Author: Wartawan WartaRakyat

  • Peroleh pendapatan RM7,000 sebulan hasil projek ‘kerang lekir’

    Peroleh pendapatan RM7,000 sebulan hasil projek ‘kerang lekir’

    KETIKA masih ramai lagi sedang lena diulit mimpi, Mohd Salleh Yunus pula menjadikan rutin untuk bangun seawal pukul tiga pagi untuk bergerak ke ‘kebun’ kerang di perairan Lembah Lekir bagi menyauk ‘emas hitam’ yang menjadi sumber rezeki utamanya sejak tiga tahun lepas.

    Dengan hanya berbekalkan sampan serta tangguk bergalah atau kor bagi menyauk kerang, lelaki berusia 57 tahun ini mahu segera sampai ke kebun seluas kira-kira 21 hektar, yang mengambil masa kira-kira tiga kilometer atau lima minit dari Jeti Kuala Kayan bagi menyelesaikan tugas hariannya itu sebelum matahari naik dan air laut mula surut.

    Sebaik sampai, bapa kepada enam orang anak ini terus membenamkan kor dari atas sampan untuk menyauk kerang di ‘kebun’ yang diusahakan bersama tujuh rakannya, berbekalkan kemahirannya menggunakan teknik pusingan.

    Mengakui bukan tugas mudah menaikkan kerang memandangkan hanya saiz tertentu sahaja yang dapat disauk menggunakan peralatan berkenaan, Mohd Salleh yang berpengalaman hampir 25 tahun sebagai nelayan, mampu mendapat hasil kira-kira dua tan kerang setiap kali turun menyauk bersama rakan-rakan lain.

    “Permintaan kerang sentiasa ada bahkan saya tidak susah menjualnya kerana peraih, pemilik restoran sudah ada di jeti untuk membeli hasil yang diperolehi. Kerana itu, saya perlu menyauk dengan cepat sebelum air surut disebabkan peraih, peminat kerang sudah menunggu di jeti seawal pukul 8 pagi. 

    “Hasil kerang boleh dijual pada harga RM8 sekilo (bergantung pada permintaan) dan sebulan saya boleh memperoleh pendapatan bersih kira-kira RM2,800 dengan hanya hasil jualan kerang daripada kebun yang diternak ini tanpa perlu menjaring ikan,” katanya kepada Bernama. 

    Sambil menarik nafas lega dan melemparkan pandangannya jauh ke tengah laut,  kehidupan lelaki berkulit sawo matang dan berasal dari Teluk Intan sebelum ini sebenarnya tidaklah selesa sebagaimana yang dinikmati ketika ini.

    Boleh diibaratkan seperti ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’, pendapatannya sebelum ini sebagai nelayan paling tinggi pun hanyalah sekitar RM1,000 lebih sebulan, namun semuanya mula berubah sebaik beliau menyertai projek pembiakan dan penternakan kerang yang dikendalikan Jabatan Perikanan Negeri Perak.

    Dinamakan Kebun Kerang Lekir, projek ini memberi manfaat kepada golongan B40 nelayan pantai sekitar kawasan tersebut menggunakan kaedah penandaan lot  mesra pukat hanyut. Projek ini adalah  sebahagian daripada pelan Lembah Makanan Lekir dengan melibatkan pewartaan kawasan seluas 4,538 hektar perairan Lekir. 

    Ketika ditanya bagaimana boleh terlibat dalam projek itu, Mohd Salleh berkata semuanya bermula apabila hasil pendapatannya tidak menentu sehingga membuatkan beliau bertekad menyertai projek ternakan kerang sebaik disarankan Jabatan Perikanan dalam satu perjumpaan.

    Nyata keputusannya tidak silap apabila beliau yang sebelum ini hanya bergantung kepada hasil jualan benih kerang dan menjaring ikan, akhirnya berubah setelah mendapat bantuan serta latihan daripada Jabatan Pertanian untuk menternak kerang dengan lebih sistematik sehingga memperoleh pendapatan stabil dan tetap. 

