Author: Wartawan WartaRakyat

  • Kontraktor diperdaya RM571,000 untuk dapat Datuk Seri

    Kontraktor diperdaya RM571,000 untuk dapat Datuk Seri

    SEORANG Kontraktor berputih mata berusia 63 tahun kerugian RM571,000 selepas terpedaya dengan tawaran gelaran Datuk Seri.

    Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman berkata, berdasarkan laporan, mangsa menerima panggilan telefon daripada suspek yang menyamar sebagai Datuk Pengelola Bijaya Istana Pahang pada pertengahan Februari lalu.

    “Suspek menawarkan anugerah kebesaran negeri Pahang dengan membawa gelaran Datuk Seri,” katanya dalam kenyataan.

    Katanya, suspek menyatakan mempunyai enam kuota anugerah kebesaran terbabit dan mangsa dimaklumkan perlu membuat sumbangan bagi program istana.

    Mangsa ujar beliau, berminat dengan tawaran dinyatakan dan turut mempelawa empat kenalan untuk mendapatkan gelaran itu.

    “Bermula Februari lalu hingga bulan ini, suspek meminta mangsa melaksanakan beberapa sumbangan untuk program dibuat pihak Istana Negeri Pahang,” katanya.

    Yahaya berkata, sebanyak 32 transaksi dilakukan kepada lima akaun bank yang berbeza berjumlah RM571,000.

    “Sumber kewangan terbabit adalah hasil daripada kutipan dan wang simpanan mangsa dan rakan.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya, lapor Harian Metro.

    Dalam kes terbabit, beliau menasihati orang ramai yang menerima panggilan meragukan untuk membuat semakan dengan polis atau agensi kerajaan bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.

    Orang ramai juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima dipautan https://semakmule.rmp. gov.my terlebih dulu sebelum membuat sebarang transaksi.

  • PRN: Pas Selangor pertaruh calon nama besar

    PRN: Pas Selangor pertaruh calon nama besar

    PAS Selangor tidak menolak kemungkinan terdapat calon ‘nama besar’ dan dikenali ramai bukan daripada parti itu yang dicadangkan untuk bertanding mewakili Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

    Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi berkata, sebarang kemungkinan itu tetap ada sekiranya calon tersebut mampu memberi kemenangan kepada PN.

    “Mungkin ada satu atau dua calon ini daripada parti sebelum ini yang bukan daripada Pas dan mereka ini dekat dengan kita.

    “Dari sudut tapisan di peringkat (Pas) Pusat, mereka ini layak untuk mewakili PN pada PRN Selangor,” katanya dalam temubual di FB Live ‘Coffee Talk 4 Malaysia Kenapa #Change Selangor?’ disiarkan di Facebook Pas Selangor, malam tadi.

    Beliau berkata, Pas sentiasa bersedia dengan siapa sahaja nama calon yang diputuskan Pas Pusat termasuk calon dikenali ramai tersebut.

    “Calon kita profesional daripada segenap segi dari sudut syariah yang sifat latar belakangnya pendidikan agama dan daripada kepelbagaian,” jelas Ahmad Yunus.

    Sehubungan itu, katanya, semua calon ditampilkan Pas disatukan daripada pelbagai sudut sama ada muka baharu, lama, muda dan wanita.

    “Kita akan gembleng kebersamaan calon-calon ini, cuma akhirnya calon kita yang cadangkan ini akan diputuskan di peringkat (Pas) Pusat,” kata beliau, lapor Sinar Harian.

    Tambahnya, Pas berusaha meletakkan calon terbaik yang mampu memberi kemenangan seterusnya membentuk kerajaan negeri Selangor.

    “Dalam peluang kita ubah ini, kita akan bertanding di bawah PN yang bertanding di semua 56 kerusi di negeri ini,” kata beliau.

  • Pegawai operasi didakwa rompak bersenjata, cedera warga emas

    Pegawai operasi didakwa rompak bersenjata, cedera warga emas

    SEORANG pegawai operasi sebuah syarikat keselamatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Melaka hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan bersenjata dan mencederakan dua warga emas.

    Muhd. Marwan Rohani, 35, membuat pengakuan tersebut setelah pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Dharmafikri Abu Adam.

    Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan rompakan bersama seorang lagi yang masih bebas mengambil beg duit milik Gue Boon Guan, 65, dan Gan Chuei Lan, 66, menyebabkan kerugian berjumlah RM400.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di hadapan sebuah rumah di Jalan Pantai Emas 11,Taman Pantai Emas, Melaka pukul 10.45 malam 29 April lalu, lapor Sinar Harian.

    Difahamkan, Muhd. Marwan menggunakan sebatang kayu besbol hingga mencederakan kedua-dua mangsa.

    Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda dan sebat jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Aliff Asraf Anuar Sharuddin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM13,000 dengan seorang penjamin dan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan selain menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan tidak boleh mendekati kedua-dua mangsa.

    Mahkamah turut menetapkan 26 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

  • Penggunaan kalimah Allah oleh agama lain boleh kelirukan umat Islam – khutbah JAIS

    Penggunaan kalimah Allah oleh agama lain boleh kelirukan umat Islam – khutbah JAIS

    KHUTBAH Jumaat Jabatan Agama Islam (JAIS) hari ini mengingatkan,penggunaan kalimah Allah oleh agama lain selain agama Islam adalah suatu perkara yang menyanggah konsep keesaan Allah SWT dan boleh membawa kekeliruan kepada umat Islam.

    Khutbah itu monegaskan kalimah Allah ialah nama khas yang merujuk kepada tuhan dalam agama Islam. 

    ‘’Apabila disebut nama khas maka ia adalah khusus, istimewa, ditentukan atau diperuntukkan hanya kepada penamanya. Tidak sebagaimana kata nama am yang boleh digunapakai kepada kelompok umum seperti tuhan, manusia atau haiwan. 

    ‘’Allah SWT adalah nama Tuhan kepercayaan umat Islam. Justeru, apakah agama yang menuntut penggunaan kalimah Allah ini tidak mempunyai nama tuhannya?,’’ kata khutbah itu.

    Khutbah itu juga menegaskan, penama yang dinamakan dengan nama khas mempunyai identiti, ciri- ciri atau sifat-sifat yang memperkenalkannya atau mengasingkannya daripada yang lain. 

    ‘’Sebagai contoh, rumah ibadat adalah kata nama am yang dikongsi sama, sebaliknya istilah masjid, gereja dan gurdwara adalah perkataan beridentiti yang membezakannya dengan yang lain. Justeru, adakah rasional nama Allah boleh dirujuk kepada dua tuhan dengan identiti serta konsepnya yang berlainan,’’ tegas khutbah tersebut.

    Khutbah itu menekankan,  kalimah Allah bukan terjemahan Bahasa Malaysia kepada perkataan ‘God’, sebaliknya perkataan yang mewakilinya adalah tuhan atau dewa. 

    ‘’Sekiranya dirujuk kamus-kamus nescaya akan didapati perkataan ‘Allah’ merujuk kepada nama Tuhan dalam kalangan orang Islam, satu-satunya Tuhan dalam agama Islam atau nama Tuhan yang berasal daripada istilah Arab yang digunakan seluruh penganut agama Islam tanpa mengira bahasa. 

    ‘’Wujud alasan bahawa kalimah Allah dituntut kerana ianya digunapakai dalam Bible edisi Bahasa Arab dan Bahasa Indonesia. Hakikatnya, ia adalah kesalahan sejak awal penterjemahan. 

    ‘’Buktinya, Bible edisi Bahasa Inggeris tidak menggunakan kalimah Allah sama sekali sebaliknya menggunakan perkataan ‘God’ merujuk Tuhan Bapa dan ‘Lord’ merujuk Tuhan Anak. Justeru, mengapakah mahu diterjemahkan perkataan ‘God’ dengan kalimah Allah?,’’ soal khutbah berkenaan.

    Khutbah itu turut mengingatkan, Sultan Selangor Sultan Sharafudin Idris  bertitah, baginda sentiasa menekankan agar rakyat menghormati kepercayaan agama masing-masing dan tidak cuba untuk menyentuh sensitiviti agama lain yang boleh merosakkan perpaduan kaum di Selangor ini. 

