Author: Bernama

  • Kerajaan tubuh pasukan petugas khas pascabanjir, persediaan gelombang kedua

    Kerajaan tubuh pasukan petugas khas pascabanjir, persediaan gelombang kedua

    KERAJAAN bersetuju mewujudkan pasukan petugas khas pascabanjir dan untuk persediaan menghadapi banjir gelombang kedua, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Beliau berkata, pasukan petugas khas itu akan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

    “Kerja pelaksanaan pascabanjir ini memerlukan koordinasi yang sempurna, kerana saya tidak mahu proses termasuk bantuan lambat diberikan kepada mangsa terlibat.

    “Kita juga perlu bersedia jika banjir gelombang kedua akan berlaku selepas ini, jadi saya setuju untuk tubuhkan pasukan petugas khas ini,” katanya pada sidang media selepas meninjau kerja-kerja pembersihan pascabanjir di Taman Sri Nanding dan Kampung Dusun Tua, di Hulu Langat hari ini.

    Ismail Sabri berkata, pasukan petugas khas yang akan dianggotai oleh agensi terlibat termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu, akan mengadakan mesyuarat pertamanya seawal esok.

    Sementara itu, Ismail Sabri berkata, antara perkara yang akan dibincang dan diputuskan oleh pasukan petugas khas itu ialah koordinasi pelaksanaan proses pembersihan rumah dan kediaman, serta mekanisme pemberian wang bantuan ihsan banjir agar cepat sampai kepada penerima terjejas, yang menjadi keutamaan pada ketika ini.

    “Saya juga menyeru kepada agensi dan jabatan berkaitan yang menguruskan bantuan tunai perlu mempermudahkan proses pemberian bantuan dan menghapuskan kerenah birokrasi, mereka dah susah, jangan susahkan mereka lagi,” katanya.

    Katanya lagi, pasukan petugas khas tersebut juga akan mencari penyelesaian pengurusan sisa pepejal hasil dari kemusnahan akibat banjir.

    Katanya, setakat ini, kerajaan melalui Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menyediakan insinerator bergerak, yang akan melupuskan sisa pepejal secara ‘insitu’ tanpa asap dan tidak mencemarkan alam sekitar.

    Selain itu katanya, kerajaan juga sedang mengumpul data jumlah kerugian yang ditanggung akibat banjir besar yang melanda negeri Selangor Sabtu lalu.

    “Kita masih lagi dalam proses pembersihan, kita tengah kaji lagi berapa jumlah. Data sedang dikumpul, memang ada kesan dari segi ekonomi, tetapi kita tak tahu sejauh mana dan kita akan tunggu laporan dari kementerian berkaitan nanti,” katanya.

    Dalam pada itu, Perdana Menteri menzahirkan ucapan terima kasih kepada sukarelawan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pasukan keselamatan serta agensi yang masih bertungkus lumus membantu proses pascabanjir di seluruh negara.

    “Tidak ketinggalan kepada rakyat Malaysia yang tidak putus-putus memberikan pelbagai bantuan kepada mangsa banjir terlibat.

    “Setakat ini keutamaan kita ialah mempercepatkan bantuan bersihkan rumah mereka supaya boleh pulang ke rumah masing-masing. Jika kita lakukan sama-sama, proses ini, penduduk boleh pulang ke rumah lebih cepat,” katanya. – BERNAMA

  • Kaji keperluan sekolah terjejas banjir tangguh sesi persekolahan

    Kaji keperluan sekolah terjejas banjir tangguh sesi persekolahan

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) akan meneliti keperluan bagi mana-mana sekolah menangguhkan sesi persekolahan penggal ketiga 2021/2022, berdasarkan kapasiti premis yang terjejas akibat banjir, kata Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin.

    Beliau berkata buat masa ini, KPM sedang menjalankan penilaian ke atas kerosakan yang berlaku pada infrastruktur sekolah termasuk peralatan komputer, perabot dan buku sekolah.

