Author: Wartawan WartaRakyat

  • Dari enam jadi lima kapal: Projek LCS dikecilkan, kos naik RM11.2b – BNS

    Dari enam jadi lima kapal: Projek LCS dikecilkan, kos naik RM11.2b – BNS

    PUTRAJAYA menandatangani perjanjian baru dengan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) yang akan menyambung semula projek kapal tempur pesisir (LCS) yang telah lama terhenti.

    Menurut pemfailan syarikat induk Boustead Holding kepada Bursa Malaysia hari ini, kontrak tambahan keenam yang ditandatangani hari ini memerlukan anak syarikatnya Boustead Naval Shipyard (BNS) untuk menghantar lima LCS dan bukannya enam kapal.

    Jumlah harga kontrak telah disemak kepada RM11.2 bilion, meningkat daripada RM9 bilion sebelum ini. Kerajaan telah pun mengeluarkan RM6 bilion.

    Pengerusi Boustead Holdings, Nazim Rahman berkata, perjanjian tersebut terhasil daripada semakan menyeluruh terhadap pelbagai pilihan dan semua aspek projek oleh syarikat dan kerajaan.

    “Di bawah perjanjian baru ini, pelbagai langkah pencegahan telah dilaksanakan bagi memastikan kapal-kapal itu dihantar tepat pada masanya dan mengikut bajet yang diperuntukkan.

    “Ini termasuk pembentukan jawatankuasa pemantauan projek yang dipengerusikan bersama oleh ketua setiausaha perbendaharaan dan ketua setiausaha Kementerian Pertahanan, bagi memantapkan pelaksanaan dan penyeliaan penyampaian projek sekaligus memastikan kegagalan masa lalu tidak berulang,” kata Nazim, lapor Malaysiakini.

    Beliau berkata, pengurusan baru telah diletakkan di BNS, Boustead Heavy Industries Corporation Berhad (BHIC), Boustead Holdings at Armed Forces Fund Board (LTAT) yang membolehkan syarikat dan pemegang sahamnya membuat penilaian objektif terhadap projek itu dan cara terbaik bergerak ke hadapan untuk menyelesaikan penghantaran kapal-kapal itu.

    Projek LCS bermula pada 2013 tetapi selepas RM6 bilion dibelanjakan, BNS telah terlepas tarikh akhir 2019 untuk menghantar kapal pertama.

    Sehingga tahun lepas, pembinaan kapal keenam masih belum dimulakan dan tiada satu pun kapal telah mencapai kemajuan melebihi tahap 50 peratus.

    Siasatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai perkara itu mendedahkan bahawa keperluan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk projek tersebut telah diabaikan oleh kerajaan dan usaha wajar pula gagal mengesan masalah kewangan BNS.

  • Anggota TLDM hilang 5 hari ditemui maut dalam parit

    Anggota TLDM hilang 5 hari ditemui maut dalam parit

    MISTERI kehilangan seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hampir lima hari lalu terjawab apabila jenazah mangsa ditemui dalam sebuah kereta yang terbabas ke dalam parit di Sabak Bernam.

    Timbalan Pengarah Bomba Selangor Wan Md Razali Wan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan sebuah kereta jenis Perodua Kelisa di dalam parit besar di hadapan sebuah hotel.

    Katanya, kereta itu ditemui oleh seorang pemotong rumput berhampiran longkang berkenaan.

    “Susulan laporan itu sepasukan sembilan anggota bersama jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat, Sabak Bernam dikejarkan ke lokasi kejadian.

    “Berdasarkan laporan awal, kejadian membabitkan sebuah Perodua Kelisa ditemui orang awam dalam parit sedalam dua meter. Kereta itu dalam keadaan terbalik dipercayai terbabas,” katanya dalam kenyataan.

    Katanya, mayat seorang lelaki yang ditemui dalam kereta itu dikeluarkan selepas kenderaan itu dibawa naik dengan menggunakan sebuah jentolak.

    “Mangsa disahkan sudah meninggal dunia dan jenazah lelaki itu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

    Sementara itu, Harian Metro melaporkan mangsa adalah seorang anggota TLDM, Mohamad Khair Mahat, 28, yang dilaporkan hilang pada 21 Mei lalu.

