Author: Bernama

  • PRN Johor: 2.57 juta pengundi biasa layak mengundi

    PRN Johor: 2.57 juta pengundi biasa layak mengundi

    SERAMAI 2.576 juta pengundi biasa daripada keseluruhan 2.599 juta pengundi berdaftar layak mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan diadakan tidak lama lagi.

    Berdasarkan statistik yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), daripada jumlah keseluruhan itu, 22,536 orang merupakan pengundi awal melibatkan 10,958 anggota tentera dan pasangan, manakala 11,578 pula anggota polis dan pasangan mereka.

    Menurut data yang diwartakan SPR pada 17 Jan lepas, jumlah pengundi tidak hadir luar negara adalah seramai 376 orang di semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

    Pengundi boleh membuat semakan awal melalui portal semakan daftar pemilih https://pengundi.spr.gov.my., aplikasi MySPR Semak dan Hotline SPR menerusi talian 03-88927018.

    Jumlah pengundi di Johor mencatatkan peningkatan kira-kira 28 peratus dengan penambahan 749,731 pengundi berusia 18 tahun ke atas susulan pendaftaran automatik Undi18.

    SPR dijangka mengumumkan tarikh PRN Johor selepas mengadakan mesyuarat khas pada 9 Feb ini.

    — BERNAMA

  • JKMPay masih di peringkat kajian – Rina

    JKMPay masih di peringkat kajian – Rina

    PROGRAM rintis pembayaran bantuan kebajikan tanpa tunai, JKMPay, masih lagi di peringkat kajian sebelum dilaksanakan secara meluas di seluruh negara, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

    Beliau berkata, meskipun projek rintis itu telah dilaksanakan hampir setahun melibatkan penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di dua daerah di Selangor dan Kelantan, namun masih terdapat kajian yang perlu dilaksanakan khususnya berkaitan keberkesanannya.

    “JKMPay ini melibatkan penerima bantuan JKM yang baharu bukan sahaja penerima bantuan Orang Kurang Upaya (OKU). Bila kami buat kajian, kajian utama lebih kepada penerima bantuan…bagaimana pengalaman mereka ketika menggunakannya dan bagaimana kami boleh tambah baik hasil pengalaman yang mereka kongsikan.

    “Bahkan sebelum projek rintis ini dilaksanakan, kami telah adakan perbincangan dengan kerajaan negeri dan pemegang taruh termasuk Majlis OKU. Kami akan adakan libat urus dengan lebih ramai lagi sebelum ia diperluaskan ke seluruh negara,” katanya kepada pemberita selepas program menyantuni Pusat Jagaan OKU di Petaling Jaya hari ini.

    Beliau berkata, JKMPay dilaksanakan antara lainnya bagi membantu penerima bantuan JKM mengawal perbelanjaan dengan mendapatkan barangan yang benar-benar diperlukan seperti barangan keperluan, makanan, ubat-ubatan dan pampers.

    “Hasrat kami untuk pastikan dari segi kelangsungan hidup mereka untuk beli barangan keperluan itu ada. Dalam masa sama kami nak sokong ekonomi digital, saya tidak mahu sahabat OKU saya tercicir…mereka juga harus turut serta dalam dunia digitalisasi,” katanya sambil menegaskan tiada sebarang caj dikenakan ke atas pengguna JKMPay mahupun kerajaan.

    Sementara itu, Rina berkata, jelajah pendaftaran OKU akan dilaksanakan melalui MyDaftar OKU bagi memastikan lebih ramai golongan itu membuat pendaftaran.

    Beliau berkata, sejak dilancarkan tahun lepas, pihaknya sudah menerima 13,715 pendaftaran dalam tempoh dua bulan sahaja dan jelajah itu akan turut disertai pertubuhan bukan kerajaan OKU.

