Author: Wartawan WartaRakyat

  • Nahas Elmina: Kotak hitam perakam suara kokpit berjaya dibuka, pasukan Singapura turut bantu

    Nahas Elmina: Kotak hitam perakam suara kokpit berjaya dibuka, pasukan Singapura turut bantu

    PASUKAN siasatan kemalangan udara Singapura sedang membantu mengesan data dalam kotak perakam suara kokpit (CVR) pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam, Khamis lepas.

    Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata, pasukan Biro Siasatan Keselamatan Pengangkutan (TSIB) Singapura berjaya mengeluarkan ‘memory puck’ dalam kotak perakam pesawat tersebut Sabtu lepas.

    Beliau berkata, ‘memory puck’ itu masih dalam keadaan baik meskipun kotak perakam rosak teruk.

    “’Memory puck’ tersebut dikeluarkan daripada kotak perakam dan didapati bahawa masih dalam keadaan baik,” katanya pada sidang media Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan.

    Loke berkata, Biro Keselamatan Kemalangan Udara (BSKU) dan pasukan TSIB berdepan kesukaran mendapatkan data daripada kotak perakam susulan tiada peralatan yang lengkap, selain kotak perakam rosak teruk.

    Susulan itu, katanya, ‘memory puck’ itu dibawa ke Singapura pada malam Ahad untuk mendapatkan semula rakaman suara 30 minit sebelum pesawat terhempas.

    “Kita mendapat tawaran bantuan teknikal daripada pihak Singapura. Pakar mereka datang ke Malaysia pada Jumaat dan keesokannya berjaya membuka CVR serta mengeluarkan komponen ‘memory puck’,

    “Tetapi kita tiada peralatan untuk mendapatkan data dalam ‘memory puck’ itu, (lalu) ia dihantar ke Singapura semalam,” tambahnya, lapor FMT.

    Mengulas lanjut, Loke berkata, pegawai BSKU yang mengetuai siasatan nahas terbabit, Brig Jen Tan Chee Kee daripada angkatan tentera udara, masih berada di Singapura bersama pakar lain untuk mendapatkan data rakaman suara berkenaan.

    Bagaimanapun, beliau tidak dapat memberikan jangka masa yang tepat proses itu dapat selesai, susulan beberapa masalah teknikal.

    Khamis lepas, sebuah pesawat persendirian terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina, mengorbankan 10 orang, termasuk Exco Pahang Johari Harun serta dua orang awam yang kebetulan melalui kawasan nahas.

    Pesawat yang dalam perjalanan dari Langkawi ke lapangan terbang di Subang itu terhempas dua minit selepas mendapat kebenaran mendarat.

  • Ramalan ekonomi tidak memberangsangkan, hanya Menteri Ekonomi syok sendiri

    Ramalan ekonomi tidak memberangsangkan, hanya Menteri Ekonomi syok sendiri

    TAN Sri Shahrir Abdul Samad menggesa supaya kerajaan campuran mengambil langkah segera bagi menangani kelembapan yang dijangka akan dihadapi negara tahun ini.

    Veteran UMNO itu menyindir Menteri Ekonomi yang disifatkan lebih ’syok sendiri’ walhal realitinya keadaan semasa tidak memberangsangkan selepas data terkini menunjukkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang lemah pada suku kedua tahun ini.

    “Kena cepatlah lancarkan program dan strategi Ekonomi Madani!!

    “Ramalan ekonomi bagi tahun ini tidak memerangsangkan. Hanya Menteri Ekonomi seorang yang terangsang, syok sendiri,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, lapor Agenda Daily.

    Kenyataan Shahrir Samad di Facebook beliau

    Terdahulu pada minggu lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan ekonomi Malaysia berkembang secara sederhana pada 2.9 peratus tahun ke tahun dalam suku kedua berbanding 5.5 peratus tahun ke tahun pada suku pertama 2023, didorong terutamanya oleh permintaan luaran yang lebih perlahan.

    Pertumbuhan ekonomi Malaysia mencecah paras terendah untuk tempoh dua tahun pada suku kedua disebabkan oleh eksport yang merosot dan kelembapan global, mendorong bank pusat pada Jumaat lalu memberi amaran jangkaan pertumbuhan KDNK yang lebih rendah daripadasebelumnya.

