Author: Wartawan WartaRakyat

  • ‘Tubuh parti baharu merugikan, baik sertai platform politik sedia ada’, kata Tuan Ibrahim

    ‘Tubuh parti baharu merugikan, baik sertai platform politik sedia ada’, kata Tuan Ibrahim

    TIMBALAN Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menasihati rakannya yang disisihkan UMNO supaya tidak menubuhkan parti baharu, sebaliknya memanfaatkan platform politik sedia ada dengan menyertai Perikatan Nasional (PN).

    “Penubuhan parti baharu berpaksikan Melayu-Islam cuma mendatangkan kerugian buat orang Melayu sendiri sehingga langkah itu cenderung menguntungkan musuh politik,” ujar Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, hari ini.

    Saranan itu merujuk kenyataan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, yang memberi gambaran mungkin tidak akan menyertai mana-mana parti politik sedia ada, sebaliknya mahu menubuhkan sebuah lagi parti politik baharu.

    Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, Pas melihat tiada keperluan untuk wujudkan parti baharu kerana ia hanya akan memecahkan sokongan.

    “Adalah lebih baik, rakan-rakan bekas UMNO menyertai PN sama ada menjadi terus ahli PN atau menyertai mana-mana parti komponen dalam PN.

    “Ini kerana, kewujudan banyak parti Melayu hanya akan merugikan kita dan menggembirakan musuh politik,” katanya kepada BH hari ini.

    Semalam Khairy Jamaluddin mencetuskan persoalan berhubung hala tuju politik apabila menegaskan sedang mempertimbangkan untuk menubuhkan parti politik baru.

    Bekas Ketua Pemuda UMNO itu berkata, pada mulanya beliau tidak berminat untuk terus menubuhkan satu lagi parti politik, tetapi mula berfikir sebaliknya baru-baru ini.

    “Saya sejak beberapa minggu ini sedang melihat kepada pilihan tersebut. Saya lihat jika kita dapat permulaan kedua dalam politik, kenapa tidak permulaan itu on our own terms (mengikut syarat kita sendiri),” katanya.

  • Remaja 13, 15 tahun pandu lori RORO ditahan

    Remaja 13, 15 tahun pandu lori RORO ditahan

    JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor menahan seorang lelaki berusia 13 tahun ketika memandu lori Roll On Roll Off (RORO) di Persiaran Mokhtar Dahari pukul 12.30 tengah hari Sabtu.

    Pengarah JPJ Selangor, Datuk Khairul Khar Yahya berkata, remaja berkenaan ditahan ketika pihak anggota JPJ sedang melakukan rondaan
    selepas mengesan kenderaan berat tanpa muatan itu dalam keadaan mencurigakan.

    “Hasil pemeriksaan mendapati lori berkenaan dipandu remaja lelaki bersama abangnya berusia 15 tahun sebagai kelindan.

    “Selain memandu bawah umur, kita turut mengesan pelbagai kesalahan lain antaranya Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, cermin gelap, memasang lampu mata arah (strobe light) serta tiada tanda had laju,” katanya memetik laporan Berita Harian.

    Beliau berkata, siasatan awal mendapati remaja yang masih bersekolah itu melakukan kerja secara sambilan memandu lori RORO milik syarikat keluarganya.

    Katanya, JPJ bertindak menyita lori terbabit mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

    Kenderaan itu ujar beliau, dibawa ke Stesen Penguatkuasa Ijok untuk tindakan lanjut.

    Khairul Khar menegaskan memandu di bawah umur boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 39 APJ 1987.

    Tambahnya, bagi sebarang aduan trafik, orang awam boleh menyalurkan kepada [email protected] atau platform aplikasi e-aduan@JPJ beserta butiran pengadu dan butiran aduan.

  • OKU maut terbabas langgar tiang elektrik

    OKU maut terbabas langgar tiang elektrik

    SEORANG lelaki orang kurang upaya (OKU) maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas sebelum melanggar tiang elektrik dalam kejadian dekat sebuah resort di Port Dickson, pagi semalam.

    Mayat Fandi Aziz, 43, yang kudung kaki kanan itu ditemui orang awam yang melalui kawasan terbabit, kira-kira 10 pagi.