    Bagi Projek Kebun Kerang Lekir, peserta disyaratkan daripada golongan nelayan B40 berusia 18 tahun ke atas. Mereka akan diberi kursus pengurusan ternakan kerang selama sehari sehingga tiga hari merangkumi taklimat teori, demontrasi mengutip, menggred dan mencuci kerang. 

    “Sebelum ini, apabila ada benih kerang di gigi-gigi laut, adalah hasil… tapi jika tiada,  memang keringlah pendapatan pada bulan itu dan terpaksa bergantung dengan hasil menjaring ikan. Tetapi, tidak lagi selepas menyertai projek tersebut.

    “Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada Jabatan Perikanan. Pelbagai peralatan, ilmu menternak kerang diberikan kepada kami yang secara tidak langsung meringankan beban nelayan di sini untuk membeli peralatan bagi mencari rezeki dengan kerang,” katanya. 

    Selain Lekir, terdapat beberapa lagi projek ternakan kerang di Perak iaitu di Kuala Gula, Kuala Sepetang dan Kuala Kurau.

    Hakikatnya, manfaat yang diperoleh daripada projek Kebun Kerang Lekir sejak dimulakan pada tahun 2020 dan kini mempunyai sebuah lot tidak hanya dinikmati Mohd Salleh tetapi hampir kesemua lapan peserta termasuklah seorang bapa kepada dua anak, Mohamad Mohamed Idris, 48 berasal dari Kampung Parit Jerman, Sitiawan yang masih meneruskan pekerjaannya sebagai nelayan.

    Beliau yang juga penternak udang di perairan Lekir, mengakui tidak menyesal menyertai projek ternakan kerang yang berjaya membantu meningkatkan dan menstabilkan pendapatan bulanannya sebanyak RM7,000.

    “Sekarang ini, saya mempunyai ilmu menghasilkan kerang dan pendapatan lebih stabil. Selain ilmu, saya juga seronok apabila pihak jabatan turut menyediakan kelengkapan secukupnya kepada nelayan… misalnya, sebelum ini jeti kami sangat kecil dan menunggu masa untuk roboh.

    “Namun, kini jeti kami dibesarkan sehinggakan ‘grader kerang’ iaitu meja untuk membuat persiapan dan peti ais turut disediakan. Saya juga gembira anak muda kampung ini tidak memilih kerja dan turut terlibat dalam projek tersebut,” katanya yang turut mengharapkan lebih ramai lagi golongan belia turut serta dalam projek berkenaan. 

    Mengulas mengenai projek kebun kerang, Timbalan Pengarah Perikanan Negeri Perak Albert Apollo Chan berkata, projek itu adalah antara yang terbesar di negara ini dengan hasilnya mampu menampung lebih sebahagian daripada keperluan Semenanjung Malaysia terutama Melaka, Selangor, Pulau Pinang, Terengganu dan Kelantan. 

    “Selain diberi kursus, peserta turut dilengkapi dengan lesen menternak dan mengutip benih kerang serta peralatan yang diluluskan sepanjang penternakan dijalankan,” katanya yang turut menambah setiap lot jika diusahakan secara konsisten dan  mengikut prosedur amalan yang betul boleh menghasilkan pendapatan sehingga RM1 juta setahun. 

    Menurut Albert, projek kerang Lekir banyak membantu nelayan pantai di kawasan berkenaan yang sebelum ini sering bergelut dengan masalah pendapatan tidak stabil khususnya ketika musim tengkujuh yang tidak membolehkan mereka turun ke laut. 

    Perairan Lekir merupakan antara lokasi terbaik dan sesuai di negara ini untuk pembenihan kerang dan menghasilkan kerang premium. Kerang yang dihasilkan di perairan ini boleh mencapai saiz sehingga 45 milimeter (mm) manakala benihnya pula boleh mencapai mutu terbaik berikutan kualiti air dan kesesuaian suhu kawasan tersebut. 

    Pada tahun 2022, pengeluaran kerang daripada Kebun Kerang Lekir adalah berjumlah 322 tan metrik yang bernilai RM3.7 juta.

