Author: Bernama

  • 85.1% populasi dewasa lengkap vaksinasi

    85.1% populasi dewasa lengkap vaksinasi

    SERAMAI 19,912,566 individu atau 85.1 peratus daripada populasi dewasa di negara ini telah lengkap menerima suntikan vaksin COVID-19 setakat semalam.

    Berdasarkan perincian yang dikongsi menerusi portal COVIDNOW hari ini, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan sebanyak 94 peratus atau 21,993,709 individu daripada populasi dewasa telah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin.

    Selain itu, seramai 33,050 atau 1.1 peratus daripada populasi remaja berusia 12 hingga 17 tahun telah melengkapkan suntikan vaksin setakat semalam.

    Bagi kedua-dua populasi, sebanyak 329,722 dos suntikan vaksin turut diberikan semalam melibatkan 168,734 dos pertama dan 160,998 dos kedua menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos vaksin sebanyak 43,028,919 menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

    PICK dilancarkan pada 24 Februari lepas bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik COVID-19 di seluruh negara.

    Sementara itu, sebanyak 240 kes kematian akibat COVID-19 dicatatkan setakat pukul 11.59 malam tadi (28 September), menjadikan jumlah kumulatif kematian kini adalah 25,935.

    Daripada jumlah itu, sebanyak 89 adalah kes kematian harian sebenar selama tujuh hari, manakala selebihnya adalah kes kematian tertunggak atau ‘backlog’.

    Bagaimanapun, angka itu boleh berubah sekiranya terdapat kes kematian yang dikemas kini.

    Sebanyak 71 daripada jumlah kematian baharu itu dilaporkan berlaku di luar hospital (BID). – BERNAMA

  • Siasatan dapati ADUN Tronoh rogol amah warga Indonesia

    Siasatan dapati ADUN Tronoh rogol amah warga Indonesia

    PEGAWAI penyiasat dalam kes Paul Yong Choo Kiong memberitahu Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini bahawa siasatan mendapati Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh itu telah merogol pembantu rumahnya.

    Asisten Superintendan Yap Siew Cheng, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh, berkata beliau telah menjalankan siasatan dengan lengkap dari pelbagai sudut iaitu di tempat kejadian, rakaman percakapan saksi dan semakan dengan pihak telekomunikasi.

    “Hasil siasatan mendapati segala maklumat yang dimaklumkan oleh mangsa, saya telah buat siasatan dan semakan dengan pihak telco dan Kedutaan Besar Republik Indonesia mendapati masa serta tarikh yang dimaklumkan adalah sama,” katanya ketika pemeriksaan semula oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Perak Azlina Rasdi di hadapan Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed.

    Terdahulu, ketika pemeriksaan balas oleh peguam Datuk Rajpal Singh yang mewakili Yong, saksi pendakwaan ke-23 itu tidak bersetuju dengan cadangan peguam bahawa Yong tidak merogol mangsa dan cerita bahawa wanita itu dirogol oleh majikannya direka kerana dia ingin pulang ke Indonesia serta tidak mahu bekerja sebagai pembantu rumah.

    Bagaimanapun, Yap bersetuju dengan cadangan Rajpal bahawa terdapat dua kesan asid deoksiribonukleik (DNA) campuran tidak diketahui pada beberapa eksibit yang bukan daripada tertuduh dan keluarganya berdasarkan perbandingan.

    Katanya beliau tidak menjalankan siasatan bagi mengetahui pemilik DNA itu.

    Yap juga berkata terdapat catatan ‘tunggu dan lihat’ di dalam diari milik mangsa pada 6 Julai 2019 iaitu sehari sebelum kejadian rogol didakwa berlaku.

    Saksi itu berkata beliau telah merujuk laporan pemeriksaan perubatan mangsa di negara asalnya bertarikh 8 April 2019 sebelum mula bekerja di rumah tertuduh pada Mei tahun sama dan bersetuju dengan cadangan peguam bahawa tiada laporan perubatan spesifik atau pakar untuk mengesahkan keadaan mental wanita tersebut ketika kejadian.

    Yong, 51, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol pembantu rumahnya seorang warga Indonesia di kediaman beliau di Meru Desa Park di sini antara 8.15 hingga 9.15 malam pada 7 Julai 2019.