    Timbalan Ketua Polis Port Dickson, Muhamad Mustafah Hussin berkata, difahamkan ketika kejadian, mangsa yang bekerja sebagai penjaga pantai di Teluk Kemang menunggang motosikal SYM Bonus berwarna merah sebelum terbabas sendiri dan maut di tempat kejadian.

    Katanya, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari pantai menghala resort berkenaan.

    “Sebaik sampai di Jalan Kemang 13, motosikal ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar tiang elektrik di kiri bahu jalan, dan tercampak ke dalam longkang,” katanya dalam kenyataan, lapor Harian Metro.

    Mustafah berkata, mangsa yang parah di kepala disahkan meninggal dunia oleh petugas Hospital Port Dickson.

    “Kemalangan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.

  • Mahkamah tolak permohonan Zuraida untuk diiktiraf sebagai presiden PBM

    Mahkamah tolak permohonan Zuraida untuk diiktiraf sebagai presiden PBM

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan semakan kehakiman Datuk Zuraida Kamaruddin agar beliau diiktiraf secara rasmi sebagai Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM).

    Hakim Amarjeet Singh menolak permohonan bekas Ahli Parlimen Ampang itu ketika prosiding pagi ini.

    Menurut Amarjeet, kehakiman tiada kuasa untuk melihat isu melibatkan hal ehwal parti, selaras dengan Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966.

    “Mahkamah juga terikat dengan duluan yang ditetapkan Mahkamah Rayuan,” katanya lapor Malaysiakini.

    Zuraida sebelum ini memfailkan permohonan itu bagi mencabar keputusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) tahun lalu yang mengiktiraf Ahli Parlimen, Julau Larry Sng sebagai Presiden PBM.

    Beliau mengambil tindakan itu susulan kemelut dalaman parti itu yang menyaksikan beliau dan 10 lagi ahli PBM dipecat.

    Dengan keputusan hari ini, mahkamah tidak akan mendengar merit semakan kehakiman yang dimohon Zuraida.

    Menurut kertas kausa, Zuraida menuntut beberapa pengisytiharan, antaranya keputusan responden iaitu ROS yang mengekalkan Sng sebagai Presiden PBM sebagai tidak sah dan tidak munasabah.

    Zuraida juga memohon perintah mandamus untuk memaksa ROS mendaftar dan mengiktirafnya sebagai presiden PBM, berkuat kuasa mulai 7 Oktober tahun lepas.

    Antara hujah Zuraida adalah ROS bertindak cuai apabila tidak membuat penegasan bahawa dia adalah Presiden parti, ekoran dakwaan gagal mempertimbang surat parti bertarikh 15 Oktober 2022 yang didakwa mengesahkannya sebagai pemegang jawatan itu.

    Peguam Mohamed Ashmeer Ashrof mewakili Zuraida manakala Peguam Persekutuan M. Kogilambigai mewakili Pejabat Peguam Negara dalam prosiding hari ini.

  • 10 ‘warlord’ UMNO akan sertai PN – Razali

    10 ‘warlord’ UMNO akan sertai PN – Razali

    PERIKATAN Nasional (PN) dijangka mengumumkan sekurang-kurangnya 10 ‘warlord’ daripada UMNO bakal menyertai gabungan itu sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN).

    Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris berkata, mereka yang terlibat adalah nama besar yang telah disisihkan UMNO.

    “Ada…kira orang yang ada nama, yang disisih oleh UMNO. Secara sukarela (mereka) sertai salah satu parti (dalam PN) sama ada Pas atau Bersatu.

    “Kita akan umum sebelum PRN,” katanya ditemui media di pekarangan Ibu Pejabat PN, di Kuala Lumpur, semalam, lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata demikian ketika ditanya berkenaan pemimpin UMNO selain daripada bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang bakal ditarik menyertai PN.

    Dua minggu lalu, Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengesahkan terdapat lapan bekas pimpinan UMNO menyertai gabungan tersebut.

    Pada Isnin, beliau sekali lagi memberi bayangan lebih jelas, bahawa Noh bakal menyertai gabungan berkenaan.

