Author: Bernama

  • Lokman diarah padam hantaran fitnah ketua hakim syarie

    Lokman diarah padam hantaran fitnah ketua hakim syarie

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan Datuk Lokman Noor Adam supaya memadam kesemua hantaran berunsur fitnah membabitkan Ketua Hakim Syarie Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berhubung dakwaan gangguan seksual yang dimuat naik dalam Facebook dan YouTube milik bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu, dalam tempoh 24 jam bermula hari ini.

    Peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Mohd Na’im ketika dihubungi pemberita berkata, Hakim Datuk Rozana Ali Yusoff membenarkan permohonan injunksi ex-parte (sebelah pihak) yang dikemukakan Mohd Na’im dalam kes samannya terhadap Lokman.

    Dalam saman fitnah yang difailkan pada 17 Jan lepas, Mohd Na’im selaku plaintif memohon suatu perintah injunksi supaya defendan memadam video dan hantaran tersebut dan suatu injunksi untuk menghalang defendan daripada menerbitkan semula hantaran itu.

    Akberdin berkata, mahkamah membuat keputusan itu dalam prosiding secara dalam talian (Zoom).

    “Anak guam saya memperoleh perintah injunksi interim bagi menghalang defendan (Lokman) atau wakilnya daripada menerbitkan semula hantaran berkenaan dalam apa jua cara sekali pun,” katanya menambah mahkamah menetapkan 7 Feb untuk pendengaran injunksi inter-parte (antara pihak).

    Mohd Na’im, 54, selaku plaintif memfailkan saman atas kapasiti peribadi dengan menamakan Lokman, 49, sebagai defendan bagi menuntut ganti rugi berjumlah RM30 juta berhubung dakwaan gangguan seksual terhadap beberapa wanita termasuk seorang ‘Datin.’

    Berdasarkan pernyataan tuntutan, Mohd Na’im yang juga Ketua Pengarah di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia mendakwa, Lokman telah memfitnahnya dengan membuat kenyataan menerusi dua siaran langsung di Facebook ‘Lokman Noor Adam Official’ pada 10 Jan dan 13 Jan lepas.

    Mohd Na’im mendakwa, defendan juga memuat naik siaran langsung itu di YouTube miliknya masing-masing pada 10 Jan dan 14 Jan selain memuat naik tiga hantaran fitnah terhadap beliau di Facebook milik defendan pada 11 Jan dan 13 Jan lepas.

    Dakwa plaintif, kenyataan fitnah itu membawa maksud antaranya beliau seorang penunggang agama, gagal menjadi pemimpin yang berkredibiliti dengan akhlak yang terpuji dan dihormati serta memberi teladan yang baik kepada masyarakat serta mencemarkan imej dan institusi Jabatan Kehakiman Syariah.

    Menurut plaintif, satu laporan polis telah dibuat pada 12 Dis tahun lepas bagi menafikan dakwaan dan tuduhan palsu Datin terbabit terhadapnya dan beliau juga telah membuat laporan polis terhadap Lokman agar pihak polis membuat siasatan berhubung tindakan defendan.

    Plaintif berkata, notis tuntutan bertarikh 13 Jan lepas dikeluarkan terhadap defendan supaya menarik balik kenyataan fitnah serta memadamkan hantaran di Facebook selain memohon maaf secara terbuka dalam tempoh 24 jam namun sehingga hari ini, defendan tidak mengendahkan laporan polis dan notis itu.

    Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am yang akan ditaksir oleh mahkamah, ganti rugi teladan, teruk dan punitif masing-masing berjumlah RM10 juta, faedah, serta relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah selain permohonan maaf daripada defendan yang dimuat naik di media sosial. – BERNAMA

  • Tarik balik atau longgar larangan perjalanan antarabangsa – WHO

    Tarik balik atau longgar larangan perjalanan antarabangsa – WHO

    PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) menasihatkan negara anggotanya pada Rabu supaya menarik balik atau melonggarkan larangan perjalanan antarabangsa meskipun pandemik COVID-19 masih dianggap membimbangkan, lapor Xinhua.

    Jawatankuasa Kecemasan WHO membentangkan beberapa cadangan kepada Ketua Pengarah WHO, yang memutuskan bahawa pandemik COVID-19 terus menjadi kebimbangan terhadap kesihatan awam di peringkat antarabangsa.