    Ahli ekonomi yang ditinjau Reuters meramalkan pertumbuhan KDNK pada 3.3% bagi tempoh April hingga Jun.

    Bank Negara Malaysia juga berkata pengembangan ekonomi setahun penuh akan datang pada hujung bawah julat 4 peratus hingga 5 peratus yang diramalkan sebelum ini, walaupun sesetengah ahli ekonomi meramalkan sasaran itu sukar dicapai kerana permintaan dalam negeri turut perlahan.

    Ahli Ekonomi RHB Bank Bhd Chin Yee Sian dan Penganalisis Penyelidikan Bersekutu Wong Xian Yong dalam nota penyelidikan masing-masing berkata angka KDNK suku kedua yang lebih rendah daripada unjuran konsensus Bloomberg sebanyak 3.3 peratus tahun ke tahun serta unjuran dalaman mereka sebanyak 3.5 peratus tahun ke tahun, adalah seiring dengan pertumbuhan suku berkenaan yang sederhana.

    Mereka berpendapat, ini berikutan kelemahan dalam permintaan luaran selain normalisasi perbelanjaan pengguna di peringkat domestik.

    Berikutan perkembangan itu, mereka menyemak turun unjuran pertumbuhan KDNK 2023 kepada 4.3 peratus daripada 5.0 peratus tahun ke tahun sebelum ini kerana menjangkakan perbelanjaan pengguna yang terus menyederhana dalam suku ketiga 2023.

    “Penguncupan data eskport bagi asas tahun ke tahun berkemungkinan besar akan turut berlanjutan ke dalam suku ketiga 2023,” kata mereka.

  • Pengundi belum sedia terima Kerajaan Perpaduan

    Pengundi belum sedia terima Kerajaan Perpaduan

    PENGUNDI masih belum bersedia menerima Kerajaan Perpaduan berdasarkan keputusan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri lalu pada 12 Ogos lalu.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd. Khalid berkata, tempoh lapan bulan penubuhan Kerajaan Perpaduan disifatkan terlalu singkat untuk Barisan Nasional (BN) berkempen dan menjelaskan kesepakatan itu kepada rakyat sebelum PRN dilakukan.

    Namun beliau yakin sekiranya mempunyai masa yang panjang selepas penubuhan kerajaan negeri dan pelantikan Menteri Besar dan Exco pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) nanti akan mendapat keputusan yang baik berbanding sekarang.

    “Secara keseluruhannya kemenangan tipis kita pada pilihan raya ini ada kaitan juga dengan sentimen agama dan bangsa yang dimainkan oleh pihak berkenaan,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Dalam pada itu, Bibi Sharliza tidak menolak undi awal atau pos daripada pengundi tentera yang dilihat tidak memberikan undi mereka kepada parti yang memerintah memberi kesan kepada keputusan pilihan raya.

    ” Ia ternyata berbeza sama sekali dengan pilihan raya sebelum-sebelum ini (PRU13 dan terdahulu),” katanya.

    Pada PRN lalu, BN Negeri Sembilan mempertaruhkan 17 kerusi DUN namun hanya 14 kerusi berjaya dimenangi berbanding 16 kerusi yang dimenanginya pada PRU15.

    Bibi Sharliza pula berjaya mempertahankan kerusi DUN Juasseh dengan 4,549 undi – majoriti tipis iaitu 78 undi daripada parti lawannya Perikatan Nasional (PN) diwakili bekas Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Eddin Syazlee Shith yang memperoleh 4,471 undi.

    Sementara itu, Bibi Sharliza yang juga Ketua Wanita UMNO Negeri Sembilan mengakui golongan wanita kini semakin diterima dalam dunia politik dan ini terbukti melalui PRN lepas berbanding PRU15.

    Katanya, ia berikutan empat daripada lima calon wanita yang ditampilkan PH-BN di Negeri Sembilan berjaya mempertahankan kerusi masing-masing.

    “Ya, ini menunjukkan satu keputusan wanita semakin diterima oleh masyarakat sebagai pemimpin (politik), semua parti sudah boleh mengeluarkan pemimpin wanita masing-masing.

    “Saya yakin kesemuanya mampu menjalankan tugas dengan baik,” katanya.

    Empat calon yang menang itu selain Bibi Sharliza adalah Tengku Zamrah Tengku Sulaiman (Ampangan), Noorzunita Begum Mohd. Ibrahim (Pilah) dan Nicole Tan Lee Koon (Bukit Kepayang).

