Author: Wartawan WartaRakyat

  • 5,103 lepasan politeknik ditawarkan ke universiti awam sesi 2021/2022

    5,103 lepasan politeknik ditawarkan ke universiti awam sesi 2021/2022

    KEJAYAAN pelajar politeknik melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda di universiti awam bergantung sepenuhnya kepada markah merit, bilangan tempat dan kelayakan calon, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

    Beliau berkata selain itu turut diambil kira adalah kecemerlangan dalam proses temu duga yang dilaksanakan di universiti awam bagi sesetengah program pengajian yang memerlukan kompetensi.

    “Pada sesi akademik 2021/2022, Kementerian Pengajian Tinggi menerima 7,652 calon lepasan Politeknik yang memohon dan layak untuk melanjutkan pengajian ke universiti awam dan daripada jumlah itu 5,103 (67 peratus) ditawarkan tempat pengajian.

    “Bilangan ini menunjukkan peningkatan sebanyak lima peratus berbanding 4,445 (62 peratus) dari 7,175 calon yang memohon pada sesi akademik 2020/2021,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri persidangan Dewan Rakyat hari ini.

    Beliau menjelaskan perkara itu bagi menjawab soalan Sivakumar Varatharaju Naidu (PH-Batu Gajah) mengenai peluang pendidikan tinggi yang disediakan terutamanya ke universiti awam bagi lepasan diploma daripada politeknik tempatan kerana didapati ramai yang memperoleh keputusan cemerlang dari politeknik tidak mendapat tempat di menara gading tahun ini.

    Noraini berkata analisis kementerian itu mendapati kemungkinan calon tidak ditawarkan tempat di universiti awam atas beberapa faktor, antaranya persaingan sengit antara penuntut diploma, asasi, matrikulasi dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia atau calon tidak berjaya semasa sesi temu duga yang dilaksanakan.

    Pemilihan program yang sangat kompetitif dengan permintaan yang tinggi juga akan mengehadkan peluang calon untuk mendapat tempat di universiti awam, katanya.

    Beliau berkata secara umumnya pelajar politeknik disediakan untuk memenuhi keperluan industri, namun kementerian menggalakkan mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, dan antara inisiatif kementerian adalah dengan menjalankan kerjasama artikulasi program Diploma Politeknik ke Program Ijazah Sarjana Muda Malaysian Technical University Network (MTUN).

    Noraini berkata dalam mengembangkan pendidikan politeknik, kolaborasi merentas Kementerian Pengajian Tinggi dan pihak industri diperkukuhkan menerusi Majlis Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Negara. 

    “Bagi memastikan kokurikulum pendidikan politeknik sentiasa relevan dengan perkembangan teknologi terkini, Majlis Penasihat Industri ditubuhkan bagi memberi input dan berkongsi maklumat terkini tentang keperluan di industri,” katanya. 

  • Pegawai AADK didakwa sebabkan kematian seorang lelaki

    Pegawai AADK didakwa sebabkan kematian seorang lelaki

    SEORANG pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Yan hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang lelaki dua bulan lalu.

    Tertuduh Md Ilyas Syahmi Ibnu, 34, bagaimanapun hanya mengangguk faham dan tiada pengakuan direkodkan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Anis Suraya Ahmad.

    Astro Awani melaporkan, mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kematian Zahari Ayub, 24, di hadapan bangunan pejabat AADK Kuala Muda, Sungai Petani.

    Tertuduh yang bertugas di AADK Kuala Muda dituduh melakukan kesalahan itu kira-kira jam 10.40 malam 18 Julai lalu.

    Tertuduh yang berasal dari Kemunting, Perak dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati.

    Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Khairul Azreem Mamat dan Mohd Farhan Aliff Ahmad.

    Tertuduh, yang diwakili peguam Mohd Shafiq Ahmed Bazari dan Nur Elissa Baharudin merayu kepada mahkamah agar jaminan diberikan kerana tertuduh menyara isteri dan tiga orang anak yang masih kecil.

    Tertuduh turut mempunyai masalah kesihatan buasir kronik dan perlu mengambil ubat setiap hari.

