Author: Wartawan WartaRakyat

  • ‘’Panggil la saya dajjal atau apa saja…saya harus tegas’’ –  Khairy

    ‘’Panggil la saya dajjal atau apa saja…saya harus tegas’’ – Khairy

    MENTERI  Kesihatan, Khairy Jamaluddin membidas Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa kerajaan menggunakan pendekatan mengugut golongan antivaksin dengan undang-undang.

    Katanya, beliau perlu bertegas mengenai isu antivaksin sehingga sanggup digelar “dajjal”.

    “Panggillah saya dajjal atau apa saja. Maaf saya harus bertegas dengan isu ini,” katanya di Twitter dengan yang menyiarkan keratan video Anwar, lapor FMT

    Dalam pada itu, Khairy berkata, kerajaan akan terus memberi penerangan mengenai keberkesanan vaksin Covid-19.

    Beliau menafikan kerajaan tidak cukup memberi penerangan mengenai vaksin.

    “Nak kata kerajaan tidak cukup bagi penerangan tentang vaksin tidak betul. Kita dah kemukakan segala bukti saintifik tentang keberkesanan vaksin Covid-19 dari awal lagi dan kita terus memberi penerangan,” katanya.

    Dalam keratan video yang turut dikongsi Khairy, Anwar berkata, walaupun tidak menyokong antivaksin tetapi percaya mereka yang tidak mahu menerima vaksin juga mempunyai hujah yang kuat.

    “Jadi kita jawab dengan hujah. Kadang-kadang mereka pun ada hujah yang kuat juga. Mereka bagi hujah saintifik. Kita bawa hujah saintifik yang lebih ‘credible’ dan lebih kuat untuk mematahkan hujahnya,” katanya.

    Pada Jumaat lalu, Khairy berkata, Kementerian Kesihatan telah membuat beberapa laporan polis terhadap kumpulan antivaksin di negara ini dan berharap tindakan pantas dapat dilakukan seperti menyiasat dan mendakwa mereka jika perlu.

  • PRN Melaka : Penamaan calon 8 November, Pengundian 20 November – SPR

    PRN Melaka : Penamaan calon 8 November, Pengundian 20 November – SPR

    SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan tarikh penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka adalah pada 8 November manakala tarikh mengundi pula pada 20 November depan.

    Perkara itu dimaklumkan Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh dalam sidang media yang disiarkan secara langsung oleh Astro Awanii.

     “Tarikh-tarikh PRN DUN Melaka ke-15 seperti berikut, tarikh writ pilihan raya pada 18 Oktober (Isnin), tarikh penamaan calon pada 8 November (Isnin), tarikh mengundi awal pada 16 November (Selasa), tarikh mengundi pula pada 20 November 2021 (Sabtu),” katanya.

    Beliau berkata, sebanyak 28 pengurus pilihan raya dilantik dibantu 80 Penolong Pegawai Pengurus.

    Manakala bagi pemantauan pula SPR telah menubuhkan 28 pasukan petugas kempen pilihan raya yang diwakili Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pihak Berkuasa Tempatan dan wakil-wakil calon bertanding.

    “Pengunaan daftar pemilih terkini sehingga 3 Oktober 2021 melibatkan 495,196 orang pengundi.

    “SPR menyasarkan 70 peratus pengundi keluar mengundi. SPR memohon kerjasama semua pihak parti politik dan media dalam mengalakkan pengundi keluar mengundi,” katanya lagi.

    Pada masa sama tambah Abdul Ghani, garis panduan pencegahan COVID-19 yang akan digunakan sepanjang PRN itu berpandukan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan pada 4 Oktober lalu selepas dipersetujui Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam.

    Ia susulan empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan daripada kerajaan Negeri Melaka di bawah pentadbiran Ketua Menterinya, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

  • Buktikan Bersatu jaga kepentingan pelbagai kaum – Mahathir

    Buktikan Bersatu jaga kepentingan pelbagai kaum – Mahathir

    PILIHAN Raya Negeri (PRN) Melaka merupakan platform bagi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membuktikan bahawa ia adalah sebuah parti yang menjaga kepentingan rakyat pelbagai kaum.