    “Secara umumnya, kita tidak akan tangguh sesi persekolahan dan KPM sedang usahakan untuk menyelesaikan isu sekolah terjejas banjir, sebelum tempoh pembukaan sekolah.

    “Namun, sekiranya ada kes tertentu yang menunjukkan bahawa sekolah itu belum bersedia (untuk pembukaan), kita akan ambil tindakan sewajarnya. Perkara ini akan diberi perhatian secara kes demi kes,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Berkhatan Komuniti Putrajaya di sini, hari ini.

    Dalam pada itu, beliau turut memohon agar pihak sekolah bekerjasama dengan pihak Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah, memperincikan keperluan persekolahan seperti perabot dan buku teks bagi memudahkan KPM menyalurkan bantuan sewajarnya.

    Radzi sebelum ini mengumumkan sesi persekolahan penggal tiga 2021/2022 yang sepatutnya bermula 2 Jan ini bagi Kumpulan A dan 3 Jan ini bagi Kumpulan B ditangguh selama seminggu susulan bencana banjir.

    Beliau berkata, negeri Kumpulan A iaitu Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu akan memulakan persekolahan pada 9 Jan dan Kumpulan B iaitu Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Wilayah Persekutuan Labuan 10 Jan.

    Kata Radzi lagi, KPM masih lagi melaksanakan sistem penggiliran bagi kehadiran murid apabila sekolah dibuka dan maklumat berkaitan akan diumumkan kelak.

    “Masih ada penggiliran dan dalam masa terdekat kita akan nyatakan secara terperinci kumpulan mana yang digilirkan dan yang tidak terlibat. Kita ingin memastikan pembukaan ini berlangsung dengan selamat dan teratur,” katanya. – BERNAMA

  • Luruan monsun: Rakyat Sarawak diminta siap sedia

    Luruan monsun: Rakyat Sarawak diminta siap sedia

    PEJABAT Ketua Menteri Sarawak (CMO) menasihatkan rakyat di negeri itu supaya bersiap sedia berikutan ramalan hujan lebat berterusan di bahagian barat Sarawak minggu depan.

    CMO dalam kenyataan berkata, orang ramai perlu mematuhi amaran Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) terutama penduduk yang tinggal di kawasan terdedah banjir.

    “Sewajarnya bersedia untuk kemungkinan dipindahkan seperti arahan pihak berkuasa,” menurut kenyataan itu.

    MetMalaysia mengeluarkan nasihat pada Rabu meramalkan berlaku luruan monsun dengan kebarangkalian berlaku hujan berterusan di bahagian barat Sarawak minggu depan.

    MetMalaysia berkata berdasarkan analisis sistem cuaca terdapat potensi hujan lebat berterusan dari 27 hingga 29 Dis disebabkan luruan monsun itu. – BERNAMA

  • Sesi persekolahan bersemuka, PDPR, penggiliran hiasan 2021

    Sesi persekolahan bersemuka, PDPR, penggiliran hiasan 2021

    Oleh MAIZATUL JAMNY MUHAMMAD ROSLI

    TAHUN kedua pandemik COVID-19 menyaksikan perubahan kepada kalendar akademik sekolah di seluruh negara berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan beberapa kali dalam setahun.

    Mengimbas kembali, pada satu masa sekolah dibenarkan beroperasi secara bersemuka, diikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang kedua-dua kaedah ini dilaksanakan secara penggiliran.

    Ketika 2021 membuka tirai, sesi persekolahan dijadualkan bermula pada 20 Jan hingga 9 Dis untuk sekolah Kumpulan A melibatkan Johor, Kelantan, Kedah dan Terengganu manakala sekolah Kumpulan B di negeri selainnya pula dibuka pada 20 Jan hingga 10 Dis bagi memastikan 194 hari persekolahan dalam kalendar akademik.

