Author: Wartawan WartaRakyat

  • Sultan Selangor beli lukisan unik, papar ‘realiti sinis’ di Dewan Rakyat

    Sultan Selangor beli lukisan unik, papar ‘realiti sinis’ di Dewan Rakyat

    SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada Selasa membeli sebuah karya seni lukisan sinis berkaitan senario di Dewan Rakyat yang menarik perhatian baginda.

    Selangor Royal Office dalam hantaran di laman Facebook memaklumkan, Sultan Sharafuddin berhasrat menggantung lukisan tersebut di bilik bacaan peribadi baginda.

    “Sebuah hasil karya seni lukisan telah menarik perhatian Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

    “Satu hari nanti, baginda berhasrat untuk melelong lukisan ini dan hasil lelongannya akan disumbangkan untuk tujuan kebajikan,” demikian menurut hantaran tersebut.

    Berdasarkan beberapa keping gambar yang dimuat naik, karya seni yang dilihat mempunyai maksud tersirat itu seolah-olah menggambarkan realiti secara sinis gelagat Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

    Sultan Sharafuddin turut kelihatan merenung lakaran karya tersebut, yang antaranya memaparkan individu yang dipercayai memegang jawatan sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat sedang mengendalikan sidang.

    Paling menarik perhatian ialah lakaran seni pelbagai spesis monyet seperti Orang Utan, beruk, kera, babun serta beberapa ekor katak yang berada di kedudukan kiri dan kanan Dewan Rakyat.

    Watak haiwan di dalam seni lukisan seperti karya terkenal Banksy itu dizahirkan dengan beberapa reaksi seperti ketawa, mengantuk serta ‘kelesuan’.

    Namun, tiada pendedahan dari mana baginda membeli lukisan terbabit atau siapakah pelukis yang bertanggungjawab melukis lukisan yang penuh keunikan tersebut.

  • Pemilihan PKR: Aflin lawan Nik Nazmi, Hans Isaac bertembung dengan Altimet

    Pemilihan PKR: Aflin lawan Nik Nazmi, Hans Isaac bertembung dengan Altimet

    PEMILIHAN Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada bulan depan bakal menyaksikan senario baharu apabila tiga selebriti tanah air yang juga ahli parti berkenaan turut menyertai senarai yang akan bertanding merebut jawatan yang dipertandingkan.

    Astro Awani melaporkan Pelakon, penerbit dan pengarah Datuk Afdlin Shauki mengesahkan bakal merebut jawatan Ketua Cabang Setiawangsa pada pemilihan parti yang akan diadakan bulan depan.

    Beliau akan memberi saingan kepada penyandang jawatan berkenaan, Nik Nazmi Nik Ahmad yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa.

     Menurut Afdlin, keputusannya untuk bertanding merebut jawatan Ketua Cabang Setiawangsa semata-mata didorong oleh aspirasinya untuk mengukuhkan lagi hubungan parti itu dengan masyarakat.

    Kebetulan pula, Setiawangsa, kata Afdlin, sangat dekat dengan diri beliau kerana di penempatan itulah beliau menetap sejak dua dekad lalu.

    “Setiawangsa adalah rumah saya sejak 20 tahun lalu dan sudah dua kali saya didatangi oleh penyokong-penyokong PKR yang meminta saya bersama-sama meraikan demokrasi dalam PKR dengan bertanding kerusi Ketua Cabang Setiawangsa.

    “Hasrat dan harapan penyokong-penyokong ialah saya dapat sama-sama membantu mengukuhkan lagi hubungan dengan masyarakat, meneruskan usaha meremajakan parti selain menyuntik semangat keharmonian dalam usaha menjadikan PKR parti pilihan rakyat khususnya menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kelak,” kata Afdlin kepada Astro AWANI.

    Afdlin yang meyertai PKR pada 1 April tahun lalu berkata, bersandarkan pada pengalaman luasnya dalam kerja-kerja kemanusiaan memberikan keyakinan kepadanya untuk berhadapan dengan persaingan dalam merebut jawatan Ketua Cabang Setiawangsa itu.

