Author: Bernama

  • Pemegang amanah YAB hanya ‘boneka’, dikawal Zahid

    Pemegang amanah YAB hanya ‘boneka’, dikawal Zahid

    AHLI Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Akalbudi (YAB) hanyalah ‘boneka’ dikawal oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan pelantikan mereka hanya untuk memenuhi kerusi jawatan yayasan itu, Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu. 

    Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran berkata, kesemua ahli lembaga pemegang amanah itu tidak membuat sebarang sumbangan dan semua arahan itu datang daripada Ahmad Zahid.

    “YAB pada dasarnya adalah beliau (Ahmad Zahid) kerana beliau adalah penyumbang utama kepada yayasan itu. Pemegang amanah yang lain hanyalah boneka. Seolah-olah Samsuri (Samsuri Tun), Prof Zulkifli (Dr Zulkifli Senteri), Nabil (Muhammad Nabil Saleh) dan Datuk Khairuddin (Datuk Khairuddin Tarmizi) dilantik semata-mata untuk memenuhi kerusi (lembaga pemegang amanah).

    “Ahmad Zahid adalah orang yang mengawal di belakang YAB dan di samping itu, beliau adalah penandatangan tunggal cek YAB. Tertuduh berada dalam kedudukan yang membolehkannya menggunakan dana yayasan, sesuai dengan kehendak dan keinginannya,” hujah Raja Rozela di akhir kes pendakwaan dalam perbicaraan kes rasuah Ahmad Zahid.

    Beliau menambah Ahmad Zahid juga mempunyai keupayaan untuk menentukan aliran masuk dan keluar dana YAB.

    “Pendakwaan berhujah bahawa tertuduh sebenarnya telah menggunakan kuasanya apabila beliau secara tidak jujur menyalahgunakan dana YAB untuk kepentingan peribadinya,” katanya.

    Raja Rozela seterusnya berhujah bahawa pada 4 April 2012, Ahmad Zahid menjadikan dirinya penandatangan tunggal bagi akaun bank YAB.

    “Resolusi itu ditandatangan tertuduh, Muhammad Nabil dan Khairuddin. Pertukaran penandatangan ini berkuat kuasa pada 20 Jun 2013, seperti yang dinyatakan dalam Borang Kemas kini Tandatangan,” tambahnya.

    Ahmad Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan iaitu 12 bagi pecah amanah jenayah, lapan bagi rasuah dan 27 bagi pengubahan wang haram membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit milik YAB.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. – Bernama

  • Komunikasi jelik babit Muhyiddin, Dayalan mengaku tidak bersalah

    Komunikasi jelik babit Muhyiddin, Dayalan mengaku tidak bersalah

    PENGERUSI Pasukan Pekerja Malaysia-Singapura (Pemas) S. Dayalan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan membuat penghantaran komunikasi jelik membabitkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di laman Facebook miliknya, Mei lepas.

    Dayalan, 41, selaku Orang Kena Saman (OKS) didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi bersifat jelik berkenaan menggunakan laman profil Facebook ‘Dayalan Sreebalan’ dengan niat untuk menyakiti hati orang lain pada 10.03 malam, 30 Mei lepas.

    Hantaran itu kemudian dibaca di Jabatan Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Tingkat 27, Menara KPJ, di sini pada 7.15 petang, 2 Jun 2021.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara yang boleh sampai setahun atau kedua-duanya dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan, jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Najihah Farhana Che Awang menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin, namun peguam Dinesh Muthal, yang mewakili Dayalan memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya penanggung tunggal keluarga dan memberi kerjasama yang baik sepanjang siasatan kes dijalankan.

    Hakim M. M. Edwin Paramjothy membenarkan Dayalan diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Nov ini untuk sebutan semula kes. – BERNAMA

  • Program naturalisasi sememangnya gagal, kata Shebby

    Program naturalisasi sememangnya gagal, kata Shebby

    Oleh AMIRIL MUTTAQIEN MEKETAR

    PROGRAM naturalisasi sememangnya gagal. Walaupun pahit untuk ditelan, demikianlah pandangan jujur bekas pemain kebangsaan, Serbegeth Singh terhadap impak barisan pemain naturalisasi yang ‘dicanang’ mampu meningkatkan tahap permainan skuad Harimau Malaya.

