Author: Bernama

  • Banjir: 708 calon SPM duduki peperiksaan April

    Banjir: 708 calon SPM duduki peperiksaan April

    SERAMAI 708 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 yang terjejas akibat bencana banjir di tujuh sekolah di Jajahan Pasir Mas akan menduduki peperiksaan kertas Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris pada sidang kedua, April depan.

    Sekolah-sekolah tersebut adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang, SMK Gual Periok, SMK Baroh Pial, Sekolah Menengah Agama Maahad Muhammadi Rantau Panjang, SMK Meranti, Sekolah Menengah Ugama (SMU) Al-Falah Siram dan SMU Khairiah Banggol Setol.

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, calon-calon tersebut sepatutnya menduduki dua kertas peperiksaan itu pada esok, Rabu (2 Mac) dan Khamis (3 Mac).

    “Kementerian Pendidikan membuat keputusan sekolah-sekolah ini tidak dapat digunakan sebagai pusat peperiksaan kerana kawasan itu digenangi air hingga menyebabkan calon-calon dan pegawai peperiksaan tidak dapat masuk ke kawasan sekolah.

    “Kertas peperiksaan untuk Rabu dan Khamis akan ditangguhkan pada sidang kedua. Pihak sekolah telah menghubungi calon-calon terlibat dan dijangka peperiksaan pada Isnin (7 Mac) akan kembali seperti biasa bergantung kepada keadaan semasa,” katanya dalam sidang media selepas melawat SMK Agama Lati, Rantau Panjang di Pasir Mas hari ini.

    Mengulas lanjut, Radzi turut meminta calon SPM 2021 di negeri ini yang menghadapi kesukaran untuk ke kawasan sekolah atau hadir ke pusat peperiksaan supaya menghubungi guru kelas, setiausaha peperiksaan sekolah atau pengetua.

    “Boleh dapatkan penjelasan berkaitan situasi dan mana-mana pusat peperiksaan alternatif yang boleh dihadiri,” katanya.

    Beliau berkata, calon terkesan banjir turut dibenarkan hadir ke pusat peperiksaan tanpa memakai uniform sekolah.

    “Calon-calon yang terkesan banjir, pakailah apa-apa pun tidak mengapa, dalam keadaan krisis kita tak boleh terlalu memilih. Apa yang penting, anak-anak ini tenang dapat hadir ke pusat peperiksaan,” katanya.

    Dalam perkembangan sama, Radzi memaklumkan, keadaan banjir di Terengganu semakin pulih dan calon SPM yang terkesan boleh menduduki peperiksaan tersebut di pusat-pusat peperiksaan alternatif. – BERNAMA

  • Rosol positif COVID-19, mohon maaf tak dapat jumpa mangsa banjir

    Rosol positif COVID-19, mohon maaf tak dapat jumpa mangsa banjir

    AHLI Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid memohon maaf kepada mangsa banjir di kawasan itu kerana tidak dapat bertemu mereka memandangkan beliau sedang menjalani kuarantin setelah dijangkiti COVID-19.

    Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu memaklumkan perkara tersebut melalui perkongsiannya dalam hantaran di laman Facebook malam ini.

    “Saya terkilan dan mohon maaf kerana tidak dapat pulang ke kawasan menjenguk mereka yang terjejas dengan banjir buat masa ini kerana sedang menjalani kuarantin selepas disahkan positif COVID-19. Maaf kerana tidak dapat bersama anda semua, keluarga Hulu Terengganu dalam waktu sukar ini.

    “Namun begitu saya mengikuti rapat perkembangan banjir di Hulu Terengganu khususnya dan telah mengarahkan pegawai dan petugas Pusat Khidmat Ahli Parlimen Hulu Terengganu untuk menggerakkan misi bantuan kepada mangsa banjir secepat mungkin,” katanya.

    Beliau berkata, sejak pagi semalam, semua petugas dengan bantuan Majlis Belia Daerah Hulu Terengganu telah mula menyalurkan pelbagai bantuan awal berupa makanan seperti beras, mi segera, roti, biskut serta minuman selain selimut, tilam, pakaian dan kelengkapan diri kepada mangsa banjir.

    “Saya juga telah meminta petugas supaya sentiasa bersedia dan mengenal pasti mangsa yang memerlukan bantuan supaya dapat dibantu sewajarnya dengan segera. Di peringkat kementerian, saya akan menyelaraskan bantuan tabung makanan untuk mangsa banjir bagi meringankan bebanan mereka,” katanya sambil menasihati peniaga agar tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barangan terutama makanan.

