Author: Wartawan WartaRakyat

  • 19,307 kes baharu Covid-19, Sarawak tertinggi, Perlis 108 kes

    19,307 kes baharu Covid-19, Sarawak tertinggi, Perlis 108 kes

    JUMLAH jangkitan baharu Covid-19 di negara ini turun sedikit hari ini apabila merekodkan sebanyak 19,307 kes hari ini berbanding 19,733 jangkitan semalam.

    Penurunan 426 kes itu sekali gus menjadikan kumulatif kes Covid-19 di negara setakat ini ialah sebanyak 1,919,774 kes.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Sarawak buat hari keempat berturut-turut merekodkan kes harian Covid-19 tertinggi apabila mencatatkan sebanyak 3,118 kes baharu berbanding 3,100 kes semalam.

    Selangor pula terus mengekalkan kes harian jangkitan pada paras 2,000 kes, apabila mencatatkan 2,700 kes berbanding 2,989 kes semalam untuk berada di tempat kedua.

    Selain Selangor, Sabah, Pulau Pinang dan Johor turut menyumbang lebih 2,000 kes harian apabila masing-masing mencatatkan 2,298 kes, 2,243 kes dan 2,032 kes.

    Perlis pula mencatatkan 108 kes harian dipercayai tertinggi pernah dicatatkan negeri yang kini berada di bawah Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

    Sebanyak tiga negeri pula mencatatkan lebih 1,000 jangkitan iaitu Kelantan (1,438 kes), Kedah (1,355 kes) dan Perak (1,341 kes).

    Terengganu, Kuala Lumpur, Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang masing-masing berjaya mengekalkan rekod kepada tiga digit kes sahaja.

    Sementara itu, Labuan menjadi wilayah yang menyaksikan rekod jangkitan paling rendah iaitu 15 jangkitan dan Putrajaya 28.

  • Strategi kerajaan tingkatkan vaksinasi di Labuan berkesan – Muhyiddin

    Strategi kerajaan tingkatkan vaksinasi di Labuan berkesan – Muhyiddin

    STRATEGI kerajaan dalam mempertingkatkan kadar vaksinasi ketika kes meningkat di Labuan sekitar Mei dan Jun lalu terbukti berkesan apabila wilayah itu berjaya mencatatkan penurunan kemasukan pesakit Covid-19 di hospital selain pengurangan penggunaan katil ICU dan ventilator.

    Sehubungan itu Pengerusi Majlis Pemulihan Nasihat (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan tahniah kepada Labuan yang pada 7 September lalu merekodkan 100 peratus populasi dewasa telah divaksinasi penuh melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan menjadi wilayah pertama beralih ke Fasa 4 di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN).

    ‘’Warga Labuan kini dapat menikmati kelonggaran di semua sektor ekonomi dan sosial tertakluk kepada SOP dalam norma baharu. Pencapaian ini sememangnya tidak dapat dicapai tanpa kerja keras Badan Bertindak Imunisasi Covid19 (CITF), ditambah kerjasama erat kesemua agensi kerajaan, Majlis Perwakilan Penduduk serta rakyat Labuan,’’ katanya melalui kenyataan dalam Facebook beliau.

    Bekas Perdana Menteri itu berkata, kejayaan Labuan memberi suntikan vaksinasi kepada lebih 68,500 penduduk dewasa merupakan pencapaian yang membanggakan dan memberi inspirasi dalam perang menentang Covid-19.

    ‘’Ini membuktikan bahawa usaha dan perancangan kerajaan dalam “roll-out” PICK (Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan) kini mula menunjukkan hasil.  Berkat usaha semua pihak baik Kerajaan, badan bukan kerajaan, swasta dan juga rakyat, saya percaya Malaysia akan terus berada di landasan yang tepat dalam mencapai imuniti kelompok, sekaligus memulihkan ekonomi negara,’’ katanya.