    “Dalam hidup ada kala kita kena mengaku kesilapan, jangan gadai negara semata-mata untuk Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) buktikan program naturalisasi ini adalah satu kejayaan. Jika ia tidak berjaya, terima kenyataan itu dan teruskan berusaha,” katanya ketika dihubungi Bernama.

    Serbegeth yang lebih dikenali sebagai Shebby memberi peringatan bakat-bakat muda sedia ada akan ‘rosak’ sekiranya FAM menumpukan terhadap pemain naturalisasi yang jelas tidak bersungguh-sungguh membawa lencana di dada ketika beraksi di atas padang.

    Pemerhati bola sepak yang terkenal dengan kritikan pedasnya itu juga ternyata berang dengan kelibat penyerang naturalisasi negara kelahiran Brazil, Guilherme De Paula apabila menampilkan persembahan buruk dalam dua aksi persahabatan antarabangsa menentang Jordan dan Uzbekistan, baru-baru ini.

    “Beliau (De Paula) benar-benar gagal…dia berusia 34 tahun dan bukannya dapat jadi lebih baik atau bertambah muda. Apa yang FAM tunggu lagi?, nak dia skor hatrik lawan Indonesia, Kemboja atau Laos?.

    “Saya akan bertanding meskipun tanpa pemain naturalisasi termasuk pemain seperti Liridon Krasniqi (Kosovo) dan Mohamadou Sumareh (Gambia), kerana kita ada ramai bakat penyerang tempatan,” katanya.

    Sementara itu, bekas pertahanan Kuala Lumpur itu mencadangkan sudah tiba masanya barisan kejurulatihan diketuai Tan Cheng Hoe untuk merombak formasi 4-3-3 kepada 3-4-3 bagi menghadapi saingan Piala AFF Suzuki 2020 dijadual berlangsung di Singapura, Disember ini.

    Katanya, rombakan formasi berkenaan dipercayai boleh mengukuhkan kubu pertahanan yang sering kali ‘bocor’ terutamanya menentang pasukan lebih tinggi ranking daripada Malaysia, yang menghuni tangga ke-154 dunia.

    Malaysia bolos sembilan kali apabila mengalami kekalahan besar 0-4 kepada Jordan pada 6 Okt sebelum dibelasah 1-5 oleh Uzbekistan, Sabtu lepas.

    Sehubungan itu, beliau berkata, barisan kejurulatihan seharusnya menerima hakikat bahawa gandingan dua pemain di bahagian pertahanan tidak dapat berfungsi dengan baik seperti diharapkan.

    “Kita mempunyai masalah besar di bek tengah kerana memang tiada persefahaman dan keserasian di antara kapten pasukan Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak dan Muhammad Irfan Zakaria…kita pun pernah lihat Nor Azam Azih serta Shahrul Mohd Saad sebelum ini, jadi saya berharap dapat melihat Dion-Johan Cools beraksi di Singapura nanti,” katanya.

    Selain Dion, Serbegeth berkata, dua lagi pemain, Rodney Celvin Akwensivie dan D. Kenny Pallraj berpotensi untuk mengisi kelompongan benteng pertahanan negara.

    Katanya, Matthew Davies pula sebagai pertahanan kanan dan La’Vere Lawrence Corbin-Ong untuk posisi pertahanan kiri, dengan kedua-dua pemain boleh bertindak sebagai pemain sayap manakala gandingan Baddrol Bakhtiar dan Muhammad Akhram Mahinan di bahagian tengah Harimau Malaya.

    Melengkapkan senarai akhir barisan utama skuad bayangannya adalah kombinasi jentera serangan iaitu Muhammad Safawi Rasid di sebelah kanan dan Mohamad Faisal Abdul Halim di sebelah kiri manakala Luqman Hakim Shamsudin yang bermain untuk kelab Belgium, KV Kortrijk, bertindak sebagai penggempur utama negara.

    Beliau juga memuji peranan Baddrol yang beraksi dengan baik pada perlawanan menentang Jordan dan Uzbekistan selain menyifatkan kehadiran pemain Kedah Darul Aman FC itu dalam pasukan amat penting dalam membimbing barisan pemain muda untuk menampilkan aksi terbaik mereka.