    Titah baginda, jika umat Islam boleh menghormati penganut agama lain dengan tidak mencampuri urusan berkaitan agama mereka maka Tuanku juga menggesa agar penganut agama selain dari Islam untuk menghormati penganut agama Islam khususnya dalam penggunaan kalimah Allah yang menjadi pegangan utama umat Islam.

  • Tiada logo DAP atas kertas undi, apa nak risau, Ahmad Maslan balas Isham

    Tiada logo DAP atas kertas undi, apa nak risau, Ahmad Maslan balas Isham

    AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kenyataannya menyeru akar umbi parti agar mengundi calon rakan sekutu, termasuk DAP, sengaja dipolemikkan, malah disalah tafsir.

    Ahli Parlimen Pontian itu berkata, gesaan itu dibuat supaya pengundi memilih calon daripada parti kerajaan perpaduan, bukan hanya DAP.

    “Bila berada dalam satu pasukan, kita perlu saling bantu-membantu. Tiada logo DAP mahupun UMNO di atas kertas undi.

    “Sebaliknya hanya logo gabungan, iaitu PH atau BN, dan lawan kita adalah PN. Itu jelas.

    “Apa nak dirisaukan? Tak perlu polemikkan kenyataan saya begitu hebat,” katanya pada sidang media majlis pelancaran Dokumen Piawaian Pelaburan Mampan di Kementerian Kewangan, Putrajaya, hari ini.

    UMNO dan DAP yang berseteru sekian lama kini bekerjasama dalam kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim.

    Ahmad sebelum ini meminta ahli UMNO melihat calon DAP pada PRN akan datang di enam negeri sebagai mewakili kerajaan perpaduan, bukan atas nama parti sahaja.

    Seorang lagi ahli MKT UMNO, Isham Jalil, kemudian memberikan amaran bahawa sokongan kepada UMNO akan terhakis jika pemimpinnya terus mendesak ahli mengundi calon DAP pada pilihan raya negeri (PRN).

  • Guan Eng, isteri, dan ahli perniagaan mahu kes rasuah dibuang

    Guan Eng, isteri, dan ahli perniagaan mahu kes rasuah dibuang

    BEKAS Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, isterinya Betty Chew, dan ahli perniagaan Phang Li Koon mahu tuduhan rasuah terhadap mereka, membabitkan projek asrama pekerja asing bernilai RM11.6 juta, dibatalkan.

    Peguam RSN Rayer memberitahu Mahkamah Tinggi di George Town hari ini, beliau akan memfailkan permohonan supaya kes itu dibuang.

    Katanya, pihak pendakwaan menggunakan keterangan daripada kes jenayah terdahulu, membabitkan pembelian banglo oleh Lim di Jalan Pinhorn, walaupun dia dibebas dan dilepaskan pada 2018.

    Lim, Chew dan Phang berada di Mahkamah Tinggi di George Town selepas kes mereka dipindahkan dari Mahkamah Sesyen di Butterworth, di mana mereka meminta dibicarakan pada 2020.

    Hari ini, mereka mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan-tuduhan berkenaan, yang dibacakan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Rofiah Mohamad.

    Mereka didakwa mengikut Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

    Rofiah menetapkan 11 Sept untuk pengurusan kes, lapor FMT.

    Ketiga-tiga mereka dibenarkan memindahkan wang ikat jamin sebanyak RM50,000 yang dicadangkan sebelum ini.

    Kes membabitkan projek asrama yang dianugerahkan kepada syarikat yang dikaitkan dengan Phang ketika Lim menjadi ketua menteri.

    Lim didakwa memberi suapan bernilai RM372,009 kepada Chew melalui Excel Property Management & Consultancy Sdn. Bhd. bagi memastikan Magnificent Emblem Sdn. Bhd. memperoleh projek itu di Juru dan Batu Kawan.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 19 Ogos 2013 dan 3 Mac 2016, ketika Lim juga menjadi pengerusi lembaga tender Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang.

    Phang didakwa bersubahat dengan Lim mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009.