    Pada 13 Jan, kerajaan mengenakan PKP Bersasar di enam negeri – Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah – menyebabkan sesi persekolahan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) terpaksa menangguhkan sesi bersemuka.

    Bagaimanapun, pelajar yang menduduki peperiksaan pada 2020 dan 2021, serta peperiksaan antarabangsa yang setara di institusi pendidikan di bawah KPM di kawasan yang dikenakan PKP itu sahaja dibenarkan kembali ke sekolah pada 20 Jan manakala yang lain meneruskan kaedah PdPR.

    Bagi kawasan di bawah PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP), operasi institusi pendidikan dan semua kategori institut pendidikan swasta yang berdaftar dengan KPM termasuk sekolah antarabangsa, akan berdasarkan kalendar institusi masing-masing.

    Berdasarkan input dan maklum balas daripada semua pihak, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin pada 19 Feb mengumumkan sesi persekolahan secara bersemuka dilaksanakan bermula 1 Mac melibatkan prasekolah, kelas Tahun Satu dan Dua manakala murid Tahun Tiga hingga Enam hadir ke sekolah pada 8 Mac.

    Sekolah menengah di negeri Kumpulan A kembali ke sekolah pada 4 April manakala Kumpulan B pada 5 April, selepas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 berlangsung dari 22 Feb hingga 25 Mac.

    Seiring dengan itu, kolej vokasional juga mula beroperasi pada 1 Mac manakala sekolah antarabangsa dan institusi pendidikan swasta termasuk pusat tuisyen pada 8 Mac.

    Pembukaan sesi persekolahan secara bersemuka memberi kelegaan kepada kebanyakan pihak terutamanya ibu bapa, bagaimanapun kelegaan itu tidak berpanjangan apabila banyak sekolah di beberapa negeri terpaksa ditutup berikutan pengesanan kes positif COVID-19 di sekolah terlibat.

    Pada 26 April, KPM memutuskan sesi persekolahan diadakan secara PdPR selama dua minggu selepas cuti Aidilfitri, iaitu bermula 7 hingga 15 Mei untuk sekolah Kumpulan A dan 8 hingga 16 Mei bagi sekolah Kumpulan B, bertujuan mengelakkan risiko jangkitan COVID-19 di sekolah selepas perayaan itu.

    PdPR kemudian disambung pada 16 hingga 27 Mei di sekolah Kumpulan A manakala Kumpulan B pada 17 hingga 28 Mei, diikuti cuti sekolah pada 28 Mei hingga 12 Jun (Kumpulan A) dan 29 Mei hingga 13 Jun (Kumpulan B).

    Bagaimanapun, kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) membuat keputusan untuk melaksanakan sekatan pergerakan penuh pada sektor sosial dan ekonomi (fasa pertama) di seluruh negara selama 14 hari bermula 1 Jun, dengan semua sektor berkenaan tidak dibenarkan beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan penting yang disenaraikan MKN.

    Langkah itu sekali lagi menangguhkan sesi persekolahan bersemuka hingga 3 Okt, yang dibuka secara berperingkat dengan sistem penggiliran mengikut fasa negeri di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN).

    Melalui sesi persekolahan ini, pelajar perlu hadir ke sekolah secara bergilir, dengan kehadiran ditetapkan pada 50 peratus daripada kapasiti bilik darjah untuk mengurangkan risiko jangkitan COVID-19, tidak termasuk semua sekolah di negeri Fasa Satu PPN yang masih ditutup dan diteruskan dengan PdPR.

    Bukan itu sahaja, KPM juga memutuskan sesi persekolahan 2021 dilanjutkan hingga Mac 2022 supaya intervensi dalam kalangan pelajar lemah dapat dibuat kerana mereka tidak hadir ke sekolah untuk tempoh yang lama.

    Penggal ketiga sesi persekolahan 2021/2022 di negeri Kumpulan A akan bermula pada 2 Jan hingga 20 Mac tahun depan manakala Kumpulan B pada 3 Jan hingga 20 Mac 2022.