    “Melalui MyDaftar OKU, mereka kini boleh isi borang secara dalam talian dan kami juga sedang usahakan agar pengesahan daripada pengamal perubatan juga dapat dibuat secara dalam talian…ini telah dilaksanakan di pejabat kebajikan daerah,” katanya. – BERNAMA

  • 1,157 pemandu mabuk ditahan di Kuala Lumpur

    1,157 pemandu mabuk ditahan di Kuala Lumpur

    POLIS menahan seramai 1,558 individu atas pelbagai kesalahan trafik termasuk memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol dan menunggang motosikal secara berbahaya, menerusi pelbagai operasi yang diadakan di sekitar ibu negara tahun lepas.

    Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Supt Zulkafli Chek Lah berkata, pemandu mabuk mencatatkan kesalahan tertinggi dengan 1,157 kes direkodkan dan disiasat mengikut Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Beliau berkata, bagi kesalahan memandu secara berbahaya pula, seramai 287 individu telah ditahan dan diambil tindakan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    “Sementara itu, kesalahan mempamerkan nombor plat pendaftaran palsu dan disyaki mengutip bayaran parkir kenderaan secara haram masing-masing mencatatkan empat dan lima kes,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas mengadakan operasi Op Motosikal dan Op Mabuk di sekitar ibu negara malam tadi.

    Zulkafli berkata, dalam Op Selamat tahun ini bermula 1 Jan hingga semalam, seramai 235 individu telah ditahan bagi pelbagai kesalahan trafik dengan tangkapan tertinggi juga membabitkan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol iaitu seramai 192 individu, manakala memandu secara berbahaya seramai 34 individu ditahan.

    Sementara itu, katanya, dalam operasi yang dilakukan malam tadi di tiga lokasi di sekitar Kuala Lumpur, sebanyak 189 saman dikeluarkan dengan tiga pemandu mabuk ditahan dan tujuh motosikal disita.

    Beliau berkata, dalam Op Selamat kali ini, JSPT Kuala Lumpur akan terus mempertingkatkan operasi dan fokus terhadap pemandu mabuk dan penunggang motosikal bagi menjaga keselamatan pengguna jalan raya terutama ketika musim perayaan. – BERNAMA

  • OKT mati dalam tahanan di lokap Balai Polis Marang

    OKT mati dalam tahanan di lokap Balai Polis Marang

    JABATAN Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman mengesahkan menerima satu laporan berhubung kematian mengejut, melibatkan seorang lelaki yang merupakan Orang Kena Tahan (OKT) di lokap Balai Polis Marang, Terengganu, hari ini.

    Pengarah JIPS, Datuk Azri Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan berkenaan pada 3 petang tadi.

    Beliau berkata, siasatan berkenaan dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan JIPS.

    “OKT yang berumur 38 tahun itu, ditahan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

    Azri berkata, OKT direman selama tiga hari bermula hari ini hingga 30 Jan di Mahkamah Majistret Marang, Terengganu. – BERNAMA

  • Pihak masjid, keluarga remaja dimandi seperti jenazah berdamai

    Pihak masjid, keluarga remaja dimandi seperti jenazah berdamai

    KES remaja yang videonya tular di media sosial kerana dimandikan seperti jenazah akibat mencuri tabung masjid, selesai selepas keluarga remaja itu Daniel Iskandar Mohd Nasir dan pihak pengurusan Masjid Al Islahiah, Kuang di Sungai Buloh memilih untuk berdamai.

    Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, setelah berbincang dengan semua pihak yang terlibat, mereka sepakat untuk saling bermaafan dan berdamai.

    “Mereka juga sepakat untuk tidak mengungkit lagi apa yang berlaku sebelum ini,” katanya kepada pemberita di Masjid Al Islahiah hari ini.

    Pada 17 Jan lepas, Mahkamah Tinggi Shah Alam mengetepikan hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 yang dijatuhkan oleh Mahkamah Majistret Selayang ke atas Daniel Iskandar, 19, serta menggantikannya dengan perintah menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam yang perlu dilaksana dalam tempoh enam bulan, ditumpukan dengan khidmat di masjid-masjid.

    Hakim Datuk Abd Halim Aman, yang menyemak keputusan Mahkamah Majistret, turut menyarankan agar pihak masjid yang merakam dan menularkan video Daniel Iskandar membuat permohonan maaf secara terbuka kepada remaja itu dan masyarakat umum demi menjernihkan keadaan.

