Author: Wartawan WartaRakyat

  • Adakah Rosmah hadir mahkamah Isnin ini? Soal Armada

    Adakah Rosmah hadir mahkamah Isnin ini? Soal Armada

    ANGKATAN Bersatu Anak Muda (Armada) mempersoalkan sama ada Datin Seri Rosmah Mansor akan menghadiri prosiding rayuannya di mahkamah Isnin ini bagi membatalkan perbicaraan kes rasuahnya dan menggugurkan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai pendakwa utama.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, Ketua Penerangannya, Mohd Ashraf Mustaqim ketika membangkitkan perkara itu mendakwa bahawa maklumat diperolehinya menunjukkan Rosmah masih berada di Singapura.

    Beliau membangkitkan keraguan itu apabila Rosmah gagal pulang ke negara ini sebelum 21 November seperti yang disyaratkan oleh mahkamah.

    “Beliau sepatutnya pulang sebelum 21 November dan selepas pulang kena lalui proses kuarantin. Peguam mengatakan beliau akan hadir sesi rayuan di mahkamah Isnin ini.

    “Persoalannya adakah beliau sudah ada di Malaysia atau masih lagi ada di Singapura, sebab beliau kena kembalikan pasport 6 Disember dan perlu hadir sesi prosiding rayuan pada hari sama…takkan balik sampai terus boleh ke mahkamah,” katanya kepada pemberita ketika hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk membuat laporan polis.

    Mohd Ashraf menambah, pihaknya membuat laporan polis bagi menggesa pihak berkuasa membatalkan pasport Rosmah dan membawanya pulang ke Malaysia kerana gagal hadir di Mahkamah Rayuan dua hari lalu.

    “Mahkamah sebelum ini menetapkan memulangkan sementara pasport Rosmah untuk ke Singapura dengan syarat hanya dari 22 Oktober hingga 21 November, dan pasport wajib dipulangkan ke mahkamah selewat-lewatnya 6 Disember.

    “Malangnya, Rosmah gagal hadir perbicaraan kesnya kerana masih berada di luar negara. Terang-terang beliau telah langgar dan hina perintah mahkamah. Ini satu penghinaan terhadap sistem keadilan negara.

    “Kita minta polis siasat dan tindakan diambil kalau tidak sistem perundangan negara, sistem kehakiman dan pihak berkuasa akan ditertawa oleh negara luar,” jelasnya.

    Beliau turut mempersoalkan mengapa Jabatan Peguam Negara tidak membantah apabila Rosmah memohon untuk ke Singapura.

    “Kita minta mahkamah layan Rosmah macam kes perbicaraan rakyat biasa yang lain,” katanya.

    Kelmarin, Mahkamah Rayuan sepatutnya mendengar sambungan hujahan rayuan Rosmah terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonannya membatalkan perbicaraan kes rasuah projek solar hibrid dan menggugurkan Gopal Sri Ram sebagai ketua pendakwaan dalam kes itu.

    Rosmah sepatutnya pulang ke negara ini pada 21 November lalu, tetapi peguam Jagjit Singh hanya memaklumkan ketidakhadiran anak guamnya 10 minit sebelum mahkamah bersidang.

    Jagjit dilaporkan berkata, anak guamnya masih berada di Singapura. Beliau mengaku ia pelanggaran perintah Mahkamah Tinggi yang dikeluarkan pada 15 Oktober lalu, untuk membenarkan isteri bekas Perdana Menteri Najib Razak itu menemani anaknya bersalin.

  • Harga maksimum ayam dikuatkuasa mulai Selasa – Rosol

    Harga maksimum ayam dikuatkuasa mulai Selasa – Rosol

    HARGA  maksimum ayam standard ditetapkan RM9.30 sekilogram bagi jualan runcit dan RM8 sekilogram untuk pemborong di Semenanjung, kecuali Langkawi, berkuat kuasa Selasa ini.

    Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid, berkata ia ditetapkan bawah Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) yang kali pertama diadakan, berkuat kuasa selama 25 hari hingga 31 Disember depan bertujuan meringankan beban rakyat dalam menghadapi kenaikan harga barang keperluan.

    Beliau berkata, berikutan pelaksanaan itu, harga ayam standard di Langkawi ditetapkan RM9.80 sekilogram (runcit) dan RM8.50 sekilogram (borong).

    Bagi Wilayah Persekutuan Labuan pula harga ayam standard ditetapkan RM11 sekilogram (runcit) dan RM10 sekilogram (borong).

    “Harga ayam standard adalah berbeza mengikut kawasan dan di Sabah serta Sarawak, kita menetapkannya antara RM9.30 hingga RM12.40 bagi pembelian runcit, dan RM8.10 hingga RM11.20 (borong).

    “Selain ayam standard, ada 11 jenis barang lagi yang dimasukkan bawah skim ini, seperti ayam hidup, telur ayam Gred A, B dan C, kacang panjang, cili merah, tomato, sawi hijau, kubis bulat import serta timun.’’ katanya di Kuala Berang seperti dilapor Berita Harian.

    Rosol berkata, sebagaimana ayam standard, harga kawalan bagi 11 barang lain terbabit juga adalah berbeza mengikut kawasan, dengan penetapan dibuat berdasarkan kesesuaian harga pasaran.

    “Ia mengambil kira pelbagai faktor perubahan harga, terutama bagi barangan import yang dipengaruhi harga di negara asal, perubahan kadar tukaran mata wang dan sebagainya,” katanya.

    Beliau yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata, senarai barangan terbabit akan dikaji secara berterusan, termasuk ditambah atau digugur berdasarkan penilaian situasi pasaran.

    Beliau menjelaskan, SHMKM adalah berbeza dengan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) yang diadakan setiap tahun dengan pelaksanaannya diharapkan mampu menstabilkan harga barangan asas dalam pasaran.

    “Semua pihak dalam seluruh rantaian bekalan membabitkan pengeluar, pemborong, pengedar dan penjual, akan dikenakan tindakan tegas sekiranya gagal mematuhi skim ini. Mana-mana peniaga yang gagal mematuhi skim ini boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya.

  • Yayasan Gerakan tak sama dengan yayasan Zahid – Dominic

    Yayasan Gerakan tak sama dengan yayasan Zahid – Dominic

    PRESIDEN Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai menyatakan bahawa Yayasan Penjaja dan Perniagaan Kecil 1Malaysia (YPPKM) yang ditubuhkan partinya tidak sama dengan yayasan yang diasaskan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

    Memetik laporan Malaysiakini, beliau berkata, yayasan yang diasaskan bekas Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong itu benar-benar membantu peniaga kecil.

    “Selain mempunyai Universiti Terbuka Wawasan, Gerakan juga mempunyai sebuah yayasan yang ditubuhkan oleh (bekas presiden kami) Mah Siew Keong bernama YPPKM.

    “Saya masih ingat bahawa Siew Keong telah menubuhkan yayasan ini semasa menjadi menteri Kabinet, untuk membantu penjaja dan pengusaha perniagaan kecil. Mari kita berikan tepukan gemuruh kepada Mah Siew Keong.

    “Tetapi saya ingin mengatakan bahawa yayasan ini tidak seperti Zahid. Ia berbeza. Melalui yayasan ini, kita benar-benar membantu perniagaan kecil di negara kita,” katanya ketika berucap pada Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan di Kuala Lumpur, hari ini.

    Difahamkan, beliau merujuk kepada kes mahkamah yang dihadapi Ahmad Zahid melibatkan sebuah yayasan bernama Yayasan Akal Budi.

