Author: Wartawan WartaRakyat

  • Anwar perlu ‘berperanan seperti PM’, bukan Ketua Pembangkang, kata penganalisis

    Anwar perlu ‘berperanan seperti PM’, bukan Ketua Pembangkang, kata penganalisis

    KEGAGALAN kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) untuk mendapatkan sokongan daripada majoriti pengundi Melayu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini antaranya disebabkan Datuk Seri Anwar Ibrahim masih bersikap seperti Ketua Pembangkang dan bukannya sebagai Perdana Menteri yang menyelesaikan masalah rakyat, kata penganalisis. 

    Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisommudin Bakar berkata, tindakan Anwar yang terlalu sibuk berpolitik dan tidak henti-henti menyerang Perikatan Nasional (PN) akhirnya memberikan imej negatif dan rakyat melihat beliau seolah-olah cuba memainkan peranan seperti Ketua Pembangkang dahulu. 

    Katanya, ini menyebabkan penolakan rakyat terutamanya pengundi Melayu yang kecewa melihat Perdana Menteri tidak memberikan tumpuan untuk menyelesaikan masalah rakyat.

    “Tumpuan beliau ialah kepada pemulihan ekonomi berbanding bertungkus-lumus turun ke lapangan untuk berkempen seperti ketika jadi Ketua Pembangkang dahulu,” katanya kepada MalaysiaNow. 

    Baru-baru ini Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Bersatu Bahagian Nibong Tebal Yaakob Osman dalam tulisannya di Facebook yang bertajuk ‘Anwar hilang taring?’ menyenaraikan kawasan yang Perdana Menteri turun untuk berkempen pada pilihan raya negeri (PRN) lalu akan tetapi menyaksikan kekalahan gabungan PH-BN. 

    “Tidak cukup dengan ‘billboard’ Malaysia Madani dengan wajah senyum sumbingnya, beliau sendiri turun ke gelanggang. 

    “Permatang Pauh, Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti, Seberang Jaya dan Permatang Pasir,” katanya merujuk kepada kampung halaman Anwar yang menyaksikan PN menyapu bersih ketiga-tiga kerusi DUN dalam kawasan Parlimen tersebut. 

    PRN di enam negeri baru-baru ini menyaksikan kedudukan status quo di mana gabungan PH-BN berjaya mengekalkan Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, sementara PN pula berjaya mengekalkan penguasaan di Kedah, Terengganu dan Kelantan. 

    Akan tetapi PN berjaya menafikan majoriti dua pertiga gabungan PH-BN di Selangor apabila berjaya memenangi 22 daripada 56 kerusi DUN. 

    Di Pulau Pinang pula, PN berjaya mendapat 11 kerusi DUN dan 5 di Negeri Sembilan. Di negeri-negeri yang dimenangi PN pula, majoriti kerusi bertambah dengan banyak di mana negeri seperti Terengganu menyaksikan PN menyapu bersih kesemua 32 kerusi DUN. 

    Lebih mencabar bagi Anwar

    Menurut Hisommudin, harapan rakyat terlalu tinggi kepada kerajaan dan Anwar seharusnya menumpukan untuk melaksanakan segera janji PH pada Pilihan Raya Umum ke-15 lalu.

    “Harapan rakyat terlalu tinggi untuk beliau mengurangkan kos sara hidup. 

    “Ini kerana beliau dilihat terlalu banyak berpolitik, tampil atas pentas dengan mesej keras seolah beliau masih lagi Ketua Pembangkang. Jadi tumpuan perdana menteri selepas ini agak mencabar,” katanya.

    Seorang lagi penganalisis Azmi Hassan dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR) berkata, kesilapan Anwar dan gabungan PH-BN kerana terlalu agresif ketika berkempen sehingga rakyat melihat Perdana Menteri lebih menumpukan kepada agenda politiknya daripada menyelesaikan masalah negara terutama isu melibatkan ekonomi dan kos sara hidup.

    “Perdana Menteri perlu tunjuk kesungguhan beliau, dan kesungguhan itu adalah dengan mentadbir negara selesaikan masalah negara dan rakyat. 

    “Anwar hanya perlu jalankan tugas sebagai perdana menteri sahaja,” katanya. 

    Bagaimanapun, penganalisis dari USM, Azmil Tayeb berkata, kegagalan gabungan PH-BN mendapatkan sokongan Melayu bukan soal pengaruh Anwar berkurangan namun lebih kepada kegagalan beliau untuk memujuk bagi mendapatkan sokongan.

    “Anwar adalah seorang figura yang sama ada disukai atau tidak disukai masyarakat. 

    “Jadi saya melihat ini sebagai kegagalan Anwar untuk memujuk orang tidak menyukai beliau untuk menyokong beliau dan PH dan BN,” katanya.

  • PRK:Hadi gesa ahli UMNO undi calon PN untuk selamatkan negara

    PRK:Hadi gesa ahli UMNO undi calon PN untuk selamatkan negara

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengajak ahli UMNO mengundi calon Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kwecil (PRK) DUN Simpang Jeram yang disifatkan sebagai tanggungjawab mereka untuk menyelamatkan negara dan Islam.

    Menurut Hadi, penyokong UMNO perlu mengundi calon PN, Dr. Mohd. Mazri Yahya atas alasan semak dan imbang walaupun kemenangan itu tidak mampu menukar kerajaan negeri dikuasai Barisan Nasional (BN).

    “Orang UMNO di Johor kena fikir panjang sebelum mengundi, ada kewajipan nak selamatkan negara, walaupun tidak memerintah, tetapi satu kerusi inilah amar makruf nahi mungkar di DUN demi selamatkan agama dan umat.

    “Saya harap sahabat UMNO atas pagar insaf, tanggungjawab nak selamatkan negara bersama Islam, walaupun satu kerusi makna sangat besar kerana kerusi ini akan jalankan amar makruf nahi mungkar di DUN,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam Ceramah Perdana Perikatan Nasional DUN Simpang Jeram, di
    Markas Pas Kawasan Bakri, Muar malam tadi.

    Pada PRK Simpang Jeram 9 September depan, Mazri ditentang Ir. Nazri Abdul Rahman daripada Pakatan Harapan (PH) dan calon bebas S. Jeganathan.

    PRK diadakan susulan kekosongan luar jangka kerana kematian penyandangnya Datuk Seri Salahuddin Ayub, 23 Julai lalu.

    Proses sama juga berlangsung di Parlimen Pulai yang turut diwakili bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu.

    Dalam ceramah itu, Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang turut menjelaskan partinya sama sekali tidak pernah berhasrat menggantikan UMNO sebaliknya hanya berusaha untuk perpaduan dan penyatuan ummah.

    “Bila masa Pas nak bunuh UMNO?, itu sahaja dalam kepala dia (pemimpin UMNO),” katanya lapor FMT.

    Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Ahmad Amzad Hashim dalam ceramah sama juga menyentuh soal penyatuan ummah, merujuk kerjasama UMNO dan Pas dalam Muafakat Nasional (MN) yang wujud selepas BN tewas Pilihan Raya Umum ke-14.

    Katanya, Pas sentiasa berpegang kepada hasrat tersebut dengan menjaga hubungan baik dengan sesama ahli UMNO.

  • ADUN pembangkang minta JAIS pertimbang keputusan pindah guru KAFA

    ADUN pembangkang minta JAIS pertimbang keputusan pindah guru KAFA

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang meminta agar Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mempertimbang semula keputusan memindahkan 125 guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Sekolah Rendah Agama (SRA) di daerah Sabak Bernam dan Kuala Selangor.

    ADUN Sungai Panjang, Mohd. Razali Saari berkata, ketetapan itu perlu diperhalusi kerana ia melibatkan soal jarak perjalanan jauh untuk mengajar dan kekangan kewangan dihadapi guru terlibat.

    “Saya tidak berniat untuk campur tangan tentang urusan pentadbiran berkaitan guru KAFA, namun sebagai wakil rakyat sudah tentu berasa simpati dengan mereka terutama yang berusia melebihi 50 tahun kerana terpaksa melalui laluan lebih jauh berbanding bertugas dalam daerah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

    Mohd. Razali berkata, guru KAFA juga kebanyakan daripada mereka hanya menerima elaun sebanyak RM1,500 sahaja sebelum penolakan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan lain-lain.

    “Bagaimana mereka akan meneruskan pekerjaan dengan hati gembira selain peningkatan kos pengangkutan.

    “Saya berharap pihak berwajib dapat memperhalusi semula ketetapan ini dan layanlah mereka sebaiknya yang telah banyak membantu anak-anak kita mengenal agama daripada peringkat awal persekolahan,” ujarnya.

    Dalam pada itu, ADUN Permatang, Nurul Syazwani Noh berkata, rata-rata guru KAFA yang diarahkan berpindah mengeluh berikutan keputusan tersebut.

    Jelas beliau, dalam keadaan guru KAFA yang masih bergaji minimum mereka terpaksa berulang-alik ke tempat mengajar di sekolah lebih jauh.

    “SAYA AMAT TERKESAN DAN SEDIH MELIHAT SITUASI DI SRA DI KAWASAN KUALA SELANGOR INI YANG TERLIBAT DALAM PEMINDAHAN BERAMAI-RAMAI,” UJARNYA.

    Menurut Nurul Syazwani, perpindahan guru KAFA itu juga memberi kesan emosi kepada murid yang perlu menghadapi peperiksaan besar di sekolah terlibat.

    “Saya sendiri akan turun ke lapangan untuk melihat sendiri dan mengambil maklumat lebih terperinci berkenaan masalah ini dan berharap dapat berjumpa dengan pihak berkenaan dalam masa terdekat bagi mendapatkan penjelasan serta penyelesaian,” tambahnya.

    Sementara itu, ADUN Sungai Burong, Dr. Mohd. Zamri Mohd. Zainuldin berkata, JAIS perlu melihat semua sudut terutama dalam hal berkaitan kebajikan guru KAFA.

    “Mereka ini kebanyakannya bergaji minimum dan ada yang komen (di media sosial) sama seperti pekerja pembersihan serta berdepan kos (perjalanan) pergi dan pulang ke sekolah,” katanya.

    Bagaimanapun, Mohd. Zamri memberitahu, perkara itu perlu dilihat secara holistik dan menyeluruh.

    “Kita tidak mahu mana-mana pihak tertuduh dan dizalimi sebab saya difahamkan bahawa ramai guru KAFA di bandar (berhenti) dan masuk (memulakan perkhidmatan) di KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) dengan skim lebih tinggi.

    “Apabila (jawatan guru KAFA) kosong, ini akan ditampung oleh guru yang masih ada dan keperluan tenaga pengajar di bandar lebih tinggi berikutan kepadatan penduduk berbanding di kampung,” ujar beliau.

    Sinar Harian hari ini melaporkan, JAIS mengesahkan seramai 125 guru KAFA di SRA di daerah Sabak Bernam dan Kuala Selangor terlibat dalam penstrukturan baharu bagi memenuhi keperluan di negeri ini.

    Pengarahnya, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, seramai 125 guru KAFA iaitu 45 dari Sabak Bernam dan 80 guru di Kuala Selangor terlibat dalam penyusunan semula tersebut.

    Menurutnya, penyusunan itu melibatkan pergerakan 45 guru KAFA dari Sabak Bernam ke Kuala Selangor, manakala 50 guru lagi dari Kuala Selangor ke Klang dan 30 lagi ke Gombak.

  • Abdul Hadi hadiri ceramah perdana PN

    Abdul Hadi hadiri ceramah perdana PN

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang hadir pada Ceramah Perdana Perikatan Nasional (PN) DUN Simpang Jeram, di Markas Pas Bakri, Muar malam ini.

    Turut hadir Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang juga Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr. Mohd Radzi Md. Jidin; Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Hussin; Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim; Ahli Parlimen Parit Buntar, Misbahul Munir dan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Simpang Jeram, Dr. Mazri Yahya.

    Lebih 500 penyokong PN hadir dalam ceramah perdana berkenaan, lapor Sinar Harian.

    Difahamkan, kehadiran Abdul Hadi merupakan sebahagian daripada siri jelajah sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Simpang Jeram dan Parlimen Pulai.

    Esok, Abdul Hadi bakal hadir pada program Dialog Rakyat di Pasti As-Sofi, Jalan Bakri, Muar pukul 9 pagi sebelum ke SRTI Al-Irsyad Jalan Sri Perkasa 1/3 Taman Tampoi Utama, Johor Bahru pada 2.30 petang.

  • Ibu, teman lelaki ditahan dera anak sampai mati

    Ibu, teman lelaki ditahan dera anak sampai mati

    POLIS menahan seorang wanita dan teman lelakinya kerana disyaki mendera anak lelakinya yang berusia lima tahun hingga mati.

    Ketua Polis Serdang, Asisten Komisioner A. A. Anbalagan berkata, polis menerima laporan daripada pegawai perubatan Jabatan Kecemasan Hospital Serdang yang merawat kanak-kanak itu yang meninggal dunia pada 22 Ogos lalu.

    Katanya, pada mulanya pasangan tersebut membawa kanak-kanak itu ke hospital mendakwa mangsa cedera akibat terlanggar lori, lapor Harian Metro.

    “Ketika menerima pesakit itu, pasukan perubatan memberi bantuan kecemasan jantung dan pernafasan, namun tiada respons positif. Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia.

    “Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut pada tubuh badan mangsa mendapati terdapat kesan lebam dan luka lama disyaki akibat didera,” katanya.

    Anbalagan berkata, laporan bedah siasat terhadap mayat mangsa mengesahkan terdapat kecederaan parah pada tisu lembut ekoran pukulan objek tumpul.

    “Susulan itu polis menahan ibu mangsa yang berusia 44 tahun dan teman lelakinya berusia 29 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori.

    “Wanita itu yang juga suri rumah didapati menjalin hubungan dengan lelaki berkenaan sejak suaminya meninggal dunia pada September 2022,” katanya.

    Katanya, hasil soal siasat, kedua-dua suspek mengaku mendera mangsa di kediaman mereka di sebuah pangsapuri di Taman Puncak Jalil, Seri Kembangan.

    Ujian saringan air kencing juga mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methaphetamin dan amphetamin.

    Menurutnya, pasangan itu direman tujuh hari hingga 29 Ogos ini untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

  • MCA, NGO tak wajar pertikai Modul Hadis 40 Imam Nawawi – Ulamak Pas

    MCA, NGO tak wajar pertikai Modul Hadis 40 Imam Nawawi – Ulamak Pas

    MCA dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bukan Islam tidak wajar mempertikaikan pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi untuk pelajar Islam.

    Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat (DUPP), Datuk Ahmad Yahaya berkata, pembelajaran dan penghayatan hadis itu bukan suatu kesalahan yang perlu dibimbangkan.

    “Modul tersebut ialah sebahagian daripada langkah menerapkan penghayatan akhlak dan nilai murni kepada pelajar berpandukan ajaran Islam.

    “DUPP hairan bagaimana perkara sebegini begitu ditakutkan oleh sebilangan golongan bukan Islam.

    “Adakah ia kelangsungan usaha untuk mencucuk jarum Islamofobia dalam negara yang menjadi perjuangan segelintir ahli politik sehingga setiap perkara berkait dengan Islam sangat dibimbangkan oleh kelompok bukan Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Kementerian Pendidikan (KPM) pada 19 Ogos lalu melancarkan modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi yang bertujuan memupuk penghayatan hadis bermula di peringkat sekolah.

    Kontroversi tercetus apabila Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taois (MCCBCHST) membantah hasrat tersebut dan mendakwa ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan serta hak kebebasan beragama.

    Biro Perhubungan Etnik dan Hal Ehwal Agama MCA pula menggesa kerajaan menangguhkan terlebih dahulu agar ia boleh dibincangkan semula di peringkat Kabinet.

    Ahmad berkata, DUPP memberikan peringatan kepada kelompok tertentu agar jangan mencetuskan sentimen Islamofobia di negara.

    Katanya, pelaksanaan modul itu wajar disokong kerana ia berkait rapat dengan usaha mendekatkan pelajar kepada penghayatan kalam Rasulullah SAW yang merupakan sebahagian daripada panduan wahyu Ilahi.

    “Tidak wajar sekali pertikaian mahupun sebarang bentuk bantahan dikemukakan apatah lagi oleh golongan bukan Islam terhadap modul tersebut.

    “DUPP menyokong teguh langkah KPM memperkenalkan Modul Penghayatan 40 Hadith Imam Nawawi di sekolah-sekolah di bawah kementerian,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

  • Dengar desakan akar umbi, lepaskan jawatan bagi memulihkan UMNO-Ismail Sabri

    Dengar desakan akar umbi, lepaskan jawatan bagi memulihkan UMNO-Ismail Sabri

    BEKAS Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melahirkan kepercayaannya terhadap keberanian kepimpinan Pemuda UMNO hari ini untuk membawa parti itu bangkit semula.

    “Pemuda UMNO sejak sekian lama terkenal dengan sifat berani dan tidak takut menyatakan pendirian atas kepentingan parti serta rakyat.

    “Pemuda juga mempunyai tanggungjawab berat untuk memastikan idealisme UMNO tidak tercemar dan sentiasa diminati anak muda.

    “Saya percaya dengan keberanian kepemimpinan Pemuda hari ini mampu untuk membawa parti bangkit kembali,” katanya menerusi Facebook beliau sempena ulang tahun ke-74 sayap UMNO itu.

    Ismail yang juga bekas Perdana Menteri turut mengimbas perjalanan politiknya bermula di Pemuda hingga memimpin Putrajaya.

    “Pemuda UMNO mengajar tentang idealisme dan membina jati diri untuk melangkah satu demi satu anak tangga sehingga ke puncak tertinggi, menerajui pentadbiran negara,” katanya memetik laporan FMT.

    Beliau turut menyertakan gambar barisan pemimpin Pemuda UMNO diketuai Dr. Akmal Saleh dalam hantaran itu.

    Pada 17 Ogos lalu, Akmal memberitahu kepimpinan parti agar ‘membuat perubahan’ atau berisiko dikuburkan, berikutan kekalahan teruk parti itu pada PRN 12 Ogos lalu.

    Pada pilihan raya itu, UMNO hanya menang 19 daripada 108 kerusi ditandingi, 14 di Negeri Sembilan, masing-masing dua kerusi di Selangor dan Pulau Pinang, hanya satu kerusi di Kelantan, tetapi gagal menang sebarang kerusi di Kedah dan Terengganu.

    Pada PRU15, UMNO di bawah pimpinan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi juga kalah teruk apabila hanya mampu menang 26 kerusi Parlimen.

    Susulan itu timbul desakan supaya Zahid meletak jawatan presiden antaranya oleh bekas Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh.

    Ismail pula menegaskan kekalahan parti itu menunjukkan kebencian dan kemarahan pengundi Melayu kepada UMNo ‘bertambah marak seperti api membakar jerami’ termasuk dalam kalangan penyokong dan ahli parti.

    Justeru, beliau menyeru pucuk pimpinan parti mendengar desakan akar umbi, termasuk melepaskan jawatan bagi memulihkan UMNO susulan kekalahan teruk itu.

  • Sampai bila Rafizi mahu bermain politik?

    Sampai bila Rafizi mahu bermain politik?

    Oleh DATUK AHMAD YAHAYA

    SAYA menekuni kenyataan Rafizi Ramli semalam mengenai agihan peruntukan kepada negeri-negeri yang ditadbir oleh parti pembangkang kepada kerajaan Persekutuan khususnya Kedah, Kelantan Perlis dan Terengganu.

    Beliau mengatakan negeri-negeri ini menerima peruntukan yang lebih dalam belanjawan, namun tiada perancangan ekonomi yang baik.

    Kenyataan tersebut tidak kurang lebih bersifat dendam politik yang tidak berkesudahan.

    Soal peruntukan pembangunan kepada negeri-negeri miskin yang ditadbir oleh PAS-PN ketika ini bertujuan mengurangkan kesenjangan ekonomi antara wilayah yang menjadi fokus utama Kementerian beliau.

    Perkara ini telah dihadam dengan lumat dalam perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Parlimen.

    Adakah Rafizi Ramli masih tidak memahami antara tugas dan tanggungjawab beliau dalam Kementerian Ekonomi meskipun selepas lebih lapan bulan mentadbir?

    Soal prestasi ekonomi negeri-negeri ini tidak sepatutnya diukur dengan prestasi semasa semata-mata. Ia perlu menilai kepada unjuran peningkatan petunjuk utama ekonomi negeri-negeri bagi beberapa tahun akan datang.

    Kesemua yang diatur berdasarkan kepada RMK12 mempunyai sasaran tertentu dan bertempoh. Ia bukan satu kayu magik yang boleh mengubah dunia dalam sekelip mata.

    Ini bukan formula turun harga minyak boleh selesai semua masalah seperti yang pernah dibentangkan oleh seorang tokoh politik negara dahulu.

    Rafizi seharusnya faham soal kesan pengganda (multiplier effect) dalam projek-projek pembangunan yang disalurkan kepada ‘negeri-negeri pembangkang’ ini.

    Apatah lagi masing-masing mempunyai garis tanggungjawab yang tersendiri baik di peringkat Persekutuan mahupun Negeri sebagaimana yang termaktub dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

    Saya menyarankan Rafizi agar segera menanggalkan jaket kepartian ketika menjalankan tanggungjawab beliau di Putrajaya.

    Serba-serbi beliau mahu menunjukkan politiking yang berlebihan. Ini adalah masa bekerja untuk rakyat, bukan untuk kepentingan kepartian.

    Datuk Ahmad Yahaya adalah Pesuruhjaya Pas Kedah merangkap Ahli Parlimen Pokok Sena

  • SPRM lancar bilik gerakan aduan rasuah sepanjang PRK di Johor

    SPRM lancar bilik gerakan aduan rasuah sepanjang PRK di Johor

    ORANG ramai boleh menyalurkan maklumat atau aduan mengenai perbuatan rasuah sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.

    Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi kenyataan berkata, aduan itu boleh disalurkan di dua bilik gerakan di Johor yang dilancarkan hari ini.

    “Bilik gerakan itu akan beroperasi 24 jam mulai hari ini sehingga 9 September depan.

    “SPRM boleh dihubungi menerusi talian 07-2316000 (Pejabat SPRM Johor) dan 07-4321982 (Pejabat SPRM Cawangan Batu Pahat),” menurut kenyataan itu.

    Selain itu, orang ramai juga boleh menyalurkan sebarang aduan rasuah dan salah guna kuasa melalui e-mel kepada [email protected] atau menghubungi talian 010-8414384.

    SPRM mengingatkan semua calon dan parti politik yang bertanding supaya tidak melakukan aktiviti yang boleh melanggar undang-undang dan peraturan pilihan raya selaras dengan Akta SPRM 2009 dan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

  • Untitled post 85209

    KERAJAAN Selangor diingatkan agar tidak meminggirkan kemajuan di daerah Kuala Selangor meskipun kelima-lima Dewan Undangan Negeri (DUN) dimenangi pembangkang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos lalu.

    Bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, kerajaan di bawah pimpinan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari perlu mengetepikan soal politik dalam usaha membangunkan negeri ini.

    “Sebagai bekas pemimpin di Selangor ini, saya hendak melihat bahawa negeri ini dimajukan secara adil kepada semua rakyat,” katanya ketika ditemui pada Program Pengedaran Jalur Gemilang kepada penjaja di Pekan Tanjong Karang, Kuala Selangor hari ini.

    Justeru, Noh berkata, kerajaan Selangor mestilah memberi peruntukan sama rata kepada semua ADUN pembangkang bagi tujuan pembangunan dan meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat.

    “Walaupun lima DUN dalam daerah Kuala Selangor dimenangi pembangkang, kita harap kerajaan negeri hendaklah berlaku adil kepada ADUN terbabit untuk bersama-sama kerajaan negeri membangunkan daerah ini,” katanya.

    Katanya, sejarah pilihan raya di Kuala Selangor yang mempunyai dua Parlimen dan lima DUN itu mencipta sejarah luar biasa apabila enam daripada tujuh kerusi dimenangi pembangkang.

    “Di daerah (Kuala Selangor) ini, PH (Pakatan Harapan) hanya memenangi satu kerusi Parlimen Kuala Selangor, manakala Parlimen Tanjong Karang dan semua lima DUN dimenangi oleh PN (Perikatan Nasional).

    “Tidak pernah berlaku lagi Kuala Selangor ini dikuasai pembangkang yang dulunya kawasan ini pernah menjadi kubu kuat BN (Barisan Nasional), tetapi hari ini telah pun berubah apabila ia menjadi kubu kuat Pas dan Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia),” katanya.

    Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, Parlimen Kuala Selangor dimenangi penyandangnya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad daripada PH dan Parlimen Tanjong Karang pula dimenangi PN menerusi Kapten (B) Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi.

    Lima DUN dimenangi PN iaitu di DUN Sungai Burong, Dr. Mohd Zamri Mohd. Zainuldin dan DUN Permatang, Nurul Syazwani Noh.