Author: Wartawan WartaRakyat

  • DAP bukan hanya wakil orang Cina – Presiden UMNO

    DAP bukan hanya wakil orang Cina – Presiden UMNO

    Oleh RIZQI ZABIDI

    PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan DAP kini bukan hanya mewakili orang Cina kerana parti itu juga memiliki Ahli Parlimen Melayu dan India di dalamnya.

    Menurut Ahmad Zahid, perkara itu merupakan realiti politik baharu dan UMNO menerima kalangan sahabat dengan semangat ‘Kemalaysiaan’ tulen.

    “Tadi secara tak langsung disebut ‘Tok Det’ (Datuk Seri Mahdzir Khalid) yang orang sebelah ‘sana’ kata kenapa mesti berkawan dengan DAP sedangkan parti itu merupakan musuh UMNO dan Barisan Nasional (BN)?

    “Itu cerita dulu… Kalau UMNO boleh terima MCA mewakili Cina, MIC mewakili India dan Gerakan sebelum ini yang juga mewakili Cina dan pelbagai kaum… Kini hakikatnya DAP bukan hanya wakil orang Cina.

    “Ada Ahli Parlimen Melayu, India mewakili DAP dan ini realiti politik baharu. Kita terima sahabat kita dengan semangat ‘keMalaysiaan’ tulen,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Perpaduan Negeri Kedah di Dewan Pusat Perniagaan Ampang (ABC) di Ampang Jajar, Alor Setar, hari ini.

    Mengulas lanjut, Timbalan Perdana Menteri itu menasihatkan kalangan penyokong Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) agar tidak memikirkan lagi mengenai siapa yang akan menjadi ‘poster boy’ mahu pun Menteri Besar menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

    “Fikir menang dulu. Soal ‘poster boy’, siapa ‘MB’ itu bukan hak kita kerana itu adalah hak Sultan Kedah.

    “Saya pernah bersama bekas Perdana Menteri dan Presiden parti ‘lebai’ untuk menghadap Sultan Kedah di Istana Kedah, Kuala Lumpur bagi meletakkan orang yang ada sekarang di tempat ini (Menteri Besar). Saya amat menghormati Tuanku yang sangat profesional dan hanya melihat undang-undang tubuh biarpun baginda memiliki kuasa mutlak melantik siapa saja.

    “Tetapi baginda hormat gabungan parti mana yang lebih banyak kerusi di Kedah, orang dari parti itu yang akan menjadi wakil untuk dijadikan Menteri Besar,” katanya.

    Beliau berkata, kalangan penyokong kerajaan Perpaduan perlu mengenepikan segala perbezaan bagi menghadapi PRN dan saling belajar dari satu sama lain. 

    “Cukuplah masing-masing saling berbeza pendapat, berebut kerusi dan berebut menjadi calon. Kita ketepikan perbezaan dan kerjasama dalam satu pasukan hadapi PRN. Selepas itu kita serah kepada tuanku dan itu cara kita

    “Datuk Mahfuz Omar (Pengerusi PH Negeri) untuk jentera pilihan raya belajar dengan UMNO dan BN manakala untuk sistem digital pilihan raya, kena belajar dengan PKR. Untuk media sosial belajar dengan DAP dan untuk ceramah serta mengata orang, kita belajar dengan Amanah” selorohnya.

  • Pengasuh mengaku bersalah salah cuai jaga bayi

    Pengasuh mengaku bersalah salah cuai jaga bayi

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG wanita yang bekerja sebagai pengasuh sebuah taska didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas dua tuduhan bertindak cuai yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal terhadap dua bayi, dua bulan lalu.

    Nurul Shahira A’shiqin Sulaiman, 28, mengaku bersalah bagi kedua-dua pertuduhan itu selepas ia dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

    Bagaimanapun, mahkamah menetapkan 2 Ogos depan untuk fakta dan hukuman.

    Berdasarkan dua pertuduhan itu, wanita yang mempunyai pemeliharaan terhadap seorang bayi perempuan berusia 11 bulan dan seorang bayi lelaki sembilan bulan, didakwa bertindak cuai dengan cara yang mungkin akan menyebabkan kecederaan fizikal.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Utama 34, Taman Mutiara Rini di Johor Bahru, kira-kira pukul 1 petang, Mac lalu.

