SEWAKTU di zaman kanak-kanak dahulu, penulis kerap kali mendengar percakapan orang tua-tua mengaitkan antara musim jambu golok (gajus) berbuah dengan musim sotong bertelur.

Ungkapan yang masih penulis ingat ialah “apabila jambu golok berbuah, ia menunjukkan tibanya musim sotong bertelur”.

Malah, sehingga hari ini ungkapan tersebut masih dapat didengar di beberapa kampung di pesisir pantai di daerah Marang.

Benarkah dakwaan tersebut? Atau apakah ia sebagai satu simbolik yang diperkenalkan oleh masyarakat kampung ketika itu.

Ini kerana lauk sayur jambu golok sekiranya dimasak dengan sotong rasanya memang cukup enak dan lazat.

Bagi masyarakat Terengganu khususnya, sayur jambu golok merupakan sejenis lauk pauk yang begitu popular dan menjadi kegemaran ramai.

Bercakap mengenai jambu golok dan musim sotong bertelur, penulis mendapati sejak dari dahulu lagi ia seakan mempunyai pertalian.

Bermula bulan Mac setiap tahun apabila pokok jambu golok berbunga lalu berbuah, maka lautan di waktu malam pula akan terang benderang dilimpahi cahaya lampu bot-bot nelayan yang mencandat sotong.

Dahulu mencandat sotong hanya dilakukan oleh golongan nelayan yang tinggal di kampung pesisir pantai.

Seingat penulis antara lokasi atau lubuk yang menjadi tumpuan sotong untuk bertelur dinamakan sebagai ‘kandang ular’.

Penulis tidak pasti kenapa lubuk ini dinamakan ‘kandang ular’, mungkin disebabkan keadaannya yang memanjang serta membengkok?

Selain itu, musim sotong paling banyak dan dikatakan suka ‘mengamuk’ menyambar candat pula ialah ketika bulan mengambang penuh (purnama).

Pada malam bulan mengambang penuh ini bukan sahaja di lubuk ‘kandang ular’, tetapi sotong-sotong juga mudah didapati berhampiran pantai berteluk serta muara sungai.

Sebab itulah apabila tiba musim ini ada nelayan yang bertindak menjala serta ‘menangguk’ sotong di tepi pantai sahaja pada waktu malam.

Pelbagai jenis sotong yang ditangkap di kawasan pantai ialah seperti jarum, ketupat, torak, katak, mengabang dan cumi-cumi.

Memandangkan sotong terlalu suka kepada cahaya, maka para nelayan bersama keluarga masing-masing akan memasang lampu spirit (lampu pam) dengan mengikat pada batang kayu beberapa meter di dalam laut untuk menarik perhatian sotong.

Paling meriah, sebaik sotong di bawa ke daratan, maka keluarga nelayan terbabit terus membakarnya lalu dimakan beramai-ramai.

Bagaimanapun, itu cerita dahulu, melibatkan satu sejarah dan kenangan yang sukar dilupakan.

Kini, aktiviti mencandat sotong masih ada cuma pendekatannya sahaja yang berbeza.

Kalau dahulu ia hanya tertumpu kepada aktiviti tradisional membabitkan nelayan dan keluarga yang tinggal di kampung berhampiran pantai.

Sekarang mencandat sotong telah bertukar menjadi aktiviti pelancongan negeri serta hobi menyeronokkan bagi sesetengah individu.

Apabila tiba musim mencandat sotong iaitu Mac hingga Ogos, aktiviti ini akan bertukar menjadi pesta yang dimasukkan dalam kalendar pelancongan kerajaan negeri Terengganu.

Sejak beberapa tahun lalu aktiviti ini bukan sahaja mampu menyumbang kepada sektor pelancongan negeri sebaliknya turut membantu menjana ekonomi penduduk.

Ini kerana setiap tahun aktiviti mencandat sotong berjaya menarik perhatian ramai bukan sahaja membabitkan penduduk tempatan tetapi juga turut popular dalam kalangan masyarakat luar termasuk daripada luar negara.

Memandangkan mencandat sotong kini dijadikan sebagai hobi menyeronokkan bagi sesetengah pihak termasuk golongan wanita, maka permintaan terhadap tempahan bot-bot pelancongan termasuk bot-bot nelayan juga turut meningkat terutama ketika musim cuti umum, cuti hujung minggu dan cuti persekolahan.

Penulis difahamkan, tempahan untuk semua bot aktiviti mencandat sotong di daerah Marang ketika ini sudah penuh, bermula hujung bulan Mei hingga bulan Julai.

Sementara harga sewa untuk satu malam bot pula ialah antara RM800 hingga RM1,500 mengikut saiz bot dengan menampung seramai lapan orang peserta.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here