Author: Hassan Sulaiman

  • Muhyiddin tidak pernah impikan jadi Perdana Menteri

    Muhyiddin tidak pernah impikan jadi Perdana Menteri

    TAN Sri Muhyiddin Yassin tidak pernah mengimpikan beliau diberi kepercayaan untuk menjadi Perdana Menteri yang seterusnya memulihkan krisis pandemik COVID-19 yang dihadapi negara.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, sejarah hidupnya bermula sebagai pemuda biasa dan dibentuk dari awal oleh keluarga yang kuat pegangan agama dan mengamalkan kehidupan yang amat sederhana.

    Muhyiddin menambah, almarhum ayahandanya seorang guru agama dan beliau banyak membentuk keperibadiannya dan adik beradik yang lain dengan didikan agama.

    “Kami mungkin miskin harta tetapi kaya dengan ilmu dan adab serta budi pekerti yang terbentuk hasil didikan ayahanda dan bonda yang amat menitik beratkan akhlak yang mulia,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran buku ‘Abah Teguh Kita Bersama’ di Kuala Lumpur, hari ini.

    Ahli Parlimen Pagoh itu memberitahu, pada zaman kanak-kanak, beliau menjalani kehidupan biasa yang kadang-kadang terpaksa melalui zaman yang agak sukar kerana keluarganya bukan golongan yang berada.

    Seperti ramai yang lain, katanya, beliau juga pernah merasai kesukaran hidup di kampung yang serba kekurangan.

    “Kami kadang-kadang bergantung kepada hasil tumbuhan dan tanaman yang ada di sekeliling rumah untuk dijadikan makanan.

    “Ujian getir ini mencorak kehidupan saya yang sederhana dan memperkukuhkan lagi keimanan saya kepada Tuhan dan penghormatan saya kepada alam ciptaan-Nya,” jelasnya.

    Mengimbau kembali, Muhyiddin berkata, perjalanannya sehingga bergelar Perdana Menteri bukan sesuatu yang mudah kerana banyak liku dan jatuh bangun yang saya lalui dalam perjuangan menegakkan prinsip dan hak.

    “Saya hadapi semua dugaan dan cabaran ini atas kesedaran bahawa hidup kita ini hanya sementara. Ia suatu ujian dalam perjalanan kita menuju negeri abadi.

    “Sebagai seorang Islam, yang penting dalam kehidupan di dunia yang fana ini ialah kita mesti lakukan perkara yang betul, iaitu perkara yang diperintahkan oleh Allah SWT ke atas kita,” ujarnya.

    Beliau turut menghargai didikan dan asuhan ibu bapanya serta sokongan dan dorongan daripada seluruh kelurga teruamanya isteri, anak-anak dan adik beradik yang sentiasa bersama-samanya ketika susah dan senang.

    “Sebagai seorang insan, saya pastinya ada banyak kelemahan dan kekurangan. Tetapi berkat sokongan dan pengorbanan ahli keluarga serta sahabat handai, Alhamdulillah saya diberikan kekuatan untuk meneruskan perjuangan saya.

    “Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih saya yang tidak terhingga kepada mereka semua,” katanya.

    Muhyiddin juga merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon dan pasukan penulis buku biografi bergambar ‘Abah Teguh Kita Bersama’ atas usaha yang dilakukan untuk menghasilkan buku tersebut.

    “Mudah-mudahan buku ini yang merakamkan sejarah perjalanan hidup saya secara bergambar akan memberikan manfaat kepada semua pembaca,” jelasnya.

  • PRN Melaka: Undi diterima calon-calon PAS meningkat

    PRN Melaka: Undi diterima calon-calon PAS meningkat

    PILIHAN Raya Negeri (PRN) Melaka menyaksikan peningkatan dari segi jumlah undi yang diterima oleh calon-calon dari PAS yang mewakili Perikatan Nasional (PN).