  • Anak muda Terengganu semakin ‘sejiwa’, sebati bersama PN

    Anak muda Terengganu semakin ‘sejiwa’, sebati bersama PN

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    KEMENANGAN besar Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) 15 di Terengganu pada 12 Ogos lalu antara lain banyak dikaitkan dengan kehadiran pengundi luar dan juga golongan anak muda berusia 18 tahun yang baru pertama kali membuang undi.

    Hal ini kerana golongan tersebut terutama mereka yang berada di perantauan dikatakan semakin ‘sejiwa’ dan sebati sebaik bersama PN.

    Mereka bukan sahaja dilihat bersemangat setiap kali menyertai aktiviti PN, tetapi juga sanggup menyumbang tenaga secara sukarela demi perjuangan terhadap parti disanjungi.

    Golongan ini turut dikatakan sentiasa memberi impak sangat besar terhadap aktiviti kepartian termasuk membabitkan majlis berbentuk ilmu khususnya ceramah-ceramah agama.

    Perkara ini terbukti melalui Program Himpunan Bicara Murabbi Ummah Terengganu Sejahtera yang berlangsung di Dataran Jambatan Angkat Kuala Terengganu pada malam Jumaat lalu.

    Dianggarkan lebih 50,000 pengunjung yang sebahagian besarnya terdiri daripada anak muda telah hadir pada program berkenaan.

    Ia merupakan antara program terawal diadakan selepas PN berjaya membentuk Kerajaan Negeri Terengganu.

    Selain itu program ini juga dianggap sebagai satu manifestasi kepimpinan negeri kepada rakyat. 

    Justeru, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi menyifatkan kehadiran lautan manusia di Dataran Jambatan Angkat secara tidak langsung menyaksikan kecintaan rakyat  kepada alim ulama serta majlis-majlis berbentuk ilmu, sekaligus sebagai teras ke arah perjuangan untuk mendaulatkan syariat Islam secara menyeluruh di negeri ini.

    Program ini diadakan bersempena Hari Kemerdekaan yang turut menjadi platform sangat penting membuktikan kecintaan rakyat khususnya anak muda kepada negara, agama dan golongan yang mendukung agenda Islam.

    Begitulah anak-anak muda Terengganu yang kini dilihat semakin mesra dan ‘sejiwa’ ketika bersama PN diwakili Parti Islam SeMalaysia (Pas) dan juga Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    Berdasarkan semangat itulah penganalisis dan pemerhati politik tempatan percaya gelombang PN khususnya gelombang hijau daripada anak-anak muda tersebut tidak terhenti dalam PRN15 sahaja.

    Sebaliknya kebangkitan mereka akan terus berkekalan sehingga PRU16 dan juga pilihan raya selepas itu.

    Malah kemenangan besar 32-0 yang diraih pada PRN15 kali ini dijangka terus berulang dengan pencapaian majoriti lebih besar lagi.

    Mengikut rekod Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Terengganu, dalam PRN15 lalu terdapat seramai 523,833 orang pengundi muda berdaftar yang layak membuang undi di Terengganu.

    Daripada jumlah tersebut seramai 65,112 orang adalah berusia 18-20 tahun , 220,266 (21-29 tahun) dan 238,455 (30-39 tahun).

    Banyak pihak berpendapat sebahagian besarnya telah berpihak kepada PN dan buktinya ialah menerusi peratus yang keluar mengundi serta pencapaian PN bermula dengan memenangi kesemua 8-0 kerusi
    Parlimen di Terengganu dalam PRU15, pada19 November 2022.

    Sokongan anak-anak muda itu semakin jelas terbukti apabila PN terus mengulangi kejayaan dengan memenangi kesemua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu dalam PRN15 12 Ogos lalu.

    Berdasarkan laporan SPR yang mengatakan Terengganu merupakan negeri paling tinggi mencatatkan peratus yang keluar mengundi iaitu 75.79 peratus.

    Maka ramai berpendapat kehadiran pengundi muda adalah antara faktor kemenangan besar PN dalam PRN15 kali ini.

    Malah, ramai mengetahui sejak dari dahulu lagi anak- anak muda Terengganu dilihat begitu ‘sejiwa’ dan sebati dengan parti Pas.