    Difahamkan, pada 21 Mei lalu isteri mangsa menerima laporan suaminya tidak hadir bertugas dan keluarga membuat laporan polis berhubung kehilangan pada keesokan harinya.

  • Duta Indonesia terkejut, pampasan RM1,500 selesai kes amah dirantai

    Duta Indonesia terkejut, pampasan RM1,500 selesai kes amah dirantai

    DUTA Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono terkejut selepas kes seorang amah atau tukang cuci dirantai dan dikurung dalam bilik air selesai selepas mangsa dibayar RM1,500 pemilik rumah.

    Hermono yang bertemu pegawai penyiasat polis di IPD Kajang pagi ini, berkata perkara itu tidak boleh diterimanya kerana pemilik rumah bukan hanya mengambil tindakan sendiri tanpa mengikut undang-undang, malah dia juga melakukan jenayah.

    “Saya terkejut polis membenarkan kes ini diselesaikan dengan cara seperti ini. Saya menggesa mereka (polis) mengambil tindakan mengikut undang-undang Malaysia tetapi mereka berkata wanita itu gagal ditemui.

    “Ini adalah tugas mereka untuk mencarinya kerana dia sudah tentu ketakutan,” katanya kepada FMT.

    Katanya, surat penyelesaian kedua-dua pihak tidak menjadi satu bentuk amaran kepada majikan daripada membuli atau mendera pekerja domestik.

    Hermono.

    Hermono berkata, polis mendedahkan pemilik rumah merantai pinggang dan kaki mangsa sebelum dikurung dalam bilik air.

    Lelaki itu katanya, turut mengunci pintu rumah sebelum pergi ke rumah mangsa bagi mencari barangan kemas yang dipercayai dicuri wanita itu.

    “Tindakan ini tidak masuk akal kerana pemilik rumah sepatutnya melaporkan kejadian itu kepada polis untuk tindakan lanjut. Malah, lelaki itu juga tidak menemui barangan berharga yang dikatakan hilang di rumah mangsa.

    “Wanita itu adalah tukang cuci separuh masa yang bekerja di apartmen lelaki itu sebulan sekali,” katanya.

    Hermono berkata, dalam kejadian pada 21 Mei lalu itu, tukang cuci itu diselamatkan selepas jiran mendengar mangsa menjerit meminta tolong sebelum menghubungi polis yang kemudiannya memecahkan pintu rumah untuk menyelamatkan wanita tersebut.

    Semalam, Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan mengesahkan kejadian itu kepada Harian Metro.

    Katanya, majikan mengesyaki wanita itu mencuri barangan kemas miliknya.

  • Imigresen serbu pusat urut ‘gay’ warga asing, 6 lelaki diberkas

    Imigresen serbu pusat urut ‘gay’ warga asing, 6 lelaki diberkas

    JABATAN Imigresen menyerbu sebuah pusat urut dan menahan enam lelaki warga asing kerana disyaki menawarkan perkhidmatan seks songsang di sebuah premis di Kuala Lumpur, pukul 7.15 Selasa.

    Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, pihaknya menahan tujuh pelanggan lelaki tempatan di premis dua tingkat tersebut.

    “Warga asing yang ditahan terdiri lima orang lelaki warga Indonesia dan seorang lelaki warga Myanmar berusia antara 26 hingga 38 tahun.

    “Seorang lelaki Indonesia tersebut adalah penjaga atau ‘Daddy’ kepada semua tukang urut. Selain khidmat urutan, mereka juga menawarkan perkhidmatan seks songsang kepada pelanggan lelaki,” katanya dalam kenyataan.

    Katanya, kumpulan itu dipercayai mula beroperasi sejak tahun lalu dan modus operandi mereka ialah mengiklankan pakej urutan khas untuk lelaki di laman sosial, WhatsApp, dan Telegram.

    Menurutnya, pelanggan yang berminat akan menghubungi nombor telefon yang dinyatakan sebelum diberikan gambar seksi tukang urut lelaki bagi membuat pilihan.