    Kes itu menyaksikan Zahid berdepan siri pertuduhan jenayah membabitkan pecah amanah RM20.83 juta, menerima suapan RM21.25 juta sebagai menteri dalam negeri, dan pengubahan wang haram RM72.07 juta.

    Sementara itu, Dominic turut mengingatkan para perwakilan tentang pentingnya Gerakan mendapatkan semula mandat rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Beliau berkata, tiada guna parti itu menjadi pertubuhan politik jika tidak mempunyai wakil di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

    “Kita mesti memenangi pilihan raya dan mendapat mandat untuk masuk Parlimen dan DUN.

    “Jika kita masih gagal mendapatkan ini, kita akan menjadi seperti NGO di luar, yang hanya boleh menyuarakan kebimbangan mereka di luar tetapi tidak boleh mewakili rakyat di dalam Parlimen dan DUN,” katanya.

    Bagi memenangi pilihan raya akan datang, Dominic menegaskan parti itu perlu fokus mendapatkan sokongan pengundi muda.

    Katanya, Undi18 yang bermula tahun depan akan menyaksikan sejumlah besar anak muda berumur 18 tahun ke atas menjadi pengundi di setiap kawasan.

    “Ini adalah kumpulan besar di mana kita mesti mendapat sokongan mereka.

    “Jawatankuasa pusat parti telah menjalankan analisis, dan didapati secara amnya, setiap kawasan akan melihat kira-kira 20,000 pengundi muda, malah ada sehingga 80,000.

    “Oleh itu, kita mesti menggunakan kaedah baharu untuk membuat persediaan menghadapi pilihan raya ini,” katanya sambil menambah parti itu akan mengalih tumpuan daripada kaedah kempen tradisional kepada digital untuk menarik minat golongan muda.

  • UMNO tidak patuhi piagam,  Pas tetap tolak Muafakat Nasional  – Hadi

    UMNO tidak patuhi piagam, Pas tetap tolak Muafakat Nasional – Hadi

    KEGAGALAN UMNO mematuhi perjanjian dalam piagam yang disepakati dalam Muafakat Nasional menjadi punca Pas menolak gagasan itu, kata Tan Sri Abdul Hadi Awang.

    Presiden Pas itu menegaskan, berdasarkan apa yang dipersetujui bersama kedua-dua parti bersedia menerima parti-parti lain termasuk Bersatu dan NGO untuk menyertai Muafakat Nasional.

    ‘’Tetapi  apabila sampai peringkat pelaksanaan, kepimpinan UMNO hanya mahu parti itu dan Pas dalam Muafakat Nasional, ini bermakna ia sudah lari daripada perjanjian, ini tak betul sedangkan kita berpegang pada perjanjian. UMNO mahu Pas dan parti mereka sahaja dalam Muafakat Nasional,” tegasnya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Mahabbah Rasulullah SAW sempena Maulidur Rasul di Larut, hari ini yang turut dihadiri Menteri Dalam Negeri yang juga Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

    Abdul Hadi juga menegaskan, UMNO tidak boleh mengarahkan Pas mengikut kehendak parti itu.

    ‘’Nak suruh Pas dengan UMNO sahaja dalam Muafakat Nasional.. tak boleh, sebab kita dah berjanji dengan parti-parti lain, kita sudah tetapkan tarikh nak berjumpa dengan Bersatu dan parti lain, bahkan nak terima Bersatu masuk. Pas terbuka tetapi malangnya dia (pimpinan UMNO) nak Pas dengan UMNO sahaja, jadi tak bolehlah, Pas tak boleh diarah, Pas parti tersendiri, Pas bukan di bawah BN,” tegasnya.

    Ketika berucap di majlis tersebut, Abdul Hadi secara tegas mengingatkan, Pas tidak akan teragak-agak melawan pihak yang degil dalam soal kerjasama politik.