    Mereka merupakan golongan penyokong dan pengikut paling setia yang sanggup melakukan perjuangan sepenuh hati tanpa mengharapkan sebarang imbuhan.

    Sepertimana kata Timbalan Pengerusi Satu PN Terengganu, Datuk Razali Idris sebelum ini yang menyifatkan penerimaan anak-anak muda Terengganu terhadap PN sebagai suatu perkembangan amat membanggakan.

    Malah Razali yang juga Pengerusi Bersatu Terengganu pernah menyatakan penglibatan anak-anak muda yang pertama kali menjadi daftar pemilih bersama PN disifatkan sebagai satu fenomena baharu dalam dunia politik mutakhir di negeri ini.

    Beliau begitu teruja apabila semakin ramai anak muda berusia 18 tahun mulai dekat dan mesra dengan PN di mana mereka sentiasa datang bertanya untuk membantu menjayakan setiap aktiviti secara sukarela tanpa meminta sebarang upah.

    Akhirnya konsep tersebut kini terbukti berjaya diterapkan dalam PN Terengganu.

    Dalam PRN15 pada 12 Ogos lalu PN berjaya mengekalkan pemerintahan di Terengganu setelah memenangi 32 kerusi DUN termasuk 10 kerusi kebal BN yang dimenangi dalam PRU14 pada Mei 2018 lalu.

    Kerusi tersebut ialah Kuala Besut, Jertih, Hulu Besut, Langkap, Permaisuri, Batu Rakit, Seberang Takir, Telemung, Bukit Besi dan Kijal.

  • Tema Merdeka: Pimpinan kerajaan lupa atau buat-buat lupa

    Tema Merdeka: Pimpinan kerajaan lupa atau buat-buat lupa

    TOK Chey setuju bahawa Hari Kemerdekaan perlu disambut dengan rasa cintakan negara dan semangat bersatu padu kerana perpaduan yang rapuh akan mengundang kepada keadaan negara yang tidak stabil.

    Negara kita yang terbina hasil air mata dan peluh keringat pejuang terdahulu memang wajib dipertahankan supaya anak cucu kita selepas ini dapat menikmati keamanan dan kemakmuran seperti mana yang ada sekarang ini.

    Banyak contoh yang berlaku di luar negara apabila konflik dalaman yang tercetus menyebabkan rakyat pelbagai peringkat menjadi mangsa hingga terpaksa melarikan diri ke negara lain bagi mendapatkan hidup yang lebih selamat.

    Oleh itu, setiap kali memasuki bulan kemerdekaan, Tok Chey sentiasa menerapkan kepada anak dan cucu supaya menghargai keamanan yang dimiliki kerana tanpa kesedaran yang sebenar, bulan Ogos akan berlalu tanpa sebarang penghayatan untuk generasi muda.

    Sehari dua ini apabila Tok Chey baca laporan-laporan berita, banyak dilaporkan mengenai kontroversi tema dan logo Hari Kebangsaan yang berbeza antara kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN).

    Secara jujurnya Tok Chey memang tak setuju berlakunya perbezaan antara kerajaan pusat dan negeri dalam bab menyambut hari kemerdekaan kerana apabila menyentuh soal semangat patriotisme, segala perbezaan perlulah diketepikan dan titik persamaan hendaklah dicapai.

    Namun, apabila melihat kepada tema pada tahun ini iaitu Malaysia Madani, Tekad Perpaduan Penuhi Harapan terlalu ketara berbaur politik dan tidak mengambil pendekatan jalan tengah.

    Banyak lagi perkataan yang boleh digunakan tanpa mengaitkannya kepada agenda politik contohnya tema Sayangi Malaysia, Kekalkan Keharmonian; Bersama Bina Negara Jauhi Perpecahan dan banyak lagi perkataan yang boleh digunakan.

    Maka, tidak hairanlah jika negeri PN tidak mahu menggunakan tema berkenaan kerana secara jelas tindakan kerajaan mencabuli nilai-nilai dan semangat untuk menyambut kemerdekaan yang sepatutnya bebas daripada unsur politik kepartian.

    Paling mencuri tumpuan ialah pelbagai kenyataan daripada pimpinan kerajaan yang menunjukkan seolah-olah kerajaan negeri PN tidak patriotik sedangkan apabila diundur ke belakang rupa-rupanya sewaktu mereka menjadi pembangkang, tindakan lebih teruk pernah dilakukan.

