TIGA hari selepas pemilihan DAP selesai, timbul desakan daripada pemimpin akar umbi yang menggesa agar Lim Guan Eng berundur dari jawatan Pengerusi parti itu.

Memetik laporan FMT, gesaan itu disuarakan oleh bekas Pengerusi DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau.

Gesaan itu dibuat ekoran perbicaraan yang dihadapi Guan Eng melibatkan skandal rasuah yang didakwa berlaku semasa beliau menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang.

“Mana-mana pemimpin yang dibebani tuduhan rasuah atau sebarang skandal patut mengambil inisiatif meletak jawatan bagi mengelak daripada menghantar isyarat salah mengenai nilai-nilai parti kepada masyarakat umum dan menjejaskan kedudukan parti pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Saya berpendapat Pengerusi Kebangsaan patut mengundurkan diri.

“Saya percaya Pengerusi Kebangsaan (Guan Eng) adalah seorang pemimpin yang berkebolehan dan boleh membuat kemunculan semula pada bila-bila masa jika terbukti tidak bersalah di mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan.

DR BOO CHENG HAU Guan Eng Pengerusi
DR BOO CHENG HAU

Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) di Shah Alam Ahad lalu menyaksikan Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan dilantik secara sebulat suara sebagai Pengerusi DAP yang baharu bagi menggantikan Tan Kok Wai.

Bekas Setiausaha Agung DAP itu juga beroleh 1,311 undi, menduduki tempat kelapan dari segi jumlah undi tertinggi yang diterima dalam kalangan 30 ahli CEC.

Semua orang termasuk ahli-ahli DAP tahu bahawa Guan Eng berdepan pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta sebagai tindakan membantu syarikat milik Zarul Ahmad mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, George Town antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, beliau didakwa meminta suapan daripada Zarul sebanyak 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu sebagai penghargaan mendapatkan projek berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, Kuala Lumpur pada Mac 2011.

Setiausaha Agung DAP itu turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang, Tingkat 21, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.

Boleh dikatakan Guan Eng merupakan satu-satunya pemimpin kluster mahkamah dalam DAP yang selama ini mendabik dada sebagai juara dari segi kompetensi, akauntabiliti dan ketelusan (CAT).

Memang benar kes beliau masih dalam perbicaraan dan belum tahu lagi sama ada Guan Eng akan didapati bersalah oleh mahkamah atau sebaliknya.

Namun, saranan Dr Cheng Hau agar Guan Eng berundur daripada jawatan Pengerusi DAP itu wajar dipertimbangkan semasak-masaknya.

Selain kegagalan Guan Eng sebagai Menteri Kewangan era rejim Pakatan Harapan (PH) dahulu, kes mahkamah yang dihadapi beliau kini menjadi liabiliti kepada DAP, lebih-lebih lagi dalam menghadapi PRU-15.

Mungkin elok juga Guan Eng menunjukkan teladan yang baik kepada ahli-ahli DAP dan rakyat dengan tidak bertanding di mana-mana kerusi pada PRU-15 nanti.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here