    Bagaimanapun, Jumaat lepas Radzi mengumumkan sesi persekolahan penggal ketiga 2021/2022 akan ditangguh selama seminggu susulan bencana banjir yang melanda beberapa negeri dengan sekolah di negeri Kumpulan A akan bermula pada 9 Jan manakala negeri Kumpulan B dibuka pada 10 Jan.

    Takwim akademik bagi sesi persekolahan 2022/2023 untuk negeri Kumpulan A bermula 21 Mac 2022 hingga 11 Mac 2023 manakala sekolah di negeri Kumpulan B, sesi persekolahan juga bermula pada tarikh sama tetapi berakhir pada 12 Mac 2023.

    KPM masih mengkaji kewajaran mengubah penggal persekolahan baharu dari Januari hingga Mac, menggunakan sesi tahun depan sebagai panduan. – BERNAMA

  • Cacamarba politik 2021, Perdana Menteri bertukar lagi

    Cacamarba politik 2021, Perdana Menteri bertukar lagi

    DI tengah perkembangan cacamarba politik negara tahun ini, peristiwa yang boleh dianggap paling menggemparkan seluruh negara pastinya merujuk kepada berita mengenai pertukaran Perdana Menteri buat kali ketiga selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018.

    Selepas PRU14, Tun Dr Mahathir Mohamad mengambil alih tampuk pentadbiran negara daripada Datuk Seri Najib Tun Razak, namun beliau hanya bertahan selama 22 bulan sebelum jawatan nombor satu negara itu diambil alih oleh Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin; dan tahun ini menyaksikan Muhyiddin pula mengundurkan diri.

    Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan Presiden Bersatu, mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri pada 1 Mac 2020, lima hari selepas Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai Perdana Menteri ketujuh.

    Namun, persekitaran politik negara yang terus bergelora kemudiannya, langsung tidak menunjukkan sebarang tanda ia akan reda, dan rakyat berterusan disajikan dengan pelbagai drama desakan terhadap kerajaan pimpinan Muhyiddin.

    Desakan itu akhirnya membawa kepada peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri bersama Jemaah Menteri pada 16 Ogos, selepas beliau tidak lagi mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat, ketika negara masih bergelut dengan pandemik COVID-19 dan ekonomi negara dalam keadaan tidak menentu.

    Selepas tawaran politik oleh Muhyiddin kepada pembangkang serta penentangnya tidak diterima, beliau mengambil keputusan mengundurkan diri, dan pada 21 Ogos lepas Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga timbalan perdana menteri, mengambil alih tampuk pentadbiran negara daripada Muhyiddin, lalu dilantik ke jawatan Perdana Menteri kesembilan.

    Ismail Sabri memperoleh sokongan majoriti seramai 114 Ahli Dewan Rakyat, untuk membolehkannya membentuk kerajaan, dan bagi memastikan pentadbiran kerajaan baharu itu berjalan dengan sempurna demi kemaslahatan rakyat serta negara tanpa gangguan politik, beliau sedar sesuatu yang drastik perlu dilakukan.

    Pada 13 Sept lepas, beliau mengorak langkah baharu dengan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk satu kerjasama dwipartisan dengan menjulang semangat Keluarga Malaysia.

    MoU itu mempunyai enam agenda merangkumi pemerkasaan pelan COVID-19, transformasi pentadbiran, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pembentukan jawatankuasa pemandu.

    Ia juga antaranya menyatakan kerajaan bersetuju tidak akan mengusulkan pembubaran Parlimen sebelum 31 Julai 2022 dan kerjasama itu adalah selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menasihatkan semua pihak supaya mengamalkan demokrasi bermusyawarah dalam mencari penyelesaian kepada apa-apa jua permasalahan.

    Dengan termerterainya MoU itu, suhu politik negara kembali reda dengan tumpuan semua pihak ketika itu terarah kepada usaha pemulihan negara, merangkumi pelbagai aspek, yang terjejas berikutan pandemik COVID-19.

