Author: Bernama

  • Keputusan kes bunuh Zulfarhan esok, apa nasib 18 tertuduh?

    Keputusan kes bunuh Zulfarhan esok, apa nasib 18 tertuduh?

    NASIB 18 penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang didakwa membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Pegawai Kadet Laut UPNM, Zulfarhan Osman Zulkarnain akan diketahui esok sama ada mereka didapati bersalah atas pertuduhan itu atau dibebaskan.

    Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Azman Abdullah dijangka membacakan keputusan di akhir kes pembelaan pada 10 pagi esok.

    Pada 8 April lepas, pembelaan menutup kesnya selepas memanggil 18 penuntut UPNM dan dua saksi lain iaitu Ketua Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh Dr Rohayu Shahar Adnan dan penuntut UPNM Muhammad Alif Farhan Aerosni pada prosiding membela diri yang bermula 2 Okt 2019.

    Pendakwaan telah mengemukakan 31 orang saksi termasuk Pakar Perubatan Forensik Hospital Serdang Dr Salmah Arshad serta dua saksi yang melihat perbuatan menekap seterika wap ke badan mangsa iaitu Ahmad Senabil Mohd dan Mohd Syafiq Abdullah, kedua-duanya penuntut UPNM, pada perbicaraan yang bermula 29 Jan 2018.

    Kes itu dikendalikan Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur Datin Kalmizah Salleh bersama Timbalan Pendakwa Raya N. Joy Jothi manakala barisan peguam yang mewakili tertuduh ialah Datuk Ranjit Singh Dhillon, Amer Hamzah Arshad, Datuk Hazman Ahmad, Zamri Idrus, Fadly Hashim, Datuk Seri M Ramachelvam dan Datuk Hazizah Kassim.

    Pada 31 Julai 2019, Mahkamah Tinggi memerintahkan 18 pelajar UPNM, yang kesemuanya berusia 25 tahun, membela diri terhadap pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan Osman selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie pada akhir kes pendakwaan terhadap 18 tertuduh itu.

    Lima tertuduh iaitu Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat dan Mohamad Shobirin Sabri berdepan pertuduhan membunuh Zulfarhan manakala Abdoul Hakeem Mohd Ali didakwa bersubahat membunuh.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 4.45 pagi hingga 5.45 pagi, 22 Mei 2017.

    Pertuduhan adalah di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan manakala Abdoul Hakeem didakwa mengikut Seksyen 109 kanun sama yang membawa hukuman serupa.

    Mereka bersama 12 lagi iaitu Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif, Muhammad Adib Iman dan Mohamad Syazwan juga diperintah membela diri atas pertuduhan mencederakan mangsa.

    Mereka dituduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa, untuk mendapatkan pengakuan bahawa dia telah mencuri komputer riba, mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di dalam bilik 03-05, blok penginapan asrama Jebat universiti itu di Kem Perdana, Sungai Besi antara 2.30 pagi hingga 5.30 pagi 21 Mei 2017.

    Zulfarhan Osman meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017. – BERNAMA

  • Tiada parti politik, individu kebal undang-undang – Ismail Sabri

    Tiada parti politik, individu kebal undang-undang – Ismail Sabri

    prn melaka

    TIDAK ada parti politik mahu pun individu yang kebal daripada dikenakan tindakan undang-undang, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Beliau berkata, walaupun negara berada di Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN), namun prosedur operasi standard (SOP) yang jelas telah diumum kerajaan berdasarkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

    “Jadi kita tidak ada kompromi, tidak ada istilah orang biasa dan orang kayangan, orang biasa kena kompaun dan orang kayangan tidak kena, undang-undang sama sahaja, jadi saya harap semua rakyat patuh kepada SOP,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara (PPVN) dan Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGVI) di Bangi, hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu beberapa parti politik telah dikompaun baru-baru ini kerana melanggar SOP, antaranya Barisan Nasional yang melancarkan jentera Pilihan Raya Melaka dan PKR Melaka yang mengadakan acara berkaitan pilihan raya, masing-masing dikenakan kompaun RM10,000.

    Sebelum ini, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya tidak dibenarkan berkuat kuasa 25 Okt hingga 27 Nov ini bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan dan peningkatan kes mendadak COVID-19.

    Ia termasuk penganjuran majlis-majlis pelancaran jentera pilihan raya.

    Sementara itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan bersetuju menyambung secara automatik khidmat pakar penyelidik berkaitan vaksin di universiti yang telah tamat tempoh perkhidmatan pada usia 60 tahun selama lima tahun secara kontrak.

