Author: Wartawan WartaRakyat

  • Lebih baik bantu rakyat daripada ganggu kerajaan – Osman

    Lebih baik bantu rakyat daripada ganggu kerajaan – Osman

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    BERGANDING bahu dan bersatu padu membantu rakyat yang sedang terkesan dengan situasi wabak Covid-19 adalah lebih baik berbanding berterusan mengganggu gugat kerajaan Perikatan Nasional (PN), kata Datuk Osman Sapian.

    Bekas Menteri Besar Johor itu berkata, tindak tanduk pembangkang seperti yang berlaku di Dewan Rakyat tidak sewajarnya berlaku dalam keadaan negara masih berdepan pandemik.

    Sebaliknya tegas beliau, kesejahteraan rakyat serta agenda menyelesaikan masalah Covid-19 lebih perlu diutamakan oleh semua Ahli Parlimen tanpa mengira parti berbanding perkara lain.

    “Semua pihak perlu  mengelakkan sebarang perbezaan pandangan demi membantu rakyat yang terkesan dengan situasi pandemik Covid-19. Bersama kita berdoa agar kemelut politik dan Covid-19 akan segera berakhir,” katanya dalam kenyataan semalam.

    Osman yang juga Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Ayer Hitam berharap rakyat dan semua pihak juga dapat bertenang dalam menghadapi situasi terkini.

    Dalam pada itu, pihaknya menzahirkan sokongan penuh dan tanpa belah bahagi terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta barisan kepemimpinannya dalam kerajaan PN.

    “Bersatu Ayer Hitam menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong yang menyeru agar semua Ahli Parlimen memberikan keutamaan kepada usaha menjaga kesejahteraan rakyat serta agenda menyelesaikan masalah Covid-19 pada sidang khas Parlimen yang kini berlangsung.  Bersatu Ayer Hitam juga sentiasa bersedia dalam melaksanakan agenda membela rakyat,” ujarnya.

  • Vaksinasi walk-in diperluas di semua negeri

    Vaksinasi walk-in diperluas di semua negeri

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    SISTEM vaksinasi secara walk-in akan diperluaskan ke semua negeri dalam masa terdekat, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin.

    Menurutnya, selepas Lembah Klang, semua negeri akan turut memberikan kemudahan tersebut namun keutamaan pemberian vaksin adalah kepada warga emas.

    “Berkenaan walk-in, banyak juga bergantung kepada kedudukan bekalan vaksin, cuma di kebanyakan negeri kita akan umumkan walk-in untuk warga emas.

    “Saya rasa hampir semua negeri akan memberikan kemudahan walk-in bagi warga emas dalam masa terdekat, ia akan diumumkan esok,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergerak, Kampung Orang Asli Batu Peti, Jempol hari ini.

    Mengulas pertanyaan ramai pihak berkenaan kelonggaran yang akan diberikan kepada penerima lengkap dua dos vaksin Covid-19, Khairy memaklumkan perkara itu akan diumumkan dalam masa terdekat oleh Perdana Menteri.

    “Saya difahamkan Perdana Menteri akan buat pengumuman dalam masa terdekat, kita sedang perhalusi draf tersebut dan insya-Allah akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya.

    Dalam pada itu jelas Khairy, setakat hari ini 59 peratus daripada penduduk dewasa Malaysia telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin manakala 29 peratus telah lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19.

    “Di Negeri Sembilan, 72 peratus dewasa telah menerima sekurang-kurangnya satu dos manakala 35 peratus populasi dewasa Negeri Sembilan telah lengkap menerima dua dos,” katanya.

  • PM Interim: Jangan layan cubaan pecah-belahkan kerajaan – TPM

    PM Interim: Jangan layan cubaan pecah-belahkan kerajaan – TPM

    “KITA tak perlu layan apabila ada pihak cuba nak melaga-laga atau memecah-belahkan kerajaan. Kalau layan lagi teruk.”

    Demikian kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika ditanya mengenai kenyataan beberapa pihak yang mengaitkan dirinya sebagai calon sesuai bagi mengisi jawatan Perdana Menteri Interim bagi meredakan ketegangan politik ketika ini.

    Sambil menyifatkan perkara itu sebagai khabar angin semata-mata, Ismail Sabri turut menegaskan tempoh mencabar ketika ini bukan masa sesuai untuk berpecah sebaliknya semua pihak perlu bersatu memerangi COVID-19.

    Ismail Sabri malah berkata jawatan Perdana Menteri Interim tidak wujud dalam Perlembagaan Persekutuan dan isu berkenaan tidak patut timbul.

    “Memang saya ada baca dalam laporan portal dan juga media sosial mengaitkan nama saya tetapi itu hanya khabar angin.