    Sementara itu, Chew didakwa atas tiga tuduhan melakukan pengubahan wang haram membabitkan RM372,009 daripada akaun Public Bank yang didaftarkan di cawangan Taman Melaka Raya antara 7 Okt 2013 dan 3 Mac 2016.

    S. Meharaj turut mewakili Lim dan Chew selaku peguam, manakala V Sithambaram mewakili Phang.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syed Faisal Syed Amir dan Shafiq Hasim.

  • OKU kudung tangan antara 2 lelaki didakwa edar heroin 21kg

    OKU kudung tangan antara 2 lelaki didakwa edar heroin 21kg

    DUA lelaki, termasuk orang kurang upaya (OKU) kudung tangan kiri dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh atas tuduhan mengedar lebih 21kg heroin minggu lalu.

    OKU itu, S. Genesan dan R.R. Pirapagaran yang kedua-duanya berusia 39 tahun, didakwa secara bersama mengedar heroin dengan anggaran berat kasar 21,069g di 2A, Jalan Jelapang Bayu 6, Puncak Jelapang di Ipoh kira-kira 9 malam 16 Mei lalu.

    Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

    Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati, maka hendaklah dihukum tidak kurang 15 kali sebatan.

    Harian Metro melaporkan tiada pengakuan direkodkan ketika pertuduhan dibacakan di depan Majistret Jesseca Daimis kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Mahkamah menetapkan 26 Julai ini untuk sebutan semula kes.

  • Jurukimpal dipenjara 6 bulan buat hantaran jelik terhadap Sultan Perak

    Jurukimpal dipenjara 6 bulan buat hantaran jelik terhadap Sultan Perak

    SEORANG jurukimpal dikenakan hukuman penjara selama enam bulan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas satu pertuduhan membuat dan memulakan hantaran jelik terhadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menerusi media sosial, hujung tahun lalu.

    Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh Mohd. Masri Md. Darus, 26, didakwa telah secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi lain yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakiti hati orang lain.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 22 Disember 2022 sekitar pukul 8.21 pagi menerusi satu akaun di aplikasi Twitter milik tertuduh.

    Hantaran itu kemudian dibaca di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada 3 Januari 2023 sekitar pukul 5 petang.

    Mohd Masri Md Darus,26, didakwa memulakan hantaran bersifat jelik terhadap Sultan Perak melalui media sosial ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Priscilla Hemamalini Nadarajan itu mengikut Seksyen 233(1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) Akta yang sama.

    Sabit kesalahan membawa hukuman didenda RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

    Terdahulu, tertuduh dalam rayuannya selepas mengaku bersalah atas pertuduhan itu memohon hukuman ringan memandangkan sedang menjaga ibu yang uzur selain kerja yang tidak menentu.

    Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Nurilya Ellyna Nor Azmal memohon agar hukuman berbentuk pengajaran terhadap tertuduh terutamanya masyarakat di luar sana untuk lebih berhati-hati ketika memuat naik sebarang hantaran.

    Mendengar permohonan kedua-dua pihak, Hakim Priscilla kemudian menjatuhkan hukuman penjara itu ke atas tertuduh bermula hari ini, lapor Utusan TV.

  • Tiga maut, empat termasuk anggota tentera parah dalam nahas

    Tiga maut, empat termasuk anggota tentera parah dalam nahas

    TIGA maut termasuk dua beradik dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Lebuh Raya Pan Borneo hala Sri Aman-Engkelili, dekat Kuching, semalam.

    Mangsa Pauline Simba Jua, 34, yang berasal dari Rumah Panjang Mandau Lempaong, Betong, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala adiknya Elizabeth Jua, 33, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Engkelili.

    Sementara, pemandu kereta Perodua Viva yang mereka naiki, Carlos Nelson, 22, turut disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi penumpang kereta terbabit, Ling Unang, 38, pula parah.

    Tiga lagi mangsa termasuk dua anggota tentera yang menaiki kereta Proton Saga yang terbabit dalam kemalangan itu turut parah.

    Anggota tentera terbabit, kedua-duanya berasal dari Perak ialah Mohammad Taufiq Hidayat Othman, 24 dan Mohamad Noor Salam Ab. Jalil, 31, manakala pemandu kereta dinaiki, Aden Fabian, 26, berasal dari Kampung Quop, Kuching.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 6.38 petang.