    “Siapa pihak yang degil itu? Kita akan lihat nanti, tapi satu contoh sudah berlaku di Melaka (PRN) apabila UMNO degil kita lawanlah. Dalam PRU-15 nanti tak tahu lagi. Boleh jadi UMNO kena fikir balik kerana dalam PRN Melaka undi kepada UMNO tak naik, undi ditakuk lama, bagaimana kalau semua keluar habis mengundi? Jadi dia (UMNO) kena fikir baliklah,” katanya.

  • KPLB laksanakan Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) di 6 daerah di Sarawak – Mahdzir

    KPLB laksanakan Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) di 6 daerah di Sarawak – Mahdzir

    ENAM daerah di kawasan pedalaman Sarawak menerima bekalan elektrik menerusi Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar, BELB, Talian Grid Seluruh Sarawak.

    `Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, , daerah terbabit adalah Sarikei, Sibu, Kapit, Mukah, Bintulu dan Miri yang menelan belanja lebih RM193 juta.

    “Projek bekalan elektrik itu bermula pada April 2018, melibatkan kerja-kerja pembinaan infrastruktur untuk membekalkan bekalan elektrik kepada penduduk luar bandar di enam daerah di Sarawak.

    Projek itu juga merupakan penambahan kepada sistem grid sedia ada milik Syarikat SESCO Berhad (SEB) bagi talian voltan 33 KV dan ke bawah, meliputi penyambungan ke rumah penduduk,  rumah ibadat, dewan, sekolah dan fasiliti kerajaan serta balai raya.”

    Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Rumah Panjang Langgong, Daerah Kanowit, Sarawak, hari ini. Turut hadir, Timbalan Menteri II, KPLB, Datuk Hasbi Habibollah dan Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun.

    Mahdzir memberitahu, sebanyak 22 pakej terlibat dalam projek BELB tersebut iaitu enam pakej di Bintulu, lima di Mukah, empat di Miri, tiga di Sibu dan masing-masing dua di Sarikei dan Kapit.

    ‘’Pakej-pakej itu telah dikenal pasti oleh pihak Kementerian Utiliti Sarawak (KUS), melibatkan sejumlah 1,855 buah rumah dengan anggaran 9,275 orang penerima manfaat. Bagi pakej projek yang melibatkan Rh. Langgong, ia mempunyai 13 rumah panjang, satu sekolah dan 59 buah rumah individu,’’ katanya.

    Beliau berkata, projek tersebut telah dimulakan pada September 2018 dan penduduk mula menerima bekalan elektrik pada Februari 2020 dan melibatkan jumlah keseluruhan 242 buah rumah dan 1,210 orang penerima manfaat, dengan kos pembinaan lebih RM10.6 juta.

    “Bagi tahun 2022 pula, KPLB dalam tindakan untuk melaksanakan lima lagi projek BELB Sistem Solar Hibrid di Sarawak iaitu dua projek di kawasan Telang Usan dan masing-masing satu projek di kawasan Marudi, Katibas, dan Long Busang, dengan anggaran kos keseluruhan sebanyak RM350 juta,’’ katanya.

    Projek itu menurut Mahdzir, melibatkan 1,500 buah rumah dan 7,500 orang penerima manfaat, dalam usaha kerajaan untuk memastikan setiap penduduk luar bandar dapat menikmati bekalan elektrik 24 jam sehari.

    “Skop projek BELB Talian Grid tidak melibatkan pemasangan meter dan pendawaian dalam rumah (IHW). Walau bagaimanapun, Sarawak Energy Berhad (SEB) ada menyediakan Assisted Wiring Scheme (AWS) untuk membantu pemohon luar bandar menyiapkan pendawaian dalaman rumah.

    Beliau memaklumkan, bagi permohonan mendapatkan bekalan elektrik untuk rumah-rumah yang baru dibina, permohonan hendaklah dikemukakan kepada Kementerian Utiliti Sarawak (KUS) untuk semakan dan penilaian lanjut Kementerian tersebut, sebelum senarai penuh dikemukakan kepada KPLB untuk tindakan,” jelas Mahdzir.

