Author: Bernama

  • Tidur lewat,tak sarapan punca remaja hampir pitam bukan kerana vaksin

    Tidur lewat,tak sarapan punca remaja hampir pitam bukan kerana vaksin

    TIMBALAN Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Melaka Dr Rusdi Abd Rahman berkata ketika proses vaksinasi, remaja berkenaan kelihatan agak gementar namun tidak menunjukkan sebarang kesan sampingan sejurus selepas vaksinasi atau sepanjang tempoh pemerhatian.

    Beliau berkata bagaimanapun ketika menuju ke tempat meletak kenderaan, remaja itu secara tiba-tiba kelihatan lemah dan rebah sehingga perlu dipapah oleh ahli keluarganya masuk semula ke PPV bagi tujuan pemeriksaan lanjut.

    “Pemerhatian 30 minit oleh pasukan perubatan mendapati remaja itu menunjukkan keadaan stabil dan dibenarkan pulang. Panggilan telefon susulan yang dibuat kepada keluarga remaja berkenaan selepas itu mendapati dia sihat dan aktif seperti sedia kala,” katanya dalam kenyataan di Melaka malam tadi.

    Katanya hasil siasatan lanjut mendapati remaja berkenaan telah tidur lewat iaitu pada pukul 2 pagi sebelum menerima suntikan selain hanya makan sesudu nasi lemak pada pagi itu.

    “Jabatan Kesihatan Negeri Melaka bersama Pejabat Kesihatan Daerah akan terus memantau status kesihatan remaja ini dari semasa ke semasa,” katanya.

    Terdahulu tular di media sosial kejadian seorang remaja lelaki yang dikatakan tidak sedarkan diri selepas menerima suntikan vaksin COVID-19 semalam. – BERNAMA

  • PDRM benar murid, pelajar untuk rentas negeri – Bukit Aman

    PDRM benar murid, pelajar untuk rentas negeri – Bukit Aman

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) membenarkan murid atau pelajar untuk merentas negeri bagi tujuan ke sekolah dan institusi pendidikan apabila ia dibuka nanti.

    Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Hazani Ghazali berkata bagaimanapun mereka perlu mendapatkan surat pengesahan daripada Kementerian Pendidikan (KPM), sekolah atau institusi pendidikan.

    Beliau berkata Majlis Keselamatan Negara telah mengemas kini prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pergerakan harian ke sekolah atau institusi pendidikan dan kemasukan pelajar ke asrama yang melibatkan pergerakan rentas negeri itu.

    “Pergerakan pergi dan balik ke sekolah atau institusi pendidikan bagi murid atau pelajar yang terlibat boleh ditemani oleh seorang penjaga.

    “… dan pergerakan guru atau tenaga pengajar ke sekolah (atau) institusi pendidikan untuk merentas negeri bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran dibenarkan dengan surat pengesahan daripada KPM atau sekolah (atau) institusi pendidikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau juga berkata pergerakan bagi kemasukan murid (atau) pelajar ke asrama, (juga) adalah dibenarkan dengan menggunakan surat pengesahan daripada KPM atau sekolah atau institusi pendidikan untuk tujuan merentas negeri.

    “Oleh yang demikian, PDRM menasihatkan pelajar, ibu bapa, guru atau tenaga pengajar yang ingin membuat pergerakan merentas negeri bagi tujuan ini agar menyediakan surat pengesahan daripada KPM atau sekolah (atau) institusi pendidikan untuk dikemukakan kepada petugas di sekatan jalan raya bagi melancarkan pergerakan,” katanya.

    Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin pada 15 Ogos lepas mengumumkan tarikh pembukaan semula sekolah bagi negeri-negeri dalam Fasa Dua dan Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) ialah pada 3 Okt iaitu dilewatkan berbanding 1 Sept seperti yang diumum sebelum ini.

    Dr Radzi berkata bagaimanapun, pembukaan sekolah tidak dibenarkan bagi negeri-negeri dalam Fasa Satu PPN.

    Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad sebelum ini dilaporkan berkata kementeriannya merancang membuka semula Institusi Pengajian Tinggi untuk kemasukan pelajar secara fizikal bagi sesi akademik 2021/2022 dalam semua fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula Oktober ini.

