Author: Bernama

  • Ibu bapa mendiang Teoh Beng Hock fail tindakan undang-undang

    Ibu bapa mendiang Teoh Beng Hock fail tindakan undang-undang

    IBU bapa mendiang Teoh Beng Hock telah memfailkan tindakan undang-undang di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi memohon supaya Polis Diraja Malaysia (PDRM) melengkapkan siasatan berhubung kematian anak mereka hampir 13 tahun lepas.

    Teoh Leong Hwee, 74, dan isterinya, Teng Shuw Hoi, 69, selaku pemohon memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman menerusi Tetuan Karpal Singh & Co. pada 4 Jan lepas dengan menamakan Ketua Polis Negara, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM, PDRM dan kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga keempat.

    Permohonan itu ditetapkan untuk pendengaran pada 16 Jun ini di hadapan Hakim Datuk Noorin Badaruddin.

    Dalam permohonan itu, pasangan suami isteri berkenaan memohon deklarasi bahawa kegagalan responden pertama, kedua dan ketiga untuk melengkapkan siasatan berhubung kematian anak mereka dalam jangka masa munasabah telah melanggari Seksyen 20(3) Akta Polis 1967.

    Mereka juga menuntut deklarasi bahawa PDRM cuai serta cuba menafikan hak keperlembagaan pemohon di bawah Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan selain memohon suatu perintah mandamus agar responden pertama (Ketua Polis Negara) melengkapkan siasatan kematian si mati (Beng Hock) dalam tempoh sebulan dari tarikh penghakiman.

    Permohonan itu difailkan antaranya atas alasan walaupun tiga pasukan khas ditubuhkan untuk menyiasat punca kematian si mati, siasatan itu didapati belum lengkap kerana berdasarkan surat Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM bertarikh 21 Sept 2021 menyatakan bahawa Jabatan Peguam Negara telah menyerahkan kembali kertas-kertas siasatan kepada Ketua Polis Negara pada 3 Sept 2021.

    Menurut pemohon, kertas-kertas siasatan berhubung kematian si mati telah pun berkali-kali dikembalikan kepada responden pertama, kedua dan ketiga oleh Jabatan Peguam Negara untuk siasatan lanjut.

    Dakwa mereka, adalah jelas bahawa siasatan kematian si mati masih belum dilengkapkan oleh pihak polis walaupun kematian itu berlaku hampir 13 tahun lepas.

    Beng Hock ditemukan mati pada 16 Julai 2009 di tingkat lima bangunan Plaza Masalam, Shah Alam, selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di tingkat 14 bangunan sama.

    Mendiang adalah Setiausaha Politik kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah yang ketika itu merupakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru Selangor.

    Pada 5 Jan 2011, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Beng Hock pada 2009 bukan disebabkan membunuh diri atau dibunuh serta mendapati tiada pihak ketiga terlibat dalam kematiannya manakala pada 21 Julai 2011, Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kematian Beng Hock memutuskan bahawa kematiannya itu akibat membunuh diri.

    Pada 5 Sept 2014, Mahkamah Rayuan menukar keputusan terbuka dalam kes kematian Beng Hock dan memutuskan bahawa kematiannya itu akibat tindakan menyalahi undang-undang oleh seorang atau beberapa orang yang tidak dikenali. – BERNAMA

  • Arab Saudi mansuh semua sekatan COVID-19

    Arab Saudi mansuh semua sekatan COVID-19

    KEMENTERIAN Kesihatan Arab Saudi mengumumkan pemansuhan semua sekatan COVID-19, termasuk kuarantin wajib bagi semua pengunjung ke negara itu.

    Menerusi catatan di akaun Twitter rasminya pada Isnin, sekatan yang dimansuhkan termasuk penyerahan sijil vaksinasi COVID-19 dan ujian PCR, sebelum atau semasa ketibaan di Arab Saudi.

    Langkah itu diambil susulan penurunan kes dan kadar vaksinasi mencapai 99 peratus untuk semua penduduk berumur 12 tahun ke atas. – BERNAMA

  • Pengubahan wang haram : Pegawai kanan polis dipenjara 10 tahun, denda RM42 juta

    Pengubahan wang haram : Pegawai kanan polis dipenjara 10 tahun, denda RM42 juta

    MAHKAMAH Rayuan hari ini menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM42 juta ke atas seorang pegawai kanan polis atas lapan kesalahan pengubahan wang haram berjumlah RM3.35 juta.

