Author: Wartawan WartaRakyat

  • ‘’Saya tak angkuh tapi akan cari siapa cabar saya’’ – Idris

    ‘’Saya tak angkuh tapi akan cari siapa cabar saya’’ – Idris

    DATUK Seri Idris Haron menyahut cabaran Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

    Idris yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Udang berkata, anak tempatan sepatutnya diberi peluang menjadi bagi menjadi wakil rakyat di DUN itu.

    “Saya tidak angkuh tapi yang pastinya saya akan mencari siapa yang mencabar saya, mungkin dia (Mohamad Ali) berminat di Sungai Udang. Mengapa tidak kita beri peluang anak tempatan untuk menjadi wakil rakyat Sungai Udang kali ni dan saya pula akan mencari di mana dia bertanding,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sebelum ini, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad dalam satu sidang media mencabar Idris untuk bertanding melawannya dalam PRN Melaka jika dilaksanakan.

    Jelas Mohamad Ali, cabaran itu dibuat bagi menentukan siapa pemimpin yang akan dipilih oleh rakyat jika kedua-dua mereka bertanding di kerusi DUN yang sama.

    Mengenai pemecatan daripada UMNO terhadap beliau  dan bekas ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan, beliau yang juga Ketua Menteri Melaka berkata, tindakan perlu diambil kepada pemimpin yang mengadakan perbincangan dengan parti pembangkang.

    “UMNO boleh mengambil tindakan kepada ahli yang melanggar tata etika parti, namun ia mestilah istiqamah, jangan ada hukuman terpilih. Pengerusi Perhubungan dan Timbalannya mengadakan perbincangan dengan DAP, kononnya nak menyelamatkan kerajaan yang hampir tumbang dengan pelbagai tawaran.

    “Sedangkan pada masa yang sama, tiada siapa dan tiada sebarang panggilan untuk saya dan YB Azman, sehingga YB Azman terlantar sakit pun tidak diberi perhatian.

    “Bagaimana dengan dasar parti UMNO yang mengatakan ‘No DAP, No Anwar’? Saya yakin mereka akan selamat dari sebarang tindakan, hak untuk didengar dan natural justice tidak dihayati nampaknya,” tegas beliau lagi.

    Idris  turut memaklumkan beliau telah dihubungi ramai pemimpin termasuk Pakatan Harapan (PH). 

    Katanya, jika PH memilih beliau menduduki kerusi Ketua Menteri, ia mungkin disebabkan menepati kualiti yang diharapkan gabungan parti itu.

    “Saya masih bebas setelah dipecat UMNO, PH adalah satu opsyen, dan ramai pemimpin parti menghubungi saya bertanya khabar dan berita. Sama-samalah kita tunggu, biarlah kemelut ini selesai dahulu.

    “Menduduki kerusi Ketua Menteri ini bukannya seperti tukar pakaian, oleh kerana gabungan baharu ini mempunyai latar belakang yang berkepelbagaian dan kebolehan iktisas.

    “Ia tidak mudah, namun jika mereka (PH) memilih saya, ia mungkin kerana menepati standard kualiti yang diharapkan oleh mereka, bukan dengan hanya ditunjuk-tunjuk dan menjadi budak suruhan,” katanya.

  • Polis siasat pemalsuan dokumen urusan pertukaran wang asing guna nama TMJ

    Polis siasat pemalsuan dokumen urusan pertukaran wang asing guna nama TMJ

    POLIS Johor melakukan siasatan berhubung kes pemalsuan dokumen surat aku janji bagi menjalankan urusan pertukaran mata wang asing yang dipercayai palsu dan melibatkan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

    Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata siasatan dijalankan susulan polis menerima laporan berhubung dokumen berkenaan daripada Ketua Unit Media, Pejabat Komunikasi Keluarga Diraja Johor pada 7 malam, semalam.

    Katanya, dokumen itu didapati telah dikeluarkan dan ditandatangani oleh seorang wanita tempatan yang bergelar Datuk Seri.

    “Wanita terbabit mendakwa menerima mandat daripada Tunku Ismail untuk menjalankan urusan pertukaran mata wang 200 bilion sehingga 5 trilion Dolar Amerika Syarikat kepada Ringgit Malaysia.

    “Urusan tersebut didapati turut melibatkan satu akaun bank atas nama seorang lelaki,” katanya menerusi kenyataan, di Johor Bharu hari ini. 