    Bagi Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, perkembangan itu adalah memberangsangkan.

    “Terima kasih kepada seluruh pemimpin dan ahli PAS. Terima kasih juga kepada para pendukung dan penyokong PN. Kita telah berusaha yang terbaik. Semoga Allah ganjari usaha dan pengorbanan yang telah diberikan.

    “Kepada semua pengundi rakyat Melaka, terima kasih atas undian yang diberikan. Kerusi-kerusi yang ditandingi oleh PAS menunjukkan peningkatan undi yang memberangsangkan. Alhamdulillah. ADUN yang telah dipilih rakyat, selamat menjalankan tugas dengan adil & amanah,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

    Calon-calon dari PAS bertanding di sembilan kerusi iaitu Kuala Linggi, Taboh Naning, Durian Tunggal, Kelebang, Bukit Katil, Duyong, Serkam dan Merlimau.

    Walaupun Melaka bukan dikenali sebagai kubu kuat PAS, calon-calon dari parti itu memberi tentangan sengit di beberapa kerusi.

    Di Serkam misalnya, Ahmad Bilal Rahudin tewas tipis kepada penyandang kerusi tersebut dari Barisan Nasional (BN), Datuk Zaidi Attan.

    Zaidi hanya beroleh 79 undi majoriti berbanding 2,737 undi majoriti yang diperoleh pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    Seorang lagi calon muda dari PAS iaitu Muhammad Al Afiz Yahya menunjukkan potensi besar apabila beroleh jumlah undi yang agak besar di kerusi DUN Bukit Katil.

    Jumlah 3,715 undi yang diterimanya agak signifikan memandangkan beliau merupakan muka baharu dalam politik pilihan raya.

    Perlu diambil kira juga faktor bahawa Muhammad Al Afiz berdepan dengan penyandang kerusi berkenaan, Adly Zahari yang juga bekas Ketua Menteri Melaka era rejim Pakatan Harapan (PH).

    Berdasarkan potensi besar yang ditunjukkan oleh calon-calon muda yang mewakili PN dari PAS, mereka boleh diketengahkan untuk menggalas cabaran yang lebih besar di peringkat Parlimen pada PRU-15.

    Memandangkan mereka kini telah dikenali dalam kalangan masyarakat, kempen PN di kawasan Parlimen yang bakal ditandingi mereka juag menjadi lebih mudah.

    Cuma post mortem pasca PRN Melaka perlu dilakukan secara jujur dan telus bagi mengesan kelemahan yang boleh ditambah baik agar persiapan menjelan PRU-15 menjadi lebih mantap lagi jitu.

  • Tok Mat Hasan patut jadi jeneral BN berdepan PRU-15

    Tok Mat Hasan patut jadi jeneral BN berdepan PRU-15

    MAJORITI besar melebihi dua pertiga yang diraih Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka semalam menyerlahkan lagi kewibawaan Datuk Seri Mohamad Hasan atau Tok Mat dalam mengepalai jentera pilihan raya gabungan parti politik tersebut.

    Pada peringkat awal kempen, ramai pemerhati politik menjangka BN berdepan kesukaran untuk beroleh majoriti mudah malah terdapat kemungkinan UMNO kehilangan beberapa kerusi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menjadi kubu tradisinya seperti Tanjung Bidara dan Lendu.

    Berdasarkan maklumat daripada sumber dalaman UMNO, jentera BN di dua kerusi berkenaan pada mulanya agak kucar-kacir dan beberapa pusat daerah mengundi (PDM) tidak beroperasi dengan lancar.