    Tiga hakim Mahkamah Rayuan Datuk Has Zanah Mehat, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Hashim Hamzah yang bersidang hari ini, membenarkan rayuan pihak pendakwaan bagi meningkatkan lagi hukuman penjara yang sebelum ini telah dijatuhkan terhadap DSP Mohd Ismail Syed Merah.

    Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 2020, menjatuhkan hukuman penjara empat tahun kepada Mohd Ismail, 59.

    Mahkamah juga membenarkan rayuan pendakwaan untuk mengenakan denda berjumlah RM42 juta ke atas Mohd Ismail dan jika gagal dibayar, dipenjara 48 bulan.

    Sementara itu mahkamah juga menolak rayuan Mohd Ismail untuk mengugurkan pensabitan kesalahan dan hukuman penjara yang telah dikenakan ke atasnya.

    Dalam keputusan sebulat suara itu, Hakim Nordin berkata mahkamah mengenakan hukuman tambahan terhadap Mohd Ismail itu bagi mencerminkan betapa seriusnya kesalahan beliau itu.

    Beliau berkata Hakim Mahkamah Tinggi adalah betul dalam mendapati bahawa wang yang dirampas daripada rumah Mohd Ismail, diperoleh daripada aktiviti haram.

    Tambah beliau, Mohd Ismail sebagai seorang pegawai polis yang diamanahkan untuk menegakkan undang-undang telah mengkhianati amanah itu dan melindungi operator judi haram.

    Hakim Nordin berkata adalah munasabah untuk membuat kesimpulan bahawa wang RM1.2 juta dan 8,178,000 rupiah yang ditemui dalam beberapa kotak di rumah Mohd Ismail adalah wang, antara lain daripada dua operator aktiviti perniagaan judi haram untuk beliau (Mohd Ismail) tidak mengambil sebarang tindakan ke atas aktiviti judi haram itu.

    “Gajinya sebagai seorang pegawai polis hanyalah RM6,000 sebulan dan dibayar ke dalam akaunnya dan bagaimana beliau boleh menyimpan sejumlah wang yang banyak itu,” katanya.

    Mohd Ismail didakwa dengan lima pertuduhan pertama iaitu menggunakan wang hasil aktiviti haram, masing-masing melibatkan RM10,143.37; RM40,000; RM6,283.09; RM993,716.91 dan RM500,000, untuk membeli dan menambah pelaburan dalam Pelan Perlindungan Insurans Takaful Life dan Pelan TakafulLink yang didaftarkan di atas namanya serta anak kandung, Nur Aqillah Mohd Ismail.

    Dua pertuduhan lain pula berkaitan melakukan pengubahan wang haram RM499,620 dan RM29,950 menggunakan akaun pihak ketiga milik Tan Kim Tee.

    Mohd Ismail didakwa melakukan kesalahan itu antara 4 Sept 2014 hingga 28 Dis 2015 di tiga lokasi berlainan iaitu di bangunan MAA Takaful, Jalan Tun Razak di sini serta dua bank, masing-masing RHB dan CIMB di Jalan Rahmat dekat Batu Pahat.

    Beliau dituduh dengan lapan pertuduhan memiliki RM1.27 juta dan 8,178,000 rupiah di rumahnya yang diperolehi menerusi aktiviti haram.

    Pada 2019, Mahkamah Sesyen Johor Bahru melepas dan membebaskan Ismail daripada semua pertuduhan berkenaan. Bagaimanapun pada 2020 Mahkamah Tinggi mendapati beliau bersalah atas semua kesalahan dan menjatuhkan hukuman penjara empat tahun untuk setiap kesalahan dan dikenakan secara serentak.

    Ismail akan memulakan hukuman penjara dua tahunnya untuk pertuduhan ketiga dan keempat selepas beliau melengkapkan hukuman penjara selama setahun, untuk pertuduhan pertama dan keduanya.

    Bagi pertuduhan kelimanya Mohd Ismail dijatuhkan hukuman penjara dua tahun dan dua tahun lagi untuk pertuduhan keenam. Beliau dikenakan hukuman penjara setahun untuk pertuduhan ketujuh dan dua tahun unuk pertuduhan kelapan.

    Kesemua hukuman untuk pertuduhan itu dikenakan secara berturut-turut dan bermula selepas Mohd Ismail melengkapkan hukuman penjara untuk pertuduhan ketiga dan keempat.