    Kes itu sebelum ini disebut di Mahkamah Sesyen namun pada 15 Dis 2020, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan pembelaan supaya ia dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan.

    ADUN Tronoh itu didakwa di Mahkamah Sesyen pada 23 Ogos 2019 ketika memegang jawatan EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak. – BERNAMA

  • Ahmad Zahid tidak telus ketika lanjutkan kontrak UKSB

    Ahmad Zahid tidak telus ketika lanjutkan kontrak UKSB

    MAHKAMAH Tinggi Shah Alam hari ini diberitahu bahawa bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak telus dan tidak mengikut tatacara ketika melanjutkan kontrak syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) bagi projek Visa Luar Negara (VLN).

    Bekas Timbalan Ketua Setiausaha (TKSU) (Dasar dan Kawalan) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Suriani Ahmad berkata, Ahmad Zahid, 68, yang juga Menteri Dalam Negeri ketika itu, meluluskan pelanjutan kontrak tersebut dalam tempoh yang singkat tanpa membuat penilaian prestasi terhadap UKSB.

    Beliau berkata, penilaian itu penting kerana syarikat terbabit akan membawa imej negara dan menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan semua proses dilaksana dengan betul.

    Ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin sama ada permohonan itu tetap diluluskan walaupun tiada penilaian dibuat, Suriani menjawab: “Ya.”

    Saksi pendakwaan keempat itu berkata demikian pada hari ketujuh perbicaraan kes Ahmad Zahid yang berdepan 40 pertuduhan rasuah membabitkan sistem VLN.

    Wan Shaharuddin: Dalam permohonan ini, adalah UKSB mengikut tatacara?

    Suriani: Kalau prosedur kerja, ia mengikut tatacara. Bagaimanapun, dari segi kelulusan ia tidak mengikut tatacara.

    Wan Shaharuddin: Walaupun Datuk tidak berpeluang menilaikan prestasi UKSB, kenapa teruskan juga untuk lanjutkan kontrak itu?

    Suriani: Kerana arahan daripada Menteri adalah untuk menyambung kontrak. Sebagai penjawat awam, saya akur dengan arahan kerana ketika itu, Ahmad Zahid adalah Timbalan Perdana Menteri.

    Suriani juga berkata Ahmad Zahid mengambil tempoh kurang 24 jam untuk meluluskan beberapa permohonan lanjutan kontrak UKSB dengan kerajaan.

    Beliau juga berkata surat UKSB bertarikh 17 Oktober 2016 yang memohon kelulusan bagi melanjutkan tempoh kontrak Sistem VLN dan eVisa selama enam tahun telah diluluskan oleh Ahmad Zahid dan diminitkan pada 18 Oktober 2016.

    “Selain itu, surat UKSB bertarikh 15 Mei 2017 kepada Ahmad Zahid untuk permohonan pelanjutan kontrak One-Stop Centre (OSC) turut diminitkan Ahmad Zahid ‘laksana lanjutan kontrak’pada 16 Mei 2017,” katanya.

    Saksi itu juga bersetuju dengan cadangan Wan Shaharuddin bahawa tiada keperluan untuk menyegerakan permohonon lanjutan kontrak tersebut.

    Katanya, permohonan UKSB itu adalah terlalu awal kerana kontrak yang ada mempunyai tempoh tamat yang masih jauh.

    Beliau berkata, mengikut fasal 2.2.1 Perjanjian Untuk Membekalkan Sistem Bersepadu VLN, syarikat boleh memohon pelanjutan tempoh kontrak tidak kurang daripada enam bulan sebelum tarikh kontrak tamat.

    “Tetapi bagi permohonan ini, pihak UKSB telah memohon pelanjutan kontrak terlalu awal iaitu pada bulan Oktober 2016 iaitu sekitar tiga tahun lebih awal daripada tarikh kontrak akan tamat. Oleh itu, pihak KDN tidak mempunyai masa yang mencukupi bagi menilai prestasi UKSB untuk membuat keputusan sama ada kontrak patut dilanjutkan atau tidak,” katanya.

    Ketika disoal Datuk Ahmad Zaidi Zainal, yang mewakili Ahmad Zahid, Suriani bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa sistem VLN (kelolaan UKSB) tidak pernah menerima sebarang aduan sehinggalah pentadbiran negara diambil alih oleh kerajaan Pakatan Harapan.