    Bagi pengeluaran benih kerang pula pada tahun 2021, hasil pengeluaran mencecah 499 tan metrik bernilai RM11.5 juta.

    Kebun Kerang Lekir pada tahun 2020 pernah mencatat pengeluaran benih kerang tertinggi iaitu 1,202 tan metrik. Di negara ini terdapat dua lagi projek kebun kerang iaitu di Pulau Pinang dan Melaka.

  • Lebih 300 artifak menarik ketamadunan Islam dipamer di Jeddah

    Lebih 300 artifak menarik ketamadunan Islam dipamer di Jeddah

     TIDAK  dapat disangkal, Kiswah – kelambu hitam yang menutupi Kaabah – adalah antara yang paling menarik perhatian pengunjung di Islamic Arts Biennale, pameran kesenian Islam yang pertama seumpamanya pernah diadakan, berlangsung selama empat bulan hingga esok di sini.

    Keunikan dan keindahan kelambu sutera hitam itu memukau mata yang melihat. Dipercayai diperbuat daripada 47 helai kain sutera asli, Kiswah menampilkan sulaman benang emas. Lapisan luar kain itu dijahit menggunakan sutera mentah seberat 670 kilogram.

     Dijadual diadakan dua tahun sekali, Islamic Arts Biennale yang pertama itu – dihoskan oleh Diriyah Biennale Foundation (DBF) dan dianjurkan dengan bantuan Kementerian Kesenian Arab Saudi – berlangsung di Terminal Haji, Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz di Jeddah

    Lebih 300 artifak daripada ketamaduan Islam dipamerkan di venue seluas 12 kilometer persegi, merangkumi lima galeri dan dua pavilion.

    Bahan bersejarah terbabit, dipinjamkan oleh lebih 40 institusi antarabangsa, turut merangkumi beberapa artifak mengagumkan seperti 30 manuskrip daripada daun bertulis ayat-ayat al-Quran versi terawal yang dipercayai ditulis lebih 1,000 tahun lalu.

    Satu lagi artifak menarik ialah rab’ah, iaitu kotak al-Quran daripada kayu yang dihasilkan oleh Hasan Qutlubak, dipercayai antara bahan bersejarah yang jarang ditemukan terselamat, dari separuh pertama abad kelapan atau ke-14. Bahan pameran lain termasuk kaki dian loyang, bertarikh 1317-1318 yang diperbuat di Iraq, bagi menghiasi  Masjid Nabawi di Madinah. 

    “Semasa kami mula merancang untuk mengadakan pameran yang pertama seumpamanya ini, kami tahu pameran ini memerlukan pemikiran baharu tentang sumbangan kesenian Islam terhadap kreativiti berskala dunia, dan tentang kepelbagaian serta nuansa pengalaman orang Islam selama ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif DBF Aya Al Bakree lapor BERNAMA.

    “Institusi serantau dan global yang mengumpul sebahagian daripada artifak yang tidak pernah dipamerkan sebelum ini, telah memberi sumbangan besar kepada acara ini, khususnya pameran istimewa kami ‘Al-Madar’ (The Orbit) yang menonjolkan peranan penting yang dimainkan oleh institusi terbabit dalam memelihara dan mempromosi warisan budaya,” tambah beliau.

    Sumayya Vally, Pengarah Kesenian  Islamic Arts Biennale 2023 dan seorang daripada empat kurator pameran itu, berkata tema pameran “Awwal Bait” (First House), merujuk kepada Rumah Pertama Allah, iaitu Kaabah di Makkah yang merupakan tapak paling suci dalam Islam dan menjadi arah solat buat seluruh umat Islam di dunia, tidak kira di mana mereka berada. 

    “Kami memilih tema ini untuk menunjukkan kepada dunia bagaimana Kaabah itu menyatupadukan umat Islam, mengikat mereka secara rohani dan memupuk semangat kemasyarakatan yang kukuh.

