Author: Wartawan WartaRakyat

  • Cubaan pembangkang berarak, masuk bangunan Parlimen gagal

    Cubaan pembangkang berarak, masuk bangunan Parlimen gagal

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    SEKUMPULAN ahli Parlimen pembangkang terutama daripada Pakatan Harapan (PH) berarak dan cuba memasuki bangunan Parlimen di Kuala Lumpur pada pagi ini tidak berjaya setelah dihalang pihak polis.

    Ahli-ahli Parlimen berkenaan mula berkumpul di Dataran Merdeka kira-kira pukul 10 pagi apabila cubaan mereka untuk memasuki bangunan Parlimen yang dijadualkan pukul 9.30 pagi tidak berjaya.

    Cubaan itu gagal ekoran sekatan yang dilakukan oleh pihak polis di setiap laluan masuk ke Jalan Parlimen.

    Antara yang hadir Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu; Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

    Anwar Ibrahim mengetuai ahli-ahli Parlimen PH untuk berarak menuju ke Bangunan Parlimen yang ditutup susulan penularan wabak Covid-19 yang tinggi.

    Selepas beberapa ahli Parlimen berucap, kumpulan itu berarak dari Dataran Merdeka sambil memegang kain rentang yang bertulis ‘Mahiadin & kabinet letak jawatan’.

    Pihak polis yang berkawal cuba menahan pergerakan tersebut beberapa kali namun ahli-ahli Parlimen terus mara sehingga ke bulatan Bank Negara.

    Namun sepasukan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) telah bersiap sedia di laluan masuk Jalan Parlimen bagi menyekat pergerakan tersebut.

    Rundingan yang cuba dilakukan oleh Anwar bersama pihak polis juga gagal dan akhirnya ahli-ahli Parlimen mengambil keputusan untuk menghentikan perarakan yang berlangsung selama lebih sejam itu dan bersurai.

    Anggota Polis FRU mengawal jalan disekitar Dataran Merdeka berikutan ahli-ahli Parlimen pembangkang cuba berarak menuju ke Bangunan Parlimen yang ditutup susulan penularan wabak Covid-19 yang tinggi.
  • Gengsterisme Ipoh: Polis tubuh pasukan khas

    Gengsterisme Ipoh: Polis tubuh pasukan khas

    Oleh: Bernama

    POLIS menubuhkan pasukan siasatan khas bagi menyiasat kegiatan gengsterisme di bandar raya ini seperti didakwa seorang pengguna laman Facebook, semalam.

    Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata pasukan itu ditubuhkan bagi mengesahkan kesahihan maklumat yang tular mengenai aktiviti tersebut, yang dikongsi pengguna Facebook bernama Meganathan Nathan itu dan telah mendapat perhatian umum.

    “Polis memandang serius tentang aduan ini dan mengucapkan terima kasih kepada pemberi maklumat dalam perkara ini.

    “Namun orang awam dinasihati agar tidak mendedahkan identiti peribadi dan membuat aduan sulit melalui kaedah tular di media sosial bagi tujuan keselamatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau turut mengingatkan orang awam supaya mengemukakan sebarang aduan atau maklumat melalui saluran yang betul dengan menghubungi Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di talian 05-254 2222 atau e-mel kepada Ketua Polis Daerah Ipoh di [email protected].

    Katanya maklumat mengenai kegiatan jenayah di bandar raya itu juga boleh disalurkan kepada Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Ipoh melalui e-mel [email protected].

    Terdahulu, tular aduan seorang pengguna Facebook dengan mendakwa terdapat kegiatan kumpulan kongsi gelap di Ipoh yang melibatkan golongan remaja dikenali sebagai Thilai Geng 04.