    Mahkamah mengenakan Mohd Ismail denda RM5 juta atau penjara enam bulan untuk setiap satu daripada tujuh pertuduhan dan denda RM7 juta atau penjara enam bulan untuk pertuduhan kelapan.

    Mohd Ismail diwakili pasukan peguam diketuai Datuk Wan Azmir Wan Majid, manakala pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar dan Mohd Fairuz Johari.

    — BERNAMA

  • Pembayaran tidak teratur RM1.299 bilion akibat tidak patuh pengurusan kewangan

    Pembayaran tidak teratur RM1.299 bilion akibat tidak patuh pengurusan kewangan

    KETIDAKPATUHAN terhadap pengurusan kewangan menyebabkan isu pembayaran tidak teratur berjumlah RM1.299 bilion, kerugian wang awam RM11.45 juta serta pembaziran RM8.87 juta kepada kerajaan pada 2020.

    Ketua Audit Negara Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid memaklumkan tahun lepas, Jabatan Audit Negara telah melaksanakan pengauditan pematuhan terhadap lima agensi persekutuan dan mengemukakan 19 syor untuk dipertimbangkan pelaksanaannya.

    “Setakat 31 Dis 2021, sebanyak 140 penyata kewangan telah siap diaudit dan dikeluarkan Sijil Ketua Audit Negara manakala tujuh penyata kewangan dalam proses pengauditan.

    “Sebanyak 109 penyata kewangan telah diberikan Sijil Ketua Audit Negara dengan Pendapat Tanpa Teguran, 14 penyata kewangan telah diberikan Pendapat Tanpa Teguran dengan Penegasan Perkara dan 17 penyata kewangan telah diberikan Pendapat Berteguran,” katanya dalam kenyataan mengenai Laporan Ketua Audit Negara (LKAN), hari ini.

    Laporan itu yang dibentang di Dewan Rakyat hari ini melibatkan LKAN Tahun 2020 Siri 1 mengenai Aktiviti Kementerian, Jabatan Kerajaan Persekutuan dan Badan-Badan Berkanun Persekutuan; Penyata Kewangan dan Pengauditan Pematuhan Agensi Persekutuan Tahun 2020.

    Selain itu, laporan juga melibatkan Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan serta 13 naskhah LKAN peringkat negeri iaitu LKAN Tahun 2020 Siri 1 bagi Aktiviti Kementerian, Jabatan, Agensi dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri.

    Nik Azman berkata pengauditan prestasi terhadap aktiviti kerajaan dijalankan selaras Seksyen 6 (d) Akta Audit 1957 serta berpandukan piawaian pengauditan antarabangsa yang dikeluarkan Pertubuhan Antarabangsa Institusi Audit Tertinggi (INTOSAI).

     Katanya, pengauditan prestasi yang dijalankan bertujuan menilai pencapaian objektif aktiviti, projek dan program kerajaan serta sama ada pelaksanaannya dilakukan dengan berhemat, cekap dan berkesan.

    “Ia juga bertujuan menilai sejauh mana wang awam dibelanjakan dengan berhemat, cekap dan berkesan tanpa berlaku pemborosan dan pembaziran serta mendapat ‘nilai terbaik untuk wang’, katanya.

    Sementara itu, sebanyak 10 pengauditan prestasi bernilai RM39.719 bilion telah dilaksanakan di lapan jabatan, tiga syarikat milik kerajaan dan empat badan berkanun Persekutuan dan agensi di bawah tujuh kementerian.

    Beliau berkata daripada jumlah tersebut, enam pengauditan melibatkan kategori program dan aktiviti, tiga kategori projek serta satu melibatkan sistem ICT manakala secara keseluruhannya, pelaksanaan aktiviti, projek dan program kerajaan Persekutuan adalah mengikut objektif yang ditetapkan.

    “Bagaimanapun, masih terdapat kelemahan seperti sasaran output dan pencapaian keberhasilan yang ditetapkan tidak dapat dicapai atau tidak boleh dinilai. Hal ini kerana sasaran kuantitatif, mekanisme dan indikator tidak ditetapkan, serta data berkaitan tidak diselenggarakan dengan lengkap dan kemas kini,” katanya.

    Nik Azman berkata sebanyak 33 syor dikemukakan untuk dipertimbangkan pelaksanaannya oleh kementerian, jabatan dan agensi Persekutuan yang diaudit.

