Author: Wartawan WartaRakyat

  • PPM Wilayah 2rampas rokok, arak seludup

    PPM Wilayah 2rampas rokok, arak seludup

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah 2 Johor merampas 183,800 batang rokok dan lapan karton minuman keras pelbagai jenama bernilai RM141,768.00 di Jalan 3/1, Taman Kempas, Johor Bahru semalam.

    Komander PPM Wilayah 2, Asisten Komisioner Muhd. Zailani Abdullah berkata, sepasukan pegawai dan anggota membuat pemantauan di lorong belakang jalan itu sebelum menahan seorang lelaki pada jam 5.30 petang.

    “Pemeriksaan dalam dalam premis tersebut menemukan 183,800 batang rokok dan lapan karton minuman keras.

    “Rokok dan minuman keras itu mempunyai pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM141,768. Kita didapati bahawa semua rokok terbabit disyaki tidak bercukai kastam dan ingin diseludup ke pasaran tempatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

    Katanya, anggaran keseluruhan nilai rampasan termasuk sebuah kenderaan berserta nilai cukai rokok adalah sebanyak RM181,766.

    Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d)Akta Kastam 1967.

    Dalam pada itu, pihaknya akan mempertingkatkan operasi bersepadu bersama-sama pihak Tugas Am dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Polis Johor di laluan dan jalan yang dikenal pasti digunakan penyeludup.

    Orang ramai juga diseru untuk menyalurkan maklumat tentang kegiatan yang menyalahi undang-undang negara menerusi talian 07-2372221.

  • UMNO, BN tetap sokong kerajaan PN

    UMNO, BN tetap sokong kerajaan PN

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    BARISAN Nasional (BN) dan UMNO tetap menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) di sebalik kemelut politik ketika ini.

    Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, pendirian itu sudah dinyatakan Timbalan Perdana Menteri merangkap Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam.

    “Dalam BN dan UMNO, sudah membuat pendirian dan diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri semalam.

    “Saya sendiri dan rakan dalam Dewan Rakyat yang rapat dengan saya, bukan sahaja sokong tetapi senada dengan pendirian yang diumumkan iaitu tetap sokong kerajaan sedia ada,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Sumbangan Perubatan Covid-19 dari Arab Saudi di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS), Kuala Lumpur hari ini.

  • Bantuan perubatan dari Arab Saudi tiba di Malaysia

    Bantuan perubatan dari Arab Saudi tiba di Malaysia

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    TIGA pesawat berisi bantuan peralatan perubatan dihantar kerajaan Arab Saudi ke Malaysia pada hari ini dan semalam.

    Bantuan perubatan itu bagi membantu negara ini menangani jangkitan Covid-19.

    Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, beliau akan menerima sumbangan bantuan itu secara simbolik dan perincian jumlahnya daripada Duta Arab Saudi ke Malaysia, Datuk Dr. Mahmoud Hussien Saeed Qattan nanti.

    “Baru lima hari lalu, Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman (Abdulaziz Al Saud) menitahkan supaya bantuan COVID-19 dihantar ke Malaysia.
    Semalam tiba di tanah air menerusi dua pesawat manakala sebuah lagi akan tiba hari ini.

    “Tiga pesawat Saudia Airlines dihantar kerajaan Arab Saudi untuk sampaikan sumbangan ini. Alhamdulillah, nanti saya kongsi perincian sumbangan kepada semua,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Ahad lalu, Kerajaan Arab Saudi dilaporkan bersetuju menyalurkan sumbangan kepada Malaysia, bagi membantu negara ini memerangi penularan pandemik COVID-19 yang semakin meruncing.

    Bantuan daripada Arab Saudi itu antara lain, termasuk sumbangan dalam bentuk satu juta dos vaksin COVID-19 kepada Malaysia.

