Author: Wartawan WartaRakyat

  • PRU-15: PKR mahu kitar semula logo partinya wakili PH

    PRU-15: PKR mahu kitar semula logo partinya wakili PH

    PKR seolah-olah menyalahkan keputusan konsensus menggunakan logo Pakatan Harapan (PH) sebagai salah satu punca mereka kalah teruk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini.

    Sehubungan itu, parti yang gagal memenangi sebarang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Melaka itu menggesa agar logo PKR dikitar semula mewakili PH pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Desakan itu dilemparkan oleh Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil susulan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR yang bermesyuarat semalam.

    “Dari dapatan awal pimpinan, SOP (prosedur operasi standard) dikenakan ke atas cara berkempen bagi PRN Melaka telah menyukarkan proses pengenalan calon-calon baharu serta logo yang berbeza dari yang dibawa pada PRU-14.

    “Namun, ke hadapan PKR berpandangan bahawa wujud kewajaran logo PKR digunakan semula. Perkara ini akan dibincang dengan lebih lanjut pada mesyuarat PH yang akan datang,” katanya dalam kenyataan media.

    Ahli Parlimen Lembah Pantai itu menambah, isu penggunaan logo calon bertanding sudah ditekankan sejak dari awal oleh pimpinan dan akar umbi PKR, sebelum PRN Melaka lagi.

    Walau bagaimanapun, menurut beliau, PKR akhirnya bersetuju menggunakan logo PH kerana memahami sikap sekutu-sekutunya.

    Pada PRN Melaka lalu, PKR tewas di semua 11 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu, Machap Jaya, Rembia, Kelebang, Paya Rumput, Asahan, Rim, Tanjung Bidara, Sungai Udang, Ayer Molek dan Sungai Rambai.

    Namun, ramai pemerhati politik berpandangan bahawa punca sebenar prestasi buruk PKR adalah disebabkan keputusan menerima bekas pemimpin UMNO, Datuk Seri Idris Haron bertanding mewakili parti itu di kerusi DUN Asahan.

    Sebahagian besar penyokong PKR berpandangan tindakan itu melanggar prinsip menolak calon lompat parti selain menutup peluang pemimpin parti untuk bertanding.

    Mereka juga kesal kerana pimpinan PKR seolah-olah menutup sebelah mata terhadap tindakan semberono Idris dan tiga bekas ADUN Melaka yang menyebabkan rakyat di negeri itu terjerumus dalam kemelut politik UMNO.

    Selain itu, rakyat Melaka masih tidak lupa betapa azabnya kehidupan mereka semasa negeri itu dan negara dicengkam oleh rejim PH selama hampir dua tahun.

    PRN Melaka telah dijadikan platform bagi mereka untuk melampiaskan kemarahan yang tersimpan terhadap sikap angkuh dan bongkak rejim PH yang hanya tahu menabur janji tetapi kemudia memungkirinya.

  • Restoran jual kailan ikan masin RM18 diberi notis

    Restoran jual kailan ikan masin RM18 diberi notis

    PENGUSAHA sebuah restoran di Kepala Batas, Pulau Pinang diberi tempoh dua hari oleh Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Pulau Pinang untuk menjelaskan mengenai harga sebungkus kailan ikan masin yang dijual berharga RM18.

    Notis itu dikeluarkan selepas pegawai penguat kuasa PPDNHEP Pulau Pinang melakukan pemeriksaan di restoran tersebut semalam selepas mendapat maklumat awam sebaik sahaja isu harga masakan tersebut tular di dalam media sosial.

    PPDNHEP Pulau Pinang dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya mengeluarkan satu Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) kepada pengusaha restoran terbabit yang perlu diberi maklum balas dalam tempoh dua hari bekerja.

    “Pegawai Penguat Kuasa telah hadir ke lapangan untuk menyiasat aduan yang telah diterima berkenaan perkara ini pada hari yang sama melalui aduan pengguna.

