Author: Wartawan WartaRakyat

  • 9 pelajar lelaki ditahan kes buli di sekolah

    9 pelajar lelaki ditahan kes buli di sekolah

    SERAMAI sembilan pelajar lelaki berusia antara 14 hingga 16 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan lanjut berhubung kes buli yang berlaku di sebuah sekolah menengah di Seberang Perai Utara (SPU), Pulau Pinang Jumaat lalu.

    Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Mohd. Asri Shafie berkata, siasatan awal mendapati terdapat dua kejadian berasingan membabitkan dua mangsa lelaki terdiri daripada Tingkatan Satu dan Dua yang mana kedua-dua kes itu berlaku pada hari yang sama 19 Mei lalu.

    Katanya, kes berkenaan membabitkan dua mangsa yang dipukul beberapa pelajar lain di dalam tandas lelaki dipercayai di sekolah tersebut.

    Jelas beliau, kes pertama berlaku kira-kira pukul 1 tengah hari melibatkan mangsa iaitu pelajar Tingkatan Dua yang dipukul oleh seorang pelajar Tingkatan Tiga.

    “Kes kedua pula berlaku pukul 3 petang yang mana mangsa merupakan pelajar tingkatan satu telah dipukul oleh sembilan pelajar senior.

    “Siasatan mendapati kedua-dua mangsa dipukul menggunakan tangan serta kaki tanpa sebarang objek lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi kes kedua, polis menahan sembilan remaja lelaki berusia antara 14 hingga 16 tahun yang juga pelajar Tingkatan Dua hingga Tingkatan Empat di sekolah sama.

    Selain itu, jelasnya, polis turut merampas enam telefon bimbit bagi membantu siasatan kedua-dua kes itu yang videonya masing-masing berdurasi 24 dan 34 saat turut tular di media sosial sejak Jumaat lalu.

    “Kes pertama disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencederakan orang manakala kes kedua pula disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” katanya.

    Sebelum ini, tular di media sosial dua kejadian pergaduhan berasingan di sekolah dan mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen sejak semalam.

    Satu daripadanya berdurasi 32 saat memaparkan seorang murid lelaki ditumbuk dan ditendang bertubi-tubi oleh beberapa murid dipercayai berlaku dalam sebuah tandas sekolah.

    Kebanyakan mereka termasuk mangsa serta sekumpulan murid yang turut kelihatan menjadi ‘penonton’ aksi buli itu dilihat memakai pelitup muka dan berpakaian sukan.

  • Razman akui ADUN kerajaan ada berjumpa, namun enggan dedah jumlah

    Razman akui ADUN kerajaan ada berjumpa, namun enggan dedah jumlah

    KETUA Pembangkang Perak, Razman Zakaria mendakwa beberapa Adun kerajaan ada bertemu dengannya, yang dikatakan berkait rapat spekulasi gerakan menjatuhkan kerajaan negeri itu.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol itu bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah dan nama wakil rakyat dari parti membentuk kerajaan perpaduan Perak yang bertemu dengannya atas inisiatif sendiri.

    “Kebenarannya (gerakan tumbangkan kerajaan negeri Perak) tak dapat nak dibuktikan, umpama kalau seseorang itu merancang nak pergi mencuri, tapi jadi atau tidak, kita tak tahu.

    “Saya tak tahu ini perancangan siapa, benar atau tak benar itu saya tak tahu, kalau benar berlaku kita mengalu-alukannya,” katanya menurut Utusan Malaysia.

    “Saya tahu (wujud gerakan tumbangkan kerajaan negeri) sebab ada beberapa orang (Adun kerajaan) yang jumpa saya. Tapi tak kan saya nak cerita (terperinci).”

    Razman yang juga pesuruhjaya Pas Perak berkata, kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berhubung gerakan menumbangkan kerajaan hanya bersifat penafian dan mendakwa ‘hati manusia tidak boleh dipegang’.

    “Memang (parti politik) ada baiah, berjanji tapi tak boleh nak pegang.

    “Kalau beliau (Saarani) kata sudah ‘scan’ (ADUN kerajaan) Alhamdulillah, kita pun harap kerajaan ini sampai hujung penggal tapi rasanya tak sampai agaknya,” katanya.

    Sebelum ini, Saarani menegaskan kerajaan perpaduan di Perak masih kukuh walaupun wujud dakwaan dan khabar angin berkaitan pentadbiran kerajaan negeri akan bertukar Julai ini.