    Saksi itu juga bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa Ahmad Zahid telah menukar keputusan untuk memendekkan tempoh pelanjutan kontrak tersebut iaitu dari enam kepada tiga tahun.

    Ahmad Zahid berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB sebagai dorongan untuk dirinya, selaku pegawai badan awam iaitu Menteri Dalam Negeri, melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan OSC di China dan Sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

    Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa sebagai menteri sama telah mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3 juta, EURO15,000 dan US$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasmi beliau.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa bersambung 22 Oktober depan. – BERNAMA

  • Tiada LOGC tanggungan peserta MM2H undang risiko keselamatan negara

    Tiada LOGC tanggungan peserta MM2H undang risiko keselamatan negara

    KETIADAAN syarat keperluan Surat Berkelakuan Baik (LOGC) untuk mengesahkan tanggungan yang dibawa peserta Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) adalah bebas daripada salah laku jenayah, menimbulkan risiko keselamatan negara.

    Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2019 Siri Dua, pengurusan program MM2H juga didapati kurang cekap dan kurang berkesan dengan ketiadaan pangkalan data secara bersepadu dan kelemahan kawalan dalaman Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs).

    “Semakan Audit selanjutnya mendapati tiada LOGC disertakan bagi 107 tanggungan yang dibawa oleh 59 peserta kerana peraturan tidak menetapkan LOGC perlu dikemukakan bagi tanggungan yang dibawa peserta dan tiada kaedah lain ditetapkan bagi mengesahkan tanggungan adalah bebas daripada salah laku jenayah di negara asal,” menurut laporan itu.

    Semakan Audit turut mendapati peraturan atau prosedur yang tidak jelas menyukarkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) membuat pemantauan secara berkesan dan menilai pencapaian program.

    “Selain itu, syarat minimum pendapatan tetap luar negara berjumlah RM10,000 sebulan tidak pernah dikaji semula sejak Program MM2H dimulakan pada 2002. Pengakuan tahap kesihatan pemohon Program MM2H yang tidak selari mengundang risiko penularan penyakit berjangkit berbahaya.

    “Anak peserta pula menikmati kelayakan sebagai tanggungan walaupun telah berumur melebihi 21 tahun kerana peraturan yang tidak seragam,” menurut laporan itu.

    Kelemahan lain adalah ketidakpatuhan terhadap peraturan Program MM2H apabila terdapat peserta dan tanggungan kepada peserta bekerja di Malaysia dan ketiadaan punca kuasa menyebabkan tindakan perundangan terhadap kes salah laku syarikat atau ejen tidak dapat dilaksanakan.

    “Ketidakberadaan peserta dalam tempoh yang lama dalam negara menyebabkan objektif Program MM2H untuk peserta tinggal dan hidup mewah di Malaysia tidak tercapai,” menurut laporan itu.

    Bagaimanapun, secara umumnya pencapaian penyertaan MM2H bagi tempoh 2015 hingga September 2019 adalah baik iaitu seramai 21,292 peserta berbanding sasaran ditetapkan seramai 17,500 orang.

    Bagi mengatasi kelemahan yang dibangkitkan dan memastikan pelaksanaan Program MM2H MOTAC mencapai objektif yang ditetapkan, adalah disyorkan MOTAC dan JIM mengambil tindakan penambahbaikan.

    “Koordinasi antara MOTAC dan kementerian atau agensi berkaitan perlu dipertingkatkan dengan mewujudkan sistem bersepadu bagi menambah baik keberkesanan pelaksanaan, pemantauan dan penilaian program.

    “MOTAC perlu melaksanakan penambahbaikan terhadap isu Audit yang dibangkitkan serta mengambil kira dapatan Kajian Impak dan Keberkesanan Program MM2H sebelum program ini diaktifkan semula untuk kekal relevan atau realistik dengan perkembangan semasa serta memberi penekanan kepada keselamatan negara,” menurut laporan itu.

    Laporan itu memaklumkan MOTAC, JIM dan Jawatankuasa Pemandu MM2H perlu mengkaji dan menyemak semula pekeliling atau garis panduan Program MM2H supaya lebih seragam, jelas dan menyeluruh.

    Selain itu, kajian juga perlu dijalankan terhadap prosedur saringan kesihatan agar selaras dengan prosedur atau standard yang ditetapkan JIM dan Kementerian Kesihatan.

