Author: Bernama

  • Wanita kena ‘scam’ bayar lebih RM100,000 beli 3 komputer riba

    Wanita kena ‘scam’ bayar lebih RM100,000 beli 3 komputer riba

    HASRAT  seorang wanita mahu membeli tiga komputer riba bukan sahaja tidak kesampaian, malah dia turut mendakwa kerugian RM109,200 yang dibayar kepada penjual melalui urusan secara dalam talian.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa yang berusia 32 tahun mendakwa telah berurusan dengan seorang lelaki menerusi nombor talian WhatsApp selepas melihat iklan penjualan barangan itu di laman sosial Instagram pada pertengahan Jan lepas.

    “Mangsa tertarik untuk mendapatkan komputer riba itu dan telah memasukkan wang deposit sebagai tanda persetujuan sebelum diarahkan untuk memindahkan lebih banyak wang secara dalam talian ke lima akaun berbeza yang diberikan suspek atas pelbagai alasan.

    “Antara alasan yang digunakan ialah kos penghantaran, urusan mengaktifkan kad jaminan, cukai kastam dan untuk melayakkan mangsa menyertai cabutan bertuah yang akhirnya tanpa sedar, mangsa telah membuat bayaran sebanyak 15 kali sehingga berjumlah RM109,200,” katanya menerusi kenyataan di Kuantan.

    Wazir berkata, mangsa mula berasa curiga kerana belum menerima komputer riba itu selepas hampir dua minggu berurusan, selain tindakan suspek yang semakin kerap menghubunginya bagi meminta lebih banyak wang sejak beberapa hari lepas.

    Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini semalam, dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. – BERNAMA

  • PKRC MAEPS 2.0 ditutup secara rasmi 8 Feb ini

    PKRC MAEPS 2.0 ditutup secara rasmi 8 Feb ini

    SETELAH 14 bulan memberikan khidmatnya, Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Bersepadu Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) 2.0 di Serdang, akan ditutup secara rasmi pada 8 Feb ini.

    Difahamkan kumpulan pesakit COVID-19 terakhir yang menerima rawatan di PKRC itu sudah dibenarkan keluar semalam.

    Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata PKRC MAEPS 2.0 ditutup setelah didapati ia tidak lagi ekonomik dengan mengambil kira kos operasi dan jumlah pesakit yang semakin berkurang.

    “Kami hanya tutup PKRC Bersepadu MAEPS 2.0, bukan semua PKRC. Kami komited memastikan sekurang-kurangnya ada satu PKRC beroperasi di setiap negeri. Kami akan bantu Kementerian Kesihatan (KKM) sepertimana yang mereka perlukan,” katanya kepada Bernama hari ini.

    NADMA adalah agensi yang bertanggungjawab terhadap pengurusan PKRC di seluruh negara.

    Menurutnya pada masa ini terdapat 51 PKRC beroperasi di seluruh negara dengan kapasiti keseluruhan 16,863 katil dan 4,061 pesakit sedang dirawat di PKRC berkenaan.

    Aminuddin berkata cadangan menutup PKRC MAEPS 2.0 itu telah dibentangkan dan dipersetujui Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.

    MAEPS diaktifkan sebagai PKRC pada 16 April 2020, dengan pengambilan pesakit COVID-19 di pusat berkenaan hanya membabitkan pesakit bukan warganegara bagi kategori satu (tanpa gejala) serta kategori dua (gejala ringan), dan kemudian ditutup pada 15 Julai tahun yang sama.

    Pada 9 Dis 2020, kerajaan memutuskan untuk mengaktifkan semula MAEPS sebagai PKRC susulan peningkatan kes COVID-19.

    Pada 24 Jan tahun lepas ia dinaik taraf kepada PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 setelah mula menerima pesakit kategori tiga (radang paru-paru) dan empat (bantuan pernafasan) dengan skala yang sederhana.

    Dalam tempoh 14 bulan itu, kira-kira 166,072 pesakit COVID-19 ditempatkan di PKRC MAEPS 2.0 yang terdiri daripada pesakit kategori satu hingga empat.

    Sementara itu, Aminuddin berkata berikutan penutupan PKRC MAEPS 2.0, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Selangor dan JPBN Wilayah Persekutuan bersetuju untuk membuka PKRC negeri yang lebih kos efektif sebagai alternatif.