    Datuk remaja itu, Rosli Sidek, 65, pula berkata dia bersyukur permasalahan yang timbul sebelum ini dapat diselesaikan secara baik dan cucunya kini banyak berubah ke arah positif.

    “Sebelum ini, Daniel ada meminta maaf dengan saya atas segala tingkah lakunya dan saya telah memaafkannya. Dia masih di bawah umur dan salah memilih kawan.

    “Daniel sekarang banyak berubah, dia insaf selepas apa yang berlaku. Saya tabah dan reda dengan segala dugaan Allah,” katanya dengan nada sebak.

    Wakil Masjid Al Islahiah yang juga Ketua Kampung Damai, Kuang Abdul Ghani Abdullah berkata pihaknya bersyukur perkara itu dapat diselesaikan secara baik.

    Turut hadir Timbalan Mufti Selangor Profesor Madya Dr Miszairi Sitiris dan peguam Muhammad Rafique Rashid Ali, yang mewakili remaja itu.

    Kisah Daniel Iskandar yang tular di media sosial apabila video berdurasi satu minit 25 saat memaparkan tindakan jemaah masjid memandikannya seperti jenazah serta dilumurkan dengan kapur barus kerana mencuri tabung masjid, mendapat perhatian umum.

    Pada 13 Jan lepas, Daniel Iskandar mengaku bersalah di Mahkamah Majistret atas pertuduhan cuba mencuri tabung Masjid Al Islahiah dengan mengheret dan menyorokkan tabung itu di dalam bilik mandi jenazah di masjid berkenaan pada 11.58 malam 8 Jan lepas. – BERNAMA

  • KPM komited realisasi pendekatan strategik bersama KBS

    KPM komited realisasi pendekatan strategik bersama KBS

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) komited melakukan terbaik bagi merealisasikan pelbagai pendekatan strategik yang dirancang bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam usaha melahirkan golongan belia cemerlang termasuk memajukan sukan negara.

    Menerusi satu hantaran di Facebook, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin memaklumkan telah menerima kunjungan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bagi membincangkan perkara berkaitan pembangunan belia dan sukan melibatkan murid serta guru di bawah KPM.

    “Dalam pertemuan tadi, kami bincangkan tentang usaha dan pendekatan untuk memupuk budaya sukan dalam kalangan murid dan juga kaedah mengoptimumkan penggunaan fasiliti sukan KPM dan KBS.

    “Selain itu, pembangunan bakat sukan daripada peringkat awal anak-anak sememangnya menjadi tumpuan KPM-KBS. Kini, Program Pembangunan dan Pencarian Bakat (MyTID) KPM-KBS antara yang sedang diusahakan,” kata Radzi menerusi hantaran itu, hari ini.

    Beliau berkata, aspek pembangunan belia perlu diberi perhatian bagi melahirkan generasi pemimpin negara yang berwibawa.

    “Semoga usaha KPM-KBS melalui pelbagai pendekatan strategik dapat melahirkan belia yang cemerlang serta memajukan sukan dapat direalisasikan sepertimana dirancang,” katanya. – BERNAMA

  • Hanya pucuk pimpinan putuskan kerjasama BN dengan Bersatu, PAS

    Hanya pucuk pimpinan putuskan kerjasama BN dengan Bersatu, PAS

    KEPUTUSAN Barisan Nasional (BN) untuk bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan PAS dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, hanya akan diputuskan oleh pucuk pimpinan parti di peringkat pusat.

    Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata, semua anggota parti akan patuh terhadap segala keputusan dasar, yang dimuktamadkan oleh pucuk pimpinan.

    “Seperti yang kita tahu, perkara dasar perlu diputuskan oleh pimpinan parti dan kita sebagai anggota parti akan mematuhi apa yang diputuskan oleh parti.

    “Di peringkat UMNO, beberapa keputusan dasar telah dibuat dan diputuskan oleh majlis tertinggi dan juga Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor. Jadi jentera semua akan mengikut satu ‘command’ secara ‘united front’ berasaskan keputusan yang dibuat pucuk pimpinan parti,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Pasca Banjir di Dewan Komuniti Ayer Hitam di Batu Pahat hari ini.

    Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, berkata demikian ketika ditanya mengenai kemungkinan BN akan bekerjasama dengan Bersatu dan PAS untuk PRN Johor.

    Semalam, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata PN kini dalam peringkat akhir untuk menentukan kerusi yang akan dipertandingkan pada PRN Johor.

    Isnin lepas, Pesuruhjaya PAS Johor, Abdullah Husin dilaporkan akan berusaha untuk bertemu dengan pimpinan UMNO negeri dalam masa terdekat, bagi berbincang mengenai persefahaman dua parti itu dalam menghadapi PRN Johor atas semangat Muafakat Nasional (MN).

    Rabu lalu, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata kerjasama politik antara BN dan PAS dalam PRN Johor, akan dikaji dengan penuh penelitian. – BERNAMA

  • 4 sekeluarga maut Vellfire dirempuh Navara langgar lampu merah

    4 sekeluarga maut Vellfire dirempuh Navara langgar lampu merah

    KEGEMBIRAAN lima beranak untuk menghadiri kenduri kahwin berakhir tragedi selepas empat daripada mereka maut apabila kenderaan dinaiki dirempuh sebuah pacuan empat roda yang dipercayai melanggar lampu merah di Kilometer 2 Jalan Lebu-Mempaga, Bentong hari ini.

    Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Supt Kamarulzaman Jusoh berkata, kejadian pada 3.10 petang itu menyebabkan semua mangsa yang menaiki Toyota Vellfire maut di tempat kejadian.

    Mereka ialah suri rumah, Raihan Mohamad, 43, yang duduk di bahagian penumpang hadapan dan tiga anaknya, Ahda Dalili Mohd Nazri, 14; Ahmad Muaz, tujuh tahun; dan Ahda Imtinan, empat tahun manakala suami Raihan, Mohd Nazri Hamid, 43, seorang guru cedera di tangan kiri.

    “Mereka dipercayai dalam perjalanan dari rumah di Kuarters Guru Felda Aring 1 di Gua Musang, Kelantan menuju ke Kuala Lumpur dan apabila sampai di tempat kejadian, kenderaan mangsa dipercayai telah membelok masuk ke simpang kanan selepas lampu isyarat bertukar hijau.

    “Bagaimanapun, sebuah kenderaan pacuan empat roda Nissan Navara yang dipercayai melanggar lampu isyarat merah tiba-tiba datang dari arah hadapan lalu merempuh kenderaan mangsa, menyebabkan Toyota Vellfire itu berpusing dan melanggar besi pembahagi jalan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Kamarulzaman berkata, impak kemalangan menyebabkan kenderaan mangsa remuk teruk di bahagian hadapan dan sebelah kiri manakala pacuan empat roda itu rosak di bahagian hadapan.

    Pemandu Nissan Navara yang berusia 43 tahun dari Karak, Bentong pula cedera di kepala dan dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) di Temerloh untuk rawatan.

    Ujian awal saringan air kencingnya di Hospital Bentong mendapati dia positif dadah.

    Mayat mangsa dibawa ke Hospital Bentong untuk bedah siasat selepas keputusan ujian saringan COVID-19 diperolehi dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA

  • Vaksinasi dos penggalak secara jumpa terus mulai esok

    Vaksinasi dos penggalak secara jumpa terus mulai esok

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) menawarkan perkhidmatan vaksinasi dos penggalak COVID-19 secara jumpa terus kepada golongan berusia 18 tahun ke atas, di semua pusat pemberian vaksin (PPV) seluruh negara mulai esok.

    Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, bagi PPV pengamal perubatan swasta (GP) pula, individu dimohon menghubungi klinik swasta terlibat bagi menentukan masa yang sesuai, untuk mendapatkan janji temu vaksinasi dos penggalak itu.