  • Penjara seumur hidup dicadangkan untuk jenayah pemerdagangan manusia

    Penjara seumur hidup dicadangkan untuk jenayah pemerdagangan manusia

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) sedang mempertimbang untuk meningkatkan hukuman kepada mereka yang melakukan jenayah pemerdagangan manusia.

    Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ini termasuk cadangan hukuman pemenjaraan seumur hidup.

    Jelasnya, usaha itu adalah bagi mencerminkan komitmen kerajaan dalam membanteras kegiatan ini.

    Katanya, kegiatan pemerdagangan orang adalah sama seperti amalan perhambaan moden, yang menafikan kebebasan, maruah serta hak asasi berjuta-juta orang mangsa di seluruh dunia.

    “Bagi memastikan jenayah ini dapat ditangani secara serius, kerajaan akan terus menjayakan Pelan Tindakan Kebangsaan Antipemerdagangan Orang Tahun 2021-2025 (NAPTIP 3.0) yang dilancarkan Mac lalu.

    “Berdasarkan statistik, sebanyak 1,854 kes yang melibatkan 10,463 mangsa direkodkan dalam negara dengan 70 peratus mangsa adalah terdiri dalam kalangan wanita dan kanak-kanak, sejak 2015. Bagaimanapun, semua mangsa diselamatkan dan diberikan perlindungan mengikut lunas perundangan sedia ada,” katanya.

    Beliau berkata demikian sempena majlis pelancaran Hari Antipemerdagangan Orang Sedunia 2021 secara maya, hari ini.

    Hamzah berkata, kerajaan juga bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Project Liber8 membangunkan satu platform yang dikenali sebagai Chatbot MAPO.

    Katanya, platform yang beroperasi setiap hari membolehkan mangsa menjadikan ia satu saluran untuk membuat aduan dengan mudah.

    “Ia juga mempunyai enam bahasa iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Indonesia, Burma, Nepal dan Bengali yang membolehkan lebih ramai mangsa tampil untuk membantu kerajaan,” katanya.

  • 16,840 kes Covid-19 direkodkan hari ini

    16,840 kes Covid-19 direkodkan hari ini

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    SEBANYAK 16,840 kes penularan wabak Covid-19 di seluruh negara pada hari ini, lapor Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

    Selangor terus mencatatkan jumlah kes yang tinggi iaitu sebanyak 6,092 kes dan Kuala Lumpur pula, jumlah kes yang direkodkan sebanyak 2,114.

    Kedah pula mencatatkan sebanyak 1,281 kes, Negeri Sembilan (1,079), Johor (1,104), Sabah (1,066), Perak (810), Pulau Pinang (689), Kelantan (656), Melaka (581), Pahang (540), Terengganu (258), Putrajaya (100), Perlis (13) dan Labuan (tujuh).

    Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif 1,095,486.

  • JAS rampas barang buangan terjadual dari luar negara

    JAS rampas barang buangan terjadual dari luar negara

    JABATAN Alam Sekitar (JAS) Johor berjaya mematahkan cubaan membawa masuk 19 kontena mengandungi barangan buangan terjadual dari luar negara di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Gelang Patah, Iskandar Puteri semalam.

    Pengarah JAS Johor, Dr. Mohd. Famey Yusoff berkata, kesalahan itu dikesan semasa pihaknya menjalankan pemeriksaan kontena dengan kerjasama pihak berkuasa PTP dari 19 Julai lalu hingga semalam.

    “Pemeriksaan yang dijalankan mendapati setiap kontena itu menggunakan borang deklarasi palsu bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

    “Berdasarkan borang deklarasi, barang dagangan yang dibawa adalah sekerap logam namun hasil pemeriksaan dijalankan mendapatinya barang dikategorikan sebagai buangan terjadual di bawah Jadual Pertama, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

    “Pemeriksaan ke atas kesemua kontena itu membawa buangan yang yang mengandungi bateri plumbum (SW 102), bateri lithium (SW 103), buangan elektrik dan elektronik (SW 110), dan kabel wayar berpenebat (SW 422),” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

    Katanya, semua kontena itu akan diarahkan untuk dihantar balik ke negara asal selaras dengan prosedur Konvensyen Basel.