    Selepas saingan Piala AFF 2020, skuad negara akan kembali menyambung misi memburu slot ke pusingan akhir Piala Asia 2023 pada pusingan ketiga kelayakan kempen itu tahun depan. – BERNAMA

  • Syarikat gagal periksa vaksinasi penumpang kena tindakan

    Syarikat gagal periksa vaksinasi penumpang kena tindakan

    SYARIKAT perkhidmatan pengangkutan awam yang ingkar, cuai atau lalai dalam memastikan penumpang lengkap divaksinasi bagi tujuan perjalanan merentas negeri boleh dikenakan tindakan, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

    Beliau berkata, arahan khusus memeriksa sijil vaksinasi COVID-19 telah dikeluarkan kepada semua pengusaha pengangkutan awam sama ada darat, udara mahupun sektor maritim selepas aktiviti merentas negeri kembali dibenarkan mulai, semalam.

    “Agensi penguatkuasaan boleh membuat pemeriksaan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang membuat pemeriksaan secara rawak terhadap bas untuk memastikan semua penumpang mematuhi syarat ditetapkan.

    “Pemeriksaan (sijil vaksinasi) ini juga tidak melibatkan kos tambahan kepada pengusaha syarikat pengangkutan, sebaliknya menambah keyakinan penumpang untuk melalui perjalanan jarak jauh menggunakan pengangkutan awam,” katanya.

    Ka Siong ditemui pemberita selepas melawat dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran di Kampung Baru Karak di Bentong hari ini yang turut dihadiri Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique dan bekas Ahli Parlimen Bentong, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

    Semalam, Ka Siong berkata pengusaha pengangkutan awam diminta memastikan penumpang lengkap divaksinasi sebagaimana ditetapkan di bawah prosedur operasi standard (SOP) bagi melakukan perjalanan merentas negeri.

    Dalam perkembangan lain, Ka Siong berkata, mangsa kebakaran di kampung tersebut dikecualikan bayaran untuk mendapatkan lesen memandu yang musnah dalam bencana itu, bagi memudahkan dan meringankan beban mereka terlibat.

    “Kita sudah membawa unit mobil bergerak JPJ ke sini bagi membantu penduduk dan jika masih belum membuat permohonan mendapatkan penggantian, mereka boleh ke pejabat JPJ terdekat dan mengemukakan laporan polis,” katanya.

    Kebakaran Kampung Baru Karak yang berlaku sekitar 9 malam pada 1 Okt lepas memusnahkan 51 rumah dan sembilan unit kedai dan setakat ini, punca kebakaran masih dalam siasatan. – BERNAMA

  • Ramli calon Timbalan Speaker Dewan Rakyat

    Ramli calon Timbalan Speaker Dewan Rakyat

    AHLI Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor telah dicalonkan sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat semalam.

    Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pencalonan Ramli itu mendapat persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

    Ahmad berkata, pencalonan Ramli sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat itu merupakan detik bersejarah kerana beliau merupakan Orang Asli yang pertama dicalonkan bagi jawatan berkenaan.

    “YB Ramli Mohd Nor #Ahli Parlimen #Cameron Highlands dicalonkan sebagai Timbalan Speaker #DewanRakyat. Ini suatu sejarah, sebagai Orang Asli yang pertama dicalon,” katanya menerusi ciapan di Twitternya.

    Ahmad juga memaklumkan bahawa semalam merupakan hari terakhir untuk cadangan nama sebelum dibawa ke sidang pada 25 Okt ini.

    Pada 7 Okt, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian, menarik diri selepas dicalonkan bagi mengisi jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat setelah dikosongkan Datuk Seri Azalina Othman Said yang meletakkan jawatan pada 23 Ogos lepas.

    Menurutnya keputusan untuk menarik diri itu bagi menumpukan usaha dan perhatian kepada tanggungjawabnya sebagai Setiausaha Agung UMNO. – BERNAMA

  • Lim Guan Eng dilantik Ahli Jawatankuasa Pemilih

    Lim Guan Eng dilantik Ahli Jawatankuasa Pemilih

    DEWAN Rakyat hari ini meluluskan usul pelantikan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng sebagai Ahli Jawatankuasa Pemilih untuk tempoh Parlimen Ke-14.