  • Pemandu lori rentung sempat pesan pada ibu jangan menangis jika hilang orang tersayang

    Pemandu lori rentung sempat pesan pada ibu jangan menangis jika hilang orang tersayang

    PEMANDU syarikat penghantaran yang rentung selepas lori dipandu terbabas lalu terbakar di Jalan Tasik Utara, Larkin dua hari lepas, sempat berpesan pada ibunya supaya tidak menangis sekiranya orang yang tersayang pergi menghadap Ilahi.

    Ibu Mohamad Mustaqim Ismadi, 23, Maglita Varshay Ibrahim, 49, berkata arwah mengungkapkan perkara itu ketika ibunya kehilangan kakaknya akibat COVID-19 empat bulan lepas.

    “Kakak saya meninggal dunia empat bulan lepas kerana COVID dan disebabkan itu saya banyak menangis.

    “Arwah sempat pesan kepada saya jangan menangis kerana menangis tidak akan membawa apa-apa perubahan, sebaliknya kita kena banyak berdoa kepada Allah,” katanya kepada pemberita selepas menerima sumbangan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di Flat Serantau Larkin, Johor Bharu hari ini, lapor Bernama.

    Maglita berkata kelakuan anak sulungnya itu juga berubah kebelakangan ini kerana lebih banyak ke surau dan bercerita tentang perkara keagamaan.

    “Mustaqim anak yang baik dan soleh, penduduk setempat di flat serta rakan kerja juga kata arwah merupakan orang baik. Makcik rasa sangat sedih dan kehilangan,” kata suri rumah kepada dua cahaya mata itu.

    Sementara itu, Pengarah Perkeso Johor Tong Sing Chuan berkata berikutan Mohamad Mustaqim meninggal dunia ketika sedang bekerja, keluarganya layak menerima faedah sebanyak RM1,333.50 sebulan.

    Katanya, keluarga mangsa juga menerima bayaran bagi faedah pengurusan mayat sebanyak RM2,000.

    Mohamad Mustaqim yang masih belum berkahwin dan bekerja sebagai pemandu lori syarikat penghantaran itu sejak 22 Mac tahun ini, meninggal dunia ketika dalam perjalanan untuk menghantar barangan kepada pelanggan.

    Lori dipandunya terbabas ketika cuba mengelak kon di tepi jalan lalu melanggar pokok di tengah jalan dan terbakar menyebabkan mayatnya ditemui dalam keadaan rentung.

  • Malbatt 850-9 cipta sejarah ATM paling ramai anggota wanita

    Malbatt 850-9 cipta sejarah ATM paling ramai anggota wanita

    PENGHANTARAN Kumpulan Pertama Malaysian Battalion 850-9 (Malbatt 850-9) buat kali pertama dalam sejarah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menampilkan jumlah anggota wanita paling ramai sejak ATM terlibat dalam misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (Unifil).

    Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien berkata Malbatt 850-9 adalah lebih istimewa kerana ia disertai 11 pegawai dan 75 anggota lain-lain pangkat (LLP) wanita daripada keseluruhan 854 orang anggota dan pegawai.

    Beliau berkata bukan itu sahaja, kesemua mereka ini akan melaksanakan misi secara berterusan selama setahun berbanding enam bulan secara penggiliran sebelum ini.

    “Ini bukan sahaja membuktikan keupayaan dan kredibiliti anggota wanita ATM malah ia turut selari dengan keperluan semasa Unifil yang sememangnya lebih ramai penglibatan anggota wanita bagi melaksanakan tugasan berkaitan kemasyarakatan.

    Saya juga amat kagum apabila dimaklumkan bahawa buat pertama kalinya pasukan Malbatt akan disertai seorang pegawai awam wanita daripada Bahagian Kewangan Kementerian Pertahanan iaitu Farah Zamirah Farush Khan,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pemakaian Beret Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Penyerahan Bendera Malaysia dan Penghantaran Kumpulan Pertama Malbatt 850-9 ke Lubnan di Pangkalan Udara Subang di sini hari ini.

    Sementara itu, mengenai penempatan Malbatt 850-9 di Lubnan, Hishammudin berkata mereka akan ditempatkan di dua penempatan tetap iaitu Kem Ma’rakah serta Kem Tibnin dan akan melaksanakan tugas-tugas operasi yang diberikan oleh Unifil khususnya di kawasan tanggungjawab.

