Author: Bernama

  • Lebih 45,000 mangsa banjir di PPS seluruh negara

    Lebih 45,000 mangsa banjir di PPS seluruh negara

    SEBANYAK 45,324 orang mangsa banjir daripada 13,065 keluarga masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di tujuh negeri pagi ini.

    Menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kesemua mereka ditempatkan di 290 PPS di Pahang, Selangor, Kelantan, Melaka, Perak, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur.

    Di PAHANG, sebanyak 25,318 orang berada di 179 PPS yang beroperasi di semua daerah kecuali Rompin dan Cameron Highlands setakat 9 pagi ini. 

    Laman web publicinfobanjir.water.gov.my pula menyatakan tiga sungai berada di paras melebihi bahaya iaitu Sungai Pahang di Lubuk Paku, Sungai Kundang (Maran) dan Sungai Bera (Bera), namun sungai itu menunjukkan trend menurun. 

    Sungai Pahang di Paloh Hinai, Pekan pula berada di paras amaran. 

    Jabatan Meteorologi meramalkan hujan di beberapa tempat di Kuantan dan Pekan, manakala cuaca di daerah lain dijangka baik pagi ini. 

    Di SELANGOR, Info Bencana JKM melaporkan jumlah mangsa banjir pada awal pagi ini meningkat kepada 18,484 orang di 99 PPS di negeri itu berbanding 17,656 orang malam tadi.   

    Setakat 4 pagi tadi, polis Selangor memaklumkan sembilan jalan dinaiki air dan ditutup untuk laluan kenderaan di negeri berkenaan.

    Di KELANTAN, 862 mangsa banjir masih ditempatkan di lima PPS  yang dibuka kesemuanya di jajahan Pasir Mas, setakat 8.18 pagi.

    Lima PPS tersebut adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh, SK Gual Periok, SK Kubang Kual, PPS Putat Tujoh dan Masjid Mukim Padang Licin.

    Sementara itu, portal rasmi info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan tiada sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya dengan hanya satu sungai berada pada paras amaran iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas yang merekodkan bacaan 8.01 meter.

    Di NEGERI SEMBILAN, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) negeri Lt Kol (PA) Mohd Syukri Madnor berkata mangsa banjir di negeri itu adalah 292 individu daripada 84 keluarga dengan empat PPS masih dibuka di Jelebu setakat pagi ini.

    Di MELAKA, jumlah mangsa banjir turun kepada 35 orang daripada 12 keluarga setakat 8 pagi.

    Pengarah APM Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata kesemua mangsa ditempatkan di dua PPS yang dibuka di daerah Alor Gajah dan Jasin.

    Di PERAK, setakat 7.46 pagi, jumlah mangsa banjir ialah 99 orang daripada 25 keluarga yang ditempatkan di dua PPS di daerah Hilir Perak sejak seminggu lepas.

    Fenomena ‘banjir termenung’ menyebabkan air banjir lambat surut berikutan air pasang besar di kawasan Changkat Jong yang sering kali terjejas banjir saban tahun.

    Sementara di ibu negara, kemas kini terakhir Info Bencana JKM menunjukkan 234 mangsa masih berada di sebuah PPS setakat pagi semalam. – BERNAMA

  • Feri terbakar: 38 mangsa maut, 100 lagi cedera

    Feri terbakar: 38 mangsa maut, 100 lagi cedera

    SEKURANG-KURANGNYA 38 terbunuh manakala 100 lagi cedera dalam kejadian feri terbakar pada Jumaat di daerah Jhalokati, Bangladesh.

    Timbalan pesuruhjaya daerah Jhalokati, Md Nazmul Alam berkata, feri itu membawa kira-kira 1,000 penumpang dan dalam perjalanan dari Dhaka ke daerah Barguna.

    Beliau berkata, kebakaran bermula di bahagian enjin kira-kira 3 pagi waktu tempatan.

    “Setakat ini 38 mayat telah ditemukan,” katanya lapor Xinhua.

    Beliau berkata ketika kejadian kebanyakan penumpang sedang tidur dan operasi mencari masih dijalankan untuk mencari mangsa yang dikhuatiri hilang.

    “Kami dimaklumkan feri itu membawa kira-kira 1,000 penumpang dan feri itu sudah ditarik ke tebing,” katanya.

    Mangsa yang terselamat memberitahu media tempatan, ramai penumpang terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan diri.