    Kumpulan itu dikatakan terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan kegiatan jenayah terancang selain turut didakwa cuba mempengaruhi remaja lain di kawasan sekitar untuk menyertai mereka. -BERNAMA

  • 17 tahanan Palestin mogok lapar di penjara Israel

    17 tahanan Palestin mogok lapar di penjara Israel

    Susunan Abu Ubaidillah Rahman

    SERAMAI 17 tahanan Palestin di penjara Israel mengadakan mogok lapar kerana membantah penahanan yang tidak adil serta tidak dibicarakan di mahkamah.

    Kesatuan Banduan Palestin (PPS) dalam kenyataan memaklumkan, rakyat Palestin mengadakan mogok lapar itu kerana membantah penahanan yang tidak adil serta tidak dibicarakan di mahkamah.

    Hanya 14 tahanan mengadakan mogok lapar sebelum jumlah itu bertambah kepada 17 orang dan kesihatan mereka dilaporkan semakin merosot.

    Terdapat seorang tahanan yang sanggup berlapar dan tidak makan selama 21 hari.

    Seramai 40 tahanan Palestin mengadakan mogok lapar sejak awal tahun lalu sebagai protes terhadap tindakan Israel yang tidak mengikut lunas undang-undang.

    Penahanan pentadbiran adalah melanggar undang-undang antarabangsa, namun, Israel tetap menggunakannya untuk menindas rakyat Palestin.

    Mereka ditahan selama beberapa bulan dan tahun tanpa sebarang pertuduhan dikenakan mahupun mendedahkan bukti yang didakwa terhadap mereka atau peguam. – AGENSI

  • Takiyuddin masuk hospital, jalani pembedahan jantung

    Takiyuddin masuk hospital, jalani pembedahan jantung

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan dimasukkan ke sebuah hospital pada Jumaat lalu.

    Setiausaha Agung Pas itu dipercayai mengalami masalah kesihatan jantung sehingga terpaksa menjalani pembedahan selama tiga jam.

    Beliau telah masuk ke sebuah hospital di Lembah Klang iaitu Pusat Perubatan IHEAL, bersebelahan dengan Mid Valley, Kuala Lumpur.

    Takiyuddin menjalani angiogram kelmarin selama tiga jam sebab ada tiga tempat yang tersumbat, namun keadaannya stabil dan dipercayai keluar esok.

  • Vaksin Covid-19: 60 peratus populasi dewasa selesai dos pertama

    Vaksin Covid-19: 60 peratus populasi dewasa selesai dos pertama

    SEBANYAK 60.9 peratus populasi dewasa di negara ini atau 14.2 juta orang telah selesai diberikan dos pertama vaksin Covid-19, setakat pukul 11.59 malam tadi.

    Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba yang berkongsikan data Jawatankuasa Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) berkata, sebanyak 29.7 peratus populasi dewasa atau 6.9 juta orang pula lengkap divaksin.

    “Ini menjadikan jumlah kumulatif suntikan dos vaksin Covid-19 di negara ini secara keseluruhanya berjumlah 21,200,473 dos,” katanya dalam ciapannya di Twitter hari ini.

    Mengulas lanjut Dr Adham memberitahu, sebanyak 480,122 dos vaksin secara harian diberikan di seluruh negara, setakat pukul 11.59 malam tadi.

    Tambahnya, daripada jumlah itu, mereka yang terima dos pertama ialah 298,236 orang manakala 181,886 orang terima dos kedua.

    Sementara itu, mengikut data yang dikongikan Dr Adham, enam kawasan/negeri mencatatkan pemberian vaksin melebihi 50 peratus bagi dos pertama populasi dewasa iaitu Lembah Klang (96.7 peratus), Labuan (95.1 peratus), Sarawak (84.6 peratus), Negeri Sembilan (72.5 peratus), Perlis (62.2 peratus) dan Pulau Pinang (56.2 peratus).

    Negeri yang lengkap dos kedua melebihi 50 peratus populasi dewasa adalah Labuan dan Sarawak apabila masing-masing mencatatkan 81.5 peratus dan 65.7 peratus.