  • Motosikal bertembung, pelajar sekolah dan lelaki Rohingya maut

    Motosikal bertembung, pelajar sekolah dan lelaki Rohingya maut

    SEORANG pelajar sekolah menengah dan seorang buruh etnik Rohingya maut manakala dua lagi parah selepas motosikal yang mereka tunggangi bertembung dalam kemalangan di Ulu Melaka, di Langkawi, malam tadi.

    Menurut Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, kemalangan kira-kira pukul 10.22 malam itu melibatkan motosikal jenis Honda Wave dan Yamaha LC yang datang dari arah bertentangan.

    Pelajar yang maut dikenal pasti sebagai Ku Nur Shahrizal Ku Nor Sazali, 16 tahun manakala lelaki Rohingnya, Anas Ali, 28 tahun, yang mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.

    Dua yang parah pula merupakan isteri Anas, Artiyah Lashidullah, 20 tahun, dan anak mereka Nadiyah, 5 tahun, yang membonceng motosikal terbabit.

    “Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggangi pelajar tingkatan 4 itu, yang datang dari arah Ulu Melaka menghala ke Air Hangat, memasuki laluan bertentangan.

    “Di tempat kejadian, motosikal dinaiki tiga beranak etnik Rohingya itu berada di laluannya, lalu bertembung secara berhadapan,” katanya seperti dipetik dari laporan Astro Awani.

    Shariman berkata, akibat pelanggaran itu kedua-dua mangsa yang maut jatuh di atas jalan manakala dua pembonceng tercampak hampir 10 meter ke atas jalan.

    Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Maliha untuk bedah siasat.

    Manakala dua yang parah dihantar ke bahagian kecemasan hospital sama untuk rawatan lanjut.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

  • Budak lelaki 5 tahun mati disyaki didera ibu sendiri

    Budak lelaki 5 tahun mati disyaki didera ibu sendiri

    SEORANG kanak-kanak lelaki berusia lima tahun dilaporkan maut disyaki akibat didera ibu kandung sendiri, di Iskandar Puteri, Johor semalam.

    Memetik laporan Astro Awani, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 12.20 tengah hari itu pihaknya menerima panggilan daripada petugas Hospital Sultanah Aminah (HSA) mengenai kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun.

    Menurut beliau, siasatan awal mendapati mangsa tinggal bersama suspek iaitu ibu kandung dan kekasih ibunya yang juga bapa angkat mangsa, serta seorang adik dan kakak.

    “Pemeriksaan ke atas badan mangsa mendapati kecederaan di mulut, lebam di seluruh bahagian depan dan belakang badan kemungkinan akibat didera.

    “Ibu kandung mangsa berusia 35 tahun ditahan di HSA, manakala kekasihnya yang berusia 32 tahun ditahan di kediaman di Nusa Bistari.

    “Semasa ditahan kedua suspek negatif ujian saringan dadah.

    “Forensik Ibu Pejabat Kontinjen Johor telah menjumpai getah paip di sinki dalam bilik air, batang kayu dan poly pipe di atas sofa dan kesan darah di rumah suspek.

    “Pemeriksaan awal oleh pihak HSA mendapati mangsa meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

    Menurut Dzulkhairi, bedah siasat akan dijalankan hari ini selepas keputusan swab test COVID-19 mangsa diperoleh.

    Kedua-dua suspek didapati memiliki rekod jenayah lampau.

    “Pemeriksaan rekod lampau terhadap suspek mendapati kedua-dua mereka mempunyai rekod jenayah lampau yang sama iaitu kesalahan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan empat rekod di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya,” katanya.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

  • Gagal hadir bicara, Armada gesa ekstradisi Rosmah

    Gagal hadir bicara, Armada gesa ekstradisi Rosmah

    ANGKATAN Bersatu Anak Muda (Armada) menggesa Datin Seri Rosmah Mansor diekstradisi ekoran beliau gagal pulang ke Malaysia pada 21 November dan menghadiri perbicaraan di mahkamah kelmarin.