    Misalnya pada tahun 2010, kerajaan DAP Pulau Pinang sudah menggunakan tema berbeza iaitu Merdeka sedangkan tema peringkat kerajaan Persekutuan pada waktu itu ialah 1Malaysia: Menjana Transformasi.

    Begitu juga pada tahun 2011 apabila kerajaan DAP Pulau Pinang menggunakan tema Kerajaan Berjiwa Rakyat, Memartabatkan Rakyat manakala kerajaan pula menggunakan tema 1Malaysia:Transformasi Berjaya, Rakyat Sejahtera.

    Pada tahun 2012 pula, kerajaan Persekutuan menggunakan tema 55 Tahun Merdeka: Janji Ditepati manakala kerajaan PKR, DAP dan Pas iaitu Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan telah menggunakan tema masing-masing.

    Pulau Pinang dan Selangor menggunakan tema Sebangsa, Senegara, Sejiwa manakala Kelantan (Menerajui Perubahan) dan Kedah (Terus Berbakti).

    Paling terkini pada tahun lalu apabila kerajaan PKR Selangor menggunakan tema Kita Selangor Teguh Bersama berbanding kerajaan Persekutuan Keluarga Malaysia Teguh Bersama.

    Tidakkah mereka lupa bahawa pimpinan kerajaan sewaktu menjadi pembangkang sudah mempelopori dari awal lagi penggunaan tema sendiri dan tidak mahu bersama kerajaan Persekutuan menggunakan tema yang sama? Atau pun mereka sengaja buat-buat lupa dengan harapan rakyat akan lupa.

    Kesimpulannya dalam isu penggunaan tema Hari Kebangsaan pada tahun ini, kerajaan Persekutuan pimpinan PH-BN gagal untuk menyatupadukan rakyat disebabkan tindak-tanduk mereka sendiri yang tidak tahu membezakan soal politik dan kepentingan negara.

  • Orang bodoh sahaja tak sedar tema sambutan kemerdekaan berbaur politik

    Orang bodoh sahaja tak sedar tema sambutan kemerdekaan berbaur politik

    RAKYAT yang melihat isu pilihan tema dan logo Hari Kebangsaan 2023 yang dilahirkan oleh kerajaan gabungan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) adalah kebudakan. Kesilapannya adalah dari kerajaan sendiri.  

    Mengapa mesti dipolitikkan tema dan logo Hari Kebangsaan yang harus disambut oleh semua rakyat dari berbagai kaum dan kepercayaan?  

    Apabila kerajaan memilih tema “Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan”, ia menginginkan rakyat menerima Malaysia Madani sebagai ideologi yang boleh membawa perpaduan dan memenuhi harapan.  

    Masalahnya, hanya orang bodoh sahaja tidak nampak bahawa Malaysia Madani adalah rangka kerja dasar dan slogan parti politik kerajaan PH-BN. Lebih teruk lagi apabila ada perkataan “penuhi harapan”.

    Adakah ini ajakan supaya rakyat penuhi harapan PH-BN?

    Persoalannya, mengapa bentuk tema dan logo yang ketengahkan ideologi dan slogan PH-BN? Tentunya ini akan melahirkan kesangsian di kalangan rakyat mengenai keikhlasan PH-BN menanam semangat patriotisme dan keharmonian dalam negara berbilang kaum, budaya dan agama.

    Oleh itu, tidak hairan apabila Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) Ahmad Fadhli Shaari dilaporkan berkata Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu di bawah pentadbiran gabungan itu mungkin menggunakan tema dan logo Hari Kebangsaan berbeza, iaitu “Teguh Muafakat Malaysia Sejahtera” dan logo melambangkan bunga raya.  

    Apa yang berlaku sekarang ialah, seperti PH-BN, PN juga inginkan tema Hari Kebangsaan disangkutkan dengan ideologi Muafakat Nasional (kerjasama PN dan PAS) dan logo parti politik Bersatu bunga raya juga dijadikan elemen dalam logo Hari Kebangsaan.

    Peribahasa Melayu ialah memulangkan paku buah keras: menempelak PH-BN dengan membangkitkan kembali perkara yang sama.

    Oleh itu, dakwaan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa ia tidak patut dipolitikkan sukar diterima.  