    “Ini bagi mengelakkan kesesakan dan memastikan prosedur operasi standard (SOP) dapat dipatuhi pada setiap masa, kerana mengambil kira ruang yang terhad di klinik swasta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Khairy berkata, individu yang ingin hadir secara jumpa terus, perlu mempunyai sijil vaksinasi digital lengkap dalam aplikasi MySejahtera, bagi melancarkan proses vaksinasi.

    “Namun, bagi mereka yang tidak mempunyai sijil vaksinasi digital kerana tiada telefon pintar, maka dikehendaki membawa kad vaksinasi fizikal ke PPV,” katanya sambil menambah jenis vaksin diberikan adalah terhad kepada bekalan yang ada di setiap PPV.

    Beliau berkata senarai PPV GP serta ‘Offsite’ boleh disemak melalui laman sesawang ‘ProtectHealth’ iaitu www.protecthealth.com.my dan akan dikemas kini dari semasa ke semasa.

    “KKM menjangkakan mobiliti penduduk di dalam negara akan meningkat dan lebih banyak aktiviti sosial atau perkumpulan keluarga akan berlaku, memandangkan sambutan perayaan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.

    “Sehubungan itu, KKM amat mengalakkan semua penduduk di Malaysia yang layak, untuk mendapatkan dos penggalak dengan segera bagi melindungi diri, keluarga dan komuniti,” tambahnya.

    Sehingga semalam, seramai 11,531,403 atau 49.3 peratus penduduk Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas, telah menerima dos penggalak vaksin COVID-19.

    Sementara itu, ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) dalam satu kenyataan menyatakan kesemua PPV yang dioperasikan oleh GP dan NGO di bawah ProtectHealth akan melaksanakan vaksinasi secara jumpa terus di seluruh negara.

    “Individu yang ingin mendapatkan vaksinasi secara jumpa terus, perlu memastikan bahawa sijil vaksinasi digital mereka di MySejahtera adalah lengkap.

    “Mereka dengan janji temu menerusi MySejahtera akan diberikan keutamaan dan pemberian dos penggalak akan diberikan atas dasar secara siapa cepat dia dapat dahulu,” menurut kenyataan itu.

    Kenyataan ProtectHealth juga menyatakan bahawa orang ramai akan terus mendapat janji temu menerusi aplkasi MySejahtera kerana janji temu vaksinasi masih lagi berterusan dan disahkan. – BERNAMA

  • PRN Johor: Bersatu Pahang bantu parti tambah kerusi

    PRN Johor: Bersatu Pahang bantu parti tambah kerusi

    BERSATU Pahang bersedia untuk membantu parti itu memenangi lebih banyak kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.

    Ketua Badan Pimpinan Bersatu Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, perkara itu telah diputuskan setelah pihaknya bermesyuarat pada 22 Jan lepas, disusuli dengan satu lagi mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Kebangsaan yang diadakan tiga hari kemudiannya.

    Menteri Luar itu berkata, kesemua 14 bahagian Bersatu di Pahang hanya menunggu arahan untuk ke Johor, dengan disertai sayap Armada, Srikandi dan sayap bersekutu dalam misi mempertahankan kerusi dan menambah kerusi untuk dimenangi.

    “Kita bukan sahaja akan berusaha keras, tetapi pilihan raya kali ini dianggap luar biasa penting kerana Pengerusi Bersatu Johor ialah Presiden Bersatu sendiri iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin. Sudah semestinya kita perlu menunjukkan prestasi yang baik iaitu lebih baik berbanding pilihan raya di Melaka,” katanya.

    Ahli Parlimen Indera Mahkota itu berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan dan mengedarkan angpau kepada warga emas di Pusat Gabungan Persatuan Tiong Hua sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Jalan Bukit Ubi di Kuantan hari ini.

    Sabtu lepas, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Johor untuk memberi laluan kepada PRN Johor.

    Kerajaan Negeri Johor sebelum ini diterajui Barisan Nasional (BN) dengan 28 kerusi merangkumi UMNO (14 kerusi) dan MIC (dua) serta disokong Bersatu (11) dan PAS (satu) manakala Pakatan Harapan dengan 27 kerusi iaitu DAP (14), PKR (tujuh) dan Amanah (enam). – BERNAMA