    “Sembilan anggota termasuk dua anggota EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan itu.

    “Setibanya di lokasi, didapati dua kenderaan iaitu Perodua Viva dan Proton Saga bertembung yang membabitkan tujuh mangsa.

    “Dua penumpang bahagian belakang Perodua Viva sudah dikeluarkan oleh orang awam sebelum bomba tiba manakala dua lagi termasuk pemandu tersepit di dalam kenderaan dan disahkan maut di tempat kejadian.

    “Seorang lagi mangsa yang dikejarkan ke Klinik Kesihatan Engkelili pula disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Menurutnya, semua mangsa yang parah menerima rawatan lanjut di Hospital Sri Aman, lapor Harian Metro.

  • Benarkan pelajar kritik jika ajak tonton filem ‘Anwar’, kata kumpulan ibu bapa

    Benarkan pelajar kritik jika ajak tonton filem ‘Anwar’, kata kumpulan ibu bapa

    KERAJAAN harus buka ruang untuk pelajar mengkritik jika mahu mengundang mereka menonton filem seperti biopik ‘Anwar: The Untold Story’, kata kumpulan ibu bapa.

    Kumpulan Bertindak Ibu Bapa Bagi Pendidikan (PAGE) berkata, naskah seperti kisah Datuk Seri Anwar Ibrahim 25 tahun lalu itu boleh dijadikan subjek perbincangan kritis dalam kelas berkait politik atau sejarah.

    “Anak muda tentu mahu dilatih menajamkan pemikiran kritis. Tidak semestinya ulasan anak muda berpihak kepada kerajaan sekarang,” kata Setiausaha Kehormat Tunku Munawirah Putra, selepas kementerian disahkan mengundang pelajar Tingkatan 6 sebuah sekolah untuk menonton filem mengenai ahli politik itu, yang kini perdana menteri.

    Baru-baru ini, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 5(1) mengesahkan pelajarnya diundang untuk menonton filem itu bersama Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek di sebuah pawagam di Putrajaya, selepas tular surat rasmi yang diedarkan kepada ibu bapa.

    Penolong Kanan Tingkatan 6, Suziyah Selamat, berkata aktiviti itu sebahagian pembelajaran di luar bilik darjah dan pelajar tidak dipaksa untuk menyertainya.

    Dalam pada itu, pensyarah pendidikan, Anuar Ahmad dari Universiti Kebangsaan Malaysia, berkata sebelum ini pernah diadakan tayangan filem seperti ‘1957: Hati Malaya’, ‘Embun’, dan ‘Bukit Kepong’ untuk program di sekolah.

    Beliau tiada masalah dengan program itu kerana ia dianjurkan untuk pelajar Tingkatan 6, katanya. “Kumpulan ini mempunyai perspektif sendiri berkaitan perkara berlaku di sekeliling, malah telah layak mengundi.”

    1957: Hati Malaya arahan Shuhaimi Baba menyentuh tentang kisah UMNO dan dua presiden parti itu iaitu Onn Ja’afar dan Tunku Abdul Rahman ketika menuntut kemerdekaan; manakala Embun tentang daya juang seorang wanita ketika pendudukan Jepun dan Bukit Kepong berdasarkan tragedi sebuah balai polis diserang komunis, di Muar, Johor pada 1950.

    Sementara itu, Ikatan Guru Muslim Malaysia (iGuru) berkata menteri wajar menjelaskan sumber dana bagi program berkenaan, bagi mengelak tanggapan negatif.

    “Menteri wajar jelaskan sebab pelajar diundang ke tayangan tersebut dan dari mana sumber dana untuk menaja tayangan itu,” kata presidennya, Mohd. Azizee Hasan.

    PAGE pula berkata tayangan biopik Anwar kepada pelajar harus ditaja menteri atau korporat, dan bukan dibiaya Kementerian Pendidikan memandangkan ia boleh dianggap seperti “propaganda”.

    “Bukan semua pelajar dapat atau mahu menontonnya. Ini (jika dibiaya kementerian) boleh dikatakan tidak saksama untuk semua,” katanya, lapor FMT.