    “Satu NPMB bagi kalian ikan masin berharga RM18 telah diberikan kepada peniaga dan peniaga perlu memberi maklum balas dalam tempoh dua hari bekerja,” katanya.

    kailan
    Penguat kuasa PPDNHEP Pulau Pinang memeriksa harga makanan yang dijual di restoran tersebut.

    Semalam, pengguna di Pulau Pinang sekali lagi dikejutkan dengan harga masakan kailan ikan masin yang dijual pada harga RM18 untuk seorang makan yang disifatkan luar biasa mahal.

    Harga makanan itu tular di dalam media sosial selepas seorang individu dipercayai pelanggan memuat naik resit makanan yang dibelinya yang didakwa di sebuah restoran di Kepala Batas.

    “Kita sedia maklum barang mentah naik harga la (sekarang) ni. Harga (ikan) jenahak, sayur campur, ulam dan sambal, takpalah kita terima dengan reda.

    “Tapi kailan ikan masin yang sikit boleh makan untuk sorang saja berharga RM18 memang sukar untuk diterima. Nak buat macamana. Reda,” demikian seperti dimuat naik pelanggan itu seperti dipetik menerusi laman Facebook.

    kailan ikan masin
    Harga makanan dan minuman yang dijual di restoran terbabit.

    Berdasarkan bil yang turut dimuat naik, pelanggan berkenaan turut membeli lauk ikan jenahak berharga RM90; sayur campur (RM9) serta ulam dan sambal (RM5) dengan jumlah bil keseluruhan RM122.

    Bagaimanapun, pelanggan berkenaan tidak mendedahkan nama restoran berkenaan namun catatan di Facebook hanya menyebut restoran terbabit terletak di Kepala Batas.

    Sebelum ini, harga makanan di Pulau Pinang turut menjadi perdebatan di dalam media sosial selepas sebuah restoran terkemuka di negeri itu, Hameediyah menjual dua sotong goreng pada RM100.

  • Taktik licik kongsi gelap guna nama NGO tumpas

    Taktik licik kongsi gelap guna nama NGO tumpas

    TINDAKAN licik sebuah kongsi gelap di Pulau Pinang untuk menghidupkan kembali pertubuhan itu dengan berselindung di sebalik nama sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tidak berhasil selepas berjaya dihidu polis.

    Akibatnya, seramai 40 lelaki dipercayai ahli kongsi gelap itu yang berusia antara 22 hingga 56 tahun ditahan polis dalam serbuan di sebuah restoran mewah di Seberang Jaya, kira-kira pukul 9.30 malam pada Sabtu lalu.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais berkata, mereka yang berasal dari Pulau Pinang, Kedah dan Perlis itu ditahan ketika menghadiri majlis pengenalan dan pendaftaran ahli baharu kongsi gelap terbabit di restoran mewah tersebut.

    Jelasnya, operasi itu digerakkan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) ibu pejabat polis kontinjen (IPK) Pulau Pinang bersama Bahagian Siasatan Jenayah, ibu pejabat polis daerah (IPD) Seberang Perai Tengah (SPT) hasil maklumat awam.

    Tambah beliau, serbuan itu dilakukan selepas polis mengesyaki satu kumpulan kongsi gelap cuba mengaburi pihak berkuasa dengan berselindung di sebalik nama sebuah NGO bagi menghidupkan kembali pengaruh mereka di Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.

    “Pemeriksaan yang dijalankan mendapati lapan daripada lelaki yang ditahan mempunyai “tatoo” sebuah pertubuhan haram.

    “Dalam serbuan sama, polis turut merampas sebanyak 56 buah telefon bimbit, dua bentuk cincin, seutas rantai serta sepasang subang yang mempunyai lambang sebuah pertubuhan haram,” katanya menerusi kenyataan di laman sosial Facebook PDRM Pulau Pinang hari ini.