    Beliau yang turut mengucapkan tahniah kepada penduduk Labuan menasihatkan mereka

    Terus mematuhi SOP dan kawalan risiko kendiri untuk memastikan penularan wabak Covid-19 sentiasa terkawal.

    ‘’Insya-Allah, saya yakin negeri-negeri lain juga akan dapat mencapai kejayaan ini dalam masa terdekat.  Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya pula akan beralih ke Fasa 2 bermula Jumaat ini.

    ‘’Dengan kelonggaran yang diberikan ini, saya ingin mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan. Mari kita terus berusaha dan berdoa agar #KeluargaMalaysia terus berjaya dalam perang menentang Covid-19,’’ katanya.

  • Hanya kakitangan sokongan lengkap vaksin boleh masuk sekolah

    Hanya kakitangan sokongan lengkap vaksin boleh masuk sekolah

    HANYA kakitangan sekolah yang telah lengkap dua dos vaksin Covid-19 dibenarkan memasuki premis sekolah, dedah satu pekeliling Kementerian Pendidikan (KPM).

    Kakitangan sokongan KPM itu melibatkan pekerja perkhidmatan kebersihan bangunan dan kawasan (KBK), perkhidmatan kawalan keselamatan (PKK), perkhidmatan bekalan makanan bermasak (BMB) dan bekalan makanan mentah (BMM).

    Menurut pekeliling bertarikh 3 September lalu itu, langkah berkenaan dilaksanakan bagi merealisasikan usaha KPM mencapai imuniti kelompok di kawasan sekolah.

    “Kebenaran itu terpakai untuk penerima dos lengkap yang sudah melepasi hari ke-14 daripada tarikh kedua suntikan untuk vaksin Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac.

    “Bagi penerima vaksin satu dos keluaran syarikat Johnson & Johnson serta CanSino pula, mereka perlu melepasi hari ke-28 dari tarikh suntikan,” katanya.

    Dokumen itu dikeluarkan Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembangunan) KPM, Noor Azman Abdul Rahman.

    Arahan itu dibuat selaras dengan pengumuman Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin, bahawa sesi persekolahan secara bersemuka dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN), yang akan dilaksanakan secara berperingkat mulai 3 Oktober depan, tertakluk kepada penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan prosedur operasi standard (SOP) oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

    Sehubungan itu, KPM mengingatkan kontraktor perkhidmatan PKK, KBK, BMB dan BMM untuk memastikan pekerja seliaan mereka lengkap divaksinasi sebelum memasuki kawasan sekolah.

  • Kedudukan Aminuddin sebagai MB Negeri Sembilan kukuh – Anwar

    Kedudukan Aminuddin sebagai MB Negeri Sembilan kukuh – Anwar

    KEDUDUKAN Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Negeri Sembilan dan Menteri Besar (MB) Negeri Sembilan masih kukuh di sebalik spekulasi pimpinan PKR negeri yang menyatakan hilang kepercayaan terhadap Aminuddin.

    Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mesyuarat MPN Negeri Sembilan yang beliau pengerusikan hari ini sebaliknya meminta Aminuddin sebagai Pengerusi MPN agar memberi perhatian kepada permasalahan yang diutarakan pimpinan negeri, terutamanya keperluan untuk mengukuhkan jentera pilihan raya.

    Menurutnya, mereka turut mencapai konsensus supaya ahli-ahli dan pimpinan kanan perhubungan negeri terus bergerak sebagai satu pasukan khasnya bagi merangka usaha menghadapi pilihan raya umum akan datang.

    “Kedudukan MB juga tidak berbangkit, ada sokongan padu. Tetapi ada dibangkitkan permintaan supaya MB beri sedikit perhatian kepada keperluan parti, cabang-cabang, untuk perkukuh jentera, dalam menghadapi pilihan raya.

    “Jadi kita beri ruang untuk mereka berbincang dan perjelaskan,supaya terus dengan padu bersama dengan Exco-exco negeri (dari PKR) dan Timbalan Speaker, untuk di dalam jentera parti, terutama Biro Politik PKR Negeri Sembilan, bagi memudahkan Aminuddin supaya bertindak sebagai MB dan Pengerusi MPN Negeri Sembilan,” katanya, hari ini.

    Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, mesyuarat tersebut merupakan siri-siri mesyuarat peringkat negeri yang beliau pengerusikan, termasuk Sabah dan Selangor sebelum ini.

    Situasi politik Negeri Sembilan agak panas sejak kebelakangan ini apabila media melaporkan pimpinan PKR Negeri Sembilan telah menyatakan hilang kepercayaan terhadap Aminuddin.

    Mereka mendakwa, Aminuddin tidak berusaha untuk merancang bagi mengukuhkan penguasaan politik Pakatan Harapan (PH) di negeri intu untuk terus kekal memerintah.

    Malah media turut melaporkan, terdapat usaha pihak-pihak tertentu untuk mengumpulkan akuan bersumpah (SD) bagi menjatuhkan kedudukan Aminuddin.

    Bercakap mengenai isu itu, Anwar menjelaskan, beliau difahamkan beberapa individu terbabit telah menarik balik surat yang mereka tandatangani.

    “Kita tidak membincangkan soal (usaha pengumpulan) SD, tetapi kita ada membincangkan sedikit sebanyak tentang kandungannya.

    “Jadi saya beri ruang kepada mereka untuk memberi penjelasan, dan saya turut menerangkan mengapa Menteri Besar juga perlu berusaha perkukuhkan jentera pilihan raya,” tambahnya.

  • Ops Benteng tahan lebih 15,000 PATI sejak Mei 2020 – Hishammuddin

    Ops Benteng tahan lebih 15,000 PATI sejak Mei 2020 – Hishammuddin

    SERAMAI 15,754 pendatang tanpa izin ditahan menerusi Operasi Benteng (Ops Benteng) di bawah ‘National Task Force’ bagi tempoh Mei 2020 hingga Selasa lalu (7 Sept), kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

    Beliau berkata bagi tempoh sama, seramai 2,232 pendatang tanpa izin diusir dalam operasi yang melibatkan 19 agensi termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

    “Selain pendatang tanpa izin, seramai 1,148 orang tekong dan 781 penyeludup turut ditangkap dalam tempoh yang sama. Dari sudut rampasan pula, saya dimaklumkan bahawa sebanyak 2,381 kenderaan darat dan 540 buah kapal/bot berjaya dirampas,” kata Hishammuddin dalam catatan di Facebook rasminya hari ini.

    Beliau berkata selari dengan matlamat utama pelaksanaan Ops Benteng, ATM akan terus berusaha dan bekerjasama rapat dengan semua agensi terbabit, bagi mengawal ketat sempadan negara daripada kemasukan pendatang tanpa izin di samping mengekang penularan wabak Covid-19 yang mungkin dibawa golongan berkenaan.

  • Jumlah penganggur meningkat, kadar pengangguran kekal

    Jumlah penganggur meningkat, kadar pengangguran kekal

    JUMLAH penganggur di negara ini mengalami sedikit kenaikan kepada 778,200 ketika kadar pengangguran bulan Julai kekal pada 4.8 peratus.

    Jabatan Perangkaan Malaysia dalam satu kenyataan berkata, jumlah guna tenaga terus mencatatkan penurunan namun pada kadar yang perlahan manakala pengangguran mencatatkan sedikit peningkatan.

    Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin pada awal Julai berkata, seluruh negara diletakkan di bawah Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berikutan peningkatan mendadak jumlah kes baharu Covid-19 dan kadar vaksinasi yang semakin tinggi.

    Katanya, lapan negeri yang beralih ke Fasa 2 PPN, membawa kepada beberapa kesan positif terhadap ekonomi dan seterusnya kepada kedudukan tenaga buruh di negeri-negeri tersebut.

    Berdasarkan sektor ekonomi, semua sektor mencatatkan penurunan bulan ke bulan kecuali sektor perkhidmatan dengan perubahan positif yang kecil.

