan pembelajaran agamanya.

    Jabatan Peguam Negara yang mewakili Kementerian Dalam Negeri memaklumkan keputusan itu kepada Mahkamah Rayuan pada 18 April.

    Mahkamah Tinggi pada 2021 memutuskan bahawa Jill Ireland boleh menggunakan kalimah Allah dalam pembelajaran agamanya, lapor FMT.

    Haniff Khatri Abdulla, yang mewakili pihak berkuasa agama Selangor, Kedah, dan Wilayah Persekutuan selaku peguam berkata, anak guamnya hanya dimaklumkan mengenainya pagi ini.

    Ireland memulakan permohonan semakan kehakiman pada 20 Ogos 2008 supaya dikembalikan lapan cakera padat yang dirampas daripadanya pada 11 Mei 2008, sebaik tiba di Terminal Tambang Murah (LCCT) di Sepang.

    Wanita itu memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk mencabar penyitaan cakera padat tersebut serta memohon perisytiharan mengenai hak Perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan Kristian.

  • Suami isteri ditahan, pandu kereta lawan arus di lebuhraya

    Suami isteri ditahan, pandu kereta lawan arus di lebuhraya

    POLIS menahan sepasang suami isteri di Mambau, Seremban pada awal pagi semalam selepas memandu kereta secara melawan arus di kilometer 17-19 Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH) di Port Dickson, Negeri Sembilan.

    Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, rakaman video berdurasi 32 saat berhubung perbuatan mereka itu tular dalam media sosial Facebook semalam antara pukul 5 hingga 6 petang.

    “Berdasarkan rakaman video itu menunjukkan kereta tersebut dipandu melawan arus dari arah Teluk Kemang menghala ke Seremban.

    “Bertindak atas maklumat, pada pukul 2 pagi sepasukan polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson telah membuat tangkapan terhadap pasangan berkenaan yang terlibat sebagai pemandu dan penumpang, di kediaman mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, hasil soal siasat kedua-dua suspek memaklumkan bahawa kenderaan mereka mengalami masalah di bahagian enjin dan tindakan memandu melawan arus itu adalah untuk mencari bengkel bagi membaiki kenderaan tersebut.

    “Kedua-duanya ditahan dan sebuah kereta yang dirakam dalam video tular itu dirampas untuk tindakan lanjut.

    “Orang ramai dinasihatkan supaya tidak melanggar peraturan lalu lintas yang membahayakan diri dan pengguna jalan raya yang lain.

    “Tindakan tegas akan diambil sekiranya didapati melalukan kesalahan berkenaan,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Video tular dengan kapsyen ‘ bahayakan orang lain, Lebuhraya Seremban-Port Dickson’ itu turut mendapat pelbagai reaksi daripada pelayar media sosial itu.