    Bagi dua perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Sebagai tambahan, tertuduh boleh dikenakan bon berkelakuan baik dan melaksanakan khidmat masyarakat.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Syafiqah Sha’ari mencadangkan jaminan RM15,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin, namun peguam Syufri A. Samad yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan yang lebih rendah.

    Beliau berkata, anak guamnya sentiasa memberi kerjasama sepanjang siasatan kes dijalankan mahu pun ketika ditahan polis.

    “Tertuduh hanya berpendapatan RM1,500 sebulan, manakala suaminya yang bekerja kilang mempunyai gaji RM2,000 sebulan.

    “Tertuduh juga menanggung ibu bapanya yang kencing manis dan darah tinggi,” katanya.

    Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin serta syarat tambahan pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan saksi kes.

  • UMNO Kedah sudah hilang 40% sokongan akar umbi

    UMNO Kedah sudah hilang 40% sokongan akar umbi

    SEORANG pemimpin UMNO bahagian di Kedah mendakwa parti itu berdepan dengan kehancuran dalam pilihan raya negeri (PRN) yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.

    Belia yang enggan dikenali mendakwa sokongan daripada ahli UMNO telah menurun dengan ketara selepas presiden parti, Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi menyingkirkan ‘panglima perang’ UMNO sebelum pilihan raya negeri (PRU) November lalu.

    “Kita dapat lihat 40% ahli UMNO tidak lagi mengundi kita. Jika dilihat di Kuala Kedah misalnya, kita mempunyai kira-kira 21,000 ahli di kawasan itu. Pada pilihan raya lalu, Mashitah Ibrahim hanya menerima 9,000 undi daripada ahli parti.

    “Kami percaya 12,000 lagi undi diberikan kepada calon Perikatan Nasional, Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi daripada Pas,” kata sumber itu lagi, memetik laporan FMT.

    Beliau mendakwa perubahan sentimen akar umbi berlaku apabila Zahid memutuskan untuk bertanding semula selepas menghalang ‘panglima perang’ parti seperti DatuK Seri Shahidan Kassim, Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman daripada bertanding dalam pilihan raya umum.

    Sumber itu berkata, ramai ahli akar umbi, terutamanya orang muda, gembira kerana pemimpin veteran tidak dapat bertanding.

    Bagaimanapun, mereka kecewa apabila Zahid mengumumkan pencalonannya, melihatnya sebagai satu hipokrasi memandangkan beliau berdepan tuduhan rasuah.

    Keadaan menjadi lebih buruk bagi UMNO selepas ‘pembersihan’ kedua dibuat Zahid, di mana pemimpin seperti Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Shahril Hamdan digantung sementara Khairy Jamaluddin dan Annuar Musa dipecat.

    Beliau mendakwa sokongan pengundi di semua kawasan majoriti Melayu telah beralih kepada PN kerana muslihat pemimpin tertinggi UMNO.

    UMNO dan Barisan Nasional disingkirkan di Kedah pada PRU 2022, selepas gagal memenangi sebarang kerusi; Pakatan Harapan pula berjaya menang satu kerusi iaitu Sungai Petani daripada 15 kerusi yang dipertandingkan.

    Pada pilihan raya 2018, UMNO hanya memenangi dua kerusi Parlimen dan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah, berbanding 18 kerusi oleh Pakatan Harapan (PH) dan 15 dimenangi Pas.

    Penentangan terhadap PN hanya di kawasan bukan Melayu.

    Seorang pemimpin kanan Pas berkata, PN boleh dijangka menghadapi pertarungan sengit hanya di kawasan yang mempunyai 35% hingga 40% pengundi bukan Melayu, khususnya di Alor Setar dan Sungai Petani.

    “Pada pilihan raya lalu (pada 2018), kita tahu bahawa kita akan menghadapi masalah jika masyarakat Cina membentuk 20% daripada pengundi. Ketika itu kita kalah kerana pertembungan tiga penjuru antara Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan UMNO.