  • Kontak rapat penyumbang tertinggi kes harian Sabah

    Kontak rapat penyumbang tertinggi kes harian Sabah

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    SARINGAN kontak rapat terus menjadi penyumbang tertinggi jumlah kes harian positif Covid-19 di Sabah iaitu 591 kes atau 59 peratus daripada keseluruhan 1,002 kes harian semalam.

    Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, antaranya di Tawau 70 peratus daripada 171 kes baharu Covid-19 yang dikesan merupakan saringan kontak rapat diikuti Penampang (67 peratus daripada 100 kes), Kota Kinabalu (63 peratus daripada 171 kes) dan Sipitang (62 peratus daripada 90 kes).

    “Data ini menunjukkan ruang atau kawasan penyebaran jangkitan virus Covid-19 semakin meluas dalam komuniti. Andaian ini diperkukuhkan lagi dengan jumlah peratusan tinggi iaitu 18.36 peratus (184 kes) kategori bergejala. Kes melibatkan kluster sekadar 13.27 peratus (133 kes) dan saringan bersasar 5.49 peratus (55 kes).

    “Justeru, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) amat menganjurkan pematuhan secara menyeluruh prosedur operasi standard bagi mengelak diri dijangkiti Covid-19. Disiplin diri adalah komponen penjagaan kesihatan amat penting selain daripada keperluan mendapatkan vaksinasi lengkap,” katanya dalam satu kenyataan.

    Masidi yang juga jurucakap kerajaan negeri berkaitan Covid-19 berkata, ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) turut memberi kesan kepada individu yang telah menerima suntikan vaksin untuk dijangkiti dan ini dapat dilihat apabila seramai 181 daripada jumlah kes harian hari ini adalah mereka yang sudah lengkap divaksin.

    Sementara itu, Masidi berkata, semalam Sabah merekodkan dua kluster baharu Covid-19 iaitu Kluster Tembidong Bidong membabitkan Telupid serta Beluran dan satu lagi Kluster Jalan Patikang Ulu di Keningau.

    Kluster Tembidong Bidong disyaki berpunca daripada aktiviti kunjung mengunjung semasa sambutan Aidiladha dengan sebanyak 88 kes positif manakala Kluster Patikang Ulu (17 kes) melibatkan penularan jangkitan di tempat kerja dan siasatan serta kawalan kedua-dua kluster masih diteruskan, katanya.

  • ‘’Tahniah Nur Dhabitah, Senyumlah…’’ – PM

    ‘’Tahniah Nur Dhabitah, Senyumlah…’’ – PM

    TAN Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan syabas kepada penerjun wanita negara Nur Dhabitah Sabri atas aksi dan tentangan yang dipamerkan dalam saingan akhir 3 meter papan anjal wanita individu di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

    Sambil menyifatkan aksi Nur Dhabitah amat mengagumkan, Perdana Menteri berkata, biarpun tanpa pingat, kelibat dan aksi anak muda berusia 22 tahun itu nyata menghiburkan bersama semangat yang tidak mudah mengalah.

    ‘’Layak ke final dan berada di tempat keempat daripada 12 peserta dalam temasya sukan tersohor, Sukan Olimpik Tokyo 2020 juga adalah satu kejayaan yang perlu anda banggakan.

    ‘’Jangan sedih. Perjalanan anda masih jauh. Masih banyak kejayaan yang boleh dilakar termasuk pada edisi Sukan Olimpik akan datang. Senyumlah Nur Dhabitah!,’’ kata beliau dalam kenyataan di Facebook hari ini.

    Nur Dhabitah Sabri menamatkan cabaran di tempat keempat di Pusat Akuatik Tokyo setelah mengumpul 326.15 mata selepas lima pusingan.

    Juara bertahan dari China Shi Tingmao, yang mengumpul 383.50 mata memenangi pingat emas, manakala rakan senegaranya, Wang Han meraih perak setelah mengutip 348.75 mata, sementara pingat gangsa milik Krysta Palmer setelah penerjun Amerika Syarikat itu mencatat 343.75 mata.