    Ketua Bersatu Bahagian Segambut, Mahathir Mohd Rais berkata, pemimpin Bersatu juga perlu menyedari hakikat bahawa mereka kini bukan hanya perlu menjaga kepentingan dan mewakili orang Melayu sahaja malah kebajikan masyarakat pelbagai kaum yang menjadi asas kekuatan politik negara.

    “Ini adalah masa sesuai bagi semua pemimpin supaya tidak hanya fokus kepada hanya satu kaum tertentu sahaja sebaliknya mereka perlu fokus kepada usaha menjaga kepentingan semua kaum sebagai asas kekuatan parti politik masing-masing.

    “Ini penting kerana jatuh dan bangunnya serta kekuatan sesebuah kerajaan bergantung kepada sokongan dari peringkat akar umbi,” katanya seperti dilaporkan PNBBC Portal hari ini.

    Bersatu kaum Mahathir Mohd Rais
    MAHATHIR MOHD RAIS

    Beliau menambah, Bersatu juga tidak boleh lagi bersembunyi di sebalik perancangan yang nampak sempurna di atas kertas namun hakikat sebenarnya adalah berbeza.

    Mahathir memberitahu, semua pemimpin Bersatu perlu melihat dan mengkaji realiti politik semasa serta mengambil kira pandangan akar umbi parti sebelum membuat sebarang keputusan muktamad.

    Katanya lagi, pemimpin politik juga harus ingat bahawa jatuh bangun mereka adalah bergantung kepada kehendak akar umbi.

    Malah, Mahathir berkata, sejarah sudah membuktikan bahawa keakraban hubungan rapat antara pemimpin dan akar umbi membolehkan Barisan Nasional (BN) kekal memerintah selama lebih 60 tahun.

    Dalam perkembangan sama, beliau mencadangkan agar Bersatu memberi lebih banyak ruang kepada golongan muda untuk memainkan peranan penting dalam PRN Melaka dan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

  • Kos minimum umrah ditetapkan sebanyak RM6,900

    Kos minimum umrah ditetapkan sebanyak RM6,900

    HARGA  lantai baharu bagi mengerjakan ibadah umrah untuk 12 hari 10 malam kini ditetapkan sebanyak RM6,900.

    Kenaikan itu menandangkan terdapat peningkatan kos susulan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP), sama ada di pihak Arab Saudi atau kerajaan Malaysia.

    Perkara itu diumumkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi satu kenyataan hari ini.

    Kali terakhir penetapan harga lantai atau kos minimum dibuat ialah pada 2016, iaitu pada paras harga RM4,900.

    “Antara faktor-faktor yang mempengaruhi peningkatan kos adalah bilangan kapasiti di dalam bilik penginapan di Arab Saudi, kapasiti pergerakan pengangkutan yang membenarkan 50 peratus dari jumlah kapasiti sebenar dan pengurusan mutawif serta ujian swab COVID-19.

    “Harga lantai akan disemak semula apabila wabak COVID-19 diisytiharkan berakhir dan keadaan sudah kembali normal, yang mana kekangan SOP tidak lagi dilaksanakan oleh pihak kerajaan Malaysia dan Arab Saudi,” menurut MOTAC dalam kenyataan tersebut.

    Menurut MOTAC, harga itu juga merupakan panduan bagi pihak kementerian dalam melaksanakan pemantauan terhadap industri umrah.

    Ia juga boleh dijadikan panduan oleh orang ramai dalam membuat pertimbangan bagi memilih syarikat mana yang sesuai dengan bajet mereka.

    “Orang ramai perlu mengambil langkah berhati-hati jika didapati harga yang ditawarkan terlalu rendah atau terlalu tinggi daripada yang telah ditetapkan bagi mengelak kes-kes penipuan pakej umrah,” kata MOTAC.

    Justeru, orang ramai boleh menghubungi pejabat MOTAC negeri atau melayari laman web rasmi MOTAC bagi mengenal pasti syarikat-syarikat yang telah dilesenkan.

  • Pelan pembangunan pelancongan Johor mesti sistematik – Sultan Johor

    Pelan pembangunan pelancongan Johor mesti sistematik – Sultan Johor

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya perlu merangka satu pelan pembangunan pelancongan negeri Johor yang sistematik untuk tempoh jangka masa panjang bagi menarik lebih ramai pelancong.