    “Kali ini, kita bersatu dengan Bersatu dan tidak akan bertanding sesama sendiri. Kami lebih yakin untuk menumbangkan Umno dan PH dalam satu lawan satu,” katanya.

    Berdasarkan daftar pemilih 2018, PN akan menghadapi pertandingan sengit di Derga, Suka Menanti, Kota Darul Aman, Gurun, Bukit Selambau, Bakar Arang, Sidam, Lunas dan Kulim – hanya sembilan kawasan daripada 36 kerusi DUN.

  • Pesara polis maut dirempuh ketika pusingan U

    Pesara polis maut dirempuh ketika pusingan U

    SEORANG pesara polis maut apabila keretanya dirempuh dan diseret sejauh 30 meter oleh sebuah trak pikap ketika melakukan pusingan U di Jalan Kota Bharu-Terengganu dekat Melor, semalam.

    Mangsa, Che Mohd. Noor Awang, 63, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala, dalam kejadian kira-kira 10 pagi itu.

    Ketua Polis Kota Bharu, Mohd. Rosdi Daud, berkata kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa yang memandu Perodua Viva dalam perjalanan dari arah Melor ke Kubang Kerian.

    Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, mangsa membuat pusingan U namun sebuah trak pikap dipandu remaja 18 tahun tidak sempat mengelak lalu merempuh keretanya.

    “Akibat jarak yang terlalu dekat, Isuzu D-Max dipandu seorang remaja itu tidak sempat mengelak dan merempuhnya.

    “Kejadian itu menyebabkan kereta mangsa diseret sejauh 30 meter. Warga emas itu yang tersepit dan tidak sedarkan diri di dalam keretanya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, menurut Utusan Malaysia.

    Rosdi berkata remaja terbabit hanya dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

    Katanya, siasatan lanjut mendapati nahas berpunca daripada kecuaian mangsa membuat pusingan U tanpa memberi keutamaan laluan kepada trak pikap terbabit.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

  • Kerajaan perpaduan boleh buktikan DAP bukan anti-Melayu-Pemuda UMNO

    Kerajaan perpaduan boleh buktikan DAP bukan anti-Melayu-Pemuda UMNO

    KETUA Pemuda UMNO, Dr. Akmal Saleh percaya penyertaan DAP dalam kerajaan perpaduan boleh membuktikan parti itu bukanlah ‘raksasa anti-Melayu’ seperti yang digembar-gemburkan.

    Akmal berkata, sentimen DAP anti-Melayu adalah hasil daripada pemikiran negatif yang ditanam sejak kecil ke dalam fikiran orang ramai.

    “Sejak kita menjadi kerajaan perpaduan, kita perlu membuktikan kepada rakyat bahawa apa yang mereka percaya (tentang DAP anti-Melayu) adalah salah dan terpesong,” kata Akmal dalam wawancara Sinar Harian.

    UMNO dan DAP adalah rakan gabungan dalam kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Pemimpin UMNO dan beberapa pemimpin lain sebelum ini sering menyerang DAP sebagai anti-Melayu.

    Baru-baru ini ketua penerangan Pas berkata, antara sebab diberi label itu ialah perlembagaan DAP yang menggesa Perlembagaan Malaysia dikembalikan semula kepada kerangka sekular yang asal.

    Kekalahan UMNO dalam pilihan raya rahmat kepada pemimpin muda

    Akmal berkata, kekalahan UMNO pada pilihan raya umum November 2022 memberi kelebihan kepada pemimpin muda seperti beliau.

    Parti itu kini lebih terbuka dan mengalu-alukan orang muda dan lebih bersedia untuk mendengar pandangan berbeza berbanding UMNO pada zaman kegemilangannya apabila ia menguasai kerajaan dengan majoriti dua pertiga Parlimen.

    Beliau menyifatkan hari-hari itu sukar bagi golongan muda.

    “Hari ini apabila parti mengalami kegagalan, peluang yang ada adalah kita golongan muda benar-benar boleh membawa perubahan dalam UMNO,” katanya.

