Author: Bernama

  • Misi kemanusiaan bukan untuk iktiraf kerajaan Afghanistan – Saifuddin

    Misi kemanusiaan bukan untuk iktiraf kerajaan Afghanistan – Saifuddin

    MISI kemanusiaan ke Kabul, Afghanistan bukan untuk mengiktiraf kerajaan di sana tetapi hanya untuk memastikan rakyat di negara itu dibantu, kata Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

    “Kita memantau perkembangannya dengan rapat, ada parameter ditetapkan oleh Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan juga Kerajaan Malaysia sebelum kita mengiktiraf kerajaan Afghanistan.

    “Tetapi sementara kerajaan itu belum diiktiraf, rakyatnya menderita dan perlu dibantu, itulah yang sedang kita lakukan,” katanya pada sidang media misi bantuan kemanusiaan Malaysia untuk Afghanistan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) di Subang hari ini.

    Misi yang berlepas hari ini terdiri daripada 12 anggota delegasi termasuk media itu akan berhenti di Hyderabad dan Islamabad bagi tujuan pengisian minyak serta logistik dan dijangka memasuki Kabul pada 23 Feb dan akan keluar setelah bantuan selesai disampaikan.

    Misi bantuan kemanusiaan itu melibatkan sumbangan seberat lima tan meliputi pakaian musim sejuk, jaket, selimut dan susu tepung dan keperluan asas lain akan dihantar kepada rakyat dan kanak-kanak Afghanistan yang memerlukan, bernilai lebih RM1 juta selain bantuan berbentuk kepakaran dalam membantu membina dan membangun semula negara itu.

    Sebelum ini, Afghanistan berada dalam keadaan bergolak apabila tentera Taliban menumbangkan kerajaan Mohammad Ashraf Gani pada pertengahan Ogos lepas susulan pengunduran tentera Amerika Syarikat dari negara itu selepas 20 tahun mendudukinya. – BERNAMA

  • PRN Johor: SPR mula jual daftar pemilih pilihan raya

    PRN Johor: SPR mula jual daftar pemilih pilihan raya

    SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) mengumumkan Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor telah mula dijual di Ibu Pejabat SPR Putrajaya atau di Pejabat Pilihan Raya Negeri Johor mulai semalam.

    Menurut SPR dalam kenyataan hari ini, menerusi peruntukan di bawah Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002, suruhanjaya itu dibenarkan menjual daftar pemilih termasuk Daftar Pemilih Tambahan Bulan Disember Tahun 2021 (DPT BLN12/2021) dan Daftar Pemilih Induk 2021 (DPI 2021) secara salinan cetak dan softcopy.

    “Daftar pemilih softcopy boleh didapatkan dalam dua format berbeza iaitu Portable Document Format (PDF) atau format Microsoft Access Database (MDB) dengan kadar harga yang telah ditetapkan dan boleh dibeli melalui Ibu Pejabat SPR di Putrajaya atau di semua Pejabat PRN,” menurut kenyataan itu.

    Katanya, SPR sentiasa komited dalam melaksanakan tanggungjawab serta fungsi-fungsinya termasuk urusan penyediaan daftar pemilih yang kini diperakukan dan diwartakan secara bulanan.

    Menurut SPR, DPT BLN12/2021 telah diwartakan pada 14 Jan, manakala DPI 2021 diwartakan pada 17 Jan lepas juga boleh disemak melalui beberapa kaedah termasuk di portal rasmi SPR di https://www.spr.gov.my; aplikasi dalam talian di https://mysprsemak.spr.gov.my; aplikasi mudah alih MySPR Semak dan portal rasmi pejabat-pejabat PRN di laman http://ppn.spr.gov.my.

    “Di samping itu, SPR juga menyediakan kemudahan semakan dalam talian di https://myspr.spr.gov.my, bagi pemilih berdaftar yang mempunyai akaun MySPR (sebelum ini dinamakan MySPR Daftar) selain menyemak senarai nama pemilih dalam DPT BLN12/2021 bagi bahagian pilihan rayanya,” menurut SPR.

    SPR menegaskan bahawa pelaksanaan pendaftaran pemilih secara automatik bagi warganegara Malaysia yang telah mencapai umur 18 tahun dan ke atas adalah berdasarkan maklumat warganegara diterima daripada Jabatan Pendaftaran Negara.