    Kerajaan perpaduan Perak terdiri daripada gabungan 33 wakil rakyat iaitu 24 ADUN Pakatan Harapan (PH) dan 9 dari Barisan Nasional (BN).

    Blok pembangkang diwakili 17 Adun Pas dan 9 dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    Dewan Undangan Negeri Perak adalah satu daripada tujuh negeri yang telah meluluskan pindaan kepada enakmen negeri masing-masing bagi membolehkan undang-undang anti-lompat parti dikuatkuasakan.

  • Kedah ‘diarah’ menjadi negeri miskin, kata Sanusi

    Kedah ‘diarah’ menjadi negeri miskin, kata Sanusi

    PENTADBIRAN Kedah sama ada yang sekarang atau sebelum ini tertakluk kepada dasar persekutuan dalam hal penggunaan tanah dan itu membawa kepada kadar kemiskinan yang tinggi di negeri terbabit, kata Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi. Md Nor.

    Menegaskan bahawa Kedah merupakan ‘periuk nasi negara’, Sanusi berkata, negeri terbabit memiliki kawasan yang luas tetapi diarah untuk bercucuk tanam padi.

    “Kami ada banyak tanah tetapi kami diarahkan untuk menanam padi. Padi adalah tanaman paling murah tetapi tanaman yang terpenting.

    “Cukai tanah untuk sawah adalah yang paling rendah. Kira-kira 130,000 hektar diperuntukkan untuk penanaman padi sahaja,” kata Sanusi dalam temu bual dengan akhbar The Star.

    Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu lagi, beliau mengusulkan kepada kerajaan Pusat agar melihat semula pengorbanan yang dilakukan negeri terbabit dengan menyediakan begitu luas kawasan penanaman padi.

    “Kami juga perlu mewartakan lagi hutan untuk tadahan air lebih daripada 300,000 hektar,” katanya.

    Ketika ini Kedah berada di kedudukan kedua dalam senarai negeri termiskin di negara ini selepas Kelantan.

    Kata Sanusi, dasar pentadbiran pimpinan Pas di negeri itu adalah memastikan sebahagian besar penggunaan tanah dimanfaatkan untuk kepentingan semua negeri lain.

    “Oleh itu kami ‘diarahkan’ menjadi miskin. Kami orang Kedah mempunyai hak untuk menentukan masa depan sendiri dan kami harus menjadi orang yang menentukan matlamat negeri ini.

    “Kita tidak sepatutnya mengikut arahan orang lain tentang apa yang perlu kita lakukan pada tanah kita,” katanya dipetik sebagai berkata.

    Justeru Sanusi mencadangkan kepada Exco Kedah agar 20 peratus daripada tanah yang diperuntukkan untuk penanaman padi atau kira-kira 26,000 hektar agar dibangunkan semula menjadi kawasan perindustrian.

    Dengan cara itu katanya tanah terbabit mempunyai nilai lebih tinggi dan berpotensi membawa hasil lebih besar.

    Katanya pengurangan saiz tanah untuk penanaman padi juga perlu diseimbangkan dengan memastikan lebih banyak hasil dari sawah dapat dikeluarkan melalui peningkatan kekerapan penuaian.

  • Akaun RM3.2 juta dibeku, 67 ditahan berkait tuntutan palsu Penjana Kerjaya

    Akaun RM3.2 juta dibeku, 67 ditahan berkait tuntutan palsu Penjana Kerjaya

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan beberapa akaun bank bernilai RM3.2 juta untuk membolehkan siasatan lanjut dilakukan berhubung kes tuntutan palsu di bawah program Penjana Kerjaya.

    Ini dilakukan susulan penahanan 67 individu di seluruh negara dalam operasi khas Op Hire 2.0 sejak Selasa lalu sehingga semalam.

    Utusan Malaysia yang memetik sumber melaporkan, tangkapan terbaharu membabitkan seorang lelaki di Sarawak, semalam.

    Katanya, semua yang ditahan terdiri daripada pemilik syarikat, pengarah dan pengurus syarikat.

    “SPRM juga sedang giat mengesan aset dibeli individu berkenaan menggunakan dana kerajaan itu.

    “Ada yang dikesan menyeleweng dana kerajaan itu dipercayai untuk bagi tujuan kepentingan diri, termasuk membeli aset dan barangan mewah lain.