    Namun, ketika kes COVID-19 menunjukkan perkembangan yang semakin baik, malah ketika banyak negeri mula beralih kepada Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) serta pergerakan rentas negeri baharu saja dibenarkan, negara sekali lagi dikejutkan dengan pergolakan politik, namun kali ini di Melaka.

    Ia menyaksikan kerajaan Barisan Nasional (BN) bersama PN yang dipimpin Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali tumbang selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik diri dari menyokongnya.

    Mereka ialah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas), yang memutuskan untuk menarik sokongan itu pada 4 Okt lepas, sekali gus memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) untuk diadakan.

    Rentetan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 18 Okt lepas menetapkan 20 Nov sebagai tarikh pengundian bagi PRN Melaka dengan tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 8 Nov dan PRN berkenaan juga menyaksikan penyertaan seramai 112 calon yang layak bertanding bagi merebut 28 kerusi DUN yang dipertandingkan.

    PRN diadakan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat termasuk melarang aktiviti kempen rumah ke rumah, berceramah dan sebagainya, manakala kempen alternatif menerusi media sosial digalakkan bagi mengurangkan risiko penularan COVID-19.

    Semasa ramai meramalkan bahawa tiada sebuah parti yang dominan mampu menubuhkan kerajaan sendiri menerusi PRN itu, ramalannya ternyata meleset apabila BN yang bertanding tanpa kerjasama dengan PAS menerusi Muafakat Nasional (MN) di kesemua 28 kerusi, menang bergaya dan membentuk kerajaan selepas berjaya menguasai 21 kerusi, melebihi majoriti dua pertiga manakala baki iaitu lima kerusi dikuasai PH dan dua kerusi milik PN.

    Politik tanah air tahun ini juga menyaksikan satu lagi PRN terpaksa diadakan, kali ini di Sarawak, selepas Yang di-Pertuan Agong berkenan menamatkan Proklamasi Darurat bagi Sarawak yang berkuat kuasa sejak 2 Ogos lepas, selaras dengan Perkara 40 dan 40(1A) Perlembagaan Persekutuan.

    Penamatan Proklamasi Darurat itu memberi laluan kepada PRN Sarawak ke-12 (PRN12) diadakan setelah tempoh mandat kerajaan negeri Sarawak tamat pada 6 Jun lepas dan SPR menetapkan tarikh pengundian bagi pilihan raya negeri berkenaan pada 18 Dis dengan hari penamaan calon pada 6 Dis.

    Gabungan Parti Sarawak (GPS) pimpinan Ketua Menteri, Tan Sri Abang Johari Tun Openg membolot 76 daripada 82 kerusi DUN yang dipertandingkan, dalam PRN yang mencatatkan rekod penyertaan tertinggi, menjangkau sehingga 349 calon.

    Selain itu, tahun 2021 juga menyaksikan pemilihan PAS bagi penggal 2021-2023 dan MIC (2021-2024), berjaya dilaksanakan, selepas ia ditangguhkan sejak tahun lepas susulan situasi semasa pandemik COVID-19 ketika itu. – BERNAMA

  • Jumlah mangsa banjir 5 negeri berkurangan

    Jumlah mangsa banjir 5 negeri berkurangan

    SEBANYAK 37,295 orang daripada 10,944 keluarga mangsa banjir masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di lima negeri pagi ini.

    Menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kesemua mereka ditempatkan di 233 PPS di Kelantan, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan dan Melaka.

    Jumlah mangsa banjir di KELANTAN terus mencatatkan penurunan setakat 8 pagi ini, apabila seramai 681 mangsa daripada 218 keluarga berbanding 685 orang daripada 222 keluarga, semalam, melibatkan lima pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka kesemuanya di jajahan Pasir Mas.

    Lima PPS tersebut adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh, SK Gual Periok, SK Kubang Kual, PPS Putat Tujoh dan Masjid Mukim Padang Licin.