    “Pameran ini dibahagikan kepada tiga seksyen bagi membolehkan pengunjung benar-benar memahami tema utama. Seksyen pertama ialah tentang kiblat atau arah (solat umat Islam) dan dipamerkan di galeri. Seksyen kedua ialah Hijrah dan dipamerkan di kedua-dua pavilion, sementara seksyen ketiga ialah Al-Madar, platform terkini yang mengintergrasikan serta menghubungkan semua institusi dan koleksi mereka di seluruh dunia,” jelas beliau.

    Pelawat turut berpeluang melihat tiang kayu asal Kaabah – dipamerkan di sebuah daripada lima galeri – yang dibuat pada tahun 683 ketika pemerintahan Khalifah Abdullah Al-Zubair,

    Tiang itu diperbuat daripada kayu jati dan merupakan antara satu daripada tiga tiang di dalam Kaabah yang menyokong siling bawah. Amat mengagumkan kerana sekalipun telah berusia lebih 1,300 tahun, tiang itu masih kelihatan baharu.

    Pelbagai hasil seni daripada artis Islam kontemporari seperti  M’barek Bouhchichi dan Beya Othmani juga dipamerkan di kesemua galeri.

    Sementara itu, dua pavilion – Makkah Al-Mukarramah dan Madinah Al-Munawwarah – menampilkan pelbagai bahan bersejarah dari dua tapak paling suci umat Islam, iaitu Masjidil Haram di Makkah dan  Makam Nabi Muhammad SAW di Masjid Nabawi, Madinah.

    Kurator Islamic Arts Biennale 2023 Dr Julian Raby yang juga Pengarah Emeritus National Museum of Asian Art, Smithsonian Institution di Washington DC, berkata koleksi yang dipamerkan di pavilion memberi peluang pelawat melihat sepintas lalu “Haramain” (dua kota suci – Makkah dan Madinah) pada masa lalu dan sekarang.

    “Kami mahu mengimbas perjalanan pertama Nabi Muhammad dan pengikut setia baginda dari Makkah ke Madinah serta bagaimana hijrah itu menandakan bermulanya era Islam, iaitu kalendar Hijrah.

    “Menerusi pavilion ini, kami juga mahu meraikan bagaimana ibadat haji mewarnai kehidupan budaya Hijaz, sebuah wilayah di barat Arab Saudi, apabila jutaan jemaah dari seluruh dunia datang dan membawa cara mereka beribadat, juadah serta kebudayaan mereka ke Jeddah dan Haramain,” katanya.

    Antara artifak yang dipamerkan di pavilion Madinah ialah kunci mangga bagi makam Nabi Muhammad SAW yang diperbuat pada abad ke-17.

    Di pavilion Makkah pula, pelawat boleh menyaksikan pintu asal Kaabah, diperbuat sama ada di Istanbul atau Kaherah, bertarikh sekitar 1635-1636, serta sabuk bersulam yang diikat mengelilingi Kaabah.

    Berukuran 102.5 x 673 sentimeter dan diperbuat daripada benang sutera, kapas dan logam, Hizam menampilkan inskripsi al-Quran yang cukup besar untuk dibaca oleh jemaah dari jarak jauh.

  • Ketua sindiket dadah Indonesia ditahan di Johor

    Ketua sindiket dadah Indonesia ditahan di Johor

    SEORANG lelaki dikenali sebagai Marno yang melarikan diri daripada polis Riau atas tuduhan mengedar dadah telah ditahan di Johor, lapor media Indonesia, hari ini.

    Marno dipercayai mempunyai kaitan dengan kes rampasan dadah jenis methamphetamine seberat 411kg yang dirampas polis Riau.

    “Sejumlah 62kg methamphetamine ditemukan bersama suspek ketika ditahan oleh polis Johor,” kata Pengarah Markotik polis Riau, Yos Guntur.

    Beliau menegaskan bahawa penahanan itu adalah bukti kerjasama erat antara polis Malaysia dan polis Riau dalam menangani sindiket pengedaran dadah rentas sempadan.