    Beliau berkata, keputusan berkuat kuasa serta merta itu bagi memastikan pakar-pakar berkaitan yang masih menjalankan penyelidikan berkaitan vaksin terutamanya melibatkan subjek yang boleh dipasarkan di peringkat antarabangsa dapat meneruskan dan menghabiskan penyelidikan mereka.

    “Jadi tidak ada lagi soal tidak terjamin dari segi tugas yang sedang mereka laksanakan, jadi mereka boleh teruskan (khidmat) selama lima tahun dan selepas itu kita akan tengok keperluan sama ada boleh tambah lagi atau tidak.

    “Syaratnya ialah kajian dan pembangunan (R&D) yang mereka lakukan tersebut boleh dikomersialkan, dan dipasarkan ke seluruh dunia,” katanya.

    Ismail Sabri berkata, Malaysia memiliki ramai pakar terbaik yang turut mendapat pengikitrafan antarabangsa dan disebabkan itu, negara tidak mahu kehilangan bakat ini yang mungkin akan diambil oleh negara lain disebabkan faktor tamat perkhidmatan.

    “Kalau tidak disambung (perkhidmatan) akan jejaskan kajian mereka dan kalau (kajian) disambung pakar baru mungkin akan makan masanya,” katanya.

    Ditanya mengenai jumlah pakar yang dijangka terlibat dengan keputusan kerajaan itu, beliau berkata, data berkaitan akan diperoleh daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Pengajian Tinggi.

    Berhubung pembangunan vaksin untuk kanser kepala dan leher oleh Pusat Penyelidikan Kanser yang sedang dijalankan, Ismail Sabri berkata, Malaysia adalah negara pertama yang sedang melaksanakan penghasilan vaksin tersebut.

    “Jadi kita mampu tawarkan vaksin sendiri sebab itulah kerajaan naik taraf Institut Genom Malaysia ini kepada Insitut Genom dan Vaksin Malaysia,” katanya.

    Terdahulu, Ismail Sabri melancarkan Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara (PPVN) serta Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGVI) dalam usaha menjadikan negara sebagai antara hab pengeluar vaksin dan meningkatkan keyakinan terhadap penggunaan vaksin. – BERNAMA

  • LHDN saman Addy Kana cukai tertunggak RM1.4 juta

    LHDN saman Addy Kana cukai tertunggak RM1.4 juta

    KERAJAAN Malaysia melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memfailkan saman terhadap ahli perniagaan Zaidi Kanapiah atau dikenali sebagai Datuk Addy Kana yang menuntutnya membayar cukai pendapatan berjumlah RM1,427,915.45.

    Kerajaan Malaysia selaku plaintif memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan melalui LHDN pada 1 Okt lepas di Mahkamah Tinggi di sini dengan menamakan Zaidi, 37, sebagai defendan bagi tunggakan cukai itu selama dua tahun.

    Berdasarkan pernyataan tuntutan yang diperoleh menerusi sistem mahkamah (e-filing), Kerajaan Malaysia mendakwa bagi Tahun-tahun Taksiran 2018 dan 2019, defendan telah ditaksirkan dengan taksiran tambahan masing-masing berjumlah RM380,025.73 dan RM918,079.23.

    “Oleh kerana defendan telah gagal membayar keseluruhan cukai pendapatan dalam tempoh 30 hari yang ditetapkan di bawah Seksyen 103 Akta Cukai Pendapatan 1967, kenaikan cukai sebanyak 10 peratus berjumlah RM38,002.57 dan RM91,807.92 telah dikenakan dan ditambahkan ke atas keseluruhan cukai pendapatan yang masih belum dibayar bagi Tahun-tahun Taksiran 2018 dan 2019 (Tambahan) itu,” menurut Kerajaan Malaysia dalam pernyataan tuntutan itu.

    Dakwa plaintif, defendan masih gagal membayar kepada plaintif keseluruhan cukai pendapatannya yang masih terhutang dan genap masanya dan kena dibayar bagi Tahun-tahun Taksiran 2018 dan 2019 (Tambahan) termasuk kenaikan-kenaikan yang kesemuanya berjumlah RM1,427,915.45.

    “Plaintif berhak untuk mendapatkan kembali jumlah cukai pendapatan yang masih terhutang itu serta kenaikan-kenaikan yang dikenakan ke atas defendan sebagai satu cukai yang genap masanya dan kena dibayar,” menurut plaintif dalam pernyataan tuntutan itu.