    Menurutnya pesakit  kategori tiga hingga lima akan dimasukkan ke Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN), Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Rehabilitasi Cheras bagi kes-kes geriatric serta hospital lain sekitar Lembah Klang.

    Kebanyakan pesakit dalam kategori satu dan dua pula menjalani kuarantin kendiri di kediaman masing-masing, katanya.

    — BERNAMA

  • Polis lumpuh sindiket guna lori tiga tan simpan, edar dadah

    Polis lumpuh sindiket guna lori tiga tan simpan, edar dadah

    POLIS melumpuhkan satu sindiket pengedaran dadah yang menjadikan sebuah lori tiga tan sebagai tempat penyimpanan dan merampas syabu seberat 141 kilogram (kg) dianggar bernilai kira-kira RM5.08 juta pada 27 Jan lepas.

    Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Yahaya Othman berkata rampasan itu susulan penahanan seorang lelaki warga Singapura disyaki dalang selain seorang wanita warga Vietnam dan empat lelaki tempatan dalam tiga serbuan di sekitar Lembah Klang. 

    Beliau berkata penahanan kesemua suspek berumur lingkungan 20 hingga 42 tahun membawa kepada penemuan lori terbabit yang diletakkan di sebuah kawasan perumahan di Selangor. 

    “Sindiket berkenaan didapati bergerak aktif sejak sebulan lepas dengan modus operandi mereka berhubung sesama sendiri dan menjadikan tiga hotel berasingan sekitar ibu kota sebagai tempat persembunyian,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur hari ini.

    Mengulas lanjut, Yahaya berkata kedua-dua warga asing didapati  memasuki negara menggunakan pas lawatan sosial selain dibantu empat warga tempatan dalam sindiket itu.

    Beliau berkata polis turut menemukan 0.7 gram dadah jenis heroin dan empat pil erimin 5 dalam serbuan terbabit. 

    Katanya siasatan lanjut mendapati selain dijadikan tempat menyimpan dadah, lori itu digerakkan bagi tujuan pengedaran dadah kepada pembekal lain di sekitar Lembah Klang. 

    Yahaya berkata polis masih mengesan penglibatan pihak yang menyediakan perkhidmatan lori terbabit kepada sindiket. 

    “Kesemua tangkapan yang mempunyai rekod jenayah lampau direman tujuh hari dan disiasat di bawah Sekyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

    — BERNAMA

  • Negeri di Pantai Barat Semenanjung antara lokasi diramal berlaku puting beliung 

    Negeri di Pantai Barat Semenanjung antara lokasi diramal berlaku puting beliung 

    BEBERAPA lokasi di negeri Pantai Barat Semenanjung serta Sabah dan Sarawak adalah diramalkan untuk terjadinya fenomena puting beliung seperti yang berlaku di Perak semalam.

    Pengarah Kanan Pusat Instrumentasi Meteorologi dan Sains Atmosfera Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Ambun Dindang berkata negeri tersebut turut melibatkan Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan.

    “Kita dapati kebanyakan (puting beliung) berlaku di sebelah negeri-negeri di Pantai Barat Semenanjung, dan tidak lupa juga di Sabah dan Sarawak, yang juga pernah melaporkan kejadian seumpama itu.

    “Kebanyakan (yang akan berlaku) di kawasan di persisiran pantai seperti Bintulu, Miri dan Perairan Labuan dan Pantai Barat Sabah. Itu kawasan yang sudah melaporkan kejadian puting beliung dan kawasan ini akan sentiasa berlaku, bila keadaan cuaca sesuai (kehadiran awan kumulonimbus),” katanya ketika dihubungi Bernama.

    Semalam, ratusan rumah mengalami kerosakan akibat angin ribut dan puting beliung di beberapa kawasan di Ipoh, Perak. 

    Ambun berkata, faktor berlakunya kejadian ini disebabkan oleh kehadiran awan kumulonimbus yang besar menyebabkan perolakan yang kuat dalam awan tersebut, seterusnya membentuk corong awan di dasar awan tersebut.

    Ambun berkata amat sukar untuk MetMalaysia meramal kejadian puting beliung di Malaysia kerana ia berlaku pada skala yang kecil dengan jangka hayat yang pendek.

    “Puting beliung sebesar ini dia sekejap sahaja, paling lama pun sejam dia berlaku. Jadi tempoh untuk memantau kejadian ini agak singkat, sebab itu dia agak sukar untuk diramal, tapi kita melihat pembentukan awan kumulonimbus dengan menggunakan imej radar kita yang ada di seluruh Malaysia” katanya.