    Jelasya, bayaran bagi mendapatkan perkhidmatan urut adalah antara RM200 hingga RM300 untuk tempoh satu jam bergantung kepada ‘pakej’ yang dipilih oleh pelanggan.

    “Sindiket ini dipercayai mengaut keuntungan hampir RM650,000,” katanya, lapor FMT.

    Ruslin berkata, pemeriksaan awal mendapati mereka melakukan pelbagai kesalahan seperti tidak memiliki dokumen perjalanan, pas lawatan sosial tamat tempoh dan ada yang menyalahgunakan pas.

    Katanya, semua warga asing yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut dan siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

  • Kenyataan Azalina bukti Anwar fitnah PN – Hamzah

    Kenyataan Azalina bukti Anwar fitnah PN – Hamzah

    PENGESAHAN oleh Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said bahawa tiada satu pun parti dalam Perikatan Nasional (PN) mendapat sumbangan daripada dana judi dalam PRU-15 membuktikan bahawakerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melakukan fitnah.

    Ketika menegaskan perkara itu Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, jawapan bertulis Azalina di Dewan Rakyat, bertarikh 25 Mei 2023 itu juga mengesahkan bahawa tuduhan Anwar ke atas PN pada 5 Disember 2022 dan diulanginya pada 6 Disember 2022 adalah rekaan serta pembohongan semata-mata.

    Beliau menegaskan, ‘kezaliman’ Anwar Ibrahim ini perlu dihukum secara total oleh rakyat terutamanya dalam pilihan raya di enam buah negeri tidak lama lagi.

    ”Kami di Perikatan Nasional sebagaimana telah dijelaskan Tan Sri Muhyiddin Yassin di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini, sedang menimbangkan tindakan undang-undang ke atas Anwar Ibrahim.

    ”Makanya, pendakwaan ke atas pemimpin Bersatu dan Perikatan Nasional khususnya ke atas Tan Sri Muhyiddin juga merupakan kesinambungan kepada siri pembohongan, fitnah serta konspirasi jahat kerajaan campuran PH-BN dengan menyalahgunakan agensi penguatkuasa dan sistem mahkamah,” tegasnya.

    Hamzah berkata, hal yang sama berlaku kepada beliau beberapa minggu lalu berkaitan kes terhadap ahli perniagaan berbangsa Cina diolah dengan nat jahat bagi memperlihatkan seolah-olah beliau juga terbabit. 

    ”Semua itu fitnah dan pegawai saya telah pun membuat laporan polis terhadap pihak-pihak yang menekan dan mencampuri urusan SPRM,” katanya.

    Dalam kes Muhyiddin, kata Hamzah tindakan undang-undang telah diambil dengan memfailkan satu permohonan bagi membatalkan kesemua pertuduhan.

    Ia bersandarkan kepada dua asas iaitu pertuduhan-pertuduhan predikat adalah cacat dan salah kerana tiada kesalahan seperti yang dipertuduhkan dan kedua, pertuduhan-pertuduhan tersebut terlalu samar dan tidak jelas dan menyalahi peruntukan undang-undang berkenaan butiran yang wajib dalam kertas pertuduhan,” katanya.

  • Pukul isteri hingga parah, lelaki mengaku salah

    Pukul isteri hingga parah, lelaki mengaku salah

    SEORANG penjual roti mengaku salah di Mahkamah Sesyen Melaka atas pertuduhan memukul isteri hingga cedera, 11 Mei.

    Nor Amin Ahmad, 39, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah, lapor FMT.

    Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah terhadap isterinya berusia 40 tahun di ruang tamu sebuah rumah di Taman Kasa Height Residence, Alor Gajah, 7.55 malam pada 11 Mei.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326 kanun sama yang memperuntukkan penjara maksimum 14 tahun dan denda atau kedua-keduanya sekali.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Aliff Asraf Anuar Sharuddin bagaimanapun tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh memandangkan kesalahan berkenaan tidak boleh dijamin.

    Bagaimanapun, sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara, pendakwaan memohon jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan yang mana tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis serta tidak mengganggu mangsa dan saksi.