    Begitu juga dengan ungkapan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim bahawa PN tidak seharusnya mengeluarkan tema dan logo Hari Kebangsaan berbeza kerana ia sambutan yang melibatkan seluruh negara, perpaduan dan kenegaraan.

    “Ia tidak berkaitan dengan kepercayaan atau ideologi politik,” tambahnya seperti dilaporkan Bernama semalam.

    Begitu juga kecaman Timbalan Menteri Kewangan I Ahmad Maslan kononnya ia tidak pernah berlaku sebelum ini dan kepimpinan PN seharusnya mempunyai hati besar menerima tema dan logo PH-BN itu.

    Lebih hebat lagi apabila retorik yang sukar difahami ialah dari Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang yang mendakwa sebarang cadangan menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan yang berbeza merupakan salah satu daripada defisit sosial yang dikenal pasti mampu menjejaskan perpaduan.

    Menurutnya, tema dan logo PH-BN yang dilancarkan pada 27 Mei lalu membawa maksud semangat perpaduan dan patriotisme yang tinggi, serta membenihkan rasa cinta yang mendalam kepada negara.

    Sambutan Hari Kebangsaan adalah suatu perayaan bersifat nasional. Logo dan tema yang ditetapkan menjadi lambang kebersamaan dalam kalangan rakyat Malaysia, tambahnya.

    Masalah dengan semua dakwaan ini ialah tema dan logo Hari Kebangsaan PN “Teguh Muafakat Malaysia Sejahtera” dan logo melambangkan bunga raya juga boleh dipertahankan sebagai membawa perpaduan dan semangat patriotisme tinggi. Oleh itu, bolehkah kepimpinan PH-BN secara hati besar menerima tema dan logo PN itu?

    Inilah masalah pemimpin-pemimpin PH-BN yang pernah dikatakan mempunyai ramai “pakar penasihat”.  Namun, daripada apa yang rakyat melihat kebanyakan hala tuju kerajaan kabur dan penuh retorik dengan kata-kata samar dan tidak konkrit.

    Oleh itu, jika kerajaan PH-BN benar seperti dikatakan oleh Aaron bahawa Hari Kebangsaan berkait rapat dengan semangat kerjasama, toleransi dan hubungan baik antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri, yang perlu ditangani secara berhemah, tukarlah tema dan logo kepada yang tidak memihak kepada mana-mana parti politik.

    * Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan Warta Rakyat

    Khairuddin Othman ialah bekas wartawan Berita Harian

  • Datuk K beri keterangan kes Ahmad Zahid

    Datuk K beri keterangan kes Ahmad Zahid

    SUAMI penyanyi terkenal tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin iaitu Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa hadir di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pagi ini untuk memberi keterangan sebagai saksi pembelaan bagi pihak Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang berdepan kes rasuah dan pengubahan wang haram.

    Khalid yang lebih dikenali sebagai Datuk K, hadir dengan memakai kot berwarna hitam bersama seorang lagi individu.

    Ahmad Zahid, 70, dibicarakan atas 47 pertuduhan iaitu lapan rasuah, 12 pecah amanah dan 27 pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi, lapor Sinar Harian.

    Ahli Parlimen Bagan Datuk itu didakwa atas 12 pertuduhan pecah amanah iaitu menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    Kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu dan didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, cawangan Jalan Bunus, Off Jalan Masjid India di Kuala Lumpur di antara 13 Januari 2014 dan 23 Disember 2016.

    Bagi lapan pertuduhan rasuah, Ahmad Zahid dituduh menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn. Bhd.

  • Amirudin angkat sumpah MB Selangor pagi ini

    Amirudin angkat sumpah MB Selangor pagi ini

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua, Datuk Seri Amirudin Shari mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Selangor ke-17 pagi ini.

    Istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan dan Angkat Sumpah itu dilakukan di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah Klang bermula pukul 11 pagi.

    Majlis istiadat angkat sumpah jawatan dan ikrar aku janji pagi ini turut disaksikan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Norashikin, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, Mufti Selangor, Datuk Dr. Anhar Opir dan pembesar-pembesar negeri.

    Amirudin yang dilantik bagi penggal kedua sebagai Menteri Besar turut melafazkan ikrar Aku Janji merangkumi 10 perkara yang perlu beliau penuhi serta patuhi sepanjang memegang jawatan itu.