  • Serang pengawal keselamatan, ahli perniagaan didakwa membunuh

    Serang pengawal keselamatan, ahli perniagaan didakwa membunuh

    SEORANG ahli perniagaan hari ini didakwa membunuh seorang pengawal keselamatan selepas Mahkamah Majistret Ipoh meminda pertuduhan ke atasnya daripada menyebabkan kecederaan parah setelah mangsa meninggal dunia 27 Ogos lalu.

    Tertuduh sebelum ini didakwa menyerang S Thava Sagayam, 64, tahun di sebuah kondominium tahun lalu.

    Namun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Ahmad Noor Azhar Muhammad, 33 tahun, selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus.

    Ahmad Noor didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas polis mengklasifikasikan semula kes terbabit daripada Seksyen 335 kanun sama.

    Seksyen 302 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan

    Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa membunuh S Thava Sagayam, di tingkat 7, Menara Majestic, Jalan CM Yusuff di Ipoh antara pukul 8 dan 9.30 pagi, 29 Disember, 2020.

    Mahkamah kemudiannya menetapkan 18 Oktober sebagai tarikh sebutan semula kes.

    Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri, Azalina Rasdi.

    Tertuduh diwakili peguam Ariff Azami Hussein manakala M Kulasegaran menjadi peguam pemerhati bagi keluarga mangsa.

    Pada 6 Januari lalu, Ahmad Noor Azhar didakwa di bawah Seksyen 335 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum empat tahun atau denda maksimum RM4,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Bagaimanapun, mangsa yang terlantar selepas kejadian, meninggal dunia pada 27 Ogos lalu.

    Bagi tuduhan awal di bawah Seksyen 335 Kanun Keseksaan, mahkamah melepaskan tertuduh tanpa membebaskannya.

  • Amalan berpuasa rahsia dua beradik hidup lebih satu abad

    Amalan berpuasa rahsia dua beradik hidup lebih satu abad

    AMALAN berpuasa berterusan selama tiga bulan sehingga Ramadan dan puasa sunat Isnin Khamis menjadi rahsia dua beradik dari Kampung Rengas, Tok Bok, Machang, Kelantan hidup sehingga mencecah usia lebih 100 tahun.

    Kedua-dua wanita itu, Munah Yunus, 115, dan Pah Yunus, 111,kini hanya mampu mengengsot selepas tulang belakang mereka terjejas akibat terjatuh dalam kejadian berasingan sejak 10 tahun lalu.

    Menurut Pah, umur rasmi dia dan kakaknya yang masing-masing telah kematian suami adalah 97 dan 101 tahun.

    Bagaimanapun kata ibu kepada lima anak itu, jika mengikut usia sebenar, umur mereka telah melebihi satu abad berdasarkan lambang ‘*’ pada hujung nombor kad pengenalan.

    Katanya, mereka bersyukur kerana dikurniakan umur yang panjang dan pada masa sama sudah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin pada awal Ogos lalu.

    “Saya hanya menghidap penyakit darah tinggi dan Parkinson, manakala kakak pula tidak menghidap sebarang penyakit kronik.

    “Namun, disebabkan usia yang semakin lanjut pendengaran kami kurang jelas selain penglihatan kakak juga sudah kabur dan nyanyuk,” katanya hari ini.

    Mengulas lanjut, nenek kepada 18 cucu serta 36 cicit itu memberitahu, rahsia dia kekal sihat adalah disebabkan amalan berpuasa berterusan selama tiga bulan sehingga Ramadan serta puasa sunat setiap Isnin dan Khamis ketika masih muda.

    Malah katanya, amalan itu masih diteruskan sehingga ke hari ini.

    “Sejak kebelakangan ini, kakak saya sudah tidak lagi dapat berpuasa berterusan selama tiga bulan dan hanya berpuasa penuh pada bulan Ramadan sahaja kerana mudah keletihan.