    Tiada kematian melibatkan warga asing dan feri yang terbakar itu dilaporkan membawa lebih muatan. – BERNAMA

  • Dua lelaki berbalas tembakan dalam pusat beli-belah

    Dua lelaki berbalas tembakan dalam pusat beli-belah

    EMPAT orang cedera dalam kejadian tembakan di sebuah pusat beli-belah di pinggir bandar Chicago pada Khamis, lapor Xinhua.

    Kejadian berlaku kira-kira 5.45 petang. (2345 GMT) di pusat beli-belah Oakbrook Center, apabila dua lelaki berbalas tembakan di kawasan koridor di bahagian timur pusat beli-belah itu, kata Ketua polis Oak Brook James Kruger pada sidang akhbar.

    Seorang daripada lelaki itu cedera dan telah ditahan. Tiga orang awam turut dilaporkan cedera.

    Polis telah menahan dua suspek terbabit dan sedang menyiasat kemungkinan suspek ketiga. – BERNAMA

  • Cuti KSU, Ketua Pengarah batal serta-merta

    Cuti KSU, Ketua Pengarah batal serta-merta

    CUTI semua ketua setiausaha kementerian dan ketua pengarah jabatan dan agensi kerajaan dibatalkan serta-merta, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

    Beliau berkata ia selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkenaan arahan pembatalan cuti bagi anggota Kabinet dan mengarahkan semua menteri yang sedang bercuti di luar negara, supaya pulang segera.

    “Saya turut mengarahkan semua Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua Pengarah Jabatan/Agensi bagi perkara yang sama berkuat kuasa serta-merta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohd Zuki berkata ini bagi membolehkan semua agensi kerajaan menggembleng tenaga dalam memastikan kesiapsiagaan seluruh jentera kerajaan untuk mengharungi keadaan semasa negara demi rakyat.

    Ismail Sabri dalam sidang media selepas melawat mangsa banjir di Bentong, Pahang hari ini berkata menteri Kabinet yang sedang bercuti dan merancang untuk bercuti diarah membatalkan cuti masing-masing, sehingga masalah bencana banjir yang melanda negara ketika ini selesai. – BERNAMA

  • Buat apa saya nak gunakan dia, suami saya ada. Siapa Rizal Mansor? – Rosmah

    Buat apa saya nak gunakan dia, suami saya ada. Siapa Rizal Mansor? – Rosmah

    DATIN Seri Rosmah Mansor hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur  bahawa beliau tidak pernah meminta bekas pembantunya, Datuk Rizal Mansor berunding bagi pihaknya untuk mendapatkan rasuah RM6.5 juta membabitkan projek hibrid solar di Sarawak.

    Rosmah, 70, sebaliknya berkata sekiranya beliau ingin berbuat demikian, beliau akan meminta bantuan daripada suaminya sendiri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang ketika itu perdana menteri.

    “Saya tidak pernah minta dia (Rizal) untuk berunding bagi pihak saya. Setahu saya dia hanyalah seorang staf.

    “Kalau saya hendak perkara itu (dapatkan rasuah), mengapa saya perlu berunding menerusi Rizal? Saya memiliki seorang suami yang tidur dengan saya. Saya tidak boleh minta beliau melakukannya? Sama ada dia (Najib) setuju atau tidak, itu terpulang kepada beliau.

    Saya tidak pernah mempergunakan dia (Rizal), itu tidak betul. Buat apa saya nak gunakan dia, suami saya ada. Siapa Rizal Mansor?,” katanya.

     Rosmah berkata demikian semasa pemeriksaan semula oleh peguam Datuk Akberdin Abdul Kader pada prosiding membela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

    Rosmah bagaimanapun berkata suaminya telah beberapa kali memberi amaran kepadanya supaya tidak terlibat dalam urusan perniagaan dengan mana-mana kontraktor.

    “Datuk Najib memberitahu saya, anda hanyalah sekadar seorang isteri kepada saya. Sekiranya mereka (kontraktor) perlukan sesuatu, mereka perlu berjumpa dengannya. Dia (Najib) berkata, ‘ini kawasan saya , anda hanya buat kebajikan.

    Datuk Najib jenis seorang yang cakap lembut, dia tidak pernah menjerit (pada saya). Beliau bercakap dengan saya secara amat sopan tetapi saya tahu apa yang beliau maksudkan,” katanya.

    Sementara itu, Rosmah berkata beberapa individu telah menuding jari dan menjadikannya sebagai kambing hitam serta berkonspirasi untuk mengenakan beliau, keluarga dan memalukan suaminya, Najib.