    Sementara itu, portal rasmi info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui https://publicinfobanjir.water.gov.my, melaporkan tiada sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya, hanya dua sungai sahaja berada paras waspada iaitu Sungai Golok dan Sungai Kelantan di Rantau Panjang, Pasir Mas.

    Di SELANGOR, aplikasi InfoBencana JKM memaklumkan jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 16,579 di 86 PPS setakat pagi ini berbanding 16,743 di 87 PPS yang dilaporkan malam tadi.

    Setakat 4 pagi tadi, polis Selangor memaklumkan tujuh jalan di enam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) masih dinaiki air dan ditutup untuk laluan kenderaan melibatkan Jambatan FT 31 Dengkil-Banting (IPD Sepang); jambatan menghala ke Lapang Sasar, Subang ditutup ekoran rosak serta Jalan PJU 7, hadapan MRT Mutiara Damansara ditutup kerana berlubang (IPD Petaling Jaya).

    Masih lagi ditutup adalah Jalan Kuala Selangor-Bestari Jaya (IPD Kuala Selangor) dan Jalan BRP 7/2 Bukit Rahman Putra (IPD Sungai Buloh), manakala di IPD Kajang jalan yang ditutup ialah Jalan Genting Peras-Kuala Klawang manakala Jalan Kuala Kubu Bharu-Bukit Fraser menghala ke Peretak dibuka untuk kenderaan ringan sahaja (IPD Hulu Selangor).

    Di PAHANG, aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan jumlah mangsa banjir pagi ini ialah seramai 19,839 orang di 137 pusat pemindahan sementara berbanding 21,726 orang di 148 PPS malam tadi.

    Daerah yang masih terjejas banjir ialah Bentong, Temerloh, Bera, Maran, Kuantan dan Pekan.

    Laman web publicinfobanjir.water.gov.my pula melaporkan hanya dua sungai di Maran berada di paras bahaya dengan trend penurunan pagi ini, iaitu Sungai Pahang di Lubuk Paku dan Sungai Kundang.

    Di NEGERI SEMBILAN, Pengarah APM negeri Lt Kol (PA) Mohd Syukri Madnor berkata mangsa banjir di negeri itu menurun kepada 152 individu daripada 44 keluarga berbanding malam tadi dengan 203 mangsa daripada 56 keluarga.

    Katanya sebanyak empat PPS yang masih dibuka di Jelebu setakat pagi ini dan keadaan di kesemua PPS dilaporkan dalam keadaan baik dan terkawal.

    Jumlah mangsa banjir di MELAKA terus menurun kepada 26 mangsa daripada lapan keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 29 mangsa melibatkan sembilan keluarga, malam tadi.

    Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata hanya pusat penempatan sementara (PPS) dibuka iaitu di Sekolah Kebangsaan Penghulu Benteng di Jasin.

    “Kesemua mangsa kini berada di PPS tersebut manakala di Alor Gajah, semua PPS telah ditutup,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – BERNAMA

  • Tahanan serang pegawai pendaftar Mahkamah JB

    Tahanan serang pegawai pendaftar Mahkamah JB

    SEORANG pegawai pendaftar Mahkamah Johor Bahru berdepan detik cemas apabila diserang seorang tahanan di mahkamah berkenaan hari ini.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Supt Lim Jit Huey berkata kejadian berlaku pada 11.20 pagi tadi ketika proses permohonan reman sedang berlangsung di dalam mahkamah itu.

    “Seorang tahanan lelaki secara tiba-tiba menyerang pegawai wanita itu namun keadaan dapat dikawal oleh anggota polis yang bertugas. Pegawai tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan.

    Lim berkata kes itu sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam. – BERNAMA

  • 10 maut dalam nahas lebuh raya, berbelas lagi cedera

    10 maut dalam nahas lebuh raya, berbelas lagi cedera

    SEKURANG-KURANGNYA 10 orang maut dan berbelas lagi cedera dalam nahas di lebuh raya Ahvaz-Khorramshahr, di wilayah Khuzestan, Iran pada Sabtu.