    Piha JAS katanya, sudah mengenal pasti kesemua 10 syarikat pengimport yang terlibat dalam kegiatan tersebut.

    Tegas beliau, tiada tindakan kompaun ditawarkan terhadap syarikat pengimport yang terlibat melainkan mengarahkan kontena mengandungi barangan buangan terjadual untuk dihantar balik ke negara asal.

    “Mana-mana pihak diingatkan bahawa pengimportan sekerap logam dan buangan terjadual tanpa kebenaran Ketua Pengarah Alam Sekitar terlebih dahulu adalah satu kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya.

  • Johor ImmuPlan ditambah baik, bantu pekerja Malaysia di Singapur

    Johor ImmuPlan ditambah baik, bantu pekerja Malaysia di Singapur

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    PROGRAM vaksinasi di bawah inisiatif kerajaan negeri iaitu Johor ImmuPlan yang bermula semalam memberi tumpuan khusus kepada barisan hadapan ekonomi di negeri ini akan ditambah baik dari semasa ke semasa.

    Menteri Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, penambahbaikan dilakukan bagi memastikan lebih ramai individu menerima vaksin di bawah program itu tanpa mengabaikan prosedur operasi standard (SOP).

    “Penambahbaikan yang akan dilakukan termasuk menyediakan lebih banyak bekalan vaksin di bawah program ini,” katanya kepada pemberita semasa mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Persada di sini semalam.

    Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Datuk Mohd. Noh Ibrahim, Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Datuk Dr. Aman Rabu dan Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Johor, Mohd. Tarmizi Dan.

    Johor ImmuPlan diperkenalkan bertujuan membantu barisan hadapan ekonomi Johor termasuk pekerja Malaysia dengan permit kerja sah di Singapura selain memiliki surat tawaran kerja atau surat majikan di Singapura.

    Proses vaksinasi bagi individu yang layak akan dijadualkan secara harian mengikut tarikh pendaftaran mereka iaitu pendaftaran awal akan mendapat tarikh janji temu terlebih dahulu.

  • Bersatu Johor berdiri teguh, sokong PM terus pimpin kerajaan

    Bersatu Johor berdiri teguh, sokong PM terus pimpin kerajaan

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor berdiri teguh di belakang Perdana Menteri untuk terus memimpin kerajaan.

    Timbalan Pengerusi Bersatu Johor, Ir. Md. Nasir Hashim menzahirkan sokongan pihaknya tanpa berbelah bahagi kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Beliau berkata, Bersatu Johor juga menjunjung kasih atas titah Yang di-Pertuan Agong yang menyeru agar semua ahli Parlimen memberi keutamaan menjaga kesejahteraan rakyat.

    “Ini termasuk agenda memerangi Covid-19 pada sidang Parlimen khas yang sedang berlangsung ketika ini.

    “Bersatu Johor akan terus fokus dan komited untuk meneruskan agenda membela rakyat dan memulihkan ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini pada Jumaat.

    Beliau berkata, Bersatu Johor mengucapkan terima kasih kepada semua ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan empat ahli Parlimen Bebas yang menyokong Muhyiddin.

  • KSM siasat secara komprehensif insiden runtuhan perancah LRT3

    KSM siasat secara komprehensif insiden runtuhan perancah LRT3

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    KEMENTERIAN Sumber Manusia (KSM) akan menyiasat secara komprehensif insiden runtuhan perancah di tapak Projek Light Rail Transit Line 3 (LRT3), Klang, Selangor semalam yang menyebabkan seorang pekerja terbunuh.

    KSM melalui kenyataannya hari ini memaklumkan, sepasukan pegawai penyiasat daripada Ibu Pejabat Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan JKKP Selangor diarahkan memulakan siasatan dengan segera.