    Jawatankuasa itu berkata bahawa bukti vaksinasi terhadap COVID-19 tidak boleh digunakan sebagai satu-satunya cara atau syarat membenarkan perjalanan antarabangsa memandangkan akses global yang terhad dan pengedaran vaksin COVID-19 yang tidak saksama.

    Ia juga menasihatkan negara untuk menjalankan siasatan epidemiologi terhadap penularan SARS-CoV-2 di antara manusia-haiwan serta pengawasan terhadap perumah haiwan yang berpotensi.

    Jawatankuasa itu meminta pemantauan serta perkongsian data jangkitan dengan rekod masa sebenar, penularan dan evolusi SARS-Cov-2 dalam haiwan, menegaskan bahawa data berkenaan akan membantu memberi kefahaman global serta mengenalpasti virus tepat pada masanya, dan penilaian risiko kesihatan awam. – BERNAMA

  • Kementerian Pendidikan siasat isu menu RMT – Radzi

    Kementerian Pendidikan siasat isu menu RMT – Radzi

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) sedang menjalankan siasatan mengenai menu Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang didakwa hanya menyediakan nasi putih dan kuah kepada murid-murid sekolah seperti ditularkan di media sosial.

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, beliau turut mengarahkan supaya sekolah terlibat dikenal pasti.

    “Saya memandang serius dakwaan tersebut dan telah arahkan supaya siasatan lanjut dibuat, termasuk mengenal pasti sekolah yang terlibat. KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) tidak berkompromi dalam hal yang melibatkan kebajikan murid,” katanya dalam catatan di akaun Facebooknya.

    Semalam, tular satu kiriman seorang pemilik Facebook berserta gambar yang dimuat naik sambil mendakwa cucu saudaranya hanya menerima menu RMT sedemikian.

    Pemilik Facebook itu juga mempersoalkan sama ada peruntukan RMT terlalu sedikit sehingga pengusaha kantin menyediakan menu makanan tambahan sebegitu kepada murid-murid sekolah rendah. – BERNAMA

  • Akaun dagangan Azam Baki tidak langgar akta – SC

    Akaun dagangan Azam Baki tidak langgar akta – SC

    SURUHANJAYA Sekuriti (SC) memutuskan tiada pelanggaran bawah Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA) berhubung akaun dagangan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

    Dalam satu kenyataan, hari ini, SC menjelaskan bahawa bukti bebas yang dikumpulkan hasil siasatan, menunjukkan bahawa Azam adalah pemegang akaun dan mempunyai kawalan ke atas akaun dagangan terbabit.

    “Bukti juga menunjukkan bahawa Azam mengendalikan akaun yang dibukanya kerana beliau telah memberi arahan untuk membeli, menjual dan memindahkan sekuriti daripada akaun berkenaan,” katanya.

    SC dalam kenyataan dikeluarkan, semalam, berkata suruhanjaya itu sudah menamatkan inkuiri berkaitan dengan akaun dagangan Azam dan berdasarkan keterangan yang dikumpulkan, ia tidak dapat membuat penemuan secara konklusif bahawa berlakunya pelanggaran bawah Seksyen 25(4) SICDA.

    Sebagai pengawal selia pasaran modal, SC berkata, bidang kuasa kawal selianya adalah sebagaimana yang terkandung bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia 1993 (SCMA), Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) dan Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA).

    Suruhanjaya itu mengeluarkan kenyataan media berkenaan sebagai menjawab pertanyaan media yang diterima, hari ini, mengenai hasil siasatan SC bawah Seksyen 25(4) SICDA berhubung akaun dagangan Azam (dirujuk sebagai ‘siasatan terbabit’).

    “Sehubungan ini, siasatan terbabit adalah berkaitan dengan isu sama ada telah berlaku pelanggaran bawah Seksyen 25(4) SICDA.

    “Seksyen 25(4) menyatakan bahawa suatu akaun dagangan mesti dibuka atas nama pemilik benefisial atau penama yang diberi kuasa,” kata SC dalam kenyataan, hari ini. – BERNAMA

  • Agong perkenan tubuh RCI siasat isu Tabung Haji

    Agong perkenan tubuh RCI siasat isu Tabung Haji

    KERAJAAN mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat isu pengurusan dan pengoperasian Lembaga Tabung Haji (TH) dari 2014 hingga 2020.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, penubuhan RCI itu dilakukan selaras dengan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119).