    “Di sebalik kekangan termasuk faktor fizikal sudah tidak seperti sedia kala, kami berdua tidak pernah meninggalkan amalan wajib iaitu solat fardu lima waktu meskipun terpaksa menunaikannya secara duduk,” katanya.

    Sementara itu, anak ketiga Pah, Mohd Ramli Ismail, 63, berkata, ibunya juga sangat mengambil berat perihal pemakanan dan hanya memakan makanan sihat serta mengamalkan makan ulam-ulaman selain berpuasa.

    Katanya, dia amat bersyukur kerana ibu dan ibu saudaranya (Munah) dikurniakan kesihatan ketika usia mereka sudah lebih satu abad selain berpeluang melihat cucu serta cicit membesar di depan mata.

    “Malah hubungan ibu dan kakaknya juga sangat akrab kerana selepas ibu dan ayah mereka meninggal dunia, hanya tinggal mereka dua beradik sahaja memandangkan tidak mempunyai adik-beradik lain,” tambahnya.

  • Separuh populasi Malaysia lengkap divaksin

    Separuh populasi Malaysia lengkap divaksin

    LEBIH 50 peratus populasi keseluruhan Malaysia telah lengkap divaksinasi setakat semalam, kata Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) dalam hantaran Facebook hari ini.

    Menerusi perkongsian infografik JKJAV memaklumkan, sebanyak 50.5 peratus populasi keseluruhan negara menerima dua dos lengkap vaksin Covid-19 manakala 64.1 peratus populasi keseluruhan mendapat dos pertama vaksin.

    Bagi populasi dewasa pula, sebanyak 16,492,295 individu atau 70.5 peratus telah menerima dua dos lengkap vaksin manakala 20,943,582 orang atau 89.5 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

    “Secara keseluruhan, sebanyak 37,392,241 dos vaksin termasuk vaksin dos tunggal dan dua dos diberikan di seluruh negara,” katanya hari ini.

    Dalam pada itu, Sabah merupakan satu-satunya negeri yang masih belum mencapai tahap 50 peratus populasi dewasanya telah menerima dua dos lengkap vaksin iaitu 47 peratus.

    Johor, Pahang, Perak, Kedah dan Kelantan masing-masing menyaksikan pemberian dua dos vaksin ketika ini pada sekitar 50 peratus.

    Melaka, Pulau Pinang dan Terengganu pula masing-masing menyaksikan pemberian dua dos vaksin membabitkan populasi dewasa ketika ini pada sekitar 60 peratus.

    Lembah Klang membabitkan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor menyaksikan peratusan tertinggi dalam pemberian dos vaksin membabitkan populasi dewasa iaitu 113 peratus sekurang-kurangnya satu dos vaksin dan 98.4 peratus lengkap divaksinasi.

    Pencapaian itu diikuti Labuan (102.6 peratus satu dos dan 95.7 peratus dua dos); Sarawak (91.3 peratus satu dos dan 87.9 peratus dua dos); Negeri Sembilan (98.7 peratus satu dos dan 85.1 dua dos) dan Perlis (92.7 peratus satu dos dan 72.6 peratus dua dos).

    Sementara itu, JKJAV pada masa sama memberitahu, untuk vaksinasi harian, sebanyak 320,452 dos vaksin Covid-19 diberikan setakat semalam.

    Tambahnya, ia melibatkan pemberian 128,038 dos pertama manakala 192,414 lagi dos lengkap.

    Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dimulakan sejak 24 Februari lalu memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik Covid-19 di seluruh negara.

  • Yusuf dipecat, Aminuddin tak tahu gerakan kumpul SD

    Yusuf dipecat, Aminuddin tak tahu gerakan kumpul SD

    TIGA hari selepas secara terbuka menyatakan penolakan terhadap kepimpinan Datuk Seri Aminuddin Harun, Yusuf Tapar dipecat dari jawatan Ketua Penerangan PKR Negeri Sembilan.

    Memetik laporan Sinar Harian, pemecatan itu dimaklumkan secara rasmi melalui surat yang ditandatangani oleh Aminuddin selaku Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Sembilan.

