AHLI Parlimen Sri Aman, Datuk Masir Kujat mengumumkan beliau keluar dari Parti Sarawak Bersatu (Bersatu) dengan serta-merta hari ini.
Memetik laporan New Sarawak Tribune, beliau berbuat demikian atas alasan politik di negara ini tidak stabil.
Masir yang juga Ahli Majlis Presiden PSB berkata, keputusan itu dibuat setelah berbincang dengan para pengundi di kawasannya.
Menurut beliau, ketidakstabilan politik telah menjejaskan ekonomi negara, pembangunan serta kesejahteraan rakyat.
“Saya percaya ini adalah langkah terbaik dan masa sudah tiba bagi kita mengetepikan politik dan menumpukan usaha menstabilkan negara.
“Perdana Menteri kita, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob komited untuk menjadi kehidupan dan kesejahteraan rakyat dan melakukan sebaik mungkin untuk membantu rakyat di negara ini pada masa yang sukar.
“Sehubungan itu, saya memberi sokongan penuh terhadap Perdana Menteri,” katanya.
Walau bagaimanapun, Masir tidak menyatakan sama ada beliau berhasrat untuk kembali menyertai Parti Rakyat Sarawak (PRS).
Beliau kini merupakan seorang Ahli Parlimen Bebas yang menyokong kerajaan sedia ada.
Masir meninggalkan PRS dan menyertai PSB pada Mac 2019 serta pernah menyandang jawatan Timbalan Menteri Dalam Negeri ketika era pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak.
PSB yang merupakan pembangkang di Sarawak mengalami kekalahan teruk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.
Parti itu hanya mampu memenangi empat daripada 70 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi.
PEREBUTAN jawatan Naib Presiden dijangka sengit apabila Ketua Setiausaha Pengelola parti itu, Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan akan turut bertanding jawatan berkenaan pada pemilihan Mei ini.
Sebelum ini beberapa nama dikatakan akan turut merebut jawatan itu iaitu Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Tanjung Malim Chang Lih Kang dan bekas Ahli Parlimen Kapar G Manivannan.
Nik Nazmi yang mengumumkan keputusan di saluran YouTubenya, hari ini berkata, keputusan itu diambil susulan “detik-detik kekecewaan” yang dilalui PKR sejak dua tahun lalu termasuk “Langkah Sheraton” dan kekalahan dalam siri pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini.
Katanya, PKR perlu diperkukuhkan sebelum menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Pengumuman sahabat saya Rafizi Ramli yang bawa saya masuk parti pada usia 19 tahun untuk kembali aktif bertanding timbalan presiden telah disambut dengan sangat positif. Bukan hanya anggota parti tapi orang ramai yang mahu alternatif politik BN dan PN.
“Saya berhasrat untuk bantu usaha tersebut dan dengan ini saya mahu tawarkan diri bertanding naib presiden parti,” katanya lapor FMT.
Nik Nazmi berkata, beliau juga mahu ahli PKR menawan semula pengundi bagi mendepani PRU15.
“Saya yakin ini gandingan terbaik, Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Presiden Rafizi Ramli, dengan gandingan pasukan pelbagai kaum dari Perlis hingga Sabah, lelaki dan wanita, saya yakin kita mampu untuk terus buktikan Keadilan bukan sahaja relevan hari ini tapi relevan masa depan,” kata Ahli Parlimen Setiawangsa itu.
Pemilihan parti bagi penggal 2022-2025 akan berlangsung dari 13-18 Mei.
Bagi jawatan Timbalan Presiden, Rafizi Ramli dijangka dicabar Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.
PENGARAH Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin mempersoalkan tentang arahan kenaikan gaji minimum RM1,500 sebulan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 baru-baru ini.
Memetik laporan FMT, beliau meminta kerajaan menjelaskan bagaimana perniagaan akan mendapat manfaat daripada kenaikan gaji minimum yang akan dikuatkuasakan mulai 1 Mei ini.
Secara dasarnya, beliau bersetuju dengan kenaikan gaji daripada RM1,200 kepada RM1,500 sebulan, namun tiada analisis yang tepat mengenai kesan limpahannya disediakan.
“Kami tahu rakyat sedang bergelut untuk meneruskan kehidupan. Jika rakyat tak dapat bertahan, maka perniagaan yang bergantung pada rakyat juga tak dapat bertahan.
“Namun setakat ini, tiada penjelasan daripada kerajaan. Jika ada, lebih mudah untuk perniagaan menerimanya,” katanya.
Ameer menambah, kos gaji Mydin akan meningkat sebanyak RM25 juta setahun ekoran peningkatan kadar gaji minimum.