    Menjawab soalan Akberdin, Rosmah berkata individu itu adalah Rizal, bekas Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid, bekas Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan Tan Sri Dr Madinah Mohamad, bekas KSU Kementerian Pendidikan Datuk Seri Alias Ahmad dan bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin.

    Rosmah berkata Mahdzir telah menyalahgunakan jawatannya selain mendakwa beliau (Mahdzir) pernah meminta wang daripada Saidi.

    “Madinah telah membuat kesalahan dari segi undang-undang berhubung pemberian tender (kepada Jepak) dan beliau memohon supaya SST (Surat Setuju Terima) dikeluarkan sebelum beliau bersara.

    Alias pula telah melanggar tatacara dan undang-undang berhubung pemberian kontrak daripada Kementerian Pendidikan kepada Jepak, Rizal yang mengaku di mahkamah ini menerima wang RM500,000, dibebaskan oleh mahkamah manakala Saidi yang banyak menipu dan memberi wang kepada Rizal tidak diambil tindakan,” katanya yang turut memaklumkan kesemua individu itu sepatutnya didakwa ke mahkamah atas kesalahan dilakukan.

    Dalam pada itu, Rosmah berkata apa yang dikatakan Rizal ketika memberi keterangan di mahkamah ini adalah tidak benar.

    “Dia (Rizal) penipu dan itu sahaja cara untuk dia melepaskan diri dengan menjadi ‘crown witnesses’ kepada pendakwaan. Saya yang jumpa dua individu ini (Saidi dan rakan kongsinya Rayyan Radzwill Abdullah) kurang dua tiga minit, saya yang kena,” katanya.

    Pada 18 Feb, Mahkamah Tinggi memerintahkan Rosmah membela diri atas tiga pertuduhan selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

    Rosmah menghadapi satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah  RM6.5 juta daripada Saidi menerusi Rizal sebagai balasan kerana membantu Jepak Holdings memperoleh Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Jana Kuasa/Diesel untuk 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion daripada Kementerian Pendidikan.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung 10 Jan depan.

    — BERNAMA

  • Banjir Taman Sri Muda surut, mangsa mula proses pembersihan

    Banjir Taman Sri Muda surut, mangsa mula proses pembersihan

    SEMINGGU selepas kejadian banjir yang menimpa Taman Sri Muda, Shah Alam kini keadaan semakin pulih apabila air tidak lagi bergenang di kawasan-kawasan terjejas malah cuaca cerah turut menerangi penempatan yang terletak dekat Seksyen 25 itu.

    Di beberapa lokasi perumahan yang dilanda banjir sebelum ini, mendapati ramai penduduk mula mencuci kediaman mereka yang terkesan susulan kejadian bencana itu pada 18 Dis lepas.

    Kelihatan masing-masing bersama keluarga sibuk membersihkan halaman rumah, mencuci perabot, mengumpul barangan keperluan yang masih boleh digunakan serta membuang barangan rosak akibat banjir.

    Sungguhpun begitu, rata-rata penduduk yang ditemui meluahkan rasa syukur kerana dapat pulang semula ke rumah dan meneruskan kehidupan mereka dengan harapan tragedi seumpama ini tidak berulang pada masa akan datang.

    Seorang penduduk di Taman Sri Muda 2, Azli Mohd Yusof, 43, berkata kejadian banjir itu merupakan kali pertama dialaminya sejak menetap di kawasan perumahan ini 10 tahun lepas, namun bersyukur kesemua ahli keluarganya terselamat daripada sebarang perkara tidak diingini.

    “Alhamdulillah. Keadaan sudah semakin baik dan kami sekeluarga pun telah pulang ke rumah semalam selepas dibenarkan pihak berkuasa. Sekarang agak sibuk untuk membersihkan rumah,” kata bapa kepada empat anak itu.

    L. Banathan, 42, yang menetap di kawasan perumahan dekat Jalan Amanah di Taman Sri Muda pula pasrah dengan nasib yang menimpa susulan bencana itu bagaimanapun dia gembira apabila keadaan beransur pulih.

    “Cuma saya harapkan lebih ramai yang sudi bantu menyumbangkan tenaga untuk cuci rumah kami yang terjejas termasuk banyak juga longgokan sampah di kawasan persekitaran ini,” katanya.