    Majistret Anis Suraya kemudiannya menetapkan 20 Oktober depan untuk tarikh sebutan semula kes serta serahan laporan forensik dan kimia.Mahkamah juga tidak membenarkan tertuduh diikat jamin berikutan ia dibawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

  • Taliban: Malaysia ambil pendirian berhati-hati

    Taliban: Malaysia ambil pendirian berhati-hati

    Malaysia mengambil pendirian berhati-hati sebelum membuat keputusan mengiktiraf kerajaan pimpinan Taliban di Afghanistan.

    Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, kerajaan akan meneliti perkembangan semasa dengan mengambil kira pertimbangan tertentu,

    Menurut beliau, antara faktor yang diambil kira adalah tahap penerimaan rakyat Afghanistan terhadap penguasaan kerajaan Taliban.

    Saifuddin memberitahu, selain itu, kerajaan turut meneliti pendirian yang ditetapkan secara bersama melalui Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

    “Selain itu, Malaysia juga percaya aspek keterangkuman amat penting bagi tujuan mencapai keamanan, namun kita dapati kerajaan sementara yang dibentuk Taliban masih tidak bersifat inklusif.

    “Saya ingin jelaskan, sehingga kini masih tiada negara luar yang mengiktiraf kerajaan sementara Taliban, termasuk negara yang berjiran dengan Afghanistan.

    “Seperti Malaysia, negara itu juga sedang meneliti perkembangan di sana,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini.

    Beliau menjawab soalan Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli (PH-Lumut) yang ingin tahu sama ada Malaysia akan mengiktiraf Afghanistan di bawah pemerintahan baharu Taliban.

    Saifuddin menambah, sehingga kini hanya terdapat dua rakyat negara ini berada di Afghanistan yang sedang berkhidmat dengan pertubuhan kemanusiaan antarabangsa.

    “Mereka sudah melaporkan diri kepada Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi dan berada dalam keadaan selamat.

    “Mereka juga membuat keputusan untuk kekal berada di sana bagi meneruskan tugas dan pada masa sama, terus mengambil segala langkah bagi memastikan keselamatan mereka,” katanya.

  • Baucar Perlindungan Tenang peringkat akhir sebelum dilancar

    Baucar Perlindungan Tenang peringkat akhir sebelum dilancar

    PROGRAM Baucar Perlindungan Tenang, bantuan RM50 untuk membolehkan rakyat membeli insurans atau takaful sedang dalam peringkat akhir sebelum dilancarkan oleh kerajaan.

    Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, menerusi inisiatif bagi meningkatkan jaringan perlindungan sosial rakyat, baucar itu dijangka dapat dimanfaatkan sehingga 8.4 juta penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR).

    “Bantuan program Baucar Perlindungan Tenang hasil kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM), syarikat insurans dan takaful akan membantu penerima BPR membeli perlindungan insurans dan takaful daripada penyedia berlesen,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama secara maya pada Sidang Kemuncak Kewangan dan Perbankan Malaysia 2021 anjuran KSI Strategic Institute for Asia Pacific di Kuala Lumpur, hari ini.

    Yang turut serta Pengerusi Majlis Penasihat Kelab Ekonomi Kuala Lumpur (ECKL), Tan Sri Abdul Wahid Omar dan Presiden KSI Strategic Institute for Asia Pacific, Tan Sri Michael Yeoh.

    Dalam Belanjawan 2021, kerajaan memperkenalkan Program Baucar Perlindungan Tenang iaitu insurans kos rendah bernilai RM50 sebagai bantuan kewangan kepada golongan B40 untuk membeli produk Perlindungan Tenang.

    Menerusi Perlindungan Tenang, rakyat boleh membeli atau menyertai pelan perlindungan yang mampu dan mudah difahami, dengan proses tuntutan yang senang dan ringkas.

    Produk Perlindungan Tenang menawarkan perlindungan kepada pemegang polisi serta keluarga dalam menghadapi peristiwa yang tidak dijangka (bergantung kepada jenis polisi) seperti kematian, kemalangan, hilang upaya kekal, kebakaran atau kerosakan harta benda.

    Keistimewaan Perlindungan Tenang ialah kadar premium/caruman serendah RM1 sebulan dengan pelannya boleh diperbaharui setiap tahun.