Sehubungan itu, beliau bertanya sama ada kerajaan faham bahawa kenaikan gaji akan mendorong peningkatan kos bagi perniagaan, seterusnya kenaikan harga barangan.
Ketika menggulung perbahasan pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO 2021 18 Mac lalu, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO menyatakan, pelaksanaan kenaikan gaji minimum tersebut adalah bagi mengambil kira kos sara hidup kini yang kian meningkat, sekali gus menekan golongan B40 khususnya.
Beliau menambah, kajian impak telah dilaksanakan secara mendalam termasuk kesannya kepada pengusaha perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Ismail Sabri memberitahu, pelaksanaan gaji minimum yang baharu itu hanya melibatkan majikan sektor swasta yang mempunyai lima orang pekerja ke atas.
UNIVERSITI Multimedia (MMU) memilih 13 buah sekolah sebagai Sekolah Angkat MMU di bawah Program Sekolah Generasi Multimedia bagi merealisasikan hasrat negara mewujudkan generasi masa depan yang fasih digital.
Program berkenaan akan meningkatkan lagi tahap penguasaan kemahiran para pelajar melalui Transformasi Pendidikan Digital, Kebitaraan STEM dan Inovasi, serta Pendedahan Kerjaya Berkaitan Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0).
Pengarah Bahagian Sumber Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan, Maznah Abu Bakar berkata, program ini mempersiapkan para pelajar untuk menjadi generasi yang bukan sekadar kompeten bahkan fasih dalam pengetahuan serta kemahiran digital.
“Sekolah-sekolah ini bertuah kerana berpeluang mendapat mentor cemerlang dalam pendidikan digital iaitu MMU yang telah terbukti berjaya menghasilkan graduan yang menepati kehendak era digital dan pasaran kerja masakini,” katanya pada majlis perasmian program Sekolah Angkat MMU di kampus MMU Cyberjaya, baru-baru ini. Majlis itu turut dihadiri oleh Presiden MMU, Prof. Dato’ Dr. Mazliham Mohd. Su’ud.
Prof. Mazliham mengumumkan MMU akan menyalurkan sebanyak RM5,000 kepada setiap sekolah bagi membantu pembangunan dan pemantapan infrastruktur yang berkaitan dengan teknologi digital di bawah program berkenaan. “MMU akan berkongsi dan memindahkan ilmu pengetahuan, kemahiran, dan pengalaman kepada sekolah-sekolah angkat ini secara sistematik dan berkala,” jelasnya.
Prof. Dato’ Dr. Mazliham Mohd. Su’ud menyampaikan sumbangan kepada Pengetua SMK Bukit Jalil, Dr. Rosnani Kaman sambil disaksikan oleh Maznah Abu Bakar (dua dari kanan). Turut hadir guru sekolah (dari kiri) Tan Seok Koon, Normah Mohd. Salleh dan Yang Dipertua sekolah, Dr. Noor Fajri Ismail.
Sekolah-sekolah berkenaan ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putra Perdana, Selangor; SMK Seri Kembangan, Selangor; SMK Bandar Puncak Jalil, Selangor; SMK Seri Saujana, Kuala Lumpur; SMK Bukit Jalil, Kuala Lumpur; SMK Seri Permaisuri, Kuala Lumpur; SMK Agama Slim River, Perak; SMK Seri Perak, Perak; SMK Changlun, Kedah; SMK Seberang Jaya Pulau Pinang; SMK Dang Anum, Melaka; Sekolah Menengah (SM) Sains Muzaffar Syah, Melaka; dan SM Sains Muar, Johor.
KHAIRUL NIDZAR MOHD ZAKI
Guru bimbingan kaunseling SMK Seberang Jaya, Khairul Nidzar Mohd. Zaki berkata, program ini dapat memberi pendedahan luas kepada para pelajar tentang ilmu dan kemahiran baharu era digital khususnya dalam bidang ICT, multimedia dan kejuruteraan.
“Para pelajar akan dapat bimbingan secara hands on oleh pensyarah MMU yang akan turun padang ke sekolah kami, ini adalah satu peluang keemasan untuk warga sekolah menimba sebanyak mungkin ilmu pengetahuan dari MMU,” katanya.
ROZITA PUTEH
Pengetua SMK Seri Permaisuri Kuala Lumpur, Rozita Puteh berkata, penglibatan sekolahnya dalam program ini adalah kesinambungan daripada program-program bersama MMU sejak 2019.