    Memetik laporan Malaysiakini, Ketua Penerangan Armada, Mohd Ashraf Mustaqim akan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur petang ini.

    Dalam jemputan kepada media, beliau memohon pasport isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu dibatalkan dan dibawa pulang ke negara ini.

    “Terang-terang beliau telah langgar dan hina perintah mahkamah. Ini satu penghinaan pada sistem keadilan negara,” katanya.

    Rosmah, yang menghadapi pertuduhan rasuah berhubung projek tenaga solar kerajaan untuk sekolah luar bandar di Sarawak, tidak hadir di mahkamah pada 2 Disember lalu.

    Pasportnya dirampas berikutan pertuduhan itu tetapi dikembalikan sementara kepadanya untuk melawat anaknya, Nooryana Najwa Najib di Singapura yang bersalin pada 1 November lalu.

    Lawatan itu sepatutnya dari 22 Oktober hingga 21 November.

    Ini mendorong pihak pendakwaan untuk mendapatkan waran tangkap terhadap Rosmah tetapi Mahkamah Rayuan enggan berbuat demikian selepas peguam Rosmah menjelaskan ia berpunca daripada kesilapan.

    Pasukan guaman Rosmah menjelaskan bahawa walaupun beliau sepatutnya pulang ke Malaysia pada 21 November, namun memutuskan untuk kembali kemudian berikutan pengenalan Lorong Perjalanan Bervaksin (VTL).

    VTL antara Malaysia dan Singapura dilancarkan pada 29 November yang membolehkan individu yang telah divaksin sepenuhnya melakukan perjalanan antara kedua-dua negara tanpa menjalani kuarantin Covid-19, tertakluk kepada beberapa peraturan termasuk ujian semasa ketibaan.

    Peguam Rosmah memberi jaminan kepada mahkamah bahawa beliau akan hadir untuk perbicaraan pada 6 Disember.

    Rosmah menghadapi tiga pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

    Dalam pertuduhan pertama, beliau didakwa meminta rasuah RM187.5 juta daripada Jepak Holdings Sdn Bhd untuk membantu mendapatkan projek Kementerian Pendidikan.

    Projek bernilai RM1.25 bilion itu bertujuan membekalkan tenaga kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak menggunakan gabungan tenaga solar dan diesel.

    Dalam pertuduhan kedua dan ketiga, beliau didakwa masing-masing menerima rasuah RM1.5 juta dan RM5 juta sebagai ganjaran untuk mendapatkan projek itu.

  • MN: Pemuda UMNO Kelantan bimbang kaedah ‘main banyak kolam’

    MN: Pemuda UMNO Kelantan bimbang kaedah ‘main banyak kolam’

    PEMUDA UMNO Kelantan bimbang dengan pendirian PAS untuk kekal bersama Perikatan Nasional (PN) di sebalik piagam Muafakat Nasional (MN )yang ditandatangani kedua-dua parti.

    Memetik laporan Malaysiakini, kebimbangan itu disuarakan oleh Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Noor Hariri Mohamed Noor.

    “Kita bimbang kaedah ‘main banyak kolam’ ini akan memberi mudarat dan ketidakyakinan pengundi kepada parti.

    “Main banyak kolam ini adalah kaedah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sejak dulu asalkan mendapat apa yang dihajati. Matlamat tidak menghalalkan cara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    ‘Main banyak kolam’ adalah istilah longgar yang dibuat merujuk kepada tindakan PAS mahu meneruskan keberadaan mereka dalam PN di sebalik persefahaman dengan UMNO melalui MN yang dibuat lebih awal.

    Ia menimbulkan rasa kurang senang pelbagai pihak kerana UMNO sudah memuktamadkan pendirian untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu yang menjadi tunjang kepada PN.