    “SPRM juga dipercayai ada merampas dua kenderaan mewah yang dibeli mereka hasil daripada dana berkenaan,” katanya.

    Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

    Menurutnya, mereka kini sedang melengkapkan siasatan dan dijangka akan melakukan pertuduhan.

    Katanya, semua pegawai penyiasat akan dipanggil untuk melengkapkan kertas siasatan di negeri masing-masing.

    “Kes ini dipantau dan diselaraskan oleh saya di peringkat Ibu pejabat,” katanya.

    Media sebelum ini melaporkan, lebih 100 syarikat berstatus sendirian berhad diburu SPRM kerana disyaki membuat tuntutan palsu di bawah program itu.

  • Antara musim sotong bertelur dan jambu golok berbuah

    Antara musim sotong bertelur dan jambu golok berbuah

    SEWAKTU di zaman kanak-kanak dahulu, penulis kerap kali mendengar percakapan orang tua-tua mengaitkan antara musim jambu golok (gajus) berbuah dengan musim sotong bertelur.

    Ungkapan yang masih penulis ingat ialah “apabila jambu golok berbuah, ia menunjukkan tibanya musim sotong bertelur”.

    Malah, sehingga hari ini ungkapan tersebut masih dapat didengar di beberapa kampung di pesisir pantai di daerah Marang.

    Benarkah dakwaan tersebut? Atau apakah ia sebagai satu simbolik yang diperkenalkan oleh masyarakat kampung ketika itu.

    Ini kerana lauk sayur jambu golok sekiranya dimasak dengan sotong rasanya memang cukup enak dan lazat.

    Bagi masyarakat Terengganu khususnya, sayur jambu golok merupakan sejenis lauk pauk yang begitu popular dan menjadi kegemaran ramai.

    Bercakap mengenai jambu golok dan musim sotong bertelur, penulis mendapati sejak dari dahulu lagi ia seakan mempunyai pertalian.

    Bermula bulan Mac setiap tahun apabila pokok jambu golok berbunga lalu berbuah, maka lautan di waktu malam pula akan terang benderang dilimpahi cahaya lampu bot-bot nelayan yang mencandat sotong.

    Dahulu mencandat sotong hanya dilakukan oleh golongan nelayan yang tinggal di kampung pesisir pantai.

    Seingat penulis antara lokasi atau lubuk yang menjadi tumpuan sotong untuk bertelur dinamakan sebagai ‘kandang ular’.

    Penulis tidak pasti kenapa lubuk ini dinamakan ‘kandang ular’, mungkin disebabkan keadaannya yang memanjang serta membengkok?

    Selain itu, musim sotong paling banyak dan dikatakan suka ‘mengamuk’ menyambar candat pula ialah ketika bulan mengambang penuh (purnama).

    Pada malam bulan mengambang penuh ini bukan sahaja di lubuk ‘kandang ular’, tetapi sotong-sotong juga mudah didapati berhampiran pantai berteluk serta muara sungai.

    Sebab itulah apabila tiba musim ini ada nelayan yang bertindak menjala serta ‘menangguk’ sotong di tepi pantai sahaja pada waktu malam.

    Pelbagai jenis sotong yang ditangkap di kawasan pantai ialah seperti jarum, ketupat, torak, katak, mengabang dan cumi-cumi.

    Memandangkan sotong terlalu suka kepada cahaya, maka para nelayan bersama keluarga masing-masing akan memasang lampu spirit (lampu pam) dengan mengikat pada batang kayu beberapa meter di dalam laut untuk menarik perhatian sotong.

    Paling meriah, sebaik sotong di bawa ke daratan, maka keluarga nelayan terbabit terus membakarnya lalu dimakan beramai-ramai.

    Bagaimanapun, itu cerita dahulu, melibatkan satu sejarah dan kenangan yang sukar dilupakan.

    Kini, aktiviti mencandat sotong masih ada cuma pendekatannya sahaja yang berbeza.

    Kalau dahulu ia hanya tertumpu kepada aktiviti tradisional membabitkan nelayan dan keluarga yang tinggal di kampung berhampiran pantai.

    Sekarang mencandat sotong telah bertukar menjadi aktiviti pelancongan negeri serta hobi menyeronokkan bagi sesetengah individu.

    Apabila tiba musim mencandat sotong iaitu Mac hingga Ogos, aktiviti ini akan bertukar menjadi pesta yang dimasukkan dalam kalendar pelancongan kerajaan negeri Terengganu.