    Polis Riau merampas 290kg methamphetamine semasa operasi awal tahun ini, termasuk 121kg methamphetamine pada 2022 yang dikaitkan dengan kumpulan pengedaran dadah Marno.

  • Lelaki maut tergelincir sebelum jatuh ke dalam gang

    Lelaki maut tergelincir sebelum jatuh ke dalam gang

    SEORANG Seorang lelaki maut dipercayai akibat tergelincir sebelum terjatuh ke dalam gaung sedalam lebih 20 meter di KM 1 jalan naik ke Genting Highlands, Bentong hari ini.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Genting Highlands Mohd Saufi Zakaria berkata lelaki berusia lingkungan 60-an itu dikatakan sedang melakukan pemantauan di lereng bukit bagi kerja-kerja pemasangan paip sebelum tergelincir.

    Beliau berkata lapan anggota dan pegawai bergegas ke lokasi kejadian selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden berkenaan pada pukul 2.53 petang.

    “Bomba menjumpai lelaki itu sekitar 3.30 petang sebelum menjalankan operasi menaikan mayat itu  menggunakan tali dan alat pengusung yang mengambil masa lebih sejam,” katanya ketika dihubungi di sini. 

    Katanya mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi selesai sepenuhnya pada pukul 5 petang. 

  • Tiga lelaki terlibat kes ragut diberkas

    Tiga lelaki terlibat kes ragut diberkas

    TIGA lelaki ditahan polis selepas terbabit kegiatan ragut di sekitar Sentul dan Wangsa Maju dalam serbuan Op Rentap pada 10 Mei lalu.

    Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd. Zahari berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita tempatan berusia 37 tahun yang diragut di Jalan Rimbunan Kepong, di Kuala Lumpur, pada pukul 7.30 malam pada 22 Mac lalu.

    “Berdasarkan risikan, kita menjalankan beberapa siri serbuan dan menahan tiga lelaki tempatan berusia 26 hingga 29 tahun.

    “Pihak polis turut merampas lapan telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah motosikal Yamaha 135 LC, dua helmet, tiga beg tangan wanita dan sejumlah wang tunai pelbagai mata wang asing.

    “Hasil siasatan mendapati modus operandi sindiket itu didalangi tiga suspek berkenaan yang diketuai suspek dengan panggilan Wan Palo berusia 29 tahun,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, Kuala Lumpur hari ini.

    Ahmad Sukarno berkata, mereka melakukan kegiatan ragut di kawasan perumahan dengan menyasarkan pejalan kaki dan penunggang motosikal.

    Katanya, kegiatan jenayah itu dilakukan secara berkumpulan dengan hasil ragut akan dijual kemudian wang diperolehi akan dibahagikan sesama mereka.

    “Semakan dilakukan mendapati dua daripada tiga suspek dalam kes ini mempunyai rekod kesalahan jenayah,” katanya.

    Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Menurutnya, susulan operasi itu, pihaknya berjaya menyelesaikan sembilan kes ragut yang dilaporkan di Sentul dan Wangsa Maju.

    Tambahnya, semua direman bermula 11 sehingga 22 Mei lalu bagi membantu siasatan.

    “Suspek utama kes ini diserahkan kepada IPD Wangsa Maju bagi membantu siasatan kes di daerah berkenaan, manakala dua lagi suspek dijadikan sebagai saksi pendakwaan,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Geng Ayoi aktif curi motosikal tumpas

    Geng Ayoi aktif curi motosikal tumpas

    GENG Ayoi yang aktif melakukan kegiatan mencuri motosikal tumpas susulan penahanan tiga lelaki secara berasingan di Setapak dan Gombak pada 12 Mei lalu.

    Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd. Zahari berkata, kesemua individu yang ditahan itu berusia 24 hingga 32 tahun.

    Susulan itu kata Ahmad Sukarno, pihaknya berjaya menjumpai 26 rangka motosikal dan dua enjin bernilai RM100,000 di Sungai Kampung Mulia, Gombak.

    “Kumpulan penjenayah itu disyaki membuang rangka motosikal ke dalam sungai adalah untuk menghapuskan bukti.