“Sumbangan MMU sangat besar dalam usaha melahirkan generasi fasih digital dari bangku sekolah lagi. Sekolah kami telah berjaya memenangi tempat pertama Project Based-Learning 2019 serta mewujudkan kandungan e-Evidence sekolah selain mempunyai Kelab Multimedia,” jelasnya.
Bagi Guru Kaunseling, Tan Seok Koon, program Sekolah Angkat MMU bakal menarik minat lebih ramai pelajar dalam bidang ICT dan multimedia kerana mereka berpeluang untuk meneroka kemudahan-kemudahan canggih yang ditawarkan oleh MMU. “Saya sendiri berasa teruja apabila dapat melawat makmal-makmal dan kemudahan yang terdapat dalam kampus MMU. Kami rasa cukup bertuah kerana terpilih sebagai sekolah angkat MMU,” katanya.
SIAPA yang tak bengang bila isteri kesayangan dijadikan bahan lawak di hadapan khalayak ramai.
Aktor Hollywood, Will Smith tidak dapat menahan sabar apabila Chris Rock bergurau tentang kepala isterinya, Jada Pinkett yang dicukur botak pada majlis Anugerah Oscar malam tadi.
Memetik laporan Mirror, bintang siri komedi Fresh Prince of Bel Air itu mengejutkan para selebriti yang hadir dan penonton di rumah apabila di melempang muka Chris.
Insiden yang menggemparkan itu dapat dilihat secara langsung melalui kaca televisyen.
Ketika menyampaikan anugerah untuk kategori dokumentari utama terbaik, Chris membuat lawak bodoh tentang rambut Jada.
“Jada, tak sabar menunggu untuk GI Jane 2,” katanya.
Will yang langsung tidak terhibur dengan lawak Chris terus meluru ke atas pentas dan melempang aktor komedi itu sebelum kembali ke tempat duduknya.
Video tular yang menunjukkan Will Smith melempang Chris Rock setelah isterinya, Jada Pinkett Smith dijadikan bahan lawak pada majlis Anugerah Oscar, malam Ahad. (Kredit: Twitter Erik Davis)
Lawak biadab yang dibuat oleh Chris adalah merujuk kepada filem GI Jane yang diterbitkan pada 1997.
Dalam filem tersebut, Demi Moore yang memegang watak utama mempunyai fesyen rambut yang serupa dengan Jada.
“Wau, Will Smith baru saja melempang saya. Ini merupakan malam yang paling hebat dalam sejarah televisyen,” kata Chris.
Will kemudian dianugerahkan Oscar sulungnya atas watak yang dilakonkannya dalam King Richard.
Beliau turut meminta maaf atas tindakannya melempang Chris sebelum itu.
“Saya kelihatan seperti bapa yang gila, seperti yang mereka katakan tentang Richard Williams, namun cinta membuatkan kita melakukan perkara yang gila.
“Terima kasih atas penghormatan ini, terima kasih atas saat ini… saya harap Akademi akan menjemput saya pada masa akan datang,” katanya.
JADA PINKETT SMITH (Gambar: Instagram)
Sebelum ini, Jada menjelaskan bahawa dia mencukur kepalanya disebabkan oleh penyakit alopecia yang dihidapi menyebabkan rambutnya gugur.
Dia mengumumkan perkara itu dalam Instagram tahun lalu serta berkongsi pengalamannya menghidap penyakit tersebut.
KEMENTERIAN KESIHATAN menafikan mesej palsu yang tular dalam media sosial mendakwa kononnya status vaksinasi individu yang masih belum mengambil dos penggalak COVID-19 dalam MySejahtera akan dipadamkan.
Dalam status Facebook hari ini, Kementerian Kesihatan memaklumkan bahawa status berkenaan hanya akan bertukar menjadi tidak lengkap.
“Untuk makluman, status vaksinasi COVID-19 kepada semua penerima vaksin Sinovac berusia 18 tahun dan ke atas yang masih belum menerima dos penggalak setelah layak dan penerima semua jenis vaksin dos primer berusia 60 tahun dan ke atas yang masih belum mendapatkan dos penggalak setelah layak hanya akan bertukar menjadi tidak lengkap dan BUKAN dihilangkan seperti yang dinyatakan dalam mesej tersebut,” kata kementerian itu.
Mesej palsu yang tular dalam media sosial.
Dalam mesej yang tular tersebut, orang ramai diminta menyimpan tangkap layar sijil vaksinasi masing-masing sebagai persediaan sekiranya maklumat tersebut dipadamkan.
AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh, Dr Salmee Said mendakwa terdapat serangan dilakukan terhadapnya di media sosial berikutan tindakannya memohon penjelasan daripada Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mengenai isu pembinaan asrama pelajar Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) baru-baru ini.