    “Bagi saya, kenyataan sedemikian mungkin sengaja mahu melaga-laga atau memecah-belahkan kerajaan sahaja,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyerahkan sumbangan kepada wakil penduduk di Masjid Kampung Cheruk Puting, Bera,hari ini.

    Lawatan itu juga merupakan kali pertama beliau pulang ke kawasan Parlimennya sejak dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, 7 Julai lalu.

    Semalam, tular dalam media sosial dan portal berita bahawa Ismail sabri mempunyai sokongan kukuh termasuk dalam kalangan Jemaah Menteri untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Interim.

    Mengulas mengenai kenyataan sesetengah pihak yang cuba melaga-lagakan kerajaan dan pihak istana, Ismail Sabri berkata, semua pihak wajar menyejukkan keadaan dengan tidak memburukkan lagi suasana.

    Kata beliau, tanggungjawab sebagai pemimpin lebih besar kerana rakyat ketika ini sedang berhadapan kesukaran.

    “Kita tak perlu terlalu ikut dengan apa yang digembar-gemburkan. Tindakan kita sepatutnya mendamaikan, bukan terlibat dari segi memecah-belahkan.

    “Ini bukan masa sesuai untuk sesiapa sahaja berpecah dan perlu bersatu. Apa yang penting ketika ini adalah kebajikan rakyat.

    “Kenapa kita tak fokus kepada usaha menyelesaikan isu rakyat dan paling penting menyelesaikan masalah COVID-19,” jelas beliau. – UtusanTV

  • Siasatan helikopter ambil pesanan nasi ganja diserah untuk pendakwaan

    Siasatan helikopter ambil pesanan nasi ganja diserah untuk pendakwaan

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    KERTAS siasatan berhubung kejadian sebuah helikopter mendarat di Padang Ipoh di sini untuk mengambil pesanan 36 bungkus nasi ganja pada 23 Julai lalu telah diserahkan kepada Pengarah Pendakwaan Negeri untuk arahan dan tindakan selanjutnya.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, siasatan kes tersebut diserahakan selepas selesai dan lengkap Jumaat lalu.

    “Saya difahamkan, kertas siasatan juga akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara untuk mendapat arahan lanjut. Buat masa ini kita tunggu keputusan mereka (untuk pendakwaan),” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Perak 2021 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Indera Mulia, Ipoh hari ini.

    Beliau berkata, tiada pihak lain dipanggil memberi keterangan berhubung kes tersebut selain lima individu termasuk seorang bergelar Datuk.

    “Siasatan telah dijalankan terhadap lima individu yang dikenal pasti termasuk pengadu iaitu kakitangan DBI (Dewan Bandaran Ipoh), pengusaha restoran nasi ganja dan tiga yang lain,” katanya.

    Menerusi laporan akhbar pada 23 Julai lalu, helikopter dikendalikan syarikat Systematic Aviation Services Sdn. Bhd. (SAS) itu mendarat di padang Ipoh pada pukul 10 pagi bagi mengambil pesanan 36 bungkus nasi ganja.

    Tempahan itu difahamkan dibuat oleh pelanggan dari Kuala Lumpur di sebuah restoran nasi kandar terkemuka di bandar raya ini yang lebih dikenali sebagai nasi ganja.

    Mior Faridalathrash sebelum ini mengesahkan, helikopter Bell 505 Global Ranger itu mempunyai surat kebenaran rentas negeri yang dikeluarkan polis Selangor.

    Bagaimanapun, surat kebenaran berkenaan adalah bagi keperluan penyelenggaraan pesawat (aircraft maintenance) untuk penerbangan dari Subang ke Ipoh.

  • Kenyataan 40 Ahli Parlimen BN sokong kerajaan PN sah

    Kenyataan 40 Ahli Parlimen BN sokong kerajaan PN sah

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kenyataan dikeluarkan pada 29 Julai lalu yang menyatakan 40 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) sebulat suara menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri adalah sah.

    Timbalan Perdana Menteri berkata, perkara itu dicapai selepas beliau mempengerusikan perjumpaan bersama-sama 40 ahli Parlimen BN pada hari berkenaan.

    “Berita itu sah, memang 40 ahli Parlimen BN memberikan sokongan kepada kerajaan PN.

    “Cuma persoalan yang dibangkitkan pada hari berkenaan mengapa kami dalam kalangan ahli Parlimen BN menggunakan kepala surat BN.

    “Kami berpandangan, kami ahli Parlimen BN, takkan hendak guna kepala surat Pas, mestilah kita guna kepala surat BN sebab kita merupakan ahli Parlimen yang mewakili BN,” katanya.

    Ahli Parlimen Bera itu berkata demikian kepada pemberita selepas program penyampaian bakul makanan di Kampung Charuk Puting, Bera hari ini.