    Ambun berkata antara tanda awal akan berlakunya puting beliung ialah pembentukan awan yang besar dan dasar awan yang gelap serta corong awan yang menjulur ke bawah.

    Beliau turut menasihati orang ramai untuk sentiasa berwaspada sekiranya berlaku puting beliung, selain elakkan mendekati kawasan tersebut dan mencari perlindungan di tempat selamat.

    — BERNAMA 

  • Bapa Azizulhasni meninggal dunia akibat strok

    Bapa Azizulhasni meninggal dunia akibat strok

    JAGUH  berbasikal trek kebangsaan, Datuk Mohd Azizulhasni Awang menerima perkhabaran duka apabila bapanya, Awang Embong, 72, meninggal dunia akibat strok awal pagi tadi.

    Abang ipar Azizulhasni, Mohd Razman Mohamad, 37, memaklumkan Allahyarham Awang menghembuskan nafas terakhir pada pukul 2 pagi di kediamannya di Dungun, Terengganu.

    Mohd Razman berkata Allahyarham baru-baru ini dimasukkan ke sebuah hospital swasta di Kuala Terengganu untuk menerima rawatan selama empat hari sebelum dibenarkan pulang petang semalam.

    “Doktor benarkan arwah pulang dalam keadaan baik, dan kelihatan ceria sebelum meninggal dunia, kami sekeluarga amat terkejut dengan pemergian Allahyarham, namun harus redha dengan ketentuan ilahi,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Mohd Razman berkata solat jenazah akan diladakan selepas solat Zohor di Surau Ustaz Omar Shukri sebelum jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Syed Yahya, Dungun.

    Sementara itu Mohd Razman memberitahu Azizulhasni, yang sedang menjalani latihan di Melbourne, Australia, sempat menghubunginya pukul 5 pagi tadi untuk mendapatkan perkembangan mengenai situasi melanda keluarganya ketika ini.

    “Azizulhasni sememangnya sedih dengan pemergian bapanya dan meminta kami sekeluarga untuk menguruskan segala keperluan,” katanya.

    Sementara itu Majlis Sukan Negara (MSN) dalam satu hantaran di laman Facebook dan Twitter mendoakan kesejahteraan Allahyarham.

    “Ya Allah! Ampunilah Allahyarham, berilah dia rahmat-mu, kesejahteraan, serta maafkanlah kesalahannya..Al-Fatihah,” menurut hantaran itu.

    Sementara itu Azizulhasni dalam cacatan di laman Facebook beliau, mendoakan agar roh arwah bapanya ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.

    “Semoga ayah diampunkan segala dosanya, diterima segala amal ibadatnya dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman.

    “Ya Allah! Ampunilah almarhum (Awang Embong), berilah dia rahmatmu, kesejahteraan, serta maafkanlah kesalahannya,” katanya.

    — BERNAMA

  • Tiada makan besar buat mangsa ribut,puting beliung di Ipoh

    Tiada makan besar buat mangsa ribut,puting beliung di Ipoh

    MASYARAKAT Tionghoa semestinya mengadakan jamuan makan besar sempena perayaan Tahun Baharu Cina hari ini namun bagi mangsa ribut dan puting beliung di beberapa kawasan di Ipoh, tiada acara itu buat mereka tahun ini.

    Tradisi yang kaya dengan nilai simboliknya itu terpaksa dilupakan mereka memandangkan rumah masing-masing rosak teruk malah ada bumbung diterbangkan angin kuat dalam kejadian kira-kira 6 petang semalam.

    Lebih menyedihkan apabila ada antara mereka terpaksa berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Tawas di Ipoh manakala sebahagiannya menumpang di rumah saudara-mara.

    Ten Chee Kin, 45, yang bekerja di Kuala Lumpur berkata beliau pulang ke rumahnya di Kampung Tawas untuk menyambut perayaan itu namun kini tiada semangat untuk meraikannya.

    “Bumbung sudah habis rosak dan banyak perlu dibaiki, jadi saya tidak mahu sambut Tahun Baharu Cina atau makan besar tetapi hanya mahu melihat rumah sahaja,” katanya yang ditemui di PPS berkenaan hari ini.