    “Tahun ini, pasukan Malbatt 850-9 sekali lagi disertai Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dengan kekuatan 30 anggota. Ini merupakan hasil hubungan serumpun yang erat serta kerjasama pertahanan yang akrab antara Malaysia-Brunei sejak sekian lama,” katanya.

    Hishammuddin berkata Malbatt 850-9 akan diatur gerak ke Lubnan secara berperingkat bermula hari ini dan bakal menggantikan Malbatt 850-8 yang akan tamat operasi 12 bulan pada 13 Nov ini.

    Kekuatan keseluruhan Malbatt 850-9 ialah 854 orang iaitu 83 pegawai dan 771 anggota LLP yang diketuai Kol Megat Maz Ardi Nohuddin selaku Komander Malbatt 850-9.

    Turut hadir Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang dan Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain.

  • Solat jemaah di masjid, surau WP dibenarkan kapasiti penuh esok

    Solat jemaah di masjid, surau WP dibenarkan kapasiti penuh esok

    KEHADIRAN jemaah bagi solat Jumaat, fardu dan lain-lain di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan adalah mengikut kapasiti sebenar masjid dan surau dengan penjarakan fizikal 1.5 meter (m) berkuat kuasa esok.

    Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Datuk Mohd Ajib Ismail berkata ketetapan baharu itu dilaksanakan selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan selaras dengan Peralihan Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).

    Beliau berkata semua masjid dan surau juga dibenarkan untuk melaksanakan aktiviti pengimarahan antaranya seperti kuliah maghrib, tazkirah sebelum solat Jumaat, tadarus al-Quran, bacaan Yasin dan doa tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan.

    “Semoga umat Islam khususnya di Wilayah Persekutuan terus mematuhi SOP ditetapkan dan memanfaatkan peluang tersebut untuk mengimarahkan masjid dan surau serta bermunajat dan berdoa agar penularan wabak COVID-19 segera berakhir,” katanya dalam kenyataan hari ini.

  • Ahli perniagaan wanita rugi RM95,000 ditipu saudara sendiri untuk rawatan kecantikan

    Ahli perniagaan wanita rugi RM95,000 ditipu saudara sendiri untuk rawatan kecantikan

    SEORANG wanita yang merupakan ahli perniagaan kerugian sejumlah RM95,000 selepas ditipu oleh saudaranya sendiri untuk mendapatkan rawatan kecantikan, malah turut mengalami kesan sampingan terhadap kesihatannya.

    Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata pada Ogos tahun lepas, mangsa telah ditawarkan suspek iaitu seorang wanita untuk rawatan suntikan pemutihan kulit dengan pengakuan bahawa suspek mempunyai kelayakan dan pengalaman bagi rawatan itu.

    Beliau berkata menurut mangsa yang berusia lewat 20-an itu, suspek juga mengakui merupakan seorang kakitangan di pusat rawatan kecantikan yang dikenali di ibu negara ini.

    “Dalam tempoh dua bulan pada awal tahun ini, mangsa telah menjalani 17 rawatan di rumah suspek, selepas pengadu (mangsa) dimaklumkan suspek mempunyai sijil kelayakan dan mendapat bekalan ubat-ubatan daripada pusat rawatan kecantikan tersebut.

    “Dalam tempoh sama, mangsa telah membuat beberapa bayaran kepada suspek berjumlah RM95,000 bagi mendapatkan dua jenis rawatan iaitu ‘face jab’ dan ‘dripping’”, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Shafien berkata pada Mac lepas, mangsa mula mengalami masalah kulit yang teruk dan setelah mendapatkan rawatan di pusat perubatan, wanita itu dipercayai telah menerima rawatan kulit yang salah dan kini menghadapi risiko penyakit buah pinggang.

    “Mangsa yang tidak berpuas hati menghubungi pusat rawatan kecantikan tersebut dan dimaklumkan bahawa suspek bukan kakitangan di pusat kecantikan berkenaan, serta mereka juga tidak pernah memberi kebenaran untuk rawatan kecantikan dijalankan di luar premis.

    “Mangsa telah membuat laporan polis di daerah Tumpat kerana mengesyaki telah ditipu suspek,” katanya sambil menambah kes itu dalam siasatan kerana kesalahan menipu dengan jalan samaran mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan.

    Beliau berkata pesalah boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika disabit kesalahan.