    SPR menasihatkan semua bakal pengundi PRN Johor supaya membuat semakan maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan mereka mulai semalam di pautan berkenaan atau hubungi 03-88927018 atau melalui aplikasi MySPR Semak. – BERNAMA

  • Pelanggan tikam mati tauke kedai motosikal sebab tak puas hati

    Pelanggan tikam mati tauke kedai motosikal sebab tak puas hati

    SEORANG pemilik kedai motosikal maut dipercayai ditikam dengan sebilah pisau oleh seorang lelaki di premis itu yang terletak di Titi Serong, Tanjung Piandang petang semalam.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Anuar Othman berkata, suspek berusia 52 tahun itu kemudian menyerah diri di Balai Polis Simpang Lima selepas kejadian pada kira-kira pukul 2.45 petang.

    Katanya, suspek membuat pengakuan bahawa dia telah menikam mangsa yang dikenali sebagai Tan Hee Song, 43, di kedai berkenaan.

    “Soal siasat awal mendapati punca kejadian berlaku kerana tangkapan tidak berpuas hati ke atas mangsa dan menuduh mangsa telah menukar beberapa komponen motosikal miliknya pada tiga minggu lepas,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

    Beliau berkata, mangsa telah disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Parit Buntar dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – BERNAMA

  • Hishammuddin Hussein disahkan positif COVID-19

    Hishammuddin Hussein disahkan positif COVID-19

    MENTERI Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein disahkan positif COVID-19.

    Pejabat Menteri Kanan Pertahanan dalam kenyataan hari ini memaklumkan, Hishammuddin yang telah menerima dos penggalak kini sedang menjalani tempoh kuarantin yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

    “Beliau sememangnya menjalani ujian pengesanan COVID-19 jenis RT-PCR secara berkala selain turut kerap melakukan ujian pengesanan secara kendiri (self-test) melalui kaedah RTK Antigen. Kali terakhir beliau menjalani ujian pengesanan jenis RT-PCR dan mendapat keputusan negatif COVID-19 ialah pada Jumaat, 18 Feb lepas,” menurut kenyataan itu.

    Kenyataan itu juga memaklumkan bahawa Menteri Kanan Pertahanan itu akan terus memantau dan menjalankan tugas yang sesuai sepanjang tempoh beliau dikuarantin.

    “Marilah kita sama-sama mendoakan semoga beliau dan setiap individu yang dijangkiti wabak COVID-19 ketika ini segera dikurniakan kesembuhan oleh Allah SWT (dan) seterusnya dapat kembali menjalani rutin harian seperti sedia kala. Insya-Allah,” kata kenyataan itu.

    Sementara itu, Hishammuddin menerusi ciapan di Twitter memaklumkan keadaannya ketika ini adalah baik.

    “Alhamdulillah, saya berada dalam keadaan baik buat masa ini. Semoga setiap individu yang dijangkiti wabak ini segera diberikan kesembuhan Allah SWT. Stay safe everyone,” katanya. – BERNAMA

  • Peter Anthony umum tubuh Parti KDM, mohon sertai GRS

    Peter Anthony umum tubuh Parti KDM, mohon sertai GRS

    BEKAS Naib Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Peter Anthony hari ini mengumumkan penubuhan parti baharu iaitu Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) yang pendaftarannya diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) pada 18 Feb lepas.

    Beliau mengumumkan perkara itu sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dari Kuala Lumpur.

    “Mesyuarat pertama akan diadakan pada 13 Mac depan sekali gus melantik ahli jawatankuasa parti,” katanya kepada pemberita.

    Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Limbahau, Datuk Juil Nuatim yang juga Timbalan Presiden KDM.

    Peter berkata, langkah pertama parti itu ialah membuat permohonan untuk bergabung dengan Gabungan Rakyat Sabah yang kini menerajui kerajaan negeri.

    “Sebagai parti kerdil, kita perlu bekerjasama dalam memajukan Sabah… sudah tiba masanya parti politik di Sabah bergabung agar kerajaan kita kuat seperti yang berlaku di Sarawak,” katanya.

    Peter dan Juil keluar Warisan pada 27 Dis tahun lepas kerana percaya perjuangan parti itu sudah tersasar dari landasan asal. – BERNAMA

  • Sektor persendirian disaran bantu aplikasi eDesa

    Sektor persendirian disaran bantu aplikasi eDesa

    APLIKASI eDesa merupakan platform dalam talian yang dibangunkan bagi mengetengahkan produk industri kecil dan sederhana (IKS) tempatan, sekali gus membantu meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar.

    Sehubungan itu Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyarankan agensi atau sektor persendirian yang mempunyai produk e-dagang agar tampil memberikan kerjasama dengan pihaknya bagi membantu menjayakan aplikasi berkenaan.