    “Hasil semakan nombor casis oleh forensik Polis Diraja Malaysia, pihaknya telah mengenal pasti 10 rangka motosikal yang dilaporkan hilang di sekitar Lembah Klang.

    “Selebihnya tidak dapat dikenal pasti kerana nombor casis tersebut telah dikacau ganggu,” ujarnya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul hari ini.

    Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Ahmad Sukarno berkata, hasil siasatan mendapati modus operandi sindiket itu menyasarkan motosikal jenis Yamaha 125z dan Yamaha LC135.

    “Setelah sesebuah motosikal dikenal pasti, salah seorang daripada suspek akan menggunakan peralatan ‘allen key’ yang diubah suai untuk mencuri motosikal terbabit.

    “Kesemua motosikal yang telah dicuri akan dileraikan terlebih dahulu sebelum dijual kepada individu yang berminat dengan anggaran harga RM2,000 hingga RM5,000 bergantung kepada model sesebuah motosikal,” jelasnya.

    Menurutnya, kesemua suspek yang ditangkap mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau.

    “Kita telah berjaya menyelesaikan 23 kes kecurian motosikal, di mana 19 kes dilaporkan di Kuala Lumpur dan empat kes di Selangor.

    “Kesemua suspek ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • 3 ditahan termasuk pesara tentera laut, Geng Sasi Navy curi kenderaan tumpas

    3 ditahan termasuk pesara tentera laut, Geng Sasi Navy curi kenderaan tumpas

    TIGA lelaki termasuk seorang pesara Tentera Laut ditahan secara berasingan kerana disyaki terlibat dengan sindiket curi kenderaan di sekitar Lembah Klang, Perak dan Negeri Sembilan sejak hujung tahun lalu.

    Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd. Zahari berkata, dalang sindiket yang dikenali sebagai Sasi Navy, 40, ditahan di Kampung Gajah, Perak manakala dua lagi rakannya ditahan di Ipoh dan Nilai, Negeri Sembilan pada 13 Mei lalu.

    “Susulan daripada tangkapan itu, kita turut merampas dua buah kenderaan dan peralatan untuk mencuri serta beberapa keping nombor plat pendaftaran palsu.

    Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari (kanan) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian kenderaan yang dirampas selepas berjaya menumpaskan geng Sasi Navy yang terlibat dalam kegiatan mencuri kenderaan ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Hasil siasatan mendapati sindiket itu menyasarkan kenderaan jenis Honda Civic dan Mitsubishi Pajero,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul hari ini.

    Ahmad Sukarno berkata, setelah sesebuah kenderaan itu dikenal pasti, salah seorang daripada suspek akan menggunakan peralatan khas (jammer) untuk membuka kunci kenderaan tersebut.

    Sebahagian daripada peralatan mencuri kenderaan yang dirampas selepas polis berjaya menumpaskan Geng Sasi Navy yang terlibat dalam kegiatan mencuri kenderaan ketika Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Katanya, kenderaan yang dicuri itu akan dijual semula dengan harga lebih murah ke Thailand.

    Beliau berkata, kesemua suspek mempunyai pelbagai rekod kesalahan jenayah lampau dan telah direman bermula 14 Mei hingga 18 Mei lalu bagi membantu siasatan.

    Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Kini kesemua suspek telah diserah kepada IPD Ipoh bagi membantu siasatan beberapa kes di sana. Susulan daripada penahanan itu, polis berjaya menyelesaikan tujuh kes kecurian yang dilaporkan sebelum ini,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Penyokong muda UMNO tiada masalah sokong calon DAP – Hairi

    Penyokong muda UMNO tiada masalah sokong calon DAP – Hairi

    PENYOKONG muda UMNO tidak mempunyai masalah mengundi calon DAP pada PRN kerana tidak lagi terikat sentimen “Cina rasis” dimainkan generasi terdahulu kerana golongan itu kini “celik politik”.