    Produk berkenaan juga mudah difahami dengan bayaran tuntutan terus kepada pemegang polisi atau benefisiari (penama), sekiranya berlaku musibah, selain proses taja jamin (underwriting) yang mudah dan pengeluaran polisi/ sijil yang segera.

    Produk Perlindungan Tenang boleh dibeli melalui laman web syarikat insurans/ pengendali takaful; kaunter cawangan syarikat insurans/pengendali takaful; cawangan bank tertentu; kaunter POS Malaysia; atau syarikat pengendali telefon mudah alih tertentu.

    Proses tuntutan produk terbabit adalah mudah dan ringkas dengan tuntutan akan dibayar dalam tempoh lima hari bekerja dari tarikh penerimaan dokumen yang lengkap.

    Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, dalam tempoh jangka masa panjang, kerajaan dan BNM akan terus menekankan kepentingan literasi kewangan dan pembuatan keputusan kewangan yang baik melalui pelbagai usaha di bawah Jaringan Pendidikan Kewangan.

  • Hilang punca pendapatan, jurutera IT cipta lebih 65 jenis minuman

    Hilang punca pendapatan, jurutera IT cipta lebih 65 jenis minuman

    ENGGAN berpeluk tubuh mengenang nasib apabila hilang punca pendapatan, seorang jurutera teknologi maklumat (IT) bangkit mengubah ‘jalan’ hidupnya dengan mencipta lebih 65 jenis minuman di kafe miliknya di Pasir Pekan di sini, sejak Januari lalu. 

    Wan Mohd Azizul Solehin Wan Mohd Yusoff, 38, berkata walaupun bidang berkenaan seakan tersasar jauh daripada pekerjaan hakikinya sebelum ini namun ia tidak menjadi alasan serta penghalang baginya untuk terus berkecimpung dalam ‘dunia’ baharu itu.

    Katanya, beliau sebelum ini memiliki sebuah syarikat IT sejak 2016, namun terpaksa mengambil keputusan menggulung tikar apabila berdepan dengan beberapa kekangan disebabkan penularan pandemik COVID-19 di negara ini.

    “Pendapatan saya sebagai jurutera IT terjejas teruk disebabkan pandemik COVID-19, iaitu tiada permintaan daripada pelanggan untuk menggunakan khidmat saya dalam projek pemasangan sistem komputer, rangkaian tanpa wayar, telekomunikasi dan sebagainya selain beberapa kekangan lain.

    “Dengan berat hati, pada akhir tahun 2019 saya menamatkan khidmat sebagai jurutera IT dan bertekad untuk mula berkecimpung dalam bidang baharu iaitu khususnya dalam penghasilan aiskrim dan minuman berasaskan susu dan kopi sejak awal tahun ini,” katanya kepada Bernama di Glace Cafe miliknya di Pasir Pekan, Tumpat baru-baru ini.

    Wan Mohd Azizul Solehin berkata kafe yang menawarkan lebih 65 jenis variasi minuman itu diusahakan bersama dua rakan kongsi iaitu Mohd Azhiim Razak, 34, dan Muhd Ariff Fauzan Mohd Hanafi, 35.

    Bercerita lanjut, bapa kepada dua anak berusia tujuh hingga lima tahun itu berkata pada awal pembukaan kafe itu, beliau hanya mengetengahkan aiskrim premium dengan pelbagai tawaran ‘topping’ menggunakan modal sekitar RM2,000 untuk membeli sebuah mesin terpakai membuat aiskrim.

    “Ternyata, ia bukan sesuatu yang mudah bagi saya yang sudah biasa mereka sistem komputer untuk beralih arah ‘mencipta’ aiskrim apabila pada awalnya saya mengalami beberapa kegagalan, aiskrim yang dihasilkan cair dan tidak mengeras dengan elok.

    “Saya banyak berpandukan YouTube dalam menghasilkan aiskrim selain turut meminta tunjuk ajar daripada beberapa kenalan yang turut berkecimpung dalam bidang ini dan syukurlah setelah beberapa kali gagal kini ia sudah tidak menjadi masalah bagi saya,” katanya yang kini mempunyai enam pekerja.

    Pemegang Ijazah Kejuruteraan Komputer Universiti Kuala Lumpur (UniKL) itu berkata bagaimanapun selepas beberapa bulan beroperasi, perniagaan aiskrimnya mula terdapat persaingan sebelum beliau mengambil keputusan untuk menfokuskan minuman berasaskan aiskrim dikisar bersama susu segar (Frappe) dan kopi.