    Saranan itu dizahirkan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang bertitah, Johor merupakan antara destinasi pelancongan popular dalam kalangan pelancong dari dalam dan luar negara.

    Titah baginda, setiap daerah di Johor mempunyai tarikan pelancongan yang tersendiri, termasuk keindahan pulau-pulau di Mersing.

    “Terdapat banyak lokasi menarik di Johor yang boleh dikunjungi pelancong dan pada masa sama, kementerian perlu memastikan setiap polisi dan insentif yang ditetapkan adalah konsisten bagi menarik lebih ramai pelabur serta pelancong.

    “Saya menyentuh dan membincangkan pelbagai perkara bersama Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Dr. Santhara Kumar antaranya berkaitan sektor pelancongan negara dan Johor,” titah baginda dalam laman Facebook Sultan Johor hari ini.

    Pertemuan antara Sultan Ibrahim dan Santhara Kumar itu diadakan di Pejabat Mados, Istana Bukit Pelangi di Johor Bahru.

    Baginda bertitah, antara yang turut dibincangkan dengan Ahli Parlimen Segamat itu adalah Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) yang berpotensi menarik kedatangan lebih banyak pelancong ke negara ini.

    “Pelan pembangunan itu juga penting bagi merancakkan semula sektor pelancongan di setiap daerah serta mempromosikan produk-produk keluaran tempatan,” titah baginda lagi.

    Johor kini mula dikunjungi pelancong dari luar negeri ke destinasi-destinasi menarik sejak kelmarin selepas kebenaran rentas negeri diberikan oleh kerajaan pada Isnin lalu.

    Cuti hujung minggu pertama selepas tiada lagi sekatan pergerakan antara negeri itu merancakkan kembali aktiviti pelancongan negeri itu yang sekian lama berdepan kesukaran ekoran pandemik Covid-19.

  • Tiada lagi penjarakan sosial ketika solat di Masjidilharam, Masjid Nabawi

    Tiada lagi penjarakan sosial ketika solat di Masjidilharam, Masjid Nabawi

    SELEPAS lebih setahun pelbagai peraturan diperketatkan termasuk dari segi jumlah jemaah dan penjarakan sosial berikutan pandemik Covid-19, hari ini sejarah tercatat apabila Masjidilharam dan Masjid Nabawi kembali seperti biasa.

    Sejak malam tadi pekerja-pekerja dua masjid itu itu bertungkus lumus membuat persediaan memindahkan halangan di sekitar Kaabah dan menanggalkan pelekat penjarakkan sosial memandangkan jumlah jemaah kini dibenarkan mengikut kapasiti penuh.

    Siaran secara langsung solat Subuh melalui saluran Haramain di Mekah dan Madinah menarik perhatian umat Islam di seluruh dunia. Dalam media-media sosial seperti Facebook dan Twitter jutaan umat Islam melahirkan kesyukuran.

    Turut mendapat perhatian ialah pemberian air zam-zam kepada jemaah yang kembali dilakukan di sekitar Kaabah.

    Bagaimanapun kawalan keselamatan dan pemantauan ketat tetap dilakukan oleh pihak berkuasa Arab Saudi.

    Ia termasuklah melakukan pemeriksaan mengejut ke atas jemaah bagi memeriksa status vaksinasi mereka (lengkap dua dos) dan bukti telah melakukan tempahan untuk menunaikan umrah serta solat.

    Berikut gambar-gambar di Masjidilharam awal pagi ini:

    Pemeriksaan status vaksinasi jemaah oleh pihak keselamatan Masjidharam
    Pekerja memindahkan halangan.
    Seorang petugas memberikan air zam-zam kepada jemaah.
    Seorang petugas menanggalkan pelekat.
  • PRN Melaka, Sarawak tidak mungkin buat serentak

    PRN Melaka, Sarawak tidak mungkin buat serentak

    DESAS-DESUS berhubung kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Sarawak diadakan secara serentak adalah tidak benar.

    Spekulasi tersebut dinafikan oleh Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

    Beliau yang Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander memberitahu, kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sarawak telah menyerahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menentukan tarikh PRN.

    “Saya rasa tidak ada keputusan mengatakan pilihan raya Sarawak akan diadakan bersama dengan pilihan raya Melaka.