    Oleh itu, plaintif menuntut defendan membayar RM1,427,915.45, faedah lima peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga tarikh realisasi, kos dan lain-lain relif yang disifatkan sesuai oleh mahkamah.

    Menerusi semakan sistem mahkamah, pengurusan kes selanjutnya ditetapkan pada 22 Nov ini untuk memaklumkan mengenai status serahan saman itu.

    Pada 28 Okt lalu, kerajaan memohon untuk melucut hak wang lebih RM500,000 milik ahli perniagaan Alvin Goh Leong Yeong dan isteri kepada Addy Kana, Alyaa Syuhaila Mohamad Shariff serta beberapa buah syarikat mereka yang disita oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Mahkamah Persekutuan pada 27 April lalu memerintahkan Addy Kana dan dua anggota polis yang ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 berkaitan satu sindiket perjudian dalam talian, dibebaskan dengan serta-merta.

    Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel lima hakim membenarkan rayuan ketiga-tiga mereka terhadap permohonan writ habeas corpus. – BERNAMA

  • PPVN & MGVI dilancar, Malaysia bakal jadi hab pengeluar vaksin

    PPVN & MGVI dilancar, Malaysia bakal jadi hab pengeluar vaksin

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini melancarkan Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara (PPVN) serta Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGVI) dalam usaha menjadikan negara sebagai antara hab pengeluar vaksin dan meningkatkan keyakinan terhadap penggunaan vaksin.

    Beliau berkata, melalui pelaksanaan PPVN dan penubuhan MGVI, Malaysia mampu mencorak laluan dalam mengeluarkan produk vaksin sendiri yang berkualiti, berkesan dan selamat mengikut syarat ditetapkan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

    “Walaupun pembangunan R&D dan penghasilan vaksin ini merupakan suatu pelaburan yang tinggi, tetapi ia berpotensi memberikan pulangan jangka panjang buat Keluarga Malaysia melalui penjimatan kos merawat penyakit selain membawa pelaburan syarikat multinasional ke Malaysia.

    “Melalui pelaksanaan PPVN dan penubuhan MGVI ini, modal insan berkemahiran tinggi dalam pelbagai bidang penyelidikan terutamanya yang berkaitan dengan kesihatan dan vaksin akan dapat dilahirkan,” katanya pada majlis pelancaran PPVN dan MGVI di Institut Genom Malaysia (MGI) di Bangi, hari ini.

    Turut hadir, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

    “Lebih banyak peluang pekerjaan akan dapat diwujudkan untuk Keluarga Malaysia sekali gus membantu meningkatkan jumlah tenaga pekerja mahir dan meningkatkan taraf hidup serta kesihatan rakyat,” kata Ismail Sabri.

    Beliau berkata, PPVN tidak akan tertumpu hanya pada vaksin COVID-19 semata-mata, tetapi ia diperluaskan juga kepada vaksin bagi penyakit lain antaranya pembangunan vaksin untuk kanser kepala dan leher oleh Pusat Penyelidikan Kanser.

    Perdana Menteri berkata, terdapat tiga projek bersedia untuk dilaksanakan melalui PPVN iaitu pertama melibatkan projek penghasilan dua jenis vaksin COVID-19 menggunakan virus yang dilemahkan (inactivated) dan mRNA yang dibangunkan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

    Jelasnya, bagi tujuan itu jumlah disalurkan oleh kerajaan melibatkan peruntukan penyelidikan Kementerian Kesihatan (KKM) dan SUKUK Prihatin (bantuan khas peruntukan penyelidikan COVID-19) yang berjumlah RM3.5 juta.

    Projek kedua, kata beliau, adalah vaksin kolera yang dibangunkan hasil kerjasama antara Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia (AIMST), dengan MOSTI turut membiayai projek itu menggunakan Dana Penyelidikan Strategik (SRF) sebanyak RM10.5 juta bagi “Pembangunan Vaksin Mukosa/Oral/Subunit Terhadap Kolera, Tuberkulosis dan COVID-19”.

    “Sementara itu, yang ketiga melibatkan projek Penilaian Praklinikal Vaksin Kanser Terapeutik untuk Rawatan Kanser Kepala dan Leher oleh Cancer Research Malaysia (CRM) berjumlah RM3 juta yang dibiayai oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

    “Bagaimanapun, memandangkan tiada kemudahan ujian klinikal iaitu yang pertama terhadap manusia di Malaysia lagi pada ketika ini, maka CRM akan menjalankan ujian klinikal bermula Februari 2022 sehingga Mac 2023 di United Kingdom,” katanya.