    Lee Cheng Man, 23, pula berkata beliau dan ibunya, Cheah Kim, 58, berteduh di sebuah gereja berhampiran sementara menunggu rumah mereka yang sudah didiami selama 20 tahun selesai dibaik pulih.

    “Tiada makan besar hari ini malah semua perancangan sempena Tahun Baharu Cina telah musnah kerana sepatutnya rumah ini menjadi tempat berkumpul bersama saudara-mara seperti biasa sebelum ini.

    “Yang penting, nyawa saya dan ibu selamat kerana ketika kejadian satu bumbung pun sudah tiada dan papan rumah juga musnah,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Tawas di sini hari ini.

    Pelajar Universiti Malaysia Perlis itu berkata pelbagai peralatan termasuk komputer miliknya turut rosak namun dia reda dengan kejadian itu yang disifatkan sebagai malang tidak berbau kerana berlaku secara tiba-tiba.

    Sebanyak 219 rumah di beberapa kawasan iaitu Taman Desa Seri Chepor, Kampung Tawas, Taman Tasek Damai dan Kampung Seri Klebang Tambahan Jaya di sini didapati terkesan dengan kejadian ribut dan puting beliung itu.

    Selain kerosakan rumah penduduk dan tiang elektrik, kejadian turut menyebakan beberapa pokok tumbang namun tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan.

    Kejadian menyebabkan penduduk Kampung Tawas yang kebanyakannya terdiri daripada masyarakat Tionghoa menzahirkan rasa sedih kerana akan menyambut tahun baharu esok.

    — BERNAMA

  • Bekas Pengerusi Bernama Abdul Rahman Sulaiman meninggal dunia

    Bekas Pengerusi Bernama Abdul Rahman Sulaiman meninggal dunia

    BEKAS Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Tan Sri Abdul Rahman Sulaiman meninggal dunia di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Cheras hari ini.

    Pengerusi Bernama yang ke-10 itu meninggal dunia kira-kira pukul 4 petang akibat serangan jantung pada usia 75 tahun.

    Berita pemergian Abdul Rahman dimaklumkan oleh anak perempuan Allahyarham, Diana Sulamazra kepada Bernama, hari ini.

    Allahyarham meninggalkan seorang isteri Puan Sri Maznah Adam dan tiga orang anak.

    Abdul Rahman yang merupakan anak kelahiran Parit Buntar, Perak, memulakan kerjaya sebagai wartawan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada tahun 1966, sebelum menyertai Bernama selaku Wartawan Kanan pada 1971.

    Antara tahun 1971 hingga 1995, beliau pernah menjadi Ketua Biro Johor, koresponden bagi Thailand dan Indo-China, Ketua Penyunting, Ketua Pengarang Berita, Pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri, Editor Eksekutif Perkhidmatan Berita Am serta Ketua Pengarang Bernama.

    Beliau memilih bersara awal bagi bertanding Pilihan Raya Umum (PRU) Kesembilan pada April 1995 di kawasan Parlimen Parit Buntar sebagai calon Barisan Nasional (BN) dan memenangi kerusi berkenaan.

    Abdul Rahman dilantik sebagai Pengerusi Bernama ke-10 dari 1 Feb 2010 hingga 31 Jan 2014, sebelum dilantik semula ke jawatan tersebut hingga 31 Jan 2016. – BERNAMA

  • ADUN UMNO nafi tarik sokongan terhadap kerajaan negeri Kedah

    ADUN UMNO nafi tarik sokongan terhadap kerajaan negeri Kedah

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu daripada UMNO, Datuk Norsabrina Mohd Noor menafikan dakwaan bahawa beliau dan seorang lagi ADUN parti itu akan menarik sokongan terhadap Kerajaan Negeri Kedah seperti yang tular di media sosial sejak semalam.

    Norsabrina berkata, beliau tidak pernah memperkata atau membincangkan perkara itu dengan mana-mana pihak sebaliknya ingin fokus kepada tanggungjawab sebagai wakil rakyat untuk membangunkan Kedah.

    “Saya ada terima mesej (tangkap layar) itu sebab orang tanya saya mengenainya, memang tidak ada dibincangkan atau diperkata, tidak ada langsung tajuk itu. Dua ADUN UMNO (yang dirujuk) itu kamilah tapi tidak ada apa (tindakan menarik sokongan).