    Usul yang dibacakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengikut Peraturan Mesyuarat 76 itu diluluskan dengan suara majoriti ahli Dewan Rakyat.

    Usul itu bagi menggantikan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

    Enam ahli Jawatankuasa Pemilih kini terdiri daripada Guan Eng, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof; Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan Datuk); Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS-Marang) dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson).

    Jawatankuasa Pemilih dilantik untuk menjalankan kewajipan-kewajipan yang diperuntukkan oleh Peraturan-peraturan Mesyuarat. – BERNAMA

  • AS$6.94 juta lesap: AGC kesan ada kesalahan lain

    AS$6.94 juta lesap: AGC kesan ada kesalahan lain

    JABATAN Peguam Negara (AGC) mendapati wujud kesalahan-kesalahan lain yang memerlukan siasatan lanjut dilakukan oleh agensi penguatkuasaan yang berkaitan dalam kes kehilangan wang US$6.94 juta, yang diterima pada 28 Sept lepas daripada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    AGC dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa pihaknya telah mengkaji dan meneliti kertas siasatan berkaitan kes berkenaan.

    “Kertas siasatan telah dikembalikan untuk tindakan lanjut,” menurut kenyataan itu.

    Media sebelum ini turut melaporkan bahagian pendakwaan AGC akan mengkaji dengan teliti dan menyeluruh kertas siasatan yang diterima pada 28 Sept daripada SPRM itu sebelum membuat keputusan sama ada membuat pertuduhan atau mengeluarkan arahan siasatan lanjut.

    Pada 23 Sept lepas, Bernama melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil tiga pegawai kanan SPRM yang sebelum ini direman selama enam hari oleh SPRM, dan pemilik wang berkenaan yakni bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid bagi melengkapkan siasatan berhubung kehilangan wang berkenaan. – BERNAMA

  • Perdana Menteri bentang RMK-12 di Dewan Negara

    Perdana Menteri bentang RMK-12 di Dewan Negara

    PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membentangkan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) di Dewan Negara, hari ini.

    Rancangan Malaysia dari 2021 hingga 2025 itu sebelum ini diluluskan di Dewan Rakyat Khamis lepas selepas dibentang pada 27 Sept lepas dan dibahas 106 Ahli Parlimen.

    Ia yang menjadi landasan hala tuju pembangunan negara untuk lima tahun, selepas ini akan melalui sesi perbahasan Ahli Dewan Negara sebelum diluluskan di peringkat Dewan Negara.

    Ismail Sabri ketika membentangkan perancangan lima tahun berkenaan di Dewan Negara berkata, RMK-12 adalah pelan pembangunan menyeluruh bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dengan pengagihan peluang dan hasil lebih saksama.

    Bermatlamatkan ‘Keluarga Malaysia – Makmur, Inklusif, Mampan’, beliau berkata pembaharuan yang diperkenalkan dalam RMK-12 meliputi tiga tema dan empat pemangkin dasar serta 14 pemacu perubahan.

    “Kerajaan mengambil pendekatan keseluruhan negara melibatkan seluruh jentera dan agensi kerajaan, sektor swasta, akademia, pertubuhan masyarakat sivil (atau CSO) serta rakyat dalam penggubalan dan pelaksanaan rancangan ini.

    “Saya sedar Keluarga Malaysia meletakkan harapan yang tinggi kepada kerajaan untuk menangani krisis berkembar ini (ekonomi dan kesihatan). Kerajaan akan memperuntukkan RM400 bilion bagi memenuhi keperluan RMK12, terutamanya untuk membiayai projek pembangunan,” katanya.

    Bagaimanapun, beliau berkata dalam keadaan kewangan semasa yang terhad, tumpuan perbelanjaan pada tahun ini dan 2022 adalah untuk melindungi nyawa dan kehidupan serta memenuhi komitmen projek sambungan.

  • Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming positif COVID-19

    Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming positif COVID-19

    AHLI Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming diuji positif COVID-19 hari ini.

