Oleh RAHIMI MOHAMAD

BERGANDING bahu dan bersatu padu membantu rakyat yang sedang terkesan dengan situasi wabak Covid-19 adalah lebih baik berbanding berterusan mengganggu gugat kerajaan Perikatan Nasional (PN), kata Datuk Osman Sapian.

Bekas Menteri Besar Johor itu berkata, tindak tanduk pembangkang seperti yang berlaku di Dewan Rakyat tidak sewajarnya berlaku dalam keadaan negara masih berdepan pandemik.

Sebaliknya tegas beliau, kesejahteraan rakyat serta agenda menyelesaikan masalah Covid-19 lebih perlu diutamakan oleh semua Ahli Parlimen tanpa mengira parti berbanding perkara lain.

“Semua pihak perlu  mengelakkan sebarang perbezaan pandangan demi membantu rakyat yang terkesan dengan situasi pandemik Covid-19. Bersama kita berdoa agar kemelut politik dan Covid-19 akan segera berakhir,” katanya dalam kenyataan semalam.

Osman yang juga Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Ayer Hitam berharap rakyat dan semua pihak juga dapat bertenang dalam menghadapi situasi terkini.

Dalam pada itu, pihaknya menzahirkan sokongan penuh dan tanpa belah bahagi terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta barisan kepemimpinannya dalam kerajaan PN.

“Bersatu Ayer Hitam menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong yang menyeru agar semua Ahli Parlimen memberikan keutamaan kepada usaha menjaga kesejahteraan rakyat serta agenda menyelesaikan masalah Covid-19 pada sidang khas Parlimen yang kini berlangsung.  Bersatu Ayer Hitam juga sentiasa bersedia dalam melaksanakan agenda membela rakyat,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here