    Menurut Rahimi, kesemua yang ditahan dibawa ke IPD SPT dan direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 (Kesalahan menganggotai pertubuhan yang menyalahi Undang-Undang) yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

    “PDRM mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang memberikan maklumat dan bekerjasama baik dalam bersama-sama membenteras jenayah,” katanya.

  • Ku Li mahu berundur daripada politik apabila PRU-15 diumumkan

    Ku Li mahu berundur daripada politik apabila PRU-15 diumumkan

    SELEPAS lebih 50 tahun menjadi wakil rakyat, veteran UMNO Tengku Razaleigh Hamzah mungkin berundur daripada arena politik sebaik sahaja Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diumumkan.

    Ahli Parlimen paling lama berkhidmat di Malaysia itu mengakui beliau mahu menamatkan kerjaya politiknya yang panjang disebabkan usia, walaupun keputusan itu terletak di tangan pucuk pimpinan UMNO.

    “Saya agak tua sekarang. Sebenarnya bukan ‘agak’, saya dah tua. Saya dah banyak kali cakap perkara ini. Dua pilihan raya lalu (PRU13 dan PRU14) saya juga cakap ‘jangan pilih saya’, tetapi saya rasa kali ini ia akan berlaku. Ia bergantung kepada pucuk pimpinan parti.

    “Masalah saya ialah jika saya menarik diri, kawasan Parlimen (Gua Musang) mungkin tidak lagi menjadi kerusi selamat. Itu alasan yang diberikan kepada saya sebelum ini, itu sebabnya saya perlu bertanding pada dua PRU lepas,’’ katanya dalam wawancara bersama portal Free Malaysia Today.

    Tengku Razaleigh yang lebih mesra dengan panggilan Ku Li, berkata ramai individu dalam parti akan berebut-rebut mahu bertanding di kerusinya yang dianggap kerusi selamat untuk UMNO, jika beliau berundur.

    Tetapi katanya, Gua Musang hanya dilihat selamat untuk UMNO atas beberapa faktor.

    “Sebenarnya, tiada kerusi yang selamat, melainkan anda mempunyai orang berpengaruh, strategi boleh diterima dan dilaksanakan, serta anda mempunyai sokongan kukuh untuk meningkatkan undi anda pada PRU. Tanpa itu dan perpaduan, saya rasa anda tidak boleh kata kawasan anda selamat,’’ katanya.

    Tengku Razaleigh mula menjadi wakil rakyat pada 1969 di kerusi Dewan Undangan Negeri Ulu Kelantan Barat. Pada 1974, beliau memenangi kerusi Parlimen Ulu Kelantan, yang kemudiannya dinamakan sebagai Gua Musang. Beliau adalah Ahli Parlimen Gua Musang selama 11 penggal sehingga kini.

  • Mat tunai nazar jalan kaki 290 km, rentas tiga negeri empat hari untuk balik kampung

    Mat tunai nazar jalan kaki 290 km, rentas tiga negeri empat hari untuk balik kampung

    SEORANG lelaki berjaya menunaikan nazarnya dengan berjalan kaki sejauh 290 kilometer merentas negeri Selangor, Pahang dan Kelantan untuk pulang ke kampung halamannya di Kampung Bertam Baru, Gua Musang, Kelantan.

    Mohd. Syahrizal Harun atau lebih dikenali sebagai Mat yang bekerja sebagai juruteknik di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur itu berjaya menunaikan nazarnya selepas berjalan kaki selama empat hari.

    Menurut Mat yang berusia 40 tahun, sebelum ini, dia tidak dapat balik ke kampung halamannya akibat penularan pandemik COVID-19.

    Katanya, sebelum pengumuman kebenaran rentas negeri dibuat oleh kerajaan, dia bernazar untuk pulang ke kampung dengan cara berjalan kaki sebagai tanda kesyukuran.