    Selain itu, pemerhatian Bernama turut mendapati para peniaga bersama pekerja-pekerja di pusat komersial berdekatan Plaza Taman Sri Muda mula membersihkan premis perniagaan mereka yang terjejas akibat banjir.

    Seorang pemilik kedai barangan elektronik yang tidak mahu dikenali meluahkan rasa sedih berikutan banyak produk jualannya rosak sehingga mengakibatkan kerugian lebih RM100,000.

     “Tetapi hendak buat macam mana, benda sudah jadi. Kita (peniaga) harap supaya kerajaan akan pertimbangkan inisiatif tambahan lagi kepada mangsa-mangsa banjir sebab sekarang ini susah mahu bertahan,” kata lelaki berusia 39 tahun itu.

    Sementara itu, Pengarah Seksyen Pelaksanaan Operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Hussein Omar Khan berkata keadaan banjir di Taman Sri Muda semakin pulih dan air juga sudah surut di setiap kawasan terjejas banjir itu.

    Justeru, katanya, ketika ini penduduk dibenarkan pulang ke rumah masing-masing untuk menjalankan kerja pembersihan namun pusat pemindahan sementara (PPS) masih beroperasi bagi memberi ruang kepada mangsa untuk berada di PPS sehingga mereka selesai membersihkan rumah.

    “Ada yang sudah mendiami rumah mereka tetapi mengikut keadaan rumah masing-masing, ada juga sebahagian yang berlindung di PPS kerana di PPS ada penyediaan makanan, rawatan dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi Bernama.

    Beliau turut berkata kerja-kerja pembersihan giat dijalankan di kesemua kawasan terjejas yang melibatkan petugas daripada pelbagai agensi berkaitan antaranya Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) termasuklah badan bukan kerajaan serta sukarelawan. – BERNAMA

  • Segera siasat tanah runtuh Kg Sungai Penchala – Agong

    Segera siasat tanah runtuh Kg Sungai Penchala – Agong

    YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan agar siasatan kejadian tanah runtuh di Jalan Pelimbayan Indah, Kampung Sungai Penchala di Kuala Lumpur dapat dilakukan secepat mungkin.

    Seri Paduka bertitah, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah memberikan penjelasan untuk menempatkan sebahagian daripada penduduk yang terjejas ke flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Beringin di sini.

    “Ini tinjauan atas simpati terhadap mangsa-mangsa tanah runtuh. Saya amat simpati dengan penghuni Kampung Sungai Penchala ini,” titah Al-Sultan Abdullah selepas menyantuni 136 mangsa tanah runtuh di pusat permindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Sungai Penchala, Damansara di sini, hari ini.

    Keberangkatan tiba Seri Paduka sekitar pukul 2 petang disambut Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

    Ahad lepas, seramai 284 penduduk kawasan Jalan Pelimbayan Indah terjejas akibat kejadian tanah runtuh yang membabitkan 94 rumah dengan 24 rumah telah musnah sepenuhnya.

    Sementara itu, Seri Paduka menitahkan agar semua pihak termasuk dirinya, individu perseorangan, badan bukan kerajaan, syarikat, agensi kerajaan dan kerajaan tampil membantu mangsa-mangsa yang terlibat dengan bencana banjir dan tanah runtuh susulan hujan lebat yang melanda negara sejak Jumaat lepas.

    “Apa yang saya boleh nyatakan ialah amat sedih dan simpati. Namun kita semua kena menerima ujian Allah ini, harus bersabar. Mana-mana pihak, mana-mana insan yang bersabar tetap akan diberi kebaikan kemudian nanti,” titahnya.

    Seri Paduka meluangkan kira-kira sejam, mencemar duli menyantuni mangsa di pusat pemindahan itu dan mengurniakan sumbangan kepada mereka.

    Terdahulu, Seri Paduka memandu sendiri bersama konvoi Istana Negara dalam perjalanan ke pusat pemindahan berkenaan. – BERNAMA

  • TH sumbangkan RM1.6 juta bantu mangsa banjir

    TH sumbangkan RM1.6 juta bantu mangsa banjir

    LEMBAGA Tabung Haji (TH) memperuntukkan sumbangan sejumlah RM1.6 juta bagi membantu golongan yang terjejas akibat banjir di seluruh negara, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TH, Datuk Sri Amrin Awaluddin.

    Beliau menerusi kenyataan berkata, TH menyumbang bantuan kewangan, makanan dan khidmat pembersihan secara sukarela kepada rakyat Malaysia yang terjejas akibat bencana banjir, dan bantuan itu bakal diagihkan secara langsung atau melalui rakan strategik dan badan bukan kerajaan (NGO).