    Naib Ketua Pemuda UMNO Hairi Mad Shah, berkata pelbagai sentimen negatif membelenggu generasi lalu dilihat semakin pudar selepas Umno dan DAP bekerjasama.“Untuk orang muda, saya rasa tiada masalah (undi calon DAP). Ini kerana negara sedang berdepan hala tuju dan dunia baharu dalam politik tempatan, ini adalah satu dinamik baharu.

    “Undi memang rahsia, tetapi saya harap anak muda dapat lihat momentum kerajaan hari ini untuk memacu negara ke arah lebih baik. Jadi, biarlah mereka mengundi calon yang tujuannya untuk mengukuhkan kerajaan perpaduan.

    “Sentimen yang dimainkan generasi terdahulu seperti ‘Melayu rasis, Cina rasis’ itu sudah hilang selepas kita bekerjasama. Kini, masing-masing dilihat memahami satu sama lain, isu kecil tidak perlu diperbesarkan,” katanya lapor Berita Harian.

    Katanya, generasi muda termasuk penyokong UMNO kini berdepan dinamik politik baharu berikutan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan PH.

    Beliau yang juga Exco Belia dan Sukan Johor berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Ahmad Maslan, yang menggesa penyokong UMNO mengundi calon DAP menjelang PRN.

    Hairi berkata, parti pembangkang juga tidak perlu menjadikan isu terbabit sebagai “isu politik”.

    “Kini, semua parti politik sudah pernah bekerjasama. Dahulu, Bersatu dan Pas sendiri bekerjasama dengan DAP, ketika itu UMNO tidak cakap apa-apa.

    “Hari ini, Bersatu dan Pas bercakap tentang UMNO dan DAP pula, sedangkan dahulu mereka sendiri pernah bekerjasama. Jadi, bermaksud tiada halangan untuk BN dan PH bekerjasama,” katanya.

  • Ahli Parlimen PN cadang golongan LGBT dikategori pesakit mental

    Ahli Parlimen PN cadang golongan LGBT dikategori pesakit mental

    ISU berkaitan kesihatan mental tidak seharusnya dijadikan modal politik, terutamanya sebagai alat untuk mengaib dan mempersendakan mana-mana pihak, kata Chiew Choon Man (PH-Miri).

    Beliau memberi peringatan itu susulan kenyataan Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak) yang mencadangkan kepada kerajaan supaya kumpulan Gay, Lesbian, Biseksual dan Transgender (LGBT) dikategori sebagai pesakit mental.

    Jamaluddin mengemukakan cadangan itu ketika mencelah ucapan Halimah Ali (PN-Kapar) semasa perbahasan Rang Undang-undang Akta Kesihatan Mental (pindaan 2023) di Dewan Rakyat.

    Halimah kemudian bersetuju dengan cadangan yang disuarakan Jamaludin itu dan bersetuju ia dijadikan sebagai sebahagian daripada ucapannya.

    Bagaimanapun, Chiew membidas cadangan tidak berasas Jamaluddin, dengan menegaskan bahawa adalah tidak wajar bagi mana-mana pihak dilabelkan sebagai pesakit mental tanpa asas perubatan atau pandangan daripada pakar perubatan.

    “Saya berharap semua ahli parlimen di dewan ini harus hormati setiap individu yang ada dalam atau luar dewan ini.

    “Isu kesihatan mental tidak patut dijadikan satu alat untuk tujuan mempersenda atau mengaibkan sesiapa atau mana-mana pihak.

    “Isu kesihatan mental adalah satu su kesihatan yang harus ditangani secara serius dan profesional oleh semua.

    “Oleh itu, saya dengan ini, menyangkal kenyataan Pasir Salak dalam perbahasan Kapar tadi yang menyatakan LGBT harus dimasukkan dalam masalah kesihatan mental,” katanya hari ini, lapor Malaysiakini.

    Terdahulu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi), Ramkarpal Singh membentangkan RUU pindaan itu untuk bacaan kali kedua.