    Rosol juga berkata, setakat ini, bekalan makanan dan keperluan dilaporkan mencukupi termasuk di kawasan banjir namun jika ada sebarang masalah, orang ramai boleh menghubungi talian aduan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna. – BERNAMA

  • Kes SRC: Najib mohon tangguh prosiding rayuan

    Kes SRC: Najib mohon tangguh prosiding rayuan

    BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memohon menangguhkan prosiding rayuan berkaitan bukti baharu dalam usahanya untuk mengetepikan sabitan dalam kes melibatkan dana SRC International Sdn Bhd, yang dijadualkan pada 15 dan 16 Mac di Mahkamah Persekutuan.

    Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Ashrof Adrin Kamarul yang mengesahkan perkara itu berkata, peguam Najib telah menghantar surat kepada Mahkamah Persekutuan untuk meminta tarikh perbicaraan rayuan itu dilapangkan.

    “Pasukan pembelaan memohon penangguhan kerana mereka masih berusaha mendapatkan semua nota, bukti dan dokumen daripada perbicaraan SRC di Mahkamah Tinggi, untuk menyediakan penghujahan bertulis bagi rayuan bukti tambahan itu.

    “Bagaimanapun, mahkamah akan memaklumkan secara rasmi keputusan (penangguhan) kepada pihak-pihak terlibat dalam beberapa hari lagi,” katanya kepada media selepas prosiding secara maya yang dijalankan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Siti Hajar Mustaffa.

    Beliau berkata, mahkamah menetapkan pengurusan kes seterusnya pada 8 April untuk peguam Najib mengesahkan tarikh permohonan Peguam Diraja (QC) akan dibuat.

    Pada 25 Jan, 2022, firma guaman Tetuan Shafee & Co menghantar sepucuk surat enam halaman kepada sekretariat Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat berhubung hasrat Najib untuk melantik QC dari United Kingdom bagi membantu bekas perdana menteri itu dalam isu dan persoalan perundangan yang kompleks dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan.

    Pada 7 Dis 2021, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Najib untuk mengemukakan bukti baharu bagi rayuannya dengan memutuskan bahawa Najib gagal memenuhi Seksyen 61 Akta Mahkamah Kehakiman secara kumulatif bahawa bukti baharu diperlukan untuk keadilan dalam kes itu.

    Sehari selepas itu, mahkamah sama mengekalkan sabitan serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC.

    Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, yang mengetuai panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, menolak rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020.

    Najib kemudiannya memfailkan notis rayuan dke Mahkamah Persekutuan. – BERNAMA

  • Penjawat awam rugi RM711,626 ditipu ‘pegawai mahkamah’ dan ‘polis’

    Penjawat awam rugi RM711,626 ditipu ‘pegawai mahkamah’ dan ‘polis’

    SEORANG penjawat awam lelaki kerugian RM711,626 selepas diperdaya oleh sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai mahkamah dan polis di Kuala Lumpur tahun lepas.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, ACP Mohd Mahidisham Ishak berkata mangsa berusia 52 tahun itu telah dihubungi seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai mahkamah pada 4 Okt tahun lepas.

    “Suspek memberitahu mangsa kononnya terlibat dengan pengubahan wang haram dan jenayah rasuah namun mangsa menafikannya.

    “Panggilan mangsa kemudian disambungkan kepada pihak ‘polis’ dan diarahkan untuk membuat transaksi ke 13 akaun berbeza,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Beliau berkata, mangsa yang ketakutan membuat 74 transaksi berjumlah RM711,626 di antara 15 Okt 2021 hingga 17 Jan lepas ke akaun berlainan.

    Katanya mangsa yang menyedari dirinya tertipu membuat laporan polis pada Sabtu lepas dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

    Justeru, Mohd Mahidisham menasihati orang ramai agar mendapatkan butiran terperinci pihak berkuasa yang berhubung dengan mereka mengenai sebarang siasatan seperti nama dan pangkat pemanggil serta tempat bertugas.