    “Kami turut bekerjasama dengan seliaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), melalui kumpulan sukarelawan dengan memberi sumbangan seperti keperluan asas, bekalan makanan, dan penginapan sementara,” katanya hari ini.

    Kenyataan itu turut memaklumkan, anak-anak syarikatnya iaitu Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) telah menyumbang RM420,000, selain melancarkan Bantuan Prihatin Banjir dengan kemudahan pembayaran balik pembiayaan untuk individu yang terkesan.

    Takaful Malaysia yang juga merupakan anak syarikat TH, turut menawarkan perkhidmatan tunda percuma kepada para pelanggan yang terjejas akibat banjir. – BERNAMA

  • Polis belum terima sebarang laporan kes tipu kutip derma banjir

    Polis belum terima sebarang laporan kes tipu kutip derma banjir

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) tidak menolak kemungkinan terdapat individu yang mengambil kesempatan daripada bencana banjir teruk yang melanda beberapa negeri baru-baru ini, untuk mengutip derma bagi kegunaan sendiri.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata bagaimanapun pihaknya belum menerima laporan berhubung kes penipuan kutipan derma banjir setakat ini.

    “Berdasarkan pemerhatian, pelbagai inisiatif kutipan derma telah dilancarkan oleh parti politik, badan bukan kerajaan dan individu persendirian bagi memberikan bantuan kepada mangsa terjejas, dengan kebiasaannya aktiviti sedemikian mendapat maklum balas yang positif rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

    Beliau berkata polis akan sentiasa memantau aktiviti kutipan derma terutama yang dilakukan melalui internet dan sebarang aktiviti yang meragukan akan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

    “Orang awam dinasihatkan berhati-hati dalam menyalurkan derma agar ia sampai kepada mangsa yang terlibat,” katanya.

    Menurut beliau, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan aktiviti penipuan kutipan derma, digesa menyalurkan kepada JSJK Scam Response Centre melalui talian 03-26101559 atau membuat laporan di mana-mana balai polis berhampiran untuk siasatan lanjut. – BERNAMA

  • Masalah kekurangan PPS telah ditangani – Rina

    Masalah kekurangan PPS telah ditangani – Rina

    KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah menambah bilangan pusat pemindahan sementara (PPS), bagi mengatasi masalah lebihan kapasiti mangsa banjir di PPS, kata Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

    Beliau berkata, pada permulaan hanya 5,731 PPS yang berdaftar di seluruh negara dan kementerian telah menambah 78 PPS lagi bagi menampung pertambahan jumlah mangsa, terutamanya di kawasan teruk terjejas.

    “Bencana ini tidak diduga… ada rumah yang tidak pernah dinaiki air turut dinaiki air, yang penting mereka berjaya menyelamatkan diri dan kita bagi masuk (ke PPS berhampiran) sementara kita buka PPS lain, untuk pindahkan dan beri perlindungan kepada mereka,” katanya.

    Rina berkata demikian kepada pemberita selepas menyantuni mangsa banjir di Wisma Belia di Kuantan hari ini, yang menempatkan 224 individu daripada 63 keluarga dari sekitar Kuantan, yang mula dilanda banjir sejak Ahad lepas.

    Kementerian juga cuba menyediakan fasiliti dan keperluan kepada mangsa banjir sebaiknya dan sekiranya ada isu berbangkit, mangsa boleh menghubungi bilik gerakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang beroperasi 24 jam sehari.

    Sementara itu, Rina berkata pihaknya menghargai kesudian pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan menghulurkan sumbangan, dan tidak akan menghalang proses penyampaian bantuan itu kerana tidak mahu kerenah birokrasi ‘mengganggu’ misi bantuan tersebut.

    “Bila orang nak bantu kita tidak boleh halang. Apa yang penting barang bantuan sampai kepada penerima, namun sekiranya mereka hantar ke pusat pemindahan seperti ini, pihak pengurusan boleh rekod dan tahu (barang) apa yang diterima dan apa lagi diperlukan mangsa menjadikan ia lebih teratur,” katanya.

    Rina juga berkata selain menempatkan kaunselor bertauliah untuk membantu psikososial mangsa banjir di PPS, unit pengamal ‘MamaCare’ di bawah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) turut disediakan bagi membantu memberikan rawatan kepada ibu yang baharu melahirkan anak. – BERNAMA