    Tertuduh merayu jaminan dikurangkan dengan alasan perlu menanggung empat anak.

    Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM13,000 berserta syarat tambahan dan menetapkan 14 Jun bagi keputusan hukuman.

  • Ramasamy tidak mohon maaf panggil Dr. Zakir Naik syaitan

    Ramasamy tidak mohon maaf panggil Dr. Zakir Naik syaitan

    TIMBALAN Ketua Menteri Pulau Pinang II, Dr. P. Ramasamy memberitahu Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini, bahawa, selepas memanggil penceramah dari India, Dr. Zakir Naik sebagai ‘syaitan’, beliau tidak membuat permohonan memohon maaf kepada pendakwah itu.

    Ramasamy berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh peguam bela Zakir, Datuk Akberdin Abdul Kader dalam prosiding kes fitnah di hadapan Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz.

    Sebaliknya, pemimpin DAP itu berkata, permohonan maaf dibuat kepada orang awam selepas berasakan perkataan yang digunakan terhadap pendakwah itu tidak sesuai.

    “Tidak kerana saya tahu perkataan itu tidak sesuai untuknya, jadi saya mohon maaf kepada awam kerana menggunakan perkataan itu,” katanya ketika disoal bahawa dia sepatutnya berbuat demikian selepas melakukan kesalahan terhadap Zakir, lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata, pengakuan berkenaan dibuat kerana perkataan itu (syaitan) adalah tidak sesuai, maka ia dipadam.

    Akberdin: Maka kamu tidak bersetuju apa kamu cakap ini tidak masuk akal?

    Ramasamy: Saya tidak setuju.

    Pada Oktober dan Disember 2019, Zakir memfailkan dua saman berasingan mendakwa Ramasamy mengeluarkan lima kenyataan memfitnahnya.

    Dalam pernyataan tuntutan, beliau mendakwa Ramasamy memfitnahnya pada 10 April 2016, dengan memanggilnya ‘syaitan’ dalam laman Facebook.

    Zakir yang bertaraf Penduduk Tetap berkata, Ramasamy memfitnahnya dalam satu lagi kenyataan disiarkan portal berita pada 1 Oktober 2017, dengan mendakwa Malaysia melindungi apa didakwanya sebagai pelarian dari India.

    Beliau juga mendakwa pada 11 Ogos 2019, Ramasamy memanipulasi ucapan dibuatnya pada satu majlis anjuran Kerajaan Kelantan, diterbitkan portal berita, pada hari sama.

    Pada 20 Ogos 2019, Ramasamy sekali lagi dikatakan memfitnah Zakir dalam kenyataan mengandungi kebencian.

    Saman kedua Zakir dibuat kerana mendakwa Ramasamy memfitnahnya apabila mengulas berhubung kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) yang disiarkan portal berita pada 8 November 2019.

  • Servis lebih efisien untuk jemaah haji Malaysia

    Servis lebih efisien untuk jemaah haji Malaysia

    LEMBAGA Tabung Haji (TH) menambah baik pusat khidmat pelanggan bagi memberikan servis lebih efisien kepada jemaah haji Malaysia. Pengarah Operasi Mekah, Mohamad Zamry Mohd Noor berkata, jika sebelum ini setiap maklumat yang disalurkan oleh jemaah dikira sebagai aduan kerana tiada kategori ditetapkan, pada tahun ini dipecahkan kepada kategori.

    “Kita pecahkan kepada kategori seperti aduan, permohonan dan penghargaan kerana tidak mahu ia bercampur-aduk hingga sukarkan proses penyelesaian.

    “Contohnya kehilangan gelang pengenalan diri, masalah fasiliti di maktab kita akan kategorikan sebagai permohonan yang akan diselesaikan dengan segera,” katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan haji, lapor wartawan SINAR HARIAN di Mekah.

    Kata Mohamad Zamry, permohonan jemaah juga akan diproses di peringkat khidmat pelanggan sebelum disalurkan kepada bahagian terlibat dengan segera.

