UNIVERSITI Multimedia (MMU) memilih 13 buah sekolah sebagai Sekolah Angkat MMU di bawah Program Sekolah Generasi Multimedia bagi merealisasikan hasrat negara mewujudkan generasi masa depan yang fasih digital.

Program berkenaan akan meningkatkan lagi tahap penguasaan kemahiran para pelajar melalui Transformasi Pendidikan Digital, Kebitaraan STEM dan Inovasi, serta Pendedahan Kerjaya Berkaitan Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0).

Pengarah Bahagian Sumber Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan, Maznah Abu Bakar berkata, program ini mempersiapkan para pelajar untuk menjadi generasi yang bukan sekadar kompeten bahkan fasih dalam pengetahuan serta kemahiran digital.

“Sekolah-sekolah ini bertuah kerana berpeluang mendapat mentor cemerlang dalam pendidikan digital iaitu MMU yang telah terbukti berjaya menghasilkan graduan yang menepati kehendak era digital dan pasaran kerja masakini,” katanya pada majlis perasmian program Sekolah Angkat MMU di kampus MMU Cyberjaya, baru-baru ini. Majlis itu turut dihadiri oleh Presiden MMU, Prof. Dato’ Dr. Mazliham Mohd. Su’ud.

Prof. Mazliham mengumumkan MMU akan menyalurkan sebanyak RM5,000 kepada setiap sekolah bagi membantu pembangunan dan pemantapan infrastruktur yang berkaitan dengan teknologi digital di bawah program berkenaan. “MMU akan berkongsi dan memindahkan ilmu pengetahuan, kemahiran, dan pengalaman kepada sekolah-sekolah angkat ini secara sistematik dan berkala,” jelasnya.

sekolah angkat MMU
Prof. Dato’ Dr. Mazliham Mohd. Su’ud menyampaikan sumbangan kepada Pengetua SMK Bukit Jalil, Dr. Rosnani Kaman sambil disaksikan oleh Maznah Abu Bakar (dua dari kanan). Turut hadir guru sekolah (dari kiri) Tan Seok Koon, Normah Mohd. Salleh dan Yang Dipertua sekolah, Dr. Noor Fajri Ismail.

Sekolah-sekolah berkenaan ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putra Perdana, Selangor; SMK Seri Kembangan, Selangor; SMK Bandar Puncak Jalil, Selangor; SMK Seri Saujana, Kuala Lumpur; SMK Bukit Jalil, Kuala Lumpur; SMK Seri Permaisuri, Kuala Lumpur; SMK Agama Slim River, Perak; SMK Seri Perak, Perak; SMK Changlun, Kedah; SMK Seberang Jaya Pulau Pinang; SMK Dang Anum, Melaka; Sekolah Menengah (SM) Sains Muzaffar Syah, Melaka; dan SM Sains Muar, Johor.

MMU
KHAIRUL NIDZAR MOHD ZAKI

Guru bimbingan kaunseling SMK Seberang Jaya, Khairul Nidzar Mohd. Zaki berkata, program ini dapat memberi pendedahan luas kepada para pelajar tentang ilmu dan kemahiran baharu era digital khususnya dalam bidang ICT, multimedia dan kejuruteraan.

“Para pelajar akan dapat bimbingan secara hands on oleh pensyarah MMU yang akan turun padang ke sekolah kami, ini adalah satu peluang keemasan untuk warga sekolah menimba sebanyak mungkin ilmu pengetahuan dari MMU,” katanya.

MMU
ROZITA PUTEH

Pengetua SMK Seri Permaisuri Kuala Lumpur, Rozita Puteh berkata, penglibatan sekolahnya dalam program ini adalah kesinambungan daripada program-program bersama MMU sejak 2019.

“Sumbangan MMU sangat besar dalam usaha melahirkan generasi fasih digital dari bangku sekolah lagi. Sekolah kami telah berjaya memenangi tempat pertama Project Based-Learning 2019 serta mewujudkan kandungan e-Evidence sekolah selain mempunyai Kelab Multimedia,” jelasnya.

Bagi Guru Kaunseling, Tan Seok Koon, program Sekolah Angkat MMU bakal menarik minat lebih ramai pelajar dalam bidang ICT dan multimedia kerana mereka berpeluang untuk meneroka kemudahan-kemudahan canggih yang ditawarkan oleh MMU. “Saya sendiri berasa teruja apabila dapat melawat makmal-makmal dan kemudahan yang terdapat dalam kampus MMU. Kami rasa cukup bertuah kerana terpilih sebagai sekolah angkat MMU,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here