    “Buat semakan di balai berdekatan untuk memastikan butiran panggilan adalah benar-benar daripada pihak berkuasa dan membuat panggilan semula kepada agensi berkenaan melalui talian rasmi,” katanya. – BERNAMA

  • Pengalaman Zulkifli jadi wartawan kelebihan fahami rakyat

    Pengalaman Zulkifli jadi wartawan kelebihan fahami rakyat

    PENGALAMAN bertugas sebagai wartawan menjadi kelebihan buat calon Perikatan Nasional (PN), Zulkifli Bujang dalam memahami keperluan rakyat seterusnya membantu menyelesaikan isu dihadapi mereka, sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin, bekas wartawan Bernama TV berusia 44 tahun itu berkata, beliau menceburi bidang kewartawanan sejak berusia 18 tahun, kerjaya yang mengajarnya untuk menyampaikan suara rakyat kepada pihak berkuasa untuk menyelesaikan sesuatu masalah.

    “Sebagai wartawan saya bawa isu rakyat kepada pengetahuan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan di sesuatu kawasan, kerana kita faham apa dikehendaki rakyat dan sebagai media kita menjadi pengantara untuk menyampaikan suara mereka (rakyat).

    “Apabila saya menjadi calon di Larkin ini, saya rasa amat faham apa diperlukan oleh rakyat… jadi saya rasa perlu laksanakan apa yang pernah dilalui dahulu. Kalau orang perlukan bantuan maka cari penyelesaian untuk keselesaan penduduk. Maka, itu yang boleh saya tawarkan kepada penduduk khususnya di DUN Larkin ini,” katanya.

    Bekas Setiausaha Akhbar Menteri Dalam Negeri itu berkata demikian semasa menjadi tetamu pada program Suara Johor terbitan Bernama TV hari ini.

    Beliau berkata, pengalaman bekerja dalam sektor awam juga menjadi kelebihan buat dirinya terutama dari aspek pentadbiran dan perkara itu dilihat adalah kualiti yang perlu ada untuk menjadi wakil rakyat.

    Justeru, beliau berharap pengalaman yang dimilikinya itu akan menjadi penanda aras atau ukuran bagi pengundi untuk menilai kualitinya sebagai seorang calon yang bertanding pada PRN Johor.

    Zulkifli berdepan pertandingan enam penjuru, menentang Mohd Hairi Mad Shah (Barisan Nasional), Mohamad Riadz Mohamad Hashim (Parti Pejuang Tanah Air), Dr Zamil Najwah Arbain (PKR), Rasid Abu Bakar (Parti Ikatan Demokratik Malaysia) dan NorRamadan Buan (Bebas).

    Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 Mac depan sebagai hari pengundian PRN Johor manakala undi awal pada 8 Mac.- BERNAMA

  • Pegawai polis maut tembak diri sendiri berintegriti tinggi

    Pegawai polis maut tembak diri sendiri berintegriti tinggi

    PEGAWAI polis yang maut selepas dipercayai menembak kepalanya di sebuah rumah di Jalan Selingsing, Kuala Lumpur semalam merupakan pegawai berintegriti tinggi, mempunyai prestasi kerja yang baik dan disenangi rakan.

    Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai berkata, pegawai berusia 35 tahun itu pernah mendapat pujian daripada kepimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia dan menerima surat penghargaan Ketua Polis Negara kerana menolak suapan.

    “Pegawai polis berkenaan pernah ditawarkan RM10,000 bagi cubaan membebaskan seorang OKT (Orang Kena Tahan) bagi kes Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, pada Ogos tahun lepas.

    “Motif kejadian masih dalam siasatan dan pegawai berkenaan tiada masalah berkaitan kerja dan sebelum ini dia ditempatkan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul sebagai pegawai penyiasat di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dan kemudian ditukarkan ke IPD Dang Wangi tiga bulan lepas.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menandatangani dokumen penerimaan semula pondok polis yang dibaik pulih oleh MRT Corp di Pondok Polis Batu 3, di Kuala Lumpur.

    Menurutnya, proses bedah siasat pegawai polis berkenaan akan dijalankan di Hospital Kuala Lumpur hari ini.

    Beh berkata, pegawai itu yang mempunyai seorang isteri dan dua anak, ditemui mati di rumah kawannya.

    “Saksi merupakan kawan kepada pegawai polis berkenaan, ketika kejadian ada kawan lelaki dan kawan perempuan dalam rumah yang didiami beberapa orang itu,” katanya.