    Khamis lalu, Ibu pejabat BN menafikan kewujudan satu surat yang menggunakan logo dan alamat seperti tersebar dan tular pada hari berkenaan.

    Setiausaha Eksekutif BN, Mohamad Shafri Ab. Aziz memaklumkan, sebarang kenyataan hanya dikeluarkan melalui melalui Pengerusi atau Setiausaha Agung parti.

    Terdahulu, tular satu kenyataan menggunakan logo BN yang didakwa memetik kenyataan Ismail Sabri.

    Mengulas lanjut, Ismail berkata, dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu pun membenarkan ahli Parlimen menggunakan budi bicara sendiri untuk menentukan sokongan masing-masing.

    “Soal tarik sokongan tidak timbul, ahli Parlimen (BN) berpandangan kalau kita dibenarkan memberi sokongan kepada kerajaan (PN), kita tidak boleh ambil tindakan meruntuhkan kerajaan dengan menarik sokongan terhadap Perdana Menteri,” katanya.

  • PN, Bersatu P. Pinang sokong penuh kepimpinan Muhyiddin

    PN, Bersatu P. Pinang sokong penuh kepimpinan Muhyiddin

    PERIKATAN Nasional (PN) Pulau Pinang yang dianggotai Parti Bersatu, Pas dan Gerakan menyokong penuh kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk terus mengemudi Kerajaan Pusat.

    Pengerusi PN Pulau Pinang, Datuk Shabudin Yahaya berkata, PN Pulau Pinang akan terus bersama-sama kepimpinan rakan-rakan PN di semua peringkat lapisan dalam memastikan kelestarian Pelan Pemulihan Negara (PPN) dapat dilaksanakan dengan sempurna.      

    Dalam masa sama, beliau yang juga Pengerusi Bersatu Pulau Pinang menyeru  semua kepimpinan dan parti politik bersatu hati, bekerjasama dan memberi tumpuan sepenuhnya ke atas usaha menangani pandemik Covid-19 yang masih  berlarutan sehingga kini.

    “Rakyat menuntut semua pihak memberi keutamaan kepada isu kesihatan, kebajikan dan pemulihan ekonomi rakyat dan negara pada waktu sekarang  berbanding perebutan kuasa dan agenda peribadi masing-masing.

    “Kestabilan politik amat penting dan menjadi keutamaan bagi menjayakan Pelan Pemulihan Negara yang direncanakan Kerajaan yang prihatin terhadap nasib rakyat Malaysia dalam  mendepani pendemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan bersama PN dan Bersatu Pulau Pinang hari ini.

    Dalam masa sama, katanya, PN dan Bersatu Pulau Pinang terus menghormati, menjunjung kasih dan memelihara sistem Raja  Berperlembagaan, keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang negara.

  • Maritim bawa tiga pesakit positif Covid-19 dari pulau

    Maritim bawa tiga pesakit positif Covid-19 dari pulau

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Mersing memberikan perkhidmatan Medical Evacuation (MedEvac) bagi membawa tiga pesakit Covid-19 dari Pulau Aur ke Jeti Syahbandar, Mersing semalam.

    Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, Zon Maritim Mersing menerima panggilan Pejabat Daerah Mersing memohon bantuan membawa tiga penduduk Pulau Aur yang dijangkiti Covid-19 ke Hospital Mersing.

    “Berikutan itu Bot Perkasa 31 Zon Maritim Mersing bersama-sam lima anggota Maritim Malaysia lengkap berpakaian Personal Protection Equipment (PPE) telah ditugaskan ke Pulau Aur bagi melaksanakan khidmat MedEvac.

    “Perkasa 31 tiba di lokasi sekitar jam 3.30 petang dan terus memindahkan tiga pesakit wanita yang berusia 15 hingga 77 tahun untuk dibawa ke Jeti Syahbandar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Katanya, perjalanan dari Pulau Aur ke Jeti Syahbandar mengambil masa selama lebih kurang dua jam.

    Sebaik tiba di Jeti Syahbandar katanya, pesakit terus dipindahkan ke ambulan yang telah bersedia menunggu untuk ke Hospital Mersing bagi rawatan lanjut.

    Kesemua anggota Maritim Malaysia dan Bot Perkasa 31 telah disanitasi dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, katanya.

    “Pihak maritim Johor mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang membantu dalam misi bantuan ini,” katanya.

  • Empat tahanan lari dari pusat kuarantin diburu

    Empat tahanan lari dari pusat kuarantin diburu

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    IBU pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang memburu empat lelaki yang disahkan positif Covid-19 dan melarikan diri dari Pusat Kuarantin Covid-19 Institut Latihan Mahkamah Anak Negeri (Ilman), Kota Kinabalu awal pagi ini.