    Jabatan Audit Negara juga telah menjalankan pengauditan prestasi terhadap 18 program, aktiviti dan projek melibatkan dua kementerian di Sabah dan Sarawak, 15 jabatan dan 12 agensi kerajaan negeri serta pengauditan pengurusan syarikat terhadap 11 syarikat kerajaan negeri.

    Sebanyak 111 syor telah dikemukakan melibatkan 70 syor dipertimbangkan pelaksanaannya oleh kementerian, jabatan dan agensi negeri serta 41 syor untuk syarikat kerajaan negeri yang berkenaan, katanya.

    Nik Azman berkata LKAN mengenai Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan 2020 Siri 1 mengandungi hasil pengauditan terhadap enam syarikat kerajaan Persekutuan.

    “Secara keseluruhannya, empat syarikat telah mencapai objektif penubuhan syarikat; dua syarikat menunjukkan tahap amalan tadbir urus korporat yang baik; dan tiga syarikat memperlihatkan kedudukan kewangan yang stabil,” katanya.

    Beliau berkata sebanyak 31 syor telah dikemukakan kepada pihak pengurusan syarikat berkenaan untuk diambil tindakan bagi penambahbaikan perkara yang dilaporkan.

    LKAN mengenai aktiviti kementerian dan jabatan kerajaan Persekutuan dan badan-badan berkanun Persekutuan; Penyata Kewangan dan Pengauditan Pematuhan Agensi Persekutuan dan LKAN 2020 Siri 1 mengenai Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan akan dimuat naik di laman web Jabatan Audit Negara.

    Orang awam boleh melayarinya di http://www.audit.gov.my selepas pembentangannya di Dewan Rakyat.

    LKAN peringkat negeri pula hanya akan dimuat naik di laman web Jabatan Audit Negara selepas pembentangannya di Dewan Undangan Negeri masing-masing.

    Isu-isu LKAN Tahun 2020 Siri 1 juga akan dimuat naik di Portal Papan Pemuka Ketua Audit Negara (AGD) mulai pukul 10.30 pagi dan sebarang pertanyaan lanjut serta pandangan boleh dihantar kepada [email protected].

    — BERNAMA

  • Anwar Ibrahim disahkan positif COVID-19

    Anwar Ibrahim disahkan positif COVID-19

    KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim disahkan positif COVID-19 hasil ujian Rt-PCR yang dijalankan di Parlimen hari ini.

    Perkara itu disahkan Setiausaha Sulit kepada Ketua Pembangkang, Shukri Saad.

    “Datuk Seri Anwar akan menjalani kuarantin kendiri selama tujuh hari mengikut protokol kesihatan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

    Menerusi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, semua Ahli Parlimen serta pegawai bertugas diwajibkan menjalani ujian saringan COVID-19 berkala pada setiap Isnin dan Rabu sepanjang tempoh persidangan bagi mengawal penularan COVID-19. – BERNAMA

  • Lelaki positif methamphetamine punca kemalangan maut

    Lelaki positif methamphetamine punca kemalangan maut

    SEORANG warga emas maut manakala dua rakannya cedera ringan selepas kereta dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta yang dipandu lelaki di bawah pengaruh dadah jenis methamphetamine di Kilometer 66 Jalan Kota Bharu-Gua Musang dekat Sungai Durian, di Kuala Krai hari ini.

    Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Supt Suzaimi Mohamad berkata, lelaki berusia 31 tahun yang memandu kereta Perodua Myvi itu turut patah kaki kanan akibat kemalangan pada pukul 9.30 pagi itu, dan polis turut menemukan pelbagai jenis mercun di dalam kereta Perodua Myvi berkenaan.

    “Siasatan awal polis mendapati pemandu kereta Perodua Myvi dari arah Kota Bharu menuju Gua Musang gagal mengawal kenderaan dan memasuki laluan bertentangan sebelum berlanggar dengan kereta Proton Waja dari arah Kuala Krai ke Machang.

    “Kejadian itu menyebabkan pemandu kereta Proton Waja, Mohamad Umar, 70, berasal dari Kampung Padang Nenas Belanga, Kuala Krai maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah, manakala dua penumpang lelaki berusia 20 dan 50 tahun mengalami kecederaan ringan.