    Sementara itu, dua lagi selebriti yang turut mencuba nasib pada Pemilihan PKR ialah Datuk Hans Isaac dan Altimet.

    Difahamkan, Hans Isaac dan Altimet masing-masing yang memilih PKR sebagai wadah perjuangan politik mereka akan bertanding jawatan Ketua Cabang Ampang.

    Menurut sumber., kedua-dua personaliti hiburan itu sudah mendaftarkan diri mereka untuk menyertai persaingan itu bagi merebut kerusi yang pernah disandang oleh Datuk Zuraida Kamaruddin, sebelum meninggalkan PKR dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    Kedua-dua artis berkenaan juga akan berhadapan dengan enam calon lain yang difahamkan juga sedang mengintai kerusi Ketua Cabang Ampang itu.

  • Video TikTok tular dakwa anggota rasuah, polis Pulau Pinang siasat

    Video TikTok tular dakwa anggota rasuah, polis Pulau Pinang siasat

    POLIS Pulau Pinang telah menjalankan siasatan berhubung video TikTok yang tular di media sosial melibatkan anggotanya yang didakwa menerima rasuah yang berlaku di Bagan Ajam, Butterworth semalam.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd. Radzi Ahmad berkata, video kejadian berdurasi 1.01 minit menerusi aplikasi TikTok itu dikesan tular pukul 10 pagi semalam.

    Menurut beliau, rakaman video yang dimuat naik oleh pemilik akaun yang menggunakan nama ‘Iqalice1 Babymeylice’ di media sosial TikTok itu memaparkan dakwaan anggota polis menerima rasuah daripada seorang lelaki.

    “Susulan itu, lelaki terbabit tampil membuat laporan polis di Balai Polis Simpang Ampat, Seberang Perai Selatan (SPS) pukul 11.30 pagi.

    “Kita tidak akan berkompromi sekiranya berlaku salah laku membabitkan mana-mana pegawai polis dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menerusi rakaman video itu, seorang wanita dilihat menghulurkan wang sebanyak RM200 kepada seorang lelaki yang kemudiannya keluar dari kereta dan dipercayai menuju ke kenderaan polis untuk menyerahkan wang terbabit.

    Video itu kemudian tular dan mendapat pelbagai reaksi netizen yang rata-ratanya mengecam perbuatan tersebut dan mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan tegas sekiranya kesalahan melibatkan anggota polis terbabit benar-benar berlaku.

  • Maritim Malaysia Pulau Pinang bantu kru kapal warga India alami tekanan darah tinggi

    Maritim Malaysia Pulau Pinang bantu kru kapal warga India alami tekanan darah tinggi

    MARITIM Malaysia Pulau Pinang mengkoordinasikan operasi pemindahan perubatan (Medevac) melibatkan seorang kru kapal Pacific Dove yang disyaki mengalami tekanan darah tinggi dalam pelayaran dari Singapura ke Pelabuhan Kalinada India, pagi tadi.

    Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang menerima panggilan kecemasan daripada ejen kapal tersebut kira-kira pukul 5.30 pagi.

    Menurut beliau, berdasarkan koordinat kapal pada masa itu berada dalam kawasan maritim Kedah/Perlis.

    “Maka, Maritim Negeri Pulau Pinang memohon bantuan aset dari Zon Maritim Kuala Kedah untuk diatur gerak ke lokasi kira-kira 6.9 batu nautika utara Mukah Head bagi membantu memindahkan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut beliau, bot Perkasa 1226 dari Zon Maritim Kuala Kedah telah diatur gerak dan tiba di lokasi kapal kira-kira pukul 8 pagi.

    “Mangsa, Santosh Kumar, 47, yang merupakan warga India kemudian dipindahkan daripada kapal ke bot untuk dibawa ke Jeti Swettenham Pier sebelum dikejarkan ke Hospital Gleneagles Pulau Pinang untuk rawatan lanjut,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau meminta mana-mana pihak yang mempunyai sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut segera menghubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian (04-2626146) atau talian kecemasan MERS 999.