    Walau bagaimanapun, setelah menerima ‘sentuhan’ Tok Mat, kepincangan yang berlaku dapat dipulihkan sehingga membawa kepada kemenangan BN di kerusi-kerusi DUN yang pada mulanya bermasalah.

    tok mat mohamad hasan
    Akar umbi UMNO mahu melihat Tok Mat mengetuai jentera parti pada PRU-15. GAMBAR: Warta Rakyat

    Sememangnya, ketokohan Timbalan Pengerusi BN itu dalam melaksanakan peranan sebagai ‘jeneral’ dalam kempen pilihan raya telah dibuktikan dalam beberapa pilihan raya kecil (PRK) selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    Dalam situasi BN dan UMNO masih bergelar pembangkang, Tok Mat yang juga Timbalan Presiden UMNO telah memimpin jentera BN sehingga membuahkan kemenangan dalam PRK Parlimen Cameron Highlands, DUN Rantau dan DUN Semenyih.

    Boleh dikatakan Mohamad mempunyai kepakaran sebagai seorang ‘turnaround wizard’ yang berupaya menukar situasi yang pada mulanya kelam dan getir kepada kemenangan besar.

    Sebaik sahaja BN diumumkan membentuk kerajaan negeri di Melaka, timbul suara dalam kalangan akar umbi UMNO agar Tok Mat Hasan diberi peranan yang lebih besar.

    Rata-rata mereka berharap supaya beliau menggalas tugas sebagai ‘jeneral’ atau ‘panglima besar’ yang mengetuai jentera parti bagi menghadapi PRU-15.

    Setelah prestasi memalukan BN pada PRU-14 di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak, pandangan akar umbi itu perlu diberi perhatian sewajarnya oleh kepimpinan parti.

    Akar umbi UMNO mahu mereka diketuai oleh seorang pemimpin yang bersih, cekap dan amanah dalam usaha mengembalikan semula sokongan rakyat terhadap parti itu dan BN.

    Di mata mereka, Tok Mat Hasan menepati kriteria-kriteria tersebut selain telah membuktikan kemampuan mengemudi bahtera parti mengharungi lautan gelora sehingga selamat tiba di pelabuhan.

    Lagipun peranan Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam kejayaan BN pada PRN Melaka dilihat amat kecil.

    Beliau hanya menunjukkan muka pada saat-saat terakhir setelah selesai menjalani rawatan sakit tulang belakang di Jerman dan ketika itu, banyak masalah besar yang dihadapi BN dan UMN telah ditangani oleh Tok Mat.

    Elok juga kalau Jahid berehat daripada menjalankan tugas-tugas parti dan menyerahkan peranan penting itu kepada Tok Mat yang ketika ini ‘sahamnya’ cukup tinggi dalam kalangan ahli-ahli UMNO dan rakyat.

  • Melaka pilih PN, tolak BN dan PH – Kongres Rakyat

    Melaka pilih PN, tolak BN dan PH – Kongres Rakyat

    KONGRES Rakyat hari ini menyeru kepada rakyat Melaka agar menolak calon-calon Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka esok.

    Pada masa yang sama, Kongres Rakyat menyeru mereka memilih calon-calon yang bersih, berintegriti dan bebas rasuah yang bertanding di bawah Perikatan Nasional (PN).

    Berikut adalah kenyataan penuh Kongres Rakyat:

    Kongres Rakyat mengikuti dengan dekat PRN Melaka yang akan diadakan pada hari Sabtu, 20 November 2021.

    Secara asasnya, Kongres Rakyat berpendapat PRN Melaka tidak sepatutnya diadakan semata-mata untuk memenuhi kehendak politik mereka yang berkepentingan dan bernafsu besar untuk merebut kuasa tanpa memikirkan kepentingan rakyat. Ditambah pula dengan situasi semasa covid-19 yang masih lagi tinggi dan menimbulkan kebimbangan rakyat untuk keluar mengundi.