    Mengenai MGVI, beliau berkata, penaiktarafan MGI bersesuaian dengan skop institut itu yang memberi tumpuan kepada penyelidikan genom dan biologi molekular dalam usaha penghasilan vaksin.

    “Saya yakin, penubuhan MGVI ini dapat memberi kesan positif kepada negara daripada sudut ekonomi, sosial dan teknologi sekali gus menyumbang kepada kestabilan ekonomi kerana tiada kebergantungan kepada sumber bekalan dari luar,” katanya.

    Ismail Sabri berkata, kerajaan komited memacu R&D bagi menghasilkan teknologi baharu dengan memastikan 50 peratus daripada dana penyelidikan kerajaan disediakan untuk pembangunan eksperimental (aktiviti prapengkomersialan) khususnya bagi inovasi yang berpotensi tinggi untuk dikomersialkan.

    Melalui pelbagai program yang dilaksanakan kerajaan, beliau berkata, negara menjangkakan lebih ramai saintis vaksin dapat dilahirkan sekali gus menyokong perancangan kerajaan meningkatkan kemampuan membangunkan vaksin khusus manusia, bukan sahaja untuk kegunaan dalam negara malah pasaran global.

    Beliau turut melahirkan keyakinan negara boleh memengurangkan kebergantungan terhadap negara-negara pengeluar vaksin apabila Malaysia memperkukuhkan sekuriti kesihatan negara. – BERNAMA

  • 9 anggota bomba maut dalam kejadian runtuhan gua

    9 anggota bomba maut dalam kejadian runtuhan gua

    SEMBILAN anggota bomba maut manakala seorang lagi diselamatkan dalam kejadian runtuhan gua di Sao Paulo, Brazil pada Ahad, menurut pihak berkuasa.

    Kejadian itu berlaku pada Ahad ketika 26 anggota bomba sedang melakukan sesi latihan di gua yang terletak di perbandaran Altinopolis, lapor Agensi Berita Xinhua.

    Selepas operasi menyelamat hampir 12 jam, sembilan mayat ditemukan dan seorang mangsa lagi dihantar ke hospital akibat hipotermia dan masalah pernafasan, menurut Jabatan Bomba.

    Mangsa yang maut itu termasuk dua anggota bomba wanita. – BERNAMA

  • Lelaki amuk guna pisau, 15 penumpang kereta api cedera

    Lelaki amuk guna pisau, 15 penumpang kereta api cedera

    SERAMAI 15 penumpang kereta api Keio Line di Jepun cedera selepas seorang lelaki bersenjatakan pisau mengamuk, lapor Agensi Berita Xinhua memetik Kyodo News .

    Kejadian berlaku pada Ahad malam, seorang daripada mangsa dilaporkan mengalami kecederaan serius. Lelaki berusia lingkungan 20-an itu berjaya ditahan.

    Suspek juga dilaporkan telah menyimbah asid hidroklorik di dalam gerabak kereta api berkenaan dan polis sedang menjalankan siasatan lanjut.- BERNAMA

  • Gadis 17 tahun mati, polis tahan abang ipar

    Gadis 17 tahun mati, polis tahan abang ipar

    POLIS menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang remaja perempuan berusia 17 tahun yang juga adik ipar suspek, di sekitar Kota Bharu, petang semalam.

    Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, suspek berusia 30 tahun yang bekerja sebagai pemotong kelapa sawit ditahan anggota polis pada pukul 4 petang.

    Beliau berkata, Jumaat lepas polis menerima laporan mengenai kematian seorang remaja di Bunut Susu, Pasir Mas pada pukul 6.30 petang, dan hasil bedah siasat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) semalam mengesahkan punca kematian adalah disebabkan ‘Asphyxia’ (Lemas).

    “Kesan luka dikesan pada bahagian muka, tengkuk remaja itu, di samping kesan koyakan baharu pada kemaluan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Shafien berkata, hasil siasatan fizikal ke atas tubuh badan suspek pula menemukan kesan calar pada bahu kiri bahagian belakang disyaki berpunca daripada cakaran kuku.