    UMNO mengalami kekalahan terburuk dalam sejarahnya November lalu, hanya memenangi 26 kerusi berbanding 54 kerusinya pada 2018.

    Akmal, yang merupakan Exco Melaka dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUNB) Merlimau berkata, pemimpin muda memegang tanggungjawab untuk menunjukkan ‘politik progresif dan matang’ di mana mereka boleh duduk bersama sekutu dan pembangkang untuk memperjuangkan isu rakyat.

  • Gaduh di sekolah, 9 remaja bawah umur ditahan

    Gaduh di sekolah, 9 remaja bawah umur ditahan

    SEMBILAN remaja di bawah umur ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung dua kes pergaduhan di sebuah sekolah menengah di Butterworth, Pulau Pinang baru-baru ini.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, kesemua mereka ditahan secara berasingan semalam, namun akan diberikan jaminan polis selepas keterangan mereka diambil hari ini memandangkan masih merupakan pelajar sekolah.

    ”Polis mengesahkan ada penahanan dibuat berhubung dua kes pergaduhan berbeza di sekolah berkenaan.

    ”Sembilan individu yang ditahan adalah lapan pelajar sekolah dan seorang remaja yang tidak bersekolah,” katanya kepada pemberita di George Town, hari ini.

    Terdahulu, video pergaduhan membabitkan pelajar di dalam tandas sebuah sekolah menengah yang di dakwa berlaku di Buterworth, dekat sini tular di dalam media sosial sejak semalam.

    Insiden yang didakwa kejadian buli itu menimbulkan kemarahan warga maya yang meminta polis mengambil tindakan segera terhadap mereka yang terlibat.

    Dalam pada itu, Kok Chin berkata, kes pergaduhan pelajar itu disiasat di bawah Seksyen 323 kerana mendatangkan cedera dan Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

  • Minta sokong DAP, UMNO di penghujung hayat – Muhyiddin

    Minta sokong DAP, UMNO di penghujung hayat – Muhyiddin

    TAN Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan tindakan pemimpin UMNO yang mahu ahli parti itu menyokong DAP dalam PRN tidak lagi menunjukkan UMNO sudah sampai ke penghujung hayatnya.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, beliau percaya dalam PRN nanti ia akan dapat membuktikan  sebahagian besar orang Melayu sudah tidak mahu lagi mendokong perjuangan UMNO.

    ‘’Saya pun tahu, saya pernah jadi Timbalan Presiden (UMNP) semua yang berlaku pada hari ini sudah bercanggah bertentangan,tidak sehaluan bukan itu matlamat perjuangan asal,’’ katanya.

    Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas di Jamuan Hari Raya Aidilfitri Parlimen Pagoh dan Dewan Undangan Negeri Bukit Kepong di Kompleks Sukan Pagoh.

    Semalam, Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan meminta pengundi UMNO mengundi calon DAP di kawasan masing-masing

    Kata Ahmad Maslan, langkah itu  demi mengukuhkan kedudukan Kerajaan Perpaduan dan tindakan itu wajar mengikut disiplin parti apabila berada dalam Kerajaan Perpaduan.

    Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, apa yang mahu dilakukan oleh UMNO mungkin disebabkan parti itu sudah berada di penghujung hayatnya.

    ‘’Masih berbaki (penyokong) agaknya dia carilah jalan kalau boleh yang mana ada berbaki nak sokong tu akan sokonglah tetapi saya jangka sebahagian besar orang Melayu yang waras yang mendokong perjuangan UMNO tidak akan melakukan tindakan itu (menyokong UMNO lagi),’’ katanya.

  • PRN : PN kekal guna logo gabungan di 4 negeri

    PRN : PN kekal guna logo gabungan di 4 negeri

    PERIKATAN Nasional (PN) akan kekal menggunakan logo gabungan berkenaan di empat negeri pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang, sama seperti ketika pilihan raya umum (PRU) yang lepas.

    Pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata empat negeri berkenaan ialah Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan dan juga Kedah, selain masih menunggu kata putus daripada Kelantan serta Terengganu.T

    “Setakat hari ini kita kekalkan…kecuali kalau Pas minta perubahan, sebelum ini mereka (Pas) menerima logo PN di Kedah dan mereka gunakannya sampai sekarang, mereka masih kekalkannya.