    Nahas itu melibatkan beberapa kenderaan berat dan ringan termasuk sebuah bas mini yang membawa pekerja syarikat minyak, bertembung antara satu sama lain, lapor Agensi Anadolu (AA) memetik pihak berkuasa tempatan.

    Ketua polis trafik wilayah itu, Reza Dolatshahi, berkata pihaknya menerima laporan mengenai kemalangan tersebut kira-kira 7 pagi waktu tempatan.

    Antara yang terbunuh ialah pekerja Yadavaran, satu daripada syarikat minyak terbesar di negara itu.

    Dolatshahi berkata punca kejadian sedang disiasat.

    Banyak kematian akibat nahas jalan raya dilaporkan berlaku di lebuh raya antara Ahvaz dan Khorramshahr.

    Menurut Dolatshahi, seramai 442 telah kehilangan nyawa dalam nahas jalan raya di wilayah itu dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini. – BERNAMA

  • JKNS nafi ambil organ dalaman mayat warga Indonesia

    JKNS nafi ambil organ dalaman mayat warga Indonesia

    JABATAN Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) menafikan dakwaan laporan sebuah media Indonesia, mengenai pengambilan organ dalaman daripada seorang warga negara itu yang meninggal dunia, selepas dibedah siasat dijalankan pada 7 Dis lalu di Hospital Queen Elizabeth di sini.

    Pengarah JKNS, Datuk Dr Rose Nani Mudin berkata, semua organ telah dikembalikan bersama jenazah dikenali Sadiman Hamal, 38, apabila ditemukan meninggal dunia di sebuah kapal pada 1 Dis lepas, sebelum disahkan kematiannya berpunca daripada jangkitan paru-paru dan sakit jantung.

    Katanya, setiap sampel tisu yang diambil adalah berukuran 1 inci x 1 inci (2.54 sentimeter x 2.54 sentimeter), dan pegawai perubatan forensik telah menerangkan kepada saudara mangsa bahawa beberapa sampel tisu kecil dari organ akan diambil, untuk dihantar ke makmal bagi mengetahui punca kematian.

    “Pihak hospital dimaklumkan polis, mangsa tidak mempunyai waris terdekat di negara ini namun polis berjaya mengesan beberapa individu yang mengaku saudara Sadiman, serta mengenali waris terdekatnya di Indonesia sebelum salah seorang daripada mereka membuat pengecaman mayat mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Dr Rose Nani berkata, pegawai perubatan forensik yang mengendalikan bedah siasat itu telah menerangkan keputusan bedah siasat kepada saudara mangsa, dan individu berkenaan akan menyampaikan maklumat kepada waris mangsa di Indonesia.

    Beliau berkata, pihak majikan telah menguruskan proses penghantaran jenazah yang telah dimandikan dan dikafankan, sebelum dihantar ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada 17 Dis dan jenazah selamat tiba di Indonesia pada 20 Dis lalu.

    “JKNS menyampaikan rasa simpati kepada keluarga mangsa dan semua urusan bedah siasat serta proses penghantaran mayat mengikut garis panduan yang ditetapkan,” katanya.

    Baru-baru ini, media tempatan Indonesia mendakwa jenazah yang berasal dari Polewali Mandar, Indonesia yang bekerja di Sabah, dihantar kepada waris tanpa organ dalaman. – BERNAMA

  • Mangsa banjir di PPS berkurangan petang tadi

    Mangsa banjir di PPS berkurangan petang tadi

    KEADAAN banjir terus beransur pulih di beberapa negeri pada sebelah petang ini dengan jumlah mangsa banjir semakin menurun dan terdapat pusat pemindahan sementara (PPS) yang ditutup.