    Beh dilaporkan berkata, kejadian itu dimaklumkan pihaknya selepas Pusat Kawalan Ibu IPD Sentul menerima panggilan daripada sistem MERS 999 pada kira-kira 3.30 petang.

    Semalam, seorang pegawai polis berpangkat Insp maut dipercayai menembak kepalanya dengan pistol dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Selingsing, pada Ahad.

    Sementara itu, Beh berkata pondok polis yang diterima pihaknya itu akan beroperasi semula pada hari ini setelah tiga tahun ditinggalkan akibat pembinaan projek MRT. – BERNAMA

  • Saman KJ: Lokman Adam diarah fail pernyataan pembelaan

    Saman KJ: Lokman Adam diarah fail pernyataan pembelaan

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan Datuk Lokman Noor Adam memfailkan pernyataan pembelaan selewat-lewatnya 3 Mac ini dalam saman yang difailkan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin terhadap beliau berhubung isu vaksin COVID-19.

    Peguam, Norfazilah Jaafar, yang mewakili Lokman, ketika dihubungi pemberita berkata, mahkamah juga mengarahkan Khairy memfailkan jawapan kepada pernyataan pembelaan itu pada 17 Mac.

    “Selain itu, kedua-dua pihak perlu memfailkan permohonan interlokutari (jika ada) pada 21 Mac,” katanya selepas prosiding pengurusan kes secara dalam talian di hadapan Timbalan Pendaftar, Puteri Nursheila Rahimi hari ini.

    Pada 17 Feb lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Khairy supaya injunksi ex-parte yang diperolehnya pada 3 Feb 2022 dilanjutkan hingga tarikh pendengaran injunksi inter-parte pada 10 Mei depan.

    Khairy, 46, yang menfailkan saman terhadap Lokman pada 25 Jan lepas, memohon perintah injunksi supaya defendan memadam kenyataan dan video bersama-sama kapsyen, tajuk dan komen dalam tempoh 24 jam serta injunksi bagi menghalang defendan menerbitkan semula hantaran itu.

    Beliau juga memohon perintah mahkamah agar defendan memadam kenyataan fitnah yang diterbitkan semula di semua portal berita dan akaun media sosial dalam tempoh 24 jam.

    Ahli Parlimen Rembau itu, yang memfailkan saman atas kapasiti peribadi, mendakwa Lokman telah memfitnahnya menerusi dua video serta memuat naik gambar di laman Facebook Lokman Noor Adam Official pada 6 Jan lepas, membuat kenyataan menerusi dua siaran langsung di Facebook itu dan YouTube Lokman Adam pada 10 Jan.

    Khairy berkata kenyataan fitnah dalam saman itu membawa maksud antaranya beliau berbohong dan menipu orang ramai dengan mendakwa telah diberi vaksin COVID-19 serta menerima dos ketiga selain memalsukan maklumat berkaitan status vaksinasi.

    Khairy mendakwa penerbitan fitnah itu menyebabkan reputasi dan integriti beliau terjejas teruk selain mengurangkan kepercayaan serta keyakinan orang ramai terhadapnya sama ada melalui kapasiti peribadi dan profesional selain menyebabkan reputasi beliau direndahkan dalam kalangan masyarakat yang berfikiran waras. – BERNAMA

  • Mahasiswa mengaku salah muat naik komen jelik terhadap Agong, PM

    Mahasiswa mengaku salah muat naik komen jelik terhadap Agong, PM

    SEORANG penuntut universiti mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Raub hari ini atas tuduhan membuat dan memulakan komen jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri di laman sosial, tahun lepas.

    Pengakuan Muhammad Luqmanulhakim Mohd Aziz, 22, dari Negeri Sembilan direkodkan di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya sebaik sahaja pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 8.31 malam 17 April 2021 dengan membuat kenyataan itu di akaun Twitter @hkmlqmn18 dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain yang dibaca pada 9 malam hari sama di Felda Mempaga, Bentong.

    Bagi kesalahan itu, tertuduh yang kelihatan tenang sepanjang prosiding berlangsung didakwa mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.

    Sabit kesalahan tertuduh boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas disabitkan.

    Timbalan Pendakwa Raya Hafizah Mat memohon tarikh baharu untuk jatuh hukum bagi membolehkan pihak pendakwaan menyediakan fakta kes dan menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

    Bagaimanapun, Muhammad Luqmanulhakim yang tidak diwakili peguam memohon jumlah itu dikurangkan ke paling minimum kerana dirinya belum bekerja.