    Ia menjadi kian ketara menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bulan lalu apabila PAS enggan bersama UMNO berdepan dengan Bersatu/PN. PAS sebaliknya memilih untuk bertanding menggunakan lambang PN.

    Di sebalik pendirian itu, UMNO, PAS dan Bersatu masih bersama dalam kerajaan sekarang.

    Pada masanya yang sama, Noor Hariri berharap usaha yang dibuat parti itu untuk mengembalikan kekuatan MN akan disambut oleh akar umbi PAS.

    Beliau berkata, akar umbi PAS tidak wajar membiarkan jalinan persaudaraan yang terjalin melalui MN pada dua tahun lalu itu disia-siakan.

    Hari ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata status MN akan ditentukan oleh semua 191 bahagian parti itu yang akan mula bermesyuarat pertengahan bulan ini.

    Kata Ahmad, walaupun PAS memilih Bersatu berbanding UMNO di Melaka baru-baru ini, partinya tetap berpegang kepada keputusan yang dibuat dalam perhimpunang agung lalu iaitu mahu MN diperkuatkan

    “Selagi belum ada Perhimpunan Agung UMNO, kerjasama ini tidak boleh diubah.

    “Oleh itu, saya berharap 191 bahagian UMNO yang bersidang kelak dapat membuat keputusan terbaik terhadap MN untuk parti menghadapi PRU-15,” katanya.

    Noor Hariri berkata, Pemuda UMNO Kelantan menyambut baik saranan Ahmad dan ia menjadi bukti parti itu mendengar suara ahli akar umbi.

    Keputusan mesyuarat bahagian di seluruh negara itu nanti juga, katanya, akan menentukan sama ada MN masih relevan atau sekadar menjadi modal untuk “sesetengah parti” beretorik.

    Untuk rekod PAS merupakan parti yang memerintah Kelantan sejak 1990 walaupun pelbagai cubaan dibuat UMNO untuk merampas kerajaan negeri.

    Selain Kelantan, PRU-14 lalu turut membuka jalan kepada PAS menjadi kerajaan di Terengganu.

    Namun di sebalik kewujudan MN, UMNO tidak dilibatkan dalam kerajaan Kelantan atau Terengganu, berbeza daripada negeri lain yang dikuasai UMNO/BN.

  • Selepas lapan penggal di DUN Satok, Abang Johari ‘berubah angin’ ke Gedong

    Selepas lapan penggal di DUN Satok, Abang Johari ‘berubah angin’ ke Gedong

    TAN Sri Abang Johari Tun Openg menamatkan spekulasi apabila bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong pada Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN12) Sarawak.

    Beliau yang sebelum ini penyandang kerusi DUN Satok selama lapan penggal menggantikan Datuk Mohd Naroden Majais di kerusi DUN tersebut.

    Pengumuman yang dibuat Abang Johari sendiri pada Majlis Penyerahan Watikah pelantikan Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Kuching hari ini turut menyaksikan Naroden mengundur diri daripada bertanding pada PRN12 kali ini.

    Selain Abang Johari, dua timbalan Ketua Menteri Sarawak iaitu Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan kekal di kerusi DUN Bukit Saban serta DUN Bukit Sari, lapor Astro Awani.

    Selain itu, GPS mempertaruhkan calon baharu iaitu Nicholas Kudi Jantai Maseng di kerusi DUN Baleh yang sebelum ini dipegang mendiang Tan Sri James Jemut Masing selama lapan penggal.

    Nicholas Kudi merupakan anak saudara kepada mendiang Masing. Manakala Presiden SUPP, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian kekal di DUN Batu Kawah.

    Pada PRN11 lalu, GPS yang bertanding atas tiket Barisan Nasional menang 72 kerusi menewaskan DAP dengan tujuh kerusi manakala PKR tiga kerusi.