    Namun, biarpun terlepas peluang menyumbangkan pingat kedua kepada Malaysia, aksi Nur Dhabitah mencuri tumpuan rakyat Malaysia sehingga menjadi ‘trending’ di media sosial, apabila penerjun kelahiran Kuala Lumpur itu sentiasa mengukir senyuman ketika melakukan terjunan.

  • Varian Delta dikesan dalam 4 sampel kes positif di Parlimen

    Varian Delta dikesan dalam 4 sampel kes positif di Parlimen

    EMPAT sampel RT PCR kes positif Covid-19 hasil daripada saringan yang dijalankan di Parlimen yang diterima oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) daripada Makmal Kesihatan Awam Sungai Buloh menunjukkan mutase ‘spike protein’ yang dikenal pasti wujud varian Delta atau varian Kappa.

    Bagaimanapun Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr.Noor Hisham Abdullah berkata, berdasarkan variant of concern (VOC) yang sedang menular di dalam komuniti, ia kemungkinan besar adalah varian Delta.

    ‘’Untuk makluman kajian di luar negara dan WHO telah melaporkan bahawa kes yang dijangkiti varian Delta  mempunyai kandungan virus 1,200 kali lebih tinggi berbanding yang dijangkiti varian biasa. Penjujukan genom penuh akan dijalankan bagi pengesahan selanjutnya’’ katanya melalui Facebook beliau malam ini.

    Beberapa jam sebelum itu Dr.Noor Hisham mengeluarkan kenyataan tujuh mukasurat yang memberi penjelasan terperinci kenapa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memberi cadangan kepada kerajaan supaya menangguhkan sidang Parlimen esok selama dua minggu.

    Katanya,  walaupun jumlah kes positif Covid-19 yang dikesan semasa Sidang Parlimen ini adalah 0.8 peratus, namun hasil penilaian risiko dengan mengambilkira faktor epidemiologi dan persekitaran, didapati persidangan Parlimen merupakan satu perhimpunan yang berisiko tinggi untuk berlaku penularan jangkitan Covid-19.

    Antara kriteria penilaian risiko tersebut adalah terdapat enam (6) kes (1 kes pertama dan 5 kes pengesahan lanjut dengan (RT PCR) dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi (CT value yang rendah) dan bergejala yang memberi risiko berlaku penularan jangkitan dan berpotensi menjadi superspreader.

  • Wujud kes kebolehjangkitan tinggi punca Parlimen terpaksa ditangguh – Dr.Noor Hisham

    Wujud kes kebolehjangkitan tinggi punca Parlimen terpaksa ditangguh – Dr.Noor Hisham

    KEPUTUSAN  kerajaan untuk menangguhkan sidang khas di Dewan Rakyat yang sepatutnya bersambung esok di Dewan Rakyat telah mendapat reaksi daripada ahli-ahli Parlimen pembangkang khususnya Pakatan Harapan (PH).

    Dalam kenyataan bersama semalam, PH mengingatkan semua agensi kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia supaya tidak bersekongkol dengan kerajaan untuk menjadi Covid-19 sebagai alasan atau helah bagi menutup Parlimen.

    Bagaimanapun hari ini Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr.Noor Hisham Abdullah membuat penjelasan panjang lebar berhubung keputusan kerajaan itu yang dilakukan atas nasihat KKM.

    Berikut penjelasan Dr.Noor Hisham yang turut memaklumkan penangguhan perlu dilakukan selama dua minggu bermula 29 Julai;

    Seperti makluman umum, Sidang Mesyuarat Khas Parlimen telah berlangsung pada 26 Julai sehingga 29 Julai 2021 bertempat di Dewan Parlimen Negara, Kuala Lumpur.

    Mengambilkira Sidang ini melibatkan ramai individu berkumpul (mass gathering) dari seluruh negara dan memberi risiko tinggi penularan jangkitan Covid-19 terutama di kala varian berbahaya seperti varian delta merebak di dalam komuniti dan situasi peningkatan kes Covid-19 yang semakin melarat, KKM sememangnya bimbang sekiranya berlaku penularan jangkitan di Parlimen.