    Pihkanya memandang serius insiden itu dan siasatan komprehensif akan turut membabitkan penglibatan Bahagian Kejuruteraan Forensik dan Bahagian Keselamatan Tapak Bina, JKKP bagi mengenalpasti punca kejadian.

    “Ia juga untuk menentukan sama ada terdapat pelanggaran kehendak perundangan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994,” jelas kementerian itu.

    Dalam insiden yang berlaku sekitar jam 2 petang semalam, seorang pekerja warga Bangladesh yang berada di bawah runtuhan perancah itu disahkan meninggal dunia.

    Tiga lagi rakan senegaranya dan seorang warga Indonesia turut cedera dan dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

    KSM menjelaskan, berdasarkan akta tersebut, menjadi kewajipan majikan memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerjanya semasa bekerja mahupun orang awam di tempat kerja yang berada di bawah kawalannya.

    “KSM ingin menegaskan bahawa kementerian sentiasa memandang serius setiap kemalangan dan penyakit pekerjaan yang berpunca daripada aktiviti pekerjaan termasuklah kes kemalangan membabitkan sektor pembinaan,” katanya.

  • Pembatalan Ordinan Darurat teratur, ikut undang-undang, Perlembagaan

    Pembatalan Ordinan Darurat teratur, ikut undang-undang, Perlembagaan

    KERAJAAN berpandangan semua tindakan yang diambil dalam isu pembatalan Ordinan Darurat adalah teratur dan selaras dengan peruntukan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

    Sehubungan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menekankan dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab beliau, adalah penting untuk beliau bertindak mengikut lunas undang-undang dan perlembagaan.

    Justeru, Perdana Menteri menasihatkan rakyat supaya sentiasa bertenang dan insyaAllah isu ini akan dapat diselesaikan mengikut lunas undang-undang dan perlembagaan.

    Perkara itu ditegaskan dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri hari ini.

    Berikut kenyataan tersebut;

    Merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Negara hari ini, Kerajaan ingin menjunjung kasih di atas titah penghargaan yang dizahirkan oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong kepada Kerajaan kerana telah melaksanakan Mesyuarat Khas Parlimen yang bermula pada 26 Julai 2021.

    Kerajaan sentiasa menjunjung titah pandangan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu sepertimana yang dizahirkan susulan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu pada 16 Jun 2021 yang antara lain menekankan bahawa darurat tidak perlu disambung selepas 1 Ogos 2021 dan perlunya Parlimen bersidang secepat mungkin.

    Berdasarkan titah pandangan ini, Kerajaan telah memutuskan untuk mengadakan Mesyuarat Khas Parlimen bermula 26 Julai 2021. Sebagai persediaan Mesyuarat Khas Parlimen ini, Jemaah Menteri pada 21 Julai 2021 telah mengadakan perbincangan yang teliti dan mengambil ketetapan-ketetapan seperti berikut:

    Pertama, Mesyuarat Khas Parlimen diadakan setelah mendapat perkenan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong;

    Kedua, Jemaah Menteri tidak akan menasihati KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk membuat Proklamasi Darurat baharu setelah Darurat sedia ada tamat pada 1 Ogos 2021; dan

    Ketiga, oleh kerana darurat tidak akan disambung, Jemaah Menteri memutuskan untuk menasihati KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong untuk membatalkan semua Ordinan Darurat yang dimasyhurkan oleh Seri Paduka Baginda Tuanku sepanjang tempoh darurat berkuatkuasa.

    Susulan ketetapan-ketetapan ini, Pejabat Perdana Menteri pada 22 Julai 2021 telah menerima deraf Ordinan Darurat (Pembatalan) 2021 yang disediakan oleh Jabatan Peguam Negara.

    Ordinan ini memperuntukkan semua Ordinan Darurat yang dimasyhurkan oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dibatalkan berkuatkuasa pada 21 Julai 2021.