  • Nicky Liow mengaku tak bersalah 26 tuduhan pengubahan wang haram

    Nicky Liow mengaku tak bersalah 26 tuduhan pengubahan wang haram

    NICKY Liow, yang disyaki mengetuai kumpulan jenayah terancang, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 26 tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM36 juta.

    Ahli perniagaan berusia 34 tahun itu membuat pengakuan tersebut terhadap semua tuduhan yang dibacakan kepadanya dalam bahasa Mandarin di hadapan hakim Helina Sulaiman.

    Dia didakwa mengubah secara haram RM36 juta daripada pelbagai transaksi yang dijalankan di beberapa bank di Bandar Puteri Puchong dan Ampang antara 2016 dan 2021.

    Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

    Liow berdepan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti yang menyalahi undang-undang, atau RM5 juta, mana-mana lebih tinggi, jika didapati bersalah, lapor FMT

    Mahkamah membenarkan ikat jamin sebanyak RM1 juta dengan dua penjamin. Hakim membenarkan ikat jamin itu dibayar dalam dua ansuran, dengan yang terakhir mesti dibayar esok.

    Liow turut diarah menyerahkan pasportnya dan melaporkan diri kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) dua kali sebulan.

    Mahkamah menetapkan 26 Mei untuk sebutan kes.

    Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rozaliana Zakaria dan Syafinas Shabudin, manakala Liow diwakili peguam Rajpal Singh.

    Liow menyerah diri kepada JSJK Bukit Aman semalam selepas melarikan diri daripada polis berkait dakwaan sindiket Macau Scam tahun lepas.

    Tindakan keras polis membawa kepada penahanan puluhan individu yang disyaki menjadi anggota sindiket tersebut.

    Dua pegawai SPRM dan sekurang-kurangnya sembilan pegawai polis yang dikatakan bersubahat turut ditahan tetapi kemudian dibebaskan dengan ikat jamin.

  • Anwar kekal Presiden, Nurul Izzah tak bertanding tumpu kempen ‘Ayuh Malaysia’

    Anwar kekal Presiden, Nurul Izzah tak bertanding tumpu kempen ‘Ayuh Malaysia’

    KETIKA ramai penyokong PKR mengharapkan Nurul Izzah Anwar akan bertanding sekurang-kurangnya bagi jawatan Naib Presiden dalam pemilihan parti itu Mei ini, namun Ahli Parlimen Permatang Pauh itu membuat keputusan sebaliknya.

    Dalam satu kenyataan,  Nurul Izzah Anwar berkata, beliau tidak akan bertanding dalam pemilihan pucuk pimpinan PKR bagi penggal 2022/2025 sebaliknya akan menumpukan usaha menarik pengundi yang masih di atas pagar menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    ‘’Usaha menarik pengundi atas pagar itu akan dilakukan memenerusi kempen Ayuh Malaysia yang dilancarkan Rafizi Ramli baru-baru ini. Seiring dengan komitmen penuh saya kepada usaha melindungi masa depan parti serta perjuangan yang kita kasihi, saya akan menumpukan sepenuh usaha dan perhatian kepada kempen memenangi hati pengundi atas pagar menerusi wadah Ayuh Malaysia,” katanya.

    Nurul Izzah membuat pengumuman itu selepas PKR menutup pencalonan presiden, timbalan presiden dan empat jawatan naib presiden serta lima jawatan teratas dalam sayap Wanita dan Pemuda dalam pemilihan parti tahun ini.

    Terdahulu, Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal sebagai presiden parti itu selepas menang tanpa bertanding.

    Pemilihan jawatan naib presiden bakal menyaksikan persaingan 18 calon, antaranya Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari; ketua penerangan Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin; pengarah komunikasi Fahmi Fadzil; ketua Wanita Fuziah Salleh; Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun dan bekas pembantu Anwar, Farhash Wafa Salvador.