    Di samping itu, laporan berkenaan turut mengesyorkan penggunaan kad pintar digital kepada peserta dikuatkuasakan dan mengintegrasikan fungsinya seperti merekodkan maklumat mengenai pembelian hartanah oleh peserta, maklumat kediaman dan pekerjaan peserta bagi tujuan pemantauan yang lebih berkesan. – BERNAMA

  • LKAN 2019 Siri 2: 17 pengauditan, 62 syor penambahbaikan

    LKAN 2019 Siri 2: 17 pengauditan, 62 syor penambahbaikan

    SEBANYAK 17 pengauditan prestasi bernilai RM90.635 bilion dilaksanakan sempena Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2019 Siri 2 melibatkan program, aktiviti dan projek di 13 kementerian dan 62 syor dikemukakan terhadap aktiviti kementerian, jabatan dan agensi Persekutuan bagi membolehkan tindakan pembetulan dan penambahbaikan diambil.

    Jabatan Audit Negara (JAN) juga telah menjalankan pengauditan prestasi terhadap 21 program, aktiviti dan projek yang melibatkan 26 jabatan dan 10 agensi kerajaan negeri serta 11 pengauditan pengurusan syarikat kerajaan negeri bagi laporan itu.

    Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid dalam kenyataan mengenai LKAN 2019 Siri 2 itu berkata, sebanyak 130 syor telah dikemukakan iaitu 88 syor untuk dipertimbangkan pelaksanaannya oleh jabatan dan agensi negeri serta 42 syor oleh syarikat kerajaan negeri yang berkenaan untuk membolehkan tindakan pembetulan dan penambahbaikan diambil.

    LKAN 2019 Siri 2 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini terdiri daripada 15 naskhah yang melibatkan LKAN Tahun 2019 Siri 2 mengenai Aktiviti Kementerian, Jabatan Kerajaan Persekutuan dan Badan-Badan Berkanun Persekutuan; LKAN Tahun 2019 Siri 2 mengenai Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan serta 13 naskhah LKAN peringkat negeri iaitu LKAN Tahun 2019 Siri 2 bagi Aktiviti Jabatan, Agensi dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri.

    Nik Azman berkata pengauditan prestasi dijalankan selaras dengan Seksyen 6 (d), Akta Audit 1957 serta berpandukan kepada piawaian pengauditan antarabangsa yang dikeluarkan oleh The International Organisation of Supreme Audit Institutions (INTOSAI).

    Pengauditan prestasi yang dijalankan bertujuan untuk menilai sama ada aktiviti, projek dan program kerajaan dilaksanakan dengan berhemat, cekap dan berkesan serta sejauh mana objektif aktiviti dan projek tersebut telah tercapai, katanya.

    “Ia juga bertujuan untuk menilai sejauh mana wang awam telah dibelanjakan dengan berhemat, cekap dan berkesan tanpa berlaku pemborosan dan pembaziran serta mendapat nilai terbaik untuk wang,” katanya.

    Mengenai 17 pengauditan prestasi di kementerian, beliau berkata sebanyak tujuh pengauditan melibatkan kategori program dan aktiviti, lima melibatkan kategori projek, tiga sistem atau teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan satu pengauditan masing-masing untuk kategori perolehan dan penyenggaraan.

    Nik Azman berkata, secara keseluruhannya, pelaksanaan aktiviti, projek dan program kerajaan Persekutuan telah dilaksanakan mengikut objektif yang ditetapkan.

    Bagaimanapun, beliau berkata masih terdapat isu ketidakcekapan dan ketidakakuran serta kelemahan dalam pengurusan aktiviti, projek dan program yang menjejaskan kecekapan dan keberkesanannya untuk menghasilkan output, keberhasilan dan impak seperti yang diharapkan.

    Nik Azman berkata, LKAN 2019 Siri 2 Mengenai Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan mengandungi hasil pengauditan terhadap tujuh syarikat kerajaan Persekutuan.

    Beliau berkata, secara keseluruhannya, lima syarikat telah mencapai objektif penubuhan syarikat manakala dua syarikat masih belum mencapai objektif penubuhan sepenuhnya.

    “Bagi amalan tadbir urus korporat yang baik, satu syarikat di tahap yang baik, lima syarikat di tahap memuaskan dan satu syarikat kurang memuaskan.