    “Contohnya ada jemaah yang menghadapi masalah kad bank, kita akan sampaikan kepada kaunter Bank Islam supaya masalah tersebut dapat diselesaikan.

    “Semua permohonan dan aduan juga akan direkod, dianalisis dan kita juga akan maklumkan semula kepada jemaah ‘update’ semasa peringkat permohonan dan tidak dibiarkan tanpa jawapan,”katanya.

    Beliau berkata, setakat ini pusat khidmat pelanggan yang beroperasi 24 jam boleh diakses secara terus oleh jemaah dengan datang ke kaunter yang terdapat di Ibu Pejabat TH di Abraj Al Janadriyah dan Hotel Land Premium.

    Kata beliau, jemaah juga boleh menghubungi talian Pusat Bantuan Tanah Suci di nombor 012570443 yang tertera di ‘lanyards’ pengenalan diri jemaah.

    Sementara itu Mohamad Zamry berkata, pada tahun ini juga kadar perlindungan insurans bagi kehilangan bagasi jemaah telah dinaikkan daripada RM300 kepada maksimum RM500.

    Katanya, bayaran ganti rugi akan diberikan Mika melibatkan bagasi yang diuruskan oleh TH seperti pergerakan dari Madinah ke Mekah.

    “Kehilangan bagasi atau barang milik peribadi di atas sebab kecuaian sendiri tidak termasuk dalam perlindungan yang dinyatakan ini,” katanya.

  • SPRM siasat kontrak RM399 juta Petronas pada syarikat gas

    SPRM siasat kontrak RM399 juta Petronas pada syarikat gas

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan berhubung dakwaan rasuah melibatkan projek Petronas dan syarikat minyak dan gas antarabangsa.

    Menurut SPRM, Petronas telah memberikan kerjasama penuh untuk menjalankan siasatan melibatkan projek bernilai RM399 juta di Sarawak.

    “Setakat ini, SPRM telah menemukan beberapa kelemahan dalam amalan, sistem, dan tatacara kerja berhubung isu itu.

    “SPRM mencadangkan penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) sebagai langkah-langkah pencegahan,” katanya dalam kenyataan, lapor FMT.

    Awal bulan ini, satu portal dalam talian melaporkan Petronas didakwa terlibat dalam pemberian kontrak RM399 juta kepada sebuah syarikat beroperasi di 14 negara untuk membina loji gas darat di Sarawak.

    Laporan itu mendakwa, syarikat itu dikatakan terlibat dalam kesalahan rasuah serius sehingga dilarang beroperasi di negara lain.

    SPRM menggesa sesiapa yang mempunyai maklumat untuk tampil menyalurkan bagi membantu siasatan mengikut Akta SPRM 2009.

  • Lelaki berbaju kurung samun kedai runcit

    Lelaki berbaju kurung samun kedai runcit

    SEORANG lelaki berbaju kurung bersenjatakan pisau antara dua suspek diburu disyaki menyamun sebuah kedai runcit di MJC Batu Kawah di Padawan, Sarawak, pada Isnin.

    Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, polis juga mengesan satu video rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) kejadian itu yang tular di Twitter.

    “Polis mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut daripada seorang wanita berusia 20 tahun yang juga pekerja premis itu pada 22 Mei lalu.

    “Ketika kejadian pengadu bersama rakan sekerja didatangi seorang lelaki berpakaian seperti wanita dan membawa senjata dipercayai pisau.

    “Suspek terus merampas peti wang tunai di kaunter juruwang dan terus melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal ditunggang seorang lagi suspek yang menunggu diluar,” katanya dalam kenyataan.

    Katanya, kedua-dua suspek dipercayai warga tempatan berdasarkan dialek pertuturan mereka dan semua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.

    Abang Zainal berkata, polis menubuhkan pasukan khas untuk mengesan suspek dengan kerjasama pasukan IPD lain serta Jabatan Siasatan Jenayah JSJ IPK Sarawak.

    Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Padawan di talian 082-862233, ujarnya.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan jika disabit bersalah boleh dihukum penjara selama 20 tahun dan sebat,” katanya lapor FMT.