PEMILIHAN Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada bulan depan bakal menyaksikan senario baharu apabila tiga selebriti tanah air yang juga ahli parti berkenaan turut menyertai senarai yang akan bertanding merebut jawatan yang dipertandingkan.

Astro Awani melaporkan Pelakon, penerbit dan pengarah Datuk Afdlin Shauki mengesahkan bakal merebut jawatan Ketua Cabang Setiawangsa pada pemilihan parti yang akan diadakan bulan depan.

Beliau akan memberi saingan kepada penyandang jawatan berkenaan, Nik Nazmi Nik Ahmad yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa.

 Menurut Afdlin, keputusannya untuk bertanding merebut jawatan Ketua Cabang Setiawangsa semata-mata didorong oleh aspirasinya untuk mengukuhkan lagi hubungan parti itu dengan masyarakat.

Kebetulan pula, Setiawangsa, kata Afdlin, sangat dekat dengan diri beliau kerana di penempatan itulah beliau menetap sejak dua dekad lalu.

“Setiawangsa adalah rumah saya sejak 20 tahun lalu dan sudah dua kali saya didatangi oleh penyokong-penyokong PKR yang meminta saya bersama-sama meraikan demokrasi dalam PKR dengan bertanding kerusi Ketua Cabang Setiawangsa.

“Hasrat dan harapan penyokong-penyokong ialah saya dapat sama-sama membantu mengukuhkan lagi hubungan dengan masyarakat, meneruskan usaha meremajakan parti selain menyuntik semangat keharmonian dalam usaha menjadikan PKR parti pilihan rakyat khususnya menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kelak,” kata Afdlin kepada Astro AWANI.

Afdlin yang meyertai PKR pada 1 April tahun lalu berkata, bersandarkan pada pengalaman luasnya dalam kerja-kerja kemanusiaan memberikan keyakinan kepadanya untuk berhadapan dengan persaingan dalam merebut jawatan Ketua Cabang Setiawangsa itu.

Sementara itu, dua lagi selebriti yang turut mencuba nasib pada Pemilihan PKR ialah Datuk Hans Isaac dan Altimet.

Difahamkan, Hans Isaac dan Altimet masing-masing yang memilih PKR sebagai wadah perjuangan politik mereka akan bertanding jawatan Ketua Cabang Ampang.

Menurut sumber., kedua-dua personaliti hiburan itu sudah mendaftarkan diri mereka untuk menyertai persaingan itu bagi merebut kerusi yang pernah disandang oleh Datuk Zuraida Kamaruddin, sebelum meninggalkan PKR dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Kedua-dua artis berkenaan juga akan berhadapan dengan enam calon lain yang difahamkan juga sedang mengintai kerusi Ketua Cabang Ampang itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here