    Bagaimanapun disebabkan pilihan raya terpaksa juga diadakan,Kongres Rakyat menyeru kepada rakyat negeri Melaka agar:

    1. Bersama-sama menunaikan tanggungjawab keluar mengundi dengan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.
    2. Menolak empat orang bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang telah menyebabkan politik negeri Melaka berada dalam keadaan kucar-kacir dan PRN terpaksa diadakan.
    3. Menolak calon-calon BN sebagai signal bahawa rakyat tidak bersetuju RM100 juta dibazirkan untuk memenuhi kehendak bekas Perdana Menteri keenam, Datuk Seri Najib Razak . Beliau merupakan Penasihat BN kini.
    4. Menolak PH kerana ternyata telah gagal menunaikan janji-janji dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) setelah berkuasa selama 22 bulan.
    5. Menyeru rakyat memilih calon-calon yang bersih, berintegriti dan bebas rasuah yang bertanding di bawah PN, di samping menyokong seorang wanita sebagai calon Ketua Menteri pada kali ini.

    PRN Melaka menyusuli PRN Sabah
    Rakyat Melaka mampu merubah.

  • Penerimaan rakyat Melaka terhadap PN amat baik

    Penerimaan rakyat Melaka terhadap PN amat baik

    awal ja'afar prn melaka mohd muhammad

    TAN Sri Muhyiddin Yassin mendapati penerimaan masyarakat di Melaka terhadap Perikatan Nasional (PN) adalah amat baik.

    Malah, Pengerusi PN itu berkata, mereka berharap beliau terus menjadi pemimpin dan membantu memulihkan negara ini.

    “Persinggahan Abah ketika sarapan pagi, minum petang serta solat di masjid dan surau di sekitar Melaka di hari terakhir kempen Pilihan Raya Negeri Melaka.

    “Alhamdulillah, penerimaan masyarakat Melaka adalah amat baik.

    “Mereka bersyukur dan menghargai jasa Abah dan #KerajaanPerikatanNasional yang prihatin membantu mereka ketika negara dilanda pandemik COVID-19 sejak awal tahun 2020. Harapan mereka semoga Abah terus menjadi pemimpin dan membantu memulihkan negara ini.

    “Ayuh Melaka, mari kita terus berikan sokongan kepada calon-calon Perikatan Nasional esok!” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

    PN yang bertanding buat kali pertama dalam PRN Melaka meletakkan calon di kesemua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan parti komponennya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bertanding di 15 kerusi manakala PAS lapan, dan Gerakan lima.

    Gabungan parti itu juga mencatatkan sejarah dalam dunia politik tanah air apabila menamakan Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai calon Ketua Menteri Melaka apabila PN menang PRN Melaka kelak.

    Langkah itu menyaksikan buat julung-julung kalinya seorang wanita dinamakan sebagai calon Ketua Menteri di negara ini, sekali gus membuktikan komitmen PN menaikkan martabat pemimpin wanita khususnya di Melaka.

    Berdasarkan penerimaan dan sambutan hangat rakyat Melaka, PN pasti dapat meraih kerusi majoriti yang diperlukan untuk membentuk kerajaan negeri.

    Rata-rata rakyat Melaka sudah bosan dengan retorik kosong Pakatan Harapan (PH) yang terbukti gagal melunaskan janji-janji yang ditabur pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    Mereka juga sudah jelak dengan perangai pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) dan UMNO yang sentiasa bertelagah dan berebut kuasa sehingga mencetuskan PRN Melaka ketika pandemik COVID-19 masih belum reda.

    Melihat kepada prestasi buruk PH dan BN, maka tidak hairanlah PN yang diterajui oleh Muhyiddin pasti menjadi pilihan rakyat Melaka esok.

    Kerajaan PN telah membuktikan keupayaan menangani krisis pandemik COVID-19 di peringkat Pusat dan pentadbiran PN di bawah Mas Ermieyati pasti mengulangi kejayaan serupa di Melaka.

  • Mas Ermieyati ikon semangat perjuangan wanita Melaka

    Mas Ermieyati ikon semangat perjuangan wanita Melaka

    awal ja'afar prn melaka mohd muhammad

    LANGKAH Perikatan Nasional (PN) menamakan Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai calon Ketua Menteri Melaka merupakan satu pengiktirafan terhadap kepimpinan wanita dalam bidang politik dan pentadbiran kerajaan negeri.