    Menurut aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat 6 petang ini sebanyak 40,738 mangsa banjir dari 11,882 keluarga yang masih berlindung di 257 PPS di lima negeri, berbanding 43,289 orang mangsa banjir tengah hari tadi.

    Di SELANGOR, aplikasi InfoBencana JKM memaklumkan jumlah mangsa banjir berkurangan daripada 17,336 mangsa yang ditempatkan di 90 PPS tengah hari tadi, kepada 16,953 mangsa dari 4,752 keluarga melibatkan 88 PPS petang ini.

    Setakat 4 petang tadi, Polis Selangor memaklumkan lapan jalan di lapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) masih dinaiki air dan ditutup untuk laluan kenderaan.

    Antara jalan yang ditutup ialah Jambatan FT 31 Dengkil-Banting (IPD Sepang); Jalan Sungai Panjang-Tanjung Malim (IPD Sabak Bernam); Jalan Kuala Selangor-Bestari Jaya (IPD Kuala Selangor) dan Jalan BRP 7/2 Bukit Rahman Putra (IPD Sungai Buloh), manakala di IPD Kajang jalan yang ditutup ialah Jalan Genting Peras-Kuala Klawang.

    Selain itu jambatan menghala ke Lapang Sasar, Subang ditutup ekoran rosak serta Jalan PJU 7, hadapan MRT Mutiara Damansara ditutup kerana berlubang (IPD Petaling Jaya), manakala Jalan Kuala Kubu Bharu-Bukit Fraser (IPD Hulu Selangor) menghala ke Peretak dibuka untuk kenderaan ringan sahaja.

    Di PAHANG, banjir semakin baik hari ini apabila dua PPS terakhir di Lipis ditutup petang ini, selepas daerah Raub dan Jerantut disahkan ‘pulih’ dari banjir, tengah hari tadi.

    Daerah yang masih terjejas banjir di Pahang kini ialah Bentong, Temerloh, Maran, Bera, Kuantan dan Pekan, dengan seramai 22,449 orang mangsa banjir masih berada di 156 PPS, demikian menurut aplikasi InfoBencana JKM.

    Laman web publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan tiga sungai masih berada di paras bahaya iaitu, Sungai Kundang dan Sungai Pahang di Lubuk Paku kedua-duanya di Maran serta Sungai Bera di Bera, namun menunjukkan trend menurun.

    Jabatan Meteorologi pula meramalkan cuaca tidak hujan pada malam ini di Maran dan Kuantan, bagaimanapun ribut petir dijangka berlaku di sesetengah kawasan di daerah lain.

    Di KELANTAN jumlah mangsa banjir mencatatkan penurunan setakat 6 petang ini, apabila seramai 685 orang daripada 222 keluarga berbanding 814 orang daripada 258 keluarga, tengah hari tadi, melibatkan lima PPS yang kesemuanya di jajahan Pasir Mas.

    Lima PPS tersebut adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh, SK Gual Periok, SK Kubang Kual, PPS Putat Tujoh dan Masjid Mukim Padang Licin.

    Di MELAKA, jumlah mangsa banjir di Melaka tinggal hanya 29 mangsa daripada sembilan keluarga setakat 4 petang ini.

    Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata hanya sebuah PPS masih dibuka iaitu di Sekolah Kebangsaan Penghulu Benteng di Jasin.

    “Kesemua mangsa kini berada di PPS tersebut manakala di Alor Gajah, semua PPS telah ditutup,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Sementara di NEGERI SEMBILAN, kemas kini terakhir di InfoBencana JKM pada 7 pagi ini menunjukkan seramai 292 mangsa banjir dari 84 keluarga masih berlindung di empat PPS di Jelebu.

    Kesemua PPS itu ialah Dewan Dsury Klawang, Sekolah Menengah Kebangsaan Triang Hilir, Dewan Orang Ramai Kampung Puom dan Sekolah Kebangsaan Dato Undang Abdullah. – BERNAMA