    “Ekoran tangkapan itu polis mendapat perintah tahanan reman ke atas suspek selama tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya. – BERNAMA

  • Srikandi Bersatu hantar nama enam calon PRN Melaka

    Srikandi Bersatu hantar nama enam calon PRN Melaka

    SRIKANDI Bersatu menyerahkan enam nama untuk diketengahkan sebagai calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kata Ketuanya Datuk Seri Rina Mohd Harun.

    Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, nama-nama calon dari parti itu, yang terdiri dari anak tempatan dan muka baharu, telah diserahkan kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk dipertimbangkan.

    “Kami harap akan diberi peluang kepada Srikandi untuk menjadi calon, dan bukan sekadar calon tapi yang boleh menang dan dapat berkhidmat untuk rakyat di Melaka.

    “Pada masa ini tiada wakil rakyat daripada Srikandi di Melaka, jadi semua (calon) muka baharu,” katanya kepada media selepas melancarkan Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) mobil di Puchong, hari ini.

    Ditanya mengenai jumlah calon wanita bagi PN, Ketua Wanita PN itu berkata, setakat ini perkara berkenaan masih belum diputuskan.

    “Kita serahkan juga nama calon lain (wanita) daripada PN dan kami harap ia akan mendapat sokongan dari semua supaya lebih ramai wakil rakyat dalam kalangan wanita, dan saya yakin jika diberi peluang mereka dapat menjalankan tugas dan tanggunggjawab dengan baik.

    “Jumlah (calon) belum ditentukan kerana ada beberapa menuntut kerusi antara parti dan ia masih lagi dalam proses,” katanya.

    Sementara itu, Rina berkata, empat PSSS bergerak yang mula beroperasi tahun ini berfungsi memberikan perkhidmatan sosial secara holistik kepada penduduk di sekitar Lembah Klang.

    Beliau berkata, pada masa ini tumpuan diberikan di kawasan Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya kerana pihaknya mendapati banyak kes berkaitan masalah psikososial dilaporkan di kawasan berkenaan.

    “PSSS bergerak ini beroperasi selama enam hari seminggu dan buat masa sekarang kita fokus pada kawasan yang berkepadatan tinggi supaya kita lebih dekat dengan masyarakat. Selain itu, sekiranya ada permintaan daripada penduduk setempat untuk kami memberikan perkhidmatan di kawasan mereka, kami akan cuba penuhi.

    “Pusat ini diwujudkan bagi tujuan membantu menangani isu-isu psikososial yang semakin menular dalam masyarakat. Perkhidmatan yang disediakan seperti kaunseling secara bersemuka atau dalam talian, khidmat nasihat dan bimbingan, intervensi serta khidmat perlindungan sementara,” katanya.

    Beliau berkata, RM21 juta diperuntukkan untuk pelaksanaan tujuh PSSS tahun ini, iaitu tiga PSSS statik atau premis di Kelantan, Johor serta Selangor dan empat lagi PSSS bergerak termasuk satu pejabat satelit di Kuala Lumpur.

    Rina berkata, pihaknya juga menerima peruntukan RM4.5 juta di bawah Bajet 2022 yang akan digunakan bagi menambah baik PSSS sedia ada, dan membuka tiga PSSS bergerak yang baharu tahun hadapan.

    Kurang daripada sebulan beroperasi, beliau berkata, PSSS telah menerima 30 aduan berkaitan masalah emosi dan tekanan akibat ekonomi.

    “Dalam keadaan sekarang, yang dekat dengan rakyat adalah komuniti. Kami berharap PSSS ini akan menjadi tempat rujukan setempat sekiranya mereka ada aduan, ia macam pusat sehenti yang membantu rakyat berkaitan isu-isu emosi dan psikososial.

    “Ini adalah inisiatif kementerian melalui Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dalam menyediakan perkhidmatan dari segi psikososial dan menjadi satu pusat yang rakyat boleh terus datang,” katanya. – BERNAMA

  • Bilangan jemaah solat Jumaat dinaikkan – Sultan Selangor

    Bilangan jemaah solat Jumaat dinaikkan – Sultan Selangor

    SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menitahkan supaya jumlah ketetapan bilangan jemaah untuk Solat Jumaat bagi masjid-masjid dan surau-surau dengan kebenaran Solat Jumaat di Selangor, dinaikkan.

    “Sebagai contoh, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah akan boleh menerima kehadiran sehingga 3,500 jemaah berbanding 2,000 jemaah ketika ini.