    “Bagi penilaian terhadap kedudukan kewangan, lima syarikat berada pada tahap stabil manakala dua syarikat menunjukkan kedudukan kewangan yang kurang stabil,” katanya.

    Beliau berkata sebanyak 41 syor telah dikemukakan kepada pihak pengurusan syarikat berkenaan untuk dipertimbangkan pelaksanaannya bagi membolehkan tindakan pembetulan dan penambahbaikan diambil.

    LKAN Mengenai Aktiviti Kementerian dan Jabatan Kerajaan Persekutuan dan Badan-badan Berkanun Persekutuan bagi 2019 Siri 2 dan LKAN 2019 Siri 2 mengenai Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan akan dimuat naik di Laman Web Jabatan Audit Negara selepas pembentangannya di Dewan Rakyat.

    Orang awam boleh melayarinya di http://www.audit.gov.my.

    LKAN peringkat negeri pula hanya akan dimuat naik di laman web Jabatan Audit Negara selepas pembentangannya di Dewan Undangan Negeri masing-masing.

    Isu-isu LKAN 2019 Siri 2 juga akan dimuat naik di Portal Auditor General’s Dashboard (AGD) selepas dibentangkan pagi ini.

    Sementara itu, Nik Azman berkata, LKAN 2019 Siri 2 dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat pada Mac lepas, namun tidak dapat dibentangkan setelah sidang Dewan Rakyat tidak dapat diadakan seperti jadual asal berikutan Pengisytiharan Darurat pada 12 Jan lepas.

    “Walaupun terdapat kelewatan dalam pembentangannya di Dewan Rakyat, namun nilai penemuan audit yang dilaporkan dalam LKAN berkenaan masih relevan dalam menambah baik pengurusan aktiviti, projek dan program oleh kementerian, jabatan, agensi dan syarikat Kerajaan Persekutuan dan negeri,” katanya.

    JAN juga telah menambah baik persembahan LKAN pada kali ini dengan menyediakan Ringkasan Penemuan Audit secara infografik bagi merumuskan hasil pengauditan secara keseluruhannya. – BERNAMA

  • Tiada arahan warga emas pulangkan lesen memandu

    Tiada arahan warga emas pulangkan lesen memandu

    KEMENTERIAN Pengangkutan tidak pernah mengeluarkan arahan atau berhajat uuntuk mensyaratkan warga emas berusia lebih 70 tahun untuk mengembalikan lesen memandu, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

    Beliau berkata, kompetensi (memandu) adalah bukan berdasarkan faktor umur dan banyak sebab yang menentukan kemalangan jalan raya.

    “Kompetensi (memandu) adalah berlainan. Macam YB Langkawi (Tun Dr Mahathir Mohamad) beliau dapat memandu dengan baik.

    “Jauh lebih baik daripada orang lebih muda. Tidak boleh ada diskriminasi,” katanya menjawab soalan tambahan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) ketika waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

    Beliau berkata, dalam sesuatu nahas jalan raya 80 peratus disebabkan faktor manusia, 13 peratus disebabkan kenderaan dan tujuh peratus disebabkan persekitaran manakala pemanduan di bawah pengaruh alkohol berisiko 13 kali lebih tinggi terdedah kepada nahas berbanding memandu dalam keadaan biasa.

    Katanya, bagi pemandu yang dihadapkan ke mahkamah kerana memandu di bawah pengaruh alkohol, tidak ada pesalah yang hanya dikenakan denda dan mereka wajib dikenakan penjara bagi tujuan pencegahan.

    Kepada soalan asal Syed Ibrahim, Ka Siong berkata, dalam kes memandu lawan arus ia berlaku disebabkan pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah dan perkara ini adalah amat membimbangkan.

    Beliau berkata, berdasarkan data Kementerian Dalam Negeri (KDN,) statistik nahas jalan raya yang melibatkan kesalahan pemanduan lawan arus tahun ini dari Januari sehingga semasa berjumlah 807 iaitu 29 kemalangan yang menyebabkan maut, 17 (parah), 49 (cedera ringan) dan 712 (rosak).

    Katanya, kajian mendapati bahawa faktor manusia adalah penyumbang utama berlakunya sesuatu nahas jalan raya terutamanya yang memandu melebihi had laju, memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah, pemanduan tidak fokus (seperti menggunakan telefon bimbit) dan aplikasi tunjuk arah dan tidak mematuhi peraturan jalan raya.