    Beliau berkata, Seri Paduka juga memperkenan pelantikan enam ahli RCI termasuk bekas Ketua Hakim Negara Tun Md Raus Sharif sebagai Pengerusi.

    Lima lagi ahli RCI ialah bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Samsudin Osman; Pengasas Kumpulan RHB, Tan Sri Abdul Rashid Hussain; bekas Pengerusi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Tan Sri Dr Mohd Munir Abdul Majid; Naib Canselor Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Unishams), Profesor Dr Asmadi Mohamed Naim dan Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, Norsyahrin Hamidon.

    Wan Junaidi berkata, ahli RCI yang dilantik merupakan tokoh berwibawa, mempunyai kepakaran dan pengalaman luas dalam bidang masing-masing iaitu kehakiman, perkhidmatan awam, pentadbiran, ekonomi, kewangan, pelaburan, pasaran modal, perbankan, kewangan Islam serta perakaunan.

    “Mereka yang dilantik ini telah dipastikan bebas dan tidak mempunyai hubungan secara langsung dengan TH.

    “Ini bagi memastikan siasatan dapat dijalankan dengan telus, adil dan saksama serta mengelak sebarang isu yang melibatkan konflik kepentingan dengan pihak yang berkaitan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata pelantikan itu berkuat kuasa mulai esok hingga 19 Julai dan suruhanjaya itu diberikan tempoh enam bulan bagi melaksanakan siasatan serta menyediakan laporan untuk dipersembah kepada Al-Sultan Abdullah. – BERNAMA

  • Didakwa fitnah hakim, Lokman Adam disaman RM30 juta

    Didakwa fitnah hakim, Lokman Adam disaman RM30 juta

    KETUA Hakim Syarie Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar memfailkan saman fitnah menuntut ganti rugi berjumlah RM30 juta daripada bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Lokman Noor Adam berhubung dakwaan gangguan seksual terhadap beberapa wanita termasuk seorang ‘Datin.’

    Mohd Na’im, 54, selaku plaintif memfailkan saman itu di Mahkamah Tinggi menerusi Tetuan Akberdin & Co pada 17 Jan lepas dan menamakan Lokman, 49, sebagai defendan.

    Berdasarkan pernyataan tuntutan, Mohd Na’im yang juga Ketua Pengarah di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia memfailkan saman itu atas kapasiti peribadi mendakwa defendan telah memfitnahnya dengan membuat kenyataan menerusi dua siaran langsung di Facebook ‘Lokman Noor Adam Official’ pada 10 Jan dan 13 Jan lepas.

    Plaintif mendakwa Lokman juga memuat naik siaran langsung itu di YouTube miliknya masing-masing pada 10 Jan dan 14 Jan selain memuat naik tiga hantaran fitnah terhadap beliau di Facebook milik defendan pada 11 Jan dan 13 Jan lepas.

    Dakwa plaintif, kenyataan fitnah itu membawa maksud antaranya beliau seorang penunggang agama, gagal menjadi pemimpin yang berkredibiliti dengan akhlak yang terpuji dan dihormati serta memberi teladan yang baik kepada masyarakat serta mencemarkan imej dan institusi Jabatan Kehakiman Syariah.

    Mohd Na’im mendakwa siaran langsung dan hantaran itu telah tersebar kepada pihak ketiga kerana Facebook serta YouTube milik defendan dapat ditonton dan dikomen oleh masyarakat umum.

    “Defendan menerbitkan kenyataan itu dengan matlamat bahawa perkara yang sama akan diterbitkan dalam negara dan di peringkat antarabangsa melalui media elektronik serta media cetak,” dakwa plaintif dalam tuntutan itu.

    Menurut plaintif, satu laporan polis telah dibuat pada 12 Dis tahun lepas bagi menafikan dakwaan dan tuduhan palsu Datin terbabit terhadapnya dan beliau juga telah membuat laporan polis terhadap Lokman agar pihak polis membuat siasatan berhubung tindakan defendan.

    Plaintif berkata notis tuntutan bertarikh 13 Jan lepas dikeluarkan terhadap defendan supaya menarik balik kenyataan fitnah serta memadamkan hantaran di Facebook selain memohon maaf secara terbuka dalam tempoh 24 jam namun sehingga hari ini, defendan tidak mengendahkan laporan polis dan notis itu.

    Dakwa plaintif, kenyataan fitnah itu telah menjejaskan reputasi, merosakkan martabat, mencalarkan imej, menjatuhkan maruah dan merendahkan statusnya di mata masyarakat umum.