    “Pihak polis ingin mengingatkan kepada masyarakat supaya berhati-hati dan sentiasa membuat semakan dengan pihak sewajarnya, sebelum mendapatkan sebarang jenis perkhidmatan yang ditawarkan dan tidak sewenang-wenangnya mempercayai walaupun dakwaan daripada individu dikenali,” tambahnya. – BERNAMA

  • AGC terima kertas siasatan kehilangan wang AS$6.94 juta

    AGC terima kertas siasatan kehilangan wang AS$6.94 juta

    JABATAN Peguam Negara (AGC) telah menerima kertas siasatan berhubung kes berkaitan kehilangan wang AS$6.94 juta daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    AGC dalam kenyataan hari ini memaklumkan Bahagian Pendakwaan Pejabat Peguam Negara telah menerima kertas siasatan berkaitan kes berkenaan semalam.

    “Bahagian pendakwaan akan mengkaji dengan teliti dan menyeluruh kertas siasatan tersebut sebelum membuat keputusan sama ada untuk membuat pertuduhan atau mengeluarkan arahan untuk siasatan lanjut,” menurut kenyataan itu.

    Pada 23 Sept lepas, Bernama melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil tiga pegawai kanan SPRM yang sebelum ini direman selama enam hari oleh SPRM bagi melengkapkan siasatan berhubung kehilangan wang berkenaan.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata pihaknya juga akan memanggil pemilik wang berkenaan, bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) Datuk Hasanah Abdul Hamid. – BERNAMA

  • Puting beliung ‘gerunkan’ penduduk Taman Bagan Kurnia

    Puting beliung ‘gerunkan’ penduduk Taman Bagan Kurnia

    PENDUDUK Taman Bagan Kurnia, Kuala Lukut di Port Dickson melalui detik cemas apabila puting beliung dengan bunyi yang menakutkan membadai kawasan perumahan itu pagi tadi.

    Menceritakan situasi itu, Ardila Alia Mohd Ali, 22, berkata, kejadian tersebut yang berlaku kira-kira jam 10.30 pagi tadi, merupakan pengalaman pertamanya sejak hampir lima tahun tinggal di kawasan itu.

    Menurut anak sulung daripada tujuh adik-beradik itu, ketika kejadian beliau sedang keluar membeli sarapan, namun terpaksa berpatah balik kerana melihat atap rumah tercabut dan terbang berpusing di udara.

    “Kejadian puting beliung ini sangat menakutkan, pertama kali saya lihat serpihan atap berterbangan di udara dengan angin yang kuat, ketika itu saya bersama adik-adik di rumah, ibu keluar membawa salah seorang adik saya untuk suntikan vaksin COVID-19,” katanya kepada Bernama.

    Kesan puting beliung yang melanda Taman Bagan Kurnia, Kuala Lukut, Port Dickson, hari ini. – Gambar: Bernama

    Pelajar Universiti Malaysia Kelantan itu berkata akibat bencana itu, khemah bersaiz 20×20 kaki yang dipasang di hadapan rumah untuk berniaga mengalami kerosakan, selain atap rumah turut tercabut.

    Sementara itu, seorang pekerja swasta Noorsila Abdul Jali, 37, berkata bencana itu menyebabkan sengkuap atau awning rumahnya mengalami kerosakan yang teruk.

    Katanya puting beliung itu berlaku dalam tempoh kurang daripada 15 minit namun amat menggerunkan.

    “Dalam tempoh seminggu dua ini memang hujan lebat dan angin kuat berlaku dan akibat kejadian ini juga, serpihan atap kilang berhampiran iaitu kira-kira 60 meter dari kawasan perumahan ini turut berterbangan,” katanya.

    Dalam pada itu, Adilah Mohd Yunus, 44, berkata ibu mentuanya Siti Mariam Abu, 86, mengalami kecederaan di bahagian kepala selepas siling rumah mereka terjatuh ekoran pusaran angin itu.

    Menurutnya warga emas itu menerima enam jahitan dan kini dirawat di Hospital Port Dickson.

    Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan Lt Kol (PA) Mohd Syukri Md Nor berkata sebanyak 10 buah rumah mengalami kerosakan terutamanya di bahagian bumbung.