    “(Saya) buat kerja macam biasa, hubungan (dengan kerajaaan negeri) macam biasa, fikir pasal Kedah sahaja. Tingkatkan prestasi, jangan cari kontroversi,” katanya ketika ditemui pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman antara KXP Airport Holdings dan POS Aviation serta KLIA College di Alor Setar hari ini.

    Beliau diminta mengulas tangkap layar yang mendakwa dua ADUN UMNO dan dua ADUN Bebas di Kedah akan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri serta menyebabkan berlaku pilihan raya negeri.

    Tangkap layar di laman Facebook seorang pengguna media sosial itu dipercayai tular sejak semalam namun carian di akaun pengguna terbabit tidak menemukan status tersebut.

    Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pula menyifatkan dakwaan itu sebagai khabar angin dan menegaskan situasi di Kedah adalah aman.

    “Setakat ini semua ok, tak ada isu, kita aman. Kita pun tak buat benda-benda orang marah, saya harap begitulah. Jangan buat benda orang marah, kalau ada apa-apa bincang, berunding, tak ada masalah, bila-bila masa di mana sahaja,” katanya.

    Kerajaan Negeri Kedah di bawah Perikatan Nasional yang diterajui PAS kini memiliki 23 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri dengan sebahagian besar dimiliki PAS (15) diikuti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (6) dan UMNO (2).

    Pakatan Harapan pula memiliki 11 kerusi iaitu PKR (5), Parti Amanah Negara (4) dan DAP (2) manakala dua lagi kerusi dimiliki oleh Parti Pejuang Tanah Air. – BERNAMA

  • Lelaki mati dalam tahanan polis dipercayai sakit mental

    Lelaki mati dalam tahanan polis dipercayai sakit mental

    UNIT Siasatan Jenayah Kematian Dalam Tahanan (USJKT) Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman akan menjalankan siasatan berkaitan kes seorang lelaki yang meninggal dunia ketika dalam tahanan polis di Kuala Kangsar, Perak.

    Pengarah JIPS Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad berkata, lelaki berusia 38 tahun itu dipercayai pesakit mental yang mengamuk dan menyerang bapanya di sebuah rumah di Kampung Temong Hilir, Kuala Kangsar pada 7 malam, semalam.

    “Polis yang tiba di lokasi kejadian mendapati suspek dalam keadaan agresif dan sedang bergelut sebelum ditahan empat lelaki termasuk bapanya.

    “Suspek kemudiannya ditahan dan dibawa ke Hospital Kuala Kangsar untuk menerima rawatan. Lelaki itu bagaimanapun tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Azri berkata, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sehingga laporan bedah siasat diperoleh. – BERNAMA

  • ESSCOM sahkan pembuat bom Abu Sayyaf masih hidup

    ESSCOM sahkan pembuat bom Abu Sayyaf masih hidup

    PEMBUAT bom yang juga sub ketua kumpulan Abu Sayyaf, Mudzrimar atau Mundi Sawadjaan yang dilaporkan ditembak mati Mei lepas di Filipina, disahkan masih hidup.

    Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom), DCP Hamzah Ahmad berkata, status Mudzrimar yang dikehendaki di ESSCom, disahkan hasil perkongsian maklumat daripada pasukan keselamatan Filipina melibatkan Joint Task Force Sulu (JTFS) serta Western Mindanao Command (J2 WESTMINCOM).

    “Mudzrimar atau Mundi Sawadjaan disahkan masih hidup susulan beberapa siri pertempuran dan pertembungan pihak pasukan keselamatan Filipina dengan suspek sejak Julai 2021,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Hamzah berkata, susulan itu, Mudzrimar yang dikeluarkan dalam senarai individu dikehendaki ESSCom pada tahun lalu kini disenaraikan semula sebagai suspek dikehendaki membabitkan kes penculikan untuk wang tebusan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

    Muzdrimar juga merupakan anak saudara kepada pemimpin kanan Abu Sayyaf iaitu Hatib Hajan Sawadjaan, dan selain itu mempunyai kepakaran membuat bom serta perancang letupan bagi beberapa insiden di Jolo, Filipina pada tahun 2020, termasuk insiden letupan bom di ‘The Our Lady Of Mount Carmel Cathedral Jolo’.

    Baru-baru ini tercetus persoalan berikutan kenyataan ESSCom menyenaraikan semula Mudzrimar antara 20 suspek warga Filipina dikehendaki terkini sedangkan dia dilaporkan telah ditembak mati. – BERNAMA