    Menurut kepada Seksyen 309 Kanun Keseksaan, pegawai yang menangkap orang di bawah subseksyen (1) hendaklah dengan seberapa segera yang praktik, tetapi tidak lewat daripada 24 jam selepas penangkapan itu, membawa orang berkenaan kepada pegawai perubatan di hospital psikiatri kerajaan atau pengamal perubatan berdaftar di hospital psikiatri swasta yang diwarta untuk pemeriksaan.

    Ini bertujuan untuk menyahjenayahkan cubaan membunuh diri.

  • Hapus monopoli: Kenapa DNB saja jadi sasaran – Wan Saiful

    Hapus monopoli: Kenapa DNB saja jadi sasaran – Wan Saiful

    AHLI Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan menyatakan keraguan berhubung usaha kerajaan menghapuskan monopoli yang didakwa hanya memfokuskan sektor terpilih sahaja.

    Menurut beliau, kerajaan mungkin mempunyai agenda tersembunyi setelah memutuskan untuk menukar model pelaksanaan 5G ketika ini kepada dwirangkaian, yang akan menamatkan monopoli Digital Nasional Berhad (DNB).

    “Kalau betul-betul nak hapuskan monopoli, kenapa DNB sahaja menjadi fokus kerajaan, sedangkan banyak lagi monopoli yang langsung tidak disentuh.

    “Saya bagi contoh elektrik, air, lebuh raya dan Kementerian Pendidikan menjalankan sekolah amanah juga dimonopoli oleh satu syarikat sahaja.

    “Kenapa ada tindakan terpilih sahaja jika betul nak hapuskan monopoli. Adakah benar kerajaan ini betul-betul nak hapuskan monopoli atau ada agenda tersembunyi untuk memperkayakan taikun-taikun dan kroni-kroni tertentu dengan pemberian kontrak yang besar nilainya,” katanya kepada pemberita dalam sidang mediadi lobi Parlimen, hari ini.

    Terdahulu, ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat, Wan Saiful bertanya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim apakah jaminan kerajaan apabila DNB diserahkan kepada syarikat swasta kelak, kerajaan boleh mendapatkan penilaian seperti laporan yang pernah dikeluarkan oleh Maybank IB.

    Wan Saiful juga mendakwa jawapan Anwar bahawa DNB digantikan dengan dua entiti yang akan diwujudkan yang akan beroperasi sebagai secara borong dan runcit kemungkinan tidak akan menghapuskan monopoli seperti yang dinyatakan oleh kerajaan.

    “Bagi saya, ini satu jawapan yang signifikan kerana ia menjelaskan betapa model baru yang akan diwujudkan nanti tidak akan menghapuskan monopoli seperti yang dinyatakan oleh kerajaan.

    “Sebenarnya apa yang sedang berlaku adalah banyak pembekal bagi 3G dan 4G, tetapi apabila wujudnya 5G nanti, model yang digunakan hanya ada dua syarikat sahaja yang akan membolot borong dan runcit seperti dikatakan oleh PM.

    “Kalau ini berlaku dan maka sebenarnya apa yang dilakukan oleh kerajaan bukan menambah persaingan dalam pasaran. Apa yang dilakukan adalah mengurangkan persaingan di pasaran dan ini biasanya akan memberikan kesan negatif kepada pengguna,” katanya, lapor Malaysiakini.

    Untuk rekod, kerajaan sebelum ini memutuskan untuk menukar model pelaksanaan 5G ketika ini kepada dwirangkaian sebaik sahaja pelaksanaan semasa di bawah DNB telah mencapai 80 peratus liputan di kawasan berpenduduk.

    Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata mesyuarat Kabinet pada 3 Mei yang dipengerusikan Anwar bersetuju bahawa pelaksanaan 5G di bawah rangkaian tunggal akan diteruskan sehingga akhir 2023 apabila liputan dijangka mencapai 80 peratus kawasan berpenduduk.

    Fahmi berkata, peralihan kepada model dwirangkaian itu akan dilaksanakan berpandukan syarat-syarat yang selari dengan amalan di peringkat global yang menawarkan kepelbagaian rangkaian.