    Sebelum ini, tiada lagi wanita yang dicalonkan sebagai Ketua Menteri apatah lagi menyandang jawatan pentadbiran tertinggi di negeri-negeri seperti Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

    Memang benar rejim Pakatan Harapan (PH) telah menaikkan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri selama 22 bulan.

    Namun, kita semua tahu bahawa peranan yang dimainkan oleh Wan Azizah ketika itu adalah kecil dan kewujudan beliau seolah-olah tidak disedari kerana sentiasa dibayangi oleh Tun Dr Mahathir Mohamad serta suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Berbeza pula dengan Mas Ermieyati yang diberi kepercayaan untuk mencorakkan hala tuju dan pembangunan Melaka setelah PN membentuk kerajaan negeri esok.

    mas ermieyati Melaka

    Calon PN bagi kerusi DUN Tanjung Bidara itu mempunyai imej yang bersih dan terkenal dengan keperibadian yang berintegriti tinggi.

    Reputasi yang dibawa beliau pasti mampu mengembalikan kegemilangan Melaka sebagai sebuah negeri bersejarah yang bebas daripada sebarang skandal dan penyelewengan termasuk isu projek pasir.

    Apa yang lebih penting, Mas Ermieyati bukan ‘boneka’ kepada mana-mana pihak sekali gus membolehkan beliau mentadbir Melaka tanpa ‘ditekan’ oleh kepentingan individu tertentu.

    Tambahan pula, pengalamannya yang luas dalam pentadbiran kerajaan di peringkat Pusat pasti banyak membantu Mas Ermieyati mengendalikan jentera pentadbiran kerajaan negeri Melaka kelak.

    Melaka hanya boleh mencipta sejarah sebagai negeri pertama yang mempunyai seorang Ketua Menteri wanita sekiranya PN diberi mandat dan majoriti yang besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka esok.

    Sudah tentu, Mas Ermieyati perlu diberi kepercayaan untuk menang di kerusi DUN Tanjung Bidara bagi membolehkan beliau dicalonkan sebagai Ketua Menteri.

    Begitu juga dengan 27 kerusi lain lain dillihat berpotensi besar untuk dimenangi oleh calon-calon PN.

    Mas Ermieyati Samsudin
    Gambar: Facebook Mas Ermieyati Samsudin

    Segala-galanya bakal ditentukan oleh pengundi dan golongan wanita seharusnya menggunakan kuasa mereka untuk memastikan Mas Ermieyati yang juga ikon pejuang wanita Melaka dapat mewakili mereka di peringkat tertinggi di negeri itu.

    Tanamkan dalam fikiran sedalam-dalamnya bahawa Mas Ermieyati dan PN adalah jauh lebih baik berbanding calon-calon Ketua Menteri yang dikitar semula oleh Barisan Nasional (BN) dan PH.

    Hanya PN yang berupaya menyelamatkan Melaka daripada terjerumus sekali lagi ke dalam kancah krisis politik tidak berkesudahan ketika zaman BN dan PH dahulu.

  • Kesejahteraan ibu bapa muda keutamaan Al Afiz

    Kesejahteraan ibu bapa muda keutamaan Al Afiz

    awal ja'afar prn melaka mohd muhammad

    ASPEK kesejahteraan golongan ibu bapa muda turut diberi perhatian oleh Perikatan Nasional (PN) di Melaka.

    Perkara itu diberi penekanan oleh calon PN bagi kerusi DUN Bukit Katil, Muhammad Al Afiz Yahya dalam kempennya melalui Facebook.

    Beliau menyedari golongan berkenaan berdepan dengan pelbagai cabaran khususnya dari segi kewangan dalam menguruskan rumah tangga pada usia yang masih muda.