    Ka Siong berkata, faktor manusia pula boleh dikhususkan kepada dua penyebab iaitu aspek kompetensi melibatkan pengetahuan dan kemahiran memandu dan sikap yang menjurus kepada perangai dan mentaliti pemandu. – BERNAMA

  • Sasaran agenda bumiputera dalam RMK-12 lebih jelas – MTEM

    Sasaran agenda bumiputera dalam RMK-12 lebih jelas – MTEM

    RMK12

    AGENDA bumiputera yang dibentangkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) mempunyai sasaran lebih jelas melibatkan sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bumiputera, kata Felo Kanan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Ahmad Yazid Othman.

    Beliau berkata, inisiatif itu juga selari dengan hasrat yang dinyatakan dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) selain perancangan meletakkan beberapa sasaran tidak berdasarkan ekuiti tetapi mengikut sumbangan kepada KDNK dan pendapatan isi rumah.

    “Ini menunjukkan kerajaan ingin mengubah strategi yang lebih fokus kepada bukan ekuiti semata-mata, tetapi lebih kepada sumbangan kepada KDNK dan pendapatan isi rumah dengan menggunakan median bagi menggambarkan realiti semasa,” katanya kepada Bernama, hari ini.

    Beliau berkata, pendapatan isi rumah untuk bumiputera khususnya perlu dikenal pasti dengan jelas supaya selari dengan segala perancangan dan mencapai objektif yang ditetapkan dalam RMK-12.

    “Kita perlu perhalusi balik supaya kita tiada keadaan yang kaya makin kaya, yang miskin kekal miskin. Isunya nak memastikan pendapatan isi rumah itu, khususnya bumiputera mencapai apa yang selari dengan dapatan sumbangan KDNK,” katanya.

    Selain itu, beliau turut menghargai pewujudan semula Bahagian Kemakmuran Bumiputera menerusi RMK-12 dengan mandat dan fungsi yang lebih jelas melalui penugasan semula pegawai di setiap kementerian dan agensi kerajaan.

    Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan agenda bumiputera akan terus diperkasa dan tidak akan diabaikan, sebagaimana termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang memberi hak dan keistimewaan Melayu dan anak negeri, iaitu peribumi Sabah dan Sarawak serta kepentingan sah kaum lain.

    Sementara itu, Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu, Datuk Dr Hasan Mad berkata, beliau berharap kerajaan tidak memperkasakan agenda bumiputera secara terasing daripada agenda nasional dan harus dengan kelebihan diberi kepada golongan itu apabila mereka memerlukan bantuan.

    “Ia dengan memberi fokus terhadap kumpulan yang kurang berdaya saing. Kalau dia usahawan dah boleh bersaing, biarkan saingan dalam pasaran terbuka. Bukan semestinya semua bumiputera dah berdaya saing di peringkat global nak diberi layanan sama dengan yang kurang berdaya saing tadi, tidak.

    “Katakanlah dia dah berjaya, tiba-tiba dia jatuh, bukan kerana dia cuai atau berjoli, boros, tetapi jatuh kerana keadaan pasaran. Dalam keadaan begitu kena dimudahcarakan, bagaimana nak susunkan pinjaman bank, atau tukar perniagaan, dalam keadaan itu kerajaan kena campur tangan,” katanya.

    Pada masa sama, beliau turut menghargai pewujudan semula Bahagian Kemakmuran Bumiputera dan berharap kementerian serta agensi dapat memahami skop tugasan masing-masing supaya masalah lama tidak berulang.

    Katanya, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) perlu faham bahawa mereka hanyalah sekretariat kepada agenda bumiputera manakala pelaksana ialah kementerian dan agensi. – BERNAMA

  • Kerajaan komited selesai isu Sabah, Sarawak secara tuntas

    Kerajaan komited selesai isu Sabah, Sarawak secara tuntas

    RMK12

    KOMITMEN Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menyelesaikan isu berhubung tuntutan Sabah dan Sarawak berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) adalah gambaran jelas kesungguhan kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikannya secara tuntas.

    Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr Jeniri Amir berkata, Perdana Menteri yang menyentuh perkara itu semasa membentangkan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) semalam, telah mengorak satu lagi langkah ke hadapan dalam mengharmonikan lagi hubungan antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

    “Isu berkenaan MA63 ini tidak boleh dilewat-lewatkan lagi sebab ia sudah sekian lama dibincangkan. Harus dilihat pencapaian yang pantas, yang konkrit melalui strategi di bawah tempoh tertentu (dalam mencari penyelesaian).

    “Hanya dengan (penyelesaian) ini sahaja bukan sahaja dapat memuaskan hati rakyat Sabah dan Sarawak tetapi akan lebih memberi makna kepada aspirasi awal pejuang kemerdekaan dan juga gagasan Keluarga Malaysia yang dikemukakan Perdana Menteri,” katanya kepada Bernama, hari ini.

    Menurutnya, jika tuntutan di bawah MA63 ini dapat dipenuhi dalam tempoh terdekat ini, sudah pasti akan memberikan kelebihan kepada kerajaan negeri sekarang dalam persiapannya menghadapi pilihan raya negeri akan datang.

    “Ini (menyelesaikan isu MA63) merupakan langkah ke hadapan untuk memastikan akan wujud keharmonian dalam hubungan antara negeri dan Persekutuan dan kemudiannya memberi kesan kepada bagaimana rakyat di negeri ini bertindak balas dalam pilihan raya akan datang,” kata Jeniri.

    Menurutnya, Perdana Menteri turut memberikan komitmen yang jelas untuk memastikan pembangunan di kedua-dua negeri di kepulauan Borneo itu dapat dipacu dengan lebih pesat berdasarkan perancangan untuk merapatkan lagi jurang antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

    “Saya percaya jika semua projek ini dilaksanakan dengan efektif tanpa ketirisan, dilaksanakan mengikut jadual akan memberi kesan limpahan besar dalam usaha untuk memacu dari segi pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kualiti dan taraf hidup penduduk di bandar dan luar bandar,” tambahnya. – BERNAMA

  • Tingkat purata pendapatan selari cadangan pengenalan SSM baharu

    Tingkat purata pendapatan selari cadangan pengenalan SSM baharu

    RMK12

    MATLAMAT kerajaan meningkatkan purata pendapatan isi rumah kira-kira RM10,000 sebulan pada 2025 selaras dengan harapan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) agar Sistem Saraan Malaysia (SSM) baharu untuk perkhidmatan awam diwujudkan.

    Presidennya Adnan Mat berkata pihaknya berharap kerajaan menyediakan peruntukan dalam Belanjawan 2022 bagi mewujudkan SSM baharu memandangkan sejak penggubalannya pada November 2002, ia tidak pernah dikaji atau ditambah baik sehingga hari ini.

    “Pelaksanaan sistem saraan baharu perlu dilakukan bagi memastikan ia relevan dengan persekitaran ekonomi semasa dan bukannya menggunakan dapatan daripada sistem yang diwujudkan 19 tahun lalu.

    “Ia juga boleh menjadi permulaan kepada kerajaan dalam merangka jalan untuk meningkatkan pendapatan isi rumah yang ketika ini sekitar RM7,901 pada tahun lalu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Mengenai inisiatif untuk mengkaji cadangan memperkenalkan Akta Perkhidmatan Awam, Adnan berkata ia wajar disokong bagi memastikan ketelusan dan integriti dalam urus tadbir perkhidmatan awam kerana membolehkan pengasingan kuasa dan tanggungjawab antara anggota pentadbiran dengan penjawat awam.

    “Jika berlakunya campur tangan dalam urusan penjawat awam, sudah tentu akan mewujudkan isu konflik kepentingan dalam kalangan anggota pentadbiran manakala penjawat awam sukar untuk melaksanakan dasar dengan jayanya.

    “Pengasingan kuasa sebenarnya sudah wujud, namun sering kali disalah erti kerana tidak wujud ketegasan dalam undang-undang atau akta sedia ada…cadangan ini amat baik dan wajar disokong,” katanya.

    Menyentuh cadangan memperkenalkan Indeks Tadbir Urus Malaysia, Adnan berkata ia wajar bagi memastikan sesuatu dasar untuk rakyat dapat disampaikan dengan baik.

    “Ia bukan suatu perkara baharu dalam sesebuah organisasi termasuklah dalam perkhidmatan awam kerana sudah tentu setiap perkara yang mahu dilaksanakan perlu ada suatu petunjuk prestasi utama (KPI) atau indeks ditetapkan bagi mengukur kejayaan tersebut.