    Tiga tahanan bukan warganegara dan seorang tahanan warganegara itu melarikan diri dari pusat kuarantin berkenaan pada pukul 3.30 pagi.

    Keempat-empat tahanan itu, Mohd. Rahman Basir, 24; Mohd. Diyazmir Razif Rudyaz, 20; Salman Arip, 19, dan seorang warganegara, Arippian Abdul, 27.

    Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintenden Mohd. Haris Ibrahim berkata, kesemua tahanan itu dipindahkan dari lokap Balai Polis Penampang ke pusat kuarantin berkenaan secara berperingkat-peringkat bermula pada 24 Julai lalu setelah disahkan positif Covid-19.

    Kesemua mereka masing-masing ditahan mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 411 Kanun Keseksaan dan Seksyen 323/329 Kanun Keseksaan.

    Mohd. Rahman ditahan atas kesalahan memiliki dadah manakala Mohd. Diyazmir dan Arippian ditahan kerana kesalahan memiliki barangan curi dan Salman pula ditahan kerana sengaja menyebabkan kecederaan terhadap orang lain.

  • Vaksinasi harian lebihi 500,000 dos 6 hari berturut-turut

    Vaksinasi harian lebihi 500,000 dos 6 hari berturut-turut

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    JUMLAH vaksinasi harian Covid-19 di negara ini mencatat angka melebihi 500,000 dos selama enam hari berturut-turut.

    Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba memberitahu, sebanyak 519,111 dos suntikan diberikan semalam melibatkan 316,492 dos pertama manakala 202,619 lagi dos kedua.

    Menurutnya, secara kumulatifnya, sebanyak 20,533,660 dos sudah diberikan kepada penduduk di negara ini sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dimulakan pada 24 Februari lalu.

    “Jumlah itu meliputi 13,816,971 untuk suntikan vaksin dos pertama, manakala 6,716,689 lagi bagi dos kedua,” katanya menerusi perkongsian infografik dalam Twitter miliknya.

  • Pemuda Pas buat lapor polis penyebaran ‘surat’ Agong kepada PM

    Pemuda Pas buat lapor polis penyebaran ‘surat’ Agong kepada PM

    PENYEBARAN  surat yang didakwa sebagai warkah  Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah suatu amat serius dan boleh menggugat kestabilan dan keharmonian.

    Sehubungan itu Dewan Pemuda Pas memandang serius perkara tersebut dan menggesa siasatan polis dibuat bagi mengenalpasti punca kebocoran surat berkenaan.

    Timbalan Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata,  satu laporan polis akan dibuat bagi meminta siasatan dijalankan.

    ‘’ ’Ia bertujuan untuk melihat sama ada wujud unsur khianat dan sabotaj daripada penyebaran surat tersebut. Dewan Pemuda Pas  turut mengarahkan semua Dewan Pemuda Pas Negeri dan Kawasan untuk membuat laporan polis tersebut,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, jika surat tersebut adalah wujud, tentu ia merupakan surat rahsia dan terhad yang sepatutnya hanya untuk dibaca oleh penerima sahaja iaitu Perdana Menteri.

    ‘’Tindakan menyebarkan surat tersebut kepada umum, yang dimuat naik oleh sebahagian pimpinan Pembangkang adalah suatu perkara yang bercanggah dengan Akta Rahsia Rasmi. Sedangkan Istana Negara telah mengeluarkan kenyataan media umum yang disiarkan melalui laman Facebook rasmi Istana Negara untuk bacaan awam. Oleh itu, penyebarannya adalah suatu tindakan tidak beretika,’’ tegasnya.

    Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, tindakan itu juga telah menimbulkan polemik dan kekecohan dalam kalangan masyarakat, serta menampakkan seolah-olah berlakunya krisis di antara Istana dan Eksekutif.

    ‘’Sepatutnya ruang diberikan kepada kedua-dua pihak untuk menyelesaikan isu ini berlandaskan undang-undang dan kerangka Perlembagaan Persekutuan, bukan dimarakkan lagi pertembungan,’’ katanya.

     Dalam tempoh pandemik, tegas beliaum seharusnya semua pihak bersatu dan bersama menggembleng tenaga dalam memastikan penularan wabak dapat dikekang, bukan memarakkan api perpecahan dan pertelingkahan.

    ‘’Pemuda Pas mengecam sebarang usaha dan cubaan mewujudkan kekecohan dan ketidakstabilan politik dalam tempoh ini, semata demi memuaskan nafsu serakah politik. Pemuda Pas mengajak agar semua rakyat bersatu dan fokus kepada menyelesaikan isu permasalahan rakyat dalam tempoh ini,’’ katanya.