    Oleh itu, plaintif memohon suatu injunksi supaya defendan memadam video dan hantaran tersebut dan suatu injunksi untuk menghalang defendan daripada menerbitkan semula hantaran itu selain permohonan maaf daripada defendan yang dimuat naik di media sosial.

    Plaintif juga menuntut ganti rugi am yang akan ditaksir oleh mahkamah, ganti rugi teladan, teruk dan punitif masing-masing berjumlah RM10 juta, faedah atas jumlah penghakiman sebanyak lima peratus setahun yang dikira dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh serta relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

    Menerusi semakan mahkamah, permohonan injunksi itu akan didengar esok di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Rozana Ali Yusoff manakala pengurusan kes ditetapkan pada 21 Feb ini. – BERNAMA

  • Tahun Baharu Cina: Makan keluarga, ziarah dibenarkan

    Tahun Baharu Cina: Makan keluarga, ziarah dibenarkan

    PUTRAJAYA hari ini mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) bagi sambutan Tahun Baharu Cina 2022 yang lebih longgar berbanding tahun lepas termasuk berkaitan kebenaran acara makan keluarga (‘family reunion dinner’) dan aktiviti ziarah.

    Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, acara makan keluarga pada 31 Jan ini dibenarkan bersama ahli keluarga dan saudara-mara, tidak seperti tahun lepas dihadkan hanya 15 ahli keluarga yang tinggal dalam jarak 10 kilometer radius.

    Beliau berkata, penganjuran rumah terbuka bagi perayaan itu bagaimanapun tidak dibenarkan tetapi resepsi Tahun Baru Cina dibenarkan melibatkan individu yang mendapat jemputan sahaja dengan 50 peratus kapasiti ruang.

    Halimah berkata, resepsi yang dianjurkan syarikat atau persatuan perlu dilakukan di dalam dewan atau restoran dan bukan di tempat terbuka serta sesi majlis tidak boleh dibuat secara berterusan seperti rumah terbuka.

    “Resepsi hanya bagi mereka yang dijemput sahaja boleh hadir dan selepas habis aktiviti makan, tiada pusingan kedua,” katanya dalam sidang media mengenai SOP Sambutan Tahun Baharu Cina 2022 bersama Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong di sini hari ini.

    Halimah berkata, upacara sembahyang di rumah ibadat selain Islam pada 1 dan 2 Feb adalah dibenarkan dengan mengikut SOP Pelan Pemulihan Negara Fasa 4, selain sembahyang khas ‘Hokkien Clan’ pada 8 dan 9 Feb serta aktiviti keagamaan di halaman rumah masing-masing pada waktu malam.

    Sembahyang Chap Goh Mei di rumah ibadat pada 15 Feb juga dibenarkan mengikut SOP Pelan Pemulihan Negara Fasa 4, katanya.

    Halimah berkata turut, dibenarkan adalah persembahan tarian singa, naga dan harimau yang tertakluk kepada SOP industri kreatif.

    “SOP disediakan demi keselamatan masyarakat dan penganut,” katanya yang berharap perayaan itu disambut dengan kemeriahan dalam suasana selamat.

    Sementara itu, Ka Siong berkata, SOP sambutan Tahun Baru Cina kali ini lebih longgar tidak seperti tahun lepas yang hanya disambut di rumah.

    “SOP ini telah dibincangkan dengan teliti dalam tiga kali perbincangan melibatkan pelbagai pihak berkepentingan,” katanya.

    Ka Siong yang juga Presiden MCA berkata parti itu akan menganjurkan resepsi Tahun Baharu Cina tahun ini tetapi hanya melibatkan jemputan yang terhad.

    Maklumat lanjut berhubung resepsi itu akan diumumkan Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon, katanya serta menambah, MCA akan mematuhi SOP untuk memberikan contoh yang baik pada resepsi itu. – BERNAMA

  • Lapan individu ditahan bantu siasatan penjualan sijil digital vaksin tidak sah

    Lapan individu ditahan bantu siasatan penjualan sijil digital vaksin tidak sah

    POLIS menahan lapan individu termasuk tiga pekerja sebuah klinik swasta di sini bagi membantu siasatan berkaitan aktiviti penjualan sijil digital vaksin COVID-19 tidak sah dan tanpa suntikan, pada Isnin hingga semalam.

    Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata enam wanita dan dua lelaki berusia lingkungan 24 hingga 42 tahun termasuk lima pembeli itu ditahan berasingan selepas polis menerima laporan mengenai kegiatan tersebut daripada pemilik klinik pada 10.53 malam, Ahad lepas. 

    Beliau berkata pihaknya kini sedang memburu 30 individu yang telah membeli sijil vaksin digital tanpa suntikan temasuk seorang lelaki berusia 44 tahun yang dipercayai menjadi dalang. 

    “Kegiatan penjualan sijil digital vaksin COVID-19 tidak sah itu dipercayai telah beroperasi selama sebulan dan menyasarkan golongan yang enggan menerima suntikan vaksin atau antivaksin.

    “Difahamkan setiap individu yang ingin mendapatkan sijil itu perlu membayar antara RM300 hingga RM650 manakala orang tengah yang bertindak mencari pelanggan pula akan menerima komisen RM125 bagi setiap sijil digital yang diperoleh,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

    Kamarul Zaman berkata dua pekerja klinik terbabit direman empat hari hingga Jumaat ini manakala pihaknya akan memohon reman ke atas seorang lagi pekerja hari ini.

    Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan/Seksyen 511 Kanun Keseksaan dan siasatan juga menjurus kepada kesalahan di bawah Seksyen 22 (d) Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988.

    Sehubungan itu, beliau turut menyeru individu yang telah membeli sijil digital vaksin tanpa suntikan supaya tampil dan menyerah diri di balai polis berhampiran.

    — BERNAMA

  • Mesyuarat Exco Johor tak bincang isu PRN – Tosrin

    Mesyuarat Exco Johor tak bincang isu PRN – Tosrin

    AHLI Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Johor yang bermesyuarat hari ini tidak membincangkan mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, kata Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi.

    “Tiada apa-apa yang luar biasa dan mesyuarat hari ini berjalan seperti biasa. Kita membincangkan tentang kertas-kertas kerajaan, tiada perkara lain.

    “Langsung tiada perbincangan (mengenai PRN Johor),” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat berkenaan di Kota Iskandar, hari ini.

    Sementara itu, Tosrin yang juga Ketua Bersatu Bahagian Kulai berkata, pihaknya masih belum mendapat tarikh berhubung mesyuarat parti berkenaan di peringkat negeri.

    “Berhubung mesyuarat berkenaan, kita akan tunggu (makluman) daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin (Presiden Bersatu), buat masa ini belum dapat tahu lagi,” katanya.

    Khabar angin mengenai PRN Johor mula tersebar susulan kerajaan negeri hanya mempunyai majoriti satu kerusi iaitu 28 kerusi berbanding 27 kerusi pembangkang di DUN selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas Datuk Osman Sapian meninggal dunia pada 21 Disember lepas,

    Semalam, blok pembangkang menawarkan Komitmen Kestabilan kepada kerajaan negeri dan menolak PRN Johor. – BERNAMA

  • Gangguan seksual: Kertas siasatan babitkan ADUN dilengkapkan minggu ini

    Gangguan seksual: Kertas siasatan babitkan ADUN dilengkapkan minggu ini

    SIASATAN berhubung kes gangguan seksual membabitkan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini terhadap seorang wanita ahli sebuah parti politik, akan dilengkapkan minggu ini.

    Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata setakat ini, beberapa individu termasuk ADUN serta wanita berkenaan sudah dipanggil bagi memberi keterangan dan melengkapkan siasatan berkaitan dakwaan itu. 

    “Setakat ini, siasatan masih dijalankan dan beberapa individu telah kami panggil untuk merakam percakapan berhubung kes ini.

    “Kami masih lagi menyiasat, insya-Allah siasatan dilakukan secara adil dan mungkin memerlukan masa dua tiga hari untuk diselesaikan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini. 

    Isnin lepas, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Hussin Zamora mengesahkan menerima laporan polis dibuat wanita berusia 26 tahun itu di Balai Polis Kota Tinggi.

    Sebelum ini, tular mengenai gangguan seksual seorang mangsa dipercayai ahli sebuah parti politik di Johor, yang mendakwa telah beberapa kali diganggu secara seksual oleh ADUN terbabit. 

    Bagaimanapun, ADUN berkenaan telah menafikan dakwaan itu dan menyatakan ia satu konspirasi politik, fitnah serta cubaan untuk menjatuhkan maruahnya sebagai ahli politik. 

    — BERNAMA