    Melalui Twitter, Kian Ming berkongsi berita tersebut setelah memperoleh keputusan ujian kendiri COVID-19 pada 3.30 petang tadi dan perkara itu disahkan sekali lagi selepas keputusan ujian PCR COVID-19 yang dijalaninya sejam kemudian.

    “Saya tidak mengalami sebarang gejala. Saya akan menjalani kuarantin di rumah selama 10 hari. Akan meluangkan masa sejam berikutnya untuk memaklumkan perkara ini kepada kontak rapat saya,” katanya.

    Menurut Kian Ming, beliau diuji negatif pada Rabu lepas di Parlimen dan tidak pasti bagaimana beliau boleh dijangkiti wabak berkenaan.

    Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, tiada individu di Parlimen diuji positif COVID-19 pada sesi yang sedang berlangsung hari ini.

    Semua yang hadir ke Parlimen termasuk Ahli Parlimen dan petugas diwajibkan menjalani ujian RTK Antigen Saliva secara rawak pada setiap Isnin dan Rabu sebagai sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung penularan COVID-19 dan memastikan persidangan Dewan Rakyat berjalan dengan selamat. – BERNAMA

  • Zahid adalah bos yang mempunyai kuasa atas YAB

    Zahid adalah bos yang mempunyai kuasa atas YAB

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah ‘bos’ yang mempunyai kuasa serta kawalan penuh ke atas aset Yayasan Akalbudi (YAB).

    Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran berkata, tertuduh, sebagai pemegang amanah YAB, mempunyai kawalan dan kuasa penuh ke atas aset yayasan itu ketika beliau secara tidak jujur telah menyeleweng berjuta-juta ringgit daripada dana YAB.

    Beliau memberi contoh bagaimana Ahmad Zahid boleh mengawal YAB dengan pelantikan dua pemegang amanah baharu pilihan bekas Timbalan Perdana Menteri itu sendiri iaitu Muhammad Nabil Saleh dan Datuk Khairuddin Tarmizi bagi menggantikan Samsuri Tun dan Profesor Dr Zulkifli Senteri yang meletak jawatan pada 4 April 2012.

    “Kerusi yang dikosongkan segera diisi oleh dua lagi yang memegang jawatan dalam UMNO Bahagian Bagan Datuk iaitu Muhammad Nabil Saleh dan Datuk Khairuddin Tarmizi. (Ahmad Zahid ialah Ahli Parlimen Bagan Datuk).

    “Sepintas lalu, pelantikan mereka sebagai pemegang amanah kelihatan seperti biasa-biasa saja. Namun jika anda meneliti siapa mereka, anda akan dapati seorang daripada mereka adalah pembantu peribadi beliau.

    “Mereka mungkin menjadi pemegang amanah seperti beliau (Ahmad Zahid) namun hakikatnya Yang Arif, beliau adalah bos dan masih bos mereka. Jadi adalah tidak keterlaluan jika saya katakan apa yang bos nak, bos akan dapat,” katanya ketika berhujah di akhir kes pendakwaan bagi perbicaraan kes rasuah Ahmad Zahid.

    Raja Rozela juga berkata, pada 4 April 2012, Ahmad Zahid telah menjadikan dirinya sebagai penandatangan tunggal bagi akaun bank YAB.

    “Semasa beliau berkuasalah yang menyaksikan kira-kira 50 cek YAB dikeluarkan dan pengeluaran dana daripada tujuh akaun simpanan tetap. Jumlah terkumpul ialah RM31,082,732.57,” katanya.

    Beliau juga berhujah, Presiden UMNO itu sepatutnya tahu bahawa beliau tidak ada hak menggunakan aset itu walaupun untuk dirinya sendiri.

    Katanya, dengan menggunakan dana itu untuk diri sendiri walaupun mengetahui beliau tidak berhak berbuat demikian, tertuduh telah bertindak secara tidak jujur dengan niat untuk merampas aset YAB dan memperoleh dana itu bagi keuntungan sendiri.

    Ahmad Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan iaitu 12 bagi pecah amanah jenayah, lapan bagi rasuah dan 27 bagi pengubahan wang haram membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit milik YAB.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. – BERNAMA