    Dalam surat berkenaan dinyatakan kedudukan Yusuf sebagai Ketua Penerangan tidak wajar dikekalkan ekoran perkembangan mutakhir dan kenyataan media secara terbuka yang dibuat olehnya pada 5 September lalu.

    Mengesahkan perkara itu, Yusuf ketika dihubungi Sinar Harian berkata, beliau tidak terkejut dengan pemecatannya itu dan telah pun bersedia sejak awal.

    “Saya sudah menjangkakan ini tindakan yang akan dikenakan terhadap saya. Saya tidak sedih pun.

    “Malah saya gembira kerana selepas ini saya lebih bebas untuk bercakap dan saya tidak mahu bersekongkol dengan orang yang boleh saya katakan telah memalukan parti PKR,” katanya.

    Jelasnya, beliau tidak kisah dengan jawatan itu dan pernah empat kali meminta untuk dipecat sebelum ini kerana tidak bersetuju dengan pentadbiran Aminuddin dalam parti.

    Ujarnya, tindakan pemecatannya selepas membuat kenyataan media sebelum ini menunjukkan budaya parti tidak boleh ditegur.

    “Dulu mana-mana ketua cabang yang lantang bersuara akan digantung daripada parti. Tak setuju sikit kena gantung kena pecat.

    “Bagi saya ia budaya tak sihat untuk parti yang akhirnya akan membuatkan ahli parti ‘fed up’ dan rugikan parti,” jelasnya.

    Walaupun dipecat, kata Yusuf, beliau tetap akan setia kepada parti dan akan terus bersuara jika ada yang dilihat tidak betul dalam parti.

    Sementara itu, Sinar Harian turut melaporkan, Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan tidak pasti jika wujud kumpulan tertentu dalam parti itu yang mahu menjatuhkan beliau.

    Beliau berkata, ia termasuk usaha mengumpulkan akuan bersumpah (SD) untuk diserahkan kepada kepimpinan PKR Pusat.

    Bagaimanapun, katanya, keadaan itu biasa berlaku dalam politik dan beliau tidak terkesan dengannya.

    “Saya tidak tahu pasal SD atau perkara (gerakan) itu. Saya tidak dimaklumkan mengenainya.

    “Ini perkara biasa dalam politik dan jika perkara itu berlaku, saya yakin itu semua ketentuan Allah SWT,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri hari terakhir Persidangan Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-14 di Seremban, hari ini.

    PKR Negeri Sembilan kini dalam keadaan kucar-kacir setelah sebahagian besar pemimpinnya termasuk Yusuf secara terbuka menyatakan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai Pengerusi MPN.

    Mereka terdiri daripada empat Ketua Cabang PKR iaitu Rasah, Port Dickson, Jelebu, Kuala Pilah; tiga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang (Rembau, Rasah dan Port Dickson); dua Timbalan Ketua Cabang PKR (Seremban dan Rembau); Ketua Wanita PKR Negeri, Amni Idris; Timbalan Ketua Wanita PKR Negeri, Rusnani Saring; Setiausaha Penerangan PKR Negeri, Madon Mislan; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chuah, Datuk Yek Diew Ching dan mantan Ketua Jurulatih Jentera Pilihan Raya Negeri, Mdd Nordin Ismail.

    Memetik laporan Sinar Harian, kesemua mereka menegaskan bahawa mereka sudah hilang kepercayaan terhadap Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan.

    Yusof yang mewakili mereka berkata, rombakan segera perlu dilakukan dalam MPN bagi memastikan parti itu kekal relevan.

    Pengerusi MPN Negeri Sembilan itu didakwa tidak berusaha untuk merancang bagi mengukuhkan penguasaan politik Pakatan Harapan (PH) untuk terus kekal memerintah.

    Dakwa mereka, beliau tidak melakukan sebarang penyusunan dan koordinasi yang berkesan untuk menarik sokongan pengundi terutamanya di kawasan-kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang perlu diberi tumpuan dan keutamaan.