    Mohamed Azmin berkata, pada masa ini Noh sering berada di pentas PN untuk memberi sokongan dan menarik sokongan rakyat pada PRN Selangor.

  • Pas tiada masalah kerjasama dengan Tun Mahathir – kata Takiyuddin

    Pas tiada masalah kerjasama dengan Tun Mahathir – kata Takiyuddin

    PAS tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

    Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyifatkan, kesediaan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung perkembangan itu mewakili PN secara keseluruhannya.

    “Kita (Pas) sebahagian daripada PN… bila pengerusi PN kata (sedia kerjasama), kita (Pas) siap kerjasama dengan sesiapa sahaja yang mempunyai matlamat sama untuk kestabilan negara, kestabilan ekonomi… tak ada masalah.

    “Termasuk Tun (Dr Mahathir)…dia adalah negarawan,” katanya ketika ditemui media selepas mesyuarat Ahli Parlimen PN di sini pada Isnin.

    Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris sebelum itu menyifatkan keterbukaan Dr Mahathir dan Muhyiddin untuk bekerjasama semula disifatkan sebagai langkah baik yang mampu memberi kekuatan kepada PN bagi menghadapi PRN.

    “Termasuk Tun (Dr Mahathir)…dia adalah negarawan,” katanya.

  • Pulau Pinang milik Kedah: ’’Tiada sebab Sanusi dikenakan tindakan’’ – Takiyuddin

    Pulau Pinang milik Kedah: ’’Tiada sebab Sanusi dikenakan tindakan’’ – Takiyuddin

    PAS berpendirian tiada sebab untuk Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dikenakan tindakan berhubung kenyataan kontroversinya bahawa Pulau Pinang adalah milik Kedah.

    Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kenyataan tersebut tidak menjadi kesalahan.

    Sebaliknya, tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang memutar belit kenyataan itu merupakan sesuatu yang tidak wajar.

     “Ini bukan perkara baharu. Jika tengok rekod, pada 2017 seorang exco kerajaan negeri Kedah (bawah BN) mengeluarkan kenyataan sama. Perkara ini sudah jadi perbahasan akademik di pelbagai peringkat.

    ‘’Bagi Pas, kita sokong apa yang MB Kedah sebut untuk dibuat kajian dan penyelesaian agar menokhtahkan perkara ini,” katanya malam tadi di Kuala Lumpur lapor Sinar Harian.

    Takiyuddin berkata, Pas akan mempertahankan isu tersebut pada Persidangan Dewan Rakyat pada Selasa. Tengok soalan esok,” katanya.

    Menurut kertas Pertanyaan-pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) pada Selasa, isu kenyataan Sanusi bahawa Pulau Pinang milik Kedah akan bangkitkan Lim Guan Eng (PH-Bagan).

    Dalan soalan pertama PMQT, Guan Eng bertanyakan apakah tindakan kerajaan ke atas Sanusi bahawa Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk padamkan Pulau Pinang agar boleh dikembalikan kepada Kedah.

    Guan Eng dalam soalan itu berkata, kenyataan tersebut telah memecah-belahkan perpaduan rakyat khususnya menimbulkan keresahan di kalangan penduduk Pulau Pinang serta mengancam keharmonian dan keselamatan dalam negara.

    Kenyataan dikeluarkan Sanusi bahawa Pulau Pinang milik Kedah telah menimbulkan pertikaian ramai khususnya pemimpin-pemimpin kerajaan Pulau Pinang.

    Pada Khamis, Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer turut membuat laporan terhadap Sanusi berhubung dakwaan berkenaan. 

  • Kempen agresif PN di media sosial ancam PH, BN

    Kempen agresif PN di media sosial ancam PH, BN

    PAKATAN Harapan (PH) bersama Barisan Nasional (BN) perlu bekerja lebih kuat untuk memenangi hati rakyat menerusi kempen di media sosial menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, tidak lama lagi.

    Ini berikutan parti lawan iaitu Perikatan Nasional (PN) dilihat menggunakan medium berkenaan secara agresif dan ia menjadi satu ancaman kepada PH.

    Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, berkata PN terlalu menonjol dalam media sosial menyebabkan sukar untuk PH-BN menangkis fitnah ditabur parti itu, khususnya di platform aplikasi TikTok. Kita berdepan ‘bahaya’ kerana sukar sebenarnya untuk menangkis fitnah yang sedang menular dalam TikTok dan sebagainya. Justeru, semua anggota dan pimpinan serta jentera kita perlu sentiasa berwaspada, termasuk juga kepada pengundi.

    “Kita tidak mahu undian dibuat bukan berdasarkan fakta, khususnya di bawah pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang, yang ramai berpuas hati dengan kepemimpinan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang di Dewan Orang Ramai Permatang Pasir, di Bukit Mertajam hari ini, lapor Berita Harian.

    Hadir sama, Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

    Nurul Izzah, berkata PH agak terlewat berkempen di media sosial, namun semua anggota dan pemimpin parti kini sudah mula bekerja bagi memastikan keberadaan jentera PH di platform terbabit dalam usaha memenangi semula hati rakyat khususnya pengundi muda.

    Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan negeri berkata, walaupun peratusan sokongan dan tahap kepuasan hati di Pulau Pinang masih tinggi, jentera PH perlu terus bekerja bagi memastikan kemenangan parti.

  • Khairy dakwa Lembaga Pengampunan diarah ‘jangan bawa fail Najib dulu’

    Khairy dakwa Lembaga Pengampunan diarah ‘jangan bawa fail Najib dulu’

    BEKAS Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, peningkatan kritikan daripada veteran utama parti itu terhadap sekutu dalam kerajaan ketika ini boleh dikaitkan dengan ketidaksabaran mereka terhadap nasib bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

    Khairy berkata Datuk Seri Anwar Ibrahim nampaknya semakin tersepit, malah cuba melengahkan masa bagi mengelakkan pergaduhan antara penyokong Pakatan Harapan (PH) dan Najib yang mengharapkan beliau dibebaskan melalui proses mendapatkan pengampunan diraja yang melibatkan Perdana Menteri.

    “Apa yang saya difahamkan ialah mereka cuba melengah-lengahkan masa. Mereka tak nak buat keputusan, mereka telah memberi arahan kepada Lembaga Pengampunan ‘jangan bawa fail itu dulu’ dengan guna apa-apa alasan. Mungkin ini adalah tanda-tanda ketidaksabaran penyokong ‘Bossku’,” kata Khairy dalam edisi terbaru podcast bersama bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan dengan menggunakan gelaran terhadap Najib oleh penyokongnya, lapor portal MalaysiaNow.

    Ini berlaku susulan pertikaian antara pemimpin UMNO Johor Puad Zarkashi dan Setiausaha Agung Asyraf Wajdi Dusuki, selepas speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu menyerang Rafizi Ramli dari PKR yang gagal menguruskan portfolio ekonominya dengan baik.

    Beberapa pemimpin Umno lain, termasuk Tan Sri Shahrir Samad dan Ahli Majlis Tertinggi Datuk Nur Jazlan Mohamed, juga secara terbuka mempersoalkan pemimpin PH, yang nampaknya muncul tanda-tanda ketegangan dalam parti Melayu itu selepas enam bulan berganding bahu dengan musuh lamanya bagi membentuk kerajaan.

    Najib, yang disabitkan pada 2020 atas tuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa ke atas dana SRC International, mula menjalani hukuman penjara 12 tahun pada Ogos tahun lalu.

    Mac lalu, Mahkamah Persekutuan menolak semakan kehakiman terhadap sabitan dan hukumannya, yang mendorong desakan oleh penyokongnya dalam Umno untuk mendapatkan pengampunan diraja.

    Pada April, Anwar mengakui beliau akan menjadi sebahagian daripada Lembaga Pengampunan yang ditugaskan untuk memutuskan pengampunan Najib.

    Bagaimanapun, tidak lama selepas itu wujud perdebatan mengenai peranan perdana menteri dalam mendengar permohonan pengampunan, selepas penyokong PH berkata ia adalah budi bicara Agong. 

    Peguam kanan Zainur Zakaria, yang pernah menjadi sebahagian daripada pasukan pembelaan Anwar berkata, Agong dijangka bertindak atas nasihat Lembaga Pengampunan. 