    Ayob Khan berkata hasil siasatan menerusi laman web www.istiadat.gov.my mendapati, wanita terbabit tidak berdaftar sebagai Datuk Seri dan merupakan individu yang disyaki terlibat dalam kes penipuan Draf Bank Of Tokyo pada 2011.

    Menurutnya, selain wanita terbabit, kes dipercayai turut melibatkan seorang lelaki tempatan iaitu seorang peguam yang merupakan proksi berkaitan dokumen berkenaan.

    Ayob Khan menjelaskan siasatan bagi mengesan individu yang terlibat sedang giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

    Beliau pada masa sama menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan mana-mana individu yang kononnya mempunyai hubungan baik dengan pihak istana Diraja Johor tanpa usul periksa bagi mengelakkan sebarang penipuan.

    — BERNAMA 

  • Ungkapan ‘No Way’ Zahid boleh undang ‘malapetaka’ politik kepada UMNO- pensyarah

    Ungkapan ‘No Way’ Zahid boleh undang ‘malapetaka’ politik kepada UMNO- pensyarah

    SEORANG pensyarah universiti menyifatkan ungkapan ‘No Way’ oleh Presidan UMNO Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi berhubung kerjasama dengan Bersatu jika Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diadakan sebagai  ‘keangkuhan politik’.

    Justeru Pensyarah Kanan Universiti Malaya (UM), Dr.Mohammad Tawfik Yaakub berkata, tindakan Ahmad Zahid itu boleh mengundang ‘malapetaka’ politik bukan sahaja kepada orang Melayu di Melaka tetapi juga kepada parti-parti Melayu yang akan bertanding di negeri tersebut termasuklah Bersatu dan UMNO itu sendiri.

    ‘’Dalam konteks Melaka saya melihat ia adalah salah satu kesilapan strategi permulaan kepada UMNO khususnya UMNO pusat kerana sombong terhadap apa yang hendak dilakukan. Sedangkan orang Melayu khususnya di Melaka dan pengundi-pengundi bukan Melayu juga, mereka semakin menjauhkan diri daripada terlibat dan minat politik mereka semakin kurang.

    ‘’Tetapi apabila ada tindakan- yang sombong yang tidak tepat dari segi strategi  politik, saya lihat ini akan meruntuhkan  sendiri kepemimpinan Ahmad Zahid di peringkat persekutuan dan kekalutan ini akan membuatkan politik semakin kusut dan menyukarkan pertembungan dan kerjasama yang akan berlaku di Melaka,’’ katanya

    Beliau berkata demikian kepada  Astro Awani semalam ketika diminta mengulas pergolakan politik di Melaka.

    Dr.Mohammad Tawfik menegaskan, kalau betul-betul mahu membantu rakyat Melaka dan melihat ada satu kesinambungan kepada kebajikan rakyat negeri itu, pemimpin mesti berjiwa besar dan terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti.

    ‘’ Apa yang dinyatakan oleh Ahmad Zahid sebelum ini terdapat pengkhianat dalam Bersatu sehingga tidak boleh bekerjasama. Dalam Bersatu itu bukannya semua melompat daripada UMNO, ada yang dipecat daripada UMNO.

    ‘’Maka kesimpulan kesimpulan Ahmad Zahid itu saya lihat tidak sampai ke tahap yang tepat dan betul dalam menyimpulkan kerjasama yang sepatutnya boleh diketengahkan, boleh diperbaiki dengan perdamaian politik, jangan kita fikirkan kepentingan politik peribadi. Inilah masanya kita fikirkan bagaimana mahu membantu rakyat khususnya di Melaka,’’ katanya.

    Beliau berkata, strategi politik mestilah disesuaikan dengan keadaan dan perkembangan politik semasa.

    ‘’(Tetapi) kalau kita terus memegang prinsip bahawa tidak akan ada kerjasama politik dengan mana-mana parti politik lain yang boleh memberi keuntungan kepada parti kita, saya lihat ini akan mengundang malapetaka politik kepada UMNO,’’ katanya.

    Menjawab satu soalan,  Dr. Mohammad Tawfik berpendapat, Pas perlu melihat kembali kedudukan mereka dalam Muafakat Nasional (MN) dengan sikap sombong kepimpinan UMNO.

    Hujah beliau, Pas perlu memainkan peranan yang lebih berkesan selaku antara parti utama dan mempunyai keahlian yang ramai dalam menyelesaikan kemelut yang melanda kerjasama tiga parti orang Melayu itu.