    Sejak beberapa tahun lalu aktiviti ini bukan sahaja mampu menyumbang kepada sektor pelancongan negeri sebaliknya turut membantu menjana ekonomi penduduk.

    Ini kerana setiap tahun aktiviti mencandat sotong berjaya menarik perhatian ramai bukan sahaja membabitkan penduduk tempatan tetapi juga turut popular dalam kalangan masyarakat luar termasuk daripada luar negara.

    Memandangkan mencandat sotong kini dijadikan sebagai hobi menyeronokkan bagi sesetengah pihak termasuk golongan wanita, maka permintaan terhadap tempahan bot-bot pelancongan termasuk bot-bot nelayan juga turut meningkat terutama ketika musim cuti umum, cuti hujung minggu dan cuti persekolahan.

    Penulis difahamkan, tempahan untuk semua bot aktiviti mencandat sotong di daerah Marang ketika ini sudah penuh, bermula hujung bulan Mei hingga bulan Julai.

    Sementara harga sewa untuk satu malam bot pula ialah antara RM800 hingga RM1,500 mengikut saiz bot dengan menampung seramai lapan orang peserta.

  • Shah Rukh Khan didakwa beri ‘duit kopi’ RM13 juta gugur kes dadah anak

    Shah Rukh Khan didakwa beri ‘duit kopi’ RM13 juta gugur kes dadah anak

    NAMA aktor terkenal Bollywood, Shah Rukh Khan (SRK) menjadi bualan di bibir peminat di India selepas beliau didakwa memberikan rasuah kepada pegawai Biro Kawalan Narkotik (NCB) sebagai ganjaran menggugurkan pertuduhan kes dadah melibatkan anaknya, Aryan.

    SRK dikatakan menawarkan wang berjumlah 250 juta rupee (kira-kira RM13 juta) kepada seorang pegawai bernama Sameer Wankhede.

    Lebih mengejutkan, tangkap layar perbualan Sameer di aplikasi WhatsApp dipercayai bersama SRK mula tersebar di media sosial sekali gus mengundang pelbagai reaksi daripada warganet.

    Dalam perbualan tersebut, SRK menghantar mesej panjang lebar merayu agar nama anaknya digugurkan daripada siasatan mengambil dadah ketika di atas kapal pelayaran pada Oktober 2021.

    Sesetengah pengguna media sosial percaya bahawa dakwaan tersebut adalah benar berdasarkan gaya hidup mewah ditampilkan Sameer selain kerap bercuti di luar negara dipercayai menggunakan wang rasuah.

    Aryan, 25, ditahan bersama tujuh rakan lain termasuk dua wanita di sebuah kapal pelayaran di pantai Mumbai pada Oktober 2021 atas dakwaan penyalahgunaan dadah.

    Dia bagaimanapun dibebaskan selepas 28 hari ditahan dan hasil siasatan mendapati tiada sebarang bukti penglibatannya.

    Kertas pertuduhan yang difailkan di mahkamah oleh agensi itu menamakan 14 tertuduh dalam kes berkaitan tetapi menggugurkan enam yang lain termasuk Aryan kerana kekurangan bukti.

    Pegawai dan anggota NCB menyerbu sebuah kapal persiaran pada 2 Oktober 2021 setelah dimaklumkan bahawa terdapat dadah di dalamnya.
    Aryan antara beberapa orang yang ditangkap dalam kes itu dan menghabiskan masa selama hampir tiga minggu di dalam penjara sebelum dibebaskan dengan ikat jamin.

    Kes itu mendominasi tajuk utama dan perbualan di media sosial India kerana NCB mendakwa Aryan adalah penagih dadah dan juga membekalkan dadah yang diseludup, menurut Sinar Harian yang memerik laporan Agensi.

  • 36 sekolah di KL, Selangor terjejas akibat ribut

    36 sekolah di KL, Selangor terjejas akibat ribut

    SEBANYAK 36 sekolah terjejas akibat ribut yang melanda ibu kota dan sekitar Selangor, kelmarin.

    Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan, kerosakan membabitkan 27 sekolah di Kuala Lumpur dan sembilan sekolah di Selangor.

    “Pihak Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL), Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) akan membuat penilaian lanjut terhadap kerosakan yang berlaku di sekolah berkenaan dengan kerjasama daripada Jabatan Kerja Raya (JKR).