    “Kes akan disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1967,” katanya. – BERNAMA

  • DAP jangan sesekali kelirukan rakyat – Annuar Musa

    DAP jangan sesekali kelirukan rakyat – Annuar Musa

    MENTERI Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa mengingatkan DAP supaya jangan sesekali mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan rakyat terutama mengenai Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan dan pembangkang daripada gabungan Pakatan Harapan (PH).

    Annuar yang merupakan Ahli Jawatankuasa Rundingan dan Pelaksana MoU itu berkata, sehingga kini 80 peratus perkara dalam MoU berkenaan telah dan sedang dilaksanakan.

    “Terdapat beberapa perkara sahaja lagi seperti cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri dan undang-undang berkaitan Anti Lompat Parti yang belum dilaksanakan, selebihnya dalam proses pelaksanaan dan berjalan dengan baik.

    “Oleh itu, saya nasihatkan kepada DAP supaya tidak mengeluarkan kenyataan boleh mengelirukan rakyat seolah-seolah tidak ada persefahaman antara kerajaan dan parti pembangkang,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan sumbangan banjir kepada 150 penduduk Kampung Serongga dekat Repek, Pasir Mas hari ini.

    Mengulas lanjut, Annuar berkata kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak akan sesekali tunduk dengan segala ugutan daripada mana-mana parti politik mengenai perkara yang boleh mengelirukan rakyat.

    “Sebagai contoh semalam, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng (kini Pengerusi DAP Kebangsaan) kata nak tamatkan MoU antara kerajaan dan PH jika Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2022 berhubung Anti Lompat Parti tidak diluluskan di Parlimen.

    “Ingin saya jelaskan, persefahaman ini berdasarkan komitmen dan keikhlasan tapi kalau DAP cuba mengugut, saya ingin tegaskan kerajaan tidak akan tunduk dengan mana-mana ugutan,” katanya.

    Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, banyak perkara perlu dilihat mengenai RUU berkaitan Anti Lompat Parti itu seperti perlembagaan, takrifan lompat parti dan persetujuan daripada semua parti politik.

    “Dalam laporan terbaharu daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan beliau telah membuat rundingan awal dengan beberapa parti politik, malah ada yang meminta supaya mengambil masa sedikit untuk melakukan perbincangan dengan ahlinya berhubung perkara tersebut jadi bagi saya tidak timbul soal lulus atau tidak,” katanya.

    Semalam, media melaporkan DAP akan mendapatkan kepastian daripada kerajaan berhubung tarikh muktamad pembentangan RUU berkaitan Anti Lompat Parti di Parlimen.

    Guan Eng berkata, parti itu akan mendapatkan kepastian daripada Ismail Sabri berhubung perkara itu, jika tidak, MoU antara kerajaan dan pembangkang daripada gabungan PH akan terbatal secara automatik.

    Sebelum ini, Wan Junaidi dilaporkan berkata, rang undang-undang bagi Anti Lompat Parti itu akan dibentangkan di Dewan Rakyat hanya selepas pandangan serta input semua pihak terlibat diperoleh dan semua sesi libat urus tamat.

    MoU ditandatangani pada September lepas oleh Ismail Sabri dan pemimpin-pemimpin parti dalam gabungan PH sepakat bahawa Parlimen tidak akan dibubarkan sebelum 31 Julai ini. – BERNAMA

  • Speaker tegur Menteri, Timbalan Menteri MITI tak hadir jawab soalan

    Speaker tegur Menteri, Timbalan Menteri MITI tak hadir jawab soalan

    PERSIDANGAN Dewan Negara diminta mencatatkan ketidakhadiran Menteri serta Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) pada sesi soal jawab persidangan hari ini, sebagai tidak selaras dengan peraturan mesyuarat.

    Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, ini kerana soalan yang dikemukakan kepada kementerian itu penting untuk diketahui semua pihak.

    “Seseorang menteri yang tidak dapat menjawab di Dewan yang mulia ini, beliau hendaklah mengarahkan timbalannya menjawab sesuatu soalan. Sekiranya timbalan (menteri) itu tidak dapat menjawab, boleh diwakilkan kepada mana-mana menteri untuk menjawab bagi pihak pentadbiran.

    “Jika itu tidak dapat dilakukan, catatan ini harus menjadi sebahagian daripada prosiding dan satu jawapan bertulis hendaklah diberi oleh Yang Berhormat menteri kepada Dewan mulia ini,” katanya pada sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara hari ini.

    Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, Senator Muhammad Zahid Md Arip mengajukan soalan nombor tiga kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri mengenai pendirian Malaysia berhubung konflik antara Rusia dan Ukraine terutama daripada aspek ekonomi dan politik.