    “Mungkin namanya sahaja berubah tetapi pelaksanaannya tetap bermatlamat untuk memastikan rakyat menikmati hasil terbaik dan pada masa sama menjadi garis panduan kepada perkhidmatan awam dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat agar selari dengan apa yang ditetapkan,” katanya.

    Selain itu, Adnan berkata Pelan Antirasuah Nasional dan Pelan Antirasuah Organisasi yang dilaksanakan kerajaan perlu didukung supaya setiap strategi dan inisiatif di bawah RMK-12 dapat dilakukan secara tersusun dengan penuh integriti serta bertanggungjawab. – BERNAMA

  • Pertingkat peranan MKN teraju, selaras dasar keselamatan

    Pertingkat peranan MKN teraju, selaras dasar keselamatan

    RMK12

    TADBIR urus keselamatan negara akan diperkukuh dengan menambah baik fungsi dan peranan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebagai agensi peneraju yang menyelaras dasar berkaitan keselamatan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

    Menurut dokumen RMK-12 yang dikeluarkan Unit Perancang Ekonomi hari ini, penyelarasan pelbagai jawatankuasa di bawah MKN akan ditambah baik bagi memastikan arahan dan langkah berkaitan keselamatan dan ketenteraman awam dapat dilaksana dengan lebih berkesan di peringkat persekutuan, negeri dan daerah.

    RMK-12 dibentang Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Dewan Rakyat hari ini.

    Menurut dokumen berkenaan penyelarasan itu akan memberi tumpuan kepada isu keselamatan termasuk siber, jenayah rentas sempadan, wabak penyakit, bencana alam serta krisis ekonomi dan sosial.

    “Di samping itu, Pusat Pengurusan Operasi Negara (PPON) akan diperkukuhkan melalui penyelarasan yang lebih baik antara pihak berkepentingan yang berkaitan serta menghubungkan semua sistem pengurusan keselamatan, pertahanan dan bencana.

    “Ini akan membolehkan pengumpulan maklumat dengan lebih pantas dan mempercepat proses membuat keputusan serta penyelarasan yang lebih baik dalam kalangan agensi untuk menangani ancaman dan krisis,” menurut dokumen itu.

    Menurut dokumen itu, undang-undang berkaitan jenayah merangkumi Akta Pencegahan Jenayah 1959, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah Khas ) 2012, Akta Pencegahan Keganasan 2015 dan Kanun Keseksaan 1957, selain menyemak semula Akta Hasutan 1948 serta Akta Percetakan dan Penerbitan 1984 untuk memastikan kesesuaian dan keberkesanannya meningkatkan keselamatan dan ketenteraman awam.

    Sementara itu, langkah pencegahan rasuah akan diperkukuh meliputi semua agensi penguatkuasaan dan Angkatan Tentera Malaysia termasuk pelaksanaan piawaian Sistem Pengurusan Antirasuah yang digariskan di bawah Pelan Antirasuah Nasional secara mandatori.

    “Bagi mengurangkan risiko rasuah, semua agensi penguat kuasa di bawah Kementerian Dalam Negeri dikehendaki melaksana Sistem Peprofilan Pengambilan bagi jawatan berisiko tinggi dan sensitif selain pusingan kerja juga akan dilaksana secara mandatori,” menurut dokumen itu.

    Untuk menambah baik penyelarasan dan kerjasama, dokumen itu menyatakan majlis perundingan keselamatan dan ketenteraman awam akan ditubuhkan untuk menyelaras usaha menangani ancaman keselamatan dan sebagai platform perkongsian pengetahuan dalam kalangan pakar keselamatan.

    Bagi menangani jenayah rentas sempadan, usaha bersepadu akan dilaksanakan untuk menyatukan pelbagai mandat dan kuasa ATM serta semua agensi penguatkuasaan berkaitan kawalan sempadan termasuk di semua pintu masuk.

    “Dalam tempoh lima tahun ini, dasar identiti digital nasional akan diperkenal bagi membolehkan pergerakan data yang dipercayai, selamat dan telus selain memastikan semua sistem yang berkaitan dengan pendaftaran penduduk diintegrasi bagi membolehkan perkongsian data dalam kalangan agensi berkaitan,” menurut dokumen itu. – BERNAMA