Author: Wartawan WartaRakyat

  • Zahid tegaskan UMNO bukan ‘mengkarung’ politik, kecam Pas, PN

    Zahid tegaskan UMNO bukan ‘mengkarung’ politik, kecam Pas, PN

    PRESIDEN UMNO Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengambil kesempatan mengecam dua parti Melayu yang berada dalam Perikatan Nasional (PN) ketika menyampaikan ucapan dasar di Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC).

    Di hadapan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dan Presiden AMANAH, Mohamad Sabu yang hadir sebagai tetamu kehormat, Zahid menegaskan, UMNO bukanlah mengkarung politik.

    ‘’Kita biasa mendengar ayat-ayat Allah dijadikan sandaran untuk mereka mengeluarkan pelbagai fatwa mengikut kepentingan. Dalam soal Melayu, kita mendengar fatwa tentang assabiyah. 

    ‘’Kini merekalah kononnya penyelamat Melayu. Dalam soal hudud, kita pernah dikafirkan dan kemudian atas kepentingan kerakusan politik mereka, disebut pula hudud bukan keutamaan. Mana perginya agenda RUU 355?,’’ katanya.

    Walaupun tidak menyebut nama parti itu, kenyataan Zahid jelas ditujukan kepada Pas yang memperjuangkan RUU tersebut.

    Sambil memetik ayat 41 dalam surah al-Baqarah, Zahid yang pernah didakwa membuat pakan sulit dengan Anwar sebelum PRU-15 berkata, peringatan Allah ini, cukup untuk menggambarkan golongan yang memperdagangkan ayat-ayat Allah untuk kepentingan politik mereka.

    ‘’Benarlah, mereka adalah mengkarung politik yang bukan sahaja berubah warna dan wajah tetapi lebih dahsyat, parti ini seolah-olah, menjadi pemegang neraca, di yaumul mahsyar,’’ katanya.

    Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri turut membidas Perikatan Nasional  yang dianggap mempunyai ciri-ciri pengkhianat yang membalut dirinya dengan slogan Bersih dan Stabil.

    ‘’Begitu juga dalam soal kalimah Allah. Kini mereka gegak gempita cuba menjadi juara, dengan menyelewengkan fakta kononnya kerajaan hari ini, telah menggadai kalimah Allah. 

    ‘’Hakikatnya, pendirian UMNO tidak berubah walau seinci pun. UMNO dan wakil kita di dalam Kabinet, walaupun tanpa perlu berkokok seperti ayam jantan, dengan tegas menyatakan, kalimah Allah tidak boleh digunapakai oleh agama lain.

    ‘’Alhamdulillah, penegasan kita ini juga menjadi pendirian Kerajaan Perpaduan. Berbanding dengan pimpinan Pas yang suatu ketika dahulu, semasa bersama rakan politik yang sama seperti kita hari ini, mengatakan tidak salah untuk agama lain menggunakan kalimah Allah,’’ katanya.

    Beliau berkata, apa pun hujah mereka, yang jelas dan nyata, mereka akan menukar kulit mengikut suasana. 

    ‘’Melayu dan Islam bagi mereka. hanya topeng yang digunakan dalam persembahan politik,’’ katanya.

  • Dakwaan rasuah libat OCPD: dua Inspektor, seorang koperal pula ditahan

    Dakwaan rasuah libat OCPD: dua Inspektor, seorang koperal pula ditahan

    SURUHNJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang menahan dua pegawai dan seorang anggota polis bagi membantu siasatan dakwaan menerima rasuah melibatkan seorang Ketua Polis Daerah (OCPD) di negeri ini.

    SPRM menerusi kenyataan memaklumkan, inspektor berusia 37 dan 38 tahun serta koperal, 43, itu ditahan bersama seorang lagi lelaki warga tempatan, 37, selepas hadir memberi keterangan di pejabat SPRM di Kuantan hari ini, lapor BERNAMA.

    Pada Selasa lalu, SPRM menahan ketua polis daerah itu bagi membantu siasatan dakwaan menerima rasuah secara bulanan antara RM20,000 hingga RM50,000 yang dianggarkan bernilai lebih RM1 juta sejak tahun 2017 hingga 2022.

    Suapan itu didakwa bagi melindungi aktiviti pusat hiburan dan pusat urut sekitar daerah berkenaan daripada aktiviti penguatkuasaan yang boleh mengganggu perniagaan mereka.

    Pada kenyataan sama, SPRM juga memaklumkan penahanan dua anggota penguatkuasa imigresen berusia 41 dan 49 tahun untuk membantu siasatan dakwaan menerima rasuah daripada pemilik pusat urut bagi mempercepatkan proses pembaharuan permit kerja warga asing.

