BEKAS Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Tan Sri Abdul Rahman Sulaiman meninggal dunia di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Cheras hari ini.

Pengerusi Bernama yang ke-10 itu meninggal dunia kira-kira pukul 4 petang akibat serangan jantung pada usia 75 tahun.

Berita pemergian Abdul Rahman dimaklumkan oleh anak perempuan Allahyarham, Diana Sulamazra kepada Bernama, hari ini.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri Puan Sri Maznah Adam dan tiga orang anak.

Abdul Rahman yang merupakan anak kelahiran Parit Buntar, Perak, memulakan kerjaya sebagai wartawan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada tahun 1966, sebelum menyertai Bernama selaku Wartawan Kanan pada 1971.

Antara tahun 1971 hingga 1995, beliau pernah menjadi Ketua Biro Johor, koresponden bagi Thailand dan Indo-China, Ketua Penyunting, Ketua Pengarang Berita, Pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri, Editor Eksekutif Perkhidmatan Berita Am serta Ketua Pengarang Bernama.

Beliau memilih bersara awal bagi bertanding Pilihan Raya Umum (PRU) Kesembilan pada April 1995 di kawasan Parlimen Parit Buntar sebagai calon Barisan Nasional (BN) dan memenangi kerusi berkenaan.

Abdul Rahman dilantik sebagai Pengerusi Bernama ke-10 dari 1 Feb 2010 hingga 31 Jan 2014, sebelum dilantik semula ke jawatan tersebut hingga 31 Jan 2016. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here