    Bagaimanapun, senarai penuh calon yang akan bertanding hanya akan dimuktamadkan esok sekiranya terdapat sebarang bantahan atau penarikan diri.

    Pencalonan bagi pemilihan PKR 2022 bermula pada 8 April dan berakhir 10 April, melibatkan jawatan di peringkat cabang di seluruh negara.

    Proses pengundian bagi pemilih secara dalam talian ialah dari 18 hingga 20 Mei manakala secara fizikal pada 13 hingga 17 Mei.

  • Pesara TUDM meninggal dunia ketika solat Isyak

    Pesara TUDM meninggal dunia ketika solat Isyak

    SEORANG pesara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Yusri Taib, 51, meninggal dunia ketika menunaikan solat Isyak berjemaah di Masjid An-Nur, Saujana Utama, dekat sini, malam tadi.

    Beliau yang berasal dari Melaka sebelum itu rebah dalam rakaat pertama solat Isyak sebelum disahkan meninggal dunia oleh kumpulan paramedik dari Hospital Sungai Buloh.

    Abang Allahyarham, Mat Isa Taib, 56, berkata adiknya bersara daripada TUDM kira-kira sembilan tahun lalu dan menjalankan perniagaan menjahit kusyen dan bantal yang diusahakan bersama isterinya.

    Katanya, Allahyarham meninggalkan seorang balu dan empat anak berusia antara 16 hingga 23 tahun.

    “Anak sulungnya baru sahaja bekerja selepas menamatkan pengajian,” katanya lapor Berita Harian, hari ini.

    Timbalan Nazir Masjid An-Nur, Azman Omar, pula berkata jenazah Allahyarham dimandikan di Masjid An-Nur pagi ini dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Bukit Cerakah kira-kira jam 11 pagi.

    Pemergian jemaah yang sungguh dicemburui iaitu ketika solat Isyak pada Ramadan itu turut mendapat perhatian pendakwah, Pahrol Mohamad Juoi yang turut berjemaah di masjid berkenaan ketika kejadian.

    Dalam tulisannya di Facebook, beliau berkata, ketika imam membaca surah pertama solat Isyak malam tadi, tiba-tiba kedengaran seorang di belakangnya rebah dengan bunyi suara yang agak kuat ‘Allah’.

    Usai solat, beberapa orang menerpa untuk memberi pertolongan cemas selain jemaah lain memberi ruang bagi proses pengudaraan yang baik serta mendoakan kebaikan untuk beliau.

    “Beliau tidak sedarkan diri. Usai solat Tarawih diikuti solat witir, dimaklumkan yang jemaah berkenaan telah meninggal dunia.

    “Saya terpegun. Sayu. Sedih. Begitu cepat dan tiba-tiba Izrail menjemputnya pulang. Dan alangkah indah kematiannya…di rumah Allah pada malam Ramadan yang berkah, sedang solat serta sempat mengucapkan nama Allah…Cemburu,” tulisnya.

  • Akibat buat tabik Nazi,  kemenangan pelumba Go-Kart Itali ditarik balik

    Akibat buat tabik Nazi,  kemenangan pelumba Go-Kart Itali ditarik balik

    SEORANG pelumba Go-Kart Rusia meminta maaf selepas membuat tabik Nazi ketika di atas podium dalam Kejohanan Kart Eropah di Portugal semalam.

     Artem Severiukhin, 15 menepuk dada sebelum menaikkan tapak tangannya selepas menjuarai perlumbaan peringkat 11-15. Pemuda tersebut kemudiannya dilihat tergelak-gelak selepas membuat isyarat Nazi itu.

    Pasukan Severiukhin, Ward Racing bertindak menyingkirkan pelumba itu selepas Persekutuan Automobil Antarangbangsa (FIA) melancarkan siasatan terhadap tindakan yang dianggap ‘tidak boleh diterima’.

    Severiukhin meminta maaf dan menjelaskan beliau tidak menyokong fasisme. Beliau juga menegaskan  isyarat tersebut merupakan isyarat tradisional di Itali .