    “Seterusnya, pihak JKR akan mengemukakan laporan penilaian berserta anggaran kos kepada KPM,” menurut KPM dalam satu kenyataan.

    Menurut kenyataan itu, penyaluran peruntukan penyelenggaraan untuk tujuan membaiki kerosakan di bawah kecemasan akan disalurkan kepada JPWPKL dan JPNS dengan segera.

    “JPWPKL, JPNS dan PPD akan melaksanakan pembaikan serta pembersihan segera bagi membolehkan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) diteruskan tanpa sebarang gangguan.

    Antara sekolah yang mengalami kerosakan dalam kejadian hujan lebat dan ribut yang melanda Kuala Lumpur pada 19 Mei 2023. – Foto Facebook Alexander Nanta Linggi

    “KPM sentiasa mengambil berat perkara berkaitan keselamatan, kesejahteraan dan kebajikan seluruh warganya,” katanya, lapor Harian Metro.

    Kelmarin, hujan lebat serta ribut menyebabkan pokok tumbang di beberapa lokasi di sekitar ibu kota dan Selangor sehingga merosakkan kenderaan, rumah dan menghalang laluan.

    Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dilaporkna menerima kira-kira 90 kes kejadian pokok tumbang yang menghempap kenderaan dan kediaman.

  • Gambar bekas pemimpin UMNO ‘hilang’ semasa Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan – Hishammudin

    Gambar bekas pemimpin UMNO ‘hilang’ semasa Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan – Hishammudin

    DATUK Seri Hishammuddin Hussein menyifatkan Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), pada 14 Mei lalu, adalah janggal.

    Bekas Naib Presiden UMNO itu berkata, penjelasan kepada akar umbi parti itu perlu diberikan mengenai hubungan yang wujud dalam Kerajaan Perpaduan yang turut disertai UMNO.

    “Saya faham konvensyen itu diperlukan kerana beberapa gabungan parti mesti disatukan untuk kestabilan politik negara dan kerajaan, tetapi saya lihat sendiri ada beberapa perkara yang agak janggal apabila ia diadakan di Dewan Merdeka, iaitu rumah UMNO sendiri.

    “Penjelasan kepada akar umbi berhubung kait dengan hubungan yang wujud sekarang perlu dijelaskan kerana secara peribadi, apabila gambar bekas-bekas pemimpin (UMNO) kita yang telah banyak berkorban untuk perjuangan parti dihilangkan di dalam Dewan Merdeka semasa konvensyen, saya rasa itu tidak kena.

    “Dan saya bersama-sama warga Sembrong dalam majlis rumah terbuka Hari Raya, ini semua merupakan soalan-soalan yang mereka tanyakan kepada saya,” katanya dalam muat naik di Instagram hari ini, lapor Astro Awani.

    Perhimpunan di Dewan Merdeka WTCKL pada 14 Mei itu dianggap bersejarah kerana selama 77 tahun UMNO bergerak bersendirian sebelum pada 24 Nov 2022 ia mengumumkan bergabung dengan Pakatan Harapan (PH).

    Gabungan itu sekali gus menyaksikan pembentukan Kerajaan Perpaduan yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas pengesyoran dan titah nasihat Yang di-Pertuan Agong.

    Gabungan ini terbentuk selepas selesai proses Pilihan Raya Umum ke-15 pada 19 November 2022 dan keputusan rasmi diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya pada awal pagi 20 November 2022.

  • Laporan: SPRM nak panggil bekas menteri, Tan Sri sekali lagi

    Laporan: SPRM nak panggil bekas menteri, Tan Sri sekali lagi

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijangka akan memanggil bekas menteri kanan dan dan seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri untuk soal siasat sekali lagi berhubung dakwaan penyelewengan dana awam lebih RM2.3 bilion.

    Langkah itu diambil selepas SPRM dilaporkan merampas beberapa dokumen berhubung pengambilalihan saham yang melibatkan syarikat senarai awam.

    Langkah berkenaan yang berlaku pada 1990-an didakwa memberi kesan buruk kepada negara sehingga menyebabkan kemerosotan ekonomi Malaysia.

    “Dua tokoh masyarakat itu termasuk ahli perniagaan yang bergelar mungkin dipanggil semula tidak lama lagi.