    “Masjid-masjid Daerah dinaikkan kepada antara 700 hingga 1,000 jemaah bergantung kepada jumlah kapasiti masing-masing, manakala masjid-masjid Institusi pula ditambah kepada antara 500 hingga 1,200 jemaah, sementara Masjid Pengurusan antara 400 hingga 700 jemaah,” titah baginda.

    Baginda bertitah demikian setelah meneliti data-data terbaharu penularan wabak COVID-19 yang memperlihatkan statistik kematian harian telah menurun kepada satu digit bagi Selangor, menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook Selangor Royal Official hari ini.

    Mengikut statistik, sehingga 27 Okt 2021, jumlah kematian akibat COVID-19 di Selangor berjumlah 9,581 orang, di mana separuh daripadanya terdiri daripada orang Melayu beragama Islam.

    Bagaimanapun, dengan kelonggaran terbaharu ini, baginda dengan tegas mengingatkan para jemaah agar mengambil serius dan terus berhati-hati serta sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dan Jabatan Agama Islam Selangor ketika beribadat di dalam masjid.

    Dalam masa sama, bagunda berharap agar semua rakyat jelata sama-sama menggalas tanggungjawab untuk mengatasi penularan wabak COVID-19 ini.

    “Kita mesti menang dan kembali menjalani kehidupan seperti sediakala dan beta tidak mahu kelalaian dalam mematuhi SOP ini menjadi punca kes positif COVID-19 kembali meningkat dan seterusnya memungkinkan berulangnya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan,” titah baginda.

    Baginda menzahirkan bahawa rakyat tidak mampu lagi berdepan dengan satu lagi ‘lockdown’ seperti yang berlaku sebelum ini, yang ternyata menyusahkan kehidupan seharian rakyat sehingga menjejaskan sumber pendapatan.

    Untuk itu, baginda menyeru sekalian rakyat khususnya umat Islam agar menunaikan solat dan terus memohon doa ke hadrat Allah SWT, agar negeri dan negara yang kita kasihi ini dijauhi daripada wabak penyakit, bala dan malapetaka. – BERNAMA

  • Timbalan Ketua Menteri Sarawak, James Masing meninggal dunia

    Timbalan Ketua Menteri Sarawak, James Masing meninggal dunia

    TIMBALAN Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Dr James Jemut Masing meninggal dunia di Pusat Perubatan Normah Sarawak (NSMC) di Petra Jaya di Kuching, kira-kira pukul 7.05 pagi pada usia 72 tahun.

    Berita kematian tersebut disahkan oleh Setiausaha Agung Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Janang Bungsu ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Masing meninggalkan seorang isteri Puan Sri Fiona Masing dan dua orang anak.

    Sebelum ini, Masing yang juga Presiden PRS telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Hospital Umum Sarawak (HUS) pada September lepas kerana disahkan positif COVID-19 sebelum dipindahkan ke NSMC untuk rawatan susulan.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh sejak 1983 itu memulakan kerjaya politik secara aktif dengan menyertai Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) yang sudah terbubar sekarang sebelum bersama-sama beberapa pemimpin lain untuk menubuhkan PRS pada 2004.

    Beliau menyertai Kabinet negeri sebagai Menteri Pelancongan pada 1996 dan seterusnya memegang tiga portfolio lain selepas berjaya mempertahankan kerusi DUN Baleh selama lapan penggal berturut-turut, sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri II Sarawak pada 23 Jan 2017.

    Sementara itu, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, pemergian Masing adalah satu kehilangan besar buat negeri itu.

    Dukacita dengan berita itu, Abang Johari yang kelihatan sebak ketika ditemui pemberita di sini, meluahkan rasa sedih dan mengakui pemergian rakan seperjuangannya itu memberi impak besar terhadap diri beliau.

    Katanya, mendiang telah banyak berjasa dan memberi sumbangan serta idea sepanjang berkhidmat dalam Kabinet negeri, termasuk dalam barisan kerajaan negeri pimpinan beliau ketika ini.

    “Beliau rakan dalam kerajaan ini yang banyak beri sumbangan dalam urus tadbir kerajaan. Saya berasa amat sedih dengan pemergian beliau. Saya rasa kehilangan besar sebagai rakan…takziah saya ucapakan kepada keluarga mendiang.

    “Beliau banyak menyumbangkan kepada pembangunan orang luar bandar khususnya masyarakat Dayak di Sarawak,” katanya selepas melancarkan program Sarawak Linking Urban, Rural and Nation (SALURAN-MYSRBN) Kampung Tengah di Trusan, Lawas, hari ini. – BERNAMA