    “Berbekalkan pengalaman bertugas di luar negara sebelum ini membabitkan lebih 10 negara Asia termasuk Jepun, Thailand, Filipina memberi ilham kepada saya dalam menghasilkan pelbagai variasi minuman aiskrim berasaskan susu dan kopi memandangkan minuman berkenaan menjadi ‘minuman jalanan’ di sana,” katanya.

    Wan Mohd Azizul Solehin berkata beliau memilih konsep kafe di Korea sebagai daya tarikan kepada pelanggan yang dibuka setiap hari bermula 12 tengah hari sehingga 9 malam. 

    “Antara minuman yang sering mendapat permintaan adalah Fantasy Glace, Starry Cheese, Biscoff Cheese, BubbleGum Marshmellow, Matcha Apple, Tutti Fruitti yang dijual dengan harga RM8 sehingga RM15,” katanya yang mampu meraih sehingga RM35,000 sebulan. 

    Seorang pelanggan, Ummi Syakirah Che Hazaha, 21, dari Kampung Binjai berkata beliau mengetahui kewujudan kafe berkenaan selepas melihat paparan mengenai tawaran minuman berkenaan di Instagram.

    “Saya teruja untuk mencuba minuman yang ditawarkan iaitu lebih 65 jenis variasi yang bagi saya ia sesuatu yang luar biasa dan rasanya ini satu-satunya kafe di Kelantan yang menawarkan tawaran sedemikian. Malah, minuman ini juga menjadi ‘instaworthy’ untuk dimuat naik di Instagram,” katanya.

  • Undi 18 : Kerajaan tidak buat rayuan

    Undi 18 : Kerajaan tidak buat rayuan

    KERAJAAN memutuskan untuk tidak membuat rayuan berkaitan keputusan Mahkamah Tinggi Kuching yang memutuskan Undi 18 dan pendaftaran pemilih secara automatik perlu dilaksanakan menjelang 31 Disember tahun ini.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, keputusan tersebut dipersetujui oleh Jemaah Menteri pada 10 September lalu.

    Justeru, beliau berkata Kerajaan Persekutuan akur dengan ketetapan yang telah dibuat oleh Mahkamah Tinggi tersebut.

    “Saya juga mendapati dari sudut perundangan tiada perbezaan pendirian pihak peguam negara dengan pihak mahkamah, hanya yang tinggal ialah memendekakan masa sebab dalam program awal SPR, ialah pelaksanaannya sehingga September 2022, tetapi hakim menaik taraf kepada mesti disiapkan pada 31 Disember 2021.

    “Saya telah berbincang dengan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sekarang ini patuh kepada arahan mahkamah. Saya maklumkan juga bahawa Jemaah Menteri pada 10 (September), kita telah memutuskan yang kita tidak membuat rayuan kepada keputusan hakim,” katanya di Dewan Rakyat, lapor Astro Awani.

    Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Gobind Singh Deo (DAP – Puchong) yang bertanya adakah kerajaan akan akur dengan keuputusan Mahkamah Tinggi Kuching, dan apakah langkah untuk memastikan ia berlaku?

    Pada 3 September lalu, Mahkamah Tinggi Kuching memerintahkan SPR dan kerajaan melaksanakan Undi18 menjelang 31 Disember tahun ini.

    Pesuruhjaya Kehakiman Alexander Siew How Wai membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman lima anak muda yang menggesa kerajaan melaksanakan segera pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan penurunan umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

  • Dua anggota polis antara 14 ditahan dalam parti liar

    Dua anggota polis antara 14 ditahan dalam parti liar

    DUA anggota polis berpangkat Lans Koperal dan Konstabel Sokongan antara 14 individu ditahan polis dipercayai menyertai parti liar di sebuah kondominium mewah di Changkat Raja Chulan, di sini, Sabtu lepas.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur ACP Sahar Abd Latif berkata tujuh lelaki dan tujuh wanita berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun  ditahan dalam operasi pada  9.30 malam itu juga positif dadah jenis ketamin.

    Beliau berkata hasil pemeriksaan polis turut menjumpai dadah jenis ketamin seberat kira-kira 5.56 gram dianggarkan bernilai RM834.

    “Hasil semakan lanjut identiti pengunjung mendapati dua lelaki yang ditahan adalah anggota polis berpangkat Lans Koperal dan Konstabel Sokongan dari Cawangan Tugas Am.

    “Penganjur parti liar itu adalah seorang lelaki berusia 39 tahun dan pengunjung dijemput hadir melalui panggilan telefon oleh penganjur di kondominium mewah yang disewa dengan harga RM220 sehari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sahar berkata semua pengunjung dikenakan kompaun sebanyak RM4,000 setiap seorang kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN).

    “Mereka turut disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 melibatkan Seksyen 12(2) dan 15(1)(a) kerana memiliki dadah,” katanya.

    Beliau berkata pihaknya memberi amaran keras kepada orang ramai agar tidak terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam aktiviti parti liar.

    “Pihak pengurusan hotel, servis apartment dan kondominium dimohon memberi kerjasama untuk menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti ini. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai aktiviti tidak bermoral ini boleh menyalurkannya dengan menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau menghubungi balai polis berdekatan,” katanya.

  • Desak siasatan terperinci pegawai kanan SPRM seleweng RM25 juta

    Desak siasatan terperinci pegawai kanan SPRM seleweng RM25 juta

    JAWATANKUASA  Khas Mengenai Rasuah (JKMR) dan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) mendesak siasatan terperinci dijalankan berhubung dakwaan pembabitan pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam aktiviti salah guna kuasa dan penyelewengan membabitkan wang tunai berjumlah lebih RM25 juta.

    Pengerusi JKMR Tan Sri Rais Yatim dan Pengerusi LPPR Tan Sri Abu Zahar Ujang senada bahawa pihak dalam dakwaan itu perlu dihadapkan ke muka pengadilan secepat mungkin agar keyakinan rakyat kepada SPRM kekal utuh.

    “Selaku badan yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong menerusi Seksyen 13 dan 14 Akta SPRM 2009 (Akta 694), JKMR dan LPPR melahirkan kebimbangan yang teramat sangat mengenai dakwaan itu,” kata mereka dalam kenyataan bersama selepas mengadakan pertemuan di Bangunan Parlimen di sini hari ini.

    Sebelum ini Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan dilaporkan berkata pihaknya mengambil maklum mengenai penularan berita di media sosial itu, yang mendakwa tiga pegawai kanan SPRM direman.

    Bagaimanapun Abdul Jalil berkata polis tidak menerima laporan berhubung dakwaan berlaku kecurian barang kes membabitkan wang tunai AS$6 juta (RM25 juta), milik seorang individu yang pernah disiasat.

    Sementara itu pertemuan sulung antara JKMR dan LPPR turut bersetuju perhatian serius berhubung beberapa situasi perlu diberikan, terutama melibatkan kes-kes rasuah yang mengambil masa terlalu lama untuk diputuskan Mahkamah Rayuan sehingga ada melebihi tempoh setahun.

    Menurut Rais dan Abu Zahar ia merupakan antara tugasan yang bakal diberi perhatian oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen agar kepercayaan orang ramai tidak luntur.

    “JKMR dan LPPR juga memandang serius isu penarikan balik kes-kes rasuah melibatkan individu tertentu sebelum perbicaraan bermula dan juga semasa perbicaraan sedang berlangsung kerana ia menjejaskan imej, kredibiliti serta integriti SPRM dan mahu penjelasan tegas diberikan pihak bertanggungjawab,” kata mereka.

    Sementara itu, JKMR dan LPPR juga sepakat menjalinkan kerjasama erat bagi menggerakkan usaha, pendekatan serta memberikan paradigma baharu dalam memerangi rasuah.

    Susulan itu, dua entiti berkenaan bersetuju memperhalusi cadangan untuk meletakkan hal ehwal anti rasuah di bawah Parlimen melalui Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Negara dan Dewan Rakyat.

  • Covid-19:Trend kematian kanak-kanak membimbangkan, 67 kes setakat semalam

    Covid-19:Trend kematian kanak-kanak membimbangkan, 67 kes setakat semalam

    TREND peningkatan kematian Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak di negara ini adalah membimbangkan apabila sebanyak 67 kematian dilaporkan tahun ini berbanding enam kematian tahun lalu.

    Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, angka kematian yang direkodkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah bagi kanak-kanak yang berumur antara 0 hingga 18 tahun bermula Januari sehingga semalam.

    Menurutnya, statistik juga menunjukkan trend peningkatan jangkitan Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak (0-18 tahun) di Malaysia adalah membimbangkan.

    “Oleh itu, KKM menyasarkan supaya 60 peratus daripada kanak-kanak dan remaja berusia 12 hingga 17 tahun mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin menjelang bulan November 2021 manakala 80 peratus daripada mereka yang layak divaksinasi mendapat dos lengkap sebelum sekolah dibuka pada sesi 2022.

    “Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) sudah memberi kelulusan bersyarat kepada semua kanak-kanak remaja yang telah mencapai umur 12 tahun dan ke atas untuk divaksinasi.

    “Sehubungan itu, ibu bapa dan penjaga dinasihatkan mendaftarkan anak-anak mereka yang layak menerusi institusi pendidikan masing-masing dan melalui aplikasi MySejahtera dengan kadar yang segera.

    “Institusi-institusi pendidikan, perlindungan, pemulihan dan tahanan dikehendaki mendaftar institusi masing-masing melalui portal vaksinanakku.herokuapp.com bagi membolehkan penjadualan vaksinasi dibuat untuk kanak-kanak yang berada di institusi masing-masing oleh Pejabat Kesihatan Daerah,” katanya di Facebook hari ini.

    Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, seperti ubat-ubatan lain, vaksin Covid-19 juga mempunyai kesan sampingan yang pada kebiasaannya adalah ringan dan pulih dalam masa yang singkat.

    Bagaimanapun katanya, KKM ingin menegaskan bahawa faedah mengambil vaksin Covid-19 ini adalah jauh lebih bermanfaat berbanding kemudaratan akibat jangkitan Covid-19 itu.

    “Ibu bapa perlu mengawasi gejala-gejala awal seperti sakit dada, kesukaran bernafas, dan jantung berdegup laju selepas anak menerima vaksin untuk segera mendapatkan penilaian kesihatan dan rawatan.

    “Pengawasan perlu dilakukan supaya kanak-kanak tidak melakukan aktiviti lasak dalam tempoh seminggu selepas vaksinasi.

    “Sekiranya ibu bapa dan penjaga terdapat sebarang pertanyaan tentang program vaksin Covid-19 ini, dinasihatkan untuk mendapatkan nasihat daripada pakar perubatan kanak-kanak atau pegawai perubatan yang bertauliah bagi mendapatkan maklumat lanjut,” katanya.

    Terdahulu, program ‘Kick-Off’ PICK Remaja dimulakan hari ini di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 8 (1) sebagai persediaan menjelang pembukaan sekolah.

  • Lelaki putus tangan kiri dilibas ‘pedang samurai’ jiran

    Lelaki putus tangan kiri dilibas ‘pedang samurai’ jiran

    SEORANG lelaki parah apabila tangan kirinya putus terkena libasan ‘pedang samurai’ oleh jirannya dalam pergaduhan di hadapan sebuah rumah di Kampung Kelubi Dalam, Jitra, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan, berkata jirannya turut cedera pada perut akibat terkena libasan parangnya, dalam kejadian jam 2.10 petang itu.

    “Polis percaya berlaku pertengkaran mulut sebelum itu, dan ekoran tidak berpuas hati mangsa (lelaki putus tangan) datang ke rumah suspek membawa sebilah parang.

    “Suspek (jiran) yang berang bertindak mengeluarkan sebilah ‘pedang samurai’ lalu melibas dan terkena tangan kiri mangsa sehingga putus,” katanya seperti dilapor Astro Awani.

    Beliau berkata, lelaki yang berusia 27 tahun itu kemudian dihantar ke Hospital Jitra oleh saksi yang berada di lokasi kejadian.

    Katanya, jirannya berusia 29 tahun yang cedera pada perut dihantar ke hospital sama oleh anggota Unit Anggota Peronda (MPV).

    Rodzi berkata, susulan kejadian polis merampas sebilah pedang samurai dan parang yang dipercayai digunakan dalam pergaduhan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.