    Selama empat hari merentas tiga negeri, Mat mengharungi pelbagai cabaran terutama sekali cuaca yang tidak menentu.

    “Cabaran kedua ialah berjalan di musim hujan dengan beberapa kejadian tanah runtuh, banyak jalan ditutup serta dilencongkan ke arah lain (menyebabkan) kena tambah kilometer perjalanan lagi.

    “Di waktu malam pula berjalan pula risikonya hanya satu keadaan gelap dan binatang, tapi Alhamdulillah tidak ada binatang yang stro Awani.

    Sebelum itu, kepulangan Mat ke Gua Musang disambut oleh Ahli Dewan Undangan Nenggiri, Ab. Aziz Yusoff; Yang Dipertua Majlis Belia Jajahan Gua Musang, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani dan Pengerusi Eksekutif Konsortium E-Mutiara Berhad (E-Mutiara), Che Ibrahim Che Ismail.

  • Pelanggan terkejut kailan ikan masin RM18 sepiring

    Pelanggan terkejut kailan ikan masin RM18 sepiring

    PENGGUNA di Pulau Pinang sekali lagi dikejutkan dengan harga makanan yang luar biasa mahal kali ini membabitkan masakan kailan ikan masin yang dijual pada harga RM18 untuk seorang makan.

    Harga makanan itu tular di dalam media sosial hari ini selepas seorang individu dipercayai pelanggan memuat naik resit makanan yang dibelinya yang didakwa di sebuah restoran di Kepala Batas.

    “Kita sedia maklum barang mentah naik harga la (sekarang) ni. Harga (ikan) jenahak, sayur campur, ulam dan sambal, takpalah kita terima dengan reda.

    “Tapi kailan ikan masin yang sikit boleh makan untuk sorang saja berharga RM18 memang sukar untuk diterima. Nak buat macamana. Reda,” demikian seperti dimuat naik pelanggan itu seperti dipetik menerusi laman Facebook hari ini.

    Berdasarkan bil yang turut dimuat naik, pelanggan berkenaan turut membeli lauk ikan jenahak berharga RM90; sayur campur (RM9) serta ulam dan sambal (RM5) dengan jumlah bil keseluruhan RM122.

    Bagaimanapun, pelanggan berkenaan tidak mendedahkan nama restoran berkenaan namun catatan di Facebook hanya menyebut restoran terbabit terletak di Kepala Batas.

    Sebelum ini, harga makanan di Pulau Pinang turut menjadi perdebatan di dalam media sosial selepas sebuah restoran terkemuka di negeri itu, Hameediyah menjual dua sotong goreng pada RM100.

    Kes itu kini masih dalam siasatan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Pulau Pinang yang telah mengeluarkan notis kepada pengusaha restoran berkenaan untuk memberi maklumat berhubung harga tersebut.

  • Ujian khas kemasukan MRSM bagi pelajar tingkatan satu, empat 2022 pada Disember

    Ujian khas kemasukan MRSM bagi pelajar tingkatan satu, empat 2022 pada Disember

    MARA menerima sejumlah 57,122 permohonan ke tingkatan 1 dan 17,350 permohonan ke tingkatan 4 untuk memasuki Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) bagi tahun depan.

    Sehubungan itu kata Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid,  Mara akan mengadakan Ujian Kecenderungan Kemasukan ke Maktab Rendah Sains MARA (UKKM), Ujian Khas Ulul Albab dan Ujian Teknikal mulai 3 Disember ini hingga 30 Januari tahun depan.

    ‘’Bagi Kedah, Kelantan,Johor dan Terengganu ujian bermula pada 3 Disember ini manakala bagi calon-calon negeri lain akan bermula pada 4 Disember.  Tarikh, masa dan tempat ujian ini boleh disemak secara dalam talian bermula esok pukul 10 pagi melalui Portal Rasmi MARA,’’ katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Buku dan Topi Keledar Sumbangan Yayasan Perintis Malaysia di Pejabat Pendidikan Daerah Padang Terap hari ini.