    Siasatan dijalankan di bawah seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

    Pengarah SPRM Pahang Hairuzam Mohmad Amin@Hamim mengesahkan tangkapan tetapi enggan mengulas lanjut.

  • Wanita hamil 9 bulan, rakan ditahan larikan gelang emas

    Wanita hamil 9 bulan, rakan ditahan larikan gelang emas

    SEORANG wanita yang sarat hamil sembilan bulan antara dua yang ditahan polis tidak sampai 24 jam selepas melarikan dua utas gelang tangan emas bernilai RM45,000 dari sebuah kedai emas, dekat Arau semalam.

    Ketua Polis Daerah Arau, Superintenden Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, suspek ditahan berusia 29 tahun dan bekerja sebagai peniaga berasal dari Beseri, Padang Besar.

    “Wanita tersebut ditahan bersama rakannya, 36, dari Simpang Empat, Kangar yang bertugas sebagai pembantu kantin bersama barang kemas.

    “Polis menerima laporan daripada jurujual di sebuah kedai emas di Arau pada pukul 5.25 petang memaklumkan didatangi seorang perempuan yang ingin membeli barang kemas dan mengambil dua utas gelang tangan emas pada pukul 4.20 petang.

    “Wanita tersebut bertindak mengambil dan membelek selama 10 minit sebelum melarikan diri dengan menaiki motosikal bersama rakannya yang menunggu di hadapan kedai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Ahmad Mohsin berkata, pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis berjaya menemui kesan cap jari suspek di lokasi kejadian dan terus memburu mereka.

    Jelasnya, suspek berjaya ditahan di sekitar daerah itu dalam tempoh tidak sampai 24 jam laporan dibuat.

    “Polis turut menemukan semula dua utas gelang bernilai RM45,000 berada pada salah seorang suspek dan mereka kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Daerah Arau Perlis untuk siasatan lanjut,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan kedua-dua suspek direman selama tiga hari bermula Khamis sehingga 10 Jun bagi membantu siasatan.

  • Remaja dibogelkan, dibelasah kerana mahu berhenti sebagai operator

    Remaja dibogelkan, dibelasah kerana mahu berhenti sebagai operator

    SEORANG remaja dipaksa berbogel sebelum dirakam gambar, dibelasah dengan kayu dan tali serta barang peribadi disamun.

    Mangsa yang merupakan remaja lelaki berusia 15 tahun diperlakukan demikian selepas nekad untuk berhenti bekerja sebagai operator sindiket penipuan atas talian, akhir bulan lalu.

    Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, berdasarkan laporan, mangsa menyatakan dia bukan saja dicederakan malah diaibkan serta diperas ugut oleh ‘bosnya’ kerana mahu berhenti bekerja dengan sindiket terbabit.

    Jelasnya, kejadian tersebut dilakukan di sebuah kondominium di Melaka, pada 28 Mei lalu, kira-kira 8 malam.

    “Mangsa membuat laporan di Balai Polis Batang Tiga dan sepasukan anggota Cawangan Operasi, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah menahan lima suspek.

    “Suspek terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita berusia 15 hingga 23 tahun di sebuah rumah di Taman Jati, Hang Tuah Jaya, di Melaka pada 31 Mei lalu, pukul 3.45 petang,” katanya ketika dihubungi.

    Katanya, menerusi serbuan itu polis merampas barang kes disyaki senjata digunakan untuk mencederakan dan barang milik mangsa.

    Jelasnya, siasatan lanjut mendapati kumpulan ini menjalankan aktiviti penipuan atas talian pinjaman wang tidak wujud sejak tahun lalu dengan mensasarkan kepada individu yang mempunyai akaun media sosial di serata dunia khususnya warga tempatan.

    “Kumpulan ini menyasarkan jumlah kutipan minimum aktiviti pinjaman tidak wujud sehingga RM20,000 sehari dengan menggunakan apa jua kaedah aplikasi komunikasi telefon seperti WhatsApp dan Telegram,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Beliau berkata, lima individu terbabit disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan (KK) iaitu mencederakan mangsa dalam tindakan samun yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat jika disabitkan kesalahan.

    Christopher berkata, susulan penahanan lima individu terbabit, satu operasi pencegahan dilaksanakan dan berjaya menahan 11 individu berusia 18 hingga 22 tahun disyaki menjalankan aktiviti penipuan pinjaman wang tidak wujud di sebuah kawasan perumahan mewah di Taman Cheng Perdana.

    Menurutnya, seorang lelaki dalang kegiatan penipuan berusia 25 tahun turut diberkas kerana cuba merasuah pegawai kanan polis sebanyak RM60,000 bagi melepaskan semua 11 individu terbabit.

    “Semua 11 individu terbabit disiasat mengikut Seksyen 420 KK iaitu kesalahan menipu bagi memperoleh harta orang lain dan boleh dihukum penjara maksimum sehingga 10 tahun serta sebat dan denda.