    Antara kandungan Aku Janji tersebut adalah memelihara serta memastikan agama Islam tidak diganggu gugat serta menghormati agama bukan Islam, memelihara institusi raja dari dicaci serta diganggu dan mematuhi arahan sultan.

    Selain itu, Amirudin turut berikrar bagi memelihara kedudukan istimewa orang Melayu serta kepentingan sah kaum lain, melaksanakan tugas dengan penuh intergriti serta tanggungjawab.

    Beliau turut berikrar untuk mendahulukan rakyat, memastikan kemakmuran negeri itu di tahap tertinggi, memelihara jawatan yang diamanahkan dari dicemari tindakan menyalahi undang-undang dan memelihara perpaduan, lapor Sinar Harian.

  • Kerajaan digesa nyahklasifikasi perjanjian maritim dengan Indonesia, ketika kebimbangan Ambalat memuncak

    Kerajaan digesa nyahklasifikasi perjanjian maritim dengan Indonesia, ketika kebimbangan Ambalat memuncak

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Sabah, Datuk Seri Ronald Kiandee menggesa kerajaan menyahklasifikasi perjanjian maritim yang ditandatangani dengan Indonesia pada Jun, bagi meredakan kebimbangan berikutan penafian Putrajaya bahawa perjanjian itu melibatkan blok Ambalat di luar pantai Sabah. 

    Dalam satu kenyataan, beliau berkata, penyahklasifikasian perjanjian itu bukan sahaja menjawab persoalan sejauh mana Triti Laut Sulawesi tidak melibatkan blok Ambalat, tetapi juga akan menghentikan spekulasi mengenai sempadan maritim antara kedua-dua negara itu di Laut Sulawesi.

    “Blok ambalat iaitu kawasan seluas 15,000 km persegi di tengah-tengah wilayah pertikaian di luar pantai Sabah ini mengandungi sumber minyak mentah terbesar di dunia dan telah dipertahankan oleh Malaysia sekian lama maka ianya tidak boleh digadai sama sekali,” katanya. 

    Tambah beliau, pakar maritim yang terlibat dalam usaha melindungi hak wilayah Malaysia memberi amaran kepada Putrajaya supaya tidak menandatangani sebarang perjanjian baru untuk menyelesaikan pertikaian sempadan yang berlarutan dengan Indonesia, yang menurut mereka Malaysia tidak sepatutnya berkompromi terhadap tuntutannya ke atas kawasan tertentu, terutamanya melibatkan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) serta pelantar benua antara Malaysia dan Indonesia.

    “Jadi tentu sekali penting untuk didedahkan apa yang dimeterai dalam perjanjian itu supaya spekulasi tidak berpanjangan dan sebagai bukti jelas perjanjian berkenaan tidak langsung melibatkan kawasan yang dirujuk Malaysia sebagai Blok ND6 dan Blok ND7 atau Ambalat.

    “Tindakan segera untuk nyahklasifikasikan kandungan perjanjian ini adalah penting untuk memastikan isu ini tidak berpanjangan.

    “Kerajaan mempunyai tanggungjawab moral untuk menjelaskan isu Ambalat secara terbuka dan tuntas bagi menangani prasangka, keraguan serta kebimbangan rakyat Malaysia, khususnya di kalangan rakyat Sabah.”

    Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia Joko Widodo menandatangani beberapa perjanjian pada 8 Jun, termasuk mengenai persempadanan laut wilayah di Laut Sulawesi dan Selat Melaka, di tengah-tengah keraguan daripada pakar maritim mengenai cadangan untuk menyelesaikan pertikaian itu. 

    Timbalan Menteri Luar, Mohamad Alamin sebelum ini menolak dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Warisan, Assaffal Alian bahawa Malaysia menyerahkan tuntutannya kepada Indonesia.

    Alamin berkata, perjanjian maritim baru-baru ini, yang dipuji oleh kedua-dua pemimpin sebagai menamatkan pertikaian selama 18 tahun, tidak ada kaitan dengan blok Ambalat atau mana-mana kawasan lain yang lebih 200 batu nautika dari ZEE.

    “Kami juga belum berunding mengenai apa-apa yang berkaitan dengan sempadan Ambalat,” katanya pada 15 Ogos, lapor MalaysiaNow.

    Laporan eksklusif CNBC bulan lalu bagaimanapun berkata, Malaysia dan Indonesia akan bekerjasama dalam meneroka sumber minyak dan gas di blok Ambalat.