    Sebelum Sidang Khas Parlimen Bermula

    Ujian pengesanan Covid-19 telah dijalankan ke atas semua individu yang akan hadir ke Parlimen. Hanya individu yang disahkan negatif Covid-19 dan tidak bergejala sahaja yang dibenarkan untuk hadir ke Parlimen.

    2,093 individu telah menjalani RT PCR sebelum mereka menghadiri Parlimen. Seramai 56 kes daripada jumlah yang disaring itu didapati positif Covid-19 dan telah diarahkan untuk menjalani pengasingan.

    Siasatan dan pengesanan kontak rapat mendapati empat (4) kes dikesan positif Covid-19. Kesemua 60 kes positif Covid-19 ini tidak hadir ke Parlimen sejak dari hari pertama Sidang berlangsung.

    Sebelum Sidang bermula, pada 26 Julai 2021 jam 8 pagi, Ketua Pengarah Kesihatan (KPK) yang mewakili KKM telah membuat pembentangan kepada “Mesyuarat Penyelarasan Bagi Urusan Berkaitan Mesyuarat Khas Bagi Dewan Rakyat berikutan Penularan Wabak Covid- 19” di Parlimen.

    Mesyuarat telah dihadiri oleh YAB Timbalan Perdana Menteri, YB Menteri Kanan Luar Negeri yang mengetuai Kluster Keselamatan, YB Menteri Parlimen dan Undang-Undang, YDP Speaker dan Timbalan-Timbalan Speaker Dewan Rakyat, dan ketua atau wakil kanan parti-parti politik daripada pihak Kerajaan dan Pembangkang.

    Mereka telah dimaklumkan hasil saringan pra-persidangan, risiko penularan jangkitan Covid-19 serta kekhuatiran pihak KKM. KKM kemudiannya telah mengemukakan cadangan seperti berikut:

    i. Sidang Khas Parlimen ditangguhkan sehingga status liputan imunisasi sekurang-kurangnya 40 peratus terutama di Lembah Klang. Ini mengambilkira peningkatan kes positif Covid-19 seluruh Malaysia terutama di Selangor, WPKL dan Negeri Sembilan; ATAU

    ii. Sekiranya Sidang Khas Parlimen diteruskan, jumlah kehadiran secara fizikal di Parlimen dikurangkan dan tempoh persidangan dipendekkan bagi mengurangkan tempoh pendedahan.

    Dicadangkan supaya sidang hendaklah dihentikan serta-merta sekiranya terdapat kes positif Covid-19 dikesan bagi mencegah berlakunya risiko penularan jangkitan di kalangan individu yang hadir di Parlimen.

    Mesyuarat termasuk wakil parti-parti politik telah memutuskan untuk melaksanakan opsyen (ii).

    Sepanjang Sidang Khas Parlimen Berlangsung

    Bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan Covid-19 sepanjang Sidang, KKM telah:

    • memantau status kesihatan setiap individu yang hadir di Parlimen dengan mengadakan saringan suhu dan risiko jangkitan di pintu masuk Parlimen pada setiap hari;

    • menyediakan kemudahan ujian saringan kendiri RTK antigen (Ag) saliva di Bangunan Parlimen bermula pada 26 Julai 2021. Seramai 104 orang telah disaring pada 26 hingga 28 Julai 2021.

    Pada 29 Julai 2021 jam 12.30 tengah hari, KKM telah dimaklumkan mengenai dua (2) kes positif Covid-19 yang telah hadir ke Parlimen. Kes pertama merupakan seorang petugas yang telah hadir ke Parlimen sejak 26 Julai 2021 dan dikesan positif melalui ujian pengesahan RT PCR di sebuah fasiliti kesihatan kerana bergejala batuk.