    “Aplikasi eDesa menawarkan ‘Produk Orang Kita’ yang menjadi tagline bagi menggambarkan aplikasi itu milik syarikat Malaysia. dan tumpuan platform ini adalah untuk meningkatkan hasil serta pendapatan masyarakat luar bandar,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Aplikasi eDesa di sini, hari ini.

    Majlis turut menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara eDesa, Desa Mall@KPLB dan syarikat penghantaran Delyva yang berkolaborasi dengan 20 syarikat penghantaran lain.

    Sementara itu Pengarah Urusan eDesa, Saiful Zaharin Zakariya berkata pihaknya menyasarkan penglibatan 20,000 peniaga dalam talian yang akan memasarkan produk masing-masing menerusi aplikasi berkenaan menjelang akhir tahun ini.

    “Setakat ini 500 peniaga telah mendaftar dan kami akan cuba menarik sekurang-kurangnya 1,000 peniaga menjelang Ramadan ini menerusi promosi di media sosial serta pengiklanan secara fizikal di seluruh negara,” katanya. – BERNAMA

  • KPLB sedia bekerjasama jika MRSM jadi pusat pengundian

    KPLB sedia bekerjasama jika MRSM jadi pusat pengundian

    KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sedia bekerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) jika Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Johor digunakan sebagai pusat pengundian untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bulan depan.

    Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, KPLB tiada masalah untuk bekerjasama dengan SPR berhubung hal itu.

    “SPR adalah sebuah badan bebas yang diberi kuasa untuk mengendalikan pilihan raya,” katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini.

    Menurut Kementerian Pendidikan, sebanyak 151 sekolah menengah akan digunakan sebagai pusat mengundi bagi PRN Johor.

    Mengenai siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap MARA Corp, beliau berkata tindakan akan diambil sebaik sahaja siasatan selesai. – BERNAMA

  • Pendaftaran PICKids lepasi angka sejuta

    Pendaftaran PICKids lepasi angka sejuta

    PENDAFTARAN Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) kini melepasi sejuta individu iaitu 28 peratus bagi kohort kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun selepas tiga minggu pelaksanaan program itu, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

    Menerusi akaun Twitternya hari ini, beliau berharap ibu bapa tidak lagi mengambil sikap ‘tunggu dan lihat’ bagi mendaftarkan anak mereka untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.

    “Harap ibu bapa tidak lagi mengambil sikap ‘tunggu dan lihat’ sebab kadar kemasukan hospital kanak-kanak mula meningkat. Daftarkan anak anda untuk #PICKids hari ini!” menurut hantaran itu.

    Beliau turut berkongsi infografik pendaftaran PICKids setakat semalam yang menyaksikan Kuala Lumpur mencatatkan jumlah tertinggi diikuti Pulau Pinang dan Putrajaya.

    Setakat semalam, sebanyak 513,393 individu atau 14.5 peratus populasi kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun di negara ini telah menerima dos pertama vaksin COVID-19 melalui program itu yang mula dilaksanakan pada 3 Feb lepas.

    Menerusi satu lagi ciapan, Khairy berkata, lebih banyak kempen ‘outreach’ dan kesedaran diperlukan dalam menggalakkan lebih ramai penerima yang layak menjalani saringan kesihatan percuma di bawah Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) berbuat demikian.

    Beliau berkata, hanya 561,000 daripada 4.9 juta rakyat Malaysia yang layak telah menjalani saringan kesihatan percuma di bawah skim PeKa B40.

    “Lebih banyak kempen ‘outreach’ dan kesedaran diperlukan terutama dalam kalangan komuniti yang terpinggir.

    “Butiran lanjut boleh didapati di @protecthealthco (ProtechHealth Corporation). Marilah kita sama-sama mencegah NCD (penyakit tidak berjangkit),” katanya. – BERNAMA

  • Sekolahku SEJAHTERA terap 14 elemen nilai kehidupan

    Sekolahku SEJAHTERA terap 14 elemen nilai kehidupan

    KONSEP Sekolahku SEJAHTERA yang menerapkan 14 elemen nilai kehidupan secara semula jadi kepada murid semasa sesi pengajaran dan pembelajaran akan dimulakan pada sesi persekolahan akan datang, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

    Beliau berkata, 14 elemen yang terkandung dalam konsep Sekolahku SEJAHTERA itu ialah selamat, seronok, sihat, etika, empati, jati diri, adab sopan, harmoni, tekun, teliti, terampil, eksplorasi, rasional dan artikulasi.