Justeru katanya, beliau kini sedang mengadakan perbincangan dengan barisan peguam, bagi mengambil tindakan undang-undang terhadap laskar siber serta mana-mana individu yang bertindak sedemikian, sekiranya perkara itu didapati mencemarkan reputasi dan kredibilitinya.
“Perkara ini dibawa ke media sosial sampai satu dunia tahu seolah-olah saya buat fitnah dalam sidang Dewan Undnagan Negeri (DUN). Saya bukan fitnah sebaliknya cuma mohon penjelasan daripada Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor saja berkaitan perkara itu.
“Jadi sekiranya perkara ini tersebar dan rosakkan nama baik saya, saya ada barisan peguam untuk ambil tindakan terhadap mereka sekiranya terdapat prima facie,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas keluar dari pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah bagi mengadakan pertemuan bersama pegawai suruhanjaya tersebut untuk membincangkan mengenai isu berkenaan.
Salmee hadir dengan ditemani Setiausaha Amanah Kedah, Asmirul Anuar Aris serta peguam, Nashitoh Kassim.
Dalam sesi penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Rabu lalu, Muhammad Sanusi mencabar mana-mana pihak yang mempunyai bukti berlaku salah laku rasuah membabitkan universiti berkenaan, membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Cabaran tersebut dikemukakan Muhammad Sanusi setelah Salmee mendakwa, dia menerima maklumat daripada kontraktor mengenai tindakan konsultan yang dikatakan meminta wang sehingga RM4 juta berkaitan pembinaan asrama tersebut.
Mengulas lanjut Salmee berkata, kehadirannya ke situ bukanlah kerana dipanggil SPRM untuk memberi penjelasan berhubung kes tersebut.
“Sebaliknya kami mengadakan pertemuan dengan SPRM hanya untuk membincangkan mengenai isu yang timbul. Sudah tentu SPRM lebih arif berkaitan mengenai konsultan dalaman dan luaran mengenai isu terbabit dan kami difahamkan mereka juga sebelum ini sudah memiliki maklumat berkenaan isu berkenaan,” katanya.
Dalam pada itu Salmee menyifatkan tindakan Muhammad Sanusi yang meninggikan suara terhadapnya ketika sesi penggulungan itu sebagai sesuatu yang tidak patut dilakukan.
“Saya masuk ke Sidang DUN untuk mohon penjelasan dari beliau. Yang Menteri Besar nak terpekik terlolong marah saya itu pasal apa?” soalnya.
BEKAS aktivis pelajar, Fahmi Zainol mengumumkan akan bertanding jawatan Ketua Pemuda PKR dalam pemilihan parti Mei ini.
Pada sidang media hari ini, Ketua Pemuda PKR Pulau Pinang itu turut memperkenalkan pasukannya yang akan bertanding dalam pemilihan berkenaan.
Mereka termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Chua Wei Kiat dan Ketua Pemuda PKR Melaka, Prasanth Kumar yang masing-masing akan merebut jawatan Timbalan Ketua Pemuda dan Naib Ketua sayap itu.
Selain itu, Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran juga menyertai barisan diketuai Fahmi dan akan bertanding bagi jawatan Ahli Majlis Eksekutif Pemuda PKR.
Fahmi berkata, beliau yakin dengan barisan pimpinannya yang terdiri daripada pelbagai latar belakang seperti ADUN, pelajar, aktivis politik dan profesional.
“Saya yakin kepelbagaian ini mampu menambat hati akar umbi dan juga belia Malaysia daripada pelbagai latar belakang,’’ katanya lapor FMT.
Katanya, beliau akan menumpukan tiga dasar utama – meraih sokongan pengundi muda dan pengundi kali pertama, meningkatkan penyertaan belia dan sayap Pemuda dalam pilihan raya umum ke-15 serta mengukuhkan Pemuda PKR.
Berhubung calon lain yang mungkin bertanding bagi jawatan Ketua Pemuda, Fahmi berkata, beliau mengalu-alukan penyertaan bekas aktivis pelajar, Adam Adli dan berharap persaingan sihat antara mereka.
RAFIZI Ramli bangkit mempertahankan ‘formula’ yang pernah dicanangnya satu ketika dahulu selepas disindir bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pada 23 Mac lalu, Najib melabelkan bekas Ahli Parlimen Pandan itu sebagai ‘raja formula songsang’.
Dalam majlis perasmian Ayuh Malaysia yang disiarkan melalui Facebook malam tadi, Rafizi berkata, formula adalah penting kerana langkah itu dapat mencari penyelesaian terhadap sesuatu masalah.