    Nilai CT value atau nilai ambang RT PCR beliau adalah 18.71. Kes kedua pula dikesan semasa saringan di Parlimen pada pagi 29 Julai 2021 jam 12.30 tengah hari menggunakan ujian kendiri RTK antigen (Ag) saliva kerana gejala batuk dan loya.

    Tindakan KKM Susulan Penemuan Kes Positif Covid-19

    Seperti sedia maklum kebolehjangkitan adalah tinggi dua (2) hari sebelum gejala dan berterusan sehingga hari ke tujuh (7).

    Dengan pengesanan dua (2) kes positif Covid-19 tersebut terutama dengan kes pertama didapati mempunyai CT value 18.71 semasa ujian RT PCR, KKM telah mengambil keputusan segera untuk menjalankan saringan ujian kendiri RTK Ag saliva ke atas 1,183 individu di dalam Parlimen dan mendapati sembilan (9) lagi kes positif Covid-19.

    Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif adalah 11 kes (seorang RT PCR positif dan 10 orang RTK Ag positif) dengan lima (5) daripadanya bergejala.

    Bagi pengesahan lanjut, kesemua 10 kes positif RTK Ag telah diambil swab bagi ujian pengesahan jangkitan Covid-19 menggunakan RT PCR. Lapan (8) kes disahkan positif Covid-19 di mana lima (5) kes mempunyai kadar kebolehjangkitan yang amat tinggi (CT value atau nilai ambang antara 12.67 hingga 18.19).

    Kesemua sampel ini telah dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) untuk dibuat ujian jujukan genom (genomic study) bagi mengenalpasti jenis varian virus SARS-CoV-2.

    Daripada lapan (8) kes positif Covid-19 ini, hanya dua (2) kes sahaja yang mempunyai sejarah vaksinasi Covid-19 lengkap (melepasi 14 hari dari tarikh dos ke-2).

    Kesemua kes ini stabil dan telah diberikan surat perintah pengawasan dan pemerhatian untuk menjalani pengasingan di tempat kediaman masing-masing serta dipakaikan gelang tangan pengawasan.

    Setakat ini seramai 48 kontak rapat telah dikenalpasti, namun siasatan dan pengesanan kontak rapat masih lagi diteruskan.

    Pada 30 Julai 2021, saringan pra-persidangan Dewan Negara telah dijalankan ke atas 100 individu menggunakan ujian RT PCR dan mendapati sembilan (9) kes positif Covid-19.

    Pemakluman kes telah dilaporkan kepada KKM pada 1 Ogos 2021. Siasatan ke atas kes dan pengesanan kontak rapat sedang dijalankan untuk diambil tindakan kawalan dan pencegahan sewajarnya.

    Penilaian Risiko

    Walaupun jumlah kes positif Covid-19 yang dikesan semasa Sidang Parlimen ini adalah 0.8 peratus, namun hasil penilaian risiko dengan mengambilkira faktor epidemiologi dan persekitaran, didapati persidangan Parlimen merupakan satu perhimpunan yang berisiko tinggi untuk berlaku penularan jangkitan Covid-19.

    Kriteria penilaian risiko tersebut adalah:

    Faktor epidemiologi:

    1. Terdapat enam (6) kes (1 kes pertama dan 5 kes pengesahan lanjut dengan RT PCR) dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi (CT value yang rendah) dan bergejala yang memberi risiko berlaku penularan jangkitan dan berpotensi menjadi superspreader.

    2. Seperti sedia maklum kebolehjangkitan adalah tinggi dua (2) hari sebelum gejala dan berterusan sehingga hari ke tujuh (7).

    3. Pergerakan kes di sekitar kawasan Parlimen yang berkemungkinan boleh menyebabkan pendedahan kepada individu lain.

    4. Ramai dalam kalangan yang hadir ke Sidang Mesyuarat Khas Parlimen ini dalam kategori warga emas dan kemungkinan mempunyai faktor komorbid yang meningkatkan risiko jangkitan.