    Berikut adalah hantaran penuh beliau dalam Facebook:

    Bila kahwin masa umur muda, cabaran dia memang lain macam. Secara mudahnya, ibu bapa muda ini ialah pasangan yang baru berkahwin dan masih belum stabil daripada pelbagai sudut terutamanya daripada sudut kewangan.

    Apa keperluan ‘core’ yang ibu ayah usia muda ni perlukan? Dah tentu tempat tinggal yang selesa, ekonomi yang baik dan persekitaran yang lestari untuk aktiviti bersama keluarga.

    Apa yang saya cuba bawa untuk ibu bapa ini mewakili Perikatan Nasional ialah:

    1. Mengurangkan bayaran lesen PBT secara one-fff sebanyak 50% kepada penjaja dan peniaga kecil.
    2. Menyediakan rumah mampu milik.
    3. Membina dan menaik taraf kemudahan rekreasi dan taman awam.
    4. Memperkasakan pusat komuniti.
    5. Meningkatkan penglibatan suri rumah, ibu tunggal dan OKU wanita dalam bidang keusahawanan.
    al afiz yahya prn melaka

    Insya-Allah, inisiatif kepada rakyat Bukit Katil ini akan dilaksanakan sebaik mungkin demi kesenangan ibu bapa muda di waktu sekarang.

    Masa mengundi, ingat kerajaan Prihatin, kerajaan Perikatan Nasional.

    Undilah Perikatan Nasional!

  • Ikmal Hisham ziarah keluarga Allahyarham Kapten Affendi

    Ikmal Hisham ziarah keluarga Allahyarham Kapten Affendi

    KEBAJIKAN keluarga pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Allahyarham Kapten Mohamad Affendi Bustamy yang terkorban dalam nahas pesawat Hawk 16 November lalu diberi keutamaan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

    Sehubungan itu, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz menziarahi keluarga Allahyarham di Taman Redan Perdana, Muadzam Shah.Pahang, semalam.

    Kementeriaan Pertahanan dalam kenyataan media berkata, Ikmal Hisham telah bertemu dengan balu Allahyarham, Nurul ‘Izati Shari serta kedua ibu bapa Allahyarham, Bustamy Tuahara dan Siti Razilah Daud bagi menzahirkan rasa simpati beliau di atas insiden yang telah berlaku.

    Beliau turut menyampaikan salam takziah daripada Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan pucuk pimpinan tertinggi Kementerian Pertahanan.

    Semasa lawatan itu juga, Ikmal Hisham telah menyampaikan sumbangan peribadi ikhlas daripada Menteri Kanan Pertahanan dan sumbangan peribadi daripada beliau sendiri kepada balu dan keluarga Allahyarham.

    Selain itu, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM), Mejar Jeneral Datuk Dzulkarnain Ahmad turut menyampaikan sumbangan dari Yayasan Veteran ATM kepada balu Allahyarham.

    Di akhir lawatan, Ikmal Hisham dan delegasi juga telah meluangkan masa bersama-sama keluarga Allahyarham untuk menyempurnakan Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil untuk Allahyarham.

    Lawatan ini adalah sebagai tanda keprihatinan Kementerian Pertahanan terhadap insiden kemalangan yang telah menimpa Allahyarham Mohamad Affendi.
    Kebajikan keluarga anggota ATM sentiasa menjadi keutamaan Kementerian Pertahanan dan akan memastikan keluarga Allahyarham diberikan bantuan dengan sewajarnya.

    Yang turut hadir, delegasi lawatan adalah Asisten Ketua Staf Tadbir Markas Tentera Udara, Brigadier Jeneral Mohd Suhaimi Sahri.

  • 9 tawaran khas Perikatan Nasional untuk DUN Serkam

    9 tawaran khas Perikatan Nasional untuk DUN Serkam

    awal ja'afar prn melaka mohd muhammad

    CALON Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam, Ahmad Bilal Rahudin membentangkan sembilan tawaran khas PN untuk penduduk di kawasan berkenaan.