    “Jika keadaan ini berlaku, Pas selaku anggota MN dan juga antara parti yang mempunyai keahlian yang ramai perlu memikirkan semula kedudukan mereka dalam MN.

    “Kerana dalam politik ini jika tidak menguntungkan mana-mana parti politik dalam gabungan maka perlu buat keputusan segera dan drastik untuk survival parti politik dalam gabungan,” katanya lagi.

    Beliau menjelaskan keputusan segera dan drastik perlu dibuat bukan hanya untuk menghadapi PRN Melaka tetapi juga PRU-15.

    ‘’UMNO pula perlu juga membuat perubahan segera untuk memastikan dapat meyakinkan pengundi dalam pilihan raya itu nanti,’’ katanya.

  • Kurang satu peratus untuk capai 90 peratus vaksinasi populasi dewasa

    Kurang satu peratus untuk capai 90 peratus vaksinasi populasi dewasa

    SEBANYAK 20,856,337 atau 89.1 peratus daripada populasi dewasa di negara ini sudah lengkap menerima dos vaksinasi COVID-19 setakat malam tadi.

    Peningkatan sebanyak 0.3 peratus kadar vaksinasi lengkap bagi dewasa berbanding sehari sebelum itu (6 Okt) 88.8 peratus menjadikan sasaran untuk mencapai 90 peratus kadar vaksinasi di negara ini kini berbaki 0.9 peratus.

    Berdasarkan data Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi portal COVIDNOW, 94.6 peratus atau 22,153,302 individu bagi populasi dewasa telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

    Selain itu, sejumlah 196,647 dos suntikan vaksin diberikan semalam (7 Okt) bagi golongan dewasa melibatkan 108,092 individu bagi suntikan dos pertama dan 88,555 individu bagi suntikan lengkap menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) meningkat kepada 45,204,479.

    Setakat semalam, sebanyak 147,938 atau 4.7 peratus individu bagi golongan remaja berusia 12 hingga 17 tahun sudah melengkapkan suntikan vaksin manakala 68.5 peratus atau 2,156,346 individu telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

    Pada 22 Sept lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata aktiviti merentas negeri akan dibenarkan apabila 90 peratus golongan dewasa telah melengkapkan vaksinasi COVID-19 mereka.

  • Sultan Johor murka tekong bot bawa pelancong ‘lalok’ dadah

    Sultan Johor murka tekong bot bawa pelancong ‘lalok’ dadah

    SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar murka dengan kejadian pengemudi bot yang membawa bot secara berbahaya di bawah pengaruh dadah.

    “Saya rasa kesal dengan kejadian yang berlaku betul-betul di depan mata saya.

    “Saya lihat mereka bawa bot penumpang dengan laju dan berbahaya dekat jeti Pulau Rawa. Saya arahkan pihak polis menahan bot tersebut yang dalamnya ada membawa satu keluarga dengan anak-anak kecil untuk aktiviti ‘island hopping’,” titah baginda dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Ketua Polis Daerah Mersing, Supt Cyril Edward Nuing, hasil ujian air kencing mendapati kedua-dua pengemudi bot berkenaan positif dadah jenis meth.

    Baginda turut mengarahkan semua agensi penguatkuasaan untuk meningkatkan rondaan dan mengambil tindakan tegas.

    “Setelah pihak polis buat penahanan dan siasatan lanjut, jelaslah tindakan mereka memandu bot dengan tidak tentu arah kerana kesan pengaruh dadah.

    “Ambillah tindakan tegas termasuk membatalkan lesen pemandu dan rampas bot yang tidak mengikut peraturan.

    “Perkara seperti ini sangat memalukan industri pelancongan Negeri Johor. Saya harap perkara sebegini tidak berulang lagi,” titah baginda.

  • Ambil ujian saringan COVID-19 sebelum masuk Terengganu

    Ambil ujian saringan COVID-19 sebelum masuk Terengganu

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    ORANG ramai yang ingin berkunjung ke Terengganu akan dikenakan syarat khusus, iaitu diminta terlebih dàhulu mengambil ujian saringan Covid-19.

    Ia penting bagi memastikan setiap individu ke negeri ini itu tidak menjadi ejen jangkitan Covid-19 sekaligus mengelak berlakunya penularan wabak tersebut.

    Begitulah penegasan dibuat oleh kerajaan negeri Terengganu sebaik sahaja kebenaran rentas negeri diumumkan dalam tempoh terdekat ini.

    Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak, syarat itu dibuat ekoran berlakunya peningkatan kes Covid-19 membabitkan varian Delta dan Beta di Terengganu.

    Malah katanya, kemunculan sebanyak 42 kes varian ganas itu yang direkodkan sejak Jun hingga Selasa lalu dilihat sebagai amat membimbangkan.

    DR ALIAS RAZAK

    Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan mengamalkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat berikutan penularan varian membimbangkan (VOC) ini.

    “Orang ramai yang bercadang ke Terengganu boleh mendapatkan ujian saringan sama ada di klinik kesihatan kerajaan atau klinik swasta sebelum memulakan perjalanan.

    “Selain itu, mereka juga boleh melakukan ujian saringan dengan membeli kit ujian kendiri di farmasi berhampiran tempat tinggal masing-masing,” katanya kepada media di Kuala Terengganu, hari ini.

    Menurut Dr Alias, perkara itu tidak menimbulkan masalah memandangkan harga kit ujian kendiri kini adalah murah dan mudah didapati di kebanyakan farmasi sekarang ini.

    Beliau berkata lagi, sekiranya keputusan ujian didapati positif, individu terbabit dinasihatkan supaya terlebih dahulu menangguhkan perjalanan mereka ke negeri ini.

    “Ia penting bagi mengelakkan mereka bakal menjadi ejen pembawa kepada wabak Covid-19 sekaligus akan menyusahkan orang lain termasuk ibu, bapa dan keluarga,” jelas beliau.

  • Pengasuh ditahan bantu siasatan kes dera dua beradik

    Pengasuh ditahan bantu siasatan kes dera dua beradik

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    POLIS menahan sepasang suami isteri bagi membantu siasatan berhubung kes penderaan melibatkan dua beradik berusia enam dan 11 tahun di Taman Selesa Jaya, Skudai baru-baru ini.

    Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, kedua-dua mereka yang ditahan itu merupakan pengasuh kepada dua beradik berkenaan.

    “Kedua-dua suspek yang berusia 24 dan 32 tahun itu dikenakan tahanan reman bermula hari ini sehingga 12 Oktober bagi membantu siasatan.

    “Sementara dua daripada tiga individu yang ditahan polis sebelum ini telah didakwa di Mahkamah Sesyen di Johor Bahru semalam iaitu B. Mariamah, 60, dan anak perempuannya, R. Deeba, 37.

    “Mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya, hari ini.

    Semalam, dua beradik itu dilaporkan didera dengan cara dipukul dengan rotan getah paip, disimbah dengan air panas selain dicucuh dengan puntung rokok dipercayai perbuatan pengasuh mereka.

    Kes penderaan kedua-dua beradik tersebut menjadi perhatian orang ramai selepas tular dalam media sosial.

    Dzulkhairi berkata, kedua-dua suspek yang ditahan itu tidak bekerja dan kemudian dikenakan jaminan RM15,000 masing-masing, namun kerana gagal membayar, mereka ditahan dalam lokap di sini.

    Katanya, mahkamah kemudian menetapkan tarikh 24 November ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

    “Seorang lagi individu yang ditahan sebelum ini iaitu teman lelaki Deeba yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dibebaskan dengan bon jaminan serta akan menjadi saksi pendakwaan,” katanya.

    Sementara itu, beliau memberitahu, kedua-dua beradik mangsa dera itu kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru dan akan dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

    Ibu kepada kanak-kanak tersebut, M. Vikneswari, 30, sebelum ini memberitahu, dia yang sudah kematian suami meninggalkan anaknya dalam jagaan pengasuh itu yang dikenali melalui seorang kenalannya.

    Dia dilaporkan berkata, anak-anaknya ditinggalkan bersama pengasuh berkenaan sejak April lalu dengan upah RM800 sebulan.

    “Sejak April lalu saya hanya bertemu dengan anak-anak sebanyak tiga kali sahaja kerana sibuk bekerja selain pengasuh memberi pelbagai alasan untuk menghalang saya bertemu mereka termasuk dikenakan kuarantin,” katanya.

  • PRN Melaka: UMNO tentukan kerjasama dengan Bersatu, Pas 14 Oktober

    PRN Melaka: UMNO tentukan kerjasama dengan Bersatu, Pas 14 Oktober

    MAJLIS Kerja Tertinggi (MKT) UMNO akan membuat keputusan 14 Oktober ini sama ada akan meneruskan atau tidak kerjasama dengan Bersatu dan Pas jika Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diadakan.

    Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, MT akan mengadakan mesyuaratnya pada hari tersebut dan notis telahpun diberikan kepada ahli-ahli MKT.

    “Saya rasa tentunya akan dibincangkan perkara itu (kerjasama parti). Ini mesyuarat bulanan yang dipercepatkan, untuk kita muktamadkan apa-apa perkara,”katanya kepada pemberita di Parlimen, hari ini.

    Pada Isnin, Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan susulan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang hilang majoriti sokongan akibat tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada blok kerajaan, menarik sokongan terhadap kepemimpinannya.

    Mengikut Perlembagaan, PRN perlu dilaksanakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran DUN.

    Sementara itu, Ahmad Maslan tidak menolak kemungkinan akan mengesyorkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob agar menasihat Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat bagi menangguh pelaksanaan PRN Melaka.

    Bagaimanapun beliau berkata, beliau yakin perkara itu akan dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet pada Jumaat.

    “Itu tentu tanggungjawab Perdana Menteri, terpulanglah kepada beliau. Esok (Jumaat) ada mesyuarat Kabinet, mungkin perkara itu akan dikemukakan.

    “Tunggulah keputusan dari semasa ke semasa, saya jangka, perkara yang agak besar ini tentu akan diputuskan dalam mesyuarat Kabinet,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada UMNO akan mencadangkan Perdana Menteri berhubung pengisytiharan darurat di Melaka berikutan terdapat kebimbangan penularan jangkitan COVID-19, seperti yang berlaku pada PRN Sabah sebelum ini.

  • 9,890 kes baharu, meningkat sedikit hari ini

    9,890 kes baharu, meningkat sedikit hari ini

    JUMLAH kes baharu COVID-19 di Malaysia hari ini bertambah sedikit dengan mencatatkan sebanyak 9,890 kes.

    Sebagai perbandingan, sebanyak 9,380 kes baharu direkodkan semalam.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam hantaran Facebook hari ini berkata, perkembangan terbaharu itu menjadikan kumulatif kes kini 2,313,727.

    Menurut beliau, Sarawak kekal sebagai negeri tertinggi dengan sebanyak 1,413 kes diikuti Selangor (1,402), Kelantan (1,032), Johor (993), Sabah (820), Perak (794), Pulau Pinang (721) dan Terengganu (699).

    Pahang pula mencatatkan 564 kes, Kedah (503), Melaka (260), Kuala Lumpur (250), Perlis (200), Negeri Sembilan (180), Putrajaya (59) manakala tiada kes di Labuan.

    Sementara itu, Dr Noor Hisham memberitahu, penggunaan katil COVID-19 setakat 5 petang semalam ialah 55 peratus bagi katil unit rawatan rapi (ICU) dan 50 peratus katil bukan ICU.

  • Kru bot positif dadah bawa penumpang secara bahaya

    Kru bot positif dadah bawa penumpang secara bahaya

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    DUA lelaki yang bekerja sebagai tekong dan awak-awak sebuah bot penumpang ditahan polis selepas mereka disyaki positif dadah ketika membawa penumpang di sekitar perairan Mersing di Johor, semalam.

    Kedua-dua suspek terbabit yang berusia 22 dan 26 tahun itu ditahan pada pukul 10 pagi ketika mereka membawa penumpang secara berbahaya berhampiran Pulau Rawa.

    Menurut Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edrward Nuing, polis menahan sebuah bot pelancong jenis gentian kaca yang berukuran 26 kaki panjang dan enam kaki lebar.

    “Bot yang ditahan sedang membawa lima orang penumpang dan dikendalikan dengan cara berbahaya.

    “Hasil saringan awal mendapati kedua-duanya didapati positif dadah jenis meth,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

    Beliau menambah, bot yang dirampas diserah kepada Jabatan Laut Mersing untuk siasatan lanjut, manakala suspek direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

    Cyril berkata lagi, pengusaha bot dinasihatkan sentiasa menjaga keselamatan penumpang dan mematuhi segala peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa.

    “Pada musim peralihan monsun timur laut dan sepanjang musim monsun yang akan melanda pantai timur semenanjung termasuk perairan Mersing, dinasihatkan kepada pengendali bot-bot kecil dan nelayan-nelayan persisiran pantai dan pelancong supaya lebih berhati-hati semasa menjalankan aktiviti di laut,” katanya.