    “Tapi di Kelantan dan Terengganu kalau mereka gunakan logo Pas pun tidak mengapa. Orang dah kenal dah PN ini, hanya untuk pilihan raya tetapi secara dasarnya hubungan kita dalam PN cukup baik. Ia (hubungan) ada kemajuan sebenarnya jika nak dibandingkan dengan PRU yang lepas,” katanya lapor BERNAMA.

    Beliau berkata demikian pada sidang media di Jamuan Hari Raya Aidilfitri Parlimen Pagoh dan Dewan Undangan Negeri Bukit Kepong di Kompleks Sukan Pagoh, yang turut dihadiri oleh ADUN Bukit Kepong ahruddin Jamal.

    Muhyiddin turut menyifatkan PRN kali ini akan menjadi satu tanda aras baru yang akan menunjukkan hala tuju masa depan politik negara.

  • Badal haji RM1,000 hingga RM3,500 terlampau murah, jangan tertipu

    Badal haji RM1,000 hingga RM3,500 terlampau murah, jangan tertipu

    LEMBAGA Tabung Haji (TH) menyarankan orang ramai, terutamanya umat Islam di negara ini, agar lebih berhati-hati dengan tawaran badal atau upah haji oleh agensi pelancongan, mahupun individu tertentu.

    Pengarah Eksekutifnya, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman menegaskan TH dan anak-anak syarikatnya tidak terlibat dalam sebarang bentuk promosi, penawaran atau penyediaan perkhidmatan badal haji.

    “Setiap individu dari luar Makkah perlu mendapatkan visa haji untuk melaksanakan ibadat haji yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi, manakala penduduk tempatan perlu mendapatkan permit kebenaran daripada pihak berkuasa Arab Saudi. 

    “TH akan terus mengingatkan orang ramai untuk mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan,” katanya  kenyataan hari ini.

    Syed Saleh menambah tawaran badal haji pada harga sekitar RM1,000 sehingga RM3,500 ke atas disifatkan terlampau murah.

    Ini kerana, katanya harga asal permit haji paling rendah adalah sekitar SR4,000 (RM4,800), dan lain-lain perbelanjaan yang perlu ditanggung oleh penduduk tempatan Arab Saudi untuk menunaikan ibadat haji

  • Pendaki negara dilapor hilang selepas tawan Everest

    Pendaki negara dilapor hilang selepas tawan Everest

    PENDAKI negara Muhammad Hawari Hashim, yang menyertai misi pendakian Gunung Everest, Himalaya dilaporkan hilang sejak Jumaat.

    Muhammad Hawari yang juga orang kelainan upaya (OKU) pendengaran dipercayai hilang selepas berjaya menawan puncak tertinggi dunia itu pada 18 Mei.

    Sumber memaklumkan kepada Astro AWANI bahawa mangsa merupakan kumpulan sama yang menyertai Malaysia Everest 2023 (ME 2023) bersama Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Lot Kol Awang Askandar Ampuang Yaacub yang dilaporkan meninggal dunia semalam. Muhammad Hawari dipercayai hilang ketika dalam perjalanan turun dari Kem Empat. 

    Sementara itu, berita kehilangan Muhammad Hawari turut dilaporkan oleh portal The Himalayan Times (THT) hari ini.

    Portal tersebut yang memetik Pengarah Pengembaraan Perintis, Nivesh Karki  berkata, Muhammad Hawari gagal dihubungi selepas meninggalkan Kem Empat. 

    Nivesh menambah maklumat berhubung kehilangan mangsa telah diedarkan kepada semua pengendali bagi mengesan sekiranya dia berteduh di kem lain.Difahamkan, operasi mencari dan mengesan Muhammad Hawari sedang giat dijalankan.

    Dalam pada itu, Muhammad Hawari dalam kemas kini di laman Instagramnya memaklumkan antara pendaki yang terlibat dalam ME 2023 ialah Allahyarham Awang Askandar, Azim Afif (Ketua Misi ME 2023), serta Vincent Tiong Ling Yang.