    5. Tidak semua individu yang hadir di Parlimen telah mendapat vaksinasi Covid-19 yang lengkap.

    Faktor persekitaran Parlimen

    1. Keadaan dewan Parlimen yang bertutup meningkatkan risiko penularan jangkitan memandangkan virus SARS-CoV-2 tersebar/menular melalui udara dan boleh kekal dalam persekitaran selama beberapa jam (rujukan New England Journal of Medicine, WHO, CDC Atlanta).

    2. Tempoh berada dalam Dewan dan sekitar Parlimen yang panjang memberi risiko pendedahan berulang.

    3. Perkongsian kemudahan asas seperti tandas, surau, kafe dan sebagainya oleh ramai individu termasuk kes.

    4. Penjarakan fizikal dalam Dewan kurang dari satu (1) meter antara satu sama lain walaupun terdapat penghadang meja.

    5. Perkumpulan kecil kerap berlaku di dalam dan di luar dewan.

    Mengambilkira hasil penilaian risiko semasa dan bagi mencegah penularan jangkitan Covid-19 dari berlaku di Parlimen, maka KKM telah mencadangkan agar semua sesi mesyuarat termasuk Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan dan Pilihan Khas Parlimen serta pembentangan yang dirancang di Parlimen atau yang melibatkan individu yang berada di Parlimen pada 26 Julai sehingga 29 Julai 2021 ditangguhkan sementara waktu untuk tempoh dua (2) minggu bermula dari 29 Julai 2021.

    Penilaian risiko kejadian jangkitan Covid-19 di Parlimen akan dinilai semula dari semasa ke semasa.

    Semua individu yang berada di Parlimen pada 26 Julai sehingga 29 Julai 2021 dinasihatkan untuk memantau status kesihatan secara kendiri menggunakan aplikasi MySejahtera. Sekiranya mengalami gejala, sila jalani pemeriksaan dan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran dengan tempat tinggal masing-masing.

    Kerjasama semua yang terlibat dipohon agar sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh Kerajaan demi memastikan penularan jangkitan dapat diputuskan. Kesihatan dan keselamatan semua menjadi tanggungjawab kita bersama.

  • 23 lokaliti dikenakan PKPD termasuk 21 di Terengganu

    23 lokaliti dikenakan PKPD termasuk 21 di Terengganu

    SEBANYAK 21 lokaliti di Terengganu merupakan antara 23 lokati yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuatkuasa mulai 3 Ogos hingga 16 Ogos.

    Menteri Kanan Pertahanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, dua lagi lokaliti ialah Beluran dan Kota Marudu, Sabah.

    Beliau dalam kenyataan berkata,  daripada 21 lokaliti di Terengganu tersebut, 20 lokaliti yang terlibat di Dungun dalam Mukim Kuala Dungun dan Mukim Sura.

    ‘’Di Mukim Dungun, lokaliti terlibat ialah Kubang Miang, Teratai, Teluk Lipat, Alor Tembesu, Sura Utara, Batu 48, Sura Gate, Bukit  Chatak dan Tembesu,’’ katanya.

    Hishammuddin memaklumkan di Mukim Sura pula lokaliti yang dikenakan PKPD ialah Batu 5, Sura Tengah, Alor Tempoyak, Taman Rakyat Jaya dan Taman Delima Batu 6.

    ‘’Turut terlibat Balai Besar, Sura Melati, Batu 7, Paya Balai Besar, Pak Sabah dan Sura Lapangan Terbang manakala 1 lokaliti yang terlibat di Besut ialah Perumahan Awam Kos Rendah (PAKRI) Anak Ikan di Mukim Jabi,’’ katanya.

    Beliau berkata, sebanyak 59 premis dan tapak perniagaan diarah tutup serta merta kerana gagal mematuhi SOP dalam operasi pematuhan yang melakukan 79,940 pemeriksaan di dan snap check Covid-19.

    ‘’Seramai 207 individu dikompaun kerana ingkar SOP manakala 28 direman atas kesalahan yang sama.