    “YDPA (Agong) tidak bertindak sebagai mahkamah mengkaji semula keputusan yang telah dibuat oleh mahkamah,” kata Zainur, sambil menambah Anwar akan menjadi sebahagian daripada proses membuat keputusan untuk menasihati Agong sama ada Najib perlu diberikan pengampunan atau tidak. 

    Beberapa penganalisis memberi amaran bahawa tawaran baru untuk pengampunan diraja terhadap Najib boleh menimbulkan masalah kepada kerajaan campuran Anwar yang dibentuk tahun lepas selepas Presiden UMNO Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi memberi komitmen dengan membawa sokongan 26 ahli Parlimen dari partinya menyokong pemimpin PKR itu bagi dilantik sebagai perdana menteri.

    Mereka juga menegaskan pengaruh Najib dalam UMNO lebih kuat berbanding Zahid, dan proses pengampunan akhirnya akan menjejaskan Presiden UMNO itu.

    Khairy seterusnya berkata Anwar dan Zahid cuba mengelak daripada membuat keputusan mengenai perkara itu.

    “Sebab jika mereka panggil mesyuarat Lembaga Pengampunan, dan memberi nasihat kepada yang Yang di-Pertuan Agong supaya pengampunan itu perlu diberi, itu akan mengundang reaksi negatif di kalangan sebahagian rakyat terutama penyokong Pakatan Harapan.

    “Kalau mereka memberi nasihat kepada Agong untuk tidak memberi pengampunan, itu akan mengundang reaksi di kalangan orang UMNO dan penyokong kuat Bossku,” katanya.

    Sementara itu, Shahril berkata pemimpin UMNO yang mengkritik sekutu baru mereka daripada PH adalah “dibintangi oleh watak-watak sama” dalam menjatuhkan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 2021, apabila ahli Parlimen yang bersekutu dengan Najib dan Zahid menarik balik sokongan mereka kepada Presiden Bersatu itu.

    “Saya tak mengatakan ia akan ikut trend yang sama, tapi ia yang harus dipantau,” kata Shahril, yang berkhidmat sebagai Penasihat Ekonomi kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

  • 5  termasuk kanak-kanak maut dalam kemalangan di Sibu

    5 termasuk kanak-kanak maut dalam kemalangan di Sibu

    LIMA orang termasuk seorang kanak-kanaklelaki berusia dua tahun dan seorang warga emas, maut dalam satu kemalangan jalan raya di KM64, Jalan Sibu-Bintulu dekat Sibu, hari ini.

    Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Sarawak, mangsa maut yang menaiki kereta model Perodua Myvi dikenali sebagai Allesandro Collin Stewart, 2 dan Alicesha Bathrish Langi, 24.

    Beliau berkata, tiga lagi mangsa yang turut terkorban di lokasi kejadian adalah penumpang kereta Kia Sportage dikenali sebagai Marcos Marican, 26, Marican@Langkan Legi, 61, dan seorang lagi lelaki yang belum dapat dikenal pasti identiti.

    “Lima lagi mangsa mengalami kecederaan termasuk seorang daripadanya dilaporkan parah,” katanya dalam kenyataan media hari ini, lapor Berita Harian.

    Menurut beliau, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selangau dengan bantuan BBP Sungai Merah bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 10.09 pagi.

    “Pasukan bomba kemudiannya bertindak mengeluarkan seorang mangsa wanita yang masih tersepit dalam kereta Perodua Myvi dan pemeriksaan yang dijalankan pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ke atas mangsa mengesahkannya sudah meninggal dunia.

    “Seorang lagi kanak-kanak lelaki berusia dua tahun juga dilaporkan mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Klinik Kesihatan Selangau, namun disahkan meninggal dunia semasa diberikan rawatan di klinik terbabit,” katanya.

    Dalam masa sama, beliau berkata, lima lagi mangsa yang cedera turut dihantar ke Klinik Kesihatan Selangau bagi diberikan rawatan lanjut dengan menggunakan Unit Ambulans KKM.

    Mayat kelima-lima mangsa yang mengalami kecederaan kemudiannya diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.