“Paling kurang saya ada formula, ini kamu ada menteri berlambak ni, satu formula pun tak ada.
“Kenapa formula penting sebab apabila kita bentangkan sesuatu idea, UMNO tak faham idea, dia cuma tahu formula sahaja,” katanya seperti dipetik daripada laporan FMT.
Selain Najib, bekas Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak juga menyindir Rafizi berkaitan ‘formula’ susulan tindakannya untuk kembali aktif dalam politik dan merebut jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan parti itu Mei ini.
Farhash berkata, Rafizi sebelum ini tidak menjalankan tugas sebagai Naib Presiden serta menghilangkan diri ketika parti memerlukannya.
Rafizi mula menyepikan diri selepas rejim Pakatan Harapan (PH) berkuasa dan tiba-tiba membuat penampilan semula dalam politik.
Beliau terkenal dengan julukan ‘raja formula’ ekoran pembentangan terperincinya ketika menentang pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) serta kenaikan harga petrol dan subsidi.
Walau bagaimanapun, Rafizi ditempelak dengan hebat oleh orang ramai ekoran kegagalan rejim PH menunaikan janji-janji yang terkandung dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Harga barang masih tidak turun walaupun selepas rejim PH memansuhkan GST dan mengembalikan semula cukai jualan dan perkhidmatan (SST).
Selain itu, harga minyak juga tidak turun sedangkan Rafizi mempunyai formula yang didakwa boleh mengawal kenaikan harga minyak.
Rafizi pernah mendakwa bahawa janji untuk menurunkan harga minyak kepada RM1.50 seliter dibuat oleh PAS.
Namun, beliau terpaksa menelan ludah sendiri apabila tular video kempen PRU-14 yang memaparkan beliau antara lain berkata:
“Saya akan huraikan bagaimana GST boleh dimansuhkan dan sumber-sumber pendapatan untuk menggantikan GST serta kaedah menetapkan harga minyak yang boleh menetapkan harga minyak serendah RM1.50 seliter.”
KEMENANGAN berturut-turut Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Johor tidak boleh dijadikan indikator utama bahawa parti akan meneruskan momentum kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah berkata, kemenangan dua pertiga kerusi dalam PRN terbabit juga tidak melambangkan kekuatan parti itu di mata rakyat.
“Banyak tidak keluar mengundi….bukan jumlah sedikit dan orang muda pun tidak keluar mengundi. Jadi, jangan kita fikir dapat dua pertiga di PRN Melaka dan Johor kita kuat.. (sebenarnya) tak kuat.
“Kita tidak mendapat sokongan rakyat, ia (kemenangan) hanya delusi (kita) fikir dapat (sokongan), tetapi sebenarnya tidak dapat,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Ke-9 Gagasan Melayu Perak (GMP) di Dewan Komuniti Taman Cempaka, di Ipoh hari inio, lapor Berita Harian.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Gua Musang turut melahirkan kebimbangan melihat pemimpin parti begitu seronok dengan kemenangan besar dalam dua PRN terbabit sedangkan hakikatnya rakyat tidak bersama dengan parti.
“PRN Melaka dan Johor lebih banyak membincangkan isu setempat berbanding isu negara. Ramai rakyat hanya fikir soal parit, jalan luar bandar dan tidak fikir pasal dasar luar dan dasar dalam negeri.
“Banyak perkara tidak dibicara semasa PRN negeri, jadi cuma isu setempat sahaja. Saya bimbang mereka (pengundi) akan menyokong sebaliknya (dalam PRU-15).
“Ini kerisauan saya. Walaupun pemimpin seronok – patut seronok dah menang besar (dalam PRN Johor dan Melaka) – tetapi hakikatnya tiada sokongan daripada rakyat,” katanya yang juga bekas Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO.
Ditanya apakah beliau mengharapkan UMNO menjadi parti politik utama memerintah untuk membuat perubahan selepas momentum ditunjukkan pada PRN Melaka dan Johor, katanya ia bukan mudah kerana terpulang kepada ahli.
“Ahli sudah dapat melihat apa yang sudah berlaku dan perubahan yang perlu untuk memperbaiki keadaan.
“Saya berpendapat berdasarkan sikap ditunjukkan (ketika ini), saya rasa tidak ada satu parti yang boleh menubuhkan kerajaan selepas PRU-15,” katanya.
Dalam PRN Melaka berlangsung November lalu, BN memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala di Johor parti itu meraih kemenangan selesa apabila memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN.