Author: Bernama

  • PH bincang kedudukan 4 bekas ADUN Melaka petang ini

    PH bincang kedudukan 4 bekas ADUN Melaka petang ini

    prn melaka

    PAKATAN Harapan (PH) akan membincangkan kedudukan empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka yang menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) negeri itu, sama ada diterima bertanding di bawah tiket PH dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada mesyuarat petang ini.

    Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pihaknya juga mengambil maklum rasa tidak senang beberapa pihak sekiranya keempat-empat bekas ADUN itu termasuk ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee menjadi calon mewakili gabungan parti pembangkang itu dalam PRN Melaka 20 Nov ini.

    “Apa-apa pun kita akan bincang dalam mesyuarat petang ini,” katanya selepas menghadiri sambutan Maulidur Rasul Parlimen Port Dickson, hari ini.

    Mengenai langkah PKR menjemput keempat-empat ADUN berkenaan pada majlis taklimat bersama Presiden PKR pada Isnin lepas di Melaka, Anwar berkata ia sekadar bagi mengucapkan terima kasih atas langkah mereka membawa perubahan di Melaka.

    Semalam, media melaporkan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata parti memutuskan Norhizam tiada tempat dalam mana-mana parti komponen PH dan menolaknya sebagai calon pada PRN Melaka.

    Pada 10 Mac tahun lepas, DAP memecat Norhizam yang juga Timbalan Pengerusi DAP Melaka selepas beliau menyatakan sokongan kepada kerajaan negeri baharu di bawah Perikatan Nasional.

    Norhizam, bekas ADUN Bebas-Pengkalan Batu adalah antara empat ADUN yang mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali pada 4 Okt selain Datuk Seri Idris Haron (Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (Pantai Kundor) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas). – BERNAMA

  • Undi 18: Kerajaan beri kuasa besar kepada anak muda

    Undi 18: Kerajaan beri kuasa besar kepada anak muda

    KERAJAAN ingin memberikan kuasa yang besar kepada anak muda di negara ini, justeru itu kerajaan memberi taruhan kepada Undi 18, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Beliau berkata pelaksanaan Undi 18 itu membuktikan keyakinan kerajaan kepada anak muda dalam menyertai proses pembangunan negara.

    Ismail Sabri yang mengadakan perjumpaan dengan perwakilan Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) hari ini berkata beliau telah berkongsi pandangan serta pelan tindakan untuk penambahbaikan.

    “Alhamdulillah, banyak input menarik yang telah saya terima hari ini terutama yang diutarakan oleh Presiden MPPK Amir Asyraf sendiri.

    “Insya-Allah, kerajaan sentiasa terbuka untuk mendengar pandangan daripada anak muda,” katanya menerusi perkongsian di laman Facebook, hari ini.

    Turut hadir pada perjumpaan itu Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

    Ismail Sabri berkata MPPK, yang kini dianggotai 41 pemimpin pelajar mewakili 41 universiti di seluruh negara, bukanlah sekadar simbol kepada kesatuan pelajar institusi pengajian tinggi malah memainkan peranan penting dalam membuka ruang dan mewujudkan komunikasi dua hala antara pelajar dan kerajaan.

    Beliau yang pernah menjadi Presiden Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaya sesi 1982/1983 percaya akan ada antara anak muda yang ditemuinya hari ini menjadi pemimpin besar negara suatu hari nanti.

    Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Undi 18 dan pendaftaran pemilih secara automatik selewat-lewatnya pada 31 Dis tahun ini seperti yang diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi Kuching. – BERNAMA

  • Johan qari tilawah antarabangsa 2016, Wan Ainuddin Hilmi meninggal dunia

    Johan qari tilawah antarabangsa 2016, Wan Ainuddin Hilmi meninggal dunia

    JOHAN qari tilawah dan menghafaz al-Quran peringkat antarabangsa ke-58 pada 2016, Wan Ainuddin Hilmi Abdullah meninggal dunia pada 1.26 tengah hari tadi.

    Adik Allahyarham Datuk Muhammad Abdullah berkata, arwah yang berusia 39 tahun menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Machang dan berkemungkinan disebabkan serangan jantung.

    “Ia kematian mengejut, sebelum ini arwah abang tidak sakit, mungkin disebabkan jantung. Arwah meninggalkan seorang isteri dan lima anak.

    “Jenazah akan disolatkan selepas Isyak di Masjid Muhammadi, Kota Bharu dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol di Kota Bharu selepas itu,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

    Sementara itu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham menerusi hantaran Facebooknya hari ini.

    “Takziah kepada ahli keluarga Allahyarham Wan Ainuddin Hilmi Abdullah yang kembali ke rahmatullah tengah hari tadi.

    “Pemergian Allahyarham suatu kehilangan besar dalam menyampaikan ilmu al-Quran. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat dan ditempatkan Allahyarham bersama para solihin. Al-Fatihah,” katanya.

    Pada 2018, kerajaan negeri Kelantan telah memberi sumbangan sebuah rumah kepada Allahyarham atas kejayaan, jasa dan sumbangannya dalam usaha memartabat al-Quran. – BERNAMA

  • PRN Melaka: UMNO putuskan kerjasama selepas mesyuarat 3 peringkat

    PRN Melaka: UMNO putuskan kerjasama selepas mesyuarat 3 peringkat

    prn melaka

    KERJASAMA UMNO dan Barisan Nasional (BN) dengan pihak lain pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan diputuskan selepas mesyuarat di tiga peringkat yang dijadual minggu depan.

    Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu akan dibincang pada mesyuarat Biro Politik, Majlis Tertinggi UMNO dan Dewan Mesyuarat Tertinggi BN.

    “PRN Melaka tentunya menyaksikan suatu landskap baharu dilakar berdasarkan situasi politik semasa. UMNO dan BN ditanya siapakah rakan kongsi politik kami untuk menghadapi PRN ini.

    “Saya ingin menyatakan bahawa keputusan muktamad UMNO dan BN dengan mana-mana pihak masih belum diputuskan secara rasmi,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan jentera UMNO negeri Melaka bagi menghadapi PRN di Alor Gajah, hari ini.

    Turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan.

    Ahmad Zahid berkata, UMNO terbuka menerima pandangan yang diterima daripada pelbagai pihak tetapi segala keputusan akan dibuat secara kolektif apabila tiba masanya.

    Katanya, buat masa ini, parti itu memberi tumpuan kepada calon yang akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berdasarkan faktor boleh menang.

    Menyifatkan semua kawasan sebagai panas, beliau berkata UMNO melihat kebolehmenangan calon yang akan bertanding pada PRN Melaka berdasarkan sains dan data melalui perangkaan Pilihan Raya Umum ke-13 dan ke-14 serta unjuran parti itu bagi negeri tersebut.

    “Kita akan menempatkan jentera dari negeri-negeri di setiap kerusi yang ditandingi UMNO dan BN,” katanya sambil memaklumkan UMNO akan bekerja keras demi kemenangan calon BN.

    Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh pada 18 Okt lepas mengumumkan tarikh pelaksanaan PRN Melaka pada 20 Nov manakala penamaan calon ialah 8 Nov dan undi awal pada 16 Nov ini.

    PRN Melaka diadakan berikutan pembubaran DUN Melaka setelah kerajaan negeri pimpinan BN hilang majoriti. – BERNAMA

  • Pendakwah mesti elak kontroversi melampau – Jakim

    Pendakwah mesti elak kontroversi melampau – Jakim

    KEWUJUDAN pelbagai medium semasa khususnya media sosial, memberi impak positif dalam merancakkan program keilmuan dan dakwah, namun semua pihak termasuk asatizah (guru atau penceramah agama) perlu menjaga adab dan disiplin ilmu sebaik mungkin.

    Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata, perkara yang boleh menimbulkan kontroversi dan sensitiviti melampau, hendaklah dielakkan dan ilmu yang hendak disampaikan perlulah melihat kepada realiti semasa dan keupayaan intelek masyarakat awam, agar ia tidak menimbulkan polemik berpanjangan.

    “Perkara ini bagi mengelakkan fitnah yang boleh mencemar kesucian agama dan umat Islam itu sendiri.

    “Para asatizah yang menyampaikan ilmu dan dakwah disaran mendapatkan tauliah mengajar dan ceramah daripada pihak berkuasa agama negeri masing-masing. Meskipun tugas tersebut merupakan suatu amalan yang mulia, namun semua pihak diingatkan untuk mematuhi syarat-syarat dan peraturan yang ditetapkan demi kebaikan semua pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Abdul Aziz berkata, Jakim juga ingin menasihati masyarakat khususnya umat Islam, agar mendapatkan ilmu daripada para ilmuan yang diiktiraf dan mempunyai kelayakan dalam bidang ilmu yang disampaikan.

    “Sekiranya ragu-ragu atau kurang jelas mengenai sesuatu perkara, silalah merujuk kepada pihak yang berautoriti seperti Jabatan Agama Islam Negeri atau Pejabat Mufti.

    “Jakim memohon kerjasama dan sokongan daripada semua pihak untuk sama-sama menjaga keharmonian Keluarga Malaysia yang sekian lama terpelihara. Bibit-bibit persengketaan, api kebencian dan perpecahan hendaklah dielakkan, kerana ia merupakan perkara yang jelas dilarang oleh agama Islam,” katanya.

    Menurut Abdul Aziz, lanjutan itu, Jakim akan mengadakan ‘Multaqa Daie Bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad’ pada 28 Okt ini di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi.

    “Program yang menghimpunkan para asatizah dalam negara ini bertujuan untuk bertukar-tukar pandangan dan mengeratkan hubungan antara ulama dan umara ke arah Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera,” katanya. – BERNAMA

  • Othman terima Anugerah Tokoh Utama Maulidur Rasul WP

    Othman terima Anugerah Tokoh Utama Maulidur Rasul WP

    AHLI Lembaga Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Tan Sri Othman Mustapha dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Utama Maulidur Rasul peringkat Wilayah Persekutuan bagi tahun ini.

    Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dalam kenyataan memaklumkan, keputusan dilakukan Jawatankuasa Panel Pemilihan Anugerah Tokoh Maulidur Rasul 1443H itu adalah berdasarkan sumbangan cemerlang terhadap pembangunan ummah dan perkembangan syiar Islam.

    Othman ketika berucap menerusi rakaman video berkata beliau menganggap anugerah yang diterima itu sebagai amanah dan tanggungjawab beliau kepada agama dan negara, demi memastikan syiar Islam terus disemarakkan.

    Beliau yang merupakan bekas Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berkata akan terus menyumbang kepakaran ilmu bagi membangunkan masyarakat Islam, khusus di Wilayah Persekutuan supaya mampu berdaya saing, progresif, dinamik dan bersatu berdasarkan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

    “Harapan saya semoga Islam terus dipandang mulia dan masyarakat kita hidup dalam suasana harmoni, aman damai, serta selaras dengan gagasan Keluarga Malaysia,” katanya pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan 2021 di Kuala Lumpur, hari ini.

    Anugerah Khas Individu pula diberikan kepada Pengarah Urusan Kumpulan Zikay Group Berhad, Datuk Mohd Khay Ibrahim, manakala Anugerah Khas Organisasi bagi Kategori Masjid (Masjid Ar-Rahimah, Kampung Pandan); Kategori Surau (Surau Jumaat Al-Hikmah Projek Perumahan Rakyat Beringin); dan Kategori Sekolah Rendah Agama atau Sekolah Integrasi Rendah Agama JAWI (SIRAJ) (SIRAJ Saidina Uthman bin Affan).

    Bagi kategori Institut Pendidikan Islam Swasta pula diberikan kepada Sekolah Rendah Islam Cahaya Ummi, selain kategori Badan Bukan Kerajaan diberi kepada Persekutuan Seruan Islam Selangor Dan Wilayah Persekutuan (Jam’iyah).

    Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad ketika berucap merasmikan majlis tersebut berkata, beliau mengajak agensi hal ehwal Islam terus bangkit bersama masyarakat, untuk membantu dan bina semula negara yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

    “Dalam konteks Wilayah Persekutuan, adalah menjadi harapan saya, agar Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan bersama JAWI, terus melipatgandakan usaha memperkasa umat Islam dalam aspek pendidikan, sosioekonomi, kebajikan termasuklah aspek penyatuan dan perpaduan ummah,” katanya. – BERNAMA

  • Korea Utara lancar peluru berpandu balistik

    Korea Utara lancar peluru berpandu balistik

    KOREA Utara dilaporkan melancarkan peluru berpandu balistik ke perairan timur, kata Ketua Turus Bersama (JCS) Korea Selatan pada Selasa, lapor Agensi Berita Xinhua.

    Menurut JCS, tentera Korea Selatan mengesan satu peluru berpandu balistik yang tidak pasti jenisnya dilancarkan Korea Utara kira-kira 10.17 pagi waktu tempatan (0117 GMT) ke arah Laut Timur dari Sinpo, provinsi Hamgyong Selatan.

    Pihak berkuasa perisikan Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) sedang menganalisis butiran lanjut mengenai perkara itu.

    Menurut pejabat presiden Korea Selatan, mesyuarat Majlis Keselamatan Negara akan diadakan susulan pelancaran peluru berpandu berkenaan.

    Pelancaran peluru berpandu itu adalah yang ke-8 dilakukan Korea Utara tahun ini.

    Sementara itu, Korea Utara dilaporkan berkata, pada 28 Sept pihaknya telah menguji peluru berpandu hipersonik Hwasong-8 yang baharu dibangunkan selepas melancarkan dua peluru berpandu balistik ke Laut Timur pada 15 Sept.

    Pada 30 Sept Korea Utara juga dilaporkan menguji peluru berpandu antipesawat yang baharu.

    Sementara itu, Menteri Pertahanan Jepun, Nobuo Kishi berkata, pelancaran peluru berpandu yang berterusan oleh Korea Utara menimbulkan ancaman serius kepada komuniti antarabangsa termasuk Jepun.

    “Sejak Mei 2019, Korea Utara sering melakukan ujian peluru berpandu. Tujuannya jelas iaitu untuk meningkatkan teknologi peluru berpandu.

    “Ia boleh menimbulkan ancaman serius kepada seluruh masyarakat antarabangsa termasuk Jepun,” kata Kishi pada sidang akhbar, lapor Sputnik.

    Beliau berkata Jepun membantah tindakan Korea Utara itu. – BERNAMA

  • KPM, KKM bincang pelajar Tingkatan Lima ke sekolah tanpa penggiliran

    KPM, KKM bincang pelajar Tingkatan Lima ke sekolah tanpa penggiliran

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) sedang berbincang dengan Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai kadar vaksinasi bagi membolehkan pelajar Tingkatan Lima ke sekolah tanpa penggiliran.

    Menterinya Datuk Dr Radzi Jidin berkata ia susulan peningkatan kadar vaksinasi pelajar Tingkatan Lima yang mencecah 97 peratus atau 371,696 pelajar menerima dos pertama, manakala 57.9 peratus (142,655 pelajar) telah lengkap divaksin.

    “Pelajar telah mula kembali ke sekolah dan prosedur operasi standard (SOP) dilaksanakan dengan baik, namun ada kumpulan pelajar mungkin dipertimbangkan untuk tiada penggiliran.

    “Mungkin dimulakan dengan pelajar Tingkatan Lima seperti dilaksanakan untuk pelajar (mengambil peperiksaan) Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM),” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Kebangsaan Tengku Zainun, Tampin pagi ini.

    Dalam pada itu, Radzi berkata seramai 339,951 murid layak hadir ke sekolah di negeri-negeri yang mencapai Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) iaitu di Negeri Sembilan, Labuan dan Langkawi bermula semalam dan hari ini.

    KPM sebelum ini membenarkan pembukaan sekolah rendah bagi murid tahap satu di negeri-negeri yang telah mencapai Fasa Empat PPN.

    Dalam pada itu, Radzi berkata setakat ini pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) penggiliran pelajar ke sekolah, berjalan lancar termasuk Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara sendiri atau sebelum hadir ke sekolah secara bersemuka.

    Beliau berkata menerusi PdPR guru akan memaklumkan kepada setiap kumpulan pelajar mengenai persediaan yang perlu dilaksanakan sebelum sesi PdP bersemuka bermula pada minggu berikutnya.

    “Apabila murid datang ke sekolah pada minggu berikutnya, guru akan membantu mereka memahami topik atau perkara mereka dapati sukar difahami melalui PdPR,” katanya. – BERNAMA

  • Enam kenderaan diarah patah balik tak lengkap vaksin

    Enam kenderaan diarah patah balik tak lengkap vaksin

    URUSAN perniagaan,  menghantar barang dan melawat ahli keluarga sakit antara alasan diberikan oleh pemandu dan penumpang kenderaan yang tidak lengkap dua dos vaksin COVID-19 untuk merentas negeri menggunakan laluan Gerik-Jeli pada Jumaat lepas.

    Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata sebanyak enam kenderaan yang cuba merentas negeri melalui sekatan jalan raya di Kilometer 9 Lebuhraya Timur Barat (LRTB) di Sungai Lebey, Gerik ke arah Kelantan dan Kedah diarah berpatah balik dan tidak dibenarkan merentas negeri.

    “Kenderaan yang diarah berpatah balik termasuklah sebuah lori yang (pemandunya) memberikan alasan untuk menghantar barang namun pemeriksaan dilakukan anggota mendapati penumpang atau kelindan tidak lengkap dua dos vaksin,” katanya ketika dihubungi Bernama di Ipoh hari ini.

    Dalam pada itu, beliau berkata hasil pemantauan pihak polis mendapati keadaan lalu lintas sepanjang jalan berkenaan berjalan dengan lancar dan terkawal serta tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku sejak Jumaat lepas setakat ini.

    “Gambar kesesakan yang ditularkan berlaku pada kira-kira pukul 4 petang Jumaat lepas di laluan LRTB Gerik-Jeli menghala ke Kelantan dalam jarak 1.5 kilometer tidak berlaku terlalu lama.

    Kesesakan berlaku apabila orang ramai mengambil peluang bercuti panjang dan cuti umum sempena sambutan Maulidur Rasul mulai Jumaat hingga Selasa ini untuk ke Kelantan,” katanya.

    Katanya petugas di sekatan jalan raya di laluan berkenaan turut melakukan pemeriksaan secara teliti kepada para pemandu dan penumpang kenderaan yang hendak merentas negeri. – BERNAMA

  • KDN bincang isu gaji pegawai, anggota polis

    KDN bincang isu gaji pegawai, anggota polis

    KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) akan membincangkan isu gaji pegawai dan anggota polis dengan kementerian dan agensi berkaitan, kerana ia memerlukan kajian lebih menyeluruh, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Beliau berkata, perbincangan itu antara lain melibatkan Kementerian Kewangan (MOF) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), dan yakin perbincangan awal berkaitan isu itu sudah berlangsung.

    “Ini perlu perbicangan mendalam kerana melibatkan kewangan,” katanya ringkas pada sidang media selepas menghadiri Upacara Pemakaian Pangkat kepada Ketua Polis Daerah Bera Supt Mansor Samsudin yang dinaikkan pangkat daripada DSP, di Dewan Sri Kempas, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera di Bera, hari ini.

    Upacara disempurnakan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani. Turut dinaikkan pangkat ialah Timbalan Ketua Polis Daerah Bera DSP N. Kumaran yang sebelum ini memakai pangkat ASP.

    Ismail Sabri berkata demikian semasa diminta mengulas laporan media baru-baru ini, bahawa kadar gaji dan elaun polis terutamanya yang berpangkat rendah menjadi punca polis berhadapan masalah termasuk hutang dan difahamkan semakan terakhir gaji polis dibuat pada tahun 2010.

    Sementara itu, Ismail Sabri merakamkan penghargaan kepada polis yang cemerlang melaksanakan tugas sebagai pasukan barisan hadapan pandemik COVID-19 tanpa mengira waktu, meskipun dalam kesibukan melaksanakan tugas hakiki menjaga keselamatan negara.

    Selain itu, lebih 150,000 penduduk Bera menerima berita gembira hari ini apabila Ismail Sabri yang juga Anggota Parlimen Bera mengumumkan pembinaan beberapa balai dan pondok polis baharu, serta menambah baik balai sedia ada di beberapa lokasi strategik demi keselamatan penduduk selari dengan keperluan semasa.

    Ini termasuk pembinaan balai dan pondok polis baharu di gugusan Felda Tembagau, Charuk Puting, Felda Bukit Mendi dan Bera Selatan, yang ketiadaan pondok polis menyebabkan penduduk sekitar perlukan sejam untuk tiba di balai polis berhampiran.

    Ia juga selaras dengan kenaikan IPD Bera daripada gred C kepada gred B, yang antara lain membolehkan pertambahan jumlah keanggotaan daripada 300 orang kepada lebih 400 orang, yang dilihat sesuai dengan keluasan daerah itu yang hampir menyamai Melaka.

    Peruntukan lebih RM2 juta juga diumumkan perdana menteri bagi projek penambahbaikan, antaranya pondok polis dan kuarters Triang, IPD Bera, balai polis Kuala Bera, balai polis Mengkarak, balai polis dan kuarters Kemayan, Bandar 32 serta Felda Mayam.

    “Pertambahan anggota dan kewujudan balai baharu serta penambahbaikan yang dilakukan akan memberikan keyakinan kepada penduduk Bera dalam aspek keselamatan, selain membaiki kualiti perkhidmatan yang diterima rakyat,” katanya. – BERNAMA