    Pada 23 Julai 2021, Perdana Menteri telah mengutuskan warkah kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk menyembah maklum nasihat Jemaah Menteri supaya ordinan-ordinan darurat berkenaan dibatalkan dan memohon limpah perkenan Seri Paduka Baginda Tuanku mengenainya.

    Pejabat ini mengambil maklum sebagaimana yang dizahirkan di dalam kenyataan media Istana Negara hari ini, KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sedia maklum bahawa Seri Paduka Baginda Tuanku perlu menerima dan bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri seperti yang terkandung dalam Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan.

    Perkara 40 (1) memperuntukkan:

    Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang persekutuan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seseorang Menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri, kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya oleh Perlembagaan ini; tetapi Yang di-Pertuan Agong berhak, atas permintaannya, untuk mendapat apa-apa maklumat berkenaan dengan pemerintahan Persekutuan yang boleh didapati oleh Jemaah Menteri.

    Manakala Perkara 40 (1A) pula memperuntukkan:

    Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang persekutuan, jika Yang di-Pertuan Agong dikehendaki bertindak mengikut nasihat, atas nasihat, atau selepas menimbangkan nasihat, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu.

    Susulan itu, KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 24 Julai 2021, telah menitahkan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) dan Peguam Negara menghadap untuk memberikan penjelasan terperinci mengenai nasihat tersebut.

    Apabila Mesyuarat Khas Dewan Rakyat bermula pada 26 Julai 2021, semua Ordinan Darurat telah dibentang (laid) di atas meja Dewan Rakyat selaras dengan peruntukan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan.

    Namun, Ahli-Ahli Parlimen pembangkang telah mendesak supaya Dewan Rakyat mengungkaikan ordinan darurat yang telah dimasyhurkan oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

    Susulan itu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) sebagai Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal undang- undang telah memaklumkan kepada Ahli-Ahli Dewan Rakyat bahawa kerajaan, iaitu Jemaah Menteri, telah membuat keputusan untuk membatalkan ordinan-ordinan darurat berkenaan.

    Ini adalah suatu kenyataan fakta yang bertujuan memaklumkan kepada Dewan Rakyat keadaan sebenarnya secara telus.

    Pemakluman oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) telah menimbulkan persoalan mengenai status perkenan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke atas Ordinan Darurat (Pembatalan) 2021.

    Oleh itu, Perdana Menteri dan Peguam Negara telah memohon menghadap KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 27 Julai 2021 pukul 12 tengahari untuk menjelaskan kedudukannya.

    Pada sesi menghadap ini, Perdana Menteri telah sekali lagi memberikan nasihat Jemaah Menteri mengenai pembatalan ordinan-ordinan darurat tersebut serta membuat penjelasan atas kekeliruan yang cuba ditimbulkan oleh pembangkang dalam sidang Dewan Rakyat.

    Perdana Menteri juga telah menyembah maklum pandangan Kerajaan bahawa kesemua Ordinan Darurat tersebut tidak perlu diungkaikan oleh Parlimen memandangkan Jemaah Menteri telah pun menasihati KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk membatalkannya.

    Di samping itu, sidang Parlimen yang berlangsung adalah Mesyuarat Khas yang diadakan di bawah Peraturan Mesyuarat 11 (3) Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat yang agendanya adalah penerangan menteri dan tiada sebarang usul untuk mengungkai ordinan darurat.

    Oleh sebab itu, Jemaah Menteri telah memutuskan untuk menasihati KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk membatalkan Ordinan Darurat sebelum Mesyuarat Khas Parlimen bermula.

    Kerajaan berpandangan semua tindakan yang diambil ini adalah teratur dan selaras dengan peruntukan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

    Perdana Menteri menekankan bahawa dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab beliau, adalah penting untuk beliau bertindak mengikut lunas undang-undang dan perlembagaan.

    Justeru, beliau menasihatkan rakyat supaya sentiasa bertenang dan insyaAllah isu ini akan dapat diselesaikan mengikut lunas undang-undang dan perlembagaan.