    Bercakap kepada media selepas melancarkan Sekolahku SEJAHTERA di Putrajaya hari ini, Radzi berkata, kesemua elemen itu akan diterapkan seawal prasekolah dan diteruskan sehingga ke peringkat sekolah menengah.

    “Konsep ini tidak tambah beban tugas guru. Dalam konteks ini, guru-guru akan menerapkan konsep ini secara semula jadi dalam pengajaran dan pembelajaran.

    “Contohnya guru sedang mengajar mata pelajaran Sejarah, ada perkara-perkara dalam topik yang diajar itu berkait rapat dengan konsep 14 elemen itu, ia boleh digunakan dan dijelaskan kepada anak-anak ini,” katanya.

    Konsep Sekolahku SEJAHTERA dirangka berteraskan prinsip dan hasrat bagi mewujudkan suasana sekolah yang selamat, aman, selesa, menggembirakan, membina dan inklusif ke arah mencapai kesejahteraan masyarakat.

    Radzi berkata, penekanan terhadap 14 elemen nilai itu bukan bermakna elemen lain dalam kehidupan diketepikan.

    “Kita fokus pada konsep-konsep utama, kita yakin sekiranya anak-anak ini betul-betul menjiwai konsep ini, kita mampu melahirkan generasi yang hebat dan mampu bersaing di peringkat dunia,” katanya.

    Mengambil contoh elemen artikulasi iaitu murid dididik dengan keupayaan untuk mengolah, menyampaikan pandangan, hujahan atau huraian tentang sesuatu perkara dengan jelas dan teratur, Radzi berkata, apabila dewasa kelak, murid berkenaan boleh berhujah atau bercakap dengan tertib dan disokong dengan fakta. – BERNAMA

  • KPM belum buat keputusan rasmi pelaksanaan PT3

    KPM belum buat keputusan rasmi pelaksanaan PT3

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) belum membuat keputusan berhubung pelaksanaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bagi sesi 2022, kata Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin.

    Beliau berkata, KPM sedang meneliti pendekatan yang paling sesuai berkaitan PT3 dengan mengambil kira tahap penguasaan murid dan indikasi daripada sesi persekolahan 2021 yang masih berlangsung.

    “Belum ada sebarang keputusan rasmi oleh KPM berkaitan dengan PT3,” katanya kepada media selepas menghadiri majlis pelancaran Sekolahku SEJAHTERA, di Putrajaya hari ini.

    Sebelum ini, tular dalam laman Facebook mengenai hantaran yang didakwa dibuat oleh Lembaga Peperiksaan Rasmi yang memaklumkan PT3 akan diadakan semula bagi 2022 pada Oktober hingga November. Semakan mendapati hantaran itu telah dipadamkan.

    Radzi dalam pada itu berkata KPM akan mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) esok berhubung penggunaan sekolah menengah di Johor sebagai pusat mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor untuk memastikan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berjalan lancar.

    Sebanyak 151 sekolah menengah dijadikan pusat mengundi pada 12 Mac untuk PRN Johor, manakala peperiksaan SPM pula dijadual diadakan dari 2 hingga 29 Mac ini.

    “Sebelum ini pun sudah dibuat perbincangan awal. Kami sedang bekerjasama rapat dengan SPR bagi memastikan supaya peperiksaan SPM ini dapat berjalan dengan baik.

    “Jika terpaksa guna, kita ada pendekatan yang akan kita gunakan namun begitu kita cuba elakkan kerana tempoh masa tidak banyak, hari Ahad sahaja yang ada (susun semula meja kerusi).

    “Meja-meja peperiksaan telah disusun atur dengan teliti mengambil masa yang lama dan rombakan kepada susun atur meja tersebut yang kemudiannya disusun balik dalam masa sehari bukan sesuatu yang mudah kerana susunan meja dan kerusi ada cara dan peraturannya,” kata Radzi.

    Mengenai isu beg sekolah berat yang menjadi perbualan hangat, Radzi berkata, KPM sedang memperhalusi perkara itu dan sudah mengenal pasti beberapa punca kepada isu tersebut antaranya jumlah mata pelajaran, buku teks tebal dan murid membawa buku tambahan.

    “Kami di KPM sedang merangka apa pendekatan terbaik (kerana) ia telah berlarutan sekian lama. Apakah pendekatan yang terbaik bagi pastikan isu ini diselesaikan sepenuhnya dengan memperincikan beberapa pendekatan,” katanya. – BERNAMA