    “Saya ingin meminta maaf. Saya tidak menyokong Nazi dan tahu ia merupakan  salah satu jenayah yang besar terhadap manusia. Saya bersedia untuk menerima hukuman namun saya tidak menyokong Nazi atau fasisme,” kata Severiukhin.

    Pasukannya mengeluarkan  kenyataan bahawa mereka tidak menyokong tindakan pemuda tersebut.

    “Ward Racing tidak sama sekali menyokong tindakan peribadi pelumba, Artem Severiukhin ketika majlis anugerah pada 10 April 2022. Kami berpendapat ia menunjukkan ketiadaan semangat kesukanan dan perlanggaran terhadap kod etika serta moral sukan,’’ kata kenyataan itu.

    FIA mengeluarkan kenyataan bahawa mereka sedang menyiasat peristiwa tersebut dan menarik balik kemenangan pemuda Rusia itu.

    Severiukhin merupakan warga Rusia tetapi mewakili Itali dan tiada penjelasan bagaimana beliau boleh berlumba melalui penyertaan seperti itu.

    Isyarat Itali yang hampir sama dengan tabik Nazi itu juga dihina di negara tersebut dan diharamkan di tempat awam sejak 1952.

  • Nicky Liow akhirnya serah diri, akan didakwa esok

    Nicky Liow akhirnya serah diri, akan didakwa esok

    SELEPAS setahun melarikan diri daripada pihak berkuasa, ahli perniagaan dalam buruan, Nicky Liow akhirnya menyerah diri kepada polis.

    Nicky, 34, yang juga pengasas Winner Dynasty Group menyerah diri di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Menara KPJ, Jalan Tun Razak, di Kuala Lumpur jam 11 pagi hari ini .

    Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain, berkata ahli perniagaan itu ketika ini berdepan lebih 20 kes berkaitan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLAFTA).

    “Dia (Nicky) akan dihadapkan ke Mahkamah Shah Alam esok (hari ini) untuk menghadapi sebanyak 26 pertuduhan.

    “Sebelum ini pada 23 Mac lalu, Mahkamah Shah Alam mengeluarkan waran tangkap ke atas Nicky atau Liow Soon Hee untuk menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(a) AMLAFTA,” katanya lapor Berita Harian.

    Razarudin berkata, sebelum ini siasatan berhubung Seksyen 130 V hingga Seksyen 130 ZB Kanun Keseksaan bagi Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) digugurkan oleh mahkamah.

  • Amirudin tanding jawatan Naib Presiden PKR

    Amirudin tanding jawatan Naib Presiden PKR

    MENTERI Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari ‘menghangatkan’ lagi pemilihan PKR pada Mei ini apabila mengumumkan bertanding kerusi Naib Presiden parti itu.

    Ketika mengumumkan perkara tu pada sidang media yang disiarkan dalam media sosial, Amirudin berkata, keputusan itu diambilnya selepas mengadakan perbincangan dengan semua pihak terutama pimpinan PKR Selangor dan pimpinan pusat dari negeri-negeri lain.

    “Pemilihan ini saya insya-Allah akan jadi penyatu dan juga pengikat kepada pengukukuhan walaupun berlaku peristiwa-peristiwa yang tidak berapa diminta sebelum ini. Tetapi saya percaya setelah melalui beberapa proses kematangan saya harapkan kita akan dapat melahirkan pemilihan yang bersih, sihat dan damai yang mampu menjadi penyatu kepada kekukuhan parti menjelang pilihan raya akan datang,” katanya.

    Sambil memaklumkan turut bertemu dengan Majlis Pimpinan Pusat PKR, beliau berharap, keputusan untuk bertanding itu dapat menentukan hala tuju keseluruhan kepimpinan PKR di Selangor dan  sebagai landasan tepat untuk memulakan gerak kerja dan menyambung gerak kerja pilihan raya yang sudah bermula.

    “Menjadi keutamaan penting kita bagi menentukan kemenangan dicapai dan diteruskan di Selangor dan mampu menjadi contoh pada negeri-negeri lain,” katanya.