    Mahdzir memberitahu  pemohon akan menerima notifikasi menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) atau emel yang telah didaftarkan semasa permohonan.

    ‘’Calon tidak dibenarkan untuk membuat sebarang pertukaran tarikh, masa dan tempat ujian yang telah ditetapkan,’’ katanya.

    Menurut Mahdzir,  kesemua calon terlibat akan menduduki ujian itu di 61 buah pusat ujian terpilih yang melibatkan 53 buah MRSM di seluruh negara selain di 8 buah Institusi Pendidikan Mara (IPMA) di Selangor dan Negeri Sembilan.

    ‘’Calon UKKM akan dinilai berdasarkan subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Keperibadian.

    “Saya mohon semua calon bersedia dan membuat persiapan yang lengkap menjelang hari peperiksaan dan mendoakan ujian ini berjalan dengan lancar,” katanya.

    Sebarang maklumat serta informasi terkini, sila layari portal rasmi Mara di pautan www.mara.gov.my atau mengikuti laman media sosial rasmi Mara melalui Facebook, Instagram dan Twitter.

  • PRU-15: Masa depan gagasan MN tidak dapat dijangka

    PRU-15: Masa depan gagasan MN tidak dapat dijangka

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyifatkan, hanya masa yang akan menentukan sama ada gagasan Muafakat Nasional (MN) akan mampu terus bertahan dan bergandingan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar itu, setakat ini tiada pihak mampu menjangkakan apa yang akan berlaku terhadap gagasan MN.

    Namun bersandarkan seni kepada segala kemungkinan (art of possibility) dalam dunia politik, segalanya tidak mustahil untuk berlaku.

    “Seni politik ini macam-macam boleh berlaku. Ada benda yang dirasakan mustahil boleh terjadi dan begitu juga perkara yang dirasakan tidak mustahil berlaku, akan menjadi kenyataan.

    “Kalau tengok kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan sesetengah kepimpinan UMNO, mungkin ada yang nampak seolah-olah MN sudah tidak ada. Tetapi bersandarkan kepada segala kemungkinan ini, rasanya hanya masa akan menentukan,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan penyerahan buku bacaan dan topi keledar kepada pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dalam daerah Padang Terap di sini, hari ini.

    Tambahnya, dalam berdepan segala kemungkinan itu, semua pihak harus bersikap dan berfikiran terbuka dalam mendepani setiap perkara yang akan terjadi.

    “Berkaitan MN ini, pandangan daripada luar turut diperlukan mengenai kepimpinan UMNO dan PAS.

    “Setakat ini tiada kata putus mengenai bagaimana UMNO dan PAS akan berdepan PRU-15. Kalau ada gandingan itu, kita terimalah tetapi kalau tak ada kita nak buat macam mana,” katanya.

  • Kaki buli jalan raya rampas beg tangan pemandu wanita

    Kaki buli jalan raya rampas beg tangan pemandu wanita

    SEORANG lelaki menunjukkan sikap kaki buli apabila merampas beg tangan dari kenderaan wanita yang terlanggar keretanya di kilometer 14.6 Lebuhraya Persekutuan dari arah Klang ke Kuala Lumpur, semalam.

    Sikap biadabnya mengundang padah apabila dia ditahan oleh polis kira-kira pukul 6.30 petang semalam.

    Suspek terbabit ditahan selepas membuat laporan polis berhubung kemalangan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

    “Siasatan mendapati, kemalangan yang tular di media sosial itu berlaku pada 1.33 tengah hari (semalam) membabitkan tiga kenderaan.

    “Kejadian berlaku apabila wanita yang memandu kereta BMW terlanggar belakang sebelah kanan kereta Proton Gen 2 dipandu lelaki terbabit di hadapannya.