    “Kami lima beradik dan semuanya masih bersekolah. Ibu bapa saya hadir ke mahkamah hari ini dan mereka bekerja sebagai guru. Kalau boleh, saya mohon jumlah jaminan dikurangkan lagi,” katanya.

    Ahmad Faizadh membenarkan jaminan sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 April sebagai tarikh jatuh hukum. – BERNAMA

  • Peralihan ke fasa endemik perlu dibuat berhati-hati – Agong

    Peralihan ke fasa endemik perlu dibuat berhati-hati – Agong

    PERALIHAN Malaysia menuju ke fasa endemik COVID-19 perlu dilaksanakan secara berhati-hati, titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

    Seri Paduka bertitah, Malaysia berada di kedudukan ke-13 dari 122 negara dalam indeks pemulihan COVID-19 Nikkei Asia dan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan telah berjaya mencapai liputan vaksinasi lengkap sehingga 98 peratus populasi dewasa.

    Titah Seri Paduka, sebagai langkah pertahanan menghadapai penularan varian baharu, rakyat diseru mendapatkan dos penggalak vaksin COVID-19.

    “Bagi memastikan imuniti kekal pada tahap optimum dan sebagai benteng dalam menghadapi varian baharu, beta menyeru agar rakyat beta untuk mendapatkan dos penggalak menerusi program yang sedang dilaksanakan kerajaan.

    “Walaupun negara kini semakin bersedia untuk beralih ke fasa endemik, beta berharap agar peralihan ini dilaksanakan secara berhati-hati,” titah Seri Paduka pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-14, di Dewan Rakyat hari ini.

    Al-Sultan Abdullah turut menyokong Strategi Pengujian COVID-19 Kebangsaan dan tindakan afirmatif kerajaan untuk mengurangkan harga kit ujian kendiri sebagai langkah pengukuhan tindakan kesihatan awam dan pemerkasaan komuniti.

    “Melalui pendekatan ini, pembukaan semula sektor ekonomi dan sosial boleh direalisasikan secara selamat,” titah Seri Paduka.

    Yang di-Pertuan Agong turut menghargai Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara (PPVN) termasuk strategi pembangunan vaksin sendiri, sebagai usaha meningkatkan kesediaan negara mendepani pandemik dan ancaman wabak lain pada masa hadapan.

    Selain itu, Seri Paduka juga menyambut baik Pelan Strategik Kebangsaan Kesihatan Mental 2020-2025, yang dirangka bagi menangani isu kesihatan mental rakyat terutama yang terkesan akibat pandemik COVID-19 melalui pelbagai langkah intervensi dan bantuan.

    “Beta menyeru kepada rakyat beta supaya terus memelihara kesihatan termasuklah kesihatan mental dan sentiasa mengamalkan budaya hidup sihat bagi menjayakan matlamat agenda nasional ‘Malaysia Sihat’,” titah Seri Paduka.

    Al-Sultan Abdullah menyokong aspirasi kerajaan untuk merakyatkan sains dan menginsankan teknologi kerana pembudayaan sains melalui inovasi sosial bakal melahirkan modal insan yang bersifat altruistik dalam menangani isu kemiskinan, kesihatan dan kesejahteraan masyarakat.

    “Beta berharap kerajaan akan terus memperkukuh program penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi dalam bidang keutamaan termasuk kecerdasan buatan, robotik,bio-sains dan angkasa,” titah Yang di-Pertuan Agong. – BERNAMA

  • KPM urus pusat peperiksaan SPM terjejas banjir

    KPM urus pusat peperiksaan SPM terjejas banjir

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) telah membuka bilik gerakan banjir dan Lembaga Peperiksaan sedang mengambil tindakan bagi menguruskan pusat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terjejas di Terengganu dan Kelantan.

    Perkara itu dimaklumkan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

    “Saya mengambil maklum tentang situasi banjir di Terengganu dan Kelantan yang turut menjejaskan beberapa pusat peperiksaan SPM di negeri tersebut.

    “Sama-sama kita doakan semoga banjir tidak berlarutan dan anak-anak calon SPM 2021 dapat membuat persediaan untuk menduduki peperiksaan dalam keadaan selamat,” menurut hantaran itu.

    SPM akan berlangsung dari 2 hingga 29 Mac ini. – BERNAMA