    “Selain kedua-duanya, SPRM juga memanggil beberapa individu, termasuk seorang peguam, juruaudit, dan wakil sebuah syarikat untuk mendapatkan lebih banyak dokumen yang diperlukan untuk siasatan,” lapor Utusan Malaysia yang memetik sumber tidak dinamakan.

    Difahamkan, dokumen yang dirampas itu termasuk kertas perbankan serta dokumen daripada Suruhanjaya Sekuriti dan syarikat pemaju.

    Laporan sama menyebut seorang lagi ahli perniagaan terkemuka juga diminta hadir esok untuk disoal siasat SPRM.

    Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan mengesahkan perkara itu dan berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM iaitu kesalahan membabitkan salah guna kuasa untuk mendapatkan suapan, selain undang-undang antipengubahan wang haram.

    Dua hari lalu, Bernama melaporkan SPRM sedang menyiasat seorang bekas menteri kanan dan ahli perniagaan terkemuka bergelar Tan Sri atas dakwaan penyelewengan.

    Memetik sumber, Bernama berkata siasatan itu adalah lanjutan daripada Pandora Papers.

    Siasatan tertumpu kepada penjualan saham syarikat tersenarai di Bursa Malaysia, pemilikan aset berharga oleh ahli perniagaan itu, bekas menteri kanan serta ahli keluarga yang dianggarkan bernilai berbilion ringgit di dalam dan luar negara.

  • Pemimpin, ahli UMNO dipecat boleh gunakan platform PN

    Pemimpin, ahli UMNO dipecat boleh gunakan platform PN

    KALANGAN pemimpin UMNO dan akar umbi parti itu di Johor yang tidak sehaluan dengan Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dipelawa menggunakan platform Perikatan Nasional (PN) untuk meneruskan perjuangan membela kepentingan Islam serta masa depan Melayu Bumiputera.

    Mereka yang telah dipecat atau digantung keahlian kerana menentang parti bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) juga tidak perlu menunggu dan bertindak sehingga Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan, sebaliknya boleh menyambung idealisme perjuangan menerusi platform PN yang kini menjadi payung Bangsa Melayu.

    Pendirian dan semangat perjuangan tulen ramai pemimpin UMNO di Johor bahkan di seluruh negara yang selama ini lantang menegur kepincangan kepemimpinan Ahmad Zahid termasuk menyertai kerajaan campuran bersama PH, tidak sewajarnya terpadam serta berkubur begitu sahaja selepas mereka dikhianati, dipecat atau digantung keahlian masing-masing.

    Terkini, ahli UMNO diarah mengundi calon DAP dalam PRN di enam negeri, tidak lama lagi dan ini sekali gus membuktikan Presiden UMNO itu sekali lagi telah melanggar sumpah dan prinsip perjuangan mahupun mengkhianati mandat ahli serta penyokong parti tersebut.

    Justeru, pemimpin dan ahli akar umbi UMNO keseluruhannya perlu menghentikan tindak-tanduk Ahmad Zahid yang banyak memalitkan warna hitam dalam sejarah kepemimpinan serta menggadai maruah perjuangan politik Melayu era moden.

    “Mereka perlu merasa bersalah jika membiarkan situasi buruk ini berterusan di Johor bahkan menimpa negara dan seluruh bangsa. Oleh itu, jangan berlengah lagi meninggalkan UMNO dan sekarang masa terbaik untuk mereka menggunakan platform PN bagi meneruskan perjuangan membela agama, bangsa serta tanah air. UMNO sudah rosak dan bukan lagi wadah serta payung Bangsa Melayu.”

    “Marilah bersama-sama PN dan kerana mereka tidak boleh sekadar melihat sahaja agama Islam dihina dan dipertikai manakala nasib serta depan Melayu bahkan negara tergadai. Kita mesti sama-sama dalam PN mematahkan strategi politik DAP yang begitu kuat pengaruhnya dalam gagasan PH dan kerajaan sekarang.”

    PN Negeri Johor turut mengucapkan tahniah kepada mantan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, yang telah memohon menyertai Pas bersama lebih 1,000 ahli dan pelbagai peringkat kepemimpinan UMNO, baru-baru ini.

    Beberapa pemimpin kanan UMNO lain yang dipecat atau digantung juga telah menunjukkan kecenderungan untuk menyertai BERSATU atau Pas yang menjadi komponen terbesar PN ketika ini.

    MOHD SOLIHAN BADRI
    adalah Naib Pengerusi Perikatan Nasional Johor

    21 Mei 2023