    “Pelanggaran itu menyebabkan kereta lelaki yang berusia 56 tahun itu terlanggar sebuah lagi kereta jenis Honda HRV di hadapan yang dipandu oleh seorang wanita. Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan dan kes disiasat mengikut Rule 10 LN 166/59,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

    Video tular berdurasi satu minit 30 saat itu menunjukkan gelagat lelaki terbabit meminta kad pengenalan wanita yang terlanggar keretanya dipercayai untuk membuat laporan polis.

    Dia kemudian merampas beg tangan wanita terbabit dan membawanya ke kereta sambil mengarahkan wanita berkenaan mengikutnya membuat laporan polis.

    Kejadian dipercayai berlaku berhampiran stesen minyak Shell dan Petron di Lebuhraya Persekutuan sebelum susur ke Seksyen 13 serta Lebuhraya Guthrie.

    Selain itu, Baharudin berkata polis turut membuka kertas siasatan berhubung tindakan lelaki berkenaan mengikut Seksyen 379/323 Kanun Keseksaan.

    “Saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat kemalangan diminta membantu siasatan dengan menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Shah Alam, Sarjan Hafizi Hashim (013-9557042),” katanya.

  • Tegak kebenaran, lawan kemungkaran punca rakyat sokong Bersatu

    Tegak kebenaran, lawan kemungkaran punca rakyat sokong Bersatu

    PRINSIP menegakkan kebenaran dan menentang kemungkaran seperti rasuah dan salah guna kuasa membolehkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berjaya menarik sokongan dan dukungan rakyat.

    Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, walaupun masih baru, beliau berbangga dengan pencapaian luar biasa parti itu pada hari ini.

    Sehubungan itu beliau mengingatkan ahli Bersatu agar menilai parti itu bukan sahaja dari segi kekuatan dan perpaduan malah juga dari aspek tanggungjawab serta amanah yang perlu dilaksanakan demi rakyat, bangsa dan negara.

    Menurutnya, selain mengukuhkan parti, setiap ahli ada tanggungjawab kepada rakyat di kawasan masing-masing yang kebanyakannya terkesan dengan pandemik Covid-19.

    “Justeru setiap ahli parti perlu meneruskan usaha bagi memberi khidmat kepada setiap lapisan rakyat tanpa mengira latar belakang mereka.

    “Saya tegaskan sepanjang berhadapan dengan pandemik, rakyat menghargai apa yang telah kerajaan Perikatan Nasional (PN) lakukan bagi membantu menyelamatkan nyawa dan kehidupan mereka.

    “Walaupun masih baru, saya juga boleh berbangga kerana parti ini berjaya mencatat pencapaian yang agak luar biasa dari aspek sokongan dan dokongan rakyat kerana parti ini berpegang kepada prinsip menegakkan kebenaran dan menentang kemungkaran seperti rasuah dan salah guna kuasa,” katanya seperti dilaporkan Satu Berita.

    Muhyiddin yang juga Pengerusi PN berkata demikian semasa berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Pagoh Kali Ketiga di Pagoh.

    Mengulas mengenai Pilihan Raya Umum Ke-15 yang dijangka diadakan tidak lama lagi, Muhyiddin meminta seluruh ahli Bersatu meningkatkan kesiapsiagaan terutama dalam aspek memperkukuhkan jentera parti.

    Ujarnya, beliau percaya pengalaman bekerja bagi membantu calon-calon PN pada Pilihan Raya Negeri Melaka baru-baru ini sangat berharga bagi menghadapi pilihan raya yang lebih besar tidak lama lagi.

    “Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada barisan kepimpinan dan sayap parti seperti Armada dan Srikandi kerana telah menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan baik,” katanya.

    Sementara itu, Muhyiddin pada majlis sama menyampaikan sumbangan barangan perniagaan kepada peniaga kecil dan bantuan perahu dan bot penambang kepada beberapa nelayan kecil kawasan Pagoh.