    Muhammad Zahid juga ingin tahu langkah bagi menangani kesan ekonomi terhadap negara ini susulan konflik itu.

    Bangun mencelah selepas Rais berucap, Senator Datuk Othman Aziz meminta penjelasan sama ada soalan yang diajukan kepada menteri atau timbalan menteri tidak dapat dijawab mengikut penjadualan boleh dibawa ke hari berikut.

    “Kalau semua orang berbuat sedemikian, kita mainkan peranan ‘pak tangguh’ dan Dewan ini tidak berkeadaan sedemikian. Sama ada kita melihat peraturan di house of laws ataupun ada dalam amalan demokrasi lain,” jelas Rais.

    “Ini tidak dapat dibenarkan, kecuali atas sesuatu perkara yang sangat mendera atau terpikul oleh pihak yang berkenaan. Oleh kerana pihak saya tidak menerima secara khusus hal ini maka ia berada dalam penentuan seperti saya tegaskan sebentar tadi,” tambahnya.

    Rais kemudian meneruskan sesi soal jawab persidangan Dewan Negara mengikut Aturan Urusan Mesyuarat. – BERNAMA

  • Pemandu mabuk rempuh langgar 8 orang di luar restoran

    Pemandu mabuk rempuh langgar 8 orang di luar restoran

    SEORANG lelaki dipercayai mabuk yang merempuh ruang makan di luar sebuah restoran hingga mengakibatkan lapan individu cedera di Jalan Klang Lama, di sini malam tadi, ditahan polis.

    Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, ACP Sarifudin Mohd Salleh berkata, lelaki berumur 57 tahun itu ditahan di lokasi kejadian, pagi ini.

    Beliau berkata, lelaki itu yang memandu Honda HR-V dari arah Petaling Jaya menghala ke pusat bandar hilang kawalan ketika sampai di lokasi sebelum melanggar sebuah kenderaan jenis Lexus yang diparkir di bahu kiri jalan.

    “Akibat pelanggaran itu, kereta Lexus bergerak ke hadapan dan melanggar sebuah Perodua Axia yang diparkir di bahagian hadapan restoran dan melanggar pelanggan-pelanggan yang sedang makan serta dua pejalan kaki,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sarifudin berkata, saringan awal mendapati, kandungan alkohol di dalam badan lelaki itu melebihi had ditetapkan dan kes disiasat di bawah Seksyen 44(1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Katanya, orang ramai yang mempunyai pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-2026 0267/69 atau mana-mana balai polis berhampiran. – BERNAMA

  • Polis siasat konvoi kereta mewah halang lalu lintas

    Polis siasat konvoi kereta mewah halang lalu lintas

    POLIS menjalankan siasatan susulan video tular memaparkan kumpulan konvoi kereta mewah yang berhenti di Kilometer 34, Lebuhraya Utara-Selatan arah Selatan, berhampiran susur keluar Sedenak, sehingga menghalang lalu lintas, tiga hari lepas.

    Ketua Polis Daerah Kulai, Supt Tok Beng Yeow berkata, kejadian berkenaan berlaku pada pukul 6.10 petang, Jumaat lepas.

    Susulan daripada itu, satu laporan telah dibuat di Balai Trafik Iskandar Puteri pada 10.11 malam, hari yang sama, kata Tok.

    Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada sebuah pacuan empat roda Ford Ranger yang cuba memotong konvoi kumpulan kereta mewah secara berbahaya sebelum melanggar salah sebuah kereta itu ketika memasuki lorong kiri.

    “Akibat pelanggaran itu, kumpulan kereta mewah terbabit bertindak memberhentikan kenderaan mereka di tengah-tengah lebuh raya berikutan rasa tidak berpuas hati dan menyebabkan berlaku perselisihan faham di antara mereka di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Tok berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan (Merusuh) yang boleh membawa hukuman dua tahun penjara atau denda dan Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh membawa hukuman maksimum lima tahun penjara dan denda maksimum RM15,000, jika disabit kesalahan.

    Terdahulu, video berdurasi 45 saat itu memaparkan aksi pemanduan secara berbahaya oleh sebuah pacuan empat roda Ford Ranger yang cuba memotong kumpulan konvoi kereta mewah berkenaan di lorong kiri sebelum melanggar salah sebuah daripadanya. – BERNAMA