    Katanya seramai enam anggota APM telah selesai melakukan tinjauan dan pemeriksaan di taman perumahan itu pada jam 2.40 petang tadi. – BERNAMA

  • Notis kebangkrapan: Najib mohon periksa pegawai LHDN

    Notis kebangkrapan: Najib mohon periksa pegawai LHDN

    DATUK Seri Najib Tun Razak memohon untuk memeriksa lima pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang mengikrarkan afidavit mereka berhubung notis kebankrapan terhadap bekas Perdana Menteri itu kerana gagal membayar tunggakan cukai tambahan berjumlah RM1.69 bilion kepada LHDN.

    Peguam Wee Yeong Kang yang mewakili Najib ketika dihubungi Bernama berkata, permohonan itu difailkan pada 22 Sept lepas, menurut Kaedah 47 Kaedah-Kaedah Insolvensi 2017.

    Najib, 68, memohon untuk mendapatkan perintah mahkamah bagi melakukan pemeriksaan ke atas lima pegawai lelaki berkenaan, atas alasan pihak LHDN gagal memberi butiran bagaimana pengiraan jumlah keseluruhan cukai yang dikenakan terhadapnya.

    Yeong Kang berkata ketika pengurusan kes secara dalam talian (Zoom) di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Ida Rahayu Sharif hari ini, pihak LHDN memaklumkan bahawa mereka akan memfailkan permohonan untuk membatalkan permohonan pemeriksaan berkenaan.

    “Mahkamah kemudian mengarahkan LHDN memfailkan permohonan itu pada 13 Okt ini dan pengurusan kes selanjutnya ditetapkan pada 9 Nov,” katanya.

    Peguam Kanan Hasil Al-Hummidallah Idrus mewakili LHDN yang turut serta dalam prosiding itu, ketika dihubungi mengesahkan perkara berkenaan.

    Kerajaan, melalui LHDN memfailkan notis kebankrapan di Mahkamah Tinggi di sini pada 4 Februari lepas terhadap Najib, selaku penghutang.

    Berdasarkan notis itu, Najib perlu membayar RM1.69 bilion dengan lima peratus kadar faedah setahun atas jumlah baki dari 22 Julai 2020 (tarikh keputusan Mahkamah Tinggi) hingga 4 Februari 2021 iaitu RM45.9 juta serta kos RM15,000 dan setakat 4 Februari 2021, jumlah itu menjadi RM1,738,804,204.16.

    Pada 22 Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Najib perlu membayar tunggakan cukai tambahan LHDN bagi tempoh 2011 hingga 2017 berjumlah RM1.69 bilion, selepas membenarkan permohonan LHDN untuk memasukkan penghakiman terus terhadapnya.

    Penghakiman terus ialah apabila mahkamah memutuskan kes melalui afidavit dan hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan.

    Pada 9 September lepas, Mahkamah Rayuan turut mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi itu selepas menolak rayuan Najib.

    Najib pada 13 September lepas, telah memfailkan permohonan kebenaran untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan itu. – BERNAMA

  • Kontrak Ketua Polis Negara dilanjutkan dua tahun lagi

    Kontrak Ketua Polis Negara dilanjutkan dua tahun lagi

    KHIDMAT Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani sebagai Ketua Polis Negara (KPN) akan dilanjutkan selama dua tahun secara kontrak selepas beliau bersara wajib awal bulan depan.

    Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata Acryl Sani, 59, dilantik secara kontrak bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 4 Okt 2021 hingga 3 Okt 2023.

    Beliau berkata pelantikan itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah R’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan atas nasihat Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    “Tahniah dan syabas kepada Datuk Seri Acryl Sani atas pelanjutan perkhidmatan sebagai Ketua Polis Negara. Saya percaya beliau akan melakukan yang terbaik untuk negara.

    “Saya yakin pelantikan ini dapat memberi semangat kepada semua pegawai dan anggota untuk terus bekerjasama dengan Ketua Polis Negara untuk memberi khidmat terbaik kepada negara,” katanya pada sidang media khas penyerahan watikah pelantikan Ketua Polis Negara di Bukit Aman, di sini hari ini.

    Acryl Sani dilantik secara rasmi sebagai Ketua Polis Negara ke-13 pada 4 Mei tahun ini bagi menggantikan Tan Sri Abdul Hamid Bador yang tamat kontrak perkhidmatan pada 3 Mei lalu.