    Tawaran-tawaran kepada DUN Serkam yang dikongsi melalui laman Facebook beliau malam ini adalah seperti berikut:

    1. Mengoptimumkan hasil pertanian dan perikanan serta hasil industri hiliran
    2. Menyediakan bantuan untuk nelayan berdaftar
    3. Mewujudkan hab dan akses pendidikan TVET secara berkualiti
    4. Dana khusus memperkasa koperasi usahawan wanita
    5. Meningkatkan penglibatan suri rumah, ibu tunggal dan OKU wanita dalam bidang keusahawanan
    6. Kemudahan sukan yang berkualiti untuk rakyat Melaka
    7. Pengurangan bayaran lesen perniagaan PBT dan sewa tapak sebanyak 50% kepada penjaja dan peniaga kecil
    8. Menaik taraf sistem saliran banjir dengan melaksanakan pelan pencegahan bencana banjir dan memperkasa perkhidmatan bekalan air bersih
    9. Meningkatkan infrastruktur hotspot wifi secara percuma.
    PRN MELAKA DUN SERKAM

    Dalam hantaran berasingan, beliau turut berkongsi pandangan isterinya yang dikenali sebagai Ustazah Shahirah mengenai dirinya.

    Ustaz Bilal Rahudin – seorang yang tidak asing bagi masyarakat Serkam. Beliau dikenali dengan sikap peramah dengan orang di sekelilingnya. Seluruh lapisan masyarakat selesa dan senang dengan beliau.

    Semestinya peribadi graduan dari Yaman ini merupakan hasil tarbiyah daripada pengalaman berpencak dalam badan persatuan. Alhamdulillah, dalam usaha mengenali Ustaz Bilal baru-baru ini kami diberikan peluang untuk menemu ramah isteri beliau iaitu Ustazah Shahirah.

    Menurut Ustazah Shahirah, pada zaman belajar, suaminya ditaklifkan dengan posisi Presiden Kesatuan Pelajar Yaman. Dengan taklifan tersebut beliau menggilap lagi kemahiran suaminya dalam kepimpinan.

    Bak kata pepatah; “Melentur buluh biarlah dari rebungnya”, pepatah ini kena dengan diri Ustaz Bilal. Beliau sejak di zaman belajar lagi sudah menceburi medan kepimpinan dan pengurusan.

    Tiada medan yang lebih mematangkan diri seseorang selain daripada medan persatuan. Ia adalah medan yang di mana seseorang akan menghadapi pelbagai perkara yang akan membantunya membina sahsiah dan karakter.

    Perjalanan beliau dalam medan persatuan tidak berakhir di peringkat menara gading sahaja. Seusai lengkap pengajiannya di Yaman, beliau meneruskan khidmatnya di tanah air.

    Beliau berkhidmat dengan Dewan Pemuda Pas Negeri Melaka (DPPNM). “Ustaz selalu sibuk dengan program pemuda, selalu tiada di rumah”, kata Ustazah Siti Shahirah.

  • Fitnah jahat! PN tak tabur wang pancing pengundi

    Fitnah jahat! PN tak tabur wang pancing pengundi

    awal ja'afar prn melaka mohd muhammad

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen menafikan fitnah jahat yang dilemparkan pihak tertentu kononnya PN menggunakan wang untuk memancing pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

    Beliau yang juga calon PN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas mencabar pihak terbabit membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Walau bagaimanapun, Mohd Rafiq tidak menyebut pihak yang didakwa berbuat demikian.

    “Fitnah jahat pihak lawan untuk memburukkan dan merendahkan reputasi Perikatan Nasional.

    “Saya cabar kepada mereka yang menuduh untuk membuat laporan SPRM dan mengemukakan bukti penglibatan jentera Perikatan Nasional dalam merasuah pengundi!” katanya dalam hantaran Facebook malam ini.