    “Lelaki yang cuba memberi suapan kepada polis disiasat mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009,” katanya.

    Christopher berkata, berdasarkan statistik tahun lalu hingga pertengahan 2023, sebanyak 208 laporan polis dibuat ke atas syarikat yang disyaki digunakan sindiket terbabit untuk memperdayakan mangsa yang ingin membuat pinjaman wang.

  • Lelaki terlibat pergaduhan, cederakan anggota polis ditahan

    Lelaki terlibat pergaduhan, cederakan anggota polis ditahan

    SEORANG lelaki tempatan berusia 56 tahun ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam pergaduhan di Lebuh Chulia, George Town, Pulau Pinang malam tadi.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 8.35 malam itu, suspek turut mencederakan anggota polis selain mengeluarkan perkataan kesat terhadap anggota tersebut ketika hendak ditahan.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, suspek juga dipercayai menumbuk muka dan kereta milik orang awam.

    “Pihak polis yang tiba di tempat kejadian telah menangkap suspek, namun semasa tangkapan dilakukan, suspek mengeluarkan kata-kata kesat terhadap polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Terdahulu, tular di media sosial video yang berdurasi tujuh saat memaparkan seorang lelaki dipercayai dalam keadaan mabuk yang bertindak menumbuk muka dan kereta orang awam di kawasan itu.

    Menurut Soffian, berlaku pergelutan semasa tangkapan dibuat sehingga menyebabkan seorang anggota polis mengalami kecederaan luka di tangan.

    Jelasnya, suspek yang tidak bekerja dan berasal dari George Town itu mempunyai satu rekod jenayah lampau melibatkan kes dadah.

    Ujarnya, hasil ujian air kencing suspek juga didapati positif dadah dan dia direman selama empat hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan atas kesalahan menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam dari menjalankan kewajipan.

    “Pihak polis meminta orang ramai yang melihat kejadian itu untuk tampil membantu siasatan.

    “Kami juga menasihatkan orang ramai tidak menyebarkan rakaman video berkenaan kejadian tersebut di mana-mana laman media sosial bagi mengelakkan sebarang spekulasi,” katanya.

  • Bekas pemain bola sepak kebangsaan belasah awek ditahan

    Bekas pemain bola sepak kebangsaan belasah awek ditahan

    BEKAS pemain bola sepak kebangsaan ditahan kerana mencederakan teman wanitanya dalam kejadian di sebuah hotel di Petaling Jaya semalam.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita tempatan pukul 6 petang.

    “Dalam perselisihan faham antara mangsa dan teman lelakinya menyebabkan kecederaan di bahagian badan mangsa.

    “Suspek juga merosakkan telefon bimbit mangsa.

    “Hasil maklumat dan risikan dijalankan berjaya menahan suspek dalam satu serbuan di sebuah hotel di sekitar Petaling Jaya untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.

    Terdahulu media melaporkan seorang bekas pemain kebangsaan dipercayai membelasah kekasihnya sehingga cedera selepas berlaku pergaduhan antara mereka baru-baru ini.

    Menurut sumber, pemain terbabit yang masih aktif beraksi bersama sebuah pasukan terkemuka itu dikatakan sering melakukan perbuatan terbabit sehingga menyebabkan kekasihnya yang juga seorang doktor bertindak mendedahkan perkara itu kepada umum.

    Perbuatan terbabit menyebabkan wanita berkenaan mengalami lebam di tangan dan beberapa kesan calar sebelum mendapatkan rawatan susulan di sebuah klinik swasta.

    Mengulas lanjut, Fakhrudin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 323/427 Kanun Keseksaan.

    Katanya, suspek dibebaskan dengan jaminan polis sementara kertas siasatan dilengkapkan.

    Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 037966222, katanya.

  • Pengurus stor didakwa amang seksual remaja

    Pengurus stor didakwa amang seksual remaja

    PENGURUS stor didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Terenggan hari ini atas tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap rakan wanitanya, Mei lalu.

    Harian Metro melaporkan, tertuduh, Pong Yi Ziang, 19, mengaku tidak bersalah sebelum memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

    Pong didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang berusia 13 tahun 11 bulan di sebuah bilik hotel di Kuala Terengganu, pada 9 pagi 21 Mei lalu.

    Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

    Mahkamah kemudian menetapkan 11 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Nabihah Hizamul-Din, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

  • Pelajar asrama nyaris buta dicurah air sabun ketika tidur

    Pelajar asrama nyaris buta dicurah air sabun ketika tidur

    SEORANG pelajar lelaki Tingkatan Satu nyaris hilang penglihatan selepas rakannya bertindak mencurah cecair sabun mandi ketika tidur di sebuah sekolah berasrama di Gerik.

    Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, maklumat kejadian itu diterima setelah bapa mangsa membuat laporan polis sekitar pukul 12.22 tengah hari semalam.

    Jelas beliau, siasatan yang dijalankan mendapati kejadian itu berlaku pada 19 Mei lalu sekitar pukul 1.15 pagi.

    “Kedua-dua belah mata mangsa berusia 13 tahun dicurah cecair dipercayai sabun mandi dan telah mendapatkan rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh.

    “Pemeriksaan yang dijalankan pakar mengesahkan mangsa mengalami kecederaan ‘bilateral eye chemical injury grade 1’ dan perlu menjalani rawatan susulan,” katanya ketiak dihubungi.

    Menurut beliau, remaja lelaki terbabit telah ditahan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

    Katanya, beberapa saksi termasuk guru dan pelajar akan dipanggil bagi membantu siasatan.

    “Kertas siasatan akan dirujuk kepada pihak pendakwaan untuk tindakan lanjut,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Kanak-kanak perempuan berusia setahun jadi mangsa dera teman lelaki ibu

    Kanak-kanak perempuan berusia setahun jadi mangsa dera teman lelaki ibu

    SEORANG kanak-kanak perempuan berusia setahun mengalami kecederaan selepas dipercayai didera teman lelaki ibunya di sebuah rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang, di Sentul semalam.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju DSP Saralathan Duraisamy dalam satu kenyataan, berkata pihaknya menerima laporan berkenaan pada pukul 5.05 petang hari yang sama.

    Katanya, bayi itu cedera di bahagian belakang badan, bengkak di bibir serta lebam pada kedua-dua belah matanya.

    “Hasil maklumat awal, suspek seorang lelaki warga tempatan yang merupakan teman lelaki kepada ibu mangsa telah mendera mangsa dan telah melarikan diri sebelum pihak polis tiba di lokasi kejadian,” katanya lapor Astro Awani.

    Beliau berkata, mangsa kini menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

    Katanya, siasatan awal polis mendapati punca mangsa dipukul adalah kerana membuat bising dan ibunya dikatakan cuba menghalang teman lelakinya itu tetapi tidak berdaya.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes itu menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju menerusi talian 03-92899222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur 03-21159999 atau balai polis berhampiran.

  • Ahli-ahli Parlimen PN mohon menghadap Raja-Raja Melayu

    Ahli-ahli Parlimen PN mohon menghadap Raja-Raja Melayu

    AHLI Parlimen Perikatan Nasional (PN) akan memohon untuk menghadap raja-raja Melayu selepas usul persendirian untuk membincangkan isu kalimah “Allah” ditolak di Dewan Rakyat.

    Zulkifli Ismail (PN-Jasin) berkata beliau kecewa dengan keputusan Speaker Dewan Rakyat yang menolak usul Rang Undang-Undang (RUU) Tafsiran Pindaan Akta 388 berkait kalimah “Allah” daripada dibahas.

    “Saya berharap, saya bersama beberapa Ahli Parlimen PN akan mendapat perkenan untuk menghadap Sultan Selangor dan juga Majlis Raja-Raja untuk menerangkan mengenai usul persendirian ini,” kata Zulkifli pada sidang media di Parlimen, rapor FMT.

    Ketua Pembangkang Datuk Seri  Hamzah Zainudin berkata Ahli Parlimen PN berhasrat menerangkan kepada Raja Melayu bahawa pindaan pada Akta Tafsiran 1948 dan 1967 antara cara bagi memastikan kalimah “Allah” tidak disalah guna.

    “Sesiapa saja boleh guna, tapi biarlah dengan tafsiran yang betul. Apa yang kami bimbang kalimah itu boleh disalah tafsir oleh pihak tertentu dan ini boleh menyebabkan kekeliruan,” katanya.

    Hamzah berkata kalau semua pihak faham kalimah “Allah” mengikut tafsiran yang ada dalam undang-undang, mudah untuk diterima pakai semua pihak dalam negara.

    Pada 2 Jun lalu, Sinar Harian melaporkan Zulkifli mengemukakan usul persendirian bagi mencadangkan Dewan Rakyat untuk membincangkan isu kalimah “Allah”.

    Hari ini, Zulkifli berkata beliau menerima jawapan dari Speaker Dewan Rakyat yang memaklumkan usul itu ditolak.

    Timbalan Speaker Alice Lau memberitahu Zulkifli sekiranya tidak berpuas hati, beliau boleh mengemukakan rayuan.

    Zulkifli berkata pindaan pada Akta Tafsiran bukan satu “pilihan” tetapi sesuatu yang perlu dilakukan untuk melindungi kepercayaan orang Islam di negara ini.