    “Bagi Melaka, kami (Kabinet) akan menyerahkannya kepada SPR untuk memutuskan. Kerajaan negeri (Sarawak) juga menyerahkan kepada SPR untuk membuat panggilan.

    “Ini (pilihan raya serentak) mungkin berlangsung jika SPR menganggapnya bagus untuk mengadakannya, tetapi kami tidak berada dalam kedudukan untuk mengatakan demikian.

    “Perkara ini untuk SPR memutuskan apakah ia bersedia untuk melakukannya,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini, hari ini.

    PRN Melaka mesti diadakan dalam masa 60 hari selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan pada 4 Oktober lalu.

    SPR dijangka mengumumkan tarikh PRN Melaka selepas mesyuarat esok.

    Bagi Sarawak pula, perintah Darurat masih berkuat kuasa sehingga 2 Februari 2021, sekali gus membayangkan tiada PRN di negeri itu dalam masa terdekat.

    Alexander menambah, GPS secara umum berpandangan bahawa PRN Sarawak perlu diadakan segera sebelum musim tengkujuh hujung tahun ini.

    Selain itu, katanya, jumlah kes COVID-19 di Sarawak berkurangan manakala kadar vaksinasi sudah melebihi 80 peratus.

    “Untuk rekod, Sarawak negari paling awal yang menerima vaksinasi dan kami tidak ingin terjebak dalam situasi keberkesanan vaksin yang semakin lama semakin berkurangan,” jelas Ahli Parlimen Kapit itu.

    Alexander menambah, mereka tidak pasti jika akan berlaku lonjakan COVID-19 sekali lagi pada awal tahun depan tetapi mereka berharap situasi itu tidak berlaku.

  • Imigresen tahan 16 wanita warga asing dalam dua serbuan di KL

    Imigresen tahan 16 wanita warga asing dalam dua serbuan di KL

    SERAMAI 16 wanita warga asing ditahan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam serbuan di dua buah premis pusat hiburan yang berselindung di sebalik pusat mencuci kenderaan dan menyediakan pelayan pelanggan (GRO) di Kepong, Kuala Lumpur, kelmarin.

    Ketua Pengarah Datuk Khairula Dzaimee Daud berkata,  pintu masuk utama ke premis ini tidak mempunyai papan tanda dan hanya dibuka separuh sahaja untuk pelanggan-pelanggan tetap.

    ‘’Manakala di satu lot lagi menggunakan papan tanda Pusat Mencuci Kenderaan bagi tujuan mengaburi pihak berkuasa. Hasil pemantauan, premis tersebut dilihat seperti tiada sebarang aktiviti perniagaan dan kurang dikunjungi,’’ katanya dalam kenyataan.

    Beliau berkata serbuan dilakukan ke atas rumah kedai dua tingkat itu pada pukul 9.30 malam dengan kekuatan 20 pegawai Imigresen.

    ‘’Semasa serbuan dilakukan, wanita-wanita warga asing dan pelanggan cuba untuk melarikan diri tetapi digagalkan apabila kesemua jalan keluar dari premis tersebut telah dikepung oleh anggota serbuan.

    ‘’Modus operandi sindiket ini adalah dengan menggunakan aplikasi whatsApp / telegram bagi memancing pelanggan ke premis terbabit,’’ katanya.

    Dalam serbuan itu, kata beliau seramai 16 orang wanita warga asing yang berumur antara 22 hingga 35 tahun berjaya ditahan.

    ‘’Mereka terdiri daripada 13 wanita warga Vietnam dan tiga wanita warga Thailand.  Dua lelaki tempatan yang merupakan pekerja premis dan 5 lelaki tempatan yang merupakan pelanggan di premis tersebut dikenakan notis untuk hadir memberi keterangan,’’ katanya.

    Beliau berkata, antara kesalahan yang dikenalpasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen. 

    ‘’Kesemua tahanan akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Semenyih, Selangor untuk siasatan mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,’’ katanya.

  • ’’Kami akan susahkan hidup anda’’ – Amaran KJ kepada golongan antivaksin

    ’’Kami akan susahkan hidup anda’’ – Amaran KJ kepada golongan antivaksin

    “PENDEKATAN kita adalah, maaf cakap, kita akan buat hidup anda susah kerana anda tidak divaksin kerana anda memilih untuk enggan divaksin.”

    Demikian peringatan tegas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin khusus buat golongan antivaksin yang masih berdegil, enggan menerima vaksin COVID-19.

    Menurut beliau, kerajaan juga sedang mempertimbangkan untuk mewajibkan saringan secara mingguan kepada mereka dan kosnya perlu sendiri ditanggung, bukan melalui dana kerajaan.

    Tegasnya, meskipun vaksin tidak diwajibkan namun kerajaan tidak akan ‘memberi muka’ kepada golongan antivaksin kerana mereka sendiri memilih untuk menolak vaksin.

     “Kalau anda tidak divaksin kerana masalah kesihatan, tidak mengapa. Kita akan beri pengecualian dengan memberikan e-sijil MySejahtera tapi kalau anda sendiri memilih untuk tidak divaksin, kita akan ‘menyusahkan’ hidup anda.

    “Kita akan terus sukarkan hidup anda, tidak boleh makan di restoran, tidak boleh pergi ke pusat beli-belah,” katanya pada sidang media selepas pelancaran 11th National Acute Myocardial Infarcation Course (NAMIC) 2021 di Kuala Lumpur, hari ini, lapor Astro Awani.

    Tambah beliau, isu tersebut terus dibangkitkan apabila beliau melihat wujudnya kebimbangan dalam kalangan ibu bapa yang gusar untuk menghantar anak mereka ke sekolah memandangkan terdapat guru yang enggan divaksin.

  • Formula Pas ‘sokong penyandang’ beri kelebihan kepada UMNO, kecewakan Bersatu

    Formula Pas ‘sokong penyandang’ beri kelebihan kepada UMNO, kecewakan Bersatu

    FORMULA Pas untuk ‘menyokong penyandang’ jika berlaku pertembungan antara UMNO dan Bersatu dijangka hanya akan menyulitkan keadaan.

    Ketika menegaskan perkara itu, Penganalisis Politik Dr.Mazlan Ali berpendapat, pendekatan Pas itu turut dikhuatiri akan mengeruhkan keadaan antara parti-parti berkenaan yang memang tegang.

    Pada masa sama, kata beliau langkah “menyokong penyandang” itu antara sebenarnya akan memberi kelebihan kepada UMNO secara langsung.

    “Jika berlaku pertembungan UMNO dan Bersatu, sokong penyandang ini maksudnya UMNO lah yang ada kelebihan, sebab UMNO kerusinya lebih banyak yang dimenangi berbanding Bersatu.

    “Kawasan yang Bersatu menang pula adalah kawasan yang dikuasai PH (Pakatan Harapan), dan Pas tiada peranan sangat dalam kawasan-kawasan terbabit,” katanya kepada Malaysiakini .

    Mazlan yang juga pensyarah kanan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, sudah pasti formula “sokong penyandang” akan mengecewakan Bersatu saja berdasarkan situasi semasa kerana UMNO mempunyai kelebihan.

    Jelas beliau, jika berlaku pertembungan antara UMNO dan Bersatu di kawasan yang sudah dimenangi UMNO sebelum ini ia pasti akan memberi kelebihan besar kepada UMNO apabila parti itu mendapat sokongan tambahan daripada Pas.

    “Situasi itu sudah tentu akan menjadikan UMNO lebih kuat, di sinilah akan memberi kesan hubungan kepada ketiga-tiga parti tersebut,” katanya.

    Menurut Mazlan, walaupun Pas – yang menjadi parti komponen PN – mahu menjadi pendamai agar UMNO dan Bersatu bekerjasama, hakikatnya UMNO kelihatan enggan menerima inisiatif tersebut.

    “Perkara itu sudah ditegaskan pimpinan UMNO termasuk membuat keputusan dalam Perhimpunan Agung UMNO sebelum ini,” ujarnya.

    Sehubungan itu tambah Mazlan formula yang diambil Pas itu dilihat akan lebih menyulitkan keadaan.

    Kata beliau, Pas sepatutnya membuat keputusan sama ada mahu bersama UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) atau dengan Bersatu dalam PN.

    “Pas kena buat keputusan segera kerana semua parti mahu buat persediaan, nak bahagi kerusi dan strategi. Kalau Pas tak